Pages

Tuesday, April 16, 2013

Kempen pilihan raya ketinggalan zaman

 Malaysia mungkin capai negara maju pada 2020, tapi belum tentu maju politiknya. Kita masih berfikiran lama dalam soal politik, berdebat soal kemakmuran dan keamanan, pada masa sama menyelar lawan siasah sebagai jumud, ejen pelobi Yahudi dan jaguh perkauman.
 Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sepatutnya jauh lebih maju daripada PRU-1 atau PRU-10. Tapi kita masih membawa episod  sama. Masing-masing mempertahankan cara tersendiri untuk mendapatkan sokongan. Masing-masing menggunakan helah yang disebut strategi politik untuk menarik perhatian pengundi.
 Ahli politik dan ejen parti masih menggunakan isu perkauman. Di kawasan Melayu mereka mempergunakan ketuanan Melayu yang tercabar dan siapa yang mengancam perpaduan kaum?
 Dalam kalangan pengundi Islam pula, ada ahli politik  tergamak membuat fatwa untuk mempengaruhi orang ramai, terutama pengikut yang masih jumud.
 Memang, politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Politik sebahagian daripada keperluan menegakkan hukum Allah. Agama juga membenarkan politik untuk mendapatkan kuasa, sekali gus menentukan sesebuah kerajaan yang dibentuk diredai Allah.
Masih wujud amalan lama
 Tapi politik tidak sebut ganjaran pahala dengan menyertai sesebuah kelompok dan ancaman neraka apabila menyertai parti berbeza. Hal yang mengelirukan ini sebahagian besar daripada amalan lama yang wujud ketika Islam baru sampai di Nusantara.
 Tradisi ilmu dan pendidikan pondok yang kini dilengkapi pengajian moden memerlukan pencerahan berfikir. Tidak perlu jumud dan taksub dalam politik kerana pilihan raya adalah wahana untuk mendapatkan kuasa, membentuk kerajaan dan menggunakan kekuasaan untuk rakyat dan negara.
 Malangnya minda Dunia Ketiga masih wujud apabila politik masih membahagikan agama, kaum dan bangsa pada ruang yang terasing.  Keadaan ini memberi ruang kepada anarkis untuk merosakkan keamanan dan kempen pilihan raya  untuk  menyelar pihak lain.
 Kita hanya ada tujuh tahun  lagi untuk memasuki 2020 yang sepatutnya sudah maju dari segi minda dan kerohanian. Amalan politik sepatutnya melihat siasah sebagai medan membaiki keadaan. Malangnya politik baru belum muncul.

 Kempen politik masih sekadar memuji kelompok sendiri dan menyerang pihak lawan. Rakyat jarang diberi peluang berfikir untuk menilai kualiti yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang calon yang bakal dipilih. Lebih malang, tohmahan dan jenaka siasah menjadi agenda penting. Politik Malaysia masih belum dewasa. Kita   belum sempurna demokrasi. Perebutan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih berlegar kepada isu kulit dan bukan isi demokrasi itu sendiri.

 Pengundi perlu berterima kasih kepada Ronald Reagan kerana membenarkan pentadbirannya di Rumah Putih, Amerika Syarikat (AS), menyebar luas penggunaan internet.

 Kempen Pilihan Raya Umum 1999 memasuki era baru apabila pembangkang menggunakan media baru untuk berkempen, sekali gus mencabar dominasi kuasa media tradisional.

Internet dan blog menyebarkan perkembangan isu liwat secara terbuka dan dramatik. Bentuk laporan  tidak menafikan kewujudan unsur salah laku seks, tapi menjadikan pelaku  sebagai hero  media baru. Kejadian yang dianggap benar dan diulang berkali-kali sebagai memperjuang kebenaran, mudah mendapat perhatian umum.

 Kesannya, sebahagian besar Melayu memihak kepada pembangkang pada 1999, berbeza 2008 apabila sebahagian besar Cina menyokong pembangkang dan ada Melayu yang tidak menyukai pimpinan kerajaan ketika itu memihak kepada pihak lawan atau  tidak mengundi.

 Hari ini kebenaran mudah dipersoalkan. Media baru tidak semestinya terbaik jika media tradisional dianggap memihak. Politik bentuk baru sepatutnya berlandaskan arah tuju Malaysia pada  masa akan datang. Rakyat bukan sekadar memerlukan perancangan, juga pelaksanaan pembangunan selaras keperluan nasional. Pengisian moral, ilmu dan nilai amat diperlukan kerana dekad mendatang semakin terbuka persaingannya.

 Masa sudah tiba untuk kita berfikir cara baru. Politik sepatutnya membahagiakan. Politik bukan sekadar berceramah, membuat janji. Kempen pilihan raya di Singapura, Jepun, apatah lagi AS dan Britain tidak lagi menjanjikan pembangunan kerana mereka lebih utamakan insurans kesihatan dan pelan pekerjaan lebih komprehensif. Kita sepatutnya belajar untuk lebih matang dan kelihatan cerdas. Kita harus ke depan, bukan kekal di belakang! - Berita Harian, 16 April 2013

No comments: