Pages

Tuesday, April 19, 2011

Nik Aziz masih kebal

KETIKA tumpuan massa kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 sekarang, PAS pula mempergiatkan kempen dan ceramah politik di Kelantan. Jika sebahagian besar ahli UMNO membantu kempen di Bumi Kenyalang, PAS dengan jentera kerajaan negeri yang sudah 21 tahun mentadbir Kelantan menemui rakyat dan memberi penerangan untuk  meneruskan sokongan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dianggap pemimpin contoh.

 Dalam strategi peperangan, menyerang hendap musuh yang leka adalah peluang terbaik untuk mencapai kemenangan. PAS mengambil pendekatan yang digunakan Adolf Hitler  untuk meranapkan UMNO Kelantan yang masih belum pulih daripada sikap berpuak-puak dan mengutamakan kepentingan kabilah sendiri. PAS menyerang ketika UMNO leka melihat perkembangan politik di Sarawak ketika ini.
 Sumber PAS memberitahu, tidak kurang lima ceramah dianjurkan serentak setiap malam di setiap  jajahan di Kelantan. Bayangkan betapa aktifnya parti pembangkang itu untuk mempertahankan kekuasaan di Negeri Darulnaim  ketika UMNO masih belum serius untuk merampas semula Kelantan yang tewas sejak 1990.
 UMNO mungkin sekadar berbangga dengan kempen Gelombang Merah yang didakwa mampu menarik 400,000 pengundi muda  menyokong Barisan  Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Harapan besar itu tidak mudah dicapai kerana pola pemikiran  pengundi Melayu Kelantan berbeza negeri lain. Cara hidup, sosio-ekonomi dan tradisi pondok mencorakkan perbezaan ketara antara Kelantan dengan negeri lain. Sebahagian besar penduduk Kelantan walaupun didakwa  ‘miskin’ tetapi mempunyai latar belakang perniagaan yang luar biasa. Ramai anak Kelantan menguasai syarikat  di Kuala Lumpur tetapi memilih Kelantan untuk melunaskan bayaran zakat setiap tahun. Ada juga yang menjadi pegawai kanan kerajaan dan ahli profesional di Lembah Klang tetapi masih prihatin dengan sistem siasah di negeri sendiri.

 Ramai  perantau Kelantan  yang membuat keputusan di peti undi di negeri kelahiran sendiri walaupun sudah bermastautin di tempat lain. Keunikan penduduk Kelantan kurang dikaji oleh pimpinan UMNO  negeri sendiri hingga menimbulkan jurang antara pengundi dan penguasa BN peringkat negeri. Kecuaian ini memberi manfaat kepada PAS yang terus mendekati rakyat dengan pelbagai pendekatan menarik.

Ceramah PAS menjadi tumpuan ramai di samping laman web dan media baru yang banyak memberi impak kepada pengundi muda.
 Ada pemimpin UMNO Kelantan sekadar berbangga dengan keputusan pilihan raya kecil  di Manik Urai pada 2009 dan Galas, tahun lalu yang didakwa memihak kepada BN. Tanggapan ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana pilihan raya kecil berbeza pilihan raya umum. Jentera parti dan pelbagai infrastruktur boleh dieksploit pada pilihan raya kecil tetapi mustahil tumpuan diberikan ketika Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dibubarkan.

 UMNO Kelantan sudah melancarkan Gelombang Merah yang bertujuan memperkasakan parti di samping mendedah kepincangan pentadbiran Nik Aziz sejak 21 tahun lalu. UMNO memberi  fokus isu air, tanah dan masalah generasi muda yang bertele-tele. UMNO juga mendedahkan  kepincangan pentadbiran Nik Aziz yang tidak mampu menyelesaikan isu rakyat. Kes salah guna kuasa yang dikaitkan dengan pentadbiran negeri kurang meyakinkan rakyat kerana sehingga kini tiada pendakwaan di mahkamah.

 UMNO juga turut prihatin membantu rakyat miskin di samping menyampaikan bantuan kepada murid cemerlang dalam pelbagai peperiksaan. Bagaimanapun, gerakan ceramah dan aktiviti siasah masih tidak setimpal berbanding kerancakan PAS mendekati rakyat. Program yang baik tanpa  tindakan drastik untuk menemui pengundi tidak membawa hasil yang diharapkan.  Dalam kalangan ahli UMNO Kelantan sendiri pun masih keliru sejauh mana usaha menawan semula Negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi sasaran utama.
 Ramai pengkaji melihat masalah politik Kelantan bukan kerana kekuatan PAS semata-mata, tetapi sukarnya dalam kalangan pimpinan UMNO negeri untuk bekerjasama sesama sendiri. Isu ‘cah keting’ yang berlaku ketika era Tengku Razaleigh Hamzah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri masih berlaku kepada pimpinan sekarang. Beberapa tokoh negeri yang pernah menjawat tugas menteri tidak lagi aktif menjayakan kempen UMNO Kelantan kerana tidak sealiran dengan pimpinan sekarang. Perseteruan sesama sendiri memberi ruang kepada pembangkang untuk melancarkan serangan kempen yang bertali arus.
 PAS akur  Nik Aziz tidak kebal di Kelantan, tetapi mereka yakin UMNO belum bersedia merampas pentadbiran negeri disebabkan masalah dalaman yang tidak pernah selesai.  Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli  Hassan sentiasa mengingatkan ahli PAS  supaya mempergiatkan kempen dan bersedia menghadapi UMNO.

 “Kita tidak boleh pandang enteng, sebab dari sudut sejarahnya pun, PAS pernah perintah Kelantan, tapi kita jatuh, kita tidak kebal. Dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, kita hampir kalah di Manik Urai dan kalah di Galas," katanya kepada portal pembangkang selepas merasmikan program pemukiman kedua bloger PAS dan Pakatan Rakyat anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 Terpulang kepada ahli UMNO Kelantan sendiri untuk menentukan nasib parti ketika rakyat mengharapkan perubahan siasah yang lebih mencorakkan masa depan mereka. - Berita Harian, 19 April 2011

No comments: