Pages

Tuesday, April 26, 2011

Melayu baru, mimpi pun bentuk baru

KESAN langsung kejadian 13 Mei 1969 berjaya melahirkan generasi Melayu baru yang  amat mencabar kehidupan tradisional di luar bandar. Jika sebelumnya Melayu ‘selesa’ dengan kehidupan  di kampung dan pedalaman, menjelang awal dekad 1970-an, mereka berhijrah secara drastik ke kota besar terutama di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

 Pengenalan Dasar Ekonomi Baru dan saranan pemilikan ekuiti 30 peratus Bumiputera  dalam sektor industri berjaya mengubah persepsi Melayu yang sebelumnya  sekadar makan gaji atau bekerja dalam bidang pertanian dan tanah rancangan. Proses perubahan dan penghijrahan berjaya membentuk generasi baru yang mempunyai ciri-ciri pemikiran  berbeza dengan orang tua mereka di desa.
 Dua karya Melayu yang lahir selepas merdeka berjaya menjadi anjakan yang menggugah pemikiran lama. Buku The Malay Dilemma karya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1970 mengajak Melayu mengubah sikap dan tidak terus selesa dengan hak istimewa Melayu untuk mencapai kejayaan. Bekas Perdana Menteri juga menyarankan supaya Melayu lebih tekun berusaha dan agama tidak diperalatkan untuk menjadi manusia jumud dan ketinggalan dalam pelbagai sektor. Agama menjadi pedoman kehidupan, bukan meluaskan sengketa sesama insan.

 Bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abul Rahman pula melahirkan idea Revolusi Mental yang menegur bangsa Melayu supaya berubah dari segi cara berfikir tanpa meninggalkan jati diri bangsa. Perubahan sikap menuntut kekuatan  ekonomi dan budaya  selaras  kehidupan bangsa besar di dunia.

 Menjelang dekad 1980-an, proses  penghijrahan berjaya membentuk penempatan Melayu yang dilengkapi pelbagai prasarana. Peluang pendidikan, pelaburan dan perusahaan berjaya membentuk Melayu baru yang berdaya saing.  Ciri-ciri tradisional Melayu secara tanpa sedar mulai terhakis. Budaya muafakat, gotong-royong, perasaan bersama dan ciri-ciri kekeluargaan mula dipersoalkan sesetengah pihak.
 Ketika Melayu berdepan cabaran untuk menguasai peluang ekonomi, pelaburan, politik dan pendidikan, mereka juga berdepan krisis identiti untuk mempertahankan jati diri bangsa. Nilai murni yang diwarisi berzaman tercabar dengan ledakan persekitaran baru. Peluang ekonomi yang tercetus hasil Dasar Ekonomi Baru, tidak sedikit melahirkan broker Melayu yang akhirnya selesa sebagai Ali Baba di sektor perusahaan.
 Dalam kalangan ahli politik pula, ruang untuk pembelaan bangsa Melayu dijadikan pentas untuk mengekalkan kuasa atau mempergunakan kuasa untuk kepentingan yang lain. Perseteruan antara kelompok siasah menjadikan Melayu baru lebih selesa bergeser daripada mengutamakan kekuatan dalaman seperti yang dimiliki masyarakat terdahulu.
 Perbezaan ketara antara Melayu baru dengan kaum Cina ialah  cara menanggapi pengikut masing-masing. Kaum Cina sejak 1700  membentuk sistem kongsi untuk menjaga kepentingan kumpulan mereka. Dari sinilah lahirnya istilah ‘kongsi gelap’  apabila ada yang menggunakan cara yang tidak sah untuk meneruskan kehidupan.  Pemodal yang berjaya menikmati hasil bumi di Tanah Melayu membantu kaum   mereka untuk turut  mencapai kejayaan. Isu modal dan peluang pelaburan jarang menjadi rungutan mereka. Berbeza dengan  Melayu baru yang mencipta dan mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga. Pengikut mereka akan setia sebagai penyokong tanpa banyak peluang untuk mencipta kekayaan ekonomi. Masalah ini terus berlanjutan dan sampai kini pun kita mendengar peniaga Melayu merungut  kerana tiada peluang   untuk meneruskan perniagaan apatah lagi  untuk bersaing bersama bangsa lain.
 Pembentukan imej Melayu juga memberi kesan dari segi sosial. Kenduri kahwin dan majlis keraian sudah berbeza dengan masyarakat terdahulu. Penulis menghadiri tiga majlis selang beberapa minggu dengan pelbagai situasi yang cukup unik. Majlis meraikan seorang  kenalan yang  baru bergelar ‘datuk’ di sebuah hotel amat menarik dicatat. Tetamu bukan saja dijamu dengan hidangan lazat, bahkan ada konsert ‘live band’, baca sajak, selawat, tayangan slaid, pengkisahan peribadi dan cenderamata istimewa. Tetamu istimewa tentunya bergelar Tan Sri yang menguasai sebuah syarikat pelaburan kerajaan. Dalam dua majlis kenduri kahwin di dewan yang cukup agam, tetamu bukan saja mesti membawa kad jemputan, juga diisyaratkan memakai batik dan memastikan jumlah anggota keluarga yang bakal hadir. Penulis juga dimaklumkan majlis turut dihadiri bekas Perdana Menteri dan bakal dirakamkan untuk tayangan stesen televisyen swasta. Turut hadir  16 wakil wilayah dari Indonesia termasuk yang bertaraf bupati (gabenor).
 Jika dulu majlis keraian dan kenduri kahwin masyarakat Melayu membabitkan kerjasama penduduk setempat dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi tetamu, keadaan kini sudah jauh berubah. Hak eksklusif pengendali majlis lebih diutamakan dan   mereka juga menentukan tetamu yang bakal dijemput. Jika dulu majlis kenduri dimeriahkan oleh suara penanggah, tukang masak, emak andam dan saudara mara, majlis kini sudah bertukar menjadi serius dan formal. Ia semakin kaku dan  bisu. Ia juga mungkin sebahagian daripada citra Melayu baru yang semakin kaku dan bisu menanggapi kehidupan moden di kota yang semakin mencabar.

 Jika ada yang bertanya kesan 13 Mei kepada sebahagian besar bangsa Melayu, jawapannya ialah Melayu sudah berubah. Bukan saja dari segi ekonomi dan politik, juga cara bermimpi dan bersahabat! - Berita Harian, 26 April 2010

Tuesday, April 19, 2011

Nik Aziz masih kebal

KETIKA tumpuan massa kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 sekarang, PAS pula mempergiatkan kempen dan ceramah politik di Kelantan. Jika sebahagian besar ahli UMNO membantu kempen di Bumi Kenyalang, PAS dengan jentera kerajaan negeri yang sudah 21 tahun mentadbir Kelantan menemui rakyat dan memberi penerangan untuk  meneruskan sokongan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dianggap pemimpin contoh.

 Dalam strategi peperangan, menyerang hendap musuh yang leka adalah peluang terbaik untuk mencapai kemenangan. PAS mengambil pendekatan yang digunakan Adolf Hitler  untuk meranapkan UMNO Kelantan yang masih belum pulih daripada sikap berpuak-puak dan mengutamakan kepentingan kabilah sendiri. PAS menyerang ketika UMNO leka melihat perkembangan politik di Sarawak ketika ini.
 Sumber PAS memberitahu, tidak kurang lima ceramah dianjurkan serentak setiap malam di setiap  jajahan di Kelantan. Bayangkan betapa aktifnya parti pembangkang itu untuk mempertahankan kekuasaan di Negeri Darulnaim  ketika UMNO masih belum serius untuk merampas semula Kelantan yang tewas sejak 1990.
 UMNO mungkin sekadar berbangga dengan kempen Gelombang Merah yang didakwa mampu menarik 400,000 pengundi muda  menyokong Barisan  Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Harapan besar itu tidak mudah dicapai kerana pola pemikiran  pengundi Melayu Kelantan berbeza negeri lain. Cara hidup, sosio-ekonomi dan tradisi pondok mencorakkan perbezaan ketara antara Kelantan dengan negeri lain. Sebahagian besar penduduk Kelantan walaupun didakwa  ‘miskin’ tetapi mempunyai latar belakang perniagaan yang luar biasa. Ramai anak Kelantan menguasai syarikat  di Kuala Lumpur tetapi memilih Kelantan untuk melunaskan bayaran zakat setiap tahun. Ada juga yang menjadi pegawai kanan kerajaan dan ahli profesional di Lembah Klang tetapi masih prihatin dengan sistem siasah di negeri sendiri.

 Ramai  perantau Kelantan  yang membuat keputusan di peti undi di negeri kelahiran sendiri walaupun sudah bermastautin di tempat lain. Keunikan penduduk Kelantan kurang dikaji oleh pimpinan UMNO  negeri sendiri hingga menimbulkan jurang antara pengundi dan penguasa BN peringkat negeri. Kecuaian ini memberi manfaat kepada PAS yang terus mendekati rakyat dengan pelbagai pendekatan menarik.

Ceramah PAS menjadi tumpuan ramai di samping laman web dan media baru yang banyak memberi impak kepada pengundi muda.
 Ada pemimpin UMNO Kelantan sekadar berbangga dengan keputusan pilihan raya kecil  di Manik Urai pada 2009 dan Galas, tahun lalu yang didakwa memihak kepada BN. Tanggapan ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana pilihan raya kecil berbeza pilihan raya umum. Jentera parti dan pelbagai infrastruktur boleh dieksploit pada pilihan raya kecil tetapi mustahil tumpuan diberikan ketika Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dibubarkan.

 UMNO Kelantan sudah melancarkan Gelombang Merah yang bertujuan memperkasakan parti di samping mendedah kepincangan pentadbiran Nik Aziz sejak 21 tahun lalu. UMNO memberi  fokus isu air, tanah dan masalah generasi muda yang bertele-tele. UMNO juga mendedahkan  kepincangan pentadbiran Nik Aziz yang tidak mampu menyelesaikan isu rakyat. Kes salah guna kuasa yang dikaitkan dengan pentadbiran negeri kurang meyakinkan rakyat kerana sehingga kini tiada pendakwaan di mahkamah.

 UMNO juga turut prihatin membantu rakyat miskin di samping menyampaikan bantuan kepada murid cemerlang dalam pelbagai peperiksaan. Bagaimanapun, gerakan ceramah dan aktiviti siasah masih tidak setimpal berbanding kerancakan PAS mendekati rakyat. Program yang baik tanpa  tindakan drastik untuk menemui pengundi tidak membawa hasil yang diharapkan.  Dalam kalangan ahli UMNO Kelantan sendiri pun masih keliru sejauh mana usaha menawan semula Negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi sasaran utama.
 Ramai pengkaji melihat masalah politik Kelantan bukan kerana kekuatan PAS semata-mata, tetapi sukarnya dalam kalangan pimpinan UMNO negeri untuk bekerjasama sesama sendiri. Isu ‘cah keting’ yang berlaku ketika era Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri masih berlaku kepada pimpinan sekarang. Beberapa tokoh negeri yang pernah menjawat tugas menteri tidak lagi aktif menjayakan kempen UMNO Kelantan kerana tidak sealiran dengan pimpinan sekarang. Perseteruan sesama sendiri memberi ruang kepada pembangkang untuk melancarkan serangan kempen yang bertali arus.
 PAS akur  Nik Aziz tidak kebal di Kelantan, tetapi mereka yakin UMNO belum bersedia merampas pentadbiran negeri disebabkan masalah dalaman yang tidak pernah selesai.  Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli  Hassan sentiasa mengingatkan ahli PAS  supaya mempergiatkan kempen dan bersedia menghadapi UMNO.

 “Kita tidak boleh pandang enteng, sebab dari sudut sejarahnya pun, PAS pernah perintah Kelantan, tapi kita jatuh, kita tidak kebal. Dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, kita hampir kalah di Manik Urai dan kalah di Galas," katanya kepada portal pembangkang selepas merasmikan program pemukiman kedua bloger PAS dan Pakatan Rakyat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 Terpulang kepada ahli UMNO Kelantan sendiri untuk menentukan nasib parti ketika rakyat mengharapkan perubahan siasah yang lebih mencorakkan masa depan mereka. - Berita Harian, 19 April 2011

Monday, April 04, 2011

Karya popular vs karya seni

SEORANG penerbit novel bertaraf karya popular kelihatan bangga ketika menceritakan perusahaannya yang bertambah kukuh. “Kami memilih karya yang baik dan digemari ramai.  Kami pilih sasaran pembaca dan  menyertai pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra kerana mengetahui sasaran pembaca,” tuturnya. Beliau berjaya menerbitkan berbelas novel setahun yang sebahagian besarnya menceritakan isu remaja, cinta terhalang, dilema rumah tangga dan masalah wanita moden.

Dia menyediakan peruntukan besar untuk kos percetakan, pengedaran, pengiklanan dan bayaran royalti kepada penulis yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu. Dia tidak peduli sama ada karya yang diterbitkan  bakal dinilai panel Hadiah Sastera Perdana atau tidak.

Yang pasti, selaku penerbit, dia mahu memberi karya kepada sasarannya dan yakin dapat mencatat keuntungan daripada setiap hasil penerbitannya. Dia tidak pedulikan pengiktirafan panel sastera kerana yang penting karya sampai kepada sasaran.
Di mana saja, isu karya popular atau serius sering bertele-tele. Penulis atau sasterawan  sentiasa menjaga kualiti karya dan tidak terjebak melahirkan karya murahan atau popular.
Risikonya amat besar apabila karya  serius dan seni sentiasa hilang khalayak kerana cita rasa sebahagian besar rakyat Malaysia adalah membaca karya popular yang boleh ditelaah dalam masa beberapa jam saja.
Seorang teman yang komited melahirkan karya serius dan bermutu akhirnya terpaksa mengalah kerana karyanya terpaksa dijadikan ‘hadiah’ kepada rakan  kerana tidak mencatat jualan sepatutnya. Bekas Ahli Parlimen DAP kawasan Menglembu, Fan Yew Teng (mendiang) terpaksa mengalah dan kembali ke arena politik menjelang saat kematiannya kerana tidak dapat melariskan jualan karyanya. Fan juga menjadi panel penulis beberapa majalah antarabangsa bagi melahirkan pandangannya kerana mustahil media tempatan menyiarkan idea di luar pemikiran perdana.
Sepanjang suku pertama tahun ini, ada dua buku yang menjadi tumpuan khalayak tempatan. Karya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul  A DOCTOR IN THE HOUSE: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad dilancarkan dan dijual pada 8 Mac lalu.
Karya berharga  RM100 senaskhah menjadi bualan umum kerana beberapa isu politik yang dipaparkan sepanjang 22 tahun perkhidmatannya menimbulkan polemik tersendiri. Pro dan kontra isu yang dipaparkan menjadi wacana menarik untuk pengkaji sejarah politik menilai isu siasah dari pendekatan bekas Presiden UMNO itu sendiri.
Bekas wartawan dan Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau dikenali Zam menghasilkan Hari Itu Sudah Berlalu yang menceritakan pengalaman pengamal media dalam situasi siasah negara.
Beberapa isu dalaman seperti kejadian menjelang pengharaman UMNO pada 1988 dicatat dengan rapi menerusi perspektif insan di bilik berita. Zam juga mengukir latar konfrontasi Malaysia dan Indonesia serta adegan lucu pertemuan Tunku Abdul Rahman Putra dengan Sukarno di Manila bagi menamatkan krisis dua negara berjiran. Karya memoir kewartawanan ini diadun bersama nota kaki dan fakta  yang boleh dipertanggungjawabkan. Pengalaman peribadinya  bermanfaat untuk pengamal media dan sarjana politik membuat kajian implisit.
Bagaimanapun isu karya serius dan boleh dipertanggungjawabkan bukan sekadar penerbitan. Apakah ia bakal dibeli dan ditelaah  masyarakat?
Jika karya  baik tidak laris di pasaran, apakah ada penerbit  sanggup berisiko menerbitkan karya sedemikian?
Menyedari hakikat ini mendorong kerajaan  memperuntukkan RM2 juta tahun ini bagi membeli secara terus karya dan buku yang ditulis oleh penulis  serta  membantu  mengedarkan karya mereka ke perpustakaan seluruh negara.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yakin  menerusi cara itu peranan orang tengah yang bertanggungjawab mengedar buku dapat dielak, seterusnya membantu penulis menikmati pendapatan  lebih baik.
“Kebanyakan penulis kita tidak boleh hidup dengan menulis sebab orang tengah main peranan dan  mengambil komisyen lebih. Sebab itu kerajaan membuat perancangan semula dengan kita beli terus buku dan edarkan kepada perpustakaan desa dan dengan cara ini kita dapat menggalakkan penulisan buku dan pada masa yang sama menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat,” katanya  selepas merasmikan program Mari Membaca 1Malaysia bersama Ikon Membaca yang juga pelakon  Datuk Michelle Yeoh di Perpustakaan Negara Malaysia  baru-baru  ini. - Berita Harian, 4 April 2011