Pages

Monday, April 15, 2013

Istana jangan campur pelantikan MB

 Proses demokrasi sekali lagi teruji pada 5 Mei ini apabila 13,268,002 pemilih berdaftar berhak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  bagi menentukan wakil rakyat di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Kematangan dan kewarasan pengundi bakal menentukan sesebuah kerajaan secara adil.
 Sejak era Yunani, demokrasi mengalami pelbagai perubahan, selaras perkembangan tamadun manusia. Abraham Lincoln mengandaikan  demokrasi  sebagai pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

  Ia diperjelaskan oleh Charles Costello bahawa  demokrasi adalah sistem sosial dan politik, dengan kekuasaan pemerintah yang dibatasi hukum dan kebiasaan untuk melindungi  hak perseorangan warga negara.

  Keadaan ini mendorong pembahagian kuasa dalam proses demokrasi membabitkan tiga cabang utama iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan dan kehakiman. Ketiga-tiga cabang berkenaan mempunyai bidang kuasa tersendiri dan tidak boleh mempengaruhi pihak lain.

  Amalan di Malaysia, eksekutif sebagai tunjang kuasa rakyat menjalankan tugas selaras mandat  diberikan menerusi  pilihan raya.

Kuasa rakyat tidak boleh dicabar oleh kuasa perundangan dan kehakiman, seperti juga rakyat tidak boleh menggugat mana-mana kuasa yang bukan hak mereka.

  Hak rakyat amat besar dalam proses demokrasi moden. Rakyat bukan sekadar keluar mengundi dan menentukan sesebuah kerajaan  dibentuk, juga memastikan kerajaan boleh ditewaskan jika aspirasi mereka bertentangan dengan apa dilakukan eksekutif.

  Pengalaman PRU-12 yang membabitkan lima negeri dikuasai pakatan pembangkang tidak berlaku secara spontan. Ia ada kaitan dengan sentimen dan isu semasa yang membabitkan perubahan pimpinan di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Kelantan kekal dikuasai PAS sejak 1990.

  Kuasa rakyat menentukan demokrasi kekal subur, seperti juga kuasa rakyat yang mengekalkan Terengganu dan Perlis dikuasai Barisan Nasional (BN).

Pelantikan jawatan Menteri Besar sepatutnya bukan isu besar.  Calon yang layak bagi negeri beraja tentunya warga negara  beragama Islam, Melayu dan mewakili parti yang mendapat kuasa majoriti di DUN. Bagaimanapun ada beberapa kes pelantikan  Menteri Besar tergendala apabila tidak mendapat restu pihak istana.

  Perkara 14 (2) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, mencatatkan  calon yang layak dilantik   Menteri Besar hendaklah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) yang mendapat kepercayaan kebanyakan ADUN. Kuasa istana menentukan calon yang layak mendapat persetujuan majoriti ahli DUN.

  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1885 pula  memaktubkan hanya Melayu dan beragama Islam layak mentadbir negeri. Perkara 34   Undang-undang Tubuh   berkenaan memperuntukkan kuasa mutlak Raja (Sultan)  melantik Menteri Besar. Ini bermakna Sultan berkuasa memilih seorang Menteri Besar dan tidak semestinya patuh  arahan parti yang menguasai DUN.

  Jika tafsiran ini diterima pakai, akan berlaku polemik siapa yang layak menentukan Menteri Besar di sesebuah negeri? Rakyat atau parti yang menguasai majoriti DUN atau istana?

  Isu ini memerlukan kajian  terperinci kerana kekecohan kes pelantikan Menteri Besar, calon Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri pernah berlaku beberapa kali sebelum ini. Tiada jaminan ia tidak berlaku lagi kerana tafsiran Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan kurang jelas.

  Ketika ada pihak mengharapkan undi untuk kedaulatan demokrasi itu sendiri, polemik pelantikan Menteri Besar boleh berlaku berulang kali apabila saranan pihak majoriti tidak semestinya mendapat perkenan.

  Kita yakin semua pihak  akur dengan kuasa rakyat kerana demokrasi hanya menentukan penubuhan sesebuah kerajaan berasaskan suara majoriti dalam DUN.

  Pelantikan ketua pentadbir negeri mesti mendapat perkenan istana bagi melancarkan pentadbiran dan mengelakkan krisis di antara kerajaan negeri dan institusi itu sendiri.

  Pada peringkat Persekutuan,  Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua  negara  secara undang-undangnya menganggotai  badan perundangan,  eksekutif dan  kehakiman.

  Baginda  mempunyai kuasa budi bicara  melantik Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda   mendapat kepercayaan. Baginda  boleh menggunakan kuasa budi bicara  membubar Parlimen sekiranya ada  permintaan Perdana Menteri.

 Perkembangan yang berlaku pada peringkat Persekutuan perlu dicontohi peringkat negeri. Kecenderungan menidakkan keputusan majoriti boleh menghidupkan semula krisis Perlembagaan. - Berita Harian, 15 April 2013

No comments: