Pages

Tuesday, September 25, 2012

Hui Yee, Faridah serlah nilai kasih sayang

Tee Hui Yee, 18  dan Faridah Sampik, 57, hanya dua insan yang tidak pernah menjadi idola ramai. Mereka hanya anggota masyarakat yang kebetulan ibu dan anak angkat walaupun berbeza agama dan kaum.

  Tragisnya, ibu dan anak angkat itu dipisahkan takdir 18 September lalu. Anak angkat yang tinggal di Batu Pahat meninggal kerana komplikasi jantung  dan ibu angkat yang tinggal  di Kuala Lumpur menceritakan pengalaman pertemuan terakhir beberapa minggu lalu. 

   “Mummy tidak dapat mesej SMS Tibeh ya...Tibeh datang hendak bermanja dengan Mummy,” adalah antara kata akhir Hui Yee, gadis jantung mekanikal yang menjalani dua pembedahan menerima jantung penderma.

  Hui Yee  memanjakan dirinya sebagai Tibeh sejak bertahun. Panggilan itu juga menimbulkan kasih sayang dan simpati. Faridah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada anak angkat di rumah mayat Cina, Jalan Fatimah, Batu Pahat  pada 19 September lalu.

   Kisah gadis ini meruntun hati apabila dia merayu orang ramai menderma jantung pada September 2007 selepas bergantung hidup kepada jantung mekanikal selama setahun. Bagaimanapun tiada siapa yang sudi menderma jantung kerana kebanyakan rakyat Malaysia hanya sekadar simpati di bibir.

  Dia kemudian menerima jantung remaja Melayu dari Perak yang maut dalam kemalangan. Bagaimanapun, sehari selepas menjalani pembedahan 10 jam, dia sekali lagi terpaksa dibedah selepas badannya menolak  jantung berkenaan.

  Hui Yee kemudian menjalani pembedahan kedua hampir tujuh jam selepas menerima jantung penderma baru pada 5 Oktober 2007 dan dibenarkan keluar Institut Jantung Negara  (IJN)  pada 2008.

  Moral ceritanya adalah kasih sayang tidak pernah mengenal rupa, warna kulit, bangsa dan agama. Kasih sayang juga tumbuh di jiwa seseorang hingga sanggup menghadiri majlis kematian tanpa rasa bersalah terhadap persekitaran dan lingkungan adat.

  Faridah dan Hui Yee tentunya model 1Malaysia yang sepatutnya melihat kasih sayang dan perasaan tanpa batasan agama dan kaum. Mereka dalam kesederhanaan hidup masing-masing melihat persamaan ketika kehidupan kian mencabar. Tidak ramai insan seteguh Faridah yang sanggup ke majlis   membabitkan adat dan agama kaum lain. Faridah membuktikan dirinya berbeza daripada kebanyakan warga Malaysia.

  Hui Yee pula mendedahkan sesuatu yang tidak kena kerap berlaku dalam kalangan kita.  Dia pernah menderita bertahun dan merayu pendermaan organ. Tapi malangnya suara Hui Yee  sekadar angin lalu. Dia bukan personaliti terkenal yang boleh menggamit perhatian ramai. Isu derma organ dianggap tabu. Tiada siapa berani melakukan sesuatu yang dianggap ‘gila’ ketika semakin ramai yang mengalami pelbagai penyakit kronik. Dua pertiga   pesakit  dalam senarai menunggu untuk menerima organ meninggal dunia sebelum sempat memenuhi hasrat itu.

  Perangkaan Pusat Sumber Transplan Nasional sehingga Jun lalu, menyenaraikan lebih 15,000 pesakit  bertarung nyawa untuk mendapatkan pelbagai jenis organ.  Angka dan anggaran kematian akibat penyakit kronik semakin meningkat seiring pertambahan bilangan pesakit baru yang mendaftar untuk mendapatkan organ.

  Lebih 4,000 pesakit baru memerlukan buah pinggang setiap tahun, tidak termasuk ribuan pesakit sedang menanti bahagian organ lain seperti injap jantung, jantung, mata, kornea dan paru-paru.
   Pusat Sumber Transplan Nasional menerima antara 30 hingga 40 penderma organ setiap tahun. Jumlah tertinggi direkodkan ialah 47 penderma beberapa tahun lalu.

  Walaupun Melayu kaum majoriti di Malaysia, Melayu juga paling rendah mendaftar sebagai penderma berbanding bangsa lain walaupun senarai tertinggi yang menunggu organ adalah Melayu.

  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meletakkan Malaysia masih dikategorikan antara negara mencatatkan bilangan terendah rakyat mendaftar sebagai penderma organ, kira-kira 0.7 peratus daripada keseluruhan penduduk 28 juta orang.

  Walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menetapkan hukum pemindahan dan pendermaan organ harus, masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sampai bila? - Berita Harian, 25 September 2012 

Tuesday, September 18, 2012

The Satanic Verses & Innocence of Muslims

Penulis harus akui terpaksa membawa masuk beberapa karya untuk telaah dan penelitian peribadi. Alasannya, sesetengah peraturan dan hukum hidup di negara kita masih terbelenggu dengan kekangan lama.  Bukan semua hasil kreatif dan intelek boleh beredar dalam masyarakat. Halangan agama, adat, prejudis dan sensitiviti kaum sering dijadikan alasan  menghalang  karya tersebar.
 
Ada  alim seni dan agama menjadi hakim  menentukan  karya boleh diedar secara bebas, sekali gus menentukan sama ada karya yang dianggap haram dan tabu. Mereka seolah-olah penentu dosa dan pahala  karya. Mereka sepatutnya membezakan antara penelaah seni dengan peminat karya.
  Penelaah sentiasa mengkaji karya dan kemungkinan yang terdapat di sebalik jalinan plot dan tema. Peminat  pula lazimnya tergolong dalam kalangan karya popular yang sentiasa melihat seni sebagai wahana hiburan semata-mata.
  Novel The Satanic Verses karya Salman Rushdie yang diterbitkan pada 1988 mengocakkan seluruh dunia. Isunya Rushdie menghina Nabi Muhammad SAW dan sejarah Islam.  Pemimpin agama Iran, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini (17 Mei 1900 - 3 Jun 1989) memberi arahan bunuh terhadap Rushdie yang dianggap murtad dan merosakkan akidah manusia.   Beberapa ulama dan ahli sebuah parti politik tempatan pula kecoh memperkatakan The Satanic Verses walaupun mereka mungkin tidak mengenalinya sebelum itu.

  Pandangan umum adalah sesebuah karya dianggap haram kerana isu agama semata-mata. Mereka lupa menjadikan seni analisis sebagai landasan untuk mengkaji  karya. Ada yang  menilai  isu dari sudut tertentu dan menafikan pandangan  lain. Pengkaji seni pula  menganalisis  karya berdasarkan sistem tanda dan isyarat. Mereka tidak melihat sudut agama semata-mata, bahkan menilai karya sebagai sebuah dunia tersendiri.

  Membelakangi tradisi pengkajian bakal melahirkan golongan malas berfikir. Ia tidak selaras bagi  bangsa yang mendakwa sudah merdeka. Sikap ini melahirkan kalangan jumud yang sukar menerima pandangan di luar pemikiran perdana.

  Penulis membeli The Satanic Verses ketika berkesempatan ke Asia Barat pada 1989. Ketika itu beberapa kenalan membelinya di Hong Kong, Bangkok dan Singapura yang tidak sensitif mengenai isu agama.

  Prof Madya Dr Abdullah Tahir berbangga kerana memiliki fotostat The Satanic Verses yang diperoleh menerusi seorang teman yang rapat dengan pimpinan negara ketika itu.   Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri A Samad Ismail meminjam The Satanic Verses daripada penulis yang ketika itu menjadi pelajarnya di sebuah syarikat penerbitan.

  Reaksi Samad amat menarik. Beliau tidak hairan The Satanic Verses dianggap melampau kerana banyak sasterawan Malaysia sudah menelaah cerpen  Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin.

  Sehingga kini isu hak cipta dan kebebasan kreatif menjadi perdebatan umum di Jakarta. Ada sarjana yang meragui penulis sebenar Langit Makin Mendung yang diterbitkan Majalah Sastra, pada Ogos 1968. Ada yang mendakwa Ki Panji Kusmin tidak wujud. Ia jelmaan penulis lain. Mungkin WS Rendra, mungkin juga Pramoedya Ananta Toer.  Ada yang mendakwa penulisnya seorang komunis kerana latar belakang karya ketika kemuncak Perang Dingin.
 
Sehingga kini misteri insan bernama Ki Panji Kusmin menjadi rahsia umum.  Penulis menemui cerpen ini di Jakarta yang dimuatkan dalam sebuah kajian pengkritik terkenal Indonesia, HB Jassin (Hans Bague Jassin, 13 Julai 1917 – 11 Mac 2000).
  Keadaan sama  berlaku terhadap beberapa filem besar arahan Steven Spielberg. Karyanya amat dicurigai semata-mata beliau seorang Yahudi. Namun, peminat seni di Malaysia bertuah kerana dapat menonton Saving Private Ryan  dan The English Patient yang suatu ketika amat dicurigai pegawai Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).
  Bagaimanapun nasib karyanya, Schindler’s List (1993) agak malang kerana isu Perang Dunia Kedua dan penindasan terhadap Yahudi oleh Adolf Hitler dianggap  agenda Zionis. Penulis memperoleh cakera video digital (DVD) Schindler’s List  pada 2011 di Bandung, iaitu selepas 18 tahun filem ini ditonton dan dinilai  peminat dan pengkaji seni seluruh dunia!
 
Kini filem Innocence of Muslims hangat diperkatakan hingga Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stenvens dibunuh 12 September lalu. Lesen kreatif sekali lagi mencabar kewarasan beragama. Mampukah manusia kreatif bersikap waras kepada agama? - Berita Harian, 18 September 2012

Tuesday, September 11, 2012

Rumah terbuka citra nilai Melayu baru

Masyarakat Melayu lama tidak pernah menyambut Aidilfitri sepanjang Syawal. Mereka paling lama pun sambut hari raya selama tiga hari. Hari keempat Syawal lazimnya mereka ke sawah atau menangkap ikan. Yang menjadi buruh terus membanting tulang dan penoreh memperagakan tulang empat kerat di pinggir bukit.

  Suasana tradisi lebih berpihak mencari makan seadanya. Amalan  bermaafan dan ziarah diamalkan sepanjang masa. Rumah mereka sentiasa terbuka, tidak tertakluk kepada Aidilfitri untuk bersalaman dan bermaafan. Bagi mereka, Syawal hanya sebahagian daripada kesinambungan bulan yang menganjurkan manusia beribadat dan menjalankan tradisi muafakat.

  Hanya pada dekad 90-an, budaya baru terbentuk hasil perkembangan ekonomi dan perubahan cara hidup. Melayu sambut raya selama sebulan.   Tahun ini 16 September yang dianggap Hari Malaysia tepat pada hari terakhir Syawal. Cuti umum tentunya dimanfaatkan untuk majlis rumah terbuka. Mereka menggunakan alasan Syawal untuk menjemput saudara mara dan rakan ke majlis kenduri. Jika tiada Syawal, majlis rumah terbuka tidak diadakan.

 Konsep Melayu moden meletakkan kehidupan sebagai milik peribadi, berbeza suasana tradisi yang wujud sebelum dekad 80-an. Jati diri Melayu berubah mengikut perubahan masa dan tradisi muafakat yang kita kaji dari kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah mulai tercabar.
  Melayu pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) mengalami perubahan drastik dari segi cara hidup dan sistem nilai. Dasar kerajaan yang mengutamakan agihan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat memberi kesan terhadap struktur masyarakat itu sendiri.
  Konsep profesionalisme dikaitkan sebagai ‘penjualan’ tenaga dan kepakaran. Melayu turut terbabit menjual tenaga dan kepakaran untuk mendapat upah. Ahli kapitalis meletakkan pasaran pekerjaan sebagai penentu nilai sosial seseorang. Semakin tinggi kepakaran yang dimiliki mendorong kadar upah yang tinggi.
 Peningkatan ekonomi, taraf hidup dan prasarana tanpa sedar mengubah identiti Melayu dan budayanya. Sistem nilai yang turut berubah menjadikan saingan dalam pasaran pekerjaan lebih utama daripada mengekalkan amalan muafakat dan tradisi gotong-royong.
 Konsep kejiranan mulai terhakis dan kawasan perumahan moden yang dikaitkan dengan perbandaran menjadikan penduduknya lebih tertutup. Jika terdedah pun sekadar menikmati media baru yang terhasil daripada dasar langit terbuka.
  Amalan rumah terbuka pada bazar Ramadan dan Syawal menterjemahkan keunikan Melayu baru. Dulu hidangan Syawal dimasak sendiri oleh isteri dan ahli keluarga bagi meraikan tetamu. Juadah Ramadan disediakan oleh ahli keluarga mengikut kemampuan. Tidak timbul istilah bazar Ramadan atau katering kerana wanita Melayu ketika itu mempunyai masa yang cukup untuk memasak dan berlapang dada menyediakan masakan.
  Tuntutan masa dan perubahan cara hidup kini memaksa wanita turut bersaing ‘menjual’ kepakaran mereka dalam pasaran pekerjaan. Mereka keluar rumah sejak pagi dan kediaman hanya menjadi ‘sarang’ untuk berehat waktu senja dan malam. Perubahan suasana ini menyebabkan bazar Ramadan melata sepanjang bulan puasa dan katering menjadi tumpuan  majlis rumah terbuka Syawal.
  Kita harus akui katering dan bazar Ramadan adalah citra ekonomi Melayu moden. Semakin tinggi kuasa ekonomi di sesuatu kawasan semakin banyak perkhidmatan penyediaan makanan. Kuasa ekonomi mendorong majlis rumah terbuka diadakan sepanjang Syawal. Kuasa ekonomi juga mendorong sesetengah majlis Aidilfitri atau berbuka puasa diadakan di hotel lima bintang sebagai membuktikan kekuatan kewangan penganjur majlis.

  Paradoks pembangunan sering memberi gambaran terbalik. Penulis menghadiri majlis Aidilfitri di sebuah dewan agam. Malangnya, tidak jauh dari kawasan parkir, kalangan gelandangan merayau mencari makan. Mereka juga Melayu. Kontradiksi pembangunan!
  Ketika merayakan Hari Malaysia,  wajar juga kita menilai sistem kehidupan Melayu hari ini. Pencapaian DEB dan kesan kemelut dalaman UMNO pada 1987 berjaya membentuk identiti baru kepada sebahagian Melayu. Politik wang, persaingan kerjaya dan pasaran saham sebahagian daripada keretakan bangsa sendiri.
  Jangan terperanjat jika majlis terbuka Syawal sekadar acara tanpa semangat kemelayuan itu sendiri. Seorang teman secara sinis mengandaikan majlis rumah terbuka untuk tetamu yang dijemput saja! - Berita Harian, 11 September 2012
 

Sunday, September 09, 2012

Hasihin dedah nasib sebenar OKU

Hasihin Sanawi hanya insan biasa yang tidak pernah disebut namanya sebelum ini.  Dia bukan  Datuk  Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela Rinong Pamg yang pantas menjadi idola negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

 Kecekalan, semangat dan harapan  Hasihin jarang dilaporkan media kerana dia hanya  pemanah  orang kelainan upaya (OKU) yang menyertai saingan recurve individu lelaki W1/W2 di Sukan Paralimpik London 2012.

 Hasihin menang pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin, dalam pusingan penentuan selepas  terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir  di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London.

 Sebahagian anggota masyarakat sinis dengan pencapaian atlit OKU kerana status fizikal mereka yang dicurigai.

 Bagaimanapun  Hasihin membuktikan kekurangan fizikal ekoran terbabit dalam kemalangan ketika bekerja di sektor pembinaan tidak mencacatkan cita-citanya. Dia meraih pingat perak dan Malaysia mula menyebut namanya, walaupun tiada siapa yang tahu latar belakang kehidupan dan pencapaiannya sebelum ini.

 Memenangi pingat, apatah lagi pada status Olimpik untuk golongan OKU suatu pencapaian luar biasa. Jutaan manusia memerhati perkembangan jaguh paralimpik kita, tetapi malang  nasibnya di Malaysia hanya sekadar ucapan tahniah.

 Hasihin  disahkan tidak akan menerima sebarang pencen sepanjang hayat daripada  kerajaan. Jika Chong Wei menerima RM3,000 sebulan dan Pandelela (RM2,000 sebulan)  di samping pelbagai ganjaran kewangan lain, dia sekadar mengintai dari  jauh. Hasihin hanya boleh berbangga menatap pingat perak yang seakan-akan tidak memberikan apa-apa makna bagi mengubah nasib masa depannya.

 Kerajaan hanya bermurah hati memberi ganjaran RM200,000 tanpa jaminan memberi peluang pekerjaan  demi masa depan  Hasihin.

 Pada hari ini nilai RM200,000 terlalu kecil.  Apakah demikian nasib seseorang OKU  yang berjasa untuk negara tetapi sumbangan terlalu kerdil untuk dinilai?

 Apa yang berlaku kepada Hasihin  hampir sama dialami  2.8 juta  OKU lain. Mereka hanya  warga kecil yang jarang diperhatikan dalam apa bidang sekali pun. Malah, sebahagian besar mereka tersenarai dalam statistik kemiskinan walaupun negara sudah 55 tahun merdeka. Sebanyak  90 peratus OKU  mempunyai pendapatan di bawah RM1,500 sebulan. Nasib mereka tidak berubah walaupun kerajaan sentiasa berbangga pencapaian ekonomi yang bakal meletakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

 Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek  mudah dimengertikan: kurang minat menghargai pencapaian atlit OKU. 

 Walaupun Kementerian Belia dan Sukan mempunyai alasan tersendiri, masyarakat berhak mempersoalkan  bentuk layanan terhadap atlit normal dan OKU. Tidak mungkin Hasihin  boleh dianggap setanding  Chong Wei, Pandelela  atau Datuk Nicol David, tetapi apa salahnya jika kerajaan juga melihat Hasihin sebagai rakyat yang berbangga mengibarkan Jalur Gemilang di Kota London. Apa pun pertimbangan yang disebut oleh seorang menteri, masyarakat masih meyakini keadaan tidak wajar sengaja ditimbulkan.

  Hasihin sekadar dijanjikan  menerima ganjaran lain, selain imbuhan yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Kita yakin keadaan sama akan berlaku kepada atlit  paralimpik lain pada masa akan datang walaupun mereka meraih emas. Jika keadaan ini berterusan, tindakan holistik, kemanusiaan dan profesional perlu dilakukan.

    Hasihin mungkin lima tahun lagi tidak aktif kerana faktor  usia dan kesihatan. Kita tidak pasti apakah ada pihak yang bakal mengenang dan membantunya menghabiskan sisa hidup pada masa depan.

Ketika pelbagai pihak mendesak kerajaan  mewujudkan skim bayaran pencen untuk atlit paralimpik,  Ahmad Shabery sekadar berjanji: “Saya akan melakukan perbincangan pada peringkat Kabinet bagi mengenal pasti bentuk imbuhan lain yang lebih sesuai bagi kebajikan atlit paralimpik.”

 Ahmad Shabery berkata, jika dibandingkan  negara lain seperti Singapura dan Australia, Malaysia memberi elaun dan kemudahan yang lebih baik kepada atlit paralimpik.

 Kita tidak pasti sejauh mana nasib atlit OKU di negara lain terutama Australia tetapi yang kita pasti, kerajaan mereka menyediakan dana kebajikan OKU walaupun tidak menyertai mana-mana kejohanan bertaraf dunia. Kebajikan, jaminan masa depan dan skim insurans disediakan  kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Tidak adil membandingkan ganjaran di Malaysia dengan negara lain kerana peluang prasarana juga berbeza.

 Apa yang berlaku sekarang membuktikan Hasihin berjaya menyelongkar isu sebenar nasib OKU di Malaysia. Penghargaan, simpati dan peluang sekadar ungkapan. Tindakan lebih manusiawi perlu dilakukan selaras slogan Janji Ditepati yang berulang kali disebut  menjelang sambutan kemerdekaan ke-55.  - Berita Harian, 8 September 2012

Friday, September 07, 2012

Legasi Pak Samad untuk wartawan muda

 Hari pertama menjemputnya di sebuah banglo di Petaling Jaya, Tan Sri Abdul Samad Ismail menyinga: “Kenapa lambat sangat? Kamu sepatutnya tiba jam 9 pagi. Kelas bermula 9.30 pagi!”

 Kami tidak boleh menjawab. Kesesakan trafik dan sukar mencari lokasi kediaman beliau di Petaling Jaya menyebabkan kami terlewat 10 minit daripada temu janji sepatutnya.

 Esoknya, kami berazam untuk tidak menerima ‘kemarahan’  insan yang kami sebut Pak Samad itu. Kami tiba 10 minit sebelum jam 9 pagi. Kami lega kerana Samad tidak tercegat di pintu pagar seperti hari sebelumnya. Sebaik saja masuk ke halaman rumahnya, Samad meninggikan suara: “Kenapa awal sangat? Aku tak sempat pakai baju!”

 Dia kelihatan serius. Kami serba salah. Kemudian dia tergelak. Dan kami mula mengetahui hati budi insan yang dikenal Tokoh Wartawan Negara itu. Samad sentiasa kelihatan serius. Bagi insan yang kali pertama mengenalinya, Samad seorang sombong, bengis, tegas dan kurang tolak ansur.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi muridnya hampir setahun, Samad seorang guru yang penyayang, bertimbang rasa, kerap bercerita soal perjuangan dan menyeludup senjata ketika era konfrontasi.  Samad juga tidak lokek memasak sendiri bamia daging yang dicelup dengan roti keras di rumahnya. Kami kerap ke rumahnya kerana Samad bagai memaksa: “Jangan tak datang, aku masak bamia!”

 Kami  harus berterima  kasih kepada  Operasi Lalang pada 27 Oktober  1987 bagi mengawal suhu politik negara ketika itu. Seramai 106 individu ditahan dan tiga permit akhbar digantung kerana dikaitkan unsur perkauman.

 Keadaan politik yang tidak menentu memberi peluang kami berguru dengan Samad mengenai kewartawanan selama setahun. Beberapa  muridnya ketika itu kini bertugas  di Berita Harian dan Harian Metro  termasuk Zulkofli Jamaluddin, V Ashok, Azahar Md Taib, Abdul Wahab Aziz dan penulis. Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad juga berguru dengan Samad sebelum  bertugas di Universiti Malaya.

 Sebagai wartawan, pejuang kemerdekaan, sasterawan dan intelektual Melayu, Samad mempunyai reputasi tersendiri dalam khazanah sejarah negara. Beliau  pemimpin dalam dunia kewartawanan, tapi dia juga pengkritik seni yang sentiasa ‘marah’ kepada karya pasca modenisme.

 Samad pernah menegur penulis kerana menyiarkan cerpen yang disifatkan terlalu gila kerana tiada plot dan tiada watak. Samad bagaimanapun, sedia menerima penjelasan mengenai seni jika beliau sendiri kurang arif mengenai sesuatu genre.

 Hari ini kita mungkin tidak menemui lagi negarawan hebat seperti Samad. Pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Samad antara tokoh yang sering berhubung dengan Sri Perdana. Apabila ditanya, Samad sekadar berkata: “Mahathir sayang wartawan, sayang media, tapi dia tidak mahu laporan yang jejas wawasan negara!”

 Pada 4 September lalu, genap empat tahun Samad meninggalkan kita. Media kehilangan wartawan yang komited sepanjang zaman. Wartawan muda pula kehilangan bapa yang sentiasa mengherdik, sekali gus berlawak dengan wajah selamba.

 Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura dan pernah bertugas di  Utusan Melayu, Berita Malai dan menjawat  Pengarang pertama Berita Harian pada  1959.  Pada 1974 Samad dilantik  Pengarang Urusan kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). Beliau dilantik  Penasihat Jabatan Pengarang, NST  pada  1984-1988.

 Dalam bidang sastera pula, Samad adalah  antara Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (PENA ) di Kuala Lumpur.

 Beliau juga terbabit aktif dalam  isu  bahasa Melayu pada  Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai insan  kritis, Samad sentiasa memberikan pandangan bernas dalam isu Melayu dan perjuangan.
Ungkapannya dipetik The Singapore Standard pada 6 Mei 1953: “Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.”

 Kini Samad sebahagian daripada warisan kenangan dunia kewartawanan. Era mesin taip, kopi pekat dan merokok di bilik berita sudah berlalu. Namun semangat Samad untuk wartawan muda sentiasa dikenang.
Kita harus berbangga kerana hingga kini beberapa karyanya tersimpan di perpustakaan peribadi. Kail Panjang Sejengkal (1963), Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967),  Menduga Lautan Dalam dan  Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993)  adalah rakaman perkenalan peribadi kami. - Berita Harian, 7 September 2012
 

Tuesday, September 04, 2012

Kita nikmati karya sampah-sarap

Kita masih terhalang menikmati karya di luar pemikiran perdana. Walaupun ada yang mendakwa 55 tahun merdeka bermakna kita bebas menafsir dan membuat keputusan, tidak banyak karya  yang menduga minda untuk ditonton atau dibaca.

Justeru, kita kekal membaca buku atau novel popular, cinta kecundang atau jodoh tak sampai. Kita sekadar menonton filem gred B yang sekadar aksi  lasak dan cinta tiga segi. Kita jarang diberi peluang membaca buku yang mencabar minda atau menonton filem yang di luar pemikiran sendiri.

  Setiap tahun Hollywood menghasilkan hampir 1,000 filem dan Bollywood pula 1,500  judul. Hanya dua peratus karya mereka dianggap bermutu, berbanding yang berlambak di pawagam kita sekadar adegan ganas, cinta dan hantu. 

  Tiga filem yang paling mendapat sambutan dunia tahun ini bukan karya terbaik. Mission Impossible: Ghost Protocol (kutipan RM87 juta),  Sherlock Holmes: A Game of Shadows  (RM59.7 juta) dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (RM49.4 juta). Filem berkenaan sekadar hebat dengan teknologi dan kesan bunyi, bukan mutu dan mesej yang membentuk minda.

  Malang bagi peminat seni di Malaysia kerana kita dibekalkan dengan karya sampah-sarap, termasuk karya tempatan yang memaparkan cerita seram atau lawak murahan. Jika ada pun karya yang boleh dimanfaat, skrip lama masih berulang – sensitiviti agama, kaum, budaya dan klise Melayu. Karya yang baik diharamkan atau ditunda penayangan dan penerbitan.

  Keadaan berlarutan hingga menyebabkan filem Tanda Putera hanya ditayang pada 15 November. Polemik yang timbul bukan kerana seni analisis tapi hal di luar kesenian itu sendiri. Kononnya filem ini ada unsur perkauman dan keganasan. Ada yang mendakwa kepentingan politik kepartian. Kita sukar merumus tanpa menilai dan mengkaji sesebuah karya.

  Sebelum ini beberapa karya besar dunia dinafikan tayangan di Malaysia. Filem Schindler’s List (1993)  karya Steven Spielberg diharamkan Lembaga Penapis Filem kerana dikaitkan unsur Yahudi. Begitu juga Saving Private Ryan dan The English Patient kerana pengarahnya Yahudi. Kita menjadi tabu dengan Yahudi walaupun pada masa sama kita menerima idea mereka untuk sistem kewangan, teknologi, pengurusan dan politik.

  Begitu juga buku yang mencabar pemikiran dan tradisi turut menjadi mangsa keadaan. The Malay Dilemma oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan pada 1970 hanya berada di pasaran pada 1981 selepas beliau dilantik Perdana Menteri. Ada yang menuduh Dr Mahathir anti-Islam dan rasis. Selepas buku itu diteliti, dakwaan sebelumnya ternyata meleset.

  Tradisi kesusasteraan tidak pernah sunyi dengan polemik. The Satanic Verses karya Salman Rushdie diharamkan di banyak negara kerana menghina Islam serta memburukkan Nabi Muhammad dan Siti Aishah. Cerpen Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin tidak kurang mengundang kontroversi. Karya yang diterbitkan Majalah Sastra, edisi Ogos 1968 dianggap menghina peristiwa israk mikraj.
 
Sasterawan dan cendekiawan, Dr Kassim Ahmad juga tidak terkecuali menerima tempias apabila sajak Sidang Roh dianggap menghina Islam. Dia terpaksa menerima ganjaran mahal apabila ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata dituduh komunis.

  Bagi pengkaji yang jujur menilai, Sidang Roh tidak lebih sebagai karya seni yang mengungkapkan jiwa kacau apabila dunia menguasai minda manusia. Mungkin ‘dosa’ bagi sajak ini kerana ungkapan ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali, hari ini kita dewasa tanpa Tuhan tanpa impian/kerana besok mungkin terlalu lewat/bagi kiamat yang telah ditangguhkan.’

  Karya yang dihasilkan di Petaling Jaya pada Ogos 1960 adalah pengalaman peribadi penulis yang menghadapi cabaran pemikiran dan persekitaran urban.

  Dua buku yang diperdebatkan tahun ini adalah karya Irshad Manji dan Faisal Tehrani. Buku Allah, Liberty and Love diharamkan pengedaran kerana dikaitkan tafsiran bebas terhadap agama. Irshad yang didakwa lesbian pernah mengalami nasib sama di Indonesia apabila majlisnya terpaksa dibatalkan kerana bantahan gerakan Islam. Faisal yang menghasilkan Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang dituduh menyelitkan unsur Syiah dalam karya.

  Dari segi sejarah, novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako diharamkan British sebelum kemerdekaan negara. Mungkinkah selepas 55 tahun merdeka ada novel lain yang diharamkan? - Berita Harian, 4 September 2012

Monday, September 03, 2012

PAS jangan pedulikan Nasharudin

BUKAN menghairankan apabila khutbah Aidilfitri dan tazkirah Ramadan dipolitikkan.  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sepatutnya tidak terkejut kerana amalan demikian sudah wujud 50 tahun lalu. Jika dulu tazkirah dan khutbah dikaitkan serangan terhadap golongan taghut yang antihudud, kini nama pemimpin negara dipersendakan.

  Banyak khutbah mengandungi unsur kecaman terhadap pemimpin dan sistem pemerintahan diperkatakan. Bukan saja di Kelantan, bahkan negeri lain yang dikuasai  pembangkang membawa kecenderungan sedemikian.

  Sepatutnya Mustapa harus terkejut sejauh mana persiapan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menguasai Kelantan? Bersediakah strategi  Gelombang Merah menawan Kelantan atau Datuk Nik Aziz Nik Mat yang semakin uzur akan kekal sebagai peneraju Negeri Che Siti Wan Kembang sejak 1990?

  BN sentiasa dilihat mempunyai kekuatan mentadbir Kelantan. Malangnya sikap segelintir pemimpin dan penyokong yang menyebabkan rakyat  memihak kepada PAS sejak 22 tahun lalu. BN harus mengubah pendekatan untuk membangunkan kemudahan asas di Kelantan, bukan tunggu berkuasa untuk membina lebuh raya lebih baik. Royalti minyak sudah jadi tuntutan rakyat, bukan permintaan PAS atau tokoh UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Annuar Musa saja.

  Sepanjang musim perayaan, pembangkang mengatur pelbagai kegiatan untuk meraih undi. PAS Kelantan dan Terengganu meraikan kepulangan perantau untuk mendapat sokongan. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula membuat kempen  terbuka di pinggir jalan dan lebuh raya. Mereka menunjukkan sepanduk dan janji populis untuk menurunkan harga kereta jika berkuasa.

  Logik mereka - harga kereta diturunkan memberi manfaat kepada rakyat sebagai pengguna, kerajaan pula mendapat manfaat dari segi keuntungan pertambahan jualan, sekali gus melancarkan aliran tunai dalam masyarakat yang tentunya limpahan ekonomi menguntungkan rakyat dan kerajaan.  Tidak timbul syarikat jualan kereta terpakai akan lingkup jika harga kereta murah!

 Bagaimanapun PAS tidak sunyi dengan masalah dalaman. Kekurangan utama PAS adalah mencari tokoh yang mampu bercakap sesuai kepentingan semasa.

Hampir semua pemimpin PAS bercakap sesedap rasa walaupun merugikan parti. Ada yang  mudah terjebak dengan emosi hingga  masyarakat menilai pemimpin PAS kurang berfikir sebelum meluahkan pandangan. Isu bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, umpamanya diperkata secara terbuka menyebabkan  percanggahan pendapat.

  Nik Aziz dilaporkan meminta Nasharudin keluar PAS tapi kemudian  menyalahkan media yang salah laporan. Tokoh lain pula menjadikan Nasharudin  sasaran terbuka sedangkan Ahli Parlimen Bachok itu bukan seorang pemimpin yang hebat, sama ada di Bachok mahupun peringkat Pusat. Nasharudin hanya menjadi wakil rakyat hasil belas ihsan penduduk Bachok.   Isu sama berlaku kepada Datuk Hasan Mohamed Ali. Bekas pemimpin PAS Selangor itu tiada sejarah cemerlang sebagai ahli politik. Kehadirannya dalam PAS tidak mengubah apa-apa, seperti juga nasib parti itu tanpa Hasan.

  Bagaimanapun apabila ramai yang memperkatakan mengenai Hasan dan Nasharudin seolah-olah meletakkan mereka nama penting dalam politik negara. Mereka hanya ahli yang berani bercakap di luar pemikiran pemimpin PAS.

  Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob tidak perlu meminta Nasharudin membuat pengisytiharan rasmi setia bersama PAS atau tidak. Beliau sepatutnya sedar di mana kecenderungan Nasharudin kini.

  Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menyatakan kepemimpinan tertinggi PAS belum membuat keputusan  isu pencalonan Nasharudin. Sepatutnya kenyataan ini tidak timbul kerana kewujudan Nasharudin sebagai calon PAS tidak relevan lagi.    Begitu juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Mohamad Abduh, yang mempertikai tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud. Beliau tidak sepatutnya bersuara kerana isu hudud tidak akan tercapai kerana PAS dan DAP tidak pernah sepakat. Sandiwara mereka akan terbongkar suatu hari nanti.- Berita Harian, 28 Ogos 2012