Pages

Friday, August 27, 2010

Kemerdekaan dan kemungkaran sejarah

Sejarah negara perlu ditulis semula elak nama pejuang dicicir

KEMERDEKAAN, perjuangan dan kehidupan seiring jalan. Pejuang kemerdekaan sentiasa subur dalam khazanah sejarah yang akhirnya menjadi legenda untuk sesuatu bangsa. Bangsa yang berdaulat sentiasa menghargai perjuangan wira silam yang jenuh berjuang mempertahankan kebebasan tanah air.

Bagi mereka yang mahu berfikir, tarikh 31 Ogos bukan sekadar perayaan tanpa jiwa. Sudah banyak wira negara yang tersungkur diamuk peluru penjajah ketika berjuang mempertahankan kedaulatan tanah air. Ramai juga yang tidak sempat dicatat nama mereka kerana kemerdekaan dan perjuangan sering berliku.

Kita mempunyai sejarah panjang ketika menuntut kemerdekaan. Ia bukan bermula 53 tahun lalu ketika Tunku Abdul Rahman Putra menjeritkan ‘merdeka’ berulang kali dengan keringat dan air mata pada pagi 31 Ogos 1957. Malah, ia jauh sebelum kelahiran Perdana Menteri pertama.

Kita mempunyai sejarah panjang perjuangan kemerdekaan. Kita mempunyai deretan nama yang cukup abadi dalam jiwa bangsa Melayu. Perjuangan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Tok Sagor, Datuk Maharaja Lela dan sekian banyak nama besar dalam sejarah tanah air.

Mereka berjuang tanpa mengharapkan pujian apatah lagi ganjaran pangkat dan bintang kebesaran. Mereka berjuang kerana perjuangan untuk membebaskan diri daripada penjajahan. Mereka berjuang tanpa menghiraukan bencana yang menimpa kepada diri sendiri. Mereka berjuang dan rela meninggalkan anak dan isteri semata-mata untuk negara tercinta.

Hari ini, selepas 53 tahun merdeka, apakah kita masih mengenang jasa wira negara yang ada di antara mereka mati tanpa pusara? Apakah kita tidak mengenang Adnan Saidi atau Leftenan Adnan yang tega berjuang menentang askar Jepun di Bukit Chandu, Singapura pada 14 Februari 1942?

Masihkah kita ingat perjuangan Rosli Dhoby yang menuntut kebebasan Sarawak daripada penjajah British? Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949. Katakan apa saja gelaran buruk kepada Rosli – pembunuh, penderhaka, pembelot, samseng – sejarah tetap memahatkan namanya dengan tinta emas yang mempunyai nilai tinggi untuk menafsir erti kebebasan.

Hari ini, seperti tahun sebelumnya, kibaran Jalur Gemilang berdiri megah. Panji kemerdekaan mengundang kita mengenang betapa kemerdekaan ini perlu diisi dengan roh dan jiwa kebebasan.

Apalah gunanya kemerdekaan jika kita masih berada di tahap era penjajahan. Pelbagai sumber kekuatan negara mesti digembeling agar Malaysia terus maju. Kehidupan yang pelbagai kaum, budaya dan agama menjadi asas kekuatan Malaysia.

Ketepikan sengketa politik kepartian, mahupun prasangka antara agama, kerana Malaysia maju memerlukan sebuah asas perpaduan yang kukuh dan saling memahami.

Bagi ahli sosiologi, tidak mungkin Malaysia menjadi negara bangsa kerana di antara kita saling disebut Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Siam dan banyak lagi. Tetapi tidak salah kita jadikan kepelbagaian kaum sebagai identiti Malaysia yang terus menapak dalam pelbagai bidang.

Bangsa Melayu mempunyai sejarah agung yang cukup hebat sejak berzaman. Mereka peneroka lautan luas setangkas Panglima Awang yang menjelajah dunia. Mereka juga peneraju kerajaan nusantara. Kesultanan Melayu Melaka tercatat sebagai pusat peradaban penting Asia. Ramai pedagang Arab, Cina dan India mencari rezeki di bumi Melaka. Banyak juga ulama dan ilmuwan Islam yang datang dan pergi bersama khazanah ilmu tidak ternilai.

Takrif Melayu juga mempunyai rentetan yang hebat. Mereka tinggal di tebing Sungai Melayu di Jambi dan Palembang di Sumatera. Buku Sejarah Melayu mencatat kononnya Raja Melaka daripada keturunan Palembang yang menguasai perairan timur dan barat Asia Tenggara. Keturunan mereka melata ke seluruh dunia. Bahasa Melayu Riau ditutur ratusan jiwa di Nusantara.

Kekuatan ekonomi Melayu juga tercatat sebagai punca penguasaan mereka dalam perdagangan dan perusahaan. Sebelum penjajah menceroboh kesejahteraan bangsa, Melayu sudah megah berdiri sebagai pengusaha dan pedagang yang cekap. Temenggung Daeng Ibrahim sudah membangunkan selatan Johor sejak 150 tahun lampau. Dia menggunakan tenaga kerja keturunan Cina dari Singapura untuk membangunkan perusahaannya.

Pembesar Perak seperti Ngah Ibrahim dan Tengku Ismail melombong timah sejak 1860. CL Burns dalam bukunya Capitalism and The Malay States mengesahkan perusahaan timah dimulakan oleh bangsa Melayu dengan bantuan tenaga buruh dari China.

Kekuatan sejarah lampau tidak mampu mengubah keadaan. Hari ini terpulang kepada generasi semasa untuk mengekalkan keamanan negara. Mereka boleh berpolitik, berhujah dan saling menyangkal. Tetapi mereka tidak wajar menjadikan perselisihan pendapat sebagai medan pertembungan peribadi yang boleh menghancurkan kemerdekaan negara.

Perbezaan ideologi adalah sebahagian daripada proses perayaan demokrasi. Kebebasan bermaklumat tidak sewajarnya dijadikan landasan untuk menghancurkan perpaduan yang sudah terjalin sekian lama.

Sebarang isu yang sudah disepakati sejak awal merdeka tidak wajar dipertikai. Hak keistimewaan Melayu tidak wajar menjadi mainan politik kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak. Melayu perlu ada kekuatan ekonomi dan minda untuk terus bersaing dalam pelbagai sektor. Kaum lain pula perlu sedar betapa mereka bertuah menjadi warga Malaysia berbanding negara asal moyang mereka yang tidak lekang dengan bencana alam, wabak dan sengketa perkauman.

Hari ini sejarah kemerdekaan negara perlu dicatat dengan pelbagai sumber baru. Versi kemerdekaan ada masanya mempunyai misteri tersendiri. Ada pejuang sebenar yang sengaja dilupakan namanya. Ada insan yang bukan pejuang dijulang sebagai wira. Ia adalah ketololan sejarah yang sudah diselewengkan. Ketika kita masih ada masa dan menghargai jasa perwira, amat wajar sejarah kemerdekaan dicatat lebih jujur supaya generasi akan datang lebih mengetahui siapakah pengasas kemerdekaan negara. Mereka juga dapat menilai petualang yang berjuang untuk kepentingan peribadi tetapi menggunakan nama negara.

Kemerdekaan, perjuangan dan kehidupan tentunya tidak sunyi daripada harapan untuk mengekalkan keamanan. Kedaulatan negara terletak di hati kita semua. Apakah kita saling mencintai negara ini? - Berita Harian, 27 Ogos 2010

Monday, August 23, 2010

Kontrak sosial sekadar politik



Kaum lain mula tuntut hak persamaan apabila lihat orang Melayu mula berpecah

JEAN-Jacques Rousseau mendewakan teori kontrak sosial pada abad 18 kerana kecewa dengan sikap istana dan paderi yang mengongkong fikiran rakyat. Rousseau mendesak masyarakat Perancis diberi keadilan, mempunyai jati diri dan hak asasi.


Bagi masyarakat yang matang, kontrak sosial adalah penawar untuk membendung perhambaan sesama manusia yang wujud sejak zaman jahiliah. Sebelum Rousseau mempengaruhi pemikiran Revolusi Perancis (1789-99), ahli falsafah British - Thomas Hobbes dan John Locke juga mengemukakan teori kontrak sosial pada abad 17. Mereka tidak senang melihat telatah feudal yang menguasai rakyat. Tindakan buruk istana sering dikaitkan dengan agama, kononnya tuhan (bagi pengikut Kristian) menyeru manusia taat kepada istana dan tidak mempertikaikan salah laku Raja. Raja bebas melakukan apa saja. Menentang keputusan istana dianggap berdosa kerana tidak patuh kepada arahan tuhan.

Sejak berkurun, manusia ditindas jiwa mereka. Segala urusan keperibadian tidak wujud kerana rakyat diarah setia kepada sistem feudal dan penguasa agama yang memperalatkan kedudukan mereka.

Menjelang abad ke-20, teori kontrak sosial menjelajah hampir ke seluruh dunia. Ketika banyak institusi istana runtuh dan diganti sistem demokrasi mahupun ketenteraan dan republik, kontrak sosial menjadi jaminan mengikat hubungan antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah diberi mandat menerusi peti undi dan sepatutnya menjalankan tugas meningkatkan prasarana, taraf ekonomi, sosial dan kesihatan di wilayah di bawah pentadbiran mereka.

Rakyat pula perlu setia kepada negara, bertugas dan membantu kerajaan memajukan sesebuah wilayah. Sistem perundangan dan perlembagaan digariskan supaya semua pihak membantu negara. Rakyat juga berhak menentukan sesebuah kerajaan, atau digulingkan melalui proses pengundian pada pilihan raya akan datang.

Teori kontrak sosial tidak pernah membezakan rakyat dari segi kaum, agama dan status sosial. Persamaan ini dianggap oleh pejuang demokrasi sebagai asas membangunkan sistem siasah tulen di sesebuah negara.

Bagaimanapun isu kontrak sosial sering diperkatakan selepas keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Ia mempunyai citra tersendiri kerana pelbagai pihak menafsir dari sudut berbeza. Ada yang mendakwa kontrak sosial wujud ketika negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 memberi hak sama rata kepada rakyat pelbagai kaum.

Ada yang mendakwa bangsa Melayu, Cina, India dan kaum lain setaraf dari segi perlembagaan. Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan menggariskan: Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Bagaimanapun hak istimewa bangsa Melayu yang tercatat pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukan dianggap sebagai ‘hak’ (rights) tetapi ‘keistimewaan’ (privileges).

Jika tafsiran ini dianggap benar, tentunya bangsa Melayu tidak boleh mendabik dada dengan istilah hak istimewa yang dimiliki. Bangsa Melayu perlu sedar nasib bagai telur di hujung tanduk di negara asal usul moyang mereka. Perpecahan dan kurang penguasaan dari segi ekonomi, politik dan sosial menjejaskan masa depan Melayu sendiri.

Isu kontrak sosial bagai menafikan hak keistimewaan Melayu. Sistem merit memberi keutamaan kepada kecemerlangan secara terbuka tanpa membabitkan isu kaum dan agama. Bangsa yang tertinggal bakal dipinggirkan oleh sejarah di negaranya sendiri. Sistem kuota yang dikaitkan dengan ‘hak Melayu’ tidak lebih daripada slogan politik kepartian.

Ada pengamal undang-undang menafsirkan hak istimewa Melayu bukan bermaksud hak ketuanan Melayu. Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut ketuanan Melayu. Istilah ketuanan Melayu hanya dicipta dalam bentuk siasah untuk mengekalkan kuasa. Ia tidak dicatat dalam mana-mana peraturan, justeru, tindakan mengungkapkan ketuanan Melayu secara terbuka dianggap tidak mematuhi semangat pembentukan Malaysia.

Dari segi sejarah, ungkapan ketuanan Melayu muncul pada 1966 apabila seorang timbalan menteri berucap pada satu majlis di Singapura. Ucapannya kurang mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra kerana ia tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya pada 1987 isu ketuanan Melayu dibangkitkan semula apabila ada pihak mempertikaikan hak istimewa Melayu secara terbuka. Pada masa sama juga sudah ada pihak berani mengemukakan cadangan menyaman seorang Sultan yang dikatakan kerap mengganggu pentadbiran di sebuah negeri.

Kemelut secara terbuka itu menyebabkan suhu politik negara menjadi panas dan akhirnya memaksa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987. Seramai 106 ahli politik ditahan dan permit penerbitan akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung. Bagaimanapun isu kontrak sosial tidak pernah reda daripada diperkatakan. Ia mungkin senyap seketika dan kembali bergema setiap kali ada pihak merasakan Melayu semakin lemah di negaranya sendiri. Kontrak sosial muncul pada 1987 ketika dua kumpulan bergeser merebut jawatan Presiden UMNO.

Pada 1998, isu kontrak sosial mengiringi gerakan reformasi apabila seorang tokoh siasah didakwa di mahkamah kerana kaitan salah laku seks dan rasuah. Isu sama juga muncul kini kerana ada pihak berani membuat sembah derhaka dan institusi istana dianggap tidak relevan. Selagi ada pihak berasakan hak mereka tidak dipedulikan atau perlu diperjuangkan, selagi itulah isu kontrak sosial menjadi mantera lunak di pentas politik.

Kewarasan berpolitik sering diketepikan apabila isu kontrak sosial diperkatakan dengan pelbagai niat. Ada pihak berani mempertikai kuota ekonomi Bumiputera dan status syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semata-mata kerana cita-cita siasah. Kontrak sosial sudah menjadi keramat hidup yang menghantui ahli politik di Malaysia! - Berita Harian, 23 Ogos 2010

Tuesday, August 17, 2010

Usah jadikan tazkirah Ramadan pentas politik

Penceramah perlu ingatkan jemaah supaya dekatkan diri dengan keesaan Allah pada bulan mulia

SEJAK 2009, tazkirah mengisi malam Ramadan pada hampir semua masjid di Lembah Klang. Lazimnya tazkirah dilakukan selepas empat rakaat solat tarawih.

Jika solat sunat tarawih lapan rakaat, bererti tazkirah berada di tengah ibadat yang amat dituntut sepanjang sebulan malam Ramadan.

Langkah beberapa jabatan agama Islam negeri menggalakkan tazkirah di masjid dan surau adalah murni iaitu untuk mendekatkan jemaah dengan keesaan Allah pada bulan mulia. Amalan berpuasa siang hari dihiasi dengan pengisian ilmu di masjid pada sebelah malam. Tentunya umat Islam mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah.

Tazkirah berasal daripada bahasa Arab bermaksud peringatan. Ustaz yang berceramah dan memberikan pesanan di masjid adalah pakar peringatan yang tentunya untuk kebaikan umat Islam. Ahli jemaah masjid adalah pendengar yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, taraf ekonomi, pendidikan, kerjaya dan latar belakang sosial.

Tentunya ustaz yang berkelayakan, berilmu dan berwibawa diperlukan untuk menyampaikan tazkirah kerana pada malam bulan mulia, ratusan jemaah mengisi masjid untuk bersolat, berzikir dan bertadarus. Ada juga kanak-kanak dan remaja yang turut memenuhi saf masjid.

Ustaz yang tidak berkelayakan atau bersentimen politik bukan pakar tazkirah yang baik. Memang diakui agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Tidak salah jika orang agama juga menjadi ahli politik kepartian. Yang tidak kena apabila isu politik kepartian dibabitkan di mimbar masjid.

Beberapa masjid di Lembah Klang dilaporkan tidak terkecuali dipalitkan isu tazkirah kepartian pada Ramadan 2009. Ustaz mempunyai semangat yang luar biasa kerana Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 mencatat keputusan yang juga luar biasa.

Ada ustaz yang mendakwa kerajaan negeri sekarang lebih Islamik berbanding sebelumnya kerana pimpinannya tidak korup dan sentiasa utamakan kepentingan ummah.

Penceramah juga mengambil kesempatan membuat pengumuman kononnya ada negeri bakal cuti mingguan pada Jumaat sesuai dengan kehendak Islam.

Sama ada betul atau tidak, penceramah dengan lantang menghuraikan perlunya cuti mingguan pada Jumaat untuk mendapat berkat. Tentunya Kelantan dan Kedah dikaitkan sudah mendapat berkat kerana menghormati Jumaat sebagai hari mulia dan beribadat.

Ada juga ustaz yang bertazkirah dengan nada nyaring tanpa tolak ansur, menyerang musuh politik dan mengaitkan dengan kemenangan ummah.

Bagaimanapun, penceramah mengakhiri tazkirah dengan merayu kutipan derma untuk sekolah agama rakyat di kampungnya. Dia juga tanpa segan silu mengiklankan jualan susu kambing yang didakwanya diadun secara Islam!

Isu tazkirah, politik dan masjid sudah lama bertebaran di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hanya sekarang unsur berkenaan menjadi isu apabila tidak sedikit ustaz yang sanggup menggunakan mimbar untuk kepentingan lain. Ustaz yang meyakini perjuangan kepartian tidak salah. Tetapi menggunakan bulan mulia untuk menghamburkan pihak lain memang tidak kena. Sesuatu yang tidak kena boleh menjejaskan ibadat Ramadan. Jabatan Agama Islam, jawatan kuasa masjid, badan siasah dan persatuan penduduk setempat sepatutnya duduk semeja supaya isu tazkirah tidak sampai menjejaskan suasana ibadat. Alangkah baiknya jika semua pihak bersatu hati dan mendengar tazkirah secara berlapang dada pada malam Ramadan.

Ada juga jemaah yang merungut kerana ceramah tazkirah terlalu panjang. Sepanjang awal Ramadan ini, tazkirah mencecah masa 40 minit. Ia tentunya terlalu lama menyebabkan jemaah bersembang dengan rakan ketika ustaz nyaring memegang pembesar suara. Perlukah tazkirah berjela-jela sehingga solat tarawih berakhir hampir jam 11 malam?

Prof Dr Hamka dalam bukunya Tasauf Moden menggariskan tazkirah sebagai medan menyampaikan ilmu, menghiburkan dan dapat dinikmati semua pihak.

Nawaitu tazkirah semata-mata untuk memperkukuhkan keimanan dan menjalin perasaan kebersamaan. Apakah ustaz kita memahami pengertian berkenaan? - Berita Harian, 17 Ogos

Saturday, August 07, 2010

Ceramah politik tradisi lisan baru

 TRADISI lisan sebahagian daripada proses sistem komunikasi. Sejak manusia mengenal cinta, seks dan kehidupan, lisan memainkan peranan penting untuk menentukan peraturan hidup.

Tradisi lisan juga sebahagian daripada pencorak sejarah hidup manusia bermasyarakat. Sebelum era tulisan dan penulisan batu bersurat, lisan menjadi perantara sesama manusia berhubung dan berkomunikasi.

Sebelum 1799, tradisi lisan tidak lebih sekadar berhubung dan berkomunikasi. Hanya apabila Napoleon Buonaparte tampil sebagai penggerak politik di Peranchis dan Eropah, lisan menjadi senjata yang lebih agam. Lisan menjadi keperluan utama untuk menyebarkan ceramah dan dogma politik. Ideologi pada era politik moden mula terbentuk. Ceramah politik bertebaran dengan pelbagai citra dan nawaitu.

Ketika mengetuai tentera menjelajah Eropah, Napoleon kerap berpidato mengenai kesatuan Eropah dan kekuatan Peranchis sebagai sebuah bangsa berdaulat.

"Kita runtuhkan pergunungan Alps!" serunya ketika tentera mula menjelajah Portugal, Itali dan bahagian utara Sungai Elbe pada 1807.

"Kita bina Peranchis berdaulat" cetusnya dalam suatu majlis ceramah. Ada pendapat menyatakan Napoleon seorang penceramah hebat dan boleh menggerakkan tenteranya yang lesu serta cedera untuk terus berjuang dan berperang tanpa mengira kesakitan.

Adolf Hitler (20 April 1889 – 30 April 1945) juga pemidato yang hebat. Pemimpin Nazi yang tegas memerangi pendatang Yahudi di German bukan sekadar handal berceramah, juga rajin membuat kajian sebelum sesuatu tindakan dilakukan. Sebelum menjalankan tindakan membunuh bangsa Yahudi, dia menggunakan pentas pidato untuk mendedahkan keburukan Yahudi dan kenapa bangsa itu perlu diusir dari muka bumi.

Hitler juga mengkaji sejarah Yahudi seperti tercatat dalam al-Quran dan Injil, sebelum memulakan aksi militer. Dalam satu majlis ceramah yang dihadiri 100,000 penyokong Nazi, Hitler membakar semangat bangsa Aryan dengan mendakwa Yahudi bakal menakluki dunia dalam tempoh 20 tahun. Hari ini telahan kejayaan Yahudi menjadi kenyataan.

Kehebatan pidato Hitler membentuk tradisi ceramah yang lebih panjang. Dia berjaya membuat road show, bukan sekadar memburu bangsa Yahudi, bahkan menyemai cita-cita besar untuk menawan dunia. Pidato dan ceramah politik Hitler tercatat dalam sejarah sebagai antara perangsang berlaku Perang Dunia Kedua.

Di Asia Tenggara pula, kehebatan Sukarno dan Tan Sri Mohamad Asri Muda di pentas ceramah menjadi tumpuan massa. Sukarno yang menjeritkan 'ganyang Malaysia' ketika konfrontasi Malaysia - Indonesia memberi impak yang besar. Dia bukan saja mahir berhujah di podium, juga mahir bersajak, berfalsafah dan bermantera hingga melenakan warga Indonesia daripada tugas hakiki. Ada pemerhati politik menyatakan Sukarno hanya hebat di pentas ceramah politik dan skandal peribadi, tetapi jahil mentadbir negara. Dia hero di mata jutaan rakyat Indonesia yang hidup kelaparan dan melarat. Dia menjadikan ceramah untuk menguasai massa, ketika ramai lagi rakyat yang hidap gelandangan dan bobrok.

Di Malaysia pula, Asri pemidato hebat yang tiada tandingan dan karismanya membantu PAS mentadbir Kelantan selama 18 tahun sehingga 1978. Ketika tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri dan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat , Asri begitu petah berhujah. Ceramah politik dipergunakan sepenuhnya untuk kekal berkuasa dan Asri tokoh yang mahir berfalsafah, bersajak dan berhujah di khalayak ramai. Dia juga penulis sajak dan cerpen. Kemampuan bersastera membentuk lidah seninya yang boleh mencairkan jiwa peminatnya.

ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Rakyat pada Mac 1967 di depan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abd Rahman, Asri berhujah: "Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik UMNO yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak" (KERANDA 152: Halaman 20).

Kelunakan suara dan kepetahan membentuk hujah menjadi inspirasi politik Asri. Hari ini ramai ahli PAS yang menguasai pentas ceramah dengan pelbagai gaya dan nada. Tentunya tradisi lisan bentuk baru menjadi sebahagian daripada citra siasah masa kini. Road show dan pentas politik berjalan sehala. Pendengar atau pengikut ceramah politik disogokkan dengan hujah yang pelbagai. Tanpa peluang untuk menilai kebenaran, pendengar ceramah politik boleh terpedaya dengan sesuatu hujah. Kebenaran, ada masanya terlalu sukar dimanfaatkan dalam majlis ceramah. Lazimnya yang terbanyak adalah tohmahan, fitnah dan tuduhan liar. Semakin tinggi nada pencemarah, semakin galak pengikut dan pendengar berteriak, bertepuk tangan atau bertakbir: Allahu Akbar!

Dunia tentunya boleh berterima kasih kepada Napoleon, Hitler, Sukarno dan Asri kerana membentuk tradisi lisan baru. Tanpa mereka, pentas politik mungkin tawar. Tanpa mereka juga, mungkin dunia kurang bergolak dengan harapan dan cita-cita. - Berita Harian, 6 Ogos 2010

Tuesday, August 03, 2010

Akta OKU jangan sekadar retorik

Ruang bantu golongan cacat perlu diperluas elak jadi mangsa diskriminasi, dipinggirkan

KATAKAN apa saja istilah – Orang Kurang Upaya (OKU), orang kelainan upaya, orang cacat, golongan istimewa atau apa saja– nasib mereka tidak banyak berubah. Yang terbanyak adalah berada di bawah paras kemiskinan. Yang berjaya pula setakat lima peratus.


Sejak negara merdeka 53 tahun lalu, nasib OKU tidak banyak mendapat pembelaan kerajaan berbanding rakan mereka di Britain, Jerman dan Finland. Jika negara maju banyak mengutamakan kebajikan OKU dalam prospek pembangunan prasarana negara, Malaysia lebih banyak bercakap, keluhan dan bersimpati, namun terlalu sedikit menyediakan ruang membantu golongan cacat. Malah, kementerian yang diwujudkan khusus untuk membantu OKU seperti hilang fokus dan lebih membicarakan isu sosial, buang bayi, masalah janda dan wanita daripada masalah OKU yang melarat sekian lama.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 peratus jumlah penduduk sesebuah negara dikategorikan sebagai cacat. Ini bermakna 2.7 juta penduduk Malaysia menghadapi masalah kecacatan. Sehingga Disember 2009, hanya 267,513 OKU berdaftar di negara ini. Ramai yang tidak mendaftar kerana alasan tersendiri. Ramai juga merasakan kerajaan tidak banyak membuat apa-apa untuk membantu OKU, sekadar retorik dan seminar yang akhirnya tidak melaksanakan apa-apa.

Masalah OKU di Malaysia terlalu banyak dan sepatutnya kita sudah mempunyai pelaksanaan untuk menyelesaikan masalah. Peluang pekerjaan amat terbatas walaupun segelintir mereka mempunyai kelulusan dan kemahiran yang setaraf dengan orang ramai.

Siti Huraizah Ruslan antara contoh OKU yang cemerlang dalam pendidikan, namun dinafikan peluang untuk mengisi jawatan setimpal kemampuannya. Dia gagal memohon jawatan pensyarah di sebuah pusat pengajian tinggi kerana penemuduga memberi alasan kecacatan penglihatan bakal menyukarkan tugasnya mendidik siswa di menara gading.

Walaupun dia lulus cemerlang di pusat pengajian tinggi sama, penemuduga mempunyai alasan tersendiri untuk menafikan keupayaannya bekerja. Dia kini sekadar bertugas di suatu tempat yang tidak setimpal dengan kelulusan dan kemahiran dimiliki. Dia dinafikan hak kerana cacat penglihatan. Dia hanya dibayar gaji RM1,200 sebulan walaupun antara graduan cemerlang.

Seorang warga cacat yang lain pula terpaksa berdepan kerenah birokrasi apabila menemui kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di premis Hentian Bas Kajang, Selangor. Dia mahu menggantikan kad pengenalan OKU yang sudah rosak. Malangnya hasrat itu tergendala apabila kakitangan JKM dengan tegas menolak permohonannya kerana alasan tiada surat pengesahan doktor.

“Kami tidak boleh proses permohonan tanpa surat pengesahan doktor,” tegas pegawai JKM sambil menghulurkan borang yang perlu diisi oleh doktor kerajaan. “Saya sudah ada kad OKU, hanya mahu menggantikan yang baru. Kad OKU lama mengesahkan saya cacat anggota. Encik lihat saya bertongkat yang mengesahkan saya OKU. Apakah ini pun perlu surat doktor untuk mengesahkan sesuatu yang sudah sah? Apakah JKM tidak mempunyai rekod OKU yang sudah berdaftar?”

Pegawai JKM itu tetap menolak rayuan berkenaan kerana dia terikat dengan kerenah birokrasi jabatan kerajaan.

Di Malaysia, isu kerenah birokrasi tidak pernah sunyi di jabatan kerajaan dan tidak pernah selesai. Hampir semua jabatan kerajaan menjadi tumpuan umum kerana isu remeh yang sepatutnya diperbetulkan sesuai konsep 1Malaysia.

Akta OKU yang dikuatkuasakan pada Julai 2008 sepatutnya berjalan lancar untuk menyediakan peluang dan ruang kepada golongan cacat. Di atas kertas, ia seolah-olah berperanan memberi pengiktirafan hak kepada golongan itu yang memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Namun sehingga kini keberkesanan masih menjadi pertanyaan umum. Apakah akta diwujudkan sekadar ‘ada-ada’ atau masih berfungsi membantu OKU di negara ini.

Ramai OKU gagal mendapat pekerjaan setimpal meskipun mempunyai kelayakan dan kemahiran. Memang diakui peluang pekerjaan amat terhad tetapi Akta OKU masih berperanan untuk menggariskan panduan kepada sektor awam dan swasta menyediakan peluang kepada OKU berkhidmat. Majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU sepatutnya menerima insentif dan hal ini sepatutnya digariskan menerusi bajet negara dan dipertegaskan juga dalam rancangan pembangunan lima tahun.

Tanpa penguatkuasaan akta, usaha membantu OKU menjadi sia-sia kerana minda kelas ketiga masih tebal di Malaysia walaupun mempunyai kemudahan prasarana kelas pertama.

JKM melancarkan program Job Coach sejak 2006 bagi membantu golongan OKU mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan masa depan cerah. Bagaimanapun, keberkesanannya masih misteri. Apakah program itu dapat menyelesaikan masalah ekonomi OKU yang kini masih ramai jadi pengemis, pemuzik jalanan atau pekerja bawahan.

Setakat Disember 2009, seramai 766 OKU berkhidmat di sektor awam, 7,683 lagi mendapat pekerjaan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Seramai 26,422 orang lagi mendapat pekerjaan, membuka perniagaan sendiri atau menerima Elaun Pekerja Cacat daripada kerajaan. Angka itu terlalu kecil berbanding 2.7 juta warga OKU di negara ini. Bagaimana pula taraf ekonomi mereka?

Masalah lain yang sering menjadi isu dalam membela nasib golongan OKU ialah aspek infrastruktur dan kemudahan awam. Pengangkutan awam sudah menyediakan ruang khusus untuk OKU. Bagaimanapun masih banyak bangunan awam tidak mesra OKU. Tangga bergerak tidak sesuai untuk pengguna cacat anggota dan cacat penglihatan. - Berita Harian, 3 Ogos 2010