Pages

Friday, January 29, 2010

Kelantan berhak royalti minyak

PULUHAN ribu rakyat Kelantan memenuhi Stadium Sultan Muhammad ke-4 di Kota Bharu  28 Januari lalu. Mereka kagum dan ada yang merungut: Kenapa kami diberi wang ehsan, bukan royalti minyak.
Bekas Menteri Kewangan dan Presiden Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah menghuraikan sejarah dan kontrak  royalti minyak antara Petronas   dan Kelantan.  Rakyat Kelantan dinafikan hak mereka untuk menikmati  pembangunan  kerana berlainan pentadbiran  dengan Pusat. Anehnya,  orang Kelantan sendiri  seperti BEKAS BAKAL  MENTERI BESAR KELANTAN Awang Adek dan  Tok Pa  beriya-iya menjadi  tok mindok untuk menafikan hak Kelantan. Ibrahim Ali juga tumpang sekubur.
Sentimen di kalangan penduduk Kelantan  terhadap kenegeriannya amat tinggi. Jika Pusat  masih di bawa kolong bayang-bayang sendiri,  BN akan terus luntur di hati warga Cik Siti Wan Kembang. BN  perlu belajar daripada sejarah 8 Mac 2008. Mereka hilang kuasa di Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. BN rampas Perak secara luar tabii. Rakyat meneliti dan mencatat perkembangan ini.
Apa salahnya berhening rasa dan cita memberikan royalti pada yang berhak?

Thursday, January 28, 2010

Sesekali menulis puisi


Sesekali menulis puisi
deru malamkah yang singgah di jendela
atau kata-kata sudah menjadi ombak
sesekali lelah di lautan luas

sesekali
terasa kau duduk di pinggir sawah
ketika puisi mengutip kenangan
sesekali
lelah belalang dan keciap
menyuburkan ritma
betapa  desa itu telah lama kutinggalkan
kerana antara kita
saling bersanggah

kerana puisi adalah kata-kata dari hati
hatilah yang sering menyanggah
kerana sayap merpati
sering menjadi mangsa
perseteruan zaman

   -  imlan adabi, 28 januari 2010

Saturday, January 23, 2010

Apabila Melayu tipu Melayu



TANGGAL 17 Julai 1991 amat merimaskan sebahagian besar pelabur skim cepat kaya. Tauke mereka - Osman Hamzah atau lebih dikenali Pak Man Telo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Taiping atas tuduhan menerima deposit daripada orang ramai secara tidak sah.

Ramai yang gempar dan hampir tidak percaya bagaimana seorang lelaki Melayu yang tidak tinggi persekolahannya berjaya mencipta skim pelaburan yang didakwa menguntungkan.

Ramai juga yang hairan betapa ramainya bangsa Melayu yang terpelajar boleh menerima skim yang diperkenalkan oleh seorang lelaki kampung seperti Pak Man Telo.

Selama beberapa tahun beroperasi, Pak Man Telo sudah mencipta mitos dan legenda tersendiri. Dia kononnya mahu mengantarabangsakan skimnya ke peringkat serantau dan di kalangan pelaburnya, ada yang mempercayai tauke skim cepat kaya itu sudah mendapat lesen daripada kerajaan untuk meluaskan operasi ke negara jiran.

Ada juga yang mendakwa Pak Man Telo mendapat kerjasama Bank Negara kerana kecerdikan skim yang diperkenalkannya. Justeru, tidak menghairankan apabila ada kenalan yang menjual Proton Saga semata-mata untuk menambah pelaburan!

Bagaimanapun mahkamah yang bertindak di atas fakta undang-undang akhirnya menghukum tauke skim pelaburan haram itu penjara setahun dan denda RM500,000 kerana menerima wang deposit RM99.09 juta daripada orang ramai.

Pada masa sama juga skim pelaburan labu peram terus berleluasa dengan menggunakan modus operandi yang hampir sama. Sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur dangan janji akan dipulangkan kembali dengan faedah lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen.

Ada dua skim cepat kaya utama yang kerap memerangkap pelabur, iaitu skim piramid dan skim Charles Ponzi (1882-1949) - seorang pendatang Itali yang menguasai pelaburan skim cepat kaya di Amerika Syarikat. Sifat semulajadi sistem ponzi adalah tidak kekal lama dan cuma menunggu masa untuk si penipu melarikan wang mangsanya.

Pada permulaan skim tersebut, penganjur menggunakan wang deposit daripada pelabur baru untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit sebelumnya. Pada amnya, penganjur tidak melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan lebih tinggi. Mereka tidak dapat terus menanggung pembayaran pulangan tinggi kepada pelabur yang sedia ada. Jika tiada deposit baru diterima atau skim ini dibatalkan, ia akan gagal dan pendeposit kehilangan wang mereka.

Lazimnya ketamakan keuntungan segera menyebabkan seseorang gelap mata dan sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit semata-mata untuk 'bersedekah' kepada penipu yang mengambil kesempatan.

Kini pula pelbagai bentuk pelaburan bersedia memerangkap orang ramai. Pelbagai nama digunakan. Skim perusahaan cacing, lintah, kambing gurun, ikan keli, gores dan menang, skim umrah percuma, pelaburan menerusi internet, skim cara Islam dan pelbagai lagi. Semuanya mempunyai matlamat yang sama. Lebih malang lagi yang menjadi mangsa adalah Melayu. Yang menganjurkan penipuan pun Melayu juga. Kenapa?

Terkini. polis cawangan Jenayah Komersial memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah amanah melarikan RM30 juta wang pelaburan 30,000 pelabur

ternakan cacing. Semuanya membawa maksud yang sama; Melayu terus tipu Melayu untuk mencipta kekayaan segera!     Berita Harian, 28 Januari 2010

Wednesday, January 20, 2010

Dilema Pas antara ideologi parti dan realiti semasa

PAS yang lantang membantah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kini terpaksa akur menerima peraturan dikatakan zalim dan melanggar hak asasi manusia itu. Exco Kerajaan Tempatan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan meminta Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyiasat kebocoran maklumat konsesi balak kepada Timbermine yang menang saman RM800 juta ke atas Kelantan.


Takiyuddin mendakwa keputusan mesyuarat Exco tertakluk di bawah OSA dan tidak boleh didedahkan kepada umum. Sebelum ini pemimpin Pas ziarah gereja di Lembah Klang ekoran serangan pihak tertentu di rumah ibadat penganut Kristian. Jika dulu gereja, kuil dan tokong dianggap tabu, kini suasana sudah berubah.

Perubahan sikap pemimpin Pas sekarang adalah selaras perkembangan politik semasa yang memerlukan parti itu menyesuaikan diri dengan realiti sekarang, apatah lagi demi memenangi hati rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, terutama DAP yang selama ini jaguh Malaysian Malaysia. Pas terpaksa belajar menerima realiti hidup kerana perubahan zaman memerlukan tindakan lebih berakal, bukan sentimen semata-mata.

Sebagai parti yang amat tradisional di luar bandar, Pas kini meletakkan diri mereka sebagai kumpulan siasah yang terbuka dan amat sederhana perjuangannya, berbeza dengan apa terkandung dalam Amanat Haji Hadi yang pernah meriuhkan suasana politik negara pada 1979. Jika dulu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang begitu lantang mempertikaikan dasar Umno yang pragmatik, kini mereka terpaksa menyesuaikan diri kerana realiti semasa memerlukan pertubuhan siasah yang dapat memenuhi aspirasi semua kaum.

Pertubuhan siasah yang hanya berjuang untuk sesuatu kaum dan agama bakal ketinggalan zaman. Pas kini berdepan dilema antara perjuangan Islam atau berbilang kaum dan agama untuk meneruskan agenda kepartiannya. Lebih parah, suasana politik di Kelantan sentiasa mendapat perhatian.

Segala tindak-tanduk dan kenyataan Nik Aziz yang digelar Tok Guru menjadi perhatian ramai dan dianggap tokoh yang berjaya mengekalkan kekuasaan Pas 20 tahun di Kelantan. Paradoks citra keagamaan akhirnya mula tersingkap apabila isu cah keting, pelantikan menantu dalam sebuah agensi kerajaan negeri, penajaan umrah, kek hari jadi, skandal Bazar Tok Guru, sentimen antara Pas Kelantan dan Terengganu, serta serangan penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz terhadap keluarga Menteri Besar.
Dari segi sejarah, Pas berjaya mentadbir Kelantan dua kali. Sebelum 1990, Pas memerintah Kelantan 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas Mageran (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 berikutan rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda. Kejayaan mentadbir negeri yang mempunyai 1,313,014 penduduk dan 95 peratusnya berbangsa Melayu, membuktikan Pas amat perlu sebagai pemain politik utama dalam masyarakat.

Kelantan yang berkeluasan 14,922 kilometer persegi sentiasa menjadi medan penting perjuangan politik Melayu, bukan saja di Pantai Timur, bahkan Malaysia. Jika media banyak mendedahkan kehangatan politik Kelantan di bawah pimpinan Nik Aziz, Umno pula masih lesu untuk mengambil kesempatan.

Politik Kelantan sentiasa ghairah dengan drama dan watak berbeza. Jika Nik Aziz, Husam, atau dulunya Asri Muda, Datuk Muhammad Nasir dan Datuk Ishak Lutfi menghiburkan pentas operanya, kini percaturan demi percaturan seiring perubahan zaman. Pas mulai berubah dan menerima OSA sebagai medan terbaik mengekang maklumat kelemahan pentadbirannya, Umno Kelantan pula bila mahu berubah keazaman untuk menawan hati rakyat?  - Berita Harian, 20 Januari 2010

Proton perlu peka khidmat mesra pelanggan

SEORANG bakal pembeli kereta keluaran Proton (Perusahaan Otomobil Nasional) terpaksa singgah di tiga premis jualan untuk membuat tempahan.

Kedai pertama yang disinggahinya amat mengejutkan. Dia bukan saja tidak dilayan dengan sewajarnya, bahkan kakitangan jualannya sibuk dengan ‘tugas’ masing-masing. Ada yang duduk di meja sambil menulis catatan. Ada juga yang sibuk berbincang dan menjeling bakal pelanggan mereka sekilas pandang.

Pelanggan tersebut merasakan dirinya tidak dilayani sepatutnya, berlalu begitu saja tanpa sebarang urusan jual beli dan sebut harga.

Di kedai kedua pula, pelanggan tersebut bagai terhenyak. Jurujual dan keraninya sibuk memesan makanan kerana jam 12 tengah hari adalah waktu makan. Walaupun bakal pelanggan itu meminta katalog dan sebut harga dilayani, namun urusan memesan makanan lebih diutamakan. Pelanggan tersebut terpaksa melupakan hasrat seketika kerana menghormati waktu rehat pekerja wakil jualan Proton.

Hanya di kedai ketiga, bakal pelanggan itu boleh bersabar untuk duduk dan berbincang dengan seorang jurujual, itupun sesekali diganggu deringan telefon daripada bakal pembeli lain. Mungkin juga bakal pelanggan itu tiada pilihan lain kerana kereta Proton adalah jenama nasional yang dibanggakan, selain sesuai dengan peruntukan kewangan yang tidak seberapa.

Apa yang dialami oleh bakal pelanggan itu hanya secebis pengalaman di kedai wakil jualan Proton yang kini hampir tiga dekad berada di pasaran. Bukan semua kedai jualan Proton melayani pelanggan sedemikian rupa, tetapi angkara segelintir premis, boleh menimbulkan tanggapan kurang wajar.

Dalam kes begini, amat wajar Proton menilai semula layanan khidmat pelanggan mereka. Tidak salah mereka belajar daripada pengalaman wakil jualan kereta luar negara, terutama produk Jepun yang sentiasa mesra pelanggan.

Banyak wakil jualan kereta Jepun sentiasa mengejar pelanggan, bukan menunggu pelanggan di kedai. Mereka bukan saja memberi perkhidmatan ketika urusan jual beli, malahan khidmat selepas jualan. Mereka sentiasa utamakan kepuasan pelanggan, hatta selepas urusan pendaftaran kenderaan pun, jurujual masih bertelefon mengenai kualiti kenderaan mereka.

Ada juga sesetengah wakil jualan kereta asing yang bukan saja menghubungi pelanggan mengenai tarikh servis kenderaan, juga menyediakan khidmat membayar cukai jalan dan insurans walaupun tempoh jual kenderaan sudah empat tahun berlalu. Mereka sanggup mendahului pembayaran cukai jalan dan insurans, sebelum pelanggan datang membayarnya. Urusan perkhidmatan memadai dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel saja.

Jenama Proton mula dikenali pada 1983 apabila mendapat arahan secara langsung daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengutamakan industri automotif sebagai pemacu ekonomi negara.

Idea bernas Dr Mahathir menjadi kenyataan apabila Proton mengeluarkan Proton Saga pada September 1985 di kilangnya di Shah Alam.

Berasaskan teknologi Mitsubishi Motors, Proton Saga menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana modelnya yang cantik dan harga berpatutan berbanding kenderaan import.

Pada Januari 1989, Proton Saga dijual 100,000 unit. Angka ini terlalu luar biasa untuk sebuah industri automotif yang amat muda di sebuah negara dunia ketiga.

Jenama Proton mula meledak ke seluruh dunia termasuk ke Britain yang selama ini amat gah dengan kenderaan mereka.

Pada 1993, model Proton Wira diperkenal. Sebanyak 220,000 unit terjual dalam tempoh dua tahun. Proton Perdana model pertama dikeluarkan pada 1995 untuk sasaran cita rasa mewah. Proton Waja dilancar awal 2001 dengan reka bentuk tempatan pertama sepenuhnya.

Sementara itu, Proton Saga versi baru (Proton BLM) dilancar 18 Januari 2008, sebagai kesinambungan Proton dalam industri kenderaan tempatan. Sehingga 3 Ogos 2008, Proton menghasilkan tiga juta kenderaan sejak 1985, membabitkan eksport ke United Kingdom, Afrika Selatan, Australia, Singapura, Brunei, Indonesia, Nepal, Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh, Taiwan , Cyprus dan Mauritius.

Mengikut statistik, sebanyak 14,706 Proton dieksport sehingga 2006.

Proton juga berjaya memperkenalkan enjin Campro dengan kerjasama Lotus. Nama Campro ialah kependekan bagi Cam Profile (Profil Sesondol). Enjin ini digunakan pada Proton Gen-2 diikuti Satria Neo, Waja dan Persona. Enjin ini membuktikan kemampuan Proton membina enjin yang berkuasa dan mematuhi piawaian emisi yang ketat.

Enjin Campro DOHC asas dikeluarkan dalam dua sesaran enjin iaitu 1.6L (S4PH) dan 1.3L (S4PE). Ketika peringkat pembangunannya, enjin ini dipasang pada Proton Waja. Enjin ini digunakan pada Proton Gen-2.

Kecemerlangan Proton menepati tradisi kualiti yang diutamakan pimpinan negara. Jenama yang hebat dan model menepati cita rasa pelanggan sentiasa menjadi tumpuan massa.

Proton terus melangkah dengan gah di jalan raya kita dengan pelbagai model menarik. Kehebatan ini perlu diiringi khidmat pelanggan terbaik. Proton mesti bersedia menawan hati pelanggan untuk lebih teruja di pasaran.

Sunday, January 17, 2010

Misteri Bermuda di mata ulama Mesir


SAYA amat teruja membaca sebuah buku yang ditulis seorang ulama Mesir mengenai Bermuda. Dia mengulas fenomena alam dan kaitan dengan kekuasaan dajal. Beberapa dalil al-Quran dan sumber rujukan Pentagon dan CIA diadunkan secara bersahaja, tetapi menggugah minda.  Apakah benar  piring terbang dan UFO  juga dikaitkan dengan  dajal yang menjelma tanda dunia akhir zaman.  Buku ini   perlu dikaji kerana hujahnya amat menarik apatah lagi sehingga kini  ahli sains  tidak mampu menghuraikan misteri di sebalik tragedi Bermuda.


Jumaat yang ghairah


Saya tidak peduli gerhana matahari atau isu kalimah Allah dan kenyataan lawak menteri yang menjaga hal ehwal  Parlimen. Jumaat  15 Januari 2010 adalah detik untuk menghayati karya Yusof Gajah. Ke PPUKM semata-mata untuk mengambil bekalan ubat tanpa erti jika tidak menikmati karya lukisan yang bertebaran di beberapa penjuru. Jumaat lebih ghairah dengan gajah dan gajah dan gajah.  Bagaimana jika isu agama dibincang dengan belalai apabila manusia tidak lagi cerdas akalnya untuk lebih saksama?
Tanpa sedar, saya sudah tetinggal 20 tahun untuk mencalit warna pada kanvas. Seni tanpa batasan, juga renungan tanpa sempadan

Thursday, January 07, 2010

Khabar gembira tahun baru 2010


KITA mesti sokong kenaikan harga bahan bakar  kerana memang sudah diramalkan. Sebagai  rakyat  kita tidak ada pilihan lain, melainkan sokong dan sokong...
Antara azam utama tahun ini adalah mengurangkan penggunaan bahan bakar. Minyak akan habis beberapa dekad lagi, pencemaran alam semakin ganas, pelepasan gas rumah hijau makin akrab. Sebagai pencinta alam, apalah salahnya  jika MPV hitam ini ditinggal  kat rumah untuk tontonan bibik sepanjang hari. Proton Saga memadai untuk sekadar  berseorangan. Imej Malaysia katakan. Jimat minyak. Menjelang 1 Mei, kerajaan akan menasihatkan rakyat supaya bersabar   kerana subsidi minyak amat  tinggi. Saya tak marahkan kerajaan,  saya marahkan diri sendiri kerana membuat keputusan kurang tepat. Kita jangan mengharapkan sesuatu yang indah. Zaman mewah sudah berlalu.  2010  amat banyak cabaran. Gula makin tinggi harga,  ayam dan daging  sudah menjadi  milik  elit.  TNB sedang semak tarif baru,  cukai barangan  4 peratus akan dikenakan 2011.  Wang simpanan  tak   seberapa.....  hayat  terlalu kecil tersisa. Perlukah ini khabar gembira? Atau kita meratap?
MPV ini sudah empat   tahun berbakti. Sayang...  kena simpan kat rumah kerana tak mampu isi minyak  1 Mei nanti. Ia dianggap kenderaan mewah kerana harganya lebih RM100,000. Tapi saya masih belum mewah, menanti  royalti dan honorarium. Nasib penulis  Malaysia terlalu tercabar...

Friday, January 01, 2010

Penyair Nusantara, Sasterawan Negara pelengkap diari 2009



PERTEMUAN Penyair Nusantara Ke-3 (PPN3) dan pemilihan Datuk Dr Anwar Ridhwan sebagai Sasterawan Negara ke-10 boleh dianggap antara kemuncak kegiatan sastera sepanjang 2009. PPN3 berjaya mempertemukan penyair Nusantara pada 20 hingga 22 November lalu di Kuala Lumpur. Ia lanjutan acara di Medan pada 2007 dengan nama Pesta Penyair Nusantara.
Pesta Penyair Nusantara Kedua (PPN2) di Kota Kediri, Indonesia. pada 29 Jun hingga 3 Julai 2008. Tahun ini, Persatuan Penulis Nasional (Pena) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya menganjurkan majlis membabitkan penyair negara serumpun.
Sementara itu, pemilihan Anwar sebagai Sasterawan Negara tidak boleh dipertikaikan. Beliau bukan sekadar mampu menguasai genre novel, cerpen, sajak dan esei, bahkan mempunyai kewibawaan tersendiri. Anwar bukan sekadar sasterawan, juga ilmuwan seni yang diiktiraf sebagai antara pentadbir penting ketika bertugas di DBP.

Novel pertamanya Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah pada 1979. Novel Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1984/1985). Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992).
Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto diterbitkan dalam bahasa Russia (penterjemah Victor Pogadaev) pada 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).
Tentunya kejayaan Anwar boleh dianggap sebagai pelengkap kesusasteraan Malaysia yang sebelum ini digerakkan Keris Mas, Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Dr Usman Awang, Datuk A Samad Said, Arena Wati, Prof Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Abdullah Hussain dan S Othman Kelantan.
Sementara itu, penerbitan karya sastera masih lancar walaupun negara mengalami kekangan ekonomi dan banyak syarikat penerbitan merancang semula operasi mereka. Penulis menerima tiga karya daripada Marsli No, Dr Talib Samat dan Hafizah Iszahanid sebagai penutup diari 2009.


Marsli menerusi kumpulan puisi Kepada Angin Juga agak lantang dan sinis memperkatakan sikap manusia yang bermuka-muka dan bersandiwara dalam kehidupan. Marsli semakin mantap pengucapan puisinya dan boleh dianggap ikon generasi 80-an aktif berkarya.


Talib yang juga pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghasilkan karya puisi naratif prosaik berjudul Di Bawah Kibaran Bendera Tauhid. Pengalaman seni dan akademik berjaya memperkukuhkan karya Talib.
Sementara itu Hafizah menerusi novel ketiganya Andainya Kukembali, jujur menceritakan situasi dunia kewartawanan dan sinis mengungkapkan 'mahu mengubah dunia'. Pada 22 Julai 2005, penulis membentangkan kertas kerja dan membicarakan novel pertama Hafizah, Noktah Di Hujung Rindu di Bilik Seri Setia, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Penulis mengandaikan wartawan Berita Minggu itu mampu 'melangkah' andainya lebih teliti dan mengutamakan fakta di sebalik paparan fiksyen dalam karyanya. Ternyata novel Andainya Kukembali bukan sekadar memaparkan isu kewartawanan dan kebebasan media, juga konflik perasaan, prejudis terhadap Islam dan kepentingan siber dalam kehidupan terkini.
Beberapa kegiatan lain turut diadakan sepanjang 2009 termasuk Perhimpunan Penulis Muda di Melaka, pelancaran dan diskusi buku serta acara tetap baca puisi di Rumah Pena setiap bulan. Ia menggambarkan sasterawan tempatan masih aktif di sebalik kekangan waktu. Beberapa penulis ternama juga berada di barisan hadapan ketika menuntut pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Walaupun beberapa karya seni diterbitkan, ia tidak mampu mengubah data betapa rendahnya kadar pembacaan di negara ini. Hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati 54.3 peratus rakyat negara ini membaca purata kurang tujuh halaman sehari. Lebih memeranjatkan, daripada jumlah 54.3 peratus itu pula, 12 peratus membaca purata kurang dua halaman sehari atau 50 halaman sebulan.
Mengikut statistik, negara menerbitkan 6,500 judul buku setahun membabitkan 200 penerbit. Angka ini terlalu kecil kalau dinisbahkan dengan jumlah penduduk ketika ini. Angka yang kecil ini perlu diperbetulkan kerana sebuah negara yang 52 tahun merdeka, sepatutnya sudah mempunyai jati diri dan kekuatan membaca yang luar biasa. Bangsa yang kurang membaca bakal ketinggalan, sama seperti apa yang berlaku kepada bangsa Arab yang kebanyakannya terus jumud selepas kejatuhan tamadun Abassiyah dan Osmaniyah.
Jika China sudah berjaya menerbitkan 181,000 judul buku setahun dan Korea Selatan 42,000 judul buku, kita sepatutnya sudah berjaya menerbitkan 20,000 judul buku setahun. Angka ini sepatutnya boleh dicapai di bawah gagasan 1Malaysia yang mengutamakan integriti dan kewibawaan bangsanya.
Sasterawan perlu berperanan membantu peningkatan kadar membaca, di samping melahirkan karya yang lebih bervisi. Sasterawan sepatutnya tidak diperalatkan untuk kepentingan pihak lain. Sasterawan perlu berada di depan masyarakat sebagai perakam zaman, bukan pengekor yang jumud dalam pemikiran massa. - Berita Harian, 1 Januari 2010