Pages

Sunday, February 27, 2011

Rakyat vs diktator

SEJARAH sentiasa digerakkan oleh rakyat terpinggir, bukan kalangan istana dan pembesar yang selesa dengan kehidupan mewah. Sejarah bangsa Arab tidak pernah sunyi daripada aliran darah dan air mata rakyat marhain. Hanya rakyat yang menentukan hala tuju sesebuah bangsa dan negara, bukan kalangan pembesar dan feudal yang sentiasa berusaha untuk mengaut keutungan hasil daripada perjuangan kalangan bawahan.

 Di Semenanjung Arab yang kaya dengan tradisi peradaban, keagamaan dan kebudayaan silam, gerakan untuk menyatukan jiwa rakyat digerakkan oleh kalangan terpencil. Agama Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW berjaya membentuk wadah yang kuat untuk transformasi kehidupan yang lebih baik. Wahyu diturunkan kepada seorang manusia yang amat biasa kehidupannya, bukan kepada kalangan feudal. Ini menunjukkan hanya rakyat yang lebih memahami hasrat agama dan menjadikannya sebagai cara hidup masyarakat.

Sejarah Arab purba (jahiliah) dan era Firaun sekadar catatan perhambaan dan kezaliman yang menidakkan kalangan terbanyak. Pihak yang mempunyai kuasa bertindak untuk mengekalkan kekuasaan dengan pelbagai peraturan, sistem dan dana negara.

Sejak lahirnya tamadun Islam pada era Nabi Muhammad, sistem siasah negara Islam dan Piagam Madinah berjaya mengikat bangsa Arab menjadi bangsa yang besar. Benua Arab menjadi rantau emas yang berjaya mengubah peta peradaban dunia. Tradisi pemikiran dan teknologi Arab menjadi rujukan sejagat. Kemajuan bidang perubatan, matematik dan astronomi amat mengkagumkan.

Umat Islam dan Arab pada era Khalifah Al Rasyidin dan Bani Umaiyah terkenal sebagai peneroka tradisi intelektual, pengasas sistem ekonomi yang saksama kepada semua pihak, di samping bentuk siasah dan sistem hukum yang berlandaskan kepada al-Quran dan hadis.

Perang Salib memberi kesan besar kepada umat Islam di Asia Barat dan Utara Afrika. Kekalahan umat Islam memberi kesan kehadiran penjajah Inggeris, Perancis, Sepanyol dan terkini Amerika Syarikat yang bukan saja menguasai pemikiran siasah dan ekonomi, malahan cara hidup dan perabadaban Islam itu sendiri.

Menjelang abad 20, negara Arab terperangkap antara sistem monarki yang memberi kuasa penuh kepada amir menfaraidkan harta negara kepada keluarga sendiri atau diktator tentera yang berfahaman sosialis mentadbir secara kuku besi.

 Bangsa Arab tiada pilihan lain selain akur kepada raja berkuasa mutlak atau tunduk kepada senjata seperti dilakukan Saddam Hussin (Iraq) dan Hosni Mubarak (Mesir).

Perang Dingin yang tercetus selepas Perang Dunia Kedua memaksa negara Arab berkiblat kepada Amerika Syarikat atau Soviet Union. Lazimnya negara yang ditadbir monarki lebih selesa kepada Rumah Putih, berbeza diktator tentera fahaman sosialis yang berkiblat kepada Moscow. Perang kepentingan kuasa menjadikan kehidupan rakyat lebih terhimpit.

Jiwa rakyat tidak dapat dibendung kerana kedua-dua sistem yang wujud hanya memberi keuntungan kepada pembesar dan tidak kepada awam. Sistem pendidikan, kemudahan asas, sistem ekonomi, kebebasan bersuara dan perundangan menekan kehidupan yang akhirnya memaksa banyak negara Arab bergolak sekarang. Rakyat menggunakan jalan raya, bukan sistem pilihan raya yang boleh dieksploitasi. Rakyat bangkit kerana mereka berhak untuk menikmati kemakmuran negara dan tidak sanggup diperalatkan lagi. Takrif demokrasi bukan sekadar mengadakan pilihan raya, tetapi juga hak untuk bersuara, bertindak dan melaksanakan pandangan massa.

Bukan sekadar Mesir dan Tunisia yang berjaya menumbangkan pemimpin diktator, malahan Bahrain, Yemen, Algeria, Libya dan Iraq terus bergolak. Polis Bahrain terpaksa menggempur khemah penunjuk perasaan di Dataran Pearl di Manama mengakibatkan sekurang- kurang empat orang terbunuh. Kira-kira 50 kereta kebal turut ditempatkan ketika kerajaan cuba menyuraikan demonstrasi bantahan rakyat.

Di Libya pula, ramai  terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan. Laman web pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan pula mendakwa rakyat sedang meraikan 'Hari Kemarahan' di seluruh negara.

Laman web dan kumpulan hak asasi Libya yang beribu pejabat di London, berkata pertempuran antara penunjuk perasaan antirejim Muammar Gaddafi dengan pasukan keselamatan tercetus di timur pekan al-Baida.

"Pasukan keselamatan dan militia daripada Jawatankuasa Revolusi menggunakan peluru hidup untuk membendung kemaraan rakyat," ulas laman web rakyat Libya.

Sementara itu, Perdana Menteri Algeria, Ahmed Ouyahia mengumumkan kerajaan akan menarik balik perintah darurat yang dikuatkuasakan sejak 19 tahun lalu pada hujung bulan ini.
Sebelum ini, Presiden Abdelaziz Bouteflika berjanji untuk menarik balik perintah darurat itu awal bulan ini sebagai sebahagian daripada pakej kompromi untuk menyekat tunjuk perasaan antikerajaan merebak di Algeria.

Selama 19 tahun rakyat Algeria dinafikan hak kebebasan memaksa mereka menjadikan perkembangan di Tunisia dan Mesir sebagai ruang untuk menuntut kebebasan bersuara.

Beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan melancarkan protes di Algiers kerana menuntut hak asasi rakyat. Mereka merancang melancarkan demonstrasi pada setiap Sabtu sehinggalah kerajaan melaksanakan pembaharuan dan demokrasi di Algeria.

Gerakan yang berterusan sekarang memungkinkan teori domino yang diramalkan pemerhati politik menjadi kenyataan. Jika dekad 80-an dan 90-an menyaksikan satu demi satu kuasa komunis tumbang di Eropah Timur, tidak mustahil gerakan rakyat Arab sekarang bakal memberi impak besar kepada politik sejagat pada masa depan. - Berita Harian, 25 Februari 2011

Tuesday, February 15, 2011

Mohamed Bouazizi ikon generasi X,Y,Z

GENERASI muda  menggerakkan jalur politik
 di Mesir seperti yang berlaku di Tunisia sebelumnya.
Diktator pasti tunduk  kepada kuasa rakyat.
SEBELUM Disember lalu, Mohamed Bouazizi hanya anak jalanan yang tidak dipedulikan. Dia mempunyai cita-cita besar untuk mencapai kejayaan, juga mahu melihat demokrasi tercapai di bumi Arab, khususnya di Tunisia. Tapi suaranya tidak dipedulikan kerana dia bukan kalangan feudal atau kerabat diktator Arab. Anak muda hanya dipadang sesama mereka kerana kemudaannya. Dia hanya mempunyai kenalan internet, bukan penguasa di istana agam.

Bagaimanapun, aksi bunuh diri pertengahan Disember bagai halilintar menyambar bangsa Arab yang kaya dengan tradisi keagamaan tapi jahil dalam proses keamanan, kemanusiaan dan hak asasi. Sekali gus meletakkan nama anak muda yang tidak dipedulikan sebelumnya sebagai ikon demokrasi. Rakyat yang selama ini terperangkap antara sistem monarki pro-Barat dan diktator sosialis tentera, bangkit memberontak. Mereka bukan saja memaksa Zine al-Abidine Ben Ali meninggalkan Tunisia, juga meresahkan pemimpin lain di Asia Barat dan Utara Afrika. Mesir, Libya, Jordan dan Yemen sudah timbul penentangan terbuka. Hanya masa yang bakal menentukan sejarah baru bakal tercatat di Asia Barat dan seluruh dunia ketiga.

Wartawan BBC, Jon Leyne menyatakan kebanyakan rakyat tidak melihat mereka boleh mengubah kehidupan mereka melalui aksi politik. Pilihan raya sekadar tayangan demokrasi yang tidak memberi makna apa-apa. Golongan yang berkuasa rakus mencipta kroni dan pelbagai akta untuk mengekalkan kekuasaan. Generasi muda akhirnya mengambil keputusan di jalan raya -- berdemonstrasi, sesekali menjerit dan 'berperang' dengan pasukan keamanan.

Di mana-mana pun di seluruh dunia, hanya anak muda yang sanggup berdepan secara fizikal. Golongan lama, sama ada terperangkap dengan zon selesa atau surut dengan nostalgia, tidak sanggup berbuat apa-apa. Mereka lazimnya konservatif dan penurut kelaziman yang sudah ada kerana mempertahankan sesuatu yang sudah dimiliki.

Sejarah sering mencatatkan nama anak muda sebagai penggerak zaman. Hanya anak muda yang berani berdepan risiko kerana mereka tidak mempunyai apa-apa selain idealisme perjuangan. Hanya anak muda yang menggerakkan sejarah. Hanya anak muda seperti Mao Tse Tong, Aung San Suu Kyi, Cory Aquino, Szeto Wah dan ramai lagi yang berani berdepan dengan penguasa, walaupun risikonya terlalu tinggi. Ada yang sudah berjaya mencipta sejarah, ada juga yang tinggal dalam keranda kenangan.

Hari ini, generasi X, Y, Z dikaitkan sebagai penentu kuasa politik sesebuah negara pada masa depan. Mereka mempunyai pandangan yang amat berbeza dengan generasi lampau kerana lahir ketika era Perang Dingin, ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan.

Don Tapscott dalam bukunya 'Grown Up Digital' meneliti latar belakang generasi X,Y, Z yang mempunyai asas latar yang tersendiri. Generasi X lahir antara 1965 hingga 1976, Generasi Y lahir antara 1977 hingga 1997, manakala Generasi Z lahir selepas 1998. Mereka mempunyai citra tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

Bagaimanapun, mereka disatukan dengan suatu ledakan iaitu teknologi maklumat. Merekalah yang banyak mempunyai jaringan internet, kenalan facebook dan twitter. Mereka jugalah yang kerap membawa laptop dan bertukar pandangan dengan pelbagai pihak tanpa batasan. Mereka menguasai maya dan merayakan kebebasan media baru.

Mereka juga terdedah dengan pelbagai ideologi, tayangan filem, khidmat pesanan ringkas dan menghabiskan masa di kafe siber, kopitiam, berani menyanggah pandangan yang dianggap tidak sesuai. Mereka dianggap generasi internet, manakala generasi sebelumnya iaitu Generasi Baby-Boomer dan Pre Baby-Boomer yang dikaitkan dengan media lama seperti percetakan dan penyiaran.

Di negara kita, suara anak muda agak ketara pada dekad 70-an. Gerakan pelajar dan Angkatan Belia Islam (ABIM) dianggap ikon generasi baru yang dahagakan agama, sekali gus perubahan pemikiran dan pelaksanaan. Revolusi Iran dan kebangkitan Mullah dianggap alternatif kepada fahaman sekular.

Generasi X dan Y pula begitu ketara bertindak pada 1998 dan memberi kesan pada pilihan raya umum 1999 dan 2008. Merekalah yang menentukan keputusan di peti undi tanpa dipengaruhi media propaganda yang sering menjadi kelaziman di negara membangun. Mereka bersuara mengikut keyakinan dan sering meragui laporan media tradisional yang dikaitkan sebagai ejen propaganda.

Sehingga akhir Disember 2010, dianggarkan 70 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 40 tahun. Mereka dikaitkan dengan pelbagai latar pendidikan dan pengalaman yang akhirnya bakal menentukan hala tuju politik pada masa depan.

Sesebuah parti politik yang tidak menilai hasrat dan kemahuan generasi muda bakal mengundang padah. Aspirasi muda sering dianggap majoriti senyap yang bertindak di luar pemikiran arus perdana. Amat malang sekali jika pemimpin politik mengabaikan pandangan generasi X dan Y kerana mereka nanti yang bakal menentukan keputusan sebenar pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Bayangan Mohamed Bouazizi tentunya bakal mengubah persepsi anak muda kita! - Berita Harian, 15 Februari 2011

Tuesday, February 08, 2011

Perkauman citra politik Malaysia

SAMA ada pilihan raya umum diadakan pada masa terdekat tetap menjadi rahsia umum. Hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak saja yang tahu kerana beliau sentiasa memantau suasana dalam negara dan serantau yang bakal menentukan perlunya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Sebagai pentadbir utama negara, Najib memerlukan mandat yang selesa untuk mentadbir   negara dan bukannya kemenangan mudah yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun suasana yang ada sekarang tidak memaksa  Najib mengadakan pilihan raya umum. BN masih kekal memerintah walaupun ada pihak yang masih memainkan pelbagai isu poliitik, perkauman dan tuduhan  peribadi untuk menggugat Najib dan BN. Najib dan jentera kerajaan berjalan lancar dan idea transformasi ekonomi dan pembangunan masih berjalan lancar. Kedudukan ringgit semakin stabil dan pasaran saham tidak tergugat. Aktiviti rakyat berjalan lancar dan tiada sebab untuk mereka diajak untuk memilih wakil rakyat baru ketika ini.

Pilihan raya kecil DUN Tenang, Galas atau sebelumnya Bagan Pinang dan Manek Urai membuktikan momentum  pengundi Melayu   kembali kepada BN. Kecuali di kawasan Parlimen  Kuala Terengganu yang menunjukkan lima peratus pengundi Melayu lari kepada calon PAS  kerana isu terpencil, suasana selepas itu jauh berubah. Malah, ia amat berbeza dengan keadaan  selepas 8 Mac 2008  kerana ada  agenda  16 September untuk merampas   Putrajaya.

Di DUN Tenang, peratus sokongan  pengundi Melayu meningkat dua paratus berbanding pilihan raya umum 2008. Keadaan hampir sama berlaku di DUN Bagan Pinang  dan Galas kerana pengundi tidak nampak pihak lain yang layak untuk menggantikan perjuangan BN dan UMNO untuk membela nasib Melayu.
Beberapa negeri yang ditadbir pembangkang, khususnya Perak (kini kembali ditadbir BN), Selangor dan Pulau Pinang, isu membabitkan Melayu begitu banyak diperkatakan. Masalah tanah yang diambil sesuka hati,  pembangunan kampung baru, isu kontraktor Melayu dan  ketuanan Melayu begitu banyak diperkatakan. Isu Setiausaha Kerajaan Negeri masih tidak berkesudahan.

Malahan, ada wakil yang dipiih   oleh rakyat sanggup melafazkan sembah derhaka, mempertikai pihak istana dan mufti, hingga menyebabkan rakyat   tertanya-tanya; apakah perjuangan mereka  untuk menghakiskan hak Melayu di bumi Melayu? Apakah kerana kepentingan siasah, ada pihak yang sanggup mempertikaikan titah tuanku?

Sejarah membuktikan bangsa Melayu amat setia kepada raja dan adatnya. Mana-mana pihak  yang cuba memainkan isu yang menimbulkan kemarahan istana akan dihukum menerusi peti undi. Tan Sri Mohamad Yaakob hilang kerusi Menteri Besar Kelantan kerana ada masalah dengan istana Kelantan. Pengundi menghukumnya  menerusi peti undi kerana  tidak mahu  tokoh yang dianggap lantang dengan istana. Beberapa tokoh lain juga mengalami masalah yang   hampir sama.
Menjelang 2008, terlalu banyak isu yang dikaitkan dengan pimpinan negara ketika itu menyebabkan BN mengalami kekalahan yang amat drastik. BN bukan saja gagal merampas Kelantan yang sudah 18 tahun ditadbir oleh PAS pimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat, bahkan gagal mengekalkan kuasa di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. BN juga kalah teruk di Kuala Lumpur kerana didominasi oleh kaum Cina.
Kelemahan pemimpin BN sebelum ini menyebabkan kaum Melayu yang selama ini setia dengan UMNO  bertindak menyokong pembangkang.  Perubahan undi (swing) lima peratus menyebabkan BN menjadi mangsa apabila Melayu membuat pilihan menyokong PAS dan PKR. Sebanyak 30 peratus pengundi Cina dan 60 peratus pengundi India membuat perubahan undi pada Pilihan Raya Umum ke-12 menyebabkan BN  menerima nasib yang luar biasa. Ia bukan saja hilang beberapa negeri, juga hilang penguasaan dua pertiga kerusi di Parlimen.

 Angka menunjukkan pengundi Melayu   di  kawasan bandar, urban dan pinggir kota sentiasa kritis kepada BN. Hanya  pengundi di kawasan FELDA dan pedalaman masih  setia dengan UMNO kerana faktor kawasan, sukar mendapat   kemudahan maklumat secara bebas dan pemikiran tradisional. Pengundi Cina sentiasa berani menentang arus dan kaum India pula  bertindak kerana isu tertentu. Kemudahan teknologi maklumat dan media baru memberikan impak tersendiri. Sehingga kini   40 kerusi Parlimen membabitkan kawasan FELDA.  Tentunya ia menjadi pola penentuan pengundi pada pilihan raya umum akan datang  jika pembangkang masih memainkan isu perkauman yang menghiriskan pemikiran tradisional Melayu. Pemikiran dan kecenderungan generasi kedua dan ketiga FELDA pula masih menjadi rahsia umum.

Ramai analis politik melihat perubahan sikap pengundi India pada 2008  ada kaitan dengan isu ekonomi dan sosial mereka yang tidak banyak   berubah sejak 53 tahun lalu. Kaum India di kawasan ladang masih daif dan kurang  tumpuan diberikan oleh parti yang mewakili kaum mereka sendiri.

Gerakan HINDRAF (Hindu Rights Action Force)  pada November 2007 secara langsung memberi kesan sokongan pengundia India kepada BN pada 2008. Hampir 30,000 kaum India berarak dan berkumpul di Kuala Lumpur kerana merasakan hak mereka diabaikan. Malangnya, pimpinan kerajaan ketika itu menganggap sepi  tindakan  tersebut menyebabkan isu kaum menjadi  wadah penting dan BN menerima nasib buruk pada 8 Mac 2008.
Kini isu kaum kembali menjadi duri dalam daging. HINDRAF menyebarkan maklumat untuk mengadakan perarakan pada akhir Februari ini. Sebelum ini isu novel Interlok karya Sasterawan Negara menjadi polemik yang akhirnya mencetuskan perdebatan yang tersasar daripada teks sastera itu sendiri. Jika keadaan tidak dibendung, kita bimbang Malaysia terus malang dengan pelbagai kemelut perkauman yang sengaja dirangka untuk mencapai cita-cita politik. Tentunya Najib sedar rentak dan irama yang dipalu sekarang kerana ada pihak yang bukan saja meramalkan bila pilihan raya umum akan diadakan, juga mengharapkan sedikit tuah  mendapat gelaran Yang Berhormat!

Jika inilah keadaannya, Malaysia akan   terus kekal dengan minda dunia   ketiga apabila isu kaum, tohmahan peribadi dan  kerakusan menjadi wahana utama untuk meletakkan diri pada arus perdana politik tanah air. Jika inilah wajah kita, maka inilah yang malangnya kerana berpolitik untuk berkuasa, bukan untuk menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan agama. - Berita Harian, 8 Februari 2011

Tuesday, February 01, 2011

Jangan sekat suara rakyat

KOMUNIKASI sering menjadi alat yang menakjubkan. Ia boleh menghubungkan sesama manusia. Ia boleh mendekatkan yang jauh, atau merenggangkan yang dekat. Ia menjadi sebahagian daripada strategi kehidupan. Akhbar, majalah, radio dan televisyen sejak 1800 sudah menjadi wahana sejagat yang amat ghairah. Manusia mendekatinya kerana komunikasi sebahagian daripada pencetus tamadun baru dunia. Hari ini internet, laman web, facebook dan twitter memberi tafsiran berbeza terhadap erti kebebasan media itu sendiri.
Sebelum tentera Jepun menyerbu Pearl Habor, radio menjadi alat sebaran am terpenting. Perisik Negara Matahari Terbit menyerbu wilayah timur Amerika Syarikat di pesisir Lautan Pasifik ketika pertukaran jam kerja ketenteraan. Mereka menafsir arah angin dan bentuk gelombang di lautan. Mereka merisik kegiatan tentera Amerika Syarikat dan mendapatkan maklumat sebelum menyerbu pantai dan ruang udara. Perang Dunia Kedua hampir menjadi milik Jepun dan Jerman jika tidak letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945. Alat komunikasi mempunyai natijah tersendiri ketika perancangan peperangan.
Di Tanah Melayu dan Indonesia, ramai penduduk tempatan ditahan dan diseksa tentera Jepun semata-mata kerana memiliki radio. Memiliki alat sebaran am dianggap mencelikkan minda dan boleh mengubah strategi penjajahan. Komunikasi juga boleh menghasut rakyat menentang penguasa atau mendedahkan kediktatoran seseorang tokoh kepada massa.
Menjelang kemerdekaan negara, pejuang kebangsaan sebahagian besarnya menggunakan media untuk menggerakkan rakyat menentang penjajah. Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari, Usman Awang dan Keris Mas adalah pewaris perjuangan Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob dan tokoh media lain menggerakkan pemikiran massa. Mereka menggunakan media untuk membangkitkan kecintaan terhadap makna kebebasan itu sendiri. Mereka melaporkan dan ada masanya, menggunakan genre puisi dan cerpen untuk menyedarkan makna kebebasan.

Presiden Sukarno pula menggunakan medium 'surat layang' ketika menggerakkan usaha mengganyang Malaysia pada era konfrontasi dekad 60-an. Pelbagai propaganda Indonesia Raya dan kesatuan bangsa serumpun dipergunakan semata-mata mahu menghalang penubuhan Malaysia yang lebih berdaulat.

Ketika era Perang Dingin yang membabitkan persaingan Pakatan Atlantik Utara (NATO) yang didokong oleh Amerika Syarikat dan Pakatan Warsaw (blok komunis Eropah Timur) yang diketuai Soviet Union, alat komunikasi menjadi senjata penting untuk mencuri maklumat pihak musuh.

Negara komunis yang diasuh oleh KGB (Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti atau Majlis Keselamatan Negara) tidak kalah bersaing dengan Agensi Perisik Pusat (CIA) dari segi penguasaan maklumat dan mempengaruhi massa. Mengusai sebaran am dinggap kemenangan mutlak dalam persaingan NATO dan Pakatan Warsaw. Ketika runtuh Tembok Berlin dan hancurnya Soviet Union, media massa terus berperanan menghebahkan kegagalan sistem sosialis dan kejayaan golongan kapitalis naungan Amerika Syarikat dan Britain. Rumah Putih dan penghuninya dianggap manusia paling berpengaruh di planet bumi. Media massa mengangkat dan mengiktiraf kehebatan demokrasi dan kapitalis barat. Golongan sekular dianggap terbaik dan institusi agama dituduh fanatik, pengganas, jumud dan pengikut Taliban!
Kerajaan China pula memperkenalkan 'Green Dam' ketika kebangkitan prodemokrasi di Beijing. Negara komunis itu tidak mahu penyaluran maklumat yang bebas bakal meruntuhkan Revolusi Kebudayaan yang digerakkan oleh Mao Tse Tung empat dekad sebelumnya. Membenarkan kebebasan media seperti mengundang kehancuran sesebuah sistem yang dianuti sebelumnya.

Di Malaysia, peranan internet dan media baru menjadi pencabar utama sebaran am tradisional. Sejak penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 2 September 1998, media baru mencetuskan budaya tersendiri di negara ini.

Ada masanya, pertuduhan dan pendakwaan memadai melalui internet saja. Media baru sudah menggerakkan pemikiran generasi muda dengan ritma yang tersendiri. Seseorang boleh didapati bersalah apabila dipercayai dan ulangi bersalah menerusi laman blog dan portal berita. Tiada siapa yang bebas untuk menyelamatkan diri kerana media baru sudah mendapat reputasi hebat untuk merayakan kebebasan media.
Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Koridor Raya Multimedia, kerajaan menyediakan Bill of Guarantees, yang memberi jaminan kebebasan internet dan bermaklumat seperti dimiliki negara maju yang lain.

Bagaimanapun takrif kebebasan itu sendiri mencetuskan polemik kerana sering tersasar daripada matlamatnya. Jika kebebasan ditakrifkan bebas untuk menuduh seseorang tanpa bukti dan menyalahi hak peribadinya, apakah ia perlu dibenarkan?

Pada sisi lain pula, pindaan Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) boleh merisaukan banyak pihak. Mungkinkah media baru turut terpalit dengan peraturan dan larangan pemberitaan jika ia mempunyai asas untuk disiarkan kepada umum? Apakah media baru akan setaraf media tradisional?
Polemik ini bakal mencetuskan perdebatan yang tidak berkesudahan. Ketika ada pihak merasakan media baru perlu diberikan kuasa lebih meluas untuk menyalurkan pendapat dan menyebar maklumat, pihak yang sama juga perlu menyedari kesan maklumat yang tidak benar dan dakwaan melulu.
Kawalan melulu terhadap media bakal mencetuskan penentangan berterusan. Ia boleh diterjemahkan menerusi peti undi kerana media menjadi kuasa ketiga di sesebuah negara selain institusi pemerintahan dan perundangan. Larangan penyiaran terhadap sesuatu isu boleh mengundang tohmahan tidak berkesudahan. Kerajaan boleh mengguanakan Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi jika sesuatu laporan itu boleh menjejaskan keselamatan awam.

Tentunya media baru menjadi perayaan sejagat jika alat komunikasi dipergunakan untuk penyebaran maklumat, bukan tohmahan melulu. Tentunya kebebasan itu sendiri memberi kesan besar kepada pemikiran sejagat kerana menjadi naluri manusia untuk bebas daripada penguasaan pemikiran orang lain. Persaingan media baru dan media tradisional tentunya terus tidak berkesudahan. Yang beruntung adalah proses komunikasi itu sendiri kerana ia memberi pilihan kepada pecintanya! - Berita Harian, 1 Februari 2011