Pages

Thursday, January 27, 2011

Teori Domino di tanah Arab

"ADA apa-apa soalan?" tutur Ezzat Ibrahim dengan wajah serius. Hanya beberapa saat, sebelum sempat wartawan bertanyakan soalan, dia menambah: "Terima kasih kerana tiada soalan!" Dia berlalu meninggalkan puluhan wartawan di pusat konvensyen di Baghdad dengan langkah tegas, berpakaian tentera, berpistol dan diiring 10 pasukan elit tentera Iraq yang lengkap bersenjata M16. Semuanya kelihatan bengis dan tidak mesra. Wartawan berpandangan sesama sendiri kerana tidak biasa dengan suasana tegang, apatah lagi ketika itu Iraq dan Iran masih berperang kerana pertikaian sempadan. Isu senjata kimia, pembunuhan kaum Kurd menjadi bualan sejagat. Media pula terkongkong dan ada wartawan hilang tanpa jejak. Ternyata Iraq dan banyak negara lain sehingga kini tidak mesra media.

Penulis melihat aksi Timbalan Pengerusi Majlis Revolusi Iraq itu dengan mata sinis kerana mengetahui hubungan rapatnya dengan Saddam Hussein yang terkenal dengan sikap kerasnya. Pengalaman ini dicatat ketika berkunjung ke Baghdad, Basra, Babylon dan menyusuri Shattal Arab pada 29 Mac hingga 4 April 1989. Kononnya Iraq ketika itu mengadakan pilihan raya yang 'bebas' kali pertama dan ramai wartawan asing termasuk dua Ahli Parlimen Malaysia diundang untuk melihat proses demokrasi di Iraq. Pengalaman ini juga penulis catatkan dalam kumpulan puisi Lelaki yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1994.

Sistem demokrasi di Iraq di bawah pimpinan Saddam tidak jauh bezanya dengan proses suara rakyat di beberapa negara Arab di Asia Barat dan Utara Afrika sehingga kini. Hak asasi, suara rakyat dan perjuangan wanita masih di tahap yang rendah. Pilihan raya diadakan untuk anggota tentera menjadi wakil mengundi bagi pihak rakyat. Banyak negara Arab terperangkap antara sistem feudal yang kuku besi dan diktator tentera yang menjalankan peraturan serta sistem hukum menerusi senjata.

Rakyat menjadi mangsa pihak istana yang menggunakan sumber minyak untuk kekayaan peribadi sedangkan prasarana negara tidak dipedulikan. Jika ada apun sistem pilihan raya yang kononnya proses demokrasi, ia sekadar istiadat untuk meraih sokongan negara Barat terutama Amerika Syarikat dan Britain yang sentiasa mendekati Asia Barat kerana menjaga kepentingan Israel di Semenanjung Gaza. Demokrasi tidak bermakna apa-apa apabila rejim tentera yang disokong komando elit sentiasa menghimpit suara rakyat, pada masa sama rakus membunuh penentang dan gerakan pembaharuan. Tradisi memuja pemimpin disemarakkan dan pelbagai ungkapan serta slogan dipergunakan untuk mengekalkan kekuasaan.

Justeru, apa yang berlaku kepada bekas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali baru-baru ini bukan sesuatu yang memeranjatkan. Ben Ali seperti juga Saddam menggunakan pengaruh dan kuasa tentera untuk menguasai massa dan akhirnya terpaksa melarikan diri apabila penentangan rakyat berlaku secara mendesak. Bezanya, Saddam tidak sempat melarikan diri apabila dikepung dan dihukum bunuh oleh tentera Amerika Syarikat dan Britain.

Kini timbul pula persoalan, mungkinkah Teori Domino bakal berlaku di negara Arab seperti belakunya ke atas negara komunis di Blok Timur (Eropah Timur) apabila runtuhnya Soviet Union pada 1989?
Media melaporkan penentangan rakyat terhadap beberapa penguasai semakin berleluasa. Mereka sedar -- sama ada feudal mahupun diktator tentera--- masing-masing mempunyai agenda yang sama iaitu memerah hasil bumi dan mengekalkan kekuasaan menerusi sistem diktator. Populasi generasi muda yang berkembang pesat menghadapi harga keperluan utama yang melonjak, angka pengangguran melambung dan peluang pekerjaan terbatas menimbulkan penentangan secara terbuka.

Ada negara Arab yang terkenal sebagai pusat tamadun keilmuwan, tetapi terlalu rendah taraf celik hurufnya. Sebahagian besar rakyat hidup di bawah tahap kemiskinan sedangkan pemimpin mereka yang berusia 82 tahun masih berusaha untuk mengekalkan kekuasaan walaupun sudah berkuasa lebih 30 tahun.
Jika dibandingkan dengan warga Tunisia, penduduk negara itu memiliki tingkat pendidikan dan kenal huruf lebih rendah dan bukan pengguna internet utama walaupun mempunyai sebuah universiti Islam paling berwibawa di dunia
Wartawan BBC, Jon Leyne menyatakan kebanyakan rakyat tidak melihat mereka boleh mengubah kehidupan mereka melalui aksi politik, seperti ikut dalam pemilihan, menjadi aktivis, atau berdemonstrasi.

Aksi bunuh diri pemuda Tunisia, Mohamed Bouazizi, yang nekad membakar diri hingga terbunuh pertengahan Disember menjadi ikon generasi muda Arab untuk menunjukkan jalan keluar kepada pemerintahan diktator di Asia Barat dan Utara Afrika.

BEN ALI antara rejim Arab yang sudah kecundang.
Gerakan penentangan  rakyat dijangka berlaku di Mesir,
Libya, Jordan dan  'telaga minyak'  dunia yang
dikuasai raja pro-Amerika Syarikat.
Rakyat menderita,  pempin  kekal berkuasa.
Di negara yang mengamalkan sistem beraja, pemimpin mereka lebih selesa berdamping dengan Barat kerana kemajuan teknologi cari gali minyak.
Justeru, tidak menghairankan apabila timbul isu membabitkan keganasan rejim Zionis di rantau Teluk, banyak sheikh Arab mendiamkan diri walaupun kawasan zon perang hanya beberapa kilometer daripada negara mereka.

Ketika suara generasi muda semakin mengancam dan menggesa tindakan tegas, pemimpin yang bersekutu dalam Liga Arab masih dibuai dengan tradisi feudal tanpa menghirau nasib rakyat yang memerlukan pembelaan.

Mengabaikan suara generasi muda, tidak mustahil suatu hari nanti ramai lagi Shah Iran, Saddam dan Ben Ali yang akan menjadi mangsa sejarah dengan catatan berlandaskan aliran darah rakyatnya sendiri. - Berita Harian, 27 Januari 2011

Tuesday, January 18, 2011

Interlok mangsa PARIA

AGAK malang sekali apabila sebuah karya besar dipolemikkan oleh segelintir manusia berjiwa kecil semata-mata dikaitkan isu penghinaan kaum. Lebih malang sekali hampir 100 orang yang berkumpul, membakar novel dan potret penulisnya di Klang tidak pernah membaca karya Karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husain, apatah lagi untuk memahami sistem tanda atau isyarat yang terkandung di dalamnya.

Novel Interlok sudah lama dihasilkan namun tiada siapa pun yang mempolemikkan kerana tidak pernah menghina atau merendah mana-mana kaum dan agama.

Hanya selepas keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 yang luar biasa keadaannya, banyak pihak sudah berani bersuara, walaupun kualiti suara mereka boleh dipersoalkan.

Pada hari ini, apa saja isu yang membabitkan Melayu dan kaum lain, dipolitikkan, seolah-olah Malaysia sebuah negara yang baru ada kesedaran untuk bersuara.

Justeru, novel yang sepatutnya dibincang dan diwacanakan secara intelektual, menjadi pembakar semangat, apatah lagi ada tindakan membakar secara terbuka.

Karya Sasterawan Negara sekadar memaparkan nasib pendatang dari India yang terpaksa mencari nasib di Malaysia kerana lingkaran masalah di tanah air asal mereka. Plot utama karya ini adalah perpaduan kaum dan masalah marhaen yang saling menerima antara satu sama lain. Mereka bersatu hati kerana Tanah Melayu adalah tanah air yang didiami secara bersama.

Tiada pun isu penghinaan, apatah lagi merendahkan kaum India dan Cina, selain fakta sejarah yang menjelaskan sistem kasta yang merosakkan hubungan sesama manusia di India.

Novel 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - yang menghadapi pelbagai kemelut kehidupan.
Isu yang dipaparkan relevan dengan suasana semasa dan wajar dikekalkan sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk Tingkatan Lima.

Latar kehidupan di Tanah Melayu sekitar 1910 hingga 1957 banyak mengasuh jiwa manusia untuk sabar dan mengukuhkan perpaduan kaum. Melayu bersatu berjuang untuk menuntut kemerdekaan, kaum Cina dan India pula hadir sebagai pelengkap variasi kemerdekaan daripada British.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam begitu lantang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu dengan mendakwa Interlok menghina kaum India walaupun tidak dijelaskan bab mana yang mengandungi unsur hasutan. Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) juga turut melatah tanpa mengkaji sistem makna dan tanda yang ada dalam sesebuah karya seni.

Penentangan terhadap novel Sasterawan Negara melambangkan pemikiran dan prasangka perkauman lebih teruk di negara ini. Selepas pilihan raya umum lalu, kecenderungan untuk mempolemikkan isu kaum agak keterlaluan. Orang politik amat selesa menjadikan apa saja isu semata-mata untuk kepentingan siasah mereka.

Jika keadaan ini berlanjutan, kita bimbang pada masa depan, apa saja isu dikaitkan dengan politik perkauman kerana ada pihak yang sengaja membahangkan keadaan untuk meraih keuntungan siasah.

Keadaan ini mendorong Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) menggesa pelbagai pihak bersikap rasional. Pemimpin PAKSI, Che Shamsudin Othman (Dinsman) berkata ada kecenderungan pelbagai pihak lebih utamakan politik, berbanding kepentingan nasional.

"Berbanding dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya.

"Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahu pun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul," katanya sinis.

Pertubuhan Melayu terutama Persatuan Penulis Nasional (PENA), GAPENA dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) juga menafikan adikarya Abdullah sebagai karya sensitif. Dialog Novel Interlok yang berlangsung di Rumah PENA, 8 Januari lalu membuat ketetapan mempertahankan novel karya Abdullah sebagai teks KOMSAS.

Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad, berkata ketetapan itu diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Pelajaran dengan gesaan supaya kemurnian novel itu dikekalkan kerana ia tiada masalah.

"Jika beralah kepada satu tuntutan, bermakna kita mengakui dakwaan mereka yang tidak berasas sama sekali selepas kita berhujah secara intelektual," katanya.

Mohamad Saleeh menyifatkan sebarang campur tangan politik berdasarkan kepentingan peribadi dan perkauman dalam bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan akan menimbulkan kekeliruan dan pergeseran yang tidak berkesudahan.

"Kesan penarikan balik novel itu juga akan merosakkan kredibiliti karya sastera bertaraf antarabangsa dan sistem pendidikan negara yang dipersetujui secara bersama semasa pembentukan kemerdekaan," katanya.

Setiausaha Satu Gabungan Badan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, meminta semua pihak tidak mempolitikkan penggunaan Interlok dalam KOMSAS selain menyarankan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran menjemput persatuan penulis dan sasterawan membincangkan isu itu.

"Dari aspek akademik, teks ini mempunyai garapan dan fakta yang baik. Provokasi tidak sepatutnya timbul kerana ia sudah digunakan dalam subjek Sastera sekitar 1970-an tanpa masalah," katanya.

Presiden Persatuan eSastera Malaysia (E-SASTERA), Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, pula berkata perbincangan mengenai kesesuaian Interlok sebagai teks KOMSAS perlu dibuat secara intelektual.

Kenapa Interlok dipersoalkan selepas lebih 40 tahun di pasaran?

Apakah kerana pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari dan bayangan Pilihan Raya Umum, maka karya besar perlu dikorbankan daripada pembacaan umum? Apakah kewarasan bakal menentukan sebuah karya yang baik bakal disingkirkan oleh pertimbangan yang tidak wajar? - Berita Harian, 18 Januari 2011

Wednesday, January 12, 2011

Telatah Mat Indon

PIAGAM Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara sah mengiktiraf hak sesebuah negara dari segi kedaulatan dan hubungan serantau. PBB juga membenarkan sesebuah negara membuka pejabat perwakilan di negara lain dan  secara langsung mempunyai kedaulatan di kawasan kedutaan.

Hubungan diplomatik antara dua   negara mendorong  jalinan kerjasama dari segi ekonomi, pendidikan dan hubungan serantau dapat dijayakan tanpa sebarang gangguan. Persefahaman dua hala boleh membentuk kerjasama yang erat ketika era dunia tampa sempadan sekarang menuntut kerjasama pelbagai sektor.
Lazimnya, hampir semua negara  membenarkan rakyatnya melawat, bersukan atau menjalankan tugas di negara lain kecuali yang dilarang dalam kes tertentu. Malaysia, umpamanya membenarkan rakyatnya ke mana saja, kecuali Israel yang dianggap sebuah wilayah haram di Asia Barat.

Bagaimanapun dalam hubungan dua hala dengan Indonesia, terdapat terlalu banyak kemelut, apatah lagi sebuah badan bukan kerajaan di Jakarta yang membuat tinjauan umum mendakwa 65 peratus responden mempunyai persepsi negatif terhadap rakyat Malaysia. Sejak awal 2010, beberapa  demonstrasi dilakukan di luar kedutaan Malaysia dan ada yang sanggup membakar Jalur Gemilang, membaling najis dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
BAGI segelintir warga Indonesia, Malaysia adalah
msuh yang amat dibenci.
 Mereka lupa dua juta Mat Indon bekerja
di Malaysia dan mengirim wang kepada keluarga di kampung.

Beberapa kes sebelum ini termasuk isu pembantu rumah, masalah sempadan, penciplakan karya dan   perairan maritim  – mendorong  beberapa tindakan luar biasa. Pelajar Malaysia pernah disekat di laluan awam semata-mata kerana datangnya dari Kuala Lumpur. Media tertentu di Indonesia juga tidak terkecuali memainkan sentiment anti-Malaysia yang didakwa sebagai ‘Malingsia’.

Dalam dua kejohanan sukan yang berlangsung di Jakarta tahun lalu, sebahagian penonton Indonesia bukan saja menghina Jalur Gemilang dan Negaraku, bahkan sanggup bertindak ganas terhadap pemain Malaysia. Pengalaman menjelang final kedua  bola sepak Piala Suzuki pada akhir Disember lalu cukup memeritkan. Pemain Malaysia bukan saja terpaksa   menaiki  kereta perisai ke stadium, malahan diganggu ketika berlatih di padang  hingga memaksa mereka sekadar  berlarian anak di pinggir kolam renang hotel. Beberapa pegawai pasukan dan penonton Malaysia juga diludah dan  dibaling  botol ketika lagu kebangsaan dinyanyikan. 
Tindakan yang luar biasa ini hanya dilakukan oleh segelintir manusia yang kurang pertimbangannya. Tetapi jika kerap berlaku hal yang sama,  timbul juga persoalan kenapa sentiment anti-Malaysia begitu meluas sekali di negara jiran?

 Ketika pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta pada awal 2010,  keadaan yang hampir serupa juga berlaku.  Lagu kebangsaan yang merupakan  simbol harga diri  dijamin  PBB sebagai wakil kehadiran sesebuah wilayah di persada dunia diejek. Jeritan Malingsia kedengaran.  Aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu  Negaraku  ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam, menyebabkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM 17,006).

  Tindakan itu diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) selepas Pengurus Pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian kerana kelakuan itu mencemarkan maruah sesebuah negara.

  Walaupun Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Malarangeng memohon maaf berhubung kejadian itu, tindakan keterlaluan sudah dilakukan oleh segelintir rakyat jiran dan ia bukan kali pertama terjadi. Ia juga terus berlaku ketika Piala Suzuki dan tiada jaminan bahawa ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Sentimen anti-Malaysia   bermula ketika Presiden Sukarno mengisytiharkan konfrontasi pada dekad 60-an dan reda seketika ketika dasar diplomatik Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil pendekatan  hubungan baik dengan semua jiran di Asia Tenggara.

Bagaimanapun  sikap luar biasa segelintir rakyat Indonesia bersemarak kembali apabila tranformasi dasar ekonomi  yang dibina oleh Tun Dr Mahathir  Mohamad berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara  kuasa ekonomi penting di Asia Timur dan ASEAN.  Malaysia seiring Singapura, Korea Selatan, Jepun dan China--  dianggap  harimau timur yang sedang bangkit. Indonesia ketika itu berdepan isu rasuah, kemiskinan, salah laku pemimpin siasah hingga menyebabkan  tiada upaya untuk membangunkan sektor ekonomi dan perindustrian. Keadaan ini  mendorong  dua juta rakyat Indonesia mencari  nafkah di Malaysia, sama ada secara sah mahu pun tampa permit sehingga kini.

Polisi perusahaan dan industri moden memacu partumbuhan ekonomi Malaysia  sekitar 6 hingga 8 peratus pada dekad 80-an dan 90-an mendorong perasaan cemburu Indonesia, yang ketika itu amat  tradisional  ekonominya. Dr Mahathir berjaya memajukan Malaysia secara terancang dan berjaya mengatasi ancaman spekulator mata wang pada 1998. Indonesia pula terus merudum  ekonominya yang memaksa Presiden Suharto meminjam wang daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  kerana tidak mampu membiayai ekonomi dalam negara. Suharto  terpaksa meletakkan jawatan dan anak lelakinya diheret ke pengadilan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Keadaan yang amat kontras ini  akhirnya menimbulkan dendam yang luar biasa terhadap Malaysia. Media mula mencipta pelbagai  berita  yang tidak benar semata-mata untuk  memberikan imej  hitam kepada Malaysia. Justeru, ungkapan ganyang Malaysia,  masalah pembantu rumah, sentimen di padang bola sepak dan entah apa lagi, memberi pengajaran betapa perlunya kewarasan bertindak untuk menjaga hati jiran. Mereka pernah mempergunakan wartawan Terry Friel yang menulis dalam Sunday Age Australia pada 14 Julai 1991, yang antara lain menyebut: “Malaysia bukan negara tetangga yang baik. Ia bukan saja bergaduh dengan Australia, bahkan dengan semua jirannya.” Rencana itu juga menyebut kenyataan seorang menteri yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai ‘That Little Sukarno’.

  Penyiaran rencana itu pula dirancang ketika menjelang Persidangan Negara Berkecuali di Jakarta. Kenapa tarikh itu dipilih? Kenapa ketika sidang di Jakarta dikaitkan dengan imej buruk pemimpin Malaysia?
  Hari ini,  kedua-dua negara perlu eratkan hubungan kerana kedudukan ekonomi serantau yang saling bergantung memerlukan tindakan bersama. Sikap tidak waras segelintir  rakyat Indonesia sepatutnya dibendung. Indonesia perlu belajar dari sejarah kejayaan masa lalu untuk hadir sebagai penguasa Asia Tenggara yang peting. Kejayaan kerajaan Majapahit perlu digembelingkan dengan kekuatan dan kedaulatan Melaka yang menjadi peneraju penting Nusantara. Ia boleh dijalin menerusi kerjasama erat dan bukan mencari dendam untuk meluaskan jurang. - Berita Harian, 11 Januari 2011  

Wednesday, January 05, 2011

Apabila Cina masuk masjid

(Berita Harian tidak siar  rencana ini)

AHLI Parlimen Serdang menimbulkan isu
apabila masuk masjid dan ruang solat.
Dia juga senam robik di Masjid Cheras Jaya.
Tiada garis panduan larangan masuk masjid.
 Jabatan agama dan Majlis Fatwa perlu
buat garis panduan.
TIBA-TIBA saja Masjid Taman Cheras Jaya, Selangor  menjadi sebutan ramai apabila dipolemikkan  ekoran senamrobik  sempena Karnival Maal Hijrah 12 Disember lalu. Kebetulan penulis  ahli  kariah  masjid itu dan turut hadir pada 11 dan 12 Disember lalu. 
Pelbagai acara diadakan pada sambutan Maal Hijrah selama dua hari itu termasuk forum agama, nasyid, sukaneka, jualan produk Islam serta  kaunter khas Tabung Haji, derma darah, pemeriksaan gigi percuma dan gerai makanan.
Masjid itu juga aktif  kegiatan keagamaan setiap malam dengan kuliah Maghrib mermbabitkan tokoh agama berwibawa  serta kuliah Subuh setiap pagi minggu.
Sebagai kawasan urban yang dihuni  pelbagai status sosial masyarakat dan 80 peratus penduduk  beragama Islam, Cheras Jaya pesat membangun dari segi kemudahan asas. Kemudahan pendidikan, klinik, kawasan industri, dewan komuniti, pusat beli-belah di kawasan berdekatan – mendorong pelbagai lapisan ekonomi menjadi penghuninya. Di samping deretan rumah kos rendah dan sederhana, ada kediaman semi-D dan banglo agam yang dihuni pelbagai sektor pekerjaan. Ada peguam, tokoh politik, arkitek, akauntan, jurutera, pegawai tinggi tentera, pensyarah, wartawan, guru,  ahli korporat, pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang dan ahli  agama menjadi penghuninya. Merekalah yang menggerakkan Masjid Taman Cheras Jaya dengan pelbagai kegiatan  bermanfaat.
Malangnya  kemurnian  masjid yang boleh memuatkan 2,000 jemaah itu tidak pernah mendapat  publisiti sebelum ini. Hanya apabila Anggota Parlimen Serdang,  Teo Nie Ching hadir dan senaman di kawasan itu, ia menjadi tumpuan ramai. Seolah-olah  penghuninya kurang kesedaran agama dengan menjemput  bukan Islam berpakaian ‘seksi’    yang dikatakan ‘mencemarkan’ kesucian pusat ibadat umat Islam.
Tanggapan itu tidak benar sama sekali kerana wakil rakyat  memakai pakaian sukan yang lazim dipakai oleh kebanyakan wanita ketika bersenam. Tidak timbul isu pakaiannya ketat atau mendedah aurat.
Dari segi sejarah perkembangan Islam, kehadiran penganut agama lain di kawasan masjid   bukan perkara baru. Nabi Muhammad SAW  juga menjadikan masjid sebagai pusat pertemuan pelbagai kaum dan agama. Ada di antara mereka bukan saja berada di  kawasan halaman, bahkan  di ruang solat umat Islam. Bapa saudara Baginda , Abu Talib bin Abdul Mutalib juga pernah berbincang bersama Nabi Muhammad di masjid walaupun beliau masih terikat dengan kepercayaan tradisi bangsa Arab dan enggan menerima agama wahyu yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri.  Baginda tidak  pernah melarang penganut agama lain medekati masjid kerana Islam adalah  agama dakwah yang disebar menerusi tunjuk ajar dan tidak memandang rendah kepada pihak lain.
Dr Hamka menerusi tiga  bukunya -- Tasauf Moden, Peribadi dan Sejarah Islam, berulangkali menyebut fungsi masjid bukan sekadar pusat ibadat, tetapi juga  dewan komuniti yang mempukuhkan hubungan sesama Islam,  di samping membawa penganut agama lain mendekatinya.  
Beliau menyarankan masjid menjadi tempat berhibur bersama anggota keluarga dan masyarakat,  bagi membentuk suasana harmoni selaras ajaran Islam. Hamka menyarankan masjid sebagai tempat tumpuan anak muda,  bukan  sekadar  untuk beribadat, bahkan pusat pertemuan,  kegiatan riadah dan acara sosial.
 Sasterawan Negara,  Abdullah Hussain menerusi novel Imam pula   menyarankan masjid sebagai lokasi riadah  yang boleh membentuk sahsiah generasi muda. Remaja bukan saja boleh bersenam dan bergembira, malah menghormati  masa  solat untuk berjemaah di masjid.
Apa yang berlaku sekarang, terlalu banyak sikap prejudis dan salah faham terhadap fungsi masjid yang mendorong pihak tertentu  memandang  sinis  terhadap kegiatan membabitkan  bukan Islam di masjid. Isu politik  dikaitkan dengan kegiatan sosial,  hingga menimbulkan polemik  yang  tidak sepatutnya.
Kerajaan, khususnya jabatan yang berkaitan dengan keagamaan wajar mengeluarkan pandangan dan garis panduan  khusus  mengenai kawasan ibadat. Sehingga kini tiada  garis panduan membabitkan bukan Islam di kawasan masjid dan ruang solat.   Ada yang keliru apabila dikatakan  masjid sebagai kawasan larangan berpolitik, sedangkan pada masa sama ada pihak yang menjadikan mimbar  untuk mengumumkan peruntukan  dan isu politik.
Ketika isu kafir mengkafir meletus ekoran ‘Amanat Haji Hadi’ pada awal dekad 1980-an, timbul juga isu menggunakan masjid untuk mesyuarat  cawangan parti siasah. Persoalannya, sebelah pihak  tak dibenarkan  berpolitik, pihak yang lain pula bebas menggunakan  masjid untuk mencari pengaruh?
Pelbagai  isu membabitkan Islam dan penganut agama lain masih kabur. Bolehkah wanita bukan Islam mendekati masjid tanpa menutup kepala? Bolehkah  bukan Islam berucap dengan memetik ayat al-Quran dan hadis di khayalak ramai? Bolehkah seorang tokoh  bukan Islam dikaitkan dengan pimpinan Umar Abdul Aziz?  Bolehkah bukan Islam menyebut kalimah Allah?
Semuanya masih kabur kerana  tiada garis paduan yang lengkap. Mufti, jabatan agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam, Yayasan Dakyah Islamiah, Majlis Fatwa Kebangsaan dan  kementerian terbabit  perlu  duduk semeja membincangkan isu membabitkan Islam supaya tidak menimbulkan hal yang remeh seperti sekarang.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,  amat wajar   garis panduan dikeluarkan supaya  isu agama tidak dikaitkan dengan mana-mana pertubuhan siasah.
Ahli agama perlu bebas berijtihad dan mengeluarkan fatwa  tanpa  terikat dengan kedudukan kerusi dan kepentingan peribadi.  Sudah sampai masanya ahli agama bersuara mengenai isu membabitkan Islam dan penganut agama lain kerana konsep 1Malaysia mengutamakan kebijaksanaan dan kewarasan semua pihak.
Sebagai ahli Jemaah Masjid Taman Cheras Jaya, penulis rasa hairan; perlukah isu sensasi dan sensitif dijelmakan lagi sedangkan kita sudah menjenguk  tahun baru 2011  dengan kedewasaan akal dan minda?