Pages

Sunday, September 04, 2011

Libya belum tentu aman

KETIKA krisis tebusan Bangunan  American International Assurance (AIA) di Jalan Raja Chulan - Jalan Ampang, Kuala Lumpur  pada  Isnin, 4 Ogos 1975, nama Muammar Gaddafi begitu lunak disebut.

 Pengganas Tentera Merah Jepun (JRA) yang juga  serpihan  Liga Tentera Merah Komunis Jepun  hanya menyebut nama Libya dan Gaddafi. Mereka hanya mahu berunding melepaskan tebusan dengan syarat  rakan  yang ditahan di Tokyo dibebas dan dibenarkan ke Libya.

 Tiga tahun sebelumnya, peristiwa Black September  pada 5 September 1972  yang membunuh 11 atlit Israel di perkampungan Sukan Olimpik Munich, Jerman, juga mengaitkan Libya sebagai destinasi pengganas.

 Sejak itu nama Libya dan Gaddafi semakin lunak disebut. Reputasi umum ketika itu,  Gaddafi menyokong perjuangan kemerdekaan termasuk  Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), gerakan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)  di Mindanao, Filipina dan Tentera Merah Ireland (IRA) di Ireland.

Malah timbul dakwaan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) yang menuntut kerajaan sendiri di Thailand mendapat sokongan Gaddafi. Dia  dikatakan membekal senjata, ubat dan latihan ketenteraan.
 Kini apa pun  nasib   Gaddafi  tidak penting lagi kerana sejarah lebih melihat kepada wataknya selama  empat dekad dalam kancah politik dunia.

 Ketika era Perang Dingin, dia penyokong sosialis  Blok Warsaw pimpinan Soviet Union.  Malah Gaddafi, di samping Saddam Hussein (Iraq) dan Hafiz al-Assad (Syria)  dianggap penyokong tegar  Blok Timur yang ketika itu berdepan  kuasa Barat yang menyokong negara beraja di Asia Barat bagi menguasai kepentingan minyak dunia.

 Gaddafi berjaya membuktikan jati dirinya ketika membantah penaklukan Soviet Union di Afghanistan pada 1980 yang dianggap  mencabul hak asasi umat Islam.  Tindakannya mengejutkan negara komunis sendiri kerana tidak menduga Gaddafi yang anti-Amerika Syarikat, juga sanggup menentang Moscow yang menceroboh Afghanistan dan menaja pentadbiran komunis Babrak Karmal.

 Suara lantang selama empat dekad membentuk imej Gaddafi  sebagai tokoh digeruni. Dia memboikot sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  yang dianggap sebagai ejen syaitan Amerika  Syarikat. Hanya pada September 2009  Gaddafi ke PBB  yang akhirnya mengecohkan suasana,  menyelar PBB sebagai alat  kuasa besar dan menindas negara kecil termasuk umat Islam di Palestin.

 Lebih mengejutkan  apabila Gaddafi  mengoyak buku piagam PBB dan  melemparkan  ke podium sebagai tanda protes terhadap kelemahan PBB.  Dia  berjaya menelanjang piagam PBB yang selama ini didominasi  negara yang mempunyai kuasa veto.

  Mengoyak piagam PBB pada majlis rasmi  memberikan signifikan keruntuhan badan dunia itu dan maruahnya dipijak oleh pemimpin Arab yang terkenal  radikal. Belum pernah dalam sejarah PBB pemimpin sebuah negara mengoyak piagam dan mencampakkan kepada pemimpin dunia di belakangnya. Sejarah hina PBB akhirnya tercipta biarpun kebanyakan agensi berita Barat melaporkan tindakan itu kurang ajar.

 Hari ini  dunia mungkin kehilangan tokoh segarang Gaddafi. Namun yang lebih penting ketika rakyat Libya merayakan peralihan kuasa, mereka wajar juga merenung betapa Tripoli kini hampir menjadi Baghdad dan Kaherah yang  dikuasai tentera Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) naungan  Amerika Syarikat.
 Bagi jangka pendek, rakyat boleh menghukum apa saja kepada Gaddafi  -- pembunuh, pembolot harta negara dan diktator  militer -- namun sejarah juga bakal menentukan di manakah Libya pada masa akan datang.
 Apakah Libya seperti  negara jiran yang turut berada di bawah telunjuk Barat bagi menyelamatkan penguasaan rejim Zionis di bumi Palestin? Apakah Libya bakal aman tanpa Gaddafi  atau bakal berterusan letupan bom dan tembakan?
 Apa pun yang berlaku, dunia mungkin merindui   telatah Gaddafi  yang diiring  40 pengawal seksi pada majlis rasmi di samping mempunyai ratusan khemah persembunyian dan pengikut setia yang disebut pejuang revolusi di seluruh dunia! - Berita Harian, 31 Ogos 2011

Monday, August 22, 2011

54 tahun kekal prasangka

SEORANG doktor perubatan yang kembali bertugas di negara ini merungut; “Saya dikenali sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Saya bangga dengan sebutan itu kerana saya lahir dan dibesarkan di Malaysia. Hanya apabila tamat belajar di luar negara, saya berkhidmat di sana kerana Malaysia menghadapi masalah ekonomi ekoran spekulasi mata wang pada 1998.

 “Jiwa saya tetap Malaysia di perantauan. Saya menyokong Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David ketika mereka beraksi di kota penghijrahan. Saya tidak segan silu mengarak Jalur Gemilang kerana menyokong atlit sukan dari Malaysia.

 “Kini saya kembali ke Malaysia dan  bertugas di sebuah klinik. Malangnya  saya tetap dianggap sebagai orang luar. Inilah dilema saya. Dianggap sebagai rakyat Malaysia di luar negara, tetapi rasa diketepikan di tanah kelahiran sendiri.”

 Suara kesal doktor berusia 40 tahun itu bukan cerita lama. Ia berulang kali berlaku apabila membabitkan isu kaum dan semangat patriotik. Jurang kaum masih menebal dan kita tidak tahu siapakah yang sepatutnya meredakan keadaan selaras konsep 1Malaysia.

 Hari ini menjelang 54 tahun  mencapai kemerdekaan, Malaysia masih lagi berada di ambang isu kaum yang saling berentetan. Kajian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendapati jurang kaum semakin menebal selepas Pilihan Raya Umum 2008. Pelbagai isu dipolitikkan dan dikaitkan dengan sentimen perkauman walaupun pada asasnya kehidupan ini bukan semata-mata membabitkan isu ras, etnik, agama dan cara hidup.

 Orang  politik sering membuat jenaka kononnya Malaysia sebuah negara bangsa. Mereka menyebut bangsa Malaysia. Kita hairan bagaimana bangsa Malaysia boleh disebut sedangkan dalam kalangan kita ada Melayu, India dan Cina serta pelbagai etnik lain lagi. Selama 54 tahun  Malaysia berusaha membina persamaan dan persefahaman, tetapi amat mustahil untuk mewujudkan sebuah negara bangsa kerana kepelbagaian yang ada.

Keadaan di Malaysia seperti juga di Amerika Syarikat, Kanada,  Australia dan Singapura yang tidak mungkin melahirkan negara bangsa kerana keragaman kaum, agama dan cara hidup. Kita berbeza dengan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja kerana kewujudan bangsa teras. Negara itu hanya mengutamakan sebuah bahasa pengantar di sekolah dan perlembagaan negara serta tidak membiarkan kelainan etnik menimbulkan jurang kaum yang tinggi.

 Berbeza dengan Malaysia yang bukan saja bahasa rasminya boleh dipertikai nilai ekonomi dan sosial, malah ada dalam kalangan Melayu sendiri yang merendahkan bahasa ibunda untuk subjek Sains dan Matematik di sekolah. Aneh sekali apabila sebuah negara yang 54 tahun merdeka tidak mahu mengiktiraf kepentingan  lingua franca yang jutaan tahun diguna pakai di perairan Nusantara.

Isu kaum dan agama sering merumitkan. Perasaan saling curiga hatta membabitkan hal remeh dipolitikkan. Sepanjang tempoh merdeka, kita saling bergeser isu agama walaupun ada pihak yang cuba mewaraskan keadaan. Kita bimbang isu Melayu di gereja dan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian bakal menjadi api yang merebak tanpa melihat kepada persekitaran sebenar.

 Seperti telahan doktor yang  berasakan dirinya ‘rakyat asing’ di negara sendiri, kita terlalu banyak berpolitik dan menjadikan isu kaum sebagai halangan untuk membentuk Malaysia yang harmoni. Ketika kaum Melayu berasakan sudah terlalu banyak memberi kepada pihak lain, kaum Cina dan India pula masih menuduh kerajaan berat sebelah dan menyisih mereka dalam pelbagai sektor pembangunan dan prasarana ekonomi.

 Selagi perasaan ini muncul, isu kaum seperti yang dikaji selidik Merdeka Centre  tidak akan mudah berakhir. Apa saja cetusan bakal memberi riak yang berbeza. Lebih parah apabila setiap isu yang timbul, diledakkan pula oleh orang politik yang akhirnya menambahkan lagi jurang  perbezaan dalam kalangan kita. - Berita Harian, 22 Ogos 2011

Monday, August 15, 2011

Rumah PENA, GAPENA... mimpi ngeri

JALAN Lapangan Terbang Lama di pusat bandar raya Kuala Lumpur tidak jauh berbeza  kawasan lain.  Simpang siur kenderaan dan hiruk pikuk manusia sentiasa meriuh  sepanjang tempoh 24 jam. Deretan bangunan tinggi termasuk Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bangunan sebuah syarikat insurans  tersohor menjadi mercu tanda  kawasan itu.

Ia juga  lokasi pembangunan kota raya kerana Kuala Lumpur semakin kurang tanah untuk menempatkan  kawasan perdagangan yang  bertambah setanding kota besar ternama dunia. Banyak hutan dipugar, bukit digondol, pokok ditebang  dan lurah  diratakan atas nama pembangunan ekonomi.

Khabar yang merisaukan kalangan sasterawan dan seniman ialah kemungkinan  bangunan yang menempatkan Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA)  bakal menjadi mangsa pembangunan.

Cakap-cakap sudah berlegar di Putrajaya.  Bukan sekali dua disebut, malah berkali-kali -- PENA dan GAPENA bakal kehilangan premis kerana kawasan itu akan dimajukan sebagai pusat perdagangan baru di Kuala Lumpur.

Sehingga kini surat rasmi  belum dikeluarkan. Namun di kalangan penggerak budaya dan sastera, penempatan di kawasan strategik itu semakin berada di penghujung.  Hayatnya dijangka  tidak panjang lagi.

Jika sebelumnya  lokasi Penjara Pudu, Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang berada tidak jauh dari rumah PENA dan GAPENA dibangunkan sebagai pusat komersial walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak, tidak mustahil Jalan Lapangan Terbang Lama  berubah wajah selaras tuntutan pembangunan. Ada pihak yang sinis mengandaikan    sasterawan   dan budayawan sentiasa mengalah kepada pihak yang lebih berkuasa --  korporat, politikus dan  elitis kuasa!

Andainya PENA dan GAPENA diarah berpindah dari lokasi sekarang , mungkinkah kedua-dua premis penulis itu digantikan di kawasan lain yang juga selesa untuk penyair membaca sajak, budayawan bertukar wacana dan pelukis melakarkan garis dan imej pada kanvas? Mungkinkah seniman kita masih selesa berkarya di tempat yang sesuai? Lebih daripada itu,  masih adakah seniman dan budayawan di Kuala Lumpur  untuk dekad mendatang? 

 Pertanyaan demi pertanyaan  masih misteri jawapannya. Presiden PENA, Dr  Mohamad Saleeh Rahamad  sekadar tergelak apabila ditanyakan nasib Rumah PENA. “Kami belum terima surat  hitam putih,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut gusar kerana terlalu banyak khabar mengenai nasib kawasan sasterawan  yang bakal dimajukan.

Pengalaman lalu banyak membuktikan betapa banyak kawasan yang dulunya menjadi medan untuk seniman berkarya akhirnya bertukar  sebagai kawasan komersial.

Bagi kebanyakan penyair, pelukis dan aktivis  teater  sejak dekad 60-an,  Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif di Padang Merbok  pernah menjadi medan seniman mengasah bakat. Nama besar seperti Usman Awang, Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh,  Abdulaziz HM dan  Pyanhabib melahirkan karya besar di Rumah Anak Alam.

Mior Hashim Manap  dan isterinya Izaidah Khairan pula melatih anak muda dalam bidang lakonan di Rumah Teater Kreatif.  Kedua-dua bangunan itu sudah tiada  di Padang Merbok  walaupun pernah mencatat sejarah sebagai lokasi Perhimpunan Penulis Muda pada 1987.

Mungkinkah bangunan PENA dan GAPENA  senasib Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif?
Kita merasakan Kuala Lumpur amat berbeza dengan Jakarta yang menyediakan ruang untuk seniman bernafas.  Pusat Kesenian Jakarta Taman Ismail Marzuki yang popular disebut Taman Ismail Marzuki (TIM) menjadi  pusat kesenian dan kebudayaan. Di sini terletak Institut Kesenian Jakarta dan Planetarium Jakarta yang memiliki enam ruang  teater moden, balai pameran, galeri dan gedung.  Acara seni dan budaya dipertunjukkan secara rutin  termasuk pementasan drama, tari, wayang, muzik, pembacaan puisi, pameran lukisan dan pertunjukan filem.

Sehingga kini  Jalan Lapangan Terbang Lama terus riuh dengan simpang siur kehidupan. Mungkinkah juga keriuhan itu terus memuncak dengan deretan bangunan pencakar langit ketika seniman terpaksa berundur dari wilayah yang bukan milik mereka? Hanya waktu yang bakal menjawabnya! - Berita Harian, 15 Ogos 2011

Monday, August 08, 2011

Melayu celaru hilang jati diri

MELAYU pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan saja berubah dari segi pemikiran dan struktur pekerjaan, juga  sistem nilai dan penanggapan terhadap kehidupan tradisional.

DEB yang diperkenalkan selepas kejadian 13 Mei 1969 membawa sebilangan  Melayu berhijrah ke kota besar  untuk merebut peluang ekonomi, sekali gus mengubah cara hidup dan berfikir.

Walaupun ada sebahagian Melayu yang kekal di desa, tetapi sanak  saudara mereka yang berhijrah turut membawa asimilasi kehidupan yang berbeza dan tanpa disedari   turut merebak ke desa sehingga kini.

Pada era pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1982, istilah Melayu baru mula diguna pakai sebagai citra kehidupan  seiring perubahan zaman. Melayu yang mendapat manfaat DEB bukan saja aktif sebagai pengusaha dan penggerak syarikat multinasional, juga ejen perubahan budaya dalam masyarakat.

Dari sinilah lahirnya kalangan cendekiawan, teknokrat, intelektual dan pemikir budaya  yang turut bersaing di pentas global. Serpihan mereka juga melahirkan elitis Melayu yang terasing daripada  kehidupan tradisional dan ada masanya mempertikaikan  sistem nilai dan jati diri yang dimiliki oleh moyang mereka sendiri.
Golongan inilah yang akhirnya merendahkan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan mendewakan bahasa Inggeris sebagai pengantar utama subjek Matematik dan Sains di sekolah.

Kesan langsung daripada budaya elitis baru adalah perubahan tanggapan terhadap kehidupan tradisional Melayu.  Tradisi muafakat semakin terpinggir dan kehidupan disandarkan kepada perkiraan untung dan rugi perniagaan. Majlis kenduri-kendara semakin meminggirkan kerjasama setempat di kawasan perumahan kerana  jamuan di dewan berhawa dingin  di  hotel tidak memerlukan sistem penanggah dan sorak-sorai seperti  dekad lampau. Majlis berbuka puasa pula lazimnya dibuat di premis mewah bertaraf lima bintang yang  dihadiri oleh jemputan saja. Berbeza zaman lampau apabila majlis buka puasa di kampung terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang dalam masyarakat.

 Kehidupan moden menjadikan  sebahagian  Melayu semakin akrab mendiami kota besar.  Wajah desa hanya subur ketika lebaran. Tradisi balik kampung yang jarang kedengaran sebelum DEB, kini semakin banyak diperkatakan. Belum pun Ramadan menjelma, tiket pengangkutan awam ke pelbagai destinasi sudah habis dibeli. Kenangan zaman kanak-kanak dan remaja menjadikan warga kota teruja untuk melihat kembali zaman lampau yang semakin jauh.

   Dari segi politik pula, golongan yang mendapat ihsan DEB menjadi penggerak utama dalam gerakan siasah Melayu. Mereka mendominasi UMNO yang menjadi tunjang Barisan nasional serta PAS dan Parti Keadilan Rakyat. Latar belakang pendidikan, pengalaman dan penguasaan siasah, menjadikan Melayu baru lebih vokal. Keperluan politik kepartian dan hubungan antara kaum menjadikan Melayu baru amat berbeza.

Perbezaan ini melahirkan  percaturan  politik yang  berlainan. Perebutan jawatan dalam parti  politik  -- BN atau pembangkang -- melahirkan naungan tersendiri. Politik wang, kelompok dan  pengaruh menjadi budaya baru dalam saingan politik Malaysia.

Akhirnya yang menjadi rugi ahli parti terbanyak kerana  orang yang diamanahkan untuk memimpin akan mengkhianati hasrat peringkat bawahan.

Selepas empat dekad DEB diperkenal, ada Melayu yang masih merungut kononnya dasar yang digubal khas untuk Bumiputera maju dalam sektor ekonomi moden diselewengkan. Pro dan kontra lebih banyak daripada hasil yang diraih oleh usahawan Melayu sendiri. Pelan transformasi ekonomi yang diperkenal oleh Perdana Menteri,  Datuk  Seri Najib Razak yang kini menjadi agenda nasional tidak terkecuali diperdebatkan. Apakah Melayu baru sekadar  hebat  berdebat dan mempertikai sesuatu dasar ketika pihak lain  meraih hasil? - Berita Harian, 8 Ogos 211
 

Monday, August 01, 2011

Kewibawaan DBP kian hilang

Agensi  mesti pulih reputasi demi martabat bahasa Melayu

SEORANG teman berjenaka: “Jika kita baling batu ke kaca jendela bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada dekad 60-an hingga 80-an, serpihan kacanya akan mengena bahu sasterawan dan pemikir budaya.

  “Hari ini serpihan batu itu sekadar kena tapak kaki birokrasi yang  semakin menjauh daripada jiwa bahasa dan sastera.”

  Jenaka  teman itu kerana meyakini DBP atau nama asalnya Balai Pustaka yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956  bukan lagi dominan untuk sasterawan, ahli bahasa dan pemikir budaya.

  Pada era lampau, DBP sinonim sebagai pusat bahasa dan sastera. Ramai sasterawan tersohor pernah bertapak di bangunan lama DBP termasuk Usman Awang, Keris Mas, Kemala, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Shamsuddin Jaafar, Jaafar HS, Johan Jaaffar, Maarof Saad, Sutung Umar RS, Zaen Kasturi, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Yusof, Zakaria Arifin dan  Dinsman.

  Kini nama sasterawan besar hampir tiada lagi di DBP kerana udara segar di menara yang serba gah itu mungkin  tidak sesuai untuk seniman berkarya, apatah lagi menyuarakan idea kesenian dan kebudayaan. Segala-galanya sudah berubah seiring perjalanan waktu. Jika dulu, masyarakat menganggap DBP milik mereka kerana agensi kerajaan itu mendekati rakyat dengan buku bermutu yang merata di setiap pelosok negara, kini buku terbitan DBP amat sukar ditemui di pasaran.   

  DBP, dilihat dari sudut mana pun hari ini, masih berkemelut untuk memulihkan reputasi sesuai matlamat asal untuk ‘menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.’

  Krisis DBP dengan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd masih belum berkesudahan. Majalah terbitan DBP untuk keluaran Julai menjadi mangsa pergeseran kedua-dua pihak. Pengedaran buku teks untuk murid dan pelajar tahun depan masih rahsia umum. Bayangkan jika sesi persekolahan 2012 bermula tanpa buku teks terbitan DBP?

  Isu bahasa, budaya dan sastera yang sering meribut sekarang tidak pernah reda. DBP tiada taring untuk menyuarakan isu penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Ia sekadar membiarkan isu berlalu dan mengharapkan pihak di luar Menara DBP bersuara atau menjerit di jalanan.

  Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein juga menguji kebijaksanaan pentadbir DBP mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya, ia berlanjutan dan dipolitikkan dengan pelbagai versi siasah. DBP sebagai badan budaya, bahasa dan sastera kurang berperanan sebagai pihak yang wajar berada di tengah gelanggang untuk menyelamatkan karya besar Sasterawan Negara kita. Sampai bila harus begini?

  Justeru, tidak menghairankan apabila Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan  kerugian berterusan.
  Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

  GDB gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

  Sejak 2002, DBP dianggarkan kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun. Apakah penswastaan untuk mencapai kerugian berterusan? Bagaimana pula kesudahan krisis DBP dan Dawama?

  Sebelum ini ramai yang merungut  buku terbitan DBP tidak berada di pasaran. Kolum ini pada 16 November tahun lalu di bawah judul ‘DBP terbit, Dawama simpan buku’ mendedah pengalaman peribadi penulis yang tidak menerima sebarang  royalti sejak beberapa tahun kerana buku tidak berada di pasaran.

  Keadaan akan berterusan jika kerajaan tidak bertindak pantas menyelamatkan sebuah agensi yang sedang bermasalah itu. Bagi masyarakat terbanyak, buku terbitan DBP sewajarnya merakyat dan mudah diperoleh hatta di kedai mamak sekali pun! - Berita Harian, 1 Ogos 2011

Monday, July 25, 2011

Blog, facebook bukan kewartawanan sebenar

  Media internet jadi senjata penulis tak beretika racuni minda masyarakat
 
TIDAK ramai yang mengenali Amizudin Ahmat sebelum ini. Dia  sekadar penulis blog yang tulisannya kurang mendapat perhatian umum. Tetapi gara-gara ‘laporan’ yang dimuatkan dalam blognya, dia akhirnya disebut dan ada yang mempercayai kebenarannya.

 Bagaimanapun, pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com  yang diheret ke Mahkamah  Tinggi Kuala Lumpur terpaksa akur kepada kebenaran fakta. Dalam bidang kewartawanan, ketepatan dan kesahihan fakta bakal menentukan kewibawaan sesebuah berita dan rencana. Hal ini yang membezakan kewartawanan sebenar dengan penulis blog, portal berita dan catatan di facebook.

 Tradisi kewartawanan yang ada di media arus perdana dan stesen penyiaran berdasarkan fakta dan etika, berbeza tulisan di laman web dan blog yang boleh menulis apa saja, termasuk menuduh seseorang melakukan perbuatan rogol atau  bunuh tanpa sebarang bukti.

 Amizudin  diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia.

 Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada   28 Disember lalu. 

 Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata selepas  mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

 Hakim mendapati fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan saja reputasi Rais akan terjejas pada peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Mahkamah memutuskan  tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan.
 Zabariah berkata, fitnah itu membabitkan  perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.

  Katanya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara.

  Kes terbaru ini membuktikan isu blog dan internet tidak pernah reda. Penulis bebas menulis apa saja seolah-olah mereka mengetahui setiap kejadian dan boleh berperanan sebagai hakim untuk menentukan seseorang melakukan kesalahan.

Sebelum ini seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu.

 Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet  dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

 Seorang belia berusia 29 tahun pula  ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan di  Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai  penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai  membenci polis.

 Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

  Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

 Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia.

 Jika internet yang sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat diseleweng, kita tidak tahu bagaimana pembaca boleh menghargai sebarang bentuk tulisan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri.
 Amat malang jika teknologi maklumat disalah guna kerana ledakan media penyiaran sepatutnya seiring perkembangan tamadun manusia itu sendiri.

  Penulis juga mendapati beberapa catatan di facebook tidak terkecuali mempunyai unsur yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan.  Isu perhimpunan haram 9 Julai disensasikan.  Ada yang menggunakan facebook untuk mengecam pihak yang bertentangan fahaman politik. Tidak terkecuali juga  media sosial menjadi alat menjatuhkan hukuman kepada pihak lawan.

 Jika keadaan ini berterusan, laman web, blog dan facebook sekadar media murahan yang bertentangan  konsep sebenar media baru. Kita tentunya rugi jika tradisi kewartawanan diperlekehkan oleh segelintir golongan yang jahil. Tentunya lebih rugi jika penulis tidak berilmu terus kekal dengan laporan yang tidak manusiawi! - Berita Harian, 25 Julai 2011

Monday, July 18, 2011

Media alat kepentingan penguasa

 News of the World bukti suara Yahudi kuasai jagat

DUNIA kewartawanan  tidak mungkin melupakan tarikh 10 Julai 2011 apabila  akhbar tabloid Britain, News of the World diterbitkan buat kali terakhir --  menamatkan sejarah  168 tahun ‘berita eksklusif dan  skandal’ --  dengan muka depannya  tertulis ‘Thank You and  Goodbye’ (Terima Kasih dan Selamat Tinggal).
News of the World terkenal sebagai  akhbar mingguan  mendapat jualan tertinggi di Britain kerana laporan sensasi  gara-gara  pencerobohan telefon.

Dengan reputasi   7.5 juta pembaca setia setiap minggu, pemiliknya Rupert Murdoch  pernah  dianggap  raja media yang boleh melakukan apa saja untuk menguasai dunia. Murdoch juga  hartawan  Yahudi  yang menguasai organisasi  The Wall Street Journal, Twentieth Century Fox, The New York Post,The Times dan Dow Jones & Company.
  News of the World  dianggap gaya tipikal Yahudi  menguasai minda manusia. Ia bukan saja merisik pejabat  tokoh politik dan seniman tersohor dunia, bahkan menceroboh  talian istana dan pejabat Perdana Menteri Britain. Hak peribadi Ratu Elizabeth, Puteri Diana dan  Putera Charles pernah dicabul. Kehidupan bekas bintang bola sepak England, David Beckham diselongkar secara leluasa. Hak peribadi mereka  menjadi bahan eksklusif di tangan wartawan. Peminat dan pembaca  terlalu senang mendapat cerita ranjang  tanpa perlu menapis  kebenaran  fakta.

Lebih malang lagi, keghairahan  News of the World  dikaitkan juga dengan usaha terancang Yahudi    memburukkan individu  kontroversi beragama Islam dengan segala keserakahan peribadi. Anwar Saddat, Sukarno,  Hosni Mubarak, Shah Iran, Omar Shariff dan Idi Amin  pernah menjadi fokus. Wartawan seolah-olah berkuasa sebagai tuhan yang menentukan dosa seseorang insan. Media tanpa silu melaporkan hal   peribadi dengan warna yang mengghairahkan.

Bagaimanapun menjadi misteri apabila Murdoch terlalu senang menghentikan edaran  News of the World tanpa penjelasan lanjut. Apakah kerana akhbarnya disiasat, maka  News of the World  terus ditutup dan 200 pekerja hilang jawatan?

Murdoch seperti kebanyakan Yahudi lain, mempunyai pelbagai helah. Dia mempunyai  strategi untuk mengelak  reputasinya terdedah dan ke mana perginya wang keuntungan industri media disalurkan.   Ada yang mengaitkan Tel Aviv antara penerima sumbangan terbesar industri media tersohor.

 Dari segi angka, bangsa Yahudi hanya 14 juta  di seluruh dunia, dengan  tujuh juta di Amerika Syarikat, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap seorang Yahudi, ada 100  Muslim (1:100). Namun Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada umat Islam.  Tentunya fungsi media  tidak boleh ketepikan.  Tokoh   Yahudi  menguasai media termasuk Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times). Merekalah yang  mencorakkan pemikiran sejagat.   Hari ini isu kebebasan sering dikaitkan sebagai perjuangan hak. Ada yang sanggup menggunakan media sebagai propaganda perang era moden. Zaman pasca Perang Dingin dianggap simbol kejayaan Yahudi menguasai dunia.

Penguasaan media  menjadi  agenda utama  mempengaruhi pandangan massa.  Murdoch  dan rakan Yahudi lain  tidak terkecuali menguasai pusat media di Hong Kong, Singapura dan Australia. Laporan kritikal  mengenai Malaysia tentunya mudah difahami agenda mereka kerana ada dalam kalangan kita sendiri yang bersekutu untuk merosakkan imej negara pada peringkat global.

 News of the World sudah menjadi tinggalan sejarah. Namun warisan media sensasi belum tentu berakhir. Malaysia akan terus menjadi mangsa dengan pelbagai kerenah dan helah! - Berita Harian, 18 Julai 2011

Thursday, July 14, 2011

Mana pilihan raya bebas?

DEMOKRASI bukan sekadar pilihan raya. Demokrasi membabitkan proses pemilihan yang adil dan bebas. Rakyat dibenarkan menerusi saluran undang-undang untuk membuang undi secara adil dan bebas. Proses pilihan raya pula dikendalikan oleh badan bebas yang menghormati hak rakyat. Pengendali pilihan raya yang memihak boleh mencemarkan proses demokrasi itu sendiri.

Penulis pernah melihat sendiri bagaimana proses pilihan raya dilakukan bekas diktator Iraq, Saddam Hussein  untuk mengaburi mata rakyat.  Ketika itu Iraq  berperang dengan Iran kerana  masalah sempadan dan isu  Syiah.

Semata-mata kerana mahukan senjata dari Amerika Syarikat, Britain dan NATO (Pakatan Atlantik Utara) bagi memerangi  Iran yang ditadbir Ayatollah Khomeini, Saddam terpaksa berlakon sebagai jaguh demokrasi di rantau Arab. Wartawan Malaysia termasuk dua wakil rakyat turut dijemput melihat proses pilihan raya yang dikatakan adil dan bebas itu.

Bagaimanapun pengalaman melihat proses pengundian di Baghdad, Basra hingga ke  daerah pinggir Shatt al-Arab amat mengejutkan; Pengundi berbaris mendaftar dan mendapatkan kertas undi, tentera yang dilengkapi senjata M16 memungut  kertas  undi dan membuang undi di bilik kecil dan memasukkannya ke peti besi!

Pengundi hanya sekadar mendaftarkan nama   pada buku catatan kehadiran dan proses pengundian dilakukan oleh tentera Saddam sendiri.

Keputusannya mudah dijangka. Parti Baath pimpinan Saddam menang lebih 95 peratus dan menerusi media keesokan harinya, beliau mengucapkan syabas kepada rakyat kerana menyokong pimpinan yang sedang berdepan serangan dari Iran.

Saddam yang suatu ketika disebut jaguh demokrasi di Asia Barat terkenal sebagai  pemimpin sosialis yang mentadbir menerusi kekuatan senjata dan salah guna perundangan. Dia sewenang-wenangnya menyerang Kuwait dengan  alasan tidak demokratik, semata-mata untuk mengawal telaga minyak terbesar di Asia Barat.
Demokrasi diperalatkan untuk menguasai kepentingan siasah dan ekonomi.
Negara Barat yang sering melaungkan jaguh demokrasi dan pilihan  raya bebas juga tidak terkecuali terpalit dengan ‘dosa’ penipuan menjelang pilihan raya.

Skandal yang menumbangkan Presiden  Richard M Nixon  turut menggugat status Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa demokrasi dunia. Watergate adalah skandal politik yang paling terkenal dalam sejarah AS  dan Deep Throat adalah  sumber misteri  paling terkenal dalam sejarah kewartawanan.
Peristiwa  Jun 1972 akhirnya  memaksa  Nixon  keluar dari Rumah Putih dan menghadapi pendakwaan salah guna proses demokrasi.  Dia yang awalnya dianggap tokoh popular dan jujur akhirnya terbukti menyalahgunakan proses demokrasi. Sejarah menghukumnya kerana dosa politik mengintip  perbualan pihak lawan menjelang pilihan raya.

Rakyat AS  wajar berterima kasih kepada media massa  kerana mendedah  salah guna  kuasa seorang presiden dan mencampakkannya  ke dalam senarai tokoh yang tidak demokratik.
Dua wartawan   Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein memainkan peranan penting dalam memusatkan perhatian kepada skandal itu, dibantu  informasi penting daripada sumber rahsia  yang disebut Deep Throat.

Woodward dan Bernstein menulis pelbagai berita eksklusif ketika skandal itu semakin berkembang. Buku   All The President's Men difilemkan  yang dijayakan  Dustin Hoffman dan Robert Redford.
Lebih 30 tahun selepas  skandal Watergate terungkap,   bekas Ketua Biro Siasatan Persekutuan ( FBI), Mark Felt akhirnya mengakui dia adalah Deep Throat  yang mendedahkan  peranan pemimpin AS yang merosakkan proses demokrasi itu sendiri.

Di Mesir pula,   demokrasi  sering menjadi alat untuk membohongi rakyat. Hosni Mubarak yang kononnya mendapat undian besar daripada rakyat, akhirnya disingkir   oleh rakyat sendiri.  Selepas Tunisia, Mesir mencatat sejarah kebangkitan rakyat.

Hari ini  isu demokrasi terlalu lunak diperkatakan.  Apakah demokrasi menghalalkan sentimen dan kemarahan massa? Demokrasikah sesebuah negara jika rakyat masih mempunyai minda dunia ketiga?   Apakah demokrasi sekadar mainan segelintir ahli politik untuk mencapai hajat dan tujuan?

Persoalan yang semakin sukar dijawab apabila kita melihat masalah siasah kerana jumlah kerusi, isu kaum dan sentimen peribadi. Kita belum bebas menilai demokrasi dengan akal yang jernih! - Berita Harian, 14 Julai 2011

Monday, July 04, 2011

Demokrasi, hak asasi dan Bersih

MASYARAKAT Melayu tradisional sering beralas ketika berhujah dan memberi pendapat. Mereka tidak bertekak, apatah lagi menyanggah sesuatu pandangan dengan rusuhan dan menumpahkan darah. Suasana kekitaan menjadi tonggak muafakat hingga menerbitkan peribahasa ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Jarang Melayu mengamuk kecuali kes  ‘Sultan Mahmud mangkat dijulang’ membabitkan amukan seorang rakyat  yang isterinya dibunuh  Raja dengan alasan  remeh.

  Melayu juga pernah demonstrasi dalam dua kes bersejarah - penentangan dasar Malayan Union dan isu agama membabitkan peristiwa Natrah di Singapura. Dua kes ini membabitkan survival bangsa dan agama ekoran dasar penjajah yang tidak memihak kepada warga tempatan.

  Kes Natrah memang dijangka tidak memihak kepada Melayu kerana keputusan mahkamah Barat yang mengambil pendekatan status gadis bawah umur bertukar agama dan berkahwin dengan Mansor Adabi. Apapun penentangannya, suara Melayu musnah di sebalik tabir undang-undang penjajah yang lebih kebal di Singapura.

  Era selepas merdeka membabitkan kesan langsung peristiwa 13 Mei berjaya membentuk cara berfikir yang lebih radikal di kalangan sesetengah Melayu. Mereka bukan saja menggerakkan demonstrasi pelajar pada 1974 di Kuala Lumpur, bahkan berani secara terbuka menyanggah sesuatu pendapat yang dirasai tidak kukuh.

  Demonstrasi pelajar menjadi medan meluahkan pandangan yang di luar pemikiran arus perdana. Mereka berani berhujah, walaupun ada ketika dituduh diresapi ideologi komunis.

  Di kalangan ahli UMNO pula, mereka pernah menyaksikan tunjuk perasaan penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris yang membantah hukuman penjara bersabit kes rasuah. Ribuan Pemuda UMNO yang ketika itu dikenali Pemuda Tahan Lasak berkumpul di beberapa daerah.

  Mereka menentang Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn yang dianggap mempunyai agenda terhadap Harun. Mujur, tunjuk perasaan  tidak sampai menjejaskan keselamatan negara.

  Keadaan sebaliknya berlaku menjelang 2 September 1998 apabila ribuan anak muda tunjuk perasaan dan secara terbuka bersuara lantang di jalanan. Mereka menggunakan ruang demokrasi untuk demonstrasi. Isu reformasi, korupsi, kronisme berbaur dengan pertuduhan di mahkamah.

  Gerakan jalanan menjadi tumpuan pihak tertentu di Barat, khususnya Naib  Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang menyifatkan ‘perjuangan rakyat berani’. Ketika ekonomi negara merudum ekoran mainan spekulator mata wang, gerakan anak muda mudah dikaitkan sebagai tali barut asing. Suara dan aksi mereka mendapat liputan meluas media antarabangsa  yang berpangkalan di Australia, Hong Kong dan Singapura. Banyak drama dan intrig  dihidupkan. Ada masanya, media bagai mahkamah yang mudah menghukum pihak yang tidak disenanginya.

  Demokrasi dan hak asasi menjadi mantera di media maya. Banyak yang dikatakan sebagai penyelewengan dan isu kemanusiaan bertebaran di laman web, portal berita dan blog. Ruang untuk menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan, semakin perlekeh oleh suara yang kononnya pejuang sejati. Betapa mudah perasaan awam dipermainkan hingga menyingkirkan fakta dan keadaan  sebenar.

  Selepas berakhir Perang Dingin dan runtuhnya Tembok  Berlin, gerakan hak asasi antarabangsa semakin akrab melihat dan menyemak isu demokrasi di dunia ketiga. Isu keadilan, kemanusiaan, tata urus pilihan raya menjadi semakan yang mengghairahkan. Rejim Suharto bukan saja tumbang kerana amalan kronisme dan ekonomi bobrok, juga isu kebebasan  pilihan raya dan hak asasi di Timor Timur (Timur Leste), Aceh dan kepulauan Sumatera.

  Keadaan sama berlaku di Thailand dengan pelbagai jenama baju yang ditaja. Baju merah, kuning dan entah apa lagi, sering bergelut di jalanan yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan kestabilan keselamatan negara. Kesan langsungnya adalah kepada proses pembudayaan minda masyarakat; apakah tunjuk perasaan penyelesaian terbaik dalam menangani sesuatu isu? Alangkah mudahnya membakar perasaan orang ramai di jalanan, tetapi tidak semudah itu untuk menanganinya.

  Masyarakat Melayu tradisional mengutamakan muafakat dan perbincangan sebagai jalan penyelesaian. Tradisi Islam pula menerima muzakarah dan ijtihad sebagai ruang menyemak dan menyelesaikan sesuatu isu. Apakah unsur  yang sudah lama diamalkan dalam masyarakat kita sudah lama berkubur? Apakah kepentingan siasah menjadi bahang api yang bakal membara dan kita semakin tidak rasional?
Kerajaan, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya perlu pastikan  semua pihak mendapat tempat dalam proses demokrasi. Pilihan raya perlu   bebas dan biarkan rakyat membuat keputusan yang tepat.- Berita Harian, 4 Julai 2011

Monday, June 27, 2011

Interlok di mata paria

BAGAI diduga isu novel Interlok tidak mudah berakhir. Ia terus kusut selagi ada yang bersikap ‘lidah ular’ apabila menimbulkan pelbagai isu remeh terhadap karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain. Ketika kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran berlembut dengan membuka pintu rundingan untuk ‘membetulkan’ beberapa istilah yang dianggap menyinggung sesetengah pihak, mereka pula membuat kerenah termasuk untuk mengubah ayat lain yang langsung tidak berkaitan dengan sensitiviti kaum India di Malaysia.
Isu yang bertele-tele sekarang sudah dipolitikkan. MIC yang merosot teruk pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 sudah mempolitikkan Interlok untuk meraih semula sokongan kaum India. Seolah-olah pembela kasta bawahan di estet dan kawasan setinggan, MIC menjadikan novel yang cetakan pertama pada 1971 sebagai isu besar.

Ketika Kementerian Pelajaran bersetuju mencetak semula Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima, mereka menimbulkan isu ‘106 perkara’ yang perlu dipinda dalam karya itu. Tindakan ini tidak wajar kerana yang dibincangkan membabitkan satu perkataan, bukannya meminda pelbagai ayat yang boleh merosakkan semangat asal dalam teks Interlok itu sendiri. Siapalah mereka yang sanggup mengubah ayat dan ungkapan dalam karya besar itu, sedangkan Interlok ketika diterbitkan 40 tahun lalu tidak pernah dipertikaikan.

Berbanding buku Untouchable karya Mulk Raj Anand yang memaparkan kehidupan kasta rendah dilarang bersentuh dengan kasta atasan, Interlok bukan menghina mana-mana kaum. Tetapi apabila dipolitikkan oleh parti yang tidak lagi mendapat kepercayaan kaum sendiri, isu remeh diperbesarkan. Malangnya parti yang mewakili kaum Melayu seolah-olah menyepi dan membiarkan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) berdiri lantang mempertahankan Interlok. Aneh, apabila penentang Interlok membabitkan parti gabungan sendiri, mereka mengambil pendekatan membisu dan sekadar membiarkan Menteri Pelajaran bersendirian menyelesaikan isu yang sudah dipolitikkan.

Inilah realiti yang berlaku di Malaysia sekarang. Karya seni yang mengangkat perpaduan kaum sudah dilabel sebagai ‘hitam’. Teks yang sepatutnya dibaca sistem tanda dan isyarat sudah diserabutkan dengan sentimen. Sesebuah karya seni mempunyai lesen puitisnya sendiri. Meminda ayat apatah lagi merosakkan jalur cerita sudah melanggar hak mutlak penulis asalnya sendiri. Bagi mereka yang arif seni, karya seseorang seniman mempunyai kedaulatan tersendiri yang tidak boleh digugat dengan kuasa apa pun. Justeru, usaha merobekkan Interlok menggunakan pendekatan politik amat jelek sekali.

Ketika kerajaan terpaksa menarik semula 390,000 buku yang diedarkan di sekolah menengah di zon tengah iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, membabitkan kos RM1 juta termasuk kos penghantaran, pihak tertentu terus menyerang dengan alasan Kementerian Pelajaran tidak jujur ketika membincangkan sensitiviti kaum India. Lantas mereka membuat desakan lain seperti disuarakan Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) yang menggesa novel itu digugurkan sebagai teks sastera di sekolah. Mereka mahu karya itu diganti dengan teks lain. Apakah mungkin mereka mahu karya dalam kalangan ahli NIAT sendiri dijadikan teks sastera?

Interlok hanya digunakan di sekolah Zon II iaitu Selangor, Putrajaya, Seremban dan Kuala Lumpur. Zon I yang membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menggunakan novel Kembara Amira tulisan Amer Hamzah L Kadir, Zon III membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan menggunakan Sutera Dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan dan Zon IV Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan memilih Kabus di Perbukitan tulisan Mohamad Kholid Hamzah.

Selagi sentimen dan ketidakjujuran dibiarkan mengatasi kewarasan, isu Interlok tidak akan selesai selama-lamanya. Kerajaan sepatutnya bertegas dari awal supaya teks sastera tidak dipolitikkan. Membenarkan perbincangan apatah lagi atas alasan untuk menilai Interlok dilihat dari kaca mata isu kaum, hanya menyemarakkan lagi perdebatan sampingan yang tidak berfaedah. Ramai dalam kalangan kita lebih seronok membincangkan isu kaum dengan kemarahan, bukan keramahan. Justru, Interlok sentiasa panas dalam perdebatan. - Berita Harian, 27 Jun 2011

Monday, June 20, 2011

Siber yang menggerunkan

Media maya alat ideologi jatuhkan pemimpin 


ERA pasca Perang Dingin semakin membuktikan serangan tentera, kereta perisai, jet pejuang dan maritim semakin berganti perang siber. Malaysia tidak terkecuali menerima kesannya bermula malam 16 Jun lalu apabila   laman web dengan domain.gov.my diserang menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

  Serangan itu disyaki membabitkan pihak tertentu di Malaysia  sebelum sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka ‘Anonymous’  menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’.

  ‘Anonymous’ boleh disifatkan sebagai sebuah organisasi tersusun dan disertai ramai penggodam  yang memiliki kepakaran  teknologi maklumat.    Malaysia  negara terbaru yang menjadi mangsa godam  siber selepas  laman web MasterCard dan Paypal kerana menghentikan perkhidmatan kewangan kepada Wikileaks. Mereka juga pernah menggodam laman web di Syria, Tunisia, Mesir dan India.

  Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, melahirkan rasa kekecewaannya apabila tindakan kerajaan membanteras jenayah siber menerima reaksi negatif. Mengulas ancaman sesetengah pihak yang menggodam laman web kerajaan berikutan tindakan menyekat 10 laman web perkongsian fail,  Rais berkata, penggodam menjadikan pihak yang salah sebagai sasaran mereka.  Antara laman web kerajaan  yang tidak dapat dilayari termasuk SabahTourism.com, ASEAN connect, Jabatan Bomba, Perbendaharaan Malaysia, Parlimen Malaysia, JobsMalaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Majlis Sukan Negara. Beberapa pelayar yang  merakamkan laman web kerajaan yang digodam  berkata, kumpulan itu juga menukar kenyataan di laman berkenaan.

  Isu serangan siber bukan perkara baru. China dan India pernah menjadi mangsa serangan maya gara-gara penapisan internet yang dianggap menyekat hak asasi manusia. Kerajaan China memperkenalkan ‘Green Dam’ ketika kebangkitan prodemokrasi di Beijing.

  Negara komunis itu tidak mahu penyaluran maklumat yang bebas bakal meruntuhkan Revolusi Kebudayaan yang digerakkan oleh Mao Tse Tung empat dekad sebelumnya. Membenarkan kebebasan media seperti mengundang kehancuran sesebuah sistem yang dianuti sebelumnya. Akibatnya, serangan siber menyebabkan beberapa web agensi pentingnya digodam pihak tertentu.

  Ketika gerakan prodemokrasi meledak di Tunisia, Mesir dan Libya, pihak berkuasa menapis siaran internet menyebabkan banyak media maya yang antikerajaan disekat. Tindak balas daripada penggodam antarabangsa sudah diduga. Sebelum presiden Tunisia dan Mesir meninggalkan ‘takhta’ mereka, pejuang media siber  merayakan kemenangan kerana media baru berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat. Sebelum tentera Amerika Syarikat dan Nato (Pakatan Atlantik Utara) mengganyang Libya,  perang siber sudah lama bermula.

  Bagi kebanyakan pemimpin dunia ketiga dan Arab, kebebasan maklumat sesuatu yang tabu dan boleh menjejaskan kekuasaan mereka. Media baru sering dicurigakan dan penapisan maklumat sering berlaku. Rakyat dinafikan hak untuk mendapat  maklumat bebas. Mesir yang mempunyai  Universiti al-Azhar yang terunggul di dunia Islam, hanya mempunyai   rakyat celik internet 13 peratus. Rakyat dinafikan maklumat bebas, menyebabkan gelora mereka menjadi tentangan terbuka.

  Malaysia pula boleh dianggap negara yang sederhana dari segi capaian internet. Kerajaan memberi kebebasan bermaklumat,  namun beberapa web disekat bagi mengelak unsur penciplakan dan isu hak cipta. Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Koridor Raya Multimedia, kerajaan menyediakan  ‘Bill of Guarantees’, yang memberi jaminan kebebasan internet dan bermaklumat seperti dimiliki negara maju yang lain.

   Jika sejarah mencatat peperangan zaman lampau membabitkan laskar dan kelengkapan senjata yang canggih, dunia maya sudah menjadi senjata baru yang lebih menggerunkan. Hak peribadi semakin terhakis oleh serangan siber. Akaun wang, data  profil, status perkahwinan dan isu seks sudah menjadi kelaziman yang menakutkan.

  Peribadi seseorang mudah terdedah di dunia maya. Pelukan di kamar tidur sudah menjadi bacaan umum seperti dialami bintang golf, Tiger Wood. Keterlanjuran Bill Clinton dan pembantu Rumah Puteh menjadi adegan sejagat. Akhirnya, dunia siber menjadi paparan umum yang cukup ghairah. Ia bukan sekadar mendedahkan harta Hosni Mubarak sebelum tumbang, juga membuktikan siber menjadi saluran ideologi yang memaksa pihak lain menerima seadanya.

  Apa yang berlaku di Malaysia mungkin serangan permulaan yang bakal menyusul serangan siber yang lebih dahsyat pada masa depan. Ia tidak mudah dikalahkan apabila segelintir di kalangan kita juga menjadi sekutu Barat untuk menjayakan hasrat mereka. Akhirnya, teknologi maklumat kekal sebagai senjata yang dwipenggunaan. Baik atau buruk, terpulang kepada kita untuk memaknakannya. - Berita Harian, 20 Jun 2011

Sunday, June 12, 2011

Politik Islam, rasuah pun Islam

 SEORANG lelaki yang dipercayai bertaraf wali pernah dipilih  bertanding dalam Pilihan Raya Umum di kawasan Parlimen Gua Musang   menentang Tengku Razaleigh Hamzah. Lelaki itu dipilih  semata-mata kerana kewaliannya. Dia juga diyakini tokoh sesuai untuk menewaskan kerabat diraja Kelantan yang ketika itu menjawat Menteri Kewangan dan Naib Presiden UMNO.

Ketika kempen pilihan raya sedang rancak, bertebaran berita   kononnya pagar rumah Tengku Razaleigh di Palm Manor, Kota Bharu retak kerana sumpahan ‘tok wali’. Ada juga yang mendakwa Tengku Razaleigh sakit tenat kerana sumpahan keramat. Bertanding pilihan   raya apatah lagi menentang seorang yang bertaraf wali dianggap ‘dosa’ kerana  menjejaskan  perjuangan  Islam.

Sebaik keputusan pilihan raya yang memihak kepada Tengku Razaleigh,  dongengan wali tidak mudah lenyap begitu saja.    Imej agama yang dipromosikan oleh parti yang diwakili wali itu menyebabkan ramai yang percaya nilai Islam yang diperjuangkan. Tidak sedikit juga yang mempercayai perjuangan agama di Malaysia masih kalut kerana pentadbiran Pusat diwakili oleh parti sekular nasionalis, atau lebih lunak disebut golongan asabiyyah.

Keadaan lebih parah apabila seseorang dianggap  bertaraf ulama mengeluarkan   fatwa mengharamkan perjuangan nasionalis dan melarang umat Islam memakan binatang sembelihan mereka. Amanatnya menjadi keributan masyarakat kerana penegasannya untuk melaksanakan hukum hudud jika mentadbir negara.

Kekalutan  dan  polemik  berdasarkan pandangan sempit terhadap agama bertele-tele dalam masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Isu sembahyang dua imam dan pulau memulau menjadi kelaziman di kawasan luar bandar.

 Masyarakat sukar membezakan antara ulama dan golongan yang memperdagangkan agama untuk kepentingan siasah dan periuk nasi. Memang ada tokoh ulama terbabit dalam politik kepartian, tetapi mereka tetap dilihat sebagai ahli politik dan agama dipergunakan untuk mencapai tujuan siasah yang tidak berkesudahan. Justeru, kenyataan dan cara bertindak mereka dilihat sebagai tindakan ahli politik, walaupun pada masa sama mereka juga ulama dan mengajar  agama dan berdakwah.

Pada hari ini, sesiapa saja amat  mudah menjadi ulama atau ustaz. Memadai saja menyertai gerakan siasah yang berlandaskan Islam, seseorang sudah dianggap alim dan menjadi selebriti di pentas ceramah. Mereka boleh berhujah menggunakan ayat Quran dan   hadis untuk menghalalkan perjuangan siasah, tetapi pada masa sama memberi pendapat yang sesuai dengan   keperluan peribadi. Jika pada suatu ketika mereka boleh mendakwa mahu menegakkan negara Islam, pada masa lain pula perjuangan bertukar kepada negara berkebajikan, semata-mata kerana muafakatan rapuh sesama  sendiri.

      Agama menjadi alat peribadi amat ketara pada masa ini. Bukan saja ahli politik yang mempergunakan hukum untuk meraih undi, juga masyarakat awam. Ada individu yang dikaitkan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa, mengumumkan pada sidang media untuk ke Makkah dan Madinah kerana  mengerjakan umrah. Semiotik yang dibawanya adalah mudah. Dia seorang alim, ke Tanah Suci dan dikenali ramai. Mustahil untuk salah guna kuasa, apatah lagi rasuah!

Peniaga pula tidak kalah mempergunakan Islam untuk melariskan jualan. Ada  restoran yang diragui keislamannya meletakkan ayat Quran dan ungkapan Allah di belakang kaunter semata-mata membawa imej halal dan suci. Agama sudah menjadi tanda baca yang amat melunakkan. Imej halal digunakan sebagai strategi melariskan jualan.

Ada juga pen, telefon bimbit dan jam yang mengalunkan seruan azan dan bacaan al-Fatihah.   Tanda dan   maknanya amat mudah dibaca — menggambarkan imej Islam untuk melariskan jualan. Tidak terkecuali juga  pakej umrah murah dan tabung anak yatim diselewengkan semata-mata kepentingan peribadi.

Pada hari  ini agama sudah menjadi keperluan utama untuk mencapai hajat dan tujuan. Bukan saja ahli politik yang memperdagangkan nama Allah dan hudud untuk berkuasa,   juga peniaga dan tertuduh rasuah juga tidak terkecuali membawa imej alim. Ketayap, jubah dan tasbih memberi tanda makna yang amat menarik. Sesiapa saja boleh berlakon baik di khalayak kerana masyarakat adakalanya lebih menghargai penonjolan imej luaran, bukan kerana kejernihan akal  budi.

Jika keadaan ini terus berlanjutan, krisis dan kemelut dalam masyarakat Melayu tidak akan mudah berakhir. Slogan  politik dan helah peniaga cenderung memerangkap orang ramai menjadi penonton setia. Kita masih belum merdeka minda dan masih terperangkap dengan lakonan golongan yang memperdagangkan agama untuk mencapai cita-cita siasah dan ekonomi. Keadaan berlanjutan dan agenda Melayu  serta Islam menjadi mainan lunak yang tidak berkesudahan. - Berita Harian, 14 Jun 2011

Monday, June 06, 2011

Gomo Klate Gomo: PAS atau UMNO...

RAKYAT Kelantan teruja dengan pasukan bola sepaknya.
 Mereka  fanatik, seperti juga fanatiknya penyokong UMNO dan PAS.
HAMPIR menjadi simbol  baru di Kelantan ketika ini – kemeja T imej jersi pasukan bola sepak negeri – The Red Warriors – bertebaran di merata tempat seolah-olah menjadi pakaian rasmi di Tanah Sekebun Bunga.

Di mana-mana saja berada di Negeri Cik Siti Wan Kembang, kita boleh melihat ramai yang memakai kemeja T warna merah. Bukan saja kanak-kanak dan remaja, kalangan dewasa termasuk wanita juga memakai baju tersebut di kawasan awam seolah-olah bola sepak menjadi permainan budaya dan cara hidup di negeri   Pantai Timur itu. Penonjolan imej yang luar biasa ini ekoran kejayaan Kelantan memenangi Piala Malaysia pada 2010 selepas kalah pada pertandingan akhir 2009 kepada Negeri Sembilan.

Peningkatan mendadak pasukan bola sepak negeri memberikan sistem tanda yang luar biasa untuk dihuraikan. Sebuah negeri yang dikatakan mundur, diterajui oleh sebuah kerajaan yang bertentangan dengan pentadbiran Pusat selama 21 tahun,  serta cara hidup dan pola berfikir berbeza dengan Melayu  negeri   lain,  rakyat Kelantan seakan memberi isyarat dan makna kehadiran mereka yang terus unik  untuk dianalisis. 

Jika sebelum   ini  lambang  PAS dan Barisan Nasional yang diterajui UMNO banyak bertebaran di merata tempat walaupun bukan musim pilihan   raya, kini kemeja T lambang pasukan The Red  Warrios dipakai di merata tempat hatta di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur sehingglah ke majlis kahwin. Di mana-mana saja orang bercakap  isu bola. Malah, ada kenalan yang sanggup menempah tiket penerbangan ke mana saja skuad negeri bermain di luar Kelantan dan pulang semula ke Kota Bharu pada malam yang sama, semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Ada juga ahli PAS dan UMNO saling 'membelanjakan rakan' membeli tiket setiap kali perlawanan di Kota Bharu. Tidak terkecuali juga  'kerjasama' menempah tiket bas jika perlawanan di gelanggang lawan.

Setiap perlakuan dan penonjolan imej menterjemahkan sistem tanda yang tersendiri. Kajian John Locke pada abad ke-17 amat jelas menghuraikan doktrin perlambangan yang wujud betapa setiap ungkapan dan penulisan mempunyai isyarat tersendiri. Ilmu perlambangan turut mendapat reaksi baik daripada ahli linguistik Eropah, Ferdinand de Saussure dan ahli falsafah Amerika pada abad ke -19, Charles Sander Pierce yang mengakui tingkah laku dan warna juga boleh memberi isyarat tertentu. Setiap tulisan, perlakuan, curahan emosi dan disiplin kehidupan  yang wujud mempunyai makna dan pesan tersendiri. Ia hidup sesuai dengan cara berfikir dan budaya masyarakat setempat.

Dalam konteks makna setempat, The Red Warrios bukan sekadar imej dan sistem tanda pasukan bola sepak, juga lambang penyatuan penduduk yang menafikan seketika  kemelut politik dua parti dominan Melayu—PAS dan UMNO. Kedua-dua parti bersaing hangat sejak awal merdeka untuk merebut  hati pengundi Melayu. PAS yang membawa imej Islam dan UMNO   yang  dianggap nasionalis masing-masing pernah diberi peluang mentadbir Kelantan.  UMNO mentadbir Kelantan sejak 1978 hingga 1990 apabila pimpinan  PAS   ketika itu dikaitkan dengan isu balak dan rasuah  yang akhirnya mencetuskan rusuhan antikumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda pada 1977. Apabila MAGERAN (Majlis Gerakan  Negara) dikuatkuasakan dan pentadbiran   negeri digantung,  PAS tidak mampu berbuat apa-apa dan  hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Khas 1978.

Bagaimanapun persaingan politik UMNO-PAS berterusan kerana kedua-dua parti mempunyai kekuatan seimbang. PAS atau UMNO tidak pernah hilang wang  pertaruhan di Kelantan kerana mempunyai imej tersendiri di mata rakyat Kelantan. Majlis ceramah, kempen pilihan raya dan perang poster memberikan sistem tanda yang unik. Kedua-dua pihak saling bersaing  walaupun Kelantan berjaya ditadbir semula  PAS sejak Pilihan Raya Umum  1990.

Ketika ini UMNO dan Barisan Nasional diangap alternatif untuk mentadbir semula Kelantan jika pilihan raya diadakan pada masa terdekat. Seorang pengkaji politik menganalisis kecenderungan  pengundi yang mahukan perubahan tetapi pada masa sama, faktor Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak boleh diketepikan. Imej ulama  masih membayangi sebahagian besar generasi dewasa Kelantan dan Barisan Nasional mempunyai peluang jika Nik Aziz umum bersara dalam kegiatan siasah.

Ketika kemelut dan persaingan politik tidak pernah reda, kehadiran The Red Warrios melekakan sengketa buat sementara waktu. Imej merah, keceriaan dan bersorak di   Stadium Sultan Muhamad ke-1V membuktikan kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk kepentingan pasukan negeri. Mungkinkah bola sepak menjadi penjalin UMNO dan PAS di Kelantan? Hanya masa yang bakal menjawabnya! - Berita Harian, 7 Jun 2011

Tuesday, May 31, 2011

OKU masih di lorong yang sama

 KETIKA Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) pada 1981, Malaysia juga tidak terkecuali merayakannya selaras gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelaras dan menghargai sumbangan golongan kelainan upaya (OKU) di sesebuah negara.

Banyak majlis sudah diadakan sejak 30 tahun lampau. Banyak juga istilah yang diguna pakai – orang cacat, golongan istimewa, orang kurang upaya dan kini orang kelainan upaya. Namun sehingga kini, nasib OKU tidak banyak berubah. Kira-kira 90 peratus daripada OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Angka ini mengesahkan mereka di antara golongan berpendapatan rendah, walaupun kononnya pelbagai projek perihatin sudah dilakukan oleh kerajaan.

WHO mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peranan kementerian dan jabatan yang diharapkan membantu golongan malang tidak banyak berubah sejak 30 tahun lalu. Seorang OKU mengadu pelbagai kerenah birokrasi apabila bertemu pegawai JKM di Lembah Klang. Dia bukan saja sukar memperbarui kad OKU yang sudah lusuh, bahkan berdepan pelbagai pegawai yang sentiasa sibuk dan tidak sempat melayani, apatah lagi menyelesaikan masalah OKU.

Banyak juga OKU yang mengadu pegawai JKM ‘tiada di pejabat’ walaupun pada tarikh temu janji ditetapkan. Sikap segelintir pegawai JKM boleh menjejaskan usaha kerajaan yang berjanji mempertingkatkan semua prasarana bagi keperluan OKU selaras usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Bagi kebanyakan OKU, memadai kerajaan dan korporat memberi peluang untuk mereka berjaya dalam kehidupan, bukannya sekadar simpati dan wang ihsan. Ramai OKU yang berkelayakan wajar diberi peluang untuk berkhidmat di sektor awam dan swasta. Mereka juga mengharapkan peluang pendidikan dan latihan supaya dapat berperanan memajukan sektor ekonomi dan sosial.

Malangnya minda dunia ketiga yang masih tersisa, menyebabkan ramai OKU yang kurang pendedahan akhirnya mereka kekal dengan status tradisional yang sentiasa memerlukan pembelaan dan sumbangan pelbagai pihak.

Ramai juga OKU yang mengeluh mengenai kualiti pengangkutan awam yang kurang mesra kepada pengguna cacat. Mereka berharap kerajaan bertindak tegas, selaras janji dilafazkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memberi jaminan kerajaan akan menaik taraf kemudahan pengangkutan awam seperti stesen transit aliran ringan (LRT), stesen bas dan komuter agar lebih mesra OKU.

“Kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mempastikan perancangan tersebut berjalan lancar. Kementerian Pengangkutan akan menyediakan prasarana terutama pengangkutan awam untuk OKU bagi memastikan keselesaan mereka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya (OKU), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis yang ditubuhkan di bawah Akta OKU itu dianggotai beberapa kementerian bertujuan menentukan dasar untuk membantu golongan berkenaan. Sehingga kini, bilangan OKU yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah 325,189 orang berbanding 283,512 tahun lalu.

Shahrizat berkata, dalam memastikan masa depan golongan tersebut terjamin, pihaknya akan mewujudkan pasukan khas bagi meneliti secara terperinci isu yang menjadi halangan kepada kemajuan pendidikan khas dan intervensi awal yang akan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Beliau akan mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran langkah positif yang boleh diambil untuk membantu meningkatkan keupayaan golongan OKU bermula di bangku sekolah. Kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan lebih ramai OKU diserapkan dalam alam pekerjaan memandangkan ada dalam kalangan mereka yang mempunyai potensi dan kelayakan akademik.

"Bagaimanapun cabaran paling getir adalah untuk mengubah pemikiran majikan, keluarga dan OKU itu sendiri supaya lebih positif terhadap potensi mereka," katanya.

Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pengangkutan, Mustapha Zainuddin, berkata pihaknya akan mengeluarkan pelekat yang mempunyai nombor siri sebagai pengenalan kepada kenderaan OKU bermula pertengahan Jun selain garis panduan reka bentuk bas yang lebih mesra OKU. Kini 100 bas dinaik taraf, selain 12 stesen komuter dan lima stesen LRT di sekitar Lembah Klang.

Jika perancangan kerajaan terlaksana, kualiti kehidupan OKU dijangka berubah selaras era tranformasi ekonomi dan pentadbiran yang sentiasa mendahulukan rakyat. Soalnya, sejauh mana pelaksana dasar kerajaan mampu melaksanakannya? Selama 30 tahun, nasib OKU tidak banyak berubah kecuali sedikit pesta setiap kali menyambut slogan propaganda masyarakat penyayang. Apakah OKU memerlukan 30 tahun lagi untuk keluar daripada kepompong kedaifan? Persoalan yang perlu direnungkan bersama! - Berita Harian, 31 Mei 2011

Wednesday, May 25, 2011

Seniman jalanan terpinggir dalam kemodenan

JALAN Braga di pusat kota Bandung, Indonesia dihubungkan dengan Jalan Asia Afrika, yang menjadi lokasi Persidangan Negara Berkecuali pada 1955. Kawasan ini dipenuhi bangunan lama kesan penjajahan Belanda. Ada pusat beli-belah ternama, namun yang menarik adalah karya lukisan di kaki lima bangunan. Sepanjang 250 meter, lukisan disandarkan pada bangunan tinggalan kolonial untuk tatapan pelancong. Pelukis bebas menjaja hasil karya dan pelancong bebas menawarkan harga yang sepatutnya. Ada juga seniman jalanan menyelinap antara lampu isyarat dan simpang siur kehidupan. Nyanyian, petikan gitar dan tiupan harmonika menggambarkan suara dalaman insan seni yang bebas berinteraksi dengan alam dan pengunjung.

Di Bali pula, alunan seruling dan gendang purba menghiasi sepanjang perjalanan ke Ubud dan Kitamani. Rentak Barong dan Kecak di Tanah Lot sering menggugah jiwa pengunjung. Gemersik biola di Pantai Kuta dan gemalai tarian Bali mengingatkan kita betapa mereka menghargai seniman tempatan.

Di Thailand pula, seniman jalanan bukan sekadar pemuzik dan pelukis, juga pertunjukan gajah dan sihir di pinggir kota Phuket dan Yala. Alunan gemalai Rambong sering mengingatkan kita kepada tradisi Negara Gajah Putih yang masih setia dengan karya rakyat.

Berbeza Malaysia, negara lain amat menghargai karya seni dan seniman jalanan mempunyai ruang untuk menyerlahkan bakat mereka. Malaysia mungkin mencapai taraf negara maju pada 2020, tetapi belum tentu kita mencapai kemajuan dari segi mengiktiraf hasil seni ke tahap global. Kita terlalu banyak bercakap soal transformasi ekonomi dan kemelut siasah. Tapi kita sering lupa untuk menyediakan ruang untuk seniman berkarya, berinteraksi dengan penikmat dan menjadikan hasil seni dan budaya sebagai khazanah negara.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak mencatat nama Malaysia dalam senarai negara yang menghargai karya seni. Berbanding jiran terdekat seperti Indonesia dan Thailand, kita terlalu mundur untuk menghargai seniman sebagai harta negara. Kita jangan bandingkan dengan Boston di Amerika Syarikat dan Copenghagen, Denmark yang membiarkan seniman bebas berkarya 24 jam di jalan utama. Kita masih kalah dengan apa yang ada di Filipina dan Vietnam yang membenarkan seniman jalanan berkarya secara santai. Kita mungkin berbangga dengan beberapa pelakon dan penyanyi yang bukan pun bertaraf Asia, tetapi kita sering meminggirkan pelukis, pemuzik tradisional, penggiat teater dan penyair jalanan.

Lebih malang, banyak seniman kita terpinggir daripada perangkaan proses pembangunan ekonomi kerana Malaysia lebih melihat kepada percaturan di bursa saham, projek pembangunan dan pelan transformasi yang tidak berkesudahan. Kita banyak bangunan pencakar langit tapi kita tidak mempunyai ruang untuk seniman kecil berkarya dan mempamer bakat mereka.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar pernah menjanjikan Dataran Merdeka sebagai ruang untuk seniman jalanan mempamerkan bakat. Namun selepas 25 tahun berlalu, Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur kekal sebagai kota batu yang longlai jiwa penghuninya.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pernah menegur birokrat yang ‘kurang visi, kurang rasa dan kurang reti’ namun siapakah yang bakal mendengar keluhan seniman kerana pembangunan negara banyak dikaitkan dengan tokoh korporat dan pelaksana siasah yang tentunya mempunyai pengaruh meluas dalam kalangan masyarakat.

Pada dekad 60-an dan 70-an, seniman mempunyai Rumah Anak Alam yang menjadi medan untuk melahirkan karya dan berinteraksi. Rumah Anak Alam juga membentuk kesepakatan jiwa dalam kalangan seniman. Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Dr Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Dr Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh, Pyanhabib, Abdul Aziz HM dan Ladin Nuawi menempuh pengalaman kreatif di Rumah Anak Alam. Mior Hashim Manap dan Grup Teater Kreatif juga menjadikan bangunan lama di Jalan Merbok berhampiran Jalan Parlimen untuk latihan teater. Semuanya menjadi sejarah kerana Padang Merbok sudah terlalu sesak dengan pembangunan.

Sekumpulan seniman jalanan termasuk Imuda, Pyanhabib, Ruslan Mamat, Kamarul Yusuf, Sani Sudin, Usop dan Siso mengadakan acara baca puisi di sisi tiang lampu di Pasar Budaya pada awal dekad 80-an. Mereka bergabung tenaga membaca puisi pada hujung minggu. Namun apalah upaya seniman apabila mereka diusir dan disergah oleh penguat kuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur kerana ‘menjejaskan kawasan tumpuan ramai’. Seniman terlalu kecil dan terpinggir di negara ini. Mereka tidak mempunyai upaya untuk melawan kerenah pentadbir yang menganggap kegiatan seni sebagai tidak bermanfaat.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika beroperasi di bangunan lama menyediakan Sudut Penulis untuk seniman berbincang, baca puisi, bersantai dan membedah karya. Namun zaman berubah. Pembinaan bangunan baru turut menyediakan jiwa baru dalam kalangan pentadbirnya. Sudut Penulis tidak wujud lagi. Sasterawan seperti Usman Awang, Datuk Johan Jaaffar, Datuk Baha Zain, A Rahim Abdullah, Sutung Umar RS, Dr Ahmad Razali, Sasterawan Negara Datuk Kemala, Suhaimi Haji Muhammad, Maarof Saad, Jaafar HS, Shamsudin Jaafar dan Zakaria Ariffin sudah lama meninggalkan DBP. Yang ada kini hanyalah pegawai dan pentadbir baru yang tidak mempunyai latar belakang seni. Justeru, DBP semakin formal dan birokratis. Seniman kecil dan terpinggir semakin tidak selesa ke Menara DBP kerana suasananya sudah berbeza. Udaranya tidak seni lagi. Sasteranya sudah milik segelintir golongan. Dan seperti laporan UNESCO, Malaysia semakin kekal sebagai negara yang segan mendekati seniman sendiri! - Berita Harian, 25 Mei 2011

Wednesday, May 11, 2011

Kemala dan maruah sasterawan

“SAYA tidak duga terpilih Sasterawan Negara ke-11,” tuturnya lembut. “Saya jangka  penulis wanita terpilih kerana media terutama Berita Harian agak kerap menonjolkan  penulis wanita yang dikatakan layak menerima anugerah itu.” Dia tergelak seketika dan menyambung: “Syukur!”

Panel memilih   Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala sebagai Sasterawan Negara kerana  sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi. Beliau  akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan meluas ke  sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

 Ketika ditanya perasaannya, Kemala sekadar tergelak: “Perasaan orang lama. Orang   yang sudah lama menyepi diri dan saya tidak duga kalangan penyair masih mendapat perhatian panel. Sebelum ini hanya Datuk Usman Awang dan Prof Dr Muhammad Haji Salleh yang terpilih. Lazimnya panel lebih melihat kepada novelis sebagai pemenang!”

Kemala mengharapkan karya tempatan dimartabatkan sebagai khazanah negara. Hari  ini banyak  hasil sasterawan terabai dan jika dibincang pun, sekadar pada majlis tertentu yang kesannya tidak seberapa. Mengenai wang yang bakal diterimanya, Kemala spontan menjawab: “Saya akan beramal,   menyimpan untuk bekalan masa depan, bersedekah dan belanja anda makan!”

Kemala yang kita kenali tidak banyak bezanya sejak dahulu. Mempunyai  perawakan serius, tegas pendirian dan ada masanya sinis serta boleh bergurau secara spontan. Puisinya  dikaitkan dengan unsur Islam  dan kemanusiaan sejak dekad 60-an. Banyak diterjemahkan ke bahasa asing seperti  Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

   Judul puisi perseorangan Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktuskaktus (1976), A’yn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), MIM (1999), Ziarah Tanah Kudup (2006), Syurga ke Sembilan (2009) dan Sumsum Bulan Rawan yang akan segera terbit. Puisinya juga termuat sekurang-kurangnya dalam 25 antologi. Kumpulan cerpen perseorangan ialah Anasir (1983), Firuzia, Firuzia (1990) dan Laut Takjub 25 Cerpen Pilihan (2010). Dramanya sebanyak empat  buah iaitu Di Bumi Lain (1976), Malam Perhitongan (1966), Anna (1972) dan Kelonsong (1985). Buku kanak-kanak dua buah iaitu Melor, Melur Si Bunga Melur (1974) dan Lani Anak Tani (1977). Jumlah kajian ilmiah dan esei yang dihasilkannya banyak sekali.

Beliau juga  mendapat  anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah SEA Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kemala adalah  pengasas  Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).

 Dalam  kalangan penulis muda, Kemala dianggap sebagai mentor yang tidak jemu mengasuh bakat baru. Beliau  sering memberi bimbingan yang baik. Kami mulai akrab pada Jun 1986 apabila dua sajak saya disiarkan dalam Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat. Kemala pernah bertanya kepada penyair keturunan Siam, Swanlerd Propoul mengenai saya yang ketika itu mula mendapat perhatian media. Sebagai pegawai kanan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kemala memegang amanah untuk menilai karya penulis muda dan menyiarkan di majalah terbitan DBP. Bagi kebanyakan penulis muda, majalah terbitan DBP dianggap lambang pengiktirafan sebagai sasterawan generasi baru.

Hubungan akrab kami mendorong DBP memilih saya sebagai  salah seorang pewawancara untuk buku  Jambak: Proses Kreatif Pengarang Melayu. Kemala banyak membantu dan memberi garis panduan untuk saya menulis dan mewawancara novelis  wartawan Malungun (Amir Hamzah Shamsuddin) dan Yahaya Samah. Kedua-duanya nama yang cukup hebat pada dekad 1960 kerana karya mereka sering menjadi tumpuan sarjana ketika itu.

Bagaimanapun saya agak ralat untuk proses kreatif Sasterawan Negara Datuk Usman Awang kerana projek ini gagal disiapkan membabitkan  hubungan tegang antara Usman dan DBP. Ketika peringkat awal, Usman bersetuju untuk menjayakan projek ini dan saya memberitahu Kemala mengenai  peruntukan kewangan dan jangka masa menyiapkan projek penulisan. Bagaimanapun media mula menyiarkan kritikan Usman  terhadap DBP yang dianggap mengabaikan karya  Sasterawan Negara. Usman juga secara sinis membuat kenyataan antara Sasterawan Negara dan sasterawan biasa tiada nilainya di mata ‘tuan besar’ yang menerajui DBP. Keadaan lebih parah apabila DBP pula mengeluarkan statistik perbelanjaan  membabitkan Sasterawan Negara ketika itu. Beberapa angka tuntutan perjalanan dan royalti penjualan karya Sasterawan Negara tidak lagi menjadi rahsia umum   menyebabkan Usman akhirnya semakin menjauh daripada DBP. Ketika penulis ke rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Usman sekadar melepaskan keluhan kecil kerana tidak mampu meneruskan wawancara proses kreatif  untuk dimuatkan dalam buku Jambak. Dia memberi alasan masalah kesihatan tapi pada wajahnya terserlah perasaan tersinggung yang luar biasa. Saya menghubungi Kemala memberitahu   perasaan Usman dan kengganan Sasterawan Negara meneruskan proses kreatif yang dipersetujui sebelum ini. Saya agak resah kerana sudah mengambil sedikit wang DBP sebagai pendahuluan untuk projek yang akhirnya gagal disiapkan!

Kemala pernah ke rumah saya sebaik mengetahui penulis kemalangan jalan raya pada 29 Februari 2004 dan memberi harapan setiap bencana ada rahmatnya. Sebagai seniman besar yang mempunyai persepsi kemanusiaan dan Islamik, Kemala berbisik: “Anda perlu ingat setiap yang berlaku ada hikmahnya. Anda sakit, tapi jangan lupa untuk terus menulis!”

Kami bergabung tenaga untuk menjayakan majlis baca puisi bagi mengisi tabung kemanusiaan mangsa Tsunami Aceh yang dilanda bencana pada 24 Disember 2004. Kami menggerakkan massa dan bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1.  

  Sebagai sasterawan besar yang karyanya dihargai, pemilihan  Kemala dalam senarai Sasterawan Negara tidak akan bernilai seandainya kerajaan tidak menyediakan peruntukan khas untuk mendaulatkan karya sastera sebagai khazanah nasional. Karya yang baik perlu didedahkan menerusi dunia penyiaran terutama di kaca TV  agar masyarakat tidak terus terjerumus    pada hasil seni pinggiran. Kemala, seperti juga Datuk A Samad Said, Datuk Shahnon Ahmad dan sasterawan lain, adalah antara segelintir insan  seni yang terus berjuang menulis walaupun suara penulis kian terasing oleh ledakan politik dan kemelut siasah yang tidak berkesudahan sekarang.

“Saya akan terus menulis,” tutur Kemala mengakhiri perbualan. Dia kini sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia. Dia tentunya mengharapkan karya yang baik menjadi santapan zaman selamanya! - Berita Harian, 11 Mei 2011

Monday, May 02, 2011

Buku apa yang rakyat Malaysia baca?

Penerbit   utamakan karya picisan ketika kerajaan komited galak rakyat terus membaca

MINAT membaca  rakyat Malaysia meningkat sedikit berbanding beberapa tahun sebelumnya. Jika dulu  mereka membaca beberapa helai muka surat setahun, kajian terbaru menunjukkan mereka membaca  dua buku setahun.

Bagaimanapun data yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) amat mengejutkan. Statistik penerbitan menunjukkan penurunan yang mendadak. Pada  2008, sebanyak 16,044 naskhah direkodkan, manakala pada  2009 jumlah penerbitan agak menurun   kepada 15,767 naskhah dan 15,756  pada 2010.

Jika minat membaca semakin meningkat dan bahan bacaan yang diterbitkan semakin menurun, apakah mungkin disebabkan pendedahan kepada media baru atau rakyat Malaysia semakin terdedah kepada bahan bacaan dari luar negara?

Persoalan lain yang timbul, apakah bahan bacaan yang paling diminati oleh rakyat Malaysia? Karya serius atau popular? Bacaan ilmiah dan bermutu atau sekadar karya ringan yang tidak banyak membantu pembentukan akhlak generasi Malaysia?

Seperti lazimnya, setiap April dan Mei, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menampilkan ribuan judul untuk pengunjung. Bagaimanapun bahan bacaan yang bagaimana banyak dipamerkan? Bacaan yang bagaimana pula paling menarik minat rakyat Malaysia?

Persoalan karya serius dan karya remeh sering menimbulkan polemik dalam kalangan ahli kaji sosial. Membangunkan sesebuah bangsa dunia ketiga memerlukan karya yang baik kerana tidak mungkin ilmu dan proses pencelikan akal datangnya daripada karya pinggiran. Bagaimanapun ini yang banyak terjadi sekarang. Karya popular -- novel   yang   ringan isinya serta   buku agama yang tidak berlandaskan kepada sandaran akademik menjadi tumpuan ramai.

Kita terlalu mewah dengan novel cinta dan pergolakan remaja berbanding karya besar seperti Hujan Pagi, Salina, Ranjau Sepanjang Jalan dan Interlok. Kita terlalu banyak buku bercerita masalah jin, jimak dan isu Imam Mahadi  berbanding karya yang memaparkan asas pemikiran Islam pada era globalisasi. Lebih malang juga kita terlalu ke depan dari segi penerbitan buku politik yang sekadar tohmahan  siasah sedangkan  masyarakat sepatutnya didedahkan dengan bacaan bermutu yang bakal mengisi minda mereka sepanjang hayat.
Ketika kerajaan sedang komited untuk menggerakkan penerbitan dan menggalakkan rakyat terus membaca, pihak penerbit pula perlu memberi  perhatian kepada karya yang lebih berakal.  Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan semua pemain industri buku untuk mencapai sasaran penerbitan sekurang-kurangnya 26,000 judul buku setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hasil pengeluaran penulisan perlu digembleng kerana  kini hanya  16,000 judul buku diterbitkan  setahun.
"Yang penting adalah untuk mendapatkan seberapa ramai  penulis dan sudah tentu penerbit juga kerana dengan cara itu hasil karya yang dikeluarkan mendapat sokongan dan bermutu," katanya  selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 ke-30. 

Beliau memberi  jaminan agensi kerajaan yang terbabit  akan terus mengeratkan lagi kerjasama dengan sektor swasta di bawah industri buku untuk  membuat 'pemetaan' penerbitan  bagi mencapai sasaran tersebut.

  Penulis buku tempatan kini boleh memohon modal untuk memulakan penerbitan daripada Dana Penulis yang disediakan  PNM berjumlah RM2 juta. Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata dana itu diberikan kepada penulis yang menghasilkan karya seratus peratus.

"Penulis boleh menghantar terbitan mereka kepada PNM, jawatankuasa yang  diwujudkan akan menilai buku  berpandukan syarat yang  ditetapkan," katanya.

Beliau berkata penulis yang layak bakal menerima RM25,000 dan PNM akan membeli serta mengedarkan buku tersebut kepada perpustakaan desa di seluruh negara.
   
Mengenai Kempen Membaca, beliau berkata sebanyak 8,000 aktiviti membaca setahun diadakan di seluruh negara bagi meningkatkan minat membaca dalam  kalangan masyarakat Malaysia. Bagaimanapun bahan bacaan yang dipilih masih menjadi rahsia umum. Membaca tidak semestinya karya yang baik. Justeru, PNM   sewajarnya memantau  bahan terpilih untuk dibaca pada majlis anjurannya pada masa depan agar semua pihak mendapat manfaat.

Ketika negara  kita ghairah berpesta mengenai jualan buku, wajar juga dikaji bahan bacaan yang dicetak rompak daripada luar negara. Banyak buku Hamka terutama Lembaga Budi, Tasauf Moden, Tafsir Azhar, Peribadi dan Kenang-Kenangan Hidup yang diterbit secara meluas dan meragukan.

Ada penulis dari Indonesia yang pernah mempersoalkan isu hak cipta membabitkan karya mereka di Malaysia.  Ada yang mendakwa penerbit Malaysia amat mudah ‘mencetak’ wang hasil karya agama dari negara jiran. Isu ini wajar dipantau bagi mempastikan isu hak cipta tidak sampai meledak ketegangan dua negara  serumpun. - Berita Harian, 2 Mei 2011

Tuesday, April 26, 2011

Melayu baru, mimpi pun bentuk baru

KESAN langsung kejadian 13 Mei 1969 berjaya melahirkan generasi Melayu baru yang  amat mencabar kehidupan tradisional di luar bandar. Jika sebelumnya Melayu ‘selesa’ dengan kehidupan  di kampung dan pedalaman, menjelang awal dekad 1970-an, mereka berhijrah secara drastik ke kota besar terutama di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

 Pengenalan Dasar Ekonomi Baru dan saranan pemilikan ekuiti 30 peratus Bumiputera  dalam sektor industri berjaya mengubah persepsi Melayu yang sebelumnya  sekadar makan gaji atau bekerja dalam bidang pertanian dan tanah rancangan. Proses perubahan dan penghijrahan berjaya membentuk generasi baru yang mempunyai ciri-ciri pemikiran  berbeza dengan orang tua mereka di desa.
 Dua karya Melayu yang lahir selepas merdeka berjaya menjadi anjakan yang menggugah pemikiran lama. Buku The Malay Dilemma karya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1970 mengajak Melayu mengubah sikap dan tidak terus selesa dengan hak istimewa Melayu untuk mencapai kejayaan. Bekas Perdana Menteri juga menyarankan supaya Melayu lebih tekun berusaha dan agama tidak diperalatkan untuk menjadi manusia jumud dan ketinggalan dalam pelbagai sektor. Agama menjadi pedoman kehidupan, bukan meluaskan sengketa sesama insan.

 Bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abul Rahman pula melahirkan idea Revolusi Mental yang menegur bangsa Melayu supaya berubah dari segi cara berfikir tanpa meninggalkan jati diri bangsa. Perubahan sikap menuntut kekuatan  ekonomi dan budaya  selaras  kehidupan bangsa besar di dunia.

 Menjelang dekad 1980-an, proses  penghijrahan berjaya membentuk penempatan Melayu yang dilengkapi pelbagai prasarana. Peluang pendidikan, pelaburan dan perusahaan berjaya membentuk Melayu baru yang berdaya saing.  Ciri-ciri tradisional Melayu secara tanpa sedar mulai terhakis. Budaya muafakat, gotong-royong, perasaan bersama dan ciri-ciri kekeluargaan mula dipersoalkan sesetengah pihak.
 Ketika Melayu berdepan cabaran untuk menguasai peluang ekonomi, pelaburan, politik dan pendidikan, mereka juga berdepan krisis identiti untuk mempertahankan jati diri bangsa. Nilai murni yang diwarisi berzaman tercabar dengan ledakan persekitaran baru. Peluang ekonomi yang tercetus hasil Dasar Ekonomi Baru, tidak sedikit melahirkan broker Melayu yang akhirnya selesa sebagai Ali Baba di sektor perusahaan.
 Dalam kalangan ahli politik pula, ruang untuk pembelaan bangsa Melayu dijadikan pentas untuk mengekalkan kuasa atau mempergunakan kuasa untuk kepentingan yang lain. Perseteruan antara kelompok siasah menjadikan Melayu baru lebih selesa bergeser daripada mengutamakan kekuatan dalaman seperti yang dimiliki masyarakat terdahulu.
 Perbezaan ketara antara Melayu baru dengan kaum Cina ialah  cara menanggapi pengikut masing-masing. Kaum Cina sejak 1700  membentuk sistem kongsi untuk menjaga kepentingan kumpulan mereka. Dari sinilah lahirnya istilah ‘kongsi gelap’  apabila ada yang menggunakan cara yang tidak sah untuk meneruskan kehidupan.  Pemodal yang berjaya menikmati hasil bumi di Tanah Melayu membantu kaum   mereka untuk turut  mencapai kejayaan. Isu modal dan peluang pelaburan jarang menjadi rungutan mereka. Berbeza dengan  Melayu baru yang mencipta dan mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga. Pengikut mereka akan setia sebagai penyokong tanpa banyak peluang untuk mencipta kekayaan ekonomi. Masalah ini terus berlanjutan dan sampai kini pun kita mendengar peniaga Melayu merungut  kerana tiada peluang   untuk meneruskan perniagaan apatah lagi  untuk bersaing bersama bangsa lain.
 Pembentukan imej Melayu juga memberi kesan dari segi sosial. Kenduri kahwin dan majlis keraian sudah berbeza dengan masyarakat terdahulu. Penulis menghadiri tiga majlis selang beberapa minggu dengan pelbagai situasi yang cukup unik. Majlis meraikan seorang  kenalan yang  baru bergelar ‘datuk’ di sebuah hotel amat menarik dicatat. Tetamu bukan saja dijamu dengan hidangan lazat, bahkan ada konsert ‘live band’, baca sajak, selawat, tayangan slaid, pengkisahan peribadi dan cenderamata istimewa. Tetamu istimewa tentunya bergelar Tan Sri yang menguasai sebuah syarikat pelaburan kerajaan. Dalam dua majlis kenduri kahwin di dewan yang cukup agam, tetamu bukan saja mesti membawa kad jemputan, juga diisyaratkan memakai batik dan memastikan jumlah anggota keluarga yang bakal hadir. Penulis juga dimaklumkan majlis turut dihadiri bekas Perdana Menteri dan bakal dirakamkan untuk tayangan stesen televisyen swasta. Turut hadir  16 wakil wilayah dari Indonesia termasuk yang bertaraf bupati (gabenor).
 Jika dulu majlis keraian dan kenduri kahwin masyarakat Melayu membabitkan kerjasama penduduk setempat dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi tetamu, keadaan kini sudah jauh berubah. Hak eksklusif pengendali majlis lebih diutamakan dan   mereka juga menentukan tetamu yang bakal dijemput. Jika dulu majlis kenduri dimeriahkan oleh suara penanggah, tukang masak, emak andam dan saudara mara, majlis kini sudah bertukar menjadi serius dan formal. Ia semakin kaku dan  bisu. Ia juga mungkin sebahagian daripada citra Melayu baru yang semakin kaku dan bisu menanggapi kehidupan moden di kota yang semakin mencabar.

 Jika ada yang bertanya kesan 13 Mei kepada sebahagian besar bangsa Melayu, jawapannya ialah Melayu sudah berubah. Bukan saja dari segi ekonomi dan politik, juga cara bermimpi dan bersahabat! - Berita Harian, 26 April 2010

Tuesday, April 19, 2011

Nik Aziz masih kebal

KETIKA tumpuan massa kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 sekarang, PAS pula mempergiatkan kempen dan ceramah politik di Kelantan. Jika sebahagian besar ahli UMNO membantu kempen di Bumi Kenyalang, PAS dengan jentera kerajaan negeri yang sudah 21 tahun mentadbir Kelantan menemui rakyat dan memberi penerangan untuk  meneruskan sokongan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dianggap pemimpin contoh.

 Dalam strategi peperangan, menyerang hendap musuh yang leka adalah peluang terbaik untuk mencapai kemenangan. PAS mengambil pendekatan yang digunakan Adolf Hitler  untuk meranapkan UMNO Kelantan yang masih belum pulih daripada sikap berpuak-puak dan mengutamakan kepentingan kabilah sendiri. PAS menyerang ketika UMNO leka melihat perkembangan politik di Sarawak ketika ini.
 Sumber PAS memberitahu, tidak kurang lima ceramah dianjurkan serentak setiap malam di setiap  jajahan di Kelantan. Bayangkan betapa aktifnya parti pembangkang itu untuk mempertahankan kekuasaan di Negeri Darulnaim  ketika UMNO masih belum serius untuk merampas semula Kelantan yang tewas sejak 1990.
 UMNO mungkin sekadar berbangga dengan kempen Gelombang Merah yang didakwa mampu menarik 400,000 pengundi muda  menyokong Barisan  Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Harapan besar itu tidak mudah dicapai kerana pola pemikiran  pengundi Melayu Kelantan berbeza negeri lain. Cara hidup, sosio-ekonomi dan tradisi pondok mencorakkan perbezaan ketara antara Kelantan dengan negeri lain. Sebahagian besar penduduk Kelantan walaupun didakwa  ‘miskin’ tetapi mempunyai latar belakang perniagaan yang luar biasa. Ramai anak Kelantan menguasai syarikat  di Kuala Lumpur tetapi memilih Kelantan untuk melunaskan bayaran zakat setiap tahun. Ada juga yang menjadi pegawai kanan kerajaan dan ahli profesional di Lembah Klang tetapi masih prihatin dengan sistem siasah di negeri sendiri.

 Ramai  perantau Kelantan  yang membuat keputusan di peti undi di negeri kelahiran sendiri walaupun sudah bermastautin di tempat lain. Keunikan penduduk Kelantan kurang dikaji oleh pimpinan UMNO  negeri sendiri hingga menimbulkan jurang antara pengundi dan penguasa BN peringkat negeri. Kecuaian ini memberi manfaat kepada PAS yang terus mendekati rakyat dengan pelbagai pendekatan menarik.

Ceramah PAS menjadi tumpuan ramai di samping laman web dan media baru yang banyak memberi impak kepada pengundi muda.
 Ada pemimpin UMNO Kelantan sekadar berbangga dengan keputusan pilihan raya kecil  di Manik Urai pada 2009 dan Galas, tahun lalu yang didakwa memihak kepada BN. Tanggapan ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana pilihan raya kecil berbeza pilihan raya umum. Jentera parti dan pelbagai infrastruktur boleh dieksploit pada pilihan raya kecil tetapi mustahil tumpuan diberikan ketika Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dibubarkan.

 UMNO Kelantan sudah melancarkan Gelombang Merah yang bertujuan memperkasakan parti di samping mendedah kepincangan pentadbiran Nik Aziz sejak 21 tahun lalu. UMNO memberi  fokus isu air, tanah dan masalah generasi muda yang bertele-tele. UMNO juga mendedahkan  kepincangan pentadbiran Nik Aziz yang tidak mampu menyelesaikan isu rakyat. Kes salah guna kuasa yang dikaitkan dengan pentadbiran negeri kurang meyakinkan rakyat kerana sehingga kini tiada pendakwaan di mahkamah.

 UMNO juga turut prihatin membantu rakyat miskin di samping menyampaikan bantuan kepada murid cemerlang dalam pelbagai peperiksaan. Bagaimanapun, gerakan ceramah dan aktiviti siasah masih tidak setimpal berbanding kerancakan PAS mendekati rakyat. Program yang baik tanpa  tindakan drastik untuk menemui pengundi tidak membawa hasil yang diharapkan.  Dalam kalangan ahli UMNO Kelantan sendiri pun masih keliru sejauh mana usaha menawan semula Negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi sasaran utama.
 Ramai pengkaji melihat masalah politik Kelantan bukan kerana kekuatan PAS semata-mata, tetapi sukarnya dalam kalangan pimpinan UMNO negeri untuk bekerjasama sesama sendiri. Isu ‘cah keting’ yang berlaku ketika era Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri masih berlaku kepada pimpinan sekarang. Beberapa tokoh negeri yang pernah menjawat tugas menteri tidak lagi aktif menjayakan kempen UMNO Kelantan kerana tidak sealiran dengan pimpinan sekarang. Perseteruan sesama sendiri memberi ruang kepada pembangkang untuk melancarkan serangan kempen yang bertali arus.
 PAS akur  Nik Aziz tidak kebal di Kelantan, tetapi mereka yakin UMNO belum bersedia merampas pentadbiran negeri disebabkan masalah dalaman yang tidak pernah selesai.  Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli  Hassan sentiasa mengingatkan ahli PAS  supaya mempergiatkan kempen dan bersedia menghadapi UMNO.

 “Kita tidak boleh pandang enteng, sebab dari sudut sejarahnya pun, PAS pernah perintah Kelantan, tapi kita jatuh, kita tidak kebal. Dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, kita hampir kalah di Manik Urai dan kalah di Galas," katanya kepada portal pembangkang selepas merasmikan program pemukiman kedua bloger PAS dan Pakatan Rakyat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 Terpulang kepada ahli UMNO Kelantan sendiri untuk menentukan nasib parti ketika rakyat mengharapkan perubahan siasah yang lebih mencorakkan masa depan mereka. - Berita Harian, 19 April 2011

Monday, April 04, 2011

Karya popular vs karya seni

SEORANG penerbit novel bertaraf karya popular kelihatan bangga ketika menceritakan perusahaannya yang bertambah kukuh. “Kami memilih karya yang baik dan digemari ramai.  Kami pilih sasaran pembaca dan  menyertai pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra kerana mengetahui sasaran pembaca,” tuturnya. Beliau berjaya menerbitkan berbelas novel setahun yang sebahagian besarnya menceritakan isu remaja, cinta terhalang, dilema rumah tangga dan masalah wanita moden.

Dia menyediakan peruntukan besar untuk kos percetakan, pengedaran, pengiklanan dan bayaran royalti kepada penulis yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu. Dia tidak peduli sama ada karya yang diterbitkan  bakal dinilai panel Hadiah Sastera Perdana atau tidak.

Yang pasti, selaku penerbit, dia mahu memberi karya kepada sasarannya dan yakin dapat mencatat keuntungan daripada setiap hasil penerbitannya. Dia tidak pedulikan pengiktirafan panel sastera kerana yang penting karya sampai kepada sasaran.
Di mana saja, isu karya popular atau serius sering bertele-tele. Penulis atau sasterawan  sentiasa menjaga kualiti karya dan tidak terjebak melahirkan karya murahan atau popular.
Risikonya amat besar apabila karya  serius dan seni sentiasa hilang khalayak kerana cita rasa sebahagian besar rakyat Malaysia adalah membaca karya popular yang boleh ditelaah dalam masa beberapa jam saja.
Seorang teman yang komited melahirkan karya serius dan bermutu akhirnya terpaksa mengalah kerana karyanya terpaksa dijadikan ‘hadiah’ kepada rakan  kerana tidak mencatat jualan sepatutnya. Bekas Ahli Parlimen DAP kawasan Menglembu, Fan Yew Teng (mendiang) terpaksa mengalah dan kembali ke arena politik menjelang saat kematiannya kerana tidak dapat melariskan jualan karyanya. Fan juga menjadi panel penulis beberapa majalah antarabangsa bagi melahirkan pandangannya kerana mustahil media tempatan menyiarkan idea di luar pemikiran perdana.
Sepanjang suku pertama tahun ini, ada dua buku yang menjadi tumpuan khalayak tempatan. Karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul  A DOCTOR IN THE HOUSE: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad dilancarkan dan dijual pada 8 Mac lalu.
Karya berharga  RM100 senaskhah menjadi bualan umum kerana beberapa isu politik yang dipaparkan sepanjang 22 tahun perkhidmatannya menimbulkan polemik tersendiri. Pro dan kontra isu yang dipaparkan menjadi wacana menarik untuk pengkaji sejarah politik menilai isu siasah dari pendekatan bekas Presiden UMNO itu sendiri.
Bekas wartawan dan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau dikenali Zam menghasilkan Hari Itu Sudah Berlalu yang menceritakan pengalaman pengamal media dalam situasi siasah negara.
Beberapa isu dalaman seperti kejadian menjelang pengharaman UMNO pada 1988 dicatat dengan rapi menerusi perspektif insan di bilik berita. Zam juga mengukir latar konfrontasi Malaysia dan Indonesia serta adegan lucu pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Sukarno di Manila bagi menamatkan krisis dua negara berjiran. Karya memoir kewartawanan ini diadun bersama nota kaki dan fakta  yang boleh dipertanggungjawabkan. Pengalaman peribadinya  bermanfaat untuk pengamal media dan sarjana politik membuat kajian implisit.
Bagaimanapun isu karya serius dan boleh dipertanggungjawabkan bukan sekadar penerbitan. Apakah ia bakal dibeli dan ditelaah  masyarakat?
Jika karya  baik tidak laris di pasaran, apakah ada penerbit  sanggup berisiko menerbitkan karya sedemikian?
Menyedari hakikat ini mendorong kerajaan  memperuntukkan RM2 juta tahun ini bagi membeli secara terus karya dan buku yang ditulis oleh penulis  serta  membantu  mengedarkan karya mereka ke perpustakaan seluruh negara.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yakin  menerusi cara itu peranan orang tengah yang bertanggungjawab mengedar buku dapat dielak, seterusnya membantu penulis menikmati pendapatan  lebih baik.
“Kebanyakan penulis kita tidak boleh hidup dengan menulis sebab orang tengah main peranan dan  mengambil komisyen lebih. Sebab itu kerajaan membuat perancangan semula dengan kita beli terus buku dan edarkan kepada perpustakaan desa dan dengan cara ini kita dapat menggalakkan penulisan buku dan pada masa yang sama menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat,” katanya  selepas merasmikan program Mari Membaca 1Malaysia bersama Ikon Membaca yang juga pelakon  Datuk Michelle Yeoh di Perpustakaan Negara Malaysia  baru-baru  ini. - Berita Harian, 4 April 2011