Pages

Tuesday, March 30, 2010

Mengguna hukum akal dalam menapis maklumat disiar media



MEDIA dan kebebasan sering diperdebatkan. Sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), manusia sudah memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi. Media pula muncul apabila hak asasi dan kebebasan dikongsi untuk bertukar pendapat dan menyebarkan maklumat.

Hari ini teknologi maklumat menjadi perayaan sejagat. Hatta di sebalik Tembok Besar China mahupun pedalaman Sahara di Afrika, maklumat sudah menjadi agenda utama manusia. Sebanyak 20,000 penduduk China melayari internet setiap minit dan pada masa sama 50 penduduk Zambia menyertai sembang sosial di skrin komputer.

Sejak tercetusnya Perang Dingin pasca Perang Dunia Kedua, ledakan maklumat sudah sebati dengan agenda kuasa yang bertelingkah. Blok Nato (Pakatan Atlantik Utara) yang didukung Amerika Syarikat menggunakan pelbagai saluran untuk mengagungkan kekuatan kapitalisme, sekali gus merendahkan kemampuan blok Warsaw – Pakatan Negara Komunis di Eropah Timur pimpinan Soviet Union.

Amerika Syarikat bersama Britain, Kanada dan Australia sentiasa menjuarai isu kebebasan media. Bagi mereka, penderitaan rakyat Palestin di Asia Barat bukan keutamaan, tetapi serangan bunuh diri di Palestin, Iraq dan Iran adalah keutamaan.

Media berjaya berperanan seketika, tetapi tidak mampu selamanya menguasai pendapat dunia. Kejatuhan Shah Iran dan pembunuhan Anwar Saddat di Mesir membuktikan betapa media gagal melaporkan isu sebenar di negara terbabit. Kemiskinan, kerakusan kuasa, rasuah, isu moral dan seks di Iran dan Mesir di bawah pentadbiran dua pemimpin itu tidak didedahkan.

Rakyat hidup melarat. Media tidak melaporkan keadaan sebenar. Justeru, isu kebebasan media sekali lagi dipertikaikan. Apakah media bebas melaporkan keadaan sebenar atau media terperangkap di sebalik kuasa politik, pimpinan syarikat, pemegang saham atau ideologi wartawannya sendiri?

Media juga berjaya menonjolkan sindrom ketakutan ekoran serangan 11 September 2001 di New York. Serangan pusat ekonomi dunia dikaitkan dengan pengganas Islam. Semua pihak yang inginkan kedamaian dipengaruhi supaya memihak kepada Amerika Syarikat menentang keganasan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush memberi amaran bahawa dunia tidak aman dan semua pihak perlu sokong Rumah Putih menentang keganasan. Media turut berperanan kononnya pengganas adalah umat Islam dan berpusat di Afghanistan, Iraq dan Iran.

Kempen menentang pengganas sering dikaitkan dengan kegiatan menafikan hak asasi umat Islam sejagat. Media dan kebebasan juga sering menjadi tumpuan terutama di negara sedang membangun seperti Malaysia. Apakah kebebasan media bererti membenarkan semua pihak bersuara mengenai isu kaum dan ketuanan Melayu secara terbuka. Kebebasan mediakah jika kontrak sosial dan hak pemilikan ekuiti Melayu diperbesarkan?

Apakah kebebasan media membenarkan seseorang menuduh pihak tidak disenanginya secara terbuka tanpa diberi peluang membela diri? Apakah kebebasan media membenarkan isu hak dan agama diperdebatkan secara bebas hingga mencetuskan konflik kaum dan agama?

Mengikut kajian badan bukan kerajaan, sebanyak 90 peratus rakyat negara ini lebih mempercayai laporan media baru berbanding media tradisional seperti akhbar, majalah dan stesen penyiaran. Kononnya, media baru lebih bebas, tidak dikuasai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pemegang saham.

Ada yang mendakwa akhbar utama dikuasai kerajaan yang menguasai permit penerbitannya. Apakah media baru juga bebas apabila penulis blog, portal berita dan laman sosial menulis dan menuduh peribadi orang lain tanpa sebarang bukti dan tidak diberi peluang membela diri?

Sekali lagi isu media dan kebebasan tidak klise diperdebatkan. Media baru atau tradisional turut terperangkap dengan isu kebebasan dan hak asasi. Jika China Press menggantung ketua pengarangnya, Teoh Yong Khoon selama dua minggu pada 19 Mac lalu ekoran laporan peletakan jawatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara, blogger juga tidak terkecuali menerima padahnya. Raja Petra Kamaruddin dan Adukataruna juga pernah disoal siasat ekoran penulisan mereka.

Sejarah akhbar dan pemerintah tidak pernah sunyi diperkatakan. Mingguan Politik Eksklusif digantung penerbitannya. Penerbitan Detik diharamkan. Ketika Operasi Lalang 1987, akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung permit penerbitan selama tiga bulan. Isu kebebasan media menjadi tabu yang luar biasa.

Bolehkah pendapat umum disekat menerusi undang-undang atau hukum akal manusia sendiri yang menapis antara kebenaran sesuatu maklumat dan sebaran am? Media, baik dilihat dari sudut mana pun, sentiasa menjadi wadah untuk akal yang sihat. Media tentunya berperanan menyebarkan maklumat, bukan propaganda zaman.  - Berita Harian, 30 Mac 2010

Friday, March 19, 2010

Pemimpin Melayu mesti bersatu pertahankan Perkara 153

PERLUKAH sembah derhaka semata-mata kerana hasrat peribadi tercabar? Perlukah Melayu mempertikaikan dasar yang bertujuan menjaga dan memelihara kedudukan ekonomi Bumiputera di buminya sendiri? Perlukah pihak lain mempertikaikan institusi beraja, kedaulatan undang-undang dan kontrak sosial yang dipersetujui menjelang 1957?

Hari ini, selepas 53 tahun merdeka, apakah Melayu boleh berbangga dengan pencapaian ekonomi mereka? Tidakkah mereka gusar menatap statistik pemilikan ekuiti mengikut kaum ketika ini, Melayu adalah paling rendah. Mereka juga kecundang di Pulau Pinang walaupun kerajaan bertukar tangan dan jawatan Ketua Menteri silih berganti yang membabitkan pimpinan kaum lain.

Melayu terus terpinggir di Pulau Mutiara. Pembinaan bangunan komersial mahupun kediaman, bukan jangkauan Melayu memilikinya. Harganya terlalu tinggi, dan dasar kerajaan negeri sejak 1957 sentiasa tidak memihak kepada Melayu. Akhirnya mereka terpinggir atau tercampak ke Tanah Besar. Kawasan pembangunan pesat di Pulau Mutiara bukan milik mereka lagi. Perkembangan terkini mendorong beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengadakan pertemuan baru-baru ini semata-mata membincangkan nasib bangsa. Mereka bersuara dan mendebatkan beberapa isu kerana merasakan Umno dan Pas masih terlalu ideal untuk berpolitik, bukannya mempertahankan hak sepatutnya. Terlalu banyak lompang yang perlu diperjuangkan untuk kepentingan bangsa. Keadaan ini juga mendorong berlangsungnya majlis Wacana 153 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 15 Mac 2010 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena). Mereka bersuara mengenai wujudnya golongan Melayu yang sanggup menentang undang-undang termasuk Perkara 153 iaitu hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata mereka adalah golongan Melayu yang lupa daratan, mudah terpengaruh dengan idealisme Barat yang tidak realistik dan mempunyai kepentingan politik sempit.

“Walaupun sebahagian besar mereka menikmati hasil dan kebaikan daripada kewujudan Perkara 153 ini, tetapi apabila berjaya, mereka jadi ‘kacang lupakan kulit’. Mereka lupa tanggungjawab mempertahankan warisan itu kepada generasi akan datang,” katanya dalam kertas kerja: Sejarah dan Cabaran Terhadap Perkara 153.

Katanya, pemikiran dan gagasan pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik, NGO dan perkhidmatan awam yang tidak bersatu juga menyukarkan usaha memelihara Perkara 153. Lebih malang, ada yang sanggup menggunakan Perkara 153 bagi mewujudkan propaganda yang tidak perlu dan mereka harus menghentikan perkara yang boleh menghancurkan hak bangsa sendiri.

“Lahirnya pelbagai media alternatif yang memberi kebebasan tanpa sempadan kepada sesiapa juga bersuara termasuk isu sensitif berkenaan keistimewaan Melayu tanpa memikirkan implikasinya juga menyukarkan usaha melindungi Perkara 153,” katanya.

Hari ini ledakan teknologi maklumat sudah menjadi tradisi baru yang amat menggerunkan. Pelbagai isu dipaparkan menerusi pelbagai medium dalam internet. Pelbagai berita, pendedahan, maklumat dan sebaran am terdedah hanya melalui paparan skrin komputer riba. Bagi mereka yang mahu merayakan kebebasan media kerana kononnya akhbar dan majalah tempatan terkongkong, inilah masanya untuk berpesta untuk kebebasan maklumat. Keadaan ini mendorong penyebaran dakyah yang mempertikaikan institusi beraja, merendahkan martabat mufti dan menafikan hak Melayu di tanahnya sendiri.

“Sepatutnya ruang media ini dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda berfikir secara matang dan rasional. Semua pihak terbabit perlu bertanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontar atau menulis pendapat di ruang siber,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gapena, Prof Tan Sri Dr Ismail Hussein menyelar mereka yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan terutama membabitkan hak istimewa Melayu, institusi Raja, agama Islam serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan golongan itu tidak layak menggelarkan diri mereka sebagai warga negara.

Katanya, semua perkara itu termaktub dalam asas Perlembagaan yang tidak sewajarnya dipersoalkan. Sebagai warga negara yang baik, sepatutnya mereka menghormati setiap perkara yang menjadi asas pembentukan negara dan keharmonian kaum di negara ini.

“Perlembagaan berada pada kedudukan tertinggi negara ini dan tindakan mempersoalkan apa yang termaktub tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang warga negara,” katanya.

Ahli sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, mengingatkan generasi muda membuang perasaan malu untuk mengakui serta mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia diwujudkan berasaskan fakta serta sejarah penubuhan negara sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pembentukan Malaysia yang mengiktiraf Melayu sebagai penduduk asal di negara ini selain mewujudkan keharmonian kaum lain. - Berita Harian, 19 Mac 2010

Monday, March 15, 2010

Beginilah kita seperti daun yang gugur itu

hidup seperti senja yang setia
menidurkan daun ke hujung malam
beginilah kita
seperti daun yang gugur itu
keberadaan ini hanya mainan masa
kita kecil terlalu untuk menafsir
apa lagi memaknakan sebuah perjalanan
lantaran esok terserlah antara kemungkinan dan harapan

beginilah kita
seperti daun yang gugur itu
kita sering merindu
atau saling menyebut nama antara kita
beginilah kita
seperti senja yang pasrah kepada takdir
rindu sentiasa mengukir
sesuatu yang tidak mungkin kumiliki

- imlan adabi, 15 Mac 2010

Tuesday, March 09, 2010

PKR hampir ulangi sejarah kegagalan parti serpihan

DATUK Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengakui secara terbuka Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dilanda masalah, selepas merayakan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008.


Jika dua tahun lalu beliau dengan lantang menyuarakan projek 16 September untuk menawan Putrajaya, kini Ketua Umum PKR itu mengakui keadaan sudah berubah dan parti serpihan Umno itu berdepan pelbagai kemelut dalaman yang boleh menggugah keyakinan rakyat.

"Ini masalah kita, ada pengajaran juga...sekarang ini Keadilan menghadapi masalah sedikit tetapi pengajaran yang baik," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Pulau Gadong, Melaka, kelmarin.

Beliau terpaksa berkata demikian kerana tiga anggota Parlimennya iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Pada 2009, dua Ahli Dewan Undangan Negeri PKR dan seorang DAP meninggalkan parti masing-masing menyebabkan Pakatan Rakyat hilang kuasa di Perak.

Sementara itu Sabtu lalu (6 Mac 2010), PKR bertindak memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana dikatakan melanggar dasar parti. Beberapa lagi Ahli Parlimen dan Adun dijangka bertindak keluar parti dengan alasan pelbagai. Tindakan mereka tidak memeranjatkan kerana sebagai sebuah pertubuhan siasah yang baru, PKR belum mantap, sama ada dari segi ideologi, pengurusan kepartian dan kekuatan mental ahli berbanding dengan apa yang dimiliki Umno, Pas dan DAP yang merupakan tunjang sistem berparti di negara ini.

Kemelut yang berlaku dalam PKR juga adalah ulangan dalam sejarah parti serpihan yang wujud di negara ini. PKR, seperti juga Parti Negara dan Semangat 46 adalah parti serpihan Umno, yang wujud selepas pemimpinnya tidak sebulu dengan parti asalnya.

Parti Negara ditubuhkan berberapa bulan sebelum pilihan raya pertama negara pada 1955 oleh Datuk Onn Jaafar kerana bercanggah pendapat dalam isu menuntut kemerdekaan daripada Britain. Parti Negara gagal mendapat perhatian rakyat kerana Umno yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman Putra berjaya menyatupadukan rakyat menerusi Perikatan -- Gabungan Umno, MCA dan MIC yang mewakili penduduk pelbagai kaum.

Semangat 46 pula ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai reaksi pengharaman Umno pada 1988. Matlamat perjuangannya untuk memulihkan Umno asal yang dibatalkan kewujudannya selepas pertandingan jawatan Presiden Umno antara Tengku Razaleigh dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987.

Walaupun Semangat 46 dianggotai tokoh besar Melayu seperti Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Harun Idris, Datuk Adib Adam, Datuk Ibrahim Ali, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Othman Saat dan Datuk Zainal Abidin Zin, mereka tidak mampu berdepan dengan jentera Umno yang diterajui Dr Mahathir.

Sebagai parti serpihan, mereka tidak mempunyai agenda kepartian yang jelas. Parti serpihan juga tidak mempunyai jati diri, justeru tidak menghairankan apabila ahlinya berpaling tadah dan menyertai semula perjuangan Umno. Apa yang dialami oleh PKR kini adalah ulangan sejarah kegagalan ahli Parti Negara dan Semangat 46 yang dulunya gah untuk seketika, kemudiannya kembali ke parti asal.

PKR ditubuhkan pada 1999 ekoran hukuman penjara terhadap Anwar yang dikaitkan dengan isu salah laku dan moral. PKR tidak mempunyai agenda besar selain perjuangan untuk membela nasib Anwar yang dikatakan teraniaya. Justeru, dengan lantang, PKR muncul dengan slogan menuntut keadilan, membanteras gejala rasuah, menentang salah guna kuasa dan pencabulan sistem kehakiman negara. PKR juga dengan bangga mendabik dada sebagai jaguh pelbagai kaum. Keahliannya dibuka kepada semua kaum. Dasar parti pula dikaitkan dengan hak sama rata tanpa batasan agama dan bangsa.

Perjuangan PKR yang diyakini suci berjaya menarik perhatian ramai pada 2008 ketika Umno diterajui pimpinan lemah ketika itu. Isu kaum, demokrasi, hak sama rata ekonomi menyebabkan timbul cadangan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan menguntungkan segelintir pembesar Melayu. Anwar dan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat membuktikan suara pembangkang semakin jelas apabila menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12. Mereka juga menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (kini Perak dikuasai semula BN).

Bagaimanapun PKR tetap sebuah parti serpihan yang sukar untuk meneruskan perjuangannya. Pelbagai masalah dalaman berlaku secara ketara. Isu moral bukan rahsia umum. Pemilihan calon pada pilihan raya umum lalu menimbulkan pertikaian. Jika Umno, Pas dan DAP memilih calon terbaik yang diyakini kesetiaan kepada parti, PKR pula memilih orang yang bukan sepatutnya. Justeru, tidak menghairankan apabila barisan wakil rakyat PKR boleh dipertikai kewibawaannya. Ada bekas posmen, pesara tentera, juru gambar dan ‘tauke demonstrasi’ terpilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Latar belakang politik mereka amat meragukan.

Sejarah parti serpihan berulang di atas paksi yang sama. Serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim hanya wujud seketika di atas pentas politik tanah air. Berjasa ditubuhkan oleh Datuk Muhammad Nasir dan Datuk Wan Hashim Ahmad ekoran krisis politik di Kelantan pada 1977. Hamim pula muncul selepas bekas Presiden Pas, Tan Sri Asri Muda tidak sebulu dengan ahli parti pimpinannya dan menubuhkan pertubuhan siasah baru. Kedua-dua parti itu hanya muncul tiga kali pilihan raya umum dan kemudian lenyap ditelan waktu.

DAP juga tidak terkecuali menerbitkan parti serpihan sendiri iaitu Socialist Democratic Party (SDP) pimpinan bekas Ahli Parlimen Menglembu, Fan Yew Teng. Krisis dalaman parti itu tiga dekad lalu tidak menggugat pimpinan Lim Kit Siang dan Dap. Yang lebur adalah parti serpihannya. Begitu juga di Sabah apabila Berjaya yang ditubuhkan oleh Datuk Haris Salleh hanya muncul seketika untuk menggantikan Usno. Kini kedua-duanya lenyap dan Umno bertapak kukuh di Negeri di Bawah Bayu itu.

Hampir semua parti serpihan berkubur tanpa pusara. PKR juga bakal mengulangi drama yang sama jika sindrom melompat parti gagal dibendung. Dalam hal ini, Anwar bukan sekadar memerlukan kemahiran berpidato, juga kemahiran untuk meyakinkan ahli mengenai perjuangan parti. Parti yang tanpa sokongan ibarat kopi o tanpa gula. Ia akan pahit dan terus menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air. Apakah Anwar juga bakal tercatat dalam sejarah sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang terus kempunan menuju cita-cita siasahnya?

Apakah sejarah Parti Negara, Semangat 46, SDP, Berjasa, Hamim dan Berjaya bakal berulang sekali lagi? - Berita Harian, 9 Mac 2010

Tuesday, March 02, 2010

Ejek Negaraku tindakan provokatif sukar dimaaf

SEKALI lagi sikap segelintir warga Indonesia menjadi tumpuan massa apabila mereka mengejek lagu Negaraku ketika pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta, minggu lalu. Dalam masyarakat bertamadun, lagu kebangsaan sesebuah negara adalah lambang kemuliaan dan kemerdekaan bangsa yang berdaulat.


Lagu kebangsaan, seperti juga bendera negara adalah simbol harga diri yang dijamin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai wakil kehadiran sesebuah wilayah di persada dunia. Mengejek lagu kebangsaan, apatah lagi sebelum ini memijak dan membakar Jalur Gemilang adalah tindakan provokatif yang sukar dimaafkan.

Tindakan tidak bertamadun itu juga berpunca daripada sikap iri hati segelintir rakyat Indonesia terhadap pencapaian ekonomi dan taraf hidup rakyat Malaysia – antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Pada era rejim ‘orde’ lama pimpinan Sukarno, Malaysia dianggap sebagai adik kecil yang perlukan bantuan dan perlukan bimbingan ‘abang besar’ untuk menentukan hala tuju negara.

Namun pencapaian Malaysia yang mendadak pada era pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003) menyebabkan ada pihak yang rasa tergugat dan mencetuskan pelbagai isu remeh semata-mata untuk menutup sikap rendah diri mereka. Ego ‘abang besar’ tercabar dan ‘adik kecil’ kini sudah menjadi kuasa ekonomi penting dalam pelbagai sektor.

Aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam pada pertandingan pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta itu, menyebabkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM17,006).

Tindakan itu diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) selepas Pengurus Pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian kerana kelakuan itu mencemarkan maruah sesebuah negara.

Walaupun Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Malarangeng memohon maaf berhubung kejadian itu, tindakan keterlaluan sudah dilakukan oleh segelintir rakyat jiran dan ia bukan kali pertama terjadi.

Ketika isu tarian tradisional Bali memuncak gara-gara salah lapor agensi penyiaran antarabangsa yang tidak membabitkan Malaysia, tunjuk perasaan dan isu ganyang Malaysia disuarakan secara lantang di Jakarta dan Medan. Pemimpin tertinggi Indonesia juga memohon maaf untuk kesekian kalinya.

Kini insiden menghina Malaysia berulang dan pihak Indonesia sekali lagi memohon maaf. Apakah nilai kemaafan terlalu kecil bagi mereka? Tidakkah mereka menyedari betapa Malaysia selama ini lubuk emas bagi jutaan rakyat Indonesia mencari rezeki di sini?

Tidakkah mereka menyedari bahawa 70 peratus daripada tenaga kerja asing di Malaysia datangnya dari Indonesia? Mereka, sama ada datang secara halal atau haram, turut menjadi tenaga kerja yang prolifik, bukan saja membantu ekonomi Malaysia, bahkan membawa pulang wang yang tinggi setiap bulan kepada negara asalnya.

Bagi mereka yang enggan mengerti sikap baik hati Malaysia harus ingat betapa negara ini juga sering menjadi mangsa jenayah hasil tindakan tidak beradat segelintir rakyat negara jiran. Kira-kira 60 peratus daripada bilangan banduan rakyat asing di beberapa penjara pula membabitkan rakyat Indonesia.

Mereka perlu faham adat berjiran dan bernegara serta mengelakkan tindakan yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak. Malangnya sudah ada beberapa tokoh politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Jakarta mula bersuara isu liwat membabitkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ada yang merancang untuk mengutip tanda tangan dan menyuarakan bantahan secara rasmi pada peringkat antarabangsa. Mereka bersuara lantang dan mempersoalkan sistem kehakiman yang dikatakan tidak bebas di Malaysia. Mereka juga kerap menyinggung isu kemanusiaan, kebebasan media dan hak demokrasi yang kononnya tidak wujud di sini.

Sikap keterlaluan mereka perlu diawasi kerana amalan sistem bernegara menghalang mana-mana pihak mencampuri urusan negara lain. Semangat perpaduan Asean perlu dihayati dan jangan isu terpencil menyebabkan hubungan dua negara tegang.

Sikap songsang segelintir warga Indonesia bukan isu baru. Mereka pernah mempergunakan wartawan Terry Friel yang menulis dalam Sunday Age Australia pada 14 Julai 1991, yang antara lain menyebut: “Malaysia bukan negara tetangga yang baik. Ia bukan saja bergaduh dengan Australia, bahkan dengan semua jirannya.” Rencana itu juga menyebut kenyataan seorang menteri yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai ‘That Little Sukarno’.

Penyiaran rencana itu pula dirancang ketika menjelang persidangan Pergerakan Negara Berkecuali di Jakarta. Kenapa tarikh itu dipilih? Kenapa ketika sidang di Jakarta dikaitkan dengan imej buruk pemimpin Malaysia?

Hari ini serangan demi serangan terhadap Malaysia begitu berleluasa. Meskipun Sukarno Kecil sudah tujuh tahun meninggalkan tampuk kekuasaan, imej negara ini begitu lantang diperkatakan dengan wajah hitam dan konotasi luar biasa.

Bermula dengan Memula Moon, Terang Bulan, lagu Rasa Sayang Eh, kebudayaan Bali, batik, sate, orang gaji dan entah apa lagi, ia terlalu mudah untuk membakar semangat khalayak membenci Malaysia dan warganya. Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dibaling telur tembelang dan Jalur Gemilang yang dikatakan meniru bendera Amerika Syarikat, dipijak sebelum dibakar.

Media juga terus berperanan untuk mendedahkan keburukan sebuah bangsa yang dikatakan gemar mencuri kebudayaan negara tetangganya. Wartawan juga tanpa silu meninggalkan etika kewartawanan untuk menulis mengenai sebuah negara bernama MALINGSIA!

Sebuah portal berita menuduh kes penyeludupan dadah ke wilayahnya sebagai usaha terancang Malaysia yang sering melupakan persaudaraan serumpun. Tanpa sebarang penyelidikan, wartawan terus menghukum tanpa mengambil kira perasaan dan kemanusiaan. Di manakah kewarasan dua negara serumpun?  Berita Harian, 2 Mac 2010