Datuk Baharuddin Zainal atau nama pena Baha Zain tenang ketika ditanya mengenai pemilihannya sebagai Sasterawan Negara (SN) Ke-12.
“Ia pengiktirafan terhadap penulis yang berkarya dalam bahasa kebangsaan selain galakan untuk terus berusaha menghasilkan karya bermutu,” katanya.
Anugerah ini suatu pernyataan terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa sama mengiktiraf pencinta bahasa kebangsaan yang berjuang dengan gigihnya.
Ia juga lanjutan pengiktirafan penyair sebagai Sasterawan Negara selepas Usman Awang, Muhammad Haji Salleh dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Sejak akhir dekad 1960-an, genre puisi di Malaysia menerima perubahan mendadak daripada tiga penyair muda. Nama Muhammad Haji Salleh, A Latiff Mohidin dan Baha Zain dianggap pelapis kepada Usman Awang dalam genre puisi.
Jika Usman dianggap sebagai ikon Asas 50 yang memperjuangkan konsep Seni Untuk Masyarakat, Muhammad, Latiff dan Baha Zain tampil dengan imej baru yang di luar lingkungan kepenyairan ketika itu.
Gaya dan pengucapan mereka tidak lagi berlandaskan pantun dan melankolis. Ketika sebahagian penyair dekad 1960-an dan 1970-an meninggikan suara, bombastik membicara isu sosial termasuk Teluk Gong dan krisis bahasa Melayu menerusi Keranda 152, mereka bertiga membawa pengucapan berbeza. Muhammad menampilkan pengucapan daripada pengembaraan berlandaskan intelektual dengan diksi terhad. Latiff polos membicarakan hubungan manusia dengan alam dan Baha Zain pula mengadunkan intelektual, pengalaman alamiah dan kritikan sosial secara terkawal.
Baha Zain di antara penyair yang mempercayai keindahan bahasa boleh mengadunkan kritikan secara analisis. Adunan seni kreatif dan diskriptif meletakkan karya Baha Zain berada di tempat tersendiri.
Kekuatan Baha Zain mula terserlah menerusi puisi Perempuan dan Bayang-Bayang dan Menangguh Kebenaran yang secara langsung menilai keberadaan dirinya di persekitaran sejagat yang mencabar.
Kekuatan karya melayakkan Baha Zain menerima beberapa penghargaan lain termasuk Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) pada 1980, Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia 2004, Anugerah Budaya Gapena 2008 dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) 2011.
Baha Zain pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan meletakkan jawatan pada 1984 sebelum memulakan perniagaan dalam bidang penerbitan.
Dengan penobatan Sasterawan Negara, Baha Zain bakal menerima wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah RM500,000 untuk diedarkan ke sekolah, jabatan dan agensi kerajaan; kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di hospital kerajaan dan kemudahan berkarya.
Sejauh mana Malaysia menghargai sumbangan Sasterawan Negara? Apakah pengiktirafan sekadar sijil tanpa membabitkan mereka dalam pelbagai program kenegaraan?
Sehingga kini tidak banyak pemikiran, idea dan hasil karya mereka dimanfaatkan untuk pembinaan sahsiah bangsa. Hal ini memalukan ketika kita bercakap soal modal insan dan tradisi intelektual, peranan dan sumbangan Sasterawan Negara kurang dihargai.
Sejak 1981, kita mempunyai 12 Sasterawan Negara. Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas dinobatkan 1981, Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Usman Awang (1983), Datuk A Samad Said (1986), Arena Wati (1988), Prof Dr Muhammad Haji Salleh (1991), Datuk Noordin Hasan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996), S Othman Kelantan (2001), Datuk Dr Anwar Ridhwan (2009), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala - 2011) dan Baha Zain.
Usman pernah mempertikaikan penobatan Sasterawan Negara sekadar sebutan di atas kertas kerana sumbangan mereka kurang dihargai pembuat dasar negara.
Beberapa isu kebelakangan ini menjadikan dakwaan Usman hampir tepat. Novel Interlok karya Abdullah bukan saja diperlekeh pihak tertentu, malah ada pihak yang sanggup menafikan statusnya sebagai teks di sekolah kerana bantahan kelompok minoriti.
Suara dan perjuangan Samad pula dipertikai pelbagai pihak apabila beliau berada di luar pemikiran perdana. Kelainan pendapat dianggap membahayakan. Nasib sama juga dialami Shahnon kerana mempunyai pendapat siasah yang berbeza.
Kita wajar menerima karya Sasterawan Negara sebagai iltizam dan pedoman pembentukan jati diri bangsa. Karya dan karyawan sepatutnya dinilai dari sudut intelektual, bukan kerana nawaitu lain. Jika gagal mentafsir makna dan isyarat dalam sesebuah karya berbobot, kita akan terus terpinggir daripada tradisi kecerdikan yang sepatutnya. Kita tidak mahu ketinggalan dan gagal kerana alpa menafsirkan kitab Sejarah Melayu, seperti juga tidak mahu pewaris masa depan kurang menilai intelektual bangsanya sendiri! - Berita Harian, 2 April 2013

No comments:
Post a Comment