Pages

Monday, April 15, 2013

Istana jangan campur pelantikan MB

 Proses demokrasi sekali lagi teruji pada 5 Mei ini apabila 13,268,002 pemilih berdaftar berhak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  bagi menentukan wakil rakyat di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Kematangan dan kewarasan pengundi bakal menentukan sesebuah kerajaan secara adil.
 Sejak era Yunani, demokrasi mengalami pelbagai perubahan, selaras perkembangan tamadun manusia. Abraham Lincoln mengandaikan  demokrasi  sebagai pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

  Ia diperjelaskan oleh Charles Costello bahawa  demokrasi adalah sistem sosial dan politik, dengan kekuasaan pemerintah yang dibatasi hukum dan kebiasaan untuk melindungi  hak perseorangan warga negara.

  Keadaan ini mendorong pembahagian kuasa dalam proses demokrasi membabitkan tiga cabang utama iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan dan kehakiman. Ketiga-tiga cabang berkenaan mempunyai bidang kuasa tersendiri dan tidak boleh mempengaruhi pihak lain.

  Amalan di Malaysia, eksekutif sebagai tunjang kuasa rakyat menjalankan tugas selaras mandat  diberikan menerusi  pilihan raya.

Kuasa rakyat tidak boleh dicabar oleh kuasa perundangan dan kehakiman, seperti juga rakyat tidak boleh menggugat mana-mana kuasa yang bukan hak mereka.

  Hak rakyat amat besar dalam proses demokrasi moden. Rakyat bukan sekadar keluar mengundi dan menentukan sesebuah kerajaan  dibentuk, juga memastikan kerajaan boleh ditewaskan jika aspirasi mereka bertentangan dengan apa dilakukan eksekutif.

  Pengalaman PRU-12 yang membabitkan lima negeri dikuasai pakatan pembangkang tidak berlaku secara spontan. Ia ada kaitan dengan sentimen dan isu semasa yang membabitkan perubahan pimpinan di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Kelantan kekal dikuasai PAS sejak 1990.

  Kuasa rakyat menentukan demokrasi kekal subur, seperti juga kuasa rakyat yang mengekalkan Terengganu dan Perlis dikuasai Barisan Nasional (BN).

Pelantikan jawatan Menteri Besar sepatutnya bukan isu besar.  Calon yang layak bagi negeri beraja tentunya warga negara  beragama Islam, Melayu dan mewakili parti yang mendapat kuasa majoriti di DUN. Bagaimanapun ada beberapa kes pelantikan  Menteri Besar tergendala apabila tidak mendapat restu pihak istana.

  Perkara 14 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, mencatatkan  calon yang layak dilantik   Menteri Besar hendaklah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) yang mendapat kepercayaan kebanyakan ADUN. Kuasa istana menentukan calon yang layak mendapat persetujuan majoriti ahli DUN.

  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1885 pula  memaktubkan hanya Melayu dan beragama Islam layak mentadbir negeri. Perkara 34   Undang-undang Tubuh   berkenaan memperuntukkan kuasa mutlak Raja (Sultan)  melantik Menteri Besar. Ini bermakna Sultan berkuasa memilih seorang Menteri Besar dan tidak semestinya patuh  arahan parti yang menguasai DUN.

  Jika tafsiran ini diterima pakai, akan berlaku polemik siapa yang layak menentukan Menteri Besar di sesebuah negeri? Rakyat atau parti yang menguasai majoriti DUN atau istana?

  Isu ini memerlukan kajian  terperinci kerana kekecohan kes pelantikan Menteri Besar, calon Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri pernah berlaku beberapa kali sebelum ini. Tiada jaminan ia tidak berlaku lagi kerana tafsiran Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan kurang jelas.

  Ketika ada pihak mengharapkan undi untuk kedaulatan demokrasi itu sendiri, polemik pelantikan Menteri Besar boleh berlaku berulang kali apabila saranan pihak majoriti tidak semestinya mendapat perkenan.

  Kita yakin semua pihak  akur dengan kuasa rakyat kerana demokrasi hanya menentukan penubuhan sesebuah kerajaan berasaskan suara majoriti dalam DUN.

  Pelantikan ketua pentadbir negeri mesti mendapat perkenan istana bagi melancarkan pentadbiran dan mengelakkan krisis di antara kerajaan negeri dan institusi itu sendiri.

  Pada peringkat Persekutuan,  Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua  negara  secara undang-undangnya menganggotai  badan perundangan,  eksekutif dan  kehakiman.

  Baginda  mempunyai kuasa budi bicara  melantik Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda   mendapat kepercayaan. Baginda  boleh menggunakan kuasa budi bicara  membubar Parlimen sekiranya ada  permintaan Perdana Menteri.

 Perkembangan yang berlaku pada peringkat Persekutuan perlu dicontohi peringkat negeri. Kecenderungan menidakkan keputusan majoriti boleh menghidupkan semula krisis Perlembagaan. - Berita Harian, 15 April 2013

Thursday, April 11, 2013

13,268,002 pengundi tentukan masa depan

Kematangan dan kebijaksanaan 13,268,002 rakyat Malaysia akan teruji pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini yang akan menentukan wakil untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, membuktikan proses demokrasi kekal subur dan rakyat berhak memilih wakil mereka berdasarkan rekod cemerlang serta individu yang boleh dipercayai memimpin Malaysia menjayakan misi 2020.

 Tentunya tarikh 20 April bukan sekadar hari penamaan calon, bahkan peluang rakyat meninjau kemampuan seseorang tokoh untuk bertanding di sesuatu kawasan berdasarkan prinsip perjuangan dan kualiti kepemimpinan yang dimiliki.

 SPR juga mengumumkan pengundian awal pada 30 April, selain tempoh berkempen selama 15 hari, berbanding tempoh berkempen 13 hari pada PRU-12 pada 8 Mac 2008.

 Sebelum Parlimen dibubarkan 3 April lalu,  komposisi Dewan Rakyat menyaksikan Barisan Nasional  (BN) menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), PAS (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA), masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

 Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak dibubarkan sehingga 5 April dan mengikut  Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

 Berdasarkan daftar pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal, membabitkan 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136  polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).

 Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, PRU-13 bukan sekadar proses demokrasi, bahkan peluang untuk meneruskan kesinambungan masa depan negara. Rakyat tidak mudah terpedaya dengan helah siasah pihak tertentu yang memperjuangkan isu kaum, kepentingan peribadi dan sentimen agama semata-mata untuk meraih undi.

 Sejak 12 pilihan raya umum, rakyat memberi sokongan kepada Perikatan dan BN berasaskan keyakinan meneruskan kecemerlangan dan membawa Malaysia keluar daripada kelompok negara sedang membangun. Dengan tempoh tujuh tahun menjelang 2020, rakyat tidak sanggup menggadai masa depan dengan memberi undi kepada oportunis politik yang kesannya boleh menjerumuskan Malaysia ke kancah kehancuran.

 PRU-13 adalah peluang rakyat menghargai jasa BN yang memperkenalkan pelbagai program transformasi untuk kepentingan semua kaum.

 Manifesto BN sudah dianggap aku janji yang bertujuan membawa Malaysia menjadi  negara maju dan memastikan tiada mana-mana pihak yang terpinggir daripada arus pembangunan. Dengan membentangkan 17 perkara utama mengandungi 156 tindakan khusus, kita yakin BN adalah pilihan terbaik untuk masa depan dan kemakmuran negara.

 PRU-13 boleh dianggap pilihan raya anak muda kerana 42 peratus daripada mereka bakal menentukan kemenangan peringkat Parlimen dan DUN. 

 Suara generasi muda semakin nyaring di media baru dan kita mudah meneka keinginan dan harapan mereka. Sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru. Mereka mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi PRU-13 ialah pengundi baru atau pengundi kali pertama. 

 Persaingan politik terkini berbeza era lampau. Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. Penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu, sebaliknya berasaskan merit hari ini serta wawasan masa depan.

 Isu pendidikan percuma dan peluang pekerjaan sentiasa dicanang pihak tertentu semata-mata meraih sokongan generasi muda. BN tidak terkecuali memberi fokus isu pendidikan dan sudah berjaya menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada semua kaum. 

 Isu semasa termasuk pencerobohan pengganas Sulu di Sabah turut menjadi fokus PRU-13. Keselamatan di timur Sabah terjamin dan rakyat tidak menghadapi masalah membuang undi. Tiga juta penduduk Sabah mengharapkan keamanan dikekalkan dan masyarakat Suluk diakui memainkan peranan dalam pentadbiran dan sektor ekonomi.
 
 Bangsa Suluk mewakili 80,000 daripada 926,638 pengundi berdaftar menjelang PRU-13. Mereka mengharapkan keamanan dan jaminan keselamatan berkekalan di bawah pentadbiran BN.
 Sehingga kini empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang bergolak. Mereka bukan saja menghadapi krisis keyakinan rakyat, bahkan pergeseran  antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menentukan survival politik masing-masing.

Ketika angin perubahan kuat melanda Kedah dan Selangor yang dijangka bertukar kerajaan negeri, pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Kelantan juga semakin goyah. Kewibawaan Lim Guan Eng sebagai pemimpin untuk semua bangsa dipertikaikan. Ramai pengundi Pulau Pinang meragui beberapa projek pembangunan yang dianggap menafikan kebajikan Melayu.  Kawasan perumahan baru di luar kemampuan Bumiputera untuk memilikinya.

 Begitu juga telatah Datuk Nik Aziz Nik Mat yang semakin celupar ketika membuat kenyataan politik. Rakyat Kelantan mahukan perubahan kerana Negeri Cik Siti Wan Kembang ketinggalan pelbagai projek prasarana sejak ditadbir PAS pada 1990.

 Pada PRU-12, BN hanya menang tujuh daripada 45 DUN dan dua daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan. Bersandarkan rekod lampau, PAS takbur dengan kekuasaan menyebabkan rakyat muak.
 PRU-13 adalah peluang untuk membawa perubahan untuk rakyat dan negara. Janji palsu PAS termasuk Lebuh Raya Rakyat belum ditunaikan walaupun ribuan ringgit wang orang ramai dikutip untuk tujuan ‘amal’.

 Menjayakan pentadbiran sesebuah kerajaan bukan sekadar berlakon dan berlawak di pentas ceramah. Seramai 906,282 pengundi  akan menentukan nasib bagi memastikan BN kembali berkuasa dan memastikan Kelantan kembali ke landasan tepat.

 PRU-13 adalah medan menentukan masa depan lebih gemilang. Iltizam politik bukan sekadar mendapatkan kuasa, bahkan bagaimana menggunakan kekuasaan untuk membahagiakan warganya. - Berita Harian, 11 April 2013
 

Wednesday, April 10, 2013

'T' atau 'K' di Kelantan

Seorang kenalan menelefon dari Kota Bharu: “Demo mahu pelekat ‘T’ atau ‘K’?” Penulis tergamam seketika kerana tidak pernah mendengar ada pelekat ‘T’ atau ‘K’ di Kelantan. Kita hanya tahu ada pelekat The Red Warriors yang melambangkan kekuatan pasukan bola sepak Kelantan sejak dipimpin Tan Sri Annuar Musa. Dulu pasukan Kelantan agak sederhana walaupun pernah melahirkan bintang seperti Dali Omar, Mahadi Yusuf, Nik Fauzi dan Hamid Ramli.

 Kini puluhan ribu kenderaan di Kelantan menonjolkan pelekat ‘T’ atau ‘K’ yang membawa maksud ‘tukar’ dan ‘kekal.’ Penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN)  menayangkan pelekat T di belakang kenderaan mereka sebagai kempen untuk menukar kerajaan negeri yang diterajui PAS pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak 1990.

 Penyokong    pembangkang menampal pelekat ‘K’ untuk menunjukkan sokongan terhadap Nik Aziz dan mahu beliau terus mentadbir Kelantan walaupun menghadapi masalah kesihatan.

 Sebelum ini pelekat ‘R’ banyak kelihatan di Kota Bharu yang melambangkan perjuangan menuntut royalti minyak. Pakatan pembangkang memainkan isu minyak bagi memancing sentimen rakyat Kelantan yang didakwa hak mereka diceroboh pemimpin Pusat.

 Ahli UMNO Kelantan serba salah, isu royalti minyak sukar diredakan kerana babitkan kepentingan negeri sendiri yang masih kurang sumber ekonomi.

 Pakatan pembangkang sedar sentimen rakyat amat penting dan isu royalti sebahagian daripada hasrat  memastikan mereka kekal berkuasa, walaupun tidak mampu membawa Kelantan lebih maju.

 Pelekat ‘T’ adalah inisiatif  membawa perubahan di Kelantan. Ia bukan sekadar menukar pimpinan kerajaan negeri, bahkan menukar kehidupan masyarakat supaya lebih berdaya saing dan menikmati peluang ekonomi  lebih baik. Pilihan raya adalah ruang siasah untuk memilih yang terbaik dan menukar  kerajaan yang tidak berdaya saing.  T juga dikaitkan dengan ‘tua’ iaitu usia pemimpin Kelantan sekarang yang tidak lagi produktif.

Kelantan yang mempunyai  95 peratus penduduk Melayu dan Islam menjadi wilayah paling istimewa dalam perkembangan siasah di Malaysia. Ia bukan saja tradisi pondok yang mendominasi pemikiran siasah rakyat, juga membentuk kecenderungan politik keislaman sebagai wadah perjuangan menuntut kemerdekaan.

 Perjuangan Tok Janggut menentang British membangkitkan kesedaran  fahaman Islam amat penting menentang sekularisme dibawa penjajah.

 Kewujudan pondok dan populariti Tok Kenali menjadikan Kelantan sebagai serambi Makkah yang bukan saja melahirkan ustaz dan ilmuwan agama, bahkan perjuangan siasah yang memeriahkan glosari politik di Malaysia.

 Tan Sri Asri Muda sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri dan Menteri Besar Kelantan pada dekad 1970-an berjaya  meletakkan siasah dengan tafsiran baru. Ahli politik bukan sekadar mahir berhujah dan memberi pandangan  bermanfaat, juga mampu membawa aliran Islam dalam pentadbiran kerajaan negeri.

 Kekuatan dan peribadi   Asri mendorong penubuhan  kerajaan campuran di Kelantan pada 1973 sehingga terbentuk kerajaan BN pada peringkat Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum 1974. Kerjasama PAS dan UMNO erat sehingga 1978 yang mendorong  perubahan prasarana pesat di Kelantan. Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Menteri Kewangan banyak meluluskan peruntukan untuk pembangunan prasarana luar bandar.

 Namun, ujian setiakawan BN dan PAS tercetus pada 1977 apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhammad Nasir dipertikai ahli PAS sendiri kerana dikaitkan lebih mesra BN daripada mendampingi Asri. Keadaan ini memuncak persaingan UMNO dan PAS sehingga sekarang.
 Kini T membawa harapan baru kerana rakyat Kelantan mahukan perubahan kehidupan. Tidak wajar   nostalgia dengan era lampau jika kehidupan tidak berubah dan kemudahan prasarana masih pada takuk lama.

 Sejak 2008, BN hanya menang tujuh daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dan dua daripada 14 kerusi Parlimen. 

 Kesungguhan membawa perubahan perlu mendapat sokongan rakyat Kelantan sendiri yang sebelum ini mempunyai keberanian untuk menentukan nasib yang berbeza dengan negeri lain.

Jika mahu berubah, 906,282 pengundi Kelantan     berhak melihat perubahan  dari segi mental dan fizikal. Ia bukan sekadar membentuk kerajaan baru, juga semangat dan idea baru bagi melaksanakan kemajuan Darul Naim. - Berita Harian, 10 April 2013

Rasisme senjata politik moden

Kuasa imperial Anglo-Amerika yang menakluk dunia hari ini berasaskan rasisme. Amerika Syarikat (AS) yang gah meneroka hasil bumi dunia adalah kuasa rasis yang melihat negara lain sebagai boneka.

   AS menggunakan kempen perang menentang keganasan semata-mata mahu menguasai minyak di Iraq dan Asia Barat. AS bimbang Russia dan China menguasai wilayah Teluk yang dianggap kawasan tiga segi emas dalam percaturan ekonomi dan politik dunia.

   Bekas Presiden AS, George W Bush memerangi Afghanistan bukan semata-mata Peristiwa 11 September 2001. Serangan terhadap bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) adalah alasan  menghalalkan keganasan di Afghanistan yang bersempadan dengan wilayah bekas Soviet di Asia Tengah. AS bimbang rejim Kabul kembali dikuasai Russia yang kini aktif semula dalam persaingan kuasa dunia.

   Pencerobohan yang mendapat restu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sekutu Eropah Barat menunjukkan sikap rasis bentuk moden. Mereka menghalalkan perang untuk membunuh masyarakat kulit berwarna dan beragama Islam.

   Hal sama berlaku di Afrika Selatan yang menyebabkan Nelson Mandela merengkok dalam tahanan selama 27 tahun. Britain menggunakan alasan  politik untuk menghalalkan pembunuhan di Afrika Selatan yang kaya dengan minyak dan hasil galian.

   Alasan keselamatan, perpaduan rakyat dan kekuatan Afrika diguna untuk memerangi masyarakat kulit hitam hampir 100 tahun. Dasar Apartheid digunakan untuk meneroka kawasan lombong serta menghalang kuasa komunis di negara berjiran.

   Kuasa imperial Anglo-Amerika yang menakluk dunia hari ini berasaskan rasisme. AS dan Barat menjadi kaya dengan tenaga hamba abdi  dari Afrika. Mereka menggunakan isu sama di Asia.

Serangan terhadap Indochina menggunakan alasan menentang teori domino. Vietnam dileburkan selama 50 tahun, rakyat Kemboja kelaparan dan terperangkap dalam perang saudara hasil perancangan AS, Britain dan Perancis.

  Laos - sebuah wilayah terpencil di Indochina menghadapi krisis kewangan dan ekonomi selama empat dekad. AS kurang peduli nasib Laos kerana potensi ekonomi kurang berbanding kemampuan Vietnam yang kini muncul kuasa penting di Indochina.

    Percaturan kuasa di Semenanjung Korea tidak pernah reda sampai kini. Korea Utara yang disokong Beijing sentiasa dicurigai. Menggunakan alasan keselamatan serantau, AS kerap mengadakan latihan ketenteraan bersama Seoul. Alasannya mempertingkatkan kawalan sempadan Korea Selatan.

   Dongeng sejarah mengenai ancaman komunis diulang tayang berkali-kali sedangkan dunia secara rasmi menolak fahaman berkenaan sejak runtuhnya Tembok Berlin dua dekad lalu.

   Hari ini ancaman perkauman berlaku di mana-mana. Ia bukan sekadar warna kulit dan agama, juga perbezaan wilayah dan benua menjadikan kuasa imperial Anglo-Amerika melihat orang lain sebagai musuh yang berhak dicurigai.

   Kita mudah faham sandiwara mereka kerana tidak mahu melihat bangsa lain berfikir mengenai apa yang berlaku di Asia Barat secara rasional. Rejim haram Yahudi kekal di Israel sejak 1948 hasil sokongan AS dan Barat. Pemimpin Arab yang kritis terhadap Zionis digulingkan.

   Pelbagai alasan digunakan untuk menjatuhkan kuasa Saddam Hussein, Muammar Gaddafi, Hafez al-Assad dan kini anaknya Bashar semata-mata untuk menguasai Asia Barat demi keselamatan Israel.

   Banyak negara Arab yang mengamalkan sistem feudal disokong kuasa imperial Anglo-Amerika. Sokongan berkenaan bukan kerana mereka menyokong sistem feudal, tapi AS yakin banyak Raja Arab yang mudah dikuasai.

   Banyak juga negara di Asia Tenggara yang dimerdekakan secara bersyarat. Walaupun penjajah meninggalkan jajahan, kuasa dan pengaruh ditinggalkan untuk memberi cengkaman sehingga kini.

   Peluang ekonomi dan pelaburan Barat mendapat tempat di Asia Tenggara. Kerajaan yang kononnya dipilih oleh rakyat mesti berkiblatkan Barat kerana naungan ekonomi, perdagangan dan keselamatan.

   Tidak hairan banyak kerajaan yang berlumba-lumba mengadakan latihan ketenteraan bersama AS dan Britain menggunakan alasan keselamatan serantau.

   Niat sebenarnya adalah mengekalkan kuasa imperial secara halus. Negara yang cuba menentang Barat secara terbuka akan menerima nasib berbeza. Sekatan perdagangan dan halangan peluang pelaburan menjadi senjata ekonomi paling berkesan. Tidak memeranjatkan apabila Singapura sentiasa mendapat keutamaan AS, Britain dan Australia. Begitu juga Filipina.

  Justeru, tidak hairan apabila ada ahli politik tempatan menjadi keutamaan AS. Ia sebahagian pelaburan jangka panjang. Strategi politik menghalalkan cara. - Berita Harian, 9 April 2013

Sunday, April 07, 2013

Anwar kirim e-mel

Penulis menerima kiriman e-mel daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengharapkan rakyat membuat keputusan bijak  pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

   Anwar berharap peluang ‘keemasan’ ini digunakan untuk membentuk kerajaan baru yang bukan saja berkesan, malah bebas rasuah dan salah guna kuasa.

   Bagi mereka yang belum mengenali Anwar, tentunya meyakini harapan untuk membentuk kerajaan yang bebas rasuah dan salah guna kuasa berada di tangan pakatan pembangkang.
   Bagaimanapun Anwar agak terkedu ketika diwawancara stesen televisyen Aljazeera mengenai amalan nepotisme dalam PKR – parti yang ditubuhkan oleh ahli keluarganya sendiri.

   Wartawan Aljazeera  pada 3 April lalu bertanya kenapa amalan nepotisme wujud dalam PKR hingga mendorong Anwar, isteri dan anaknya (mungkin dua anak)  bertanding pada PRU-13 ini. Anwar menafikan isterinya bertanding.

Jika pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang melebarkan sayap ke Gelang Patah dalam projek menawan Johor, PKR mahu mengukuhkan strategi politik di Perak. Bagaimanapun, Anwar yang dicanang akan bertanding di Perak, akhirnya membuat keputusan kekal di Permatang Pauh.

      Pengkaji politik melihat tindakan Kit Siang bertanding di tempat lain sebagai langkah taktikal di luar jangka pada saat akhir.

   Ia melambangkan persaingan tersembunyi. Tokoh DAP itu sanggup mempertaruhkan nasib di kerusi Johor yang terkenal kubu kuat UMNO dalam usaha memantapkan sokongan Cina.

   Bukan rahsia umum, PKR Perak masih lemah dan meragukan. Kekuatan PKR sebelum ini dikaitkan dengan kemantapan jentera kempen DAP dan PAS yang mendapat tempat di kawasan Cina dan urban. PKR tidak mempunyai jentera kukuh dan bersandarkan kepada nasib.

   PRU-13 bukan sekadar nasib tapi memerlukan gerakan teratur untuk mendapat sokongan awam.

   Kita boleh mengagak PRU-13 nanti akan membabitkan saingan sengit  BN dan pakatan pembangkang  yang membabitkan PKR, DAP dan PAS untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

   Kajian sebuah badan bebas meramal pakatan pembangkang mungkin kehilangan kuasa di Kedah. Bagaimanapun UMNO juga menghadapi saingan getir dalam kalangan ahli sendiri untuk merebut jawatan Menteri Besar Kedah.

   Sehingga kini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak masih belum menerima senarai calon daripada PAS Pusat.

   Beberapa nama sudah disebut untuk mewakili pembangkang  termasuk adik bekas Naib Presiden PAS,  Datuk Mohd Nakhaie  Ahmad, Datuk Najmi Ahmad bertanding di Baling menggantikan Taib Azamudden yang dilapor tidak sihat.

   Najmi adalah  bekas pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dipercayai mendapat sokongan pengundi muda di Kedah.

   Ketua Pemuda PAS Pusat,  Nasaruddin Hassan Tantawi pula dijangka bertanding di Parlimen Temerloh. Sehingga kini nasib  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah belum dipastikan bertanding mengekalkan kerusi berkenaan atau digugurkan kerana suaranya dianggap di luar pemikiran perdana.

   Nasrudin sebelum ini bertanding di Parlimen Maran pada 2008 tetapi tewas kepada calon BN, Ismail Abd Muttalib dengan majoriti 6,641 undi.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya disebut bertanding kawasan Parlimen Kangar mewakili PKR. Jika jadi kenyataan, beliau dijangka berganding dengan Datuk Dr Haron Din yang dijangka sekali lagi mencuba nasib di  Arau.  

Beberapa tokoh pembangkang dijangka bertukar kerusi termasuk Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli dan Saifud-din Nasution yang terpaksa meninggalkan Kelantan tahun ini.

   Isunya sekarang, sejauh mana rakyat menerima seruan Anwar untuk membawa perubahan sedangkan beliau sendiri masih dikaitkan dengan beberapa isu peribadi. Hanya PRU-13 akan menjadi penentu masa depannya! - Berita Harian, 6 April 2013

Wednesday, April 03, 2013

Ke jalan raya selepas pilihan raya?

Di mana saja berada, kita tidak boleh mengelak dengan soalan: “Bila Parlimen bubar?” Jawapan paling mudah adalah: “Tanya PM (Perdana Menteri), kerana beliau lebih arif!”

 Sejak mandat berakhir 8 Mac lalu, pelbagai pihak membuat andaian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  akan diadakan akhir April ini. Ada pula yang mendakwa Mei atau awal Jun.

 Ada yang menyatakan tunggu selepas Datuk Seri Najib Razak pulang dari Tanah Suci! Orang ramai begitu ghairah bertanya mengenai pilihan raya umum, seperti ghairahnya juga parti yang bakal bertanding dengan mengemukakan pelbagai isu.

 Sebagai sebuah negara demokrasi, pilihan raya hanya sebahagian daripada proses kebebasan yang diperlukan. Selebihnya adalah tanggungjawab memilih pemimpin terbaik daripada parti terbaik.

 Kebebasan dan hak asasi yang diperjuangkan pelbagai pihak tidak akan bererti jika proses demokrasi dicabul dengan unsur ganas, pergaduhan, sengketa kaum dan polemik agama. Pengalaman pasca  Pilihan Raya Umum  8 Mac 2008 membuktikan keganasan kian ketara dalam masyarakat kita.

 Perbuatan sabotaj, ganggu majlis ceramah, sekat kenderaan petugas kempen dan menggunakan media baru untuk fitnah semakin berleluasa. Ada pihak secara terbuka menulis di media baru yang mendakwa  PRU-13 paling sengit dan paling cemar. Alasannya beberapa unsur ganas kerap terjadi secara terancang kerana sikap fanatik kepartian.

 Kita bimbang gejala ini yang bukan budaya rakyat Malaysia akan menjadi kelaziman jika tidak dibendung. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein, memberi amaran supaya semua pihak bertolak ansur dan pasukan keselamatan sedang memantau keadaan.

 Ada dakwaan menyatakan tunjuk perasaan dan rusuhan akan berlaku jika pihak tertentu kalah  PRU-13 ini. Kita yakin pasukan keselamatan mampu mengawal keadaan kerana tidak mahu kejadian silam berulang. Kerajaan wajar memantau  blogger dan portal berita berbentuk hasutan bagi mengelak ketegangan.

 Sejarah menunjukkan pilihan raya kita pernah dicemari beberapa insiden yang tidak sepatutnya.
Ketika  kempen Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969, ada pihak membangkitkan isu Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa  Melayu sebagai Bumiputera dan hak kerakyatan  bukan Melayu. Hal ini menimbulkan  ketegangan apabila pelampau politik mengambil kesempatan menyemarakkan perkauman.

  Perikatan (kini Barisan Nasional)  yang dianggotai UMNO,  MCA dan MIC gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen menyebabkan kerajaan  dibentuk terlalu lemah dan mudah dicabar.  Pembangkang menganggap kemenangan moral buat mereka kerana menafikan kerusi Perikatan, sekali gus menimbulkan ketegangan kaum.  Kerusi Perikatan di Parlimen menurun daripada 89 pada 1964 kepada 66 kerusi.  GERAKAN,  DAP dan PPP  menang 25 kerusi di  Dewan Rakyat,  manakala PAS menang 12 kerusi.

 Pembangkang  meraikan kemenangan pada 11 Mei 1969 dengan menganjurkan perarakan, sekali gus mencabar ketuanan Melayu. Perarakan di kawasan Melayu di Kuala Lumpur menimbulkan isu sensitif menyebabkan keadaan bertambah tegang pada 13 Mei 1969.

 Kejadian tegang juga berlaku di FELDA  Lubuk Merbau pada 18 Januari 1985, ketika kempen pilihan raya kecil Padang Terap. Petugas  kempen bergaduh   membabitkan kematian dan kecederaan  penyokong parti politik. Kita yakin PRU-13 akan berlangsung secara aman dan tiada pihak akan menyokong tindakan segelintir golongan untuk membuat rusuhan.

 Ada yang menulis menerusi blog menyeru orang ramai  turun ke jalan raya jika pilihan raya tidak membawa perubahan. Hasutan sedemikian amat berbahaya kerana kita tidak mahu suasana  damai  dicemari keganasan. 

Era teknologi maklumat  memudahkan sebaran am secara pantas dan menyeluruh. Kita harus berterima kasih kepada   era pentadbiran  Ronald Reagan sebagai Presiden Amerika  Syarikat  ke-40 (Januari 1981 hingga Januari 1989) kerana memperkenalkan internet sebagai wahana perhubungan moden tetapi kita bimbang internet  disalahgunakan akan mengajak orang ramai bertindak ganas jika proses demokrasi tidak memihak kepada mereka.

 Kita yakin sebahagian besar rakyat akan menentukan sokongan secara matang dan  berhemah. Pembubaran Parlimen tentunya memeriahkan sistem kebebasan yang kita pertahankan sejak 1957. Siapa yang jadi calon dan terpilih sebagai pemimpin akan sentiasa diperhatikan. Pemenang sebenar pada PRU-13 ini adalah demokrasi kerana kita mempertahankan kedaulatan negara secara bersama! - Berita Harian, 3 April 2013

Monday, April 01, 2013

Sasterawan Negara jangan sekadar jenama

Datuk Baharuddin Zainal atau nama pena  Baha Zain  tenang ketika ditanya mengenai pemilihannya sebagai Sasterawan Negara (SN) Ke-12.

 “Ia  pengiktirafan terhadap penulis yang berkarya dalam bahasa kebangsaan selain galakan  untuk terus berusaha menghasilkan karya bermutu,” katanya.

 Anugerah ini suatu pernyataan terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu dan pada masa sama mengiktiraf pencinta bahasa kebangsaan yang berjuang dengan gigihnya.

Ia juga lanjutan pengiktirafan penyair sebagai Sasterawan Negara selepas  Usman Awang,   Muhammad Haji Salleh dan  Ahmad Kamal Abdullah (Kemala).     Sejak akhir dekad 1960-an,   genre puisi di Malaysia menerima perubahan mendadak daripada tiga penyair muda. Nama  Muhammad Haji Salleh,  A Latiff Mohidin dan Baha Zain dianggap pelapis kepada Usman Awang dalam genre puisi.

 Jika Usman dianggap sebagai ikon Asas 50   yang memperjuangkan konsep Seni Untuk Masyarakat, Muhammad, Latiff dan Baha Zain  tampil dengan imej baru yang di luar lingkungan kepenyairan ketika itu.

Gaya dan pengucapan mereka tidak lagi berlandaskan pantun dan melankolis. Ketika sebahagian penyair  dekad 1960-an dan 1970-an meninggikan suara, bombastik  membicara isu sosial termasuk Teluk Gong dan krisis bahasa Melayu menerusi Keranda 152, mereka bertiga membawa pengucapan berbeza. Muhammad menampilkan pengucapan daripada pengembaraan berlandaskan intelektual dengan diksi  terhad. Latiff polos membicarakan hubungan manusia dengan alam dan Baha Zain pula mengadunkan  intelektual, pengalaman alamiah dan kritikan sosial secara terkawal.

Baha Zain  di antara penyair yang mempercayai keindahan bahasa boleh  mengadunkan kritikan  secara analisis. Adunan seni kreatif dan diskriptif  meletakkan karya Baha Zain  berada di tempat tersendiri.
Kekuatan Baha Zain mula terserlah menerusi puisi  Perempuan dan Bayang-Bayang  dan Menangguh Kebenaran yang secara langsung   menilai keberadaan dirinya di persekitaran sejagat yang mencabar.
Kekuatan karya melayakkan  Baha Zain   menerima beberapa penghargaan lain termasuk  Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) pada 1980, Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia 2004,  Anugerah Budaya Gapena  2008 dan Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) 2011.

  Baha Zain  pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  dan meletakkan jawatan pada 1984 sebelum memulakan perniagaan dalam bidang penerbitan.

   Dengan penobatan Sasterawan Negara, Baha Zain bakal menerima wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah RM500,000 untuk diedarkan ke sekolah, jabatan dan agensi kerajaan; kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di hospital kerajaan dan kemudahan berkarya.

Sejauh mana Malaysia menghargai sumbangan Sasterawan Negara? Apakah pengiktirafan sekadar sijil tanpa membabitkan mereka dalam pelbagai program kenegaraan?

Sehingga kini tidak banyak pemikiran, idea dan hasil karya mereka dimanfaatkan untuk pembinaan sahsiah bangsa. Hal ini memalukan ketika kita bercakap soal modal insan dan tradisi intelektual,  peranan dan sumbangan Sasterawan Negara kurang dihargai.

 Sejak 1981, kita mempunyai 12 Sasterawan Negara. Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas dinobatkan 1981,  Datuk  Shahnon Ahmad (1982), Datuk  Usman Awang (1983),   Datuk A Samad Said (1986), Arena Wati  (1988),   Prof Dr Muhammad Haji Salleh (1991),   Datuk Noordin Hasan (1993),  Datuk Abdullah Hussain (1996), S Othman Kelantan (2001),  Datuk Dr Anwar Ridhwan (2009),  Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala - 2011) dan Baha Zain.

 Usman   pernah mempertikaikan penobatan  Sasterawan Negara sekadar sebutan di atas kertas kerana sumbangan mereka kurang dihargai pembuat dasar negara.

Beberapa isu kebelakangan ini menjadikan dakwaan Usman  hampir tepat. Novel Interlok karya Abdullah  bukan saja diperlekeh pihak tertentu, malah ada pihak yang sanggup menafikan statusnya sebagai teks di sekolah kerana  bantahan kelompok minoriti.

Suara dan perjuangan   Samad  pula dipertikai pelbagai pihak apabila beliau berada di luar pemikiran perdana.  Kelainan pendapat  dianggap membahayakan.  Nasib sama juga dialami Shahnon  kerana mempunyai pendapat siasah yang berbeza.

Kita wajar menerima karya Sasterawan Negara sebagai iltizam dan pedoman pembentukan jati diri bangsa. Karya dan karyawan sepatutnya  dinilai dari sudut intelektual, bukan kerana nawaitu lain. Jika gagal mentafsir makna dan isyarat dalam sesebuah karya berbobot, kita akan terus terpinggir daripada tradisi kecerdikan yang sepatutnya. Kita tidak mahu ketinggalan dan gagal kerana alpa menafsirkan kitab Sejarah Melayu, seperti juga tidak mahu pewaris masa depan kurang menilai intelektual bangsanya sendiri! - Berita Harian, 2 April 2013

Persenda Uthman El-Muhammady

Kerakusan mengejar kuasa menyebabkan ada pihak yang tidak rasional. Sebuah  laman web menyiarkan laporan menganggap kematian cendekiawan Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai rahmat buat pembangkang.

  Laman web berkenaan mempersenda Uthman sebagai mendiang, seolah-olah menggambarkan Allahyarham bukan Islam.

  Kemarahan terhadap Uthman mudah dimengertikan. Cendekiawan Islam itu begitu lantang menentang gejala sosial dalam masyarakat. Uthman secara terbuka menegur golongan liberalisme dan pluralisme dalam masyarakat.  Teguran Uthman dianggap tidak memihak kepada pihak yang mengamalkan cara hidup bebas dan berkiblat kepada Barat serta zionis.

Bagi mereka yang terjebak dalam salah laku moral dan seks, teguran terhadap liberalisme dan pluralisme dianggap penentangan terhadap hak dan kebebasan demokrasi.  Sejak lima tahun lalu, banyak kenyataan Uthman tidak disenangi dan dituduh sebagai ulama upahan.

  Kita mengerti sejak 8 Mac 2008 rakyat Malaysia mengalami pengalaman paling drastik. Barisan Nasional (BN) bukan saja mengulangi sejarah kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen seperti 1969, bahkan sudah ada pihak yang menterjemahkan era politik baru di Malaysia.

Jika dulu tiada alasan untuk bersuara secara biadab dan menyakitkan hati mana-mana pihak, hari ini kebiadapan sebahagian daripada menu politik yang  dihalalkan. Tiada pihak yang takut untuk bersuara hatta membabitkan isu sensitif kerana mereka yakin kebebasan demokrasi sudah diterjemahkan dalam pelbagai versi.
  Pengamat politik mungkin berpeluang mentafsir era baru gelagat siasah di Malaysia. Politik menghalalkan cara dan tafsiran demokrasi untuk kebebasan bertindak menyebabkan ada pihak yang tergamak menyarankan turun ke jalan raya jika pilihan raya tidak mengubah apa-apa.

  Moral ceritanya, tunjuk perasaan dan rusuhan boleh berlaku jika mereka kalah pilihan raya kerana sistem pengundian yang didakwa tidak telus.

  Kita tidak hairan demokrasi diperalatkan untuk menghalal cara dan matlamat. Malangnya demokrasi juga yang mengubah prinsip perjuangan seseorang individu dan gerakan siasah.

  Datuk Seri Hadi Awang dan PAS tidak lagi bersuara mengenai negara Islam kerana mereka lebih selesa memperjuangkan matlamat penubuhan negara berkebajikan.  Tolak ansur prinsip dan politik menghalalkan cara seperti yang dimahukan Pengerusi DAP Karpal Singh, mendorong PAS tidak menyebut negara Islam kerana mahu memastikan usaha ke Putrajaya tidak terkandas.

  Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin secara lantang bercakap soal sembah derhaka kerana hilang kuasa di Ipoh. Naib Presiden PKR, Tian Chua pula dilapor sebagai menyatakan serangan pengganas Sulu di Sabah sebagai sebahagian daripada sandiwara UMNO.   Lebih malang lagi, ada ahli politik wanita  berani menyatakan setiap insan bebas memilih anutan agama. Bolehkan seseorang Islam meninggalkan ajaran Allah dan memeluk agama lain?
  Hari ini politik menjadi santapan harian rakyat Malaysia. Suara dan kekalutan siasah makin nyaring. Ia bukan sekadar nyanyian Sabah akan hilang tetapi juga aksi dan lakonan yang memeranjatkan.

  Politik moden tidak mungkin terpisah daripada isu moral dan masalah peribadi. Matlamat menghalalkan cara menjadikan isu moral  alat  mempertahankan diri daripada dakwaan konspirasi dan agenda pihak tertinggi.

  Kelebihan bercakap, seni berpidato dan berhujah serta kejayaan mendapatkan kepercayaan media asing sudah menjadi prasyarat berpolitik era moden.

Era ceramah dan mendambakan pembangunan rakyat hampir berlalu. Ahli siasah yang bercakap soal projek, pembinaan jalan raya dan jaminan pembinaan sekolah dan bangunan sudah dicabar dengan isu kebebasan, hak asasi dan demokrasi.  Ramai  terpengaruh dengan perjuangan menentang kemungkaran walaupun yang bercakap tidak terlepas daripada perbuatan mungkar.

Segala-galanya menjadi kalut kerana demokrasi sudah diterjemahkan secara bebas. Memang benar kata pentafsir siasah, buku The Prince karya  Niccolo Machiavelli tidak akan mati kerana pemujanya kekal dari zaman ke zaman! - Berita Harian, 1 April 2013

Friday, March 29, 2013

Imej calon pilihan pengundi

Sejauh mana pengundi muda dan golongan atas pagar menentukan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih menjadi misteri.

 Walaupun perebutan 222 kerusi Parlimen dipertaruhkan, kemenangan  112 kerusi Parlimen membolehkan sesebuah kerajaan dibentuk dengan majoriti mudah.

 Berdasarkan situasi yang berlaku pada PRU-12 pada 8 Mac 2008, kehadiran golongan muda dan atas pagar memberi keputusan di luar jangkaan. Mereka berperanan di 153 kerusi di Semenanjung, 25 kerusi di Sabah, 31 di Sarawak, sementara 13 kerusi di Wilayah Persekutuan.

 Suara mereka berlegar di media baru. Kini dengan 17 juta pengguna internet di Malaysia, aliran maklumat dan ruang perdebatan semakin terbuka.

  Lebih malang apabila laporan media perdana diperdebat secara terbuka, malah ada yang mendakwa sekadar propaganda pemerintah. Suara yang di luar arus perdana boleh dianggap majoriti senyap yang bakal meledak.
Sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru. Mereka mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia iaitu 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi PRU-13 ialah pengundi baru atau pengundi kali pertama. Di tangan mereka bakal menentukan nasib 222 kerusi Parlimen yang bakal memastikan pihak mana bakal menguasai Putrajaya.

 Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO.  Penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu, sebaliknya berasaskan merit hari ini serta wawasan masa depan.

 Dari segi kaum, Melayu masih dominan di  luar bandar yang mewakili 75 peratus daripada kawasan Parlimen. Keputusan PRU-12 menunjukkan  hampir 70  peratus kerusi adalah  kawasan  pemilih Melayu. Keadaan ini memberi pilihan kepada Melayu menjadi penentu di kawasan luar bandar.
 Bagaimanapun, kawasan pinggir bandar dan urban menjadi persaingan sengit. Akses maklumat dan persekitaran ekonomi boleh mempengaruhi pola pengundian. Kita boleh lihat dengan mudah kecenderungan pengundi kawasan FELDA berbanding hasrat yang dimahukan penduduk Kajang, Bangi atau Serdang yang didiami pelbagai kaum.

 Kecenderungan pengundi Sungai Siput memilih pembangkang pada 2008 boleh dianggap contoh nyata. Kekuatan Barisan Nasional (BN) yang dominan di kawasan berkenaan sejak beberapa pilihan raya umum berubah apabila pengundi memihak kepada pembangkang pada 2008.

Melayu (sama ada UMNO atau atas pagar) dan generasi muda yang sebelum ini memihak kepada BN membuat ‘percubaan’ kerana mahukan calon Melayu di kawasan berkenaan. Sebelum 8 Mac 2008, ada pengundi Melayu yang mendesak pucuk pimpinan BN supaya meletakkan calon Melayu di Sungai Siput.Bagaimanapun, setiakawan BN membolehkan calon MIC bertanding di kawasan berkenaan berdasarkan persefahaman tradisi.

 Hasilnya, BN bukan saja kalah di kawasan berkenaan bahkan Sungai Siput kini menjadi kubu kuat pembangkang di  Perak.

 Pada PRU 2004, Sungai Siput mempunyai 46,783 pengundi. Pengundi Melayu 31.46  peratus, Cina (41.35 peratus), India (22.50  peratus) dan  lain-lain (4.69 peratus).

 Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri S Samy Vellu  mendapat 18,797 undi dan diisytiharkan menang, mengalahkan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PKR) yang mendapat 8,562 undi dan calon DAP, Samugam Ponmugam Ponam mendapat 2,864 undi.

 Keadaan berubah pada 2008 apabila  Samy Vellu mendapat 14,637,  Nor Rizan Onn (Bebas, 864 undi –  hilang deposit) dan Jeyakumar (PKR) mendapat 16,458 undi.

 Keputusan berkenaan dijangka tidak berlaku jika BN meletakkan calon UMNO yang mempunyai pengundi Melayu 31.46 peratus berbanding kaum India 22.5 peratus.
 Sehingga kini isu calon menjadi perdebatan umum. Pengalaman pilihan raya kecil Kuala Terengganu membuktikan pengundi semakin selektif. Calon kawasan berkenaan dipertikai secara terbuka termasuk dari segi kewibawaan dan masalah peribadi.

 Belum pernah terjadi dalam mana-mana pilihan raya kecil nama calon mencetuskan perdebatan khususnya dari segi hubungan kemasyarakatan. Pengajaran di Kuala Terengganu perlu dimanfaatkan oleh semua parti politik. Mereka wajar memastikan calon  mempunyai wibawa, dihormati dan mudah didampingi.
 Lebih penting, sejauh mana generasi muda dan pengundi di atas pagar menyokong seseorang calon. Prasyarat ini menjadi kewajipan dalam landskap politik masa kini dan akan datang. - Berita Harian, 29 Mac 2013

Wednesday, March 27, 2013

Uthman El-Muhammady yang kukenali

Lelaki yang berbadan kecil dan kelihatan serius itu  lebih mesra dipanggil ustaz. Ramai pelajar mengakui Dr Muhammad Uthman El-Muhammady bukan sekadar ulama, pensyarah atau guru.  Malah, ada yang menggelarnya ‘ayah’ kerana tidak jemu memberi nasihat dan galakan kepada insan yang lebih muda.

Pengalaman menjadi pelajarnya adalah detik yang menyenangkan. Uthman  ‘mewajibkan’ pelajar lelaki berada di barisan hadapan dalam kelasnya dan wanita di belakang.

 Ketika ditanya, beliau hanya menyatakan lelaki berada di saf hadapan ketika solat dan wanita di belakang.

 Secara berjenaka, Uthman  menyatakan ‘bahaya’ lelaki berada di belakang wanita kerana mata dan akal mereka sukar fokus.

 “Lelaki mempunyai akal yang lebih, tapi kerap disalahgunakan,” tutur Uthman  sinis.
 Beberapa bulan lalu kami bertemu pada majlis kesyukuran  di kediaman seorang ahli korporat kelahiran Kelantan. Uthman kelihatan pucat dan kurang bermaya tapi tetap mesra seperti tiga dekad lalu.

 Penulis beberapa kali menelefon Uthman   ketika isu kalimah Allah begitu hangat diperkatakan. Penulis yakin beliau tokoh berwibawa dan boleh memberi pandangan mengenai sejarah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan kesannya terhadap tamadun ummah.

 Pengalaman Uthman  sebagai ulama besar dan pernah mengiringi  bekas Perdana  Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vatican menjadi kelayakan  beliau mengulas isu kalimah Allah.
 Malangnya, panggilan telefon tidak berjawab dan penulis tidak  menduga kesihatan beliau semakin terjejas.

 Beberapa tahun lalu kami pernah terserempak di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur, Kelantan dan sempat minum bersama. Uthman  seorang yang kuat ingatan dan masih kenal pelajarnya walaupun tiga dekad berlalu.

 Apabila menerima perkhabaran pemergian beliau pada 25 Mac lalu, tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain al-Fatihah dan mengenang semula seorang ustaz yang dihormati ramai.

 Tokoh Maal Hijrah 2005 ini  meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC)  pada jam 7.30 malam akibat sakit jantung.

 Beliau meninggalkan  balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.

 Uthman adalah  pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.

Allahyarham juga  Felo Amat Utama Akademik ISTAC UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 Beliau  dilahirkan di Kampung Telok, Panji, Kota Bharu pada 1 Februari 1943.  Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum  Special Malay Class pada  1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudian menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah. Pada  1963, beliau menuntut di Universiti Malaya  (UM) dan mendapat sarjana muda  dalam Pengajian Islam pada 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat sarjana pada 1969.

 Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga  1973 apabila   kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai penulis dan pendakwah bebas.  Pada  1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana  usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

 Minat kajian beliau adalah di dalam bidang  ilmu Islam dan falsafah Barat. Tidak hairanlah pelajar yang mengkaji sejarah tamadun Barat akan merujuk kepada Uthman apabila timbul isu mengenai peradaban dan krisis pemikiran Barat-Islam.

 Antara karya beliau yang menjadi rujukan adalah    Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali  (Dewan Bahasa dan Pustaka), Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud  (Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan),  Peradaban dalam Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu) dan  Memahami Islam  (Pustaka Aman Press, Kota Bharu).

 Pemergian beliau kehilangan besar bidang akademik dan kesarjanaan Islam. Bagi bekas pelajarnya, beliau guru yang kritikal menganalisis sejarah Islam. Uthman  menempelak buku sejarah yang menuduh  pengasas  Bani Umaiyah,  Muawiyah  Abu Sufyan (602-680)  sebagai penipu sedangkan tokoh Islam berkenaan adalah sahabat Nabi Muhammad yang sudah dijanjikan syurga. “Mustahil seseorang ahli syurga menipu untuk mendapat jawatan khalifah!” tegas Uthman. - Berita Harian, 27 Mac 2013

Monday, March 25, 2013

Sabah akan hilang?

Sehingga kini teka-teki Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menjadi debaran apabila tarikh 8 Mac 2013 berlalu dengan pelbagai pertanyaan. Bila Parlimen yang mempertaruhkan 222 kerusi dibubar? Sejauh mana krisis pencerobohan dan keganasan di Sabah memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dan  pembangkang?

  Jika PRU-12 pada 8 Mac 2008 memberi mandat  kecil kepada BN, senario yang berlaku sekarang amat menarik untuk dianalisis. Datuk Seri Najib Razak yang dilantik Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009 melakukan pelbagai transformasi untuk kepentingan rakyat dan negara.

 Pembangkang pula yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan di kawasan bandar yang didiami majoriti  Cina dengan harapan memecah dominasi BN dan Perikatan sejak 1957.

 Harapan pembangkang untuk menawan Putrajaya bukan mudah. Mereka bukan saja berdepan jentera BN yang semakin kukuh, bahkan menghadapi krisis keyakinan ahli sendiri.

 Pembangkang berdepan krisis kepercayaan dalam kalangan ahli PAS, DAP dan Parti Keadilan Nasional (PKR). Ahli PAS sehingga kini tidak bersetuju dengan isu Bible versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah, bahkan sinikal dengan pemimpin DAP, Karpal Singh  yang secara terbuka mencabar supaya langkah mayatnya jika mahu membentuk pentadbiran Islam di Malaysia.

 Ahli PAS juga kurang yakin isu hudud diperjuangkan dalam kancah politik semasa apabila Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang lebih lunak membicarakan negara berkebajikan dan sengaja melupakan misi menegakkan hudud di Malaysia.

 Hadi dan Menteri Besar Kelantan, Datuk  Nik Aziz Nik Mat kurang tegas dalam isu kalimah Allah dan terpaksa ‘membetulkan’ kenyataan mereka apabila Majlis Syura PAS bertegas tidak membenarkan kalimah Allah diperalatkan pihak lain. Sejarah tamadun Islam tidak pernah menilai persamaan  antara Allah, god, jesus dan lord.

 PKR pula bukan saja berdepan isu moral bahkan sejauh mana pengundi yang menyokong mereka pada 2008 akan kekal bersama Anwar?

 Tindakan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim menyertai PKR selepas  membuat kenyataan menafikan anaknya diliwat pada Jumaat lalu tidak membantu kempen pilihan raya. Masyarakat lebih mempertikaikan kewibawaan Azlan, berbanding bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap mereka dua beranak.

 Jika dulu begitu gah   menyuruh anak  sumpah laknat serta mendakwa mangsa perlakuan seks luar tabii, hari ini insan yang sama berdolak-dalik kononnya menginsafi dosa fitnah. Individu berkenaan hanya dikenali kerana kes mahkamah dan mereka tidak ada apa-apa di mata umum.

 Sehingga kini, PKR gagal mempengaruhi kawasan Melayu. Kemenangan besar di Selangor  pada 2008 adalah hasil sokongan  PAS dan ahli UMNO yang kecewa dengan pimpinan ketika itu. Perubahan suasana politik memberi kesan kepada parti yang bertanding tahun ini. DAP bukan saja dianggap parti perkauman, bahkan perlu membuktikan mereka mesra Melayu.

 PAS pula bergelut dengan krisis identiti – sama ada menjadi  teras ulama atau  wahana reformis muda yang tidak menyokong UMNO berpihak kepada kelompok dominan di Pantai Timur dan utara   Semenanjung.

 Mandat lima tahun kerajaan hampir berakhir dan kerajaan tidak boleh membuat persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana majoriti mudah. Kawasan yang dipertandingkan pada 2008 kekal dengan 153 kerusi Parlimen di Semenanjung, 25 kerusi di Sabah,  31  (Sarawak) dan 13 kerusi di  Wilayah Persekutuan  menjadi perhatian umum.

 Krisis pencerobohan di Sabah mungkin memberi saham kepada perkembangan siasah. Tiga juta penduduk Sabah mengharapkan keamanan dikekalkan dan masyarakat Suluk diakui memainkan peranan dalam pentadbiran dan sektor ekonomi. 

Bangsa Suluk mewakili 80,000  daripada 926,638 pengundi berdaftar menjelang PRU-13. Mereka mengharapkan keamanan dan jaminan keselamatan berkekalan.

 Sebahagian besar mereka tidak menyokong serangan pengganas kerana yakin dengan pimpinan   sekarang. Ketika Anwar begitu seronok menyanyikan ‘Tanya pada Najib, apa sebab goyang... Nanti jawab Najib, Sabah nak hilang,’ pengundi lebih matang menilai masa depan menerusi peti undi.

Pembubaran Parlimen dan DUN bakal memberi kemenangan kepada rakyat kerana demokrasi masih subur. Era propaganda dan  meminta jasa dikenang sudah berlalu.  Najib menyedari keadaan ini kerana yakin rakyat akan memilih yang terbaik. - Berita Harian, 16 Mac 2013

Pak cik melenting, mak cik marah

Doktor yang tekun memeriksa sendi pesakitnya tersentak  apabila ditegur secara spontan. “Saya bukan pak cik. Doktor boleh panggil saya encik atau sebut saja nama penuh saya.” Doktor ortopedik yang  tergamam merenung pesakitnya dan meminta maaf.

 “Saya menghormati encik sebagai pak cik.  Lebih mesra, akrab dan mendekatkan hubungan antara perawat dan pesakit. Kami dilatih untuk berbahasa dan merawat,”  tutur doktor  menguatkan hujah  memanggil pesakit lebih berusia sebagai pak cik atau mak cik.

 Pesakit berkenaan sudah beberapa kali hilang sabar apabila dirinya kerap dipanggil pak cik oleh doktor atau jururawat ketika mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan.

 Dari segi bahasa, sebarang pengucapan mempunyai kedudukan  tersendiri. Ucapan formal dan kekeluargaan perlu dibezakan. Tidak semua  yang dipanggil pak cik oleh anak saudaranya boleh diungkapkan sedemikian oleh pihak lain.

 Dalam konteks masyarakat berbudaya, ungkapan formal dikaitkan dengan urusan rasmi.  Perhubungan dalam bentuk perniagaan berbeza dengan gurauan  kalangan anak-beranak.
 Hubungan doktor dengan pesakit adalah kaitan  antara perawat dengan pelanggan. Doktor wajar mengetahui etika berbahasa walaupun mereka mempelajari sains tulen sejak di sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi.

 Ahli sosial mempersoalkan darjat berbahasa untuk Melayu berbeza dengan Inggeris. Mungkin doktor berkenaan memanggil pak cik dan mak cik untuk pesakit Melayu, tetapi menggunakan ungkapan lebih lunak untuk pesakit asing.  Mungkin saja sir, ma’am dan  madam  jadi sebutan ketika melayan pesakit berbangsa Eropah. Kita perlu ingat nilai pak cik dan mak cik lazimnya lebih rendah daripada sir dan madam!

Abdullah Hassan dalam tulisannya, Sopan dan Santun Bahasa Kebangsaan yang termuat  dalam Wacana Budaya terbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, mengakui kepentingan budaya  berkomunikasi sebagai tatacara kehidupan.

Komunikasi bukan sekadar perhubungan dan penggunaan bahasa yang bermula daripada perkataan dan ayat, juga melambangkan simbol penghormatan  antara penutur.

 Setiap perkataan ada  makna tersendiri. Dari segi semiotik pertuturan ada isyarat dan lapisan makna tertentu. Mempelajari semiotik mendekatkan kita mengenai sistem tanda.

 Darjat manusia tidak sama, begitu juga status kehidupan dan  ruang komunikasi.  Bahasa formal berbeza dengan ungkapan kekeluargaan.  Kita harus membezakan panggilan individu bukan  keluarga dengan hubungan rasmi. Kita memanggil ahli keluarga  dengan bahasa kekeluargaan. Kita menggunakan encik, tuan, Datuk dan Tan Sri sebagai panggilan hormat untuk urusan rasmi.

 Sasterawan Fatimah Busu menerusi cerpen,  28 Disember 2012  yang disiarkan BH   pada 13 Januari lalu mengkritik salah guna ucapan mak cik terhadap beliau:  “Nah, ini tin sup, mak cik...” katanya kemudian.
 “Cik,” Kataku, “tolong gunakan bahasa yang sopan. Saya bukan bekerja jadi pembantu rumah cik !”
“Oh, minta maaf, puan. Ini tin sup, puan. Minta maaf...”

 Fatimah menulis: “Ini bukan kali pertama pegawai yang bertugas membuat imbasan di lapangan terbang mana pun di negara ini tidak tahu menggunakan bahasa yang betul. Kalau di Lapangan Terbang, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, bahasanya lebih buruk lagi. Mereka panggil semua perempuan warga tua dengan panggilan ‘mak’. Pernah suatu kali aku tanya mereka sama ada mereka berasal dari hutan Ulu Kelantan atau hutan sempadan Siam! Ketika mencari tempat duduk atas kapal terbang, pramugarinya datang bertanya kepadaku,
 “Tempat duduk mak cik, nombor berapa ?”
 “Cik,” kataku, “saya ini bukan bekerja jadi tukang sapu atas kapal terbang ini, saya jadi penumpang! Tolong guna bahasa yang beradab.”

Selagi  kurang berbahasa, kita  memandang rendah  penggunaan bahasa yang betul dan sesuai. Kita yakin masalah  ini perlu diatasi segera. Subjek Bahasa Melayu perlu diselitkan dengan asas komunikasi dan etika berbahasa. Belajar bahasa bukan sekadar mengenai ejaan dan tatabahasa, juga nilai sosial yang terkandung di dalamnya.

 Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam sajak Melayu mengulas maksud tersirat:
 Melayu itu kaya falsafahnya,
 Kias kata bidal pusaka;
 Akar budi bersulamkan daya,
 Gedung akal laut bicara.
Berita Harian, 19 Mac 2013

Tuesday, March 12, 2013

Alahai FAM...

Skuad Olimpik 1972 
Tiada siapa yang peduli Edson Arantes do Nascimento, sebelum nama glamornya Pele dijulang sebagai O Rei atau Sang Raja kerana membantu Brazil muncul juara Piala Dunia tiga kali iaitu pada 1958 (Sweden),  1962 (Chili) dan 1970 di Mexico. 

  Ketika dunia bertanya mengenai kehebatan di padang bola, Pele hanya menyatakan kegilaan!  “Bola sepak penuh kegilaan. Kegilaan boleh menjulang nama seseorang atau membunuh kerjaya mereka,” tegas Pele.

  Barangkali kerana kegilaan juga mendorong Diego Maradona ‘meminjam tangan tuhan’ ketika membolosi gawang pasukan England ketika Piala Dunia 1986. “Bola sepak penuh dengan tanggapan gila,” nafi Maradona ketika dunia mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai penyerang dan mengakui menggunakan tangan bagi membantu Argentina muncul juara selepas 25 tahun kejadian berlalu.

   Hari ini kegilaan sebahagian daripada ciri bola sepak moden. Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan mendapat penajaan terbesar dengan separuh daripada tujuh bilion warga dunia menonton sekurang-kurangnya sekali perlawanan ketika temasya berlangsung.

 Malaysia pula tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia. Kita hanya mampu dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 dan 1980 ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipimpin oleh tokoh yang beriltizam tinggi. Malaysia juga menduduki tempat ketiga Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran.

 Kita hairan ketika sebahagian besar rakyat gilakan sukan nombor satu negara itu, mutu bola sepak negara semakin lesu. Apa pun jawatan, kaum, agama, budaya dan status sosial, bola sepak tetap menjadi minat ramai. Bola sepak adalah sukan rakyat yang diterima pelbagai kaum dengan pelbagai jadual perlawanan dan penyertaan yang luar biasa. Malangnya, kita hanya menduduki tangga ke-159 dunia pada 12 Februari lalu, setaraf dengan Maldives dan satu mata di bawah Singapura. Nigeria yang tergolong negara miskin mencapai kemerdekaan bersama Malaysia pada  1957 menduduki ranking ke-35 dunia. Apakah kerana miskin mereka berjaya dalam bola sepak? Ramai pemain Nigeria bukan saja bertandang ke Eropah, bahkan menjadi bintang pasukan yang menyertai Liga Malaysia sekarang. Apakah kerana kita hidup selesa mendorong bola sepak menjadi sukan belasahan semata-mata?

  Kita berkali-kali gagal ke Piala Dunia dan mustahil ke Olimpik lagi. Jika ada pegawai FAM yang mengkritik pasukan bola sepak Malaysia, mereka akan digantung tugas kerana melanggar Artikel 88. Pegawai tinggi FAM yang kesal apabila Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mengkritik skuad kebangsaan, membuat kenyataan media bahawa “Annuar melakukan kesalahan besar kerana mengkritik pasukan sendiri”.

  Alasan berkenaan sebahagian daripada episod lawak FAM yang tidak membenarkan kebebasan bersuara dalam badan sukan itu.  Jika Pele mengatakan bola sepak penuh dengan kegilaan, keadaan di Malaysia pula tidak terkecuali. Tahun ini bukan saja peminat, pemain, jurulatih dan pengadil yang  ke stadium, bahkan sudah ada pihak  tergamak membawa  komando dan kenderaan tentera ke stadium dengan alasan keselamatan.

  Jenaka yang lebih menarik, senjata M16 mengiringi pemain dan pegawai pasukan, menyebabkan penonton tuan rumah bertindak agresif. Malangnya ada pasukan yang didenda kerana kawalan keselamatan yang rendah dan pihak yang membawa komando serta M16 tidak dikenakan sebarang tindakan.
 
Masyarakat berhak mempersoalkan kenapa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya digantung selama enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM18,000 kerana mengkritik mutu pengadilan  Liga Malaysia.

  Keputusan itu jauh berbeza dengan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Annuar, mengikut peruntukan sama kerana melanggar Artikel 88.

“Pegawai FAM kata hukuman gantung enam bulan yang dikenakan ke atas Tunku Ismail paling minimum dan tak boleh rayu. Sebelum ini apabila dia jatuhkan hukuman dua tahun enam bulan ke atas saya dan Annuar, dia kata hukuman itu juga paling minimum dan tak boleh rayu. Mana satu hukuman yang paling minimum?” soalnya.

  Jenaka  perlu ditamatkan demi kepentingan bola sepak. FAM perlu dipimpin oleh tokoh yang bersemangat kesukanan. Ahli gabungan perlu bersatu hati membawa saranan supaya Artikel 88 dimansuh. Lebih penting, sukan untuk mereka yang mahukan kejayaan, bukan  jawatan untuk kepentingan yang lain. - Berita Harian, 12 Mac2013

Friday, March 08, 2013

Pengundi Kelantan pilih PAS?

Lebih 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, Rabu lalu bertafakur sebagai menghormati lapan anggota polis yang terkorban akibat pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Mereka bersama pemain pasukan Kelantan dan Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives,  membaca al-Fatihah sebelum perlawanan bermula 8.45 malam yang membuatkan suasana sunyi sejenak.
 Sikap mereka membuktikan rasional majoriti rakyat Kelantan terhadap isu semasa. Mereka prihatin dan ada yang menitiskan air mata apabila mengenangkan kesedihan keluarga pahlawan yang terkorban demi kedaulatan negara.

Pengorbanan, perjuangan dan semangat wira bangsa mendapat perhatian ramai. Tanpa mengira sempadan politik dan semangat kenegerian, perasaan kekitaan rakyat Malaysia disemarakkan dengan doa agar negara kembali aman dan berdaulat.

  Dalam konteks sosial, masyarakat Melayu Kelantan terkenal dengan sikap terbuka dan mengutamakan tradisi muafakat sebagai landasan mendekatkan hubungan dengan semua pihak. Mereka boleh menyokong sesiapa saja bertanding dalam pilihan raya walaupun membabitkan calon luar, semata-mata alasan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat Kelantan.

  Kehadiran tokoh luar seperti Mohamad Sabu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Dr Mohd Hatta Ramli, Salahuddin Ayub dan Nasharudin Mat Isa membuktikan sikap terbuka penduduk Kelantan. Mereka tidak mungkin menang pilihan raya jika pengundi memilih anak negeri sendiri sebagai wakil rakyat. Keterbukaan mereka membuktikan tiada unsur kenegerian di negeri Cik Siti Wan Kembang.

  Kita yakin sikap rasional ini akan kekal pada hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Calon yang dikehendaki rakyat akan berpeluang menang walaupun kali pertama bertanding.
 
Sepak terajang politik memerlukan analisis lebih teliti.  Barisan Nasional (BN) Kelantan yang menggerakkan kempen Gelombang Merah tentunya belajar daripada pengalaman silam. Beberapa nama besar tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 kerana tidak disenangi pengundi. Latar belakang sebagai Ahli Parlimen bertahun-tahun atau pernah bergelar Menteri dan Timbalan Menteri bukan jaminan untuk kekal mendapat sokongan.

  Cara terbaik adalah mendekati akar umbi. BN kini mengenal pasti beberapa nama yang sesuai dengan kehendak pengundi tempatan dan wajar dipertaruhkan untuk menjawat Menteri Besar jika berkuasa nanti.

  PAS pula bukan kelompok yang tidak bermasalah di Kelantan. Isu bekalan air, ladang rakyat,  pembalakan dan kewibawaan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai pentadbir, diperkatakan secara terbuka.

  Lebih 20 wakil rakyat PAS sekarang dipalitkan dengan pelbagai isu peribadi termasuk skandal kepentingan peribadi dan kurang mesra rakyat.  PAS memerlukan tokoh muda bagi memastikan keyakinan rakyat berkekalan.

  UMNO sebagai parti dominan perlu mengkaji strategi sesuai. Kesilapan 2008 termasuk tindakan seorang pemimpin Pemuda UMNO hadir majlis di Kota Bharu dan meneriak “18 tahun pade doh”  (18 tahun cukup dah) jangan diulangi. Cara sedemikian tidak sesuai dengan masyarakat Kelantan yang mengharapkan penampilan lebih sopan.

 Beberapa tokoh Pusat juga ke Kelantan dengan pelbagai janji pembangunan yang dianggap penduduk tempatan sebagai ulangan cerita lama. Ketika BN merampas Kelantan pada 1978 ekoran krisis penentangan Kumpulan 20 pada 1977 yang menyebabkan PAS tersingkir daripada gabungan berkenaan, UMNO pernah menjanjikan beberapa program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.  Janji lebuh raya selesa dan Pengkalan Chepa sebagai kawasan industri terbesar di Pantai Timur tidak tercapai sehinggalah PAS berkuasa semula pada 1990.
 
  PAS mungkin boleh berterima kasih kepada Nik Aziz yang dianggap tokoh jujur, alim dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah Subuh di Kota Bharu.

Bagaimanapun mentadbir sesebuah negeri bukan berkaitan dengan kealiman dan kejujuran semata-mata. Kewibawaan seseorang pentadbir dan matlamat menjayakan agenda pembangunan memerlukan tenaga mahir. BN lebih mampu menyediakan modal insan terbaik berbanding PAS.

  Halangan utama BN adalah rakyat Kelantan sendiri. Sejauh mana mereka menerima UMNO bergantung kepada  usaha menarik perhatian massa.   Retorik politik bukan cara sesuai untuk menang pilihan raya. Rakyat mahukan isu royalti minyak diselesai secara saksama. - Berita Harian, 8 Mac 2013 

Thursday, March 07, 2013

Sandiwara pengganas Sulu?

Ada dalam kalangan rakyat yang jarang menghargai keamanan apatah lagi bercakap soal patriotik. Hanya ketika terdesak, baharu menyedari perlunya sebuah negara yang aman, bebas dan berdaulat.
  Ketika berada dalam suasana aman, kita seolah-olah terlupa nilai keharmonian, perpaduan dan saling menyayangi bukan datang sendiri. Ia perlu dipupuk dan dipertahankan dari semasa ke semasa.

  Apabila sekumpulan pengganas yang menceroboh Sabah di Lahad Datu pada 12 Februari lalu dan Semporna pada Sabtu lalu, tidak ramai yang menduga kesannya berlanjutan sehingga kini, atau mungkin beberapa minggu lagi. Tidak ramai juga yang mempersoalkan soal jati diri dan kedaulatan sesebuah wilayah yang penduduknya dengan rela hati menjadi sebahagian daripada negeri di Malaysia sejak awal dekad 1960-an.

  Malangnya ada kumpulan manusia yang kononnya pejuang rakyat mengaitkan isu Sabah dengan sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka menggunakan majlis ceramah untuk menyebarkan dakwaan sandiwara itu sedangkan ribuan isteri dan anggota keluarga tentera dan polis yang terbabit dalam Ops Daulat menitiskan air mata, pasrah berdoa dan mengharapkan insan tercinta kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

  Apabila lapan anggota keselamatan terbunuh, ceramah politik yang mengaitkan sandiwara masih berleluasa. Dengan nada megah, mereka menyalahkan kerajaan kerana lambat bertindak dan sepatutnya pencerobohan sejak lebih tiga minggu lalu ditangani dengan segera, termasuk menggunakan kekuatan angkatan tentera dan polis sebagai pemantau di luar lokasi bergolak.

  Pada hari ini, ujian sebenar jati diri dan kesetiaan kepada negara adalah sikap menyayangi dan saling menghargai nilai kemanusiaan yang kita pertahankan. Kemanusiaan dan amalan demokrasi adalah sebahagian daripada pengisian kedaulatan negara.

 Perasaan cintakan pertiwi hanya diuji melalui sikap kita menangani soal kenegaraan secara berhemah dan bersatu hati ketika menghadapi saat genting.  Tidak salah kita berpolitik, berhujah, menyelar dan mengkritik sesuatu isu yang dirasakan menjejaskan kepentingan rakyat. Islam sentiasa membenarkan kelainan pendapat dan perbezaan fahaman. Tradisi ijtihad dan percanggahan idea sebahagian daripada ciri kebebasan yang lahir selepas wujud negara berdaulat yang tercetus dalam Piagam Madinah.

  Apa pun perbezaan pandangan, isu kedaulatan negara perlu dipertahan bersama walaupun kita mungkin berbeza ideologi dan cara menanggapi sesuatu keadaan. Kedaulatan negara adalah di tangan kita sendiri, apatah lagi berdepan tindakan haram sekumpulan pengganas yang  menceroboh Sabah.
Cabul kedaulatan negara lain

  Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat jelas melarang mana-mana pihak mencabul kedaulatan negara lain. Prinsip kedaulatan menjadi milik sejagat yang disahkan menerusi Konvensyen Geneva.

  Setiausaha Luar Filipina, Albert F Del Rosario juga mengakui kumpulan berkenaan sebagai pengganas kerana bertindak di luar batasan perundangan.  Mereka bukan saja memalukan negara sendiri  dengan menceroboh kedaulatan Malaysia, bahkan bertindak di luar peruntukan undang-undang Filipina.

  Perlembagaan Filipina melarang mana-mana rakyatnya menubuh atau membentuk pasukan keselamatan sendiri di samping melarang mereka menceroboh wilayah negara lain walau apa pun alasan yang diberikan. Hubungan serantau dalam konteks ASEAN amat jelas melarang mana-mana anggota mencampuri urusan negara lain.

  Sejak ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN sentiasa mengutamakan kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam usaha mewujudkan suasana menang-menang dalam persekitaran global yang tidak menentu.

  Kita harus berbangga kerana Malaysia mempertahan prinsip berkecuali walaupun pada ketika tertentu beberapa jiran bergolak dalam isu keselamatan. Ancaman pejuang Islam di selatan Thailand dan Filipina tidak pernah kita campuri, malah Malaysia dilantik sebagai pendamai isu pejuang Moro.

  Apabila isu keselamatan dipolitikkan, semakin ketara penangan politik menghalalkan cara diamalkan pihak tertentu di negara ini. Ketika debaran rakyat menanti keamanan dipulihkan di kawasan bergolak, kerajaan melakukan apa saja bagi memastikan maruah dan kedaulatan dipertahankan.

  Tindakan ketenteraan tidak boleh dianggap kezaliman kerana kita mengharapkan Malaysia yang aman dan berdaulat. Kita wajar berdoa Sabah kembali aman dan maruah Malaysia tidak tercalar. - Berita Harian, 7 Mac 2013
 

Wednesday, March 06, 2013

Ke mana pengundi baru?

 Jika dulu kempen secara terbuka dilakukan menerusi majlis ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah, tetapi Pilihan  Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi ‘pilihan raya media sosial’ pertama di negara ini berikutan peningkatan penggunaan internet sebagai mekanisme berkempen.

 Kesannya boleh dilihat dengan jelas sekarang.  Banyak ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk menyalur pandangan, memberi reaksi  isu semasa dan menyelar musuh politik mereka menerusi media sosial.  Penggunaan blog dan  portal berita  mula ketara   ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 pada  8 Mac 2008, berbanding 2004.

 Dari segi sejarah, rakyat Malaysia mula memanfaatkan internet sejak 2 September 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat jawatan dalam parti dan kerajaan.

 Ketika itu banyak laman web  mempertikaikan kepemimpinan negara,  lantang menyokong Anwar, seolah-olah individu berkenaan bebas daripada segala unsur rasuah dan isu moral.

 Seruan mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada setiap petang Sabtu tersebar menerusi internet dan Anwar dijulang sebagai wira yang dijatuhkan kerana unsur politik. Malah, isu liwat, mata lebam dan dakwaan kronisme membabitkan pemimpin utama ketika itu diulang siar berkali-kali, seolah-olah   cerita yang tidak benar menemui kebenaran di media baru.
Internet jadi hakim

 Ketika itu internet sudah menjadi hakim dan pendakwa yang berulang kali menuduh dan mendakwa pihak yang tidak disenangi sebagai diktator, sekali gus mengangkat individu yang disokong sebagai pembela marhaen.

 Rakyat Malaysia juga mula mengenal internet sebagai saluran kempen yang luar biasa, menggantikan surat layang dan ceramah umum yang dianggap semakin terhad dan kurang agresif.

 Suasana politik pada 2003 hingga 2009  ketika  era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi diterjemahkan menerusi media sosial apabila  tohmahan  terhadap  pentadbiran beliau secara terbuka.
 Abdullah bukan saja menerima imej antagonis, bahkan menjadi bahan jenaka dalam kalangan penulis blog.

 Kini dengan  17 juta pengguna internet di Malaysia, aliran maklumat dan ruang perdebatan semakin terbuka apabila media sosial dimanfaatkan untuk berkempen, menyalurkan pandangan serta memberi gambaran bentuk kepemimpinan pada masa akan datang.

 Justeru, tidak menghairankan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaitkan media sosial sebagai bentuk kempen cara baru yang boleh memberi kesan kepada pengundi.

 Kehadiran pengundi muda yang dianggap aktivis media sosial memberi kesan besar terhadap pola pengundian dan calon yang bakal menerima sokongan nanti.

 Generasi muda berbeza golongan lebih dewasa kerana mereka tidak terikat dengan kecenderungan politik tertentu. Mereka bukan saja kurang memahami perasaan mengenang budi secara kepartian, bahkan sinikal dan kritis dalam isu tertentu termasuk pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam.

Fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur  mendaftar sebagai pemilih.

 Angka ini sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia iaitu 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi PRU-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi kali pertama.

 Di tangan mereka bakal menentukan nasib 222 kerusi Parlimen yang bakal menentukan pihak mana bakal menguasai Putrajaya tidak lama lagi.

 Media sosial dengan pelbagai suara dan nada mula memberi gambaran calon bagaimana yang bakal dipilih dan parti mana yang bakal disisih.

 Ahli politik yang gagal memahami isyarat media baru bakal berdepan kesukaran apabila media tradisional semakin dicabar.

 Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO.  Penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu, sebaliknya  berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.

  Perang menerusi media baru  bakal menentukan calon bagaimana akan dipilih. Pengundi hari ini tidak lagi peduli dengan tokoh yang sibuk menabur tar pada jalan becak atau bantuan tandas percuma  menjelang hari pengundian.

 Mereka menilai jati diri dan perjuangan seseorang wakil rakyat selama tempoh perkhidmatan. Wakil rakyat yang gagal memahami  isyarat dari bawah akan berdepan kenyataan pahit di peti undi. Mereka sepatutnya belajar daripada Pilihan Raya  Umum  2008 apabila banyak nama besar kecundang kerana gagal mendapat sokongan pengundi baru terutama golongan atas pagar.

 Media sosial sekali lagi bakal menterjemahkan sejarah baru dalam proses demokrasi di Malaysia! - 6 Mac 2013

Tuesday, March 05, 2013

Saudagar air jampi


Jika menipu boleh dianggap industri paling mudah untuk mendapatkan wang, tentu ramai yang menjadikan penipuan sebagai kerjaya tetap.

 Tanpa memerlukan modal, permit perniagaan dan premis, seseorang boleh menjana keuntungan dengan memperdaya orang ramai  termasuk di ruang saf solat di masjid.

 Dengan hanya bermodalkan air liur dan bahasa tubuh yang meyakinkan, mereka boleh menjanjikan apa saja termasuk   syurga, keberkatan hidup, kekayaan dan panjang umur.

 Sasterawan Marsli NO menerbitkan  kumpulan cerpen  Penipu  (1997) yang secara langsung mengolah kehidupan dunia tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya kepada peribadi dan awam.  

Penipuan hampir menjadi sebahagian   budaya kehidupan moden apabila kita menilai hayat dengan ganjaran kewangan serta kesenangan hidup, bukan dosa dan pahala.

 Hari ini  penipuan diperdagangkan secara terbuka. Ada pihak   menjual air jampi bagi mendapatkan keuntungan lumayan.

 Dengan berbekalkan ayat al-Quran, hadis dan mantera, air jampi dijual secara terbuka kononnya mengelak bala, mudah dapat jodoh, pendinding, cegah santau, pelalau,  gangguan jin dan makhluk halus.

 Penjual air jampi yang lazimnya berjubah, berkopiah dan berjanggut memulakan ‘iklan’ dengan   ayat al-Quran dan memuji kebesaran Ilahi sebagai pendinding  kejahatan yang dihasilkan makhluk halus.

 Ada  yang terpedaya dengan helah penipuan berlandaskan agama, hingga mendorong sesetengah jawatankuasa masjid membenarkan premis  menjadi pusat  jualan air jampi.

Akhirnya agama dikaitkan dengan tahyul. Air jampi, mitos  kesucian dan kebenaran menjadi agenda memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi.

 Kita bimbang apabila agama diperdagangkan, seperti juga penipuan,  menjadi modal untuk meraih pendapatan segera.

 Lebih malang, apabila orang yang bergelar ulama dan lancar menghafaz al-Quran dan hadis, menggunakan nikmat Allah untuk menipu golongan   kurang cerdas.

 Ada pihak yang menubuhkan pusat rawatan Islam kononnya mengubat gangguan makhluk halus dan jin.

Tidak terkecuali juga haji, kiai dan syeikh yang merawat sakit misteri anak dara, janda dan isteri orang kena dakwa di mahkamah kerana mengambil kesempatan ketika menjalankan rawatan cara Islam secara berdua-duaan di dalam bilik. 

 Ada juga tauke restoran yang mempamerkan  ayat al-Quran dan gambar Kaabah  pada dinding kedai makan semata-mata   membuktikan keislaman mereka.

 Lebih memeranjatkan, ada kawasan rawat dan rehat (R&R) dijadikan lokasi menjual air jampi yang kononnya hasil bacaan doa seorang tahfiz sebuah madrasah di Pakistan.

 Tidak memeranjatkan apabila Menteri   Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang  kian berleluasa.

 Isu ini sepatutnya  sudah lama diperdebatkan kerana membabitkan akidah dan penganiayaan awam.
 Dari segi sejarah, perkembangan perubatan Islam berlandaskan al-Quran, hadis dan bacaan doa yang membabitkan pasrah kepada Allah.

Tokoh perubatan seperti Ibnu Sina  (Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina) tidak pernah menjual air jampi untuk menyenangkan hati pesakitnya.

Beliau yang dikenali di Barat  dengan nama Avicenna  seorang pengkaji al-Quran dan sastera sejak remaja sebelum mendalami  bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia dan kosmologi.  

 Sejarah tidak pernah membenarkan penipu menjadi tokoh penting dalam sesebuah masyarakat.
Akal jumud dalam kalangan kita sendiri yang membenarkan penipuan sebagai kegiatan untuk memperdaya orang ramai.

Hari ini ada Melayu   menjadi mangsa perniagaan lembu, lintah, haruan dan kambing yang kononnya mendatang keuntungan lumayan,

 Modus operandi hampir sama – ayat al-Quran, imej jubah dan ketayap dipergunakan untuk menunjukkan kebaikan kepada awam.

 Selagi Melayu masih mempercayai kekayaan segera boleh dicipta sekelip mata, selama itulah bangsa kita kekal terperangkap dengan sihir air jampi yang diperdagangkan    ulama jadian.
 Semangat untuk meraih kekayaan segera menjadi punca Dasar Ekonomi Baru gagal menepati sasaran. Puncanya, Melayu masih bertongkat dalam perniagaan. Air jampi dan dongeng ulama menjadi cabaran usaha membentuk negara berpendapatan tinggi selepas 2020. - Berita Harian, 5 Mac 2013 

Monday, March 04, 2013

DAP utamakan Cina, ketepikan Melayu

Dulu, kini dan selamanya DAP tidak pernah mengutamakan kepentingan bangsa lain kerana lebih mementingkan isu kecinaan. Jika dekad 1970-an mereka memperjuangkan penubuhan Universiti Merdeka yang bertujuan mengetepikan kepentingan bahasa Melayu sebagai pengantar utama, kini mereka masih memperjuangkan isu sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang dianggap tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.

  Mereka sengaja menafikan usaha kerajaan yang sentiasa membuka peluang pendidikan kepada semua kaum, berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan  Filipina.

  Sejak ditubuhkan pada 18 Mac 1966,  DAP lebih mengutamakan isu perkauman dan hak asasi untuk meraih perhatian pengundi kawasan bandar.Parti serpihan PAP di Singapura itu pernah disertai beberapa tokoh Melayu, tetapi akhirnya bertindak meninggalkan DAP kerana tidak tahan kerenah beberapa individu yang menguasai gerakan siasah itu.

  Ramai yang tidak percaya kononnya DAP akan merestui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. DAP akan memilih calon yang boleh mereka kuasai.

  Hasrat DAP mahu bertanding lebih 150 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan mereka akan meletakkan calon Melayu sebagai boneka Perdana Menteri jika berkuasa nanti. Dengan peruntukan kempen perbelanjaan dianggarkan RM15 juta, DAP kini giat turun padang termasuk di kawasan campuran bagi memastikan calon Melayu mereka menang. 

  Pada PRU 2008, DAP bertanding 49 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN dengan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 63 kerusi DUN.

  Bagaimanapun ramai yang sedar tokoh Melayu dalam DAP adalah alat untuk menutup niat sebenar parti perkauman itu. Bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang pada suatu masa dulu begitu naif berfikir bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum, mengetahui keadaan sebenar apabila menganggotainya.

  Pemimpin veteran DAP Melayu, Ahmad Ton pula menyifatkan DAP akan menghadapi masa depan yang kabur jika pemimpinnya tidak meluaskan konsep Malaysian Malaysia.  Sejak 1969, DAP mempunyai enam ahli politik Melayu yang menang dalam pilihan raya termasuk Ibrahim Singgeh  (Tapah Road, sekarang Air Kuning);  Hassan Ahmad (Si Rusa) dan Fadzlan Yahya (Pasir Bedamar), manakala, Ahmad Nor adalah ahli DAP Melayu pertama terpilih sebagai Ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Bayan Baru pada 1990.

  Sasterawan Dharmala NS atau Abdul Muluk Daud pernah menjadi ahli DAP dan mengambil keputusan keluar parti apabila menyedari parti berkenaan memperalatkan Melayu untuk mengaburi niat sebenar. Keadaan sama juga dialami Datuk Zainal Rampak yang pernah menjawat Timbalan Pengerusi  DAP Selangor pada awal 1990-an.

  Abdul Muluk dalam buku  Antagonis Melayu mendedahkan pengalaman peribadi ketika menjadi ahli termasuk menjawat Timbalan Setiausaha Agung DAP.  “DAP hanya dikuasai individu tertentu,” akuinya.

  Beliau menggariskan faktor DAP tidak mendapat sambutan kerana tidak ada pemimpin Melayu yang konsisten dalam parti.  Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri keturunan Melayu gagal menarik perhatian pengundi Melayu.

Mereka sekadar pengikut kepada pemimpin Cina serta terlalu bergantung kepada kawasan Cina untuk menang pilihan raya.   Buku berkenaan juga mendedahkan surat Abdul Muluk kepada Lim Kit Siang bertarikh 20 November 1999.

  “Kita menentang kronisme dan nepotisme, tapi saudara mengamalkan. Kita mahu kebebasan, keadilan, demokrasi dan kerajaan yang baik, tapi saudara membelakangkan prinsip ini,” tegas Abdul Muluk.

  Beliau juga kesal Melayu hanya didekati oleh pemimpin DAP semata-mata untuk mengekalkan status quo mereka.   “Kerana prinsip,  saya mempertahankan bahawa pemimpin Melayu dalam DAP hanya layak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
“Saudara menolak saya menjadi calon di kawasan Parlimen Seputeh atas alasan akan kalah kerana majoriti pengundi Cina. Tapi pada masa sama saudara meminta saya menjadi pengerusi cawangan Seputeh,” tegasnya.

  Krisis dalaman DAP mendorong wujud Team A dan Team B. Abdul Muluk dikaitkan rapat dengan Liew Ah Kim, Wee Choo Keong dan Fung Ket Wing.  Beliau juga rapat dengan Fan Yew Teng,  bekas Ahli Parlimen Kampar (1969) dan Menglembu (1974), serta ADUN Petaling Jaya (1975).  Fan meninggalkan DAP pada 1978 dan menyertai Parti Demokratik Sosial (SDP). - Berita Harian, 4 Mac 2013 

Friday, March 01, 2013

Cah keting UMNO Kelantan

Lebih 20,000 hadir pada Himpunan Perdana Anok-Anok Klate di Perantauan 2013 di Stadium Putra,  Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu. Sebelum ini laungan ‘Gelombang Merah’ dan ‘Tukar’ oleh 10,000 rakyat Kelantan, sebagai simbol kebangkitan rakyat di Kota Bharu.Ia secara jelas gambaran sikap penduduk yang mahu perubahan kerajaan negeri pimpinan PAS sejak 1990.

Hampir 23 tahun PAS mentadbir Kelantan dengan pelbagai kerenah dan drama politik yang menarik. PAS berkuasa kerana UMNO lemah ekoran pemilihan dalam parti pada 1987 di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden parti.

Pertelagahan dalaman menyebabkan UMNO diharamkan pada 1988 dan usaha memulihkan semula parti berkenaan menghadapi pelbagai rintangan. Tengku Razaleigh dan Tunku Abdul Rahman Putra berusaha memulihkan UMNO asal tetapi gagal. Dr Mahathir berjaya menubuhkan UMNO baru yang dikatakan mewarisi semangat parti asal tetapi ditentang pelbagai pihak terutama veteran parti.

Tengku Razaleigh akhirnya menubuhkan Semangat 46 mengambil pendekatan bergabung dengan PAS dan DAP bagi mencabar kuasa BN pada 1990.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin tewas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990 jika ahli bersatu dan menjadikan perjuangan pembangunan bagi memajukan  Negeri Cik Siti Wan Kembang.

PAS berkuasa di Kelantan kerana UMNO lemah dan kesannya dialami oleh rakyat selama 23 tahun. Hari ini, 500,000 penduduk Kelantan berhijrah terutama di Lembah Klang kerana faktor ekonomi dan keselesaan.

Sebahagian mereka menjadikan tempat asing sebagai ‘Kelantan baru’ tanpa mengubah cara penampilan, loghat dan warisan budaya negeri Pantai Timur.

Bagaimanapun, kesetiaan kepada negeri asal tidak boleh dinafikan. Sebahagian besar perantau kembali ke Kelantan pada musim perayaan dan cuti sekolah. Lebih unik sebahagian besar mereka membayar zakat di Kelantan walaupun mencari rezeki di perantauan.

Dari segi politik pula, ramai anak Kelantan lebih cenderung mengundi di negeri kelahiran. Lebih 150,000 perantau dijangka pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Mereka adalah 15 peratus daripada jumlah 900,000 pengundi berdaftar di Kelantan.

Suasana sekarang memihak kepada UMNO jika ahli dan pemimpinnya bersatu. Sikap ‘cah keting’ yang sering diperkatakan wajar dihapuskan demi pembangunan Kelantan  sendiri.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengharapkan rakyat memberi peluang kepada BN.

“Rakyat Kelantan tidak sabar tengok perubahan, tunjukkan kemampuan kita, bersatu dan gegarkan Kelantan, kita boleh bawa kejutan besar,” katanya ketika  berucap di atas lori di depan bangunan UMNO negeri, sempena Pelancaran Konvoi Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (TUKAR) dan Kebangkitan Rakyat.

Harapan Mustapa sepatutnya diterjemah menerusi tindakan. Paling ketara sikap segelintir veteran UMNO masih diragui. Banyak majlis politik dianggap sepi hingga menimbulkan persoalan sejauh mana  ‘cah keting’ tidak berlaku.

Dari segi sejarah, UMNO Kelantan berada di puncak pada era Tengku Razaleigh. Beliau bukan saja menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dan Menteri Kewangan sehingga pertengahan dekad 1980-an, bahkan berjaya menguasai gerakan siasah di Negeri Serambi Makkah itu.

Bagaimanapun, tindakan ‘cah keting’ menyebabkan Tengku Razaleigh tewas dua kali ketika  merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Tun Musa Hitam pada 1982 dan 1984. Ada ahli UMNO Kelantan yang tidak mahu beliau menang jawatan tinggi dalam parti kerana bimbang boleh menjejaskan kepentingan peribadi dengan Pusat.

Pada hari ini, kecenderungan sabotaj parti amat dibimbangi. Pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, ada tokoh UMNO yang sepatutnya tidak kalah tapi tewas kepada lawan yang tidak dikenali umum. Hal sama berulang beberapa kali di Kelantan kerana isu ‘cah keting’ akan menular apabila soal pencalonan, agihan projek dan peluang menjadi rebutan.

Mustapa perlu bersedia menghadapi realiti sebenar masyarakat Kelantan. Bukan semuanya bersama beliau pada majlis rasmi akan mengambil pendirian sama pada hari pengundian.

Tokoh tempatan yang dirasakan tidak sesuai lagi bertanding perlu bersedia memberi tempat kepada muka baru. Jika PAS Kelantan berusaha memilih calon muda yang lebih berwibawa pada pada pilihan raya ini, UMNO wajar meletakkan tokoh yang boleh menang.

Usaha menawan Kelantan akan lebih manis jika isu royalti minyak dapat diatasi secepat mungkin. Ramai jentera penerangan UMNO yang mengeluh apabila mereka gagal menjelaskan secara tepat isu royalti minyak ketika berdepan dengan bakal pengundi. - Berita Harian, 1 Mac 2013