Pages

Friday, August 27, 2010

Kemerdekaan dan kemungkaran sejarah

Sejarah negara perlu ditulis semula elak nama pejuang dicicir

KEMERDEKAAN, perjuangan dan kehidupan seiring jalan. Pejuang kemerdekaan sentiasa subur dalam khazanah sejarah yang akhirnya menjadi legenda untuk sesuatu bangsa. Bangsa yang berdaulat sentiasa menghargai perjuangan wira silam yang jenuh berjuang mempertahankan kebebasan tanah air.

Bagi mereka yang mahu berfikir, tarikh 31 Ogos bukan sekadar perayaan tanpa jiwa. Sudah banyak wira negara yang tersungkur diamuk peluru penjajah ketika berjuang mempertahankan kedaulatan tanah air. Ramai juga yang tidak sempat dicatat nama mereka kerana kemerdekaan dan perjuangan sering berliku.

Kita mempunyai sejarah panjang ketika menuntut kemerdekaan. Ia bukan bermula 53 tahun lalu ketika Tunku Abdul Rahman Putra menjeritkan ‘merdeka’ berulang kali dengan keringat dan air mata pada pagi 31 Ogos 1957. Malah, ia jauh sebelum kelahiran Perdana Menteri pertama.

Kita mempunyai sejarah panjang perjuangan kemerdekaan. Kita mempunyai deretan nama yang cukup abadi dalam jiwa bangsa Melayu. Perjuangan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Tok Sagor, Datuk Maharaja Lela dan sekian banyak nama besar dalam sejarah tanah air.

Mereka berjuang tanpa mengharapkan pujian apatah lagi ganjaran pangkat dan bintang kebesaran. Mereka berjuang kerana perjuangan untuk membebaskan diri daripada penjajahan. Mereka berjuang tanpa menghiraukan bencana yang menimpa kepada diri sendiri. Mereka berjuang dan rela meninggalkan anak dan isteri semata-mata untuk negara tercinta.

Hari ini, selepas 53 tahun merdeka, apakah kita masih mengenang jasa wira negara yang ada di antara mereka mati tanpa pusara? Apakah kita tidak mengenang Adnan Saidi atau Leftenan Adnan yang tega berjuang menentang askar Jepun di Bukit Chandu, Singapura pada 14 Februari 1942?

Masihkah kita ingat perjuangan Rosli Dhoby yang menuntut kebebasan Sarawak daripada penjajah British? Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949. Katakan apa saja gelaran buruk kepada Rosli – pembunuh, penderhaka, pembelot, samseng – sejarah tetap memahatkan namanya dengan tinta emas yang mempunyai nilai tinggi untuk menafsir erti kebebasan.

Hari ini, seperti tahun sebelumnya, kibaran Jalur Gemilang berdiri megah. Panji kemerdekaan mengundang kita mengenang betapa kemerdekaan ini perlu diisi dengan roh dan jiwa kebebasan.

Apalah gunanya kemerdekaan jika kita masih berada di tahap era penjajahan. Pelbagai sumber kekuatan negara mesti digembeling agar Malaysia terus maju. Kehidupan yang pelbagai kaum, budaya dan agama menjadi asas kekuatan Malaysia.

Ketepikan sengketa politik kepartian, mahupun prasangka antara agama, kerana Malaysia maju memerlukan sebuah asas perpaduan yang kukuh dan saling memahami.

Bagi ahli sosiologi, tidak mungkin Malaysia menjadi negara bangsa kerana di antara kita saling disebut Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Siam dan banyak lagi. Tetapi tidak salah kita jadikan kepelbagaian kaum sebagai identiti Malaysia yang terus menapak dalam pelbagai bidang.

Bangsa Melayu mempunyai sejarah agung yang cukup hebat sejak berzaman. Mereka peneroka lautan luas setangkas Panglima Awang yang menjelajah dunia. Mereka juga peneraju kerajaan nusantara. Kesultanan Melayu Melaka tercatat sebagai pusat peradaban penting Asia. Ramai pedagang Arab, Cina dan India mencari rezeki di bumi Melaka. Banyak juga ulama dan ilmuwan Islam yang datang dan pergi bersama khazanah ilmu tidak ternilai.

Takrif Melayu juga mempunyai rentetan yang hebat. Mereka tinggal di tebing Sungai Melayu di Jambi dan Palembang di Sumatera. Buku Sejarah Melayu mencatat kononnya Raja Melaka daripada keturunan Palembang yang menguasai perairan timur dan barat Asia Tenggara. Keturunan mereka melata ke seluruh dunia. Bahasa Melayu Riau ditutur ratusan jiwa di Nusantara.

Kekuatan ekonomi Melayu juga tercatat sebagai punca penguasaan mereka dalam perdagangan dan perusahaan. Sebelum penjajah menceroboh kesejahteraan bangsa, Melayu sudah megah berdiri sebagai pengusaha dan pedagang yang cekap. Temenggung Daeng Ibrahim sudah membangunkan selatan Johor sejak 150 tahun lampau. Dia menggunakan tenaga kerja keturunan Cina dari Singapura untuk membangunkan perusahaannya.

Pembesar Perak seperti Ngah Ibrahim dan Tengku Ismail melombong timah sejak 1860. CL Burns dalam bukunya Capitalism and The Malay States mengesahkan perusahaan timah dimulakan oleh bangsa Melayu dengan bantuan tenaga buruh dari China.

Kekuatan sejarah lampau tidak mampu mengubah keadaan. Hari ini terpulang kepada generasi semasa untuk mengekalkan keamanan negara. Mereka boleh berpolitik, berhujah dan saling menyangkal. Tetapi mereka tidak wajar menjadikan perselisihan pendapat sebagai medan pertembungan peribadi yang boleh menghancurkan kemerdekaan negara.

Perbezaan ideologi adalah sebahagian daripada proses perayaan demokrasi. Kebebasan bermaklumat tidak sewajarnya dijadikan landasan untuk menghancurkan perpaduan yang sudah terjalin sekian lama.

Sebarang isu yang sudah disepakati sejak awal merdeka tidak wajar dipertikai. Hak keistimewaan Melayu tidak wajar menjadi mainan politik kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak. Melayu perlu ada kekuatan ekonomi dan minda untuk terus bersaing dalam pelbagai sektor. Kaum lain pula perlu sedar betapa mereka bertuah menjadi warga Malaysia berbanding negara asal moyang mereka yang tidak lekang dengan bencana alam, wabak dan sengketa perkauman.

Hari ini sejarah kemerdekaan negara perlu dicatat dengan pelbagai sumber baru. Versi kemerdekaan ada masanya mempunyai misteri tersendiri. Ada pejuang sebenar yang sengaja dilupakan namanya. Ada insan yang bukan pejuang dijulang sebagai wira. Ia adalah ketololan sejarah yang sudah diselewengkan. Ketika kita masih ada masa dan menghargai jasa perwira, amat wajar sejarah kemerdekaan dicatat lebih jujur supaya generasi akan datang lebih mengetahui siapakah pengasas kemerdekaan negara. Mereka juga dapat menilai petualang yang berjuang untuk kepentingan peribadi tetapi menggunakan nama negara.

Kemerdekaan, perjuangan dan kehidupan tentunya tidak sunyi daripada harapan untuk mengekalkan keamanan. Kedaulatan negara terletak di hati kita semua. Apakah kita saling mencintai negara ini? - Berita Harian, 27 Ogos 2010

1 comment:

Fakeh said...

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA