Pages

Wednesday, January 05, 2011

Apabila Cina masuk masjid

(Berita Harian tidak siar  rencana ini)

AHLI Parlimen Serdang menimbulkan isu
apabila masuk masjid dan ruang solat.
Dia juga senam robik di Masjid Cheras Jaya.
Tiada garis panduan larangan masuk masjid.
 Jabatan agama dan Majlis Fatwa perlu
buat garis panduan.
TIBA-TIBA saja Masjid Taman Cheras Jaya, Selangor  menjadi sebutan ramai apabila dipolemikkan  ekoran senamrobik  sempena Karnival Maal Hijrah 12 Disember lalu. Kebetulan penulis  ahli  kariah  masjid itu dan turut hadir pada 11 dan 12 Disember lalu. 
Pelbagai acara diadakan pada sambutan Maal Hijrah selama dua hari itu termasuk forum agama, nasyid, sukaneka, jualan produk Islam serta  kaunter khas Tabung Haji, derma darah, pemeriksaan gigi percuma dan gerai makanan.
Masjid itu juga aktif  kegiatan keagamaan setiap malam dengan kuliah Maghrib mermbabitkan tokoh agama berwibawa  serta kuliah Subuh setiap pagi minggu.
Sebagai kawasan urban yang dihuni  pelbagai status sosial masyarakat dan 80 peratus penduduk  beragama Islam, Cheras Jaya pesat membangun dari segi kemudahan asas. Kemudahan pendidikan, klinik, kawasan industri, dewan komuniti, pusat beli-belah di kawasan berdekatan – mendorong pelbagai lapisan ekonomi menjadi penghuninya. Di samping deretan rumah kos rendah dan sederhana, ada kediaman semi-D dan banglo agam yang dihuni pelbagai sektor pekerjaan. Ada peguam, tokoh politik, arkitek, akauntan, jurutera, pegawai tinggi tentera, pensyarah, wartawan, guru,  ahli korporat, pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang dan ahli  agama menjadi penghuninya. Merekalah yang menggerakkan Masjid Taman Cheras Jaya dengan pelbagai kegiatan  bermanfaat.
Malangnya  kemurnian  masjid yang boleh memuatkan 2,000 jemaah itu tidak pernah mendapat  publisiti sebelum ini. Hanya apabila Anggota Parlimen Serdang,  Teo Nie Ching hadir dan senaman di kawasan itu, ia menjadi tumpuan ramai. Seolah-olah  penghuninya kurang kesedaran agama dengan menjemput  bukan Islam berpakaian ‘seksi’    yang dikatakan ‘mencemarkan’ kesucian pusat ibadat umat Islam.
Tanggapan itu tidak benar sama sekali kerana wakil rakyat  memakai pakaian sukan yang lazim dipakai oleh kebanyakan wanita ketika bersenam. Tidak timbul isu pakaiannya ketat atau mendedah aurat.
Dari segi sejarah perkembangan Islam, kehadiran penganut agama lain di kawasan masjid   bukan perkara baru. Nabi Muhammad SAW  juga menjadikan masjid sebagai pusat pertemuan pelbagai kaum dan agama. Ada di antara mereka bukan saja berada di  kawasan halaman, bahkan  di ruang solat umat Islam. Bapa saudara Baginda , Abu Talib bin Abdul Mutalib juga pernah berbincang bersama Nabi Muhammad di masjid walaupun beliau masih terikat dengan kepercayaan tradisi bangsa Arab dan enggan menerima agama wahyu yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri.  Baginda tidak  pernah melarang penganut agama lain medekati masjid kerana Islam adalah  agama dakwah yang disebar menerusi tunjuk ajar dan tidak memandang rendah kepada pihak lain.
Dr Hamka menerusi tiga  bukunya -- Tasauf Moden, Peribadi dan Sejarah Islam, berulangkali menyebut fungsi masjid bukan sekadar pusat ibadat, tetapi juga  dewan komuniti yang mempukuhkan hubungan sesama Islam,  di samping membawa penganut agama lain mendekatinya.  
Beliau menyarankan masjid menjadi tempat berhibur bersama anggota keluarga dan masyarakat,  bagi membentuk suasana harmoni selaras ajaran Islam. Hamka menyarankan masjid sebagai tempat tumpuan anak muda,  bukan  sekadar  untuk beribadat, bahkan pusat pertemuan,  kegiatan riadah dan acara sosial.
 Sasterawan Negara,  Abdullah Hussain menerusi novel Imam pula   menyarankan masjid sebagai lokasi riadah  yang boleh membentuk sahsiah generasi muda. Remaja bukan saja boleh bersenam dan bergembira, malah menghormati  masa  solat untuk berjemaah di masjid.
Apa yang berlaku sekarang, terlalu banyak sikap prejudis dan salah faham terhadap fungsi masjid yang mendorong pihak tertentu  memandang  sinis  terhadap kegiatan membabitkan  bukan Islam di masjid. Isu politik  dikaitkan dengan kegiatan sosial,  hingga menimbulkan polemik  yang  tidak sepatutnya.
Kerajaan, khususnya jabatan yang berkaitan dengan keagamaan wajar mengeluarkan pandangan dan garis panduan  khusus  mengenai kawasan ibadat. Sehingga kini tiada  garis panduan membabitkan bukan Islam di kawasan masjid dan ruang solat.   Ada yang keliru apabila dikatakan  masjid sebagai kawasan larangan berpolitik, sedangkan pada masa sama ada pihak yang menjadikan mimbar  untuk mengumumkan peruntukan  dan isu politik.
Ketika isu kafir mengkafir meletus ekoran ‘Amanat Haji Hadi’ pada awal dekad 1980-an, timbul juga isu menggunakan masjid untuk mesyuarat  cawangan parti siasah. Persoalannya, sebelah pihak  tak dibenarkan  berpolitik, pihak yang lain pula bebas menggunakan  masjid untuk mencari pengaruh?
Pelbagai  isu membabitkan Islam dan penganut agama lain masih kabur. Bolehkah wanita bukan Islam mendekati masjid tanpa menutup kepala? Bolehkah  bukan Islam berucap dengan memetik ayat al-Quran dan hadis di khayalak ramai? Bolehkah seorang tokoh  bukan Islam dikaitkan dengan pimpinan Umar Abdul Aziz?  Bolehkah bukan Islam menyebut kalimah Allah?
Semuanya masih kabur kerana  tiada garis paduan yang lengkap. Mufti, jabatan agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam, Yayasan Dakyah Islamiah, Majlis Fatwa Kebangsaan dan  kementerian terbabit  perlu  duduk semeja membincangkan isu membabitkan Islam supaya tidak menimbulkan hal yang remeh seperti sekarang.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,  amat wajar   garis panduan dikeluarkan supaya  isu agama tidak dikaitkan dengan mana-mana pertubuhan siasah.
Ahli agama perlu bebas berijtihad dan mengeluarkan fatwa  tanpa  terikat dengan kedudukan kerusi dan kepentingan peribadi.  Sudah sampai masanya ahli agama bersuara mengenai isu membabitkan Islam dan penganut agama lain kerana konsep 1Malaysia mengutamakan kebijaksanaan dan kewarasan semua pihak.
Sebagai ahli Jemaah Masjid Taman Cheras Jaya, penulis rasa hairan; perlukah isu sensasi dan sensitif dijelmakan lagi sedangkan kita sudah menjenguk  tahun baru 2011  dengan kedewasaan akal dan minda?

No comments: