Pages

Friday, March 29, 2013

Imej calon pilihan pengundi

Sejauh mana pengundi muda dan golongan atas pagar menentukan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih menjadi misteri.

 Walaupun perebutan 222 kerusi Parlimen dipertaruhkan, kemenangan  112 kerusi Parlimen membolehkan sesebuah kerajaan dibentuk dengan majoriti mudah.

 Berdasarkan situasi yang berlaku pada PRU-12 pada 8 Mac 2008, kehadiran golongan muda dan atas pagar memberi keputusan di luar jangkaan. Mereka berperanan di 153 kerusi di Semenanjung, 25 kerusi di Sabah, 31 di Sarawak, sementara 13 kerusi di Wilayah Persekutuan.

 Suara mereka berlegar di media baru. Kini dengan 17 juta pengguna internet di Malaysia, aliran maklumat dan ruang perdebatan semakin terbuka.

  Lebih malang apabila laporan media perdana diperdebat secara terbuka, malah ada yang mendakwa sekadar propaganda pemerintah. Suara yang di luar arus perdana boleh dianggap majoriti senyap yang bakal meledak.
Sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru. Mereka mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia iaitu 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi PRU-13 ialah pengundi baru atau pengundi kali pertama. Di tangan mereka bakal menentukan nasib 222 kerusi Parlimen yang bakal memastikan pihak mana bakal menguasai Putrajaya.

 Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO.  Penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu, sebaliknya berasaskan merit hari ini serta wawasan masa depan.

 Dari segi kaum, Melayu masih dominan di  luar bandar yang mewakili 75 peratus daripada kawasan Parlimen. Keputusan PRU-12 menunjukkan  hampir 70  peratus kerusi adalah  kawasan  pemilih Melayu. Keadaan ini memberi pilihan kepada Melayu menjadi penentu di kawasan luar bandar.
 Bagaimanapun, kawasan pinggir bandar dan urban menjadi persaingan sengit. Akses maklumat dan persekitaran ekonomi boleh mempengaruhi pola pengundian. Kita boleh lihat dengan mudah kecenderungan pengundi kawasan FELDA berbanding hasrat yang dimahukan penduduk Kajang, Bangi atau Serdang yang didiami pelbagai kaum.

 Kecenderungan pengundi Sungai Siput memilih pembangkang pada 2008 boleh dianggap contoh nyata. Kekuatan Barisan Nasional (BN) yang dominan di kawasan berkenaan sejak beberapa pilihan raya umum berubah apabila pengundi memihak kepada pembangkang pada 2008.

Melayu (sama ada UMNO atau atas pagar) dan generasi muda yang sebelum ini memihak kepada BN membuat ‘percubaan’ kerana mahukan calon Melayu di kawasan berkenaan. Sebelum 8 Mac 2008, ada pengundi Melayu yang mendesak pucuk pimpinan BN supaya meletakkan calon Melayu di Sungai Siput.Bagaimanapun, setiakawan BN membolehkan calon MIC bertanding di kawasan berkenaan berdasarkan persefahaman tradisi.

 Hasilnya, BN bukan saja kalah di kawasan berkenaan bahkan Sungai Siput kini menjadi kubu kuat pembangkang di  Perak.

 Pada PRU 2004, Sungai Siput mempunyai 46,783 pengundi. Pengundi Melayu 31.46  peratus, Cina (41.35 peratus), India (22.50  peratus) dan  lain-lain (4.69 peratus).

 Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri S Samy Vellu  mendapat 18,797 undi dan diisytiharkan menang, mengalahkan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PKR) yang mendapat 8,562 undi dan calon DAP, Samugam Ponmugam Ponam mendapat 2,864 undi.

 Keadaan berubah pada 2008 apabila  Samy Vellu mendapat 14,637,  Nor Rizan Onn (Bebas, 864 undi –  hilang deposit) dan Jeyakumar (PKR) mendapat 16,458 undi.

 Keputusan berkenaan dijangka tidak berlaku jika BN meletakkan calon UMNO yang mempunyai pengundi Melayu 31.46 peratus berbanding kaum India 22.5 peratus.
 Sehingga kini isu calon menjadi perdebatan umum. Pengalaman pilihan raya kecil Kuala Terengganu membuktikan pengundi semakin selektif. Calon kawasan berkenaan dipertikai secara terbuka termasuk dari segi kewibawaan dan masalah peribadi.

 Belum pernah terjadi dalam mana-mana pilihan raya kecil nama calon mencetuskan perdebatan khususnya dari segi hubungan kemasyarakatan. Pengajaran di Kuala Terengganu perlu dimanfaatkan oleh semua parti politik. Mereka wajar memastikan calon  mempunyai wibawa, dihormati dan mudah didampingi.
 Lebih penting, sejauh mana generasi muda dan pengundi di atas pagar menyokong seseorang calon. Prasyarat ini menjadi kewajipan dalam landskap politik masa kini dan akan datang. - Berita Harian, 29 Mac 2013

Wednesday, March 27, 2013

Uthman El-Muhammady yang kukenali

Lelaki yang berbadan kecil dan kelihatan serius itu  lebih mesra dipanggil ustaz. Ramai pelajar mengakui Dr Muhammad Uthman El-Muhammady bukan sekadar ulama, pensyarah atau guru.  Malah, ada yang menggelarnya ‘ayah’ kerana tidak jemu memberi nasihat dan galakan kepada insan yang lebih muda.

Pengalaman menjadi pelajarnya adalah detik yang menyenangkan. Uthman  ‘mewajibkan’ pelajar lelaki berada di barisan hadapan dalam kelasnya dan wanita di belakang.

 Ketika ditanya, beliau hanya menyatakan lelaki berada di saf hadapan ketika solat dan wanita di belakang.

 Secara berjenaka, Uthman  menyatakan ‘bahaya’ lelaki berada di belakang wanita kerana mata dan akal mereka sukar fokus.

 “Lelaki mempunyai akal yang lebih, tapi kerap disalahgunakan,” tutur Uthman  sinis.
 Beberapa bulan lalu kami bertemu pada majlis kesyukuran  di kediaman seorang ahli korporat kelahiran Kelantan. Uthman kelihatan pucat dan kurang bermaya tapi tetap mesra seperti tiga dekad lalu.

 Penulis beberapa kali menelefon Uthman   ketika isu kalimah Allah begitu hangat diperkatakan. Penulis yakin beliau tokoh berwibawa dan boleh memberi pandangan mengenai sejarah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan kesannya terhadap tamadun ummah.

 Pengalaman Uthman  sebagai ulama besar dan pernah mengiringi  bekas Perdana  Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vatican menjadi kelayakan  beliau mengulas isu kalimah Allah.
 Malangnya, panggilan telefon tidak berjawab dan penulis tidak  menduga kesihatan beliau semakin terjejas.

 Beberapa tahun lalu kami pernah terserempak di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur, Kelantan dan sempat minum bersama. Uthman  seorang yang kuat ingatan dan masih kenal pelajarnya walaupun tiga dekad berlalu.

 Apabila menerima perkhabaran pemergian beliau pada 25 Mac lalu, tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain al-Fatihah dan mengenang semula seorang ustaz yang dihormati ramai.

 Tokoh Maal Hijrah 2005 ini  meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC)  pada jam 7.30 malam akibat sakit jantung.

 Beliau meninggalkan  balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.

 Uthman adalah  pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.

Allahyarham juga  Felo Amat Utama Akademik ISTAC UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 Beliau  dilahirkan di Kampung Telok, Panji, Kota Bharu pada 1 Februari 1943.  Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum  Special Malay Class pada  1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudian menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah. Pada  1963, beliau menuntut di Universiti Malaya  (UM) dan mendapat sarjana muda  dalam Pengajian Islam pada 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat sarjana pada 1969.

 Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga  1973 apabila   kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai penulis dan pendakwah bebas.  Pada  1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana  usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

 Minat kajian beliau adalah di dalam bidang  ilmu Islam dan falsafah Barat. Tidak hairanlah pelajar yang mengkaji sejarah tamadun Barat akan merujuk kepada Uthman apabila timbul isu mengenai peradaban dan krisis pemikiran Barat-Islam.

 Antara karya beliau yang menjadi rujukan adalah    Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali  (Dewan Bahasa dan Pustaka), Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud  (Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan),  Peradaban dalam Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu) dan  Memahami Islam  (Pustaka Aman Press, Kota Bharu).

 Pemergian beliau kehilangan besar bidang akademik dan kesarjanaan Islam. Bagi bekas pelajarnya, beliau guru yang kritikal menganalisis sejarah Islam. Uthman  menempelak buku sejarah yang menuduh  pengasas  Bani Umaiyah,  Muawiyah  Abu Sufyan (602-680)  sebagai penipu sedangkan tokoh Islam berkenaan adalah sahabat Nabi Muhammad yang sudah dijanjikan syurga. “Mustahil seseorang ahli syurga menipu untuk mendapat jawatan khalifah!” tegas Uthman. - Berita Harian, 27 Mac 2013

Monday, March 25, 2013

Sabah akan hilang?

Sehingga kini teka-teki Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menjadi debaran apabila tarikh 8 Mac 2013 berlalu dengan pelbagai pertanyaan. Bila Parlimen yang mempertaruhkan 222 kerusi dibubar? Sejauh mana krisis pencerobohan dan keganasan di Sabah memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) dan  pembangkang?

  Jika PRU-12 pada 8 Mac 2008 memberi mandat  kecil kepada BN, senario yang berlaku sekarang amat menarik untuk dianalisis. Datuk Seri Najib Razak yang dilantik Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009 melakukan pelbagai transformasi untuk kepentingan rakyat dan negara.

 Pembangkang pula yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan di kawasan bandar yang didiami majoriti  Cina dengan harapan memecah dominasi BN dan Perikatan sejak 1957.

 Harapan pembangkang untuk menawan Putrajaya bukan mudah. Mereka bukan saja berdepan jentera BN yang semakin kukuh, bahkan menghadapi krisis keyakinan ahli sendiri.

 Pembangkang berdepan krisis kepercayaan dalam kalangan ahli PAS, DAP dan Parti Keadilan Nasional (PKR). Ahli PAS sehingga kini tidak bersetuju dengan isu Bible versi bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah, bahkan sinikal dengan pemimpin DAP, Karpal Singh  yang secara terbuka mencabar supaya langkah mayatnya jika mahu membentuk pentadbiran Islam di Malaysia.

 Ahli PAS juga kurang yakin isu hudud diperjuangkan dalam kancah politik semasa apabila Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang lebih lunak membicarakan negara berkebajikan dan sengaja melupakan misi menegakkan hudud di Malaysia.

 Hadi dan Menteri Besar Kelantan, Datuk  Nik Aziz Nik Mat kurang tegas dalam isu kalimah Allah dan terpaksa ‘membetulkan’ kenyataan mereka apabila Majlis Syura PAS bertegas tidak membenarkan kalimah Allah diperalatkan pihak lain. Sejarah tamadun Islam tidak pernah menilai persamaan  antara Allah, god, jesus dan lord.

 PKR pula bukan saja berdepan isu moral bahkan sejauh mana pengundi yang menyokong mereka pada 2008 akan kekal bersama Anwar?

 Tindakan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim menyertai PKR selepas  membuat kenyataan menafikan anaknya diliwat pada Jumaat lalu tidak membantu kempen pilihan raya. Masyarakat lebih mempertikaikan kewibawaan Azlan, berbanding bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap mereka dua beranak.

 Jika dulu begitu gah   menyuruh anak  sumpah laknat serta mendakwa mangsa perlakuan seks luar tabii, hari ini insan yang sama berdolak-dalik kononnya menginsafi dosa fitnah. Individu berkenaan hanya dikenali kerana kes mahkamah dan mereka tidak ada apa-apa di mata umum.

 Sehingga kini, PKR gagal mempengaruhi kawasan Melayu. Kemenangan besar di Selangor  pada 2008 adalah hasil sokongan  PAS dan ahli UMNO yang kecewa dengan pimpinan ketika itu. Perubahan suasana politik memberi kesan kepada parti yang bertanding tahun ini. DAP bukan saja dianggap parti perkauman, bahkan perlu membuktikan mereka mesra Melayu.

 PAS pula bergelut dengan krisis identiti – sama ada menjadi  teras ulama atau  wahana reformis muda yang tidak menyokong UMNO berpihak kepada kelompok dominan di Pantai Timur dan utara   Semenanjung.

 Mandat lima tahun kerajaan hampir berakhir dan kerajaan tidak boleh membuat persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana majoriti mudah. Kawasan yang dipertandingkan pada 2008 kekal dengan 153 kerusi Parlimen di Semenanjung, 25 kerusi di Sabah,  31  (Sarawak) dan 13 kerusi di  Wilayah Persekutuan  menjadi perhatian umum.

 Krisis pencerobohan di Sabah mungkin memberi saham kepada perkembangan siasah. Tiga juta penduduk Sabah mengharapkan keamanan dikekalkan dan masyarakat Suluk diakui memainkan peranan dalam pentadbiran dan sektor ekonomi. 

Bangsa Suluk mewakili 80,000  daripada 926,638 pengundi berdaftar menjelang PRU-13. Mereka mengharapkan keamanan dan jaminan keselamatan berkekalan.

 Sebahagian besar mereka tidak menyokong serangan pengganas kerana yakin dengan pimpinan   sekarang. Ketika Anwar begitu seronok menyanyikan ‘Tanya pada Najib, apa sebab goyang... Nanti jawab Najib, Sabah nak hilang,’ pengundi lebih matang menilai masa depan menerusi peti undi.

Pembubaran Parlimen dan DUN bakal memberi kemenangan kepada rakyat kerana demokrasi masih subur. Era propaganda dan  meminta jasa dikenang sudah berlalu.  Najib menyedari keadaan ini kerana yakin rakyat akan memilih yang terbaik. - Berita Harian, 16 Mac 2013

Pak cik melenting, mak cik marah

Doktor yang tekun memeriksa sendi pesakitnya tersentak  apabila ditegur secara spontan. “Saya bukan pak cik. Doktor boleh panggil saya encik atau sebut saja nama penuh saya.” Doktor ortopedik yang  tergamam merenung pesakitnya dan meminta maaf.

 “Saya menghormati encik sebagai pak cik.  Lebih mesra, akrab dan mendekatkan hubungan antara perawat dan pesakit. Kami dilatih untuk berbahasa dan merawat,”  tutur doktor  menguatkan hujah  memanggil pesakit lebih berusia sebagai pak cik atau mak cik.

 Pesakit berkenaan sudah beberapa kali hilang sabar apabila dirinya kerap dipanggil pak cik oleh doktor atau jururawat ketika mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan.

 Dari segi bahasa, sebarang pengucapan mempunyai kedudukan  tersendiri. Ucapan formal dan kekeluargaan perlu dibezakan. Tidak semua  yang dipanggil pak cik oleh anak saudaranya boleh diungkapkan sedemikian oleh pihak lain.

 Dalam konteks masyarakat berbudaya, ungkapan formal dikaitkan dengan urusan rasmi.  Perhubungan dalam bentuk perniagaan berbeza dengan gurauan  kalangan anak-beranak.
 Hubungan doktor dengan pesakit adalah kaitan  antara perawat dengan pelanggan. Doktor wajar mengetahui etika berbahasa walaupun mereka mempelajari sains tulen sejak di sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi.

 Ahli sosial mempersoalkan darjat berbahasa untuk Melayu berbeza dengan Inggeris. Mungkin doktor berkenaan memanggil pak cik dan mak cik untuk pesakit Melayu, tetapi menggunakan ungkapan lebih lunak untuk pesakit asing.  Mungkin saja sir, ma’am dan  madam  jadi sebutan ketika melayan pesakit berbangsa Eropah. Kita perlu ingat nilai pak cik dan mak cik lazimnya lebih rendah daripada sir dan madam!

Abdullah Hassan dalam tulisannya, Sopan dan Santun Bahasa Kebangsaan yang termuat  dalam Wacana Budaya terbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, mengakui kepentingan budaya  berkomunikasi sebagai tatacara kehidupan.

Komunikasi bukan sekadar perhubungan dan penggunaan bahasa yang bermula daripada perkataan dan ayat, juga melambangkan simbol penghormatan  antara penutur.

 Setiap perkataan ada  makna tersendiri. Dari segi semiotik pertuturan ada isyarat dan lapisan makna tertentu. Mempelajari semiotik mendekatkan kita mengenai sistem tanda.

 Darjat manusia tidak sama, begitu juga status kehidupan dan  ruang komunikasi.  Bahasa formal berbeza dengan ungkapan kekeluargaan.  Kita harus membezakan panggilan individu bukan  keluarga dengan hubungan rasmi. Kita memanggil ahli keluarga  dengan bahasa kekeluargaan. Kita menggunakan encik, tuan, Datuk dan Tan Sri sebagai panggilan hormat untuk urusan rasmi.

 Sasterawan Fatimah Busu menerusi cerpen,  28 Disember 2012  yang disiarkan BH   pada 13 Januari lalu mengkritik salah guna ucapan mak cik terhadap beliau:  “Nah, ini tin sup, mak cik...” katanya kemudian.
 “Cik,” Kataku, “tolong gunakan bahasa yang sopan. Saya bukan bekerja jadi pembantu rumah cik !”
“Oh, minta maaf, puan. Ini tin sup, puan. Minta maaf...”

 Fatimah menulis: “Ini bukan kali pertama pegawai yang bertugas membuat imbasan di lapangan terbang mana pun di negara ini tidak tahu menggunakan bahasa yang betul. Kalau di Lapangan Terbang, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, bahasanya lebih buruk lagi. Mereka panggil semua perempuan warga tua dengan panggilan ‘mak’. Pernah suatu kali aku tanya mereka sama ada mereka berasal dari hutan Ulu Kelantan atau hutan sempadan Siam! Ketika mencari tempat duduk atas kapal terbang, pramugarinya datang bertanya kepadaku,
 “Tempat duduk mak cik, nombor berapa ?”
 “Cik,” kataku, “saya ini bukan bekerja jadi tukang sapu atas kapal terbang ini, saya jadi penumpang! Tolong guna bahasa yang beradab.”

Selagi  kurang berbahasa, kita  memandang rendah  penggunaan bahasa yang betul dan sesuai. Kita yakin masalah  ini perlu diatasi segera. Subjek Bahasa Melayu perlu diselitkan dengan asas komunikasi dan etika berbahasa. Belajar bahasa bukan sekadar mengenai ejaan dan tatabahasa, juga nilai sosial yang terkandung di dalamnya.

 Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dalam sajak Melayu mengulas maksud tersirat:
 Melayu itu kaya falsafahnya,
 Kias kata bidal pusaka;
 Akar budi bersulamkan daya,
 Gedung akal laut bicara.
Berita Harian, 19 Mac 2013

Tuesday, March 12, 2013

Alahai FAM...

Skuad Olimpik 1972 
Tiada siapa yang peduli Edson Arantes do Nascimento, sebelum nama glamornya Pele dijulang sebagai O Rei atau Sang Raja kerana membantu Brazil muncul juara Piala Dunia tiga kali iaitu pada 1958 (Sweden),  1962 (Chili) dan 1970 di Mexico. 

  Ketika dunia bertanya mengenai kehebatan di padang bola, Pele hanya menyatakan kegilaan!  “Bola sepak penuh kegilaan. Kegilaan boleh menjulang nama seseorang atau membunuh kerjaya mereka,” tegas Pele.

  Barangkali kerana kegilaan juga mendorong Diego Maradona ‘meminjam tangan tuhan’ ketika membolosi gawang pasukan England ketika Piala Dunia 1986. “Bola sepak penuh dengan tanggapan gila,” nafi Maradona ketika dunia mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai penyerang dan mengakui menggunakan tangan bagi membantu Argentina muncul juara selepas 25 tahun kejadian berlalu.

   Hari ini kegilaan sebahagian daripada ciri bola sepak moden. Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan mendapat penajaan terbesar dengan separuh daripada tujuh bilion warga dunia menonton sekurang-kurangnya sekali perlawanan ketika temasya berlangsung.

 Malaysia pula tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia. Kita hanya mampu dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 dan 1980 ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dipimpin oleh tokoh yang beriltizam tinggi. Malaysia juga menduduki tempat ketiga Sukan Asia 1974 di Teheran, Iran.

 Kita hairan ketika sebahagian besar rakyat gilakan sukan nombor satu negara itu, mutu bola sepak negara semakin lesu. Apa pun jawatan, kaum, agama, budaya dan status sosial, bola sepak tetap menjadi minat ramai. Bola sepak adalah sukan rakyat yang diterima pelbagai kaum dengan pelbagai jadual perlawanan dan penyertaan yang luar biasa. Malangnya, kita hanya menduduki tangga ke-159 dunia pada 12 Februari lalu, setaraf dengan Maldives dan satu mata di bawah Singapura. Nigeria yang tergolong negara miskin mencapai kemerdekaan bersama Malaysia pada  1957 menduduki ranking ke-35 dunia. Apakah kerana miskin mereka berjaya dalam bola sepak? Ramai pemain Nigeria bukan saja bertandang ke Eropah, bahkan menjadi bintang pasukan yang menyertai Liga Malaysia sekarang. Apakah kerana kita hidup selesa mendorong bola sepak menjadi sukan belasahan semata-mata?

  Kita berkali-kali gagal ke Piala Dunia dan mustahil ke Olimpik lagi. Jika ada pegawai FAM yang mengkritik pasukan bola sepak Malaysia, mereka akan digantung tugas kerana melanggar Artikel 88. Pegawai tinggi FAM yang kesal apabila Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mengkritik skuad kebangsaan, membuat kenyataan media bahawa “Annuar melakukan kesalahan besar kerana mengkritik pasukan sendiri”.

  Alasan berkenaan sebahagian daripada episod lawak FAM yang tidak membenarkan kebebasan bersuara dalam badan sukan itu.  Jika Pele mengatakan bola sepak penuh dengan kegilaan, keadaan di Malaysia pula tidak terkecuali. Tahun ini bukan saja peminat, pemain, jurulatih dan pengadil yang  ke stadium, bahkan sudah ada pihak  tergamak membawa  komando dan kenderaan tentera ke stadium dengan alasan keselamatan.

  Jenaka yang lebih menarik, senjata M16 mengiringi pemain dan pegawai pasukan, menyebabkan penonton tuan rumah bertindak agresif. Malangnya ada pasukan yang didenda kerana kawalan keselamatan yang rendah dan pihak yang membawa komando serta M16 tidak dikenakan sebarang tindakan.
 
Masyarakat berhak mempersoalkan kenapa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya digantung selama enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM18,000 kerana mengkritik mutu pengadilan  Liga Malaysia.

  Keputusan itu jauh berbeza dengan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dan Annuar, mengikut peruntukan sama kerana melanggar Artikel 88.

“Pegawai FAM kata hukuman gantung enam bulan yang dikenakan ke atas Tunku Ismail paling minimum dan tak boleh rayu. Sebelum ini apabila dia jatuhkan hukuman dua tahun enam bulan ke atas saya dan Annuar, dia kata hukuman itu juga paling minimum dan tak boleh rayu. Mana satu hukuman yang paling minimum?” soalnya.

  Jenaka  perlu ditamatkan demi kepentingan bola sepak. FAM perlu dipimpin oleh tokoh yang bersemangat kesukanan. Ahli gabungan perlu bersatu hati membawa saranan supaya Artikel 88 dimansuh. Lebih penting, sukan untuk mereka yang mahukan kejayaan, bukan  jawatan untuk kepentingan yang lain. - Berita Harian, 12 Mac2013

Friday, March 08, 2013

Pengundi Kelantan pilih PAS?

Lebih 10,000 penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, Rabu lalu bertafakur sebagai menghormati lapan anggota polis yang terkorban akibat pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Mereka bersama pemain pasukan Kelantan dan Maziya Sports & Recreation Club dari Maldives,  membaca al-Fatihah sebelum perlawanan bermula 8.45 malam yang membuatkan suasana sunyi sejenak.
 Sikap mereka membuktikan rasional majoriti rakyat Kelantan terhadap isu semasa. Mereka prihatin dan ada yang menitiskan air mata apabila mengenangkan kesedihan keluarga pahlawan yang terkorban demi kedaulatan negara.

Pengorbanan, perjuangan dan semangat wira bangsa mendapat perhatian ramai. Tanpa mengira sempadan politik dan semangat kenegerian, perasaan kekitaan rakyat Malaysia disemarakkan dengan doa agar negara kembali aman dan berdaulat.

  Dalam konteks sosial, masyarakat Melayu Kelantan terkenal dengan sikap terbuka dan mengutamakan tradisi muafakat sebagai landasan mendekatkan hubungan dengan semua pihak. Mereka boleh menyokong sesiapa saja bertanding dalam pilihan raya walaupun membabitkan calon luar, semata-mata alasan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat Kelantan.

  Kehadiran tokoh luar seperti Mohamad Sabu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Dr Mohd Hatta Ramli, Salahuddin Ayub dan Nasharudin Mat Isa membuktikan sikap terbuka penduduk Kelantan. Mereka tidak mungkin menang pilihan raya jika pengundi memilih anak negeri sendiri sebagai wakil rakyat. Keterbukaan mereka membuktikan tiada unsur kenegerian di negeri Cik Siti Wan Kembang.

  Kita yakin sikap rasional ini akan kekal pada hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Calon yang dikehendaki rakyat akan berpeluang menang walaupun kali pertama bertanding.
 
Sepak terajang politik memerlukan analisis lebih teliti.  Barisan Nasional (BN) Kelantan yang menggerakkan kempen Gelombang Merah tentunya belajar daripada pengalaman silam. Beberapa nama besar tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 kerana tidak disenangi pengundi. Latar belakang sebagai Ahli Parlimen bertahun-tahun atau pernah bergelar Menteri dan Timbalan Menteri bukan jaminan untuk kekal mendapat sokongan.

  Cara terbaik adalah mendekati akar umbi. BN kini mengenal pasti beberapa nama yang sesuai dengan kehendak pengundi tempatan dan wajar dipertaruhkan untuk menjawat Menteri Besar jika berkuasa nanti.

  PAS pula bukan kelompok yang tidak bermasalah di Kelantan. Isu bekalan air, ladang rakyat,  pembalakan dan kewibawaan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai pentadbir, diperkatakan secara terbuka.

  Lebih 20 wakil rakyat PAS sekarang dipalitkan dengan pelbagai isu peribadi termasuk skandal kepentingan peribadi dan kurang mesra rakyat.  PAS memerlukan tokoh muda bagi memastikan keyakinan rakyat berkekalan.

  UMNO sebagai parti dominan perlu mengkaji strategi sesuai. Kesilapan 2008 termasuk tindakan seorang pemimpin Pemuda UMNO hadir majlis di Kota Bharu dan meneriak “18 tahun pade doh”  (18 tahun cukup dah) jangan diulangi. Cara sedemikian tidak sesuai dengan masyarakat Kelantan yang mengharapkan penampilan lebih sopan.

 Beberapa tokoh Pusat juga ke Kelantan dengan pelbagai janji pembangunan yang dianggap penduduk tempatan sebagai ulangan cerita lama. Ketika BN merampas Kelantan pada 1978 ekoran krisis penentangan Kumpulan 20 pada 1977 yang menyebabkan PAS tersingkir daripada gabungan berkenaan, UMNO pernah menjanjikan beberapa program untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.  Janji lebuh raya selesa dan Pengkalan Chepa sebagai kawasan industri terbesar di Pantai Timur tidak tercapai sehinggalah PAS berkuasa semula pada 1990.
 
  PAS mungkin boleh berterima kasih kepada Nik Aziz yang dianggap tokoh jujur, alim dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah Subuh di Kota Bharu.

Bagaimanapun mentadbir sesebuah negeri bukan berkaitan dengan kealiman dan kejujuran semata-mata. Kewibawaan seseorang pentadbir dan matlamat menjayakan agenda pembangunan memerlukan tenaga mahir. BN lebih mampu menyediakan modal insan terbaik berbanding PAS.

  Halangan utama BN adalah rakyat Kelantan sendiri. Sejauh mana mereka menerima UMNO bergantung kepada  usaha menarik perhatian massa.   Retorik politik bukan cara sesuai untuk menang pilihan raya. Rakyat mahukan isu royalti minyak diselesai secara saksama. - Berita Harian, 8 Mac 2013 

Thursday, March 07, 2013

Sandiwara pengganas Sulu?

Ada dalam kalangan rakyat yang jarang menghargai keamanan apatah lagi bercakap soal patriotik. Hanya ketika terdesak, baharu menyedari perlunya sebuah negara yang aman, bebas dan berdaulat.
  Ketika berada dalam suasana aman, kita seolah-olah terlupa nilai keharmonian, perpaduan dan saling menyayangi bukan datang sendiri. Ia perlu dipupuk dan dipertahankan dari semasa ke semasa.

  Apabila sekumpulan pengganas yang menceroboh Sabah di Lahad Datu pada 12 Februari lalu dan Semporna pada Sabtu lalu, tidak ramai yang menduga kesannya berlanjutan sehingga kini, atau mungkin beberapa minggu lagi. Tidak ramai juga yang mempersoalkan soal jati diri dan kedaulatan sesebuah wilayah yang penduduknya dengan rela hati menjadi sebahagian daripada negeri di Malaysia sejak awal dekad 1960-an.

  Malangnya ada kumpulan manusia yang kononnya pejuang rakyat mengaitkan isu Sabah dengan sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka menggunakan majlis ceramah untuk menyebarkan dakwaan sandiwara itu sedangkan ribuan isteri dan anggota keluarga tentera dan polis yang terbabit dalam Ops Daulat menitiskan air mata, pasrah berdoa dan mengharapkan insan tercinta kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

  Apabila lapan anggota keselamatan terbunuh, ceramah politik yang mengaitkan sandiwara masih berleluasa. Dengan nada megah, mereka menyalahkan kerajaan kerana lambat bertindak dan sepatutnya pencerobohan sejak lebih tiga minggu lalu ditangani dengan segera, termasuk menggunakan kekuatan angkatan tentera dan polis sebagai pemantau di luar lokasi bergolak.

  Pada hari ini, ujian sebenar jati diri dan kesetiaan kepada negara adalah sikap menyayangi dan saling menghargai nilai kemanusiaan yang kita pertahankan. Kemanusiaan dan amalan demokrasi adalah sebahagian daripada pengisian kedaulatan negara.

 Perasaan cintakan pertiwi hanya diuji melalui sikap kita menangani soal kenegaraan secara berhemah dan bersatu hati ketika menghadapi saat genting.  Tidak salah kita berpolitik, berhujah, menyelar dan mengkritik sesuatu isu yang dirasakan menjejaskan kepentingan rakyat. Islam sentiasa membenarkan kelainan pendapat dan perbezaan fahaman. Tradisi ijtihad dan percanggahan idea sebahagian daripada ciri kebebasan yang lahir selepas wujud negara berdaulat yang tercetus dalam Piagam Madinah.

  Apa pun perbezaan pandangan, isu kedaulatan negara perlu dipertahan bersama walaupun kita mungkin berbeza ideologi dan cara menanggapi sesuatu keadaan. Kedaulatan negara adalah di tangan kita sendiri, apatah lagi berdepan tindakan haram sekumpulan pengganas yang  menceroboh Sabah.
Cabul kedaulatan negara lain

  Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat jelas melarang mana-mana pihak mencabul kedaulatan negara lain. Prinsip kedaulatan menjadi milik sejagat yang disahkan menerusi Konvensyen Geneva.

  Setiausaha Luar Filipina, Albert F Del Rosario juga mengakui kumpulan berkenaan sebagai pengganas kerana bertindak di luar batasan perundangan.  Mereka bukan saja memalukan negara sendiri  dengan menceroboh kedaulatan Malaysia, bahkan bertindak di luar peruntukan undang-undang Filipina.

  Perlembagaan Filipina melarang mana-mana rakyatnya menubuh atau membentuk pasukan keselamatan sendiri di samping melarang mereka menceroboh wilayah negara lain walau apa pun alasan yang diberikan. Hubungan serantau dalam konteks ASEAN amat jelas melarang mana-mana anggota mencampuri urusan negara lain.

  Sejak ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN sentiasa mengutamakan kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam usaha mewujudkan suasana menang-menang dalam persekitaran global yang tidak menentu.

  Kita harus berbangga kerana Malaysia mempertahan prinsip berkecuali walaupun pada ketika tertentu beberapa jiran bergolak dalam isu keselamatan. Ancaman pejuang Islam di selatan Thailand dan Filipina tidak pernah kita campuri, malah Malaysia dilantik sebagai pendamai isu pejuang Moro.

  Apabila isu keselamatan dipolitikkan, semakin ketara penangan politik menghalalkan cara diamalkan pihak tertentu di negara ini. Ketika debaran rakyat menanti keamanan dipulihkan di kawasan bergolak, kerajaan melakukan apa saja bagi memastikan maruah dan kedaulatan dipertahankan.

  Tindakan ketenteraan tidak boleh dianggap kezaliman kerana kita mengharapkan Malaysia yang aman dan berdaulat. Kita wajar berdoa Sabah kembali aman dan maruah Malaysia tidak tercalar. - Berita Harian, 7 Mac 2013
 

Wednesday, March 06, 2013

Ke mana pengundi baru?

 Jika dulu kempen secara terbuka dilakukan menerusi majlis ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah, tetapi Pilihan  Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi ‘pilihan raya media sosial’ pertama di negara ini berikutan peningkatan penggunaan internet sebagai mekanisme berkempen.

 Kesannya boleh dilihat dengan jelas sekarang.  Banyak ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk menyalur pandangan, memberi reaksi  isu semasa dan menyelar musuh politik mereka menerusi media sosial.  Penggunaan blog dan  portal berita  mula ketara   ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 pada  8 Mac 2008, berbanding 2004.

 Dari segi sejarah, rakyat Malaysia mula memanfaatkan internet sejak 2 September 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat jawatan dalam parti dan kerajaan.

 Ketika itu banyak laman web  mempertikaikan kepemimpinan negara,  lantang menyokong Anwar, seolah-olah individu berkenaan bebas daripada segala unsur rasuah dan isu moral.

 Seruan mengadakan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada setiap petang Sabtu tersebar menerusi internet dan Anwar dijulang sebagai wira yang dijatuhkan kerana unsur politik. Malah, isu liwat, mata lebam dan dakwaan kronisme membabitkan pemimpin utama ketika itu diulang siar berkali-kali, seolah-olah   cerita yang tidak benar menemui kebenaran di media baru.
Internet jadi hakim

 Ketika itu internet sudah menjadi hakim dan pendakwa yang berulang kali menuduh dan mendakwa pihak yang tidak disenangi sebagai diktator, sekali gus mengangkat individu yang disokong sebagai pembela marhaen.

 Rakyat Malaysia juga mula mengenal internet sebagai saluran kempen yang luar biasa, menggantikan surat layang dan ceramah umum yang dianggap semakin terhad dan kurang agresif.

 Suasana politik pada 2003 hingga 2009  ketika  era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi diterjemahkan menerusi media sosial apabila  tohmahan  terhadap  pentadbiran beliau secara terbuka.
 Abdullah bukan saja menerima imej antagonis, bahkan menjadi bahan jenaka dalam kalangan penulis blog.

 Kini dengan  17 juta pengguna internet di Malaysia, aliran maklumat dan ruang perdebatan semakin terbuka apabila media sosial dimanfaatkan untuk berkempen, menyalurkan pandangan serta memberi gambaran bentuk kepemimpinan pada masa akan datang.

 Justeru, tidak menghairankan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaitkan media sosial sebagai bentuk kempen cara baru yang boleh memberi kesan kepada pengundi.

 Kehadiran pengundi muda yang dianggap aktivis media sosial memberi kesan besar terhadap pola pengundian dan calon yang bakal menerima sokongan nanti.

 Generasi muda berbeza golongan lebih dewasa kerana mereka tidak terikat dengan kecenderungan politik tertentu. Mereka bukan saja kurang memahami perasaan mengenang budi secara kepartian, bahkan sinikal dan kritis dalam isu tertentu termasuk pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam.

Fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur  mendaftar sebagai pemilih.

 Angka ini sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia iaitu 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi PRU-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi kali pertama.

 Di tangan mereka bakal menentukan nasib 222 kerusi Parlimen yang bakal menentukan pihak mana bakal menguasai Putrajaya tidak lama lagi.

 Media sosial dengan pelbagai suara dan nada mula memberi gambaran calon bagaimana yang bakal dipilih dan parti mana yang bakal disisih.

 Ahli politik yang gagal memahami isyarat media baru bakal berdepan kesukaran apabila media tradisional semakin dicabar.

 Lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO.  Penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu, sebaliknya  berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.

  Perang menerusi media baru  bakal menentukan calon bagaimana akan dipilih. Pengundi hari ini tidak lagi peduli dengan tokoh yang sibuk menabur tar pada jalan becak atau bantuan tandas percuma  menjelang hari pengundian.

 Mereka menilai jati diri dan perjuangan seseorang wakil rakyat selama tempoh perkhidmatan. Wakil rakyat yang gagal memahami  isyarat dari bawah akan berdepan kenyataan pahit di peti undi. Mereka sepatutnya belajar daripada Pilihan Raya  Umum  2008 apabila banyak nama besar kecundang kerana gagal mendapat sokongan pengundi baru terutama golongan atas pagar.

 Media sosial sekali lagi bakal menterjemahkan sejarah baru dalam proses demokrasi di Malaysia! - 6 Mac 2013

Tuesday, March 05, 2013

Saudagar air jampi


Jika menipu boleh dianggap industri paling mudah untuk mendapatkan wang, tentu ramai yang menjadikan penipuan sebagai kerjaya tetap.

 Tanpa memerlukan modal, permit perniagaan dan premis, seseorang boleh menjana keuntungan dengan memperdaya orang ramai  termasuk di ruang saf solat di masjid.

 Dengan hanya bermodalkan air liur dan bahasa tubuh yang meyakinkan, mereka boleh menjanjikan apa saja termasuk   syurga, keberkatan hidup, kekayaan dan panjang umur.

 Sasterawan Marsli NO menerbitkan  kumpulan cerpen  Penipu  (1997) yang secara langsung mengolah kehidupan dunia tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya kepada peribadi dan awam.  

Penipuan hampir menjadi sebahagian   budaya kehidupan moden apabila kita menilai hayat dengan ganjaran kewangan serta kesenangan hidup, bukan dosa dan pahala.

 Hari ini  penipuan diperdagangkan secara terbuka. Ada pihak   menjual air jampi bagi mendapatkan keuntungan lumayan.

 Dengan berbekalkan ayat al-Quran, hadis dan mantera, air jampi dijual secara terbuka kononnya mengelak bala, mudah dapat jodoh, pendinding, cegah santau, pelalau,  gangguan jin dan makhluk halus.

 Penjual air jampi yang lazimnya berjubah, berkopiah dan berjanggut memulakan ‘iklan’ dengan   ayat al-Quran dan memuji kebesaran Ilahi sebagai pendinding  kejahatan yang dihasilkan makhluk halus.

 Ada  yang terpedaya dengan helah penipuan berlandaskan agama, hingga mendorong sesetengah jawatankuasa masjid membenarkan premis  menjadi pusat  jualan air jampi.

Akhirnya agama dikaitkan dengan tahyul. Air jampi, mitos  kesucian dan kebenaran menjadi agenda memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi.

 Kita bimbang apabila agama diperdagangkan, seperti juga penipuan,  menjadi modal untuk meraih pendapatan segera.

 Lebih malang, apabila orang yang bergelar ulama dan lancar menghafaz al-Quran dan hadis, menggunakan nikmat Allah untuk menipu golongan   kurang cerdas.

 Ada pihak yang menubuhkan pusat rawatan Islam kononnya mengubat gangguan makhluk halus dan jin.

Tidak terkecuali juga haji, kiai dan syeikh yang merawat sakit misteri anak dara, janda dan isteri orang kena dakwa di mahkamah kerana mengambil kesempatan ketika menjalankan rawatan cara Islam secara berdua-duaan di dalam bilik. 

 Ada juga tauke restoran yang mempamerkan  ayat al-Quran dan gambar Kaabah  pada dinding kedai makan semata-mata   membuktikan keislaman mereka.

 Lebih memeranjatkan, ada kawasan rawat dan rehat (R&R) dijadikan lokasi menjual air jampi yang kononnya hasil bacaan doa seorang tahfiz sebuah madrasah di Pakistan.

 Tidak memeranjatkan apabila Menteri   Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang  kian berleluasa.

 Isu ini sepatutnya  sudah lama diperdebatkan kerana membabitkan akidah dan penganiayaan awam.
 Dari segi sejarah, perkembangan perubatan Islam berlandaskan al-Quran, hadis dan bacaan doa yang membabitkan pasrah kepada Allah.

Tokoh perubatan seperti Ibnu Sina  (Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina) tidak pernah menjual air jampi untuk menyenangkan hati pesakitnya.

Beliau yang dikenali di Barat  dengan nama Avicenna  seorang pengkaji al-Quran dan sastera sejak remaja sebelum mendalami  bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia dan kosmologi.  

 Sejarah tidak pernah membenarkan penipu menjadi tokoh penting dalam sesebuah masyarakat.
Akal jumud dalam kalangan kita sendiri yang membenarkan penipuan sebagai kegiatan untuk memperdaya orang ramai.

Hari ini ada Melayu   menjadi mangsa perniagaan lembu, lintah, haruan dan kambing yang kononnya mendatang keuntungan lumayan,

 Modus operandi hampir sama – ayat al-Quran, imej jubah dan ketayap dipergunakan untuk menunjukkan kebaikan kepada awam.

 Selagi Melayu masih mempercayai kekayaan segera boleh dicipta sekelip mata, selama itulah bangsa kita kekal terperangkap dengan sihir air jampi yang diperdagangkan    ulama jadian.
 Semangat untuk meraih kekayaan segera menjadi punca Dasar Ekonomi Baru gagal menepati sasaran. Puncanya, Melayu masih bertongkat dalam perniagaan. Air jampi dan dongeng ulama menjadi cabaran usaha membentuk negara berpendapatan tinggi selepas 2020. - Berita Harian, 5 Mac 2013 

Monday, March 04, 2013

DAP utamakan Cina, ketepikan Melayu

Dulu, kini dan selamanya DAP tidak pernah mengutamakan kepentingan bangsa lain kerana lebih mementingkan isu kecinaan. Jika dekad 1970-an mereka memperjuangkan penubuhan Universiti Merdeka yang bertujuan mengetepikan kepentingan bahasa Melayu sebagai pengantar utama, kini mereka masih memperjuangkan isu sekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang dianggap tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.

  Mereka sengaja menafikan usaha kerajaan yang sentiasa membuka peluang pendidikan kepada semua kaum, berbeza dengan apa yang berlaku di Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan  Filipina.

  Sejak ditubuhkan pada 18 Mac 1966,  DAP lebih mengutamakan isu perkauman dan hak asasi untuk meraih perhatian pengundi kawasan bandar.Parti serpihan PAP di Singapura itu pernah disertai beberapa tokoh Melayu, tetapi akhirnya bertindak meninggalkan DAP kerana tidak tahan kerenah beberapa individu yang menguasai gerakan siasah itu.

  Ramai yang tidak percaya kononnya DAP akan merestui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. DAP akan memilih calon yang boleh mereka kuasai.

  Hasrat DAP mahu bertanding lebih 150 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan mereka akan meletakkan calon Melayu sebagai boneka Perdana Menteri jika berkuasa nanti. Dengan peruntukan kempen perbelanjaan dianggarkan RM15 juta, DAP kini giat turun padang termasuk di kawasan campuran bagi memastikan calon Melayu mereka menang. 

  Pada PRU 2008, DAP bertanding 49 kerusi Parlimen dan 102 kerusi DUN dengan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 63 kerusi DUN.

  Bagaimanapun ramai yang sedar tokoh Melayu dalam DAP adalah alat untuk menutup niat sebenar parti perkauman itu. Bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang pada suatu masa dulu begitu naif berfikir bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum, mengetahui keadaan sebenar apabila menganggotainya.

  Pemimpin veteran DAP Melayu, Ahmad Ton pula menyifatkan DAP akan menghadapi masa depan yang kabur jika pemimpinnya tidak meluaskan konsep Malaysian Malaysia.  Sejak 1969, DAP mempunyai enam ahli politik Melayu yang menang dalam pilihan raya termasuk Ibrahim Singgeh  (Tapah Road, sekarang Air Kuning);  Hassan Ahmad (Si Rusa) dan Fadzlan Yahya (Pasir Bedamar), manakala, Ahmad Nor adalah ahli DAP Melayu pertama terpilih sebagai Ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Bayan Baru pada 1990.

  Sasterawan Dharmala NS atau Abdul Muluk Daud pernah menjadi ahli DAP dan mengambil keputusan keluar parti apabila menyedari parti berkenaan memperalatkan Melayu untuk mengaburi niat sebenar. Keadaan sama juga dialami Datuk Zainal Rampak yang pernah menjawat Timbalan Pengerusi  DAP Selangor pada awal 1990-an.

  Abdul Muluk dalam buku  Antagonis Melayu mendedahkan pengalaman peribadi ketika menjadi ahli termasuk menjawat Timbalan Setiausaha Agung DAP.  “DAP hanya dikuasai individu tertentu,” akuinya.

  Beliau menggariskan faktor DAP tidak mendapat sambutan kerana tidak ada pemimpin Melayu yang konsisten dalam parti.  Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri keturunan Melayu gagal menarik perhatian pengundi Melayu.

Mereka sekadar pengikut kepada pemimpin Cina serta terlalu bergantung kepada kawasan Cina untuk menang pilihan raya.   Buku berkenaan juga mendedahkan surat Abdul Muluk kepada Lim Kit Siang bertarikh 20 November 1999.

  “Kita menentang kronisme dan nepotisme, tapi saudara mengamalkan. Kita mahu kebebasan, keadilan, demokrasi dan kerajaan yang baik, tapi saudara membelakangkan prinsip ini,” tegas Abdul Muluk.

  Beliau juga kesal Melayu hanya didekati oleh pemimpin DAP semata-mata untuk mengekalkan status quo mereka.   “Kerana prinsip,  saya mempertahankan bahawa pemimpin Melayu dalam DAP hanya layak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
“Saudara menolak saya menjadi calon di kawasan Parlimen Seputeh atas alasan akan kalah kerana majoriti pengundi Cina. Tapi pada masa sama saudara meminta saya menjadi pengerusi cawangan Seputeh,” tegasnya.

  Krisis dalaman DAP mendorong wujud Team A dan Team B. Abdul Muluk dikaitkan rapat dengan Liew Ah Kim, Wee Choo Keong dan Fung Ket Wing.  Beliau juga rapat dengan Fan Yew Teng,  bekas Ahli Parlimen Kampar (1969) dan Menglembu (1974), serta ADUN Petaling Jaya (1975).  Fan meninggalkan DAP pada 1978 dan menyertai Parti Demokratik Sosial (SDP). - Berita Harian, 4 Mac 2013 

Friday, March 01, 2013

Cah keting UMNO Kelantan

Lebih 20,000 hadir pada Himpunan Perdana Anok-Anok Klate di Perantauan 2013 di Stadium Putra,  Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu. Sebelum ini laungan ‘Gelombang Merah’ dan ‘Tukar’ oleh 10,000 rakyat Kelantan, sebagai simbol kebangkitan rakyat di Kota Bharu.Ia secara jelas gambaran sikap penduduk yang mahu perubahan kerajaan negeri pimpinan PAS sejak 1990.

Hampir 23 tahun PAS mentadbir Kelantan dengan pelbagai kerenah dan drama politik yang menarik. PAS berkuasa kerana UMNO lemah ekoran pemilihan dalam parti pada 1987 di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan Presiden parti.

Pertelagahan dalaman menyebabkan UMNO diharamkan pada 1988 dan usaha memulihkan semula parti berkenaan menghadapi pelbagai rintangan. Tengku Razaleigh dan Tunku Abdul Rahman Putra berusaha memulihkan UMNO asal tetapi gagal. Dr Mahathir berjaya menubuhkan UMNO baru yang dikatakan mewarisi semangat parti asal tetapi ditentang pelbagai pihak terutama veteran parti.

Tengku Razaleigh akhirnya menubuhkan Semangat 46 mengambil pendekatan bergabung dengan PAS dan DAP bagi mencabar kuasa BN pada 1990.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mungkin tewas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990 jika ahli bersatu dan menjadikan perjuangan pembangunan bagi memajukan  Negeri Cik Siti Wan Kembang.

PAS berkuasa di Kelantan kerana UMNO lemah dan kesannya dialami oleh rakyat selama 23 tahun. Hari ini, 500,000 penduduk Kelantan berhijrah terutama di Lembah Klang kerana faktor ekonomi dan keselesaan.

Sebahagian mereka menjadikan tempat asing sebagai ‘Kelantan baru’ tanpa mengubah cara penampilan, loghat dan warisan budaya negeri Pantai Timur.

Bagaimanapun, kesetiaan kepada negeri asal tidak boleh dinafikan. Sebahagian besar perantau kembali ke Kelantan pada musim perayaan dan cuti sekolah. Lebih unik sebahagian besar mereka membayar zakat di Kelantan walaupun mencari rezeki di perantauan.

Dari segi politik pula, ramai anak Kelantan lebih cenderung mengundi di negeri kelahiran. Lebih 150,000 perantau dijangka pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Mereka adalah 15 peratus daripada jumlah 900,000 pengundi berdaftar di Kelantan.

Suasana sekarang memihak kepada UMNO jika ahli dan pemimpinnya bersatu. Sikap ‘cah keting’ yang sering diperkatakan wajar dihapuskan demi pembangunan Kelantan  sendiri.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengharapkan rakyat memberi peluang kepada BN.

“Rakyat Kelantan tidak sabar tengok perubahan, tunjukkan kemampuan kita, bersatu dan gegarkan Kelantan, kita boleh bawa kejutan besar,” katanya ketika  berucap di atas lori di depan bangunan UMNO negeri, sempena Pelancaran Konvoi Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (TUKAR) dan Kebangkitan Rakyat.

Harapan Mustapa sepatutnya diterjemah menerusi tindakan. Paling ketara sikap segelintir veteran UMNO masih diragui. Banyak majlis politik dianggap sepi hingga menimbulkan persoalan sejauh mana  ‘cah keting’ tidak berlaku.

Dari segi sejarah, UMNO Kelantan berada di puncak pada era Tengku Razaleigh. Beliau bukan saja menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO dan Menteri Kewangan sehingga pertengahan dekad 1980-an, bahkan berjaya menguasai gerakan siasah di Negeri Serambi Makkah itu.

Bagaimanapun, tindakan ‘cah keting’ menyebabkan Tengku Razaleigh tewas dua kali ketika  merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Tun Musa Hitam pada 1982 dan 1984. Ada ahli UMNO Kelantan yang tidak mahu beliau menang jawatan tinggi dalam parti kerana bimbang boleh menjejaskan kepentingan peribadi dengan Pusat.

Pada hari ini, kecenderungan sabotaj parti amat dibimbangi. Pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, ada tokoh UMNO yang sepatutnya tidak kalah tapi tewas kepada lawan yang tidak dikenali umum. Hal sama berulang beberapa kali di Kelantan kerana isu ‘cah keting’ akan menular apabila soal pencalonan, agihan projek dan peluang menjadi rebutan.

Mustapa perlu bersedia menghadapi realiti sebenar masyarakat Kelantan. Bukan semuanya bersama beliau pada majlis rasmi akan mengambil pendirian sama pada hari pengundian.

Tokoh tempatan yang dirasakan tidak sesuai lagi bertanding perlu bersedia memberi tempat kepada muka baru. Jika PAS Kelantan berusaha memilih calon muda yang lebih berwibawa pada pada pilihan raya ini, UMNO wajar meletakkan tokoh yang boleh menang.

Usaha menawan Kelantan akan lebih manis jika isu royalti minyak dapat diatasi secepat mungkin. Ramai jentera penerangan UMNO yang mengeluh apabila mereka gagal menjelaskan secara tepat isu royalti minyak ketika berdepan dengan bakal pengundi. - Berita Harian, 1 Mac 2013