Pages

Friday, October 29, 2010

Hari ini sokong PAS, esok UMNO

(Keupayaan menangi hati penduduk tentukan kemenangan DUN Galas)

KETUA Pembangkang yang juga penasihat umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal lagi meramalkan pilihan raya kecil DUN Galas bakal dimenangi PAS, berbanding peluang pakatan pembangkang di kawasan Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Beliau yakin kerana Kelantan  kubu kuat PAS yang dikuasai sejak 1990 dan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat dianggap tokoh yang disegani di negeri Cik Siti Wan Kembang sejak dekad 1970-an.
UMNO pula sejak awal lagi meramalkan Barisan Nasional (BN) berpeluang merampas DUN Galas  ‘jika semua pihak bekerjasama’ menjelang pilihan raya kecil pada 4 November ini.

BN   mengemukakan Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz  Yusoff, manakala PAS  menawarkan    Dr Zulkefli Mohamad,  Pada Plihan Raya Umum 8 Mac 2008, calon PAS,  Chek Hashim Sulaima  menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman dengan kelebihan 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi berbanding Mohamad Saufi 3,753. Sebanyak 80.89 peratus keluar mengundi.

Keazaman dan keyakinan ahli  politik sebahagian daripada strategi perang saraf pada era politik moden. Namun yang bakal membuat kata putus adalah pengundi  kerana mereka menjadi ‘raja’ dalam proses demokrasi di sesebuah negara.

 Bagi kebanyakan pemerhati politik,  sikap pengundi Kelantan agak  unik dan ‘berahsia’  berbanding negeri lain. Seseorang yang mengundi parti A dalam sesuatu pilihan raya,   tidak bererti mereka tidak mengundi parti B pada  proses pembuangan undi akan datang.

Begitu juga ahli UMNO yang tidak mustahil mengundi PAS dalam sesuatu pilihan raya dan bertukar fikiran  pula pada proses pemilihan lima tahun akan datang.

Faktor calon dan imej semasa parti akan diambil kira dan pengundi Kelantan lazimnya prihatin terhadap perkembangan siasah kenegerian yang diwakili 95 peratus bangsa Melayu daripada jumlah  1,313,014 keseluruhan  penduduk.

Keunikan ini juga membolehkan pengundi Kelantan memihak kepada tokoh luar seperti Tan Sri Asri Muda (bekas Menteri Besar, Ketua Pembangkang di Parlimen dan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah), Salahuddin Ayub  (Ahli Parlimen  Kubang Kerian), Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) dan ramai lagi tokoh PAS  yang bukan berasal dari Kelantan.

Keadaan ini membuktikan pengundi Kelantan  tidak mengamalkan  kenegerian kerana mereka memilih  tokoh yang boleh dipercayai di samping dikenali masyarakat.

Sebagai sebuah negeri yang dikenali sebagai Serambi Makkah, isu agama dan imej calon diambl kira. Tokoh yang korup dan hidup  mewah bakal dihukum. Wakil rakyat PAS  yang dikenali sebagai Kumpulan 20 pernah dihukum pengundi Kelantan kerana dikaitkan dengan salah laku pentadbiran dan isu  balak pada 1978 walaupun mereka mentadbir bumi Darulnaim selama 18 tahun. Isu rasuah, balak dan penerokaan tanah menyebabkan rakyat bangkit memberontak dan berlaku rusuhan di bandar Kota Bharu pada 1977.

Pentadbiran kerajaan negeri terpaksa digantung dan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan menyebabkan PAS tidak mampu berdepan dengan rakyat secara terbuka.

Dalam pilihan raya khas negeri  pada 1978, PAS hanya menang dua kerusi (termasuk DUN Manek Urai) kerana rakyat jelek dengan sikap pemimpin parti  yang  mewah dan rakus.
Bagaimanapun pentadbiran UMNO di Kelantan juga tidak bertahan lama kerana BN tewas pada Pilihan Raya  Umum 1990 apabila Tengku Razaleigh Hamzah yang menubuhkan Parti Melayu Semangat  46  bergabung dengan PAS.

Pentadbiran PAS   kekal di Kelantan sehingga kini kerana pengundi merasakan tidak ada isu besar yang boleh menggugat kepercayaan  mereka.   Walaupun UMNO  dilihat hampir bangkit pada pilihan raya kecil di Manek Urai apabila hanya tewas 65 undi,  ia bukan ukuran sebenar kekuatan mana-mana parti siasah di Kelantan.

Lazimnya pengundi memberi undi dan menyokong BN dalam pilihan raya kecil kerana  mengharapkan penurapan jalan, pembaikian rumah warga tua dan pembinaan masjid serta surau, tetapi   mereka membuat keputusan berbeza pada pilihan raya umum.

Justeru, tidak mustahil  BN boleh menang di DUN Galas untuk pilihan  kecil dan kecundang pada masa akan datang.

Bagaimanapun isu setempat bakal menggugat keyakinan pelbagai pihak. Isu royalti  minyak walaupun sudah ke mahkamah sudah menjadi sebutan hangat di Kelantan. Sikap beberapa pemimpin  yang memainkan isu wang ihsan boleh mencabar  keyakinan rakyat. Keunikan dan sentimen pengundi bakal teruji.

 Tentunya rahsia peribadi pengundi bakal diterjemahkan pada siang 4 November nanti. Bagi UMNO dan PAS, mereka harus menghormati keunikan sikap pengundi Kelantan kerana kebijaksanaan bakal menentukan yang  mana kaca, yang mana permata!

 Yang pasti UMNO dan PAS akan terus berdrama di Kelantan kerana mereka masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri. UMNO  tidak pernah surut di Kelantan walaupun PAS mentadbir kerajaan negeri selama  20 tahun. Cuma UMNO  perlu lebih gigih mengkaji  keunikan dan keperibadian pegundi Kelantan sendiri! - Berita Harian,  29 Oktober 2010

Tuesday, October 26, 2010

UMNO mahu ke mana?

(Artikel ini tidak disiarkan di Berita Harian)

KATAKAN apa saja, UMNO masih kekal di hati sebahagian bangsa Melayu. Sejak penubuhan pada 11 Mei 1946, UMNO ada pasang surut. Pemimpin dan ahli silih berganti. Namun yang kekal adalah perjuangan untuk nusa, bangsa dan negara.

Sebagai parti yang kaya dengan sejarah perjuangan, UMNO tidak sunyi daripada kehangatan dalaman. UMNO pernah diharamkan pada Februari 1988  ekoran krisis yang timbul selepas perebutan jawatan Presiden  parti pada 1987. Persaingan  dua kem yang dikenali Team A pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Team B  diketuai Tengku Razaleigh Hamzah  cukup memberikan pengajaran; perebutan  pengaruh di kalangan bangsa Melayu,  politik wang, budaya sogok  dan cantas mencatas pada peringkat bahagian dan cawangan hingga isu parti dibawa ke Mahkamah Tinggi. Budaya baru mula tercetus yang dikaitkan sebagai Melayu baru.

Sejarah hampir berulang pada 1998  apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan liwat dan rasuah yang akhirnya menyebabkan pemecatan beliau daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan keahlian UMNO.

Kesannya,  berlaku  gerakan  reformasi yang kononnya  untuk membanteras gejala  nepotisme dan  korupsi dalam kerajaan dan UMNO. Keadaan hampir sama dengan reformasi menjatuhkan Presiden Suharto di Jakarta. Perhimpunan jalanan berlangsung setiap minggu di Kuala Lumpur dan   imej UMNO  terjejas teruk di hati sebahagian besar pengundi Melayu.

Kesannya, pada Pilihan Raya Umum 1999, Barisan Nasional (BN)  yang diketuai UMNO hilang  penguasaan di Terengganu,  di samping gagal merampas semula Kelantan yang diperintah   PAS sejak 1990.
Pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, UMNO dan BN kembali bermasalah kerana pimpinan parti yang lemah.  Isu rasuah,  penguasaan media baru oleh pembangkang dan jentera parti yang lemah menjadi penyebab.BN kalah di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor di samping gagal merampas Kelantan daripada PAS.  BN hanya menawan semula Perak pada 2009 kerana tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (dua PKR dan seorang DAP)  keluar parti dan menjadi  wakil rakyat Bebas yang mesra BN.

  Kini, selepas dua tahun, UMNO  bersidang lagi   dengan pelbagai  idea, harapan dan saranan  untuk memperkukuhkan parti. UMNO  perlu pulih daripada imej lemah untuk  terus dominan dalam politik tanah air. UMNO perlu belajar menguasai massa,   bukan berada di belakang  medan siasah tanah air. Bagi sebahagian besar bangsa Melayu, UMNO masih relevan dan perlu bergerak selari  perubahan  masa. UMNO perlu kekal sebagai medan perjuangan Melayu yang sejak akhir-akhir ini tercabar  dengan pelbagai  isu yang sengaja dilontarkan oleh pihak lain. Perkara  153 mengenai kekuatan Melayu diperagakan sebegitu rupa oleh pelbagai pihak sehingga UMNO sering  dianggap  parti perkauman jika memperkatakan hak bangsanya sendiri. Isu kuota Bumiputera dan agihan ekuiti Melayu  sering merimaskan suhu politik tanah air. Masih ramai Melayu yang mengharapkan UMNO segera pulih dan  kekal berjuang,  bukan sekadar retorik di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Sebahagian besar Melayu sudah jemu dengan kerenah perwakilan UMNO yang menggunakan  podium  untuk bersajak, berseloka, berpantun dan berjenaka. Mereka mengharapkan perwakilan memberikan pandangan bernas  untuk kesinambungan UMNO demi survival Melayu. Perhimpunan agung parti  untuk menyatukan pemikiran ahli,  bukan untuk berpesta dan bersalaman dengan pemimpin semata-mata.

Ahli UMNO  mesti bertindak seperti Khalifah Muawiyah yang memberi  nasihat kepada Amr al-As  ketika  berangkat untuk mentadbir Mesir: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk  menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah untuk menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang  jahat yang kenyang. Sesungguhnya yang akan memberontak ialah orang   baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang!” (Ibn Muflih, Al-Adab asy-Syar’yyah , 1/202)

Wednesday, October 13, 2010

Keramat Tok Wali

TANPA sedar, sejak kecil lagi sebahagian besar anak Melayu terperangkap dalam lingkaran jumud, taksub dan taklid. Mereka belajar mengaji al-Quran di surau, masjid atau di rumah imam. Mereka tidak diberi pilihan untuk bertanya kenapa perlu membaca Quran, mengenal hadis dan mendirikan solat.
APAKAH Melayu terus kekal  kepada keramat dan wali 
untuk maju dalam pelbagai bidang?

Jika ada anak Melayu yang berani bertanya kepada ayah dan ibu, atau guru agama, mereka akan dimarahi kerana melakukan tindakan yang dianggap luar biasa. Tradisi bertanya dan mempersoalkan sesuatu amalan bukan resam Melayu. Melakukan sesuatu yang dianggap bukan amalan masyarakat dianggap berdosa.

Justeru, ramai anak Melayu yang pandai membaca Quran sejak kecil dan tidak terkecuali juga mampu menghafaz ayat suci tanpa memahami maknanya. Kita diajar membaca Quran, bukan mengenal sejarah dan iltizam ajaran Islam. Kita diajar menjadi pengikut, bukan pemikir.

Memang agama tidak salah dan Islam pula ajaran suci yang diwahyukan kepada umat manusia. Kita dianjurkan mengenal fardu ain dan kifayah sejak awal usia. Cuma, tradisi ikut-ikutan amat tebal di kalangan sebahagian daripada jiwa anak Melayu. Jika ada yang berani mempersoalkan tindakan seseorang yang dianggap tok guru atau ‘tuan haji’ di kampung, ia dianggap tindakan luar biasa. Golongan yang memperlekehkan guru agama dianggap sekular dan tidak memahami Islam.

 Tradisi tidak mengenal makna dan hakikat ayat Quran menjadikan sebahagian umat Islam memperalatkan kitab suci untuk tujuan lain. Ada yang membaca sebaris ayat lalu digunakan untuk mantera dan jampi serapah. Ada juga ayat Quran diperdagangkan di pentas politik menyebabkan timbul isu solat dua imam, pulau memulau dan kafir mengkafir sesama ummah.
Di sebuah kampung di Salor, Pasir Mas, pernah penduduknya memanggil guru agama untuk mempersembahkan pulut kuning dan asap kemenyan di hujung sawah supaya hasil tanaman subur. Amalan tradisi ini bertele-tele sehingga dekad 70-an., Pesawah yang tidak ‘memeriahkan’ kawasan tanamannya akan rasa bersalah kerana petani lain berbuat demikian untuk mendapat berkat..
Di beberapa daerah di Melaka pula, memuja kubur menjadi amalan yang amat aneh. Kononnya, hajat seseorang boleh tercapai jika penyembahan dilakukan dengan bekalan darah ayam dan lilitan kain kuning. Kononnya roh ‘tuan syed’ yang sudah lama meninggal boleh mengabulkan doa seseorang. Ada yang menyembah kubur untuk mendapatkan jodoh, naik pangkat, menang pilihan raya dan tidak terkecuali juga menang pertaruhan judi. Ada juga yang berusaha untuk menundukkan hati isteri kerana tegas melarang suaminya kahwin dua.

Penulis pernah makan sehidangan dengan seorang insan yang dihormati kerana ‘taraf’ wali yang dimilikinya di Kelantan. Tidak pula diketahui bagaimana dia menjadi wali tetapi dikhabar ramai yang mendakwa pernah menemui wali tersebut ketika berada di Makkah dan Madinah walaupun empunya badan berada di Tumpat.

Insan yang kenali Tok Wali itu amat aneh sekali. Ketika majlis kenduri doa selamat dan diminta mengimamkan solat hajat, dia berwuduk menggunakan air sawah kerana lebih murni berbanding air perigi dan paip. Dia membaca doa yang panjang sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dan memejam mata. Kononnya berkat wali amat dituntut supaya tuan rumah hidup tenteram.

Tok Wali itu juga akhirnya bertanding dalam pilihan raya umum di kawasan Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu menjawat Menteri Kewangan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Sebaik saja penamaan calon, bertele-tele berita yang tersebar kononnya Tengku Razaleigh sakit perut dan muntah darah kerana menentang seorang wali yang diberkati Allah. Rumah Tengku Razaleigh di Palm Manor, Kota Bharu dikhabarkan retak kerana keramat Tok Wali. Sikap taksub mendorong ramai manusia mempercayai laporan yang tidak sahih dan menafikan kewarasan akal.

Ada pengundi di DUN Galas di kawasan Parlimen Gua Musang yang membuat kenduri besar-besaran untuk menyambut Tok Wali yang dikaitkan sebagai pembawa kebenaran. Tok Wali berada di pentas politik kerana mas
yarakat yang kurang berfikir memerlukan insan luar biasa menjadi pemimpin mereka. Ada yang yakin Tok Wali bakal memajukan kawasan DUN Galas kerana hubungan istimewa dengan Allah.

Tok Wali yang kurang mahir berpidato dipimpin ke pentas untuk berceramah. Dia yang terpinga-pinga akhirnya sekadar berkata; “undilah ambo, undilah untuk Islam!” Ucapan paling pendek dalam sejarah politik dunia disambut dengan pekikan takbir berkali-kali sambil tangan hadirin menggenggam penumbuk ke langit.

Kewarasan memihak kepada kecerdikan akal dan Tengku Razaleigh menang dengan majoriti besar. Sejak itu, keramat Tok Wali tidak menjadi mitos lagi di kalangan segelintir guru agama yang hebat dengan janggut, jubah dan ketayap tanpa memahami prinsip Islam sebagai addin.
Bagaimanapun amalan jumud, taksud dan taklid terus berleluasa di hati sebahagian kita. Perasaan rendah diri, mendewakan pemimpin dan pengekalan jiwa feudal merobekkan kewarasan pemikiran Melayu. Justeru, tidak menghairankan kenapa siswa Melayu kurang cemerlang walaupun menjadi golongan majoriti di pusat pengajian tinggi awam. .
Pada 1999, hanya seorang Melayu daripada 67 graduan memperoleh kepujian kelas pertama di Universiti Sains Malaysia. Di Universiti Kebangsaan Malaysia pula, seorang daripada yang dianugerah ijazah kelas pertama adalah Melayu. Semua siswa kejuruteraan di Universiti Malaya pada 1998 bukan Melayu. Angka di atas tidak banyak berubah sekarang kerana lingkaran jumud dan taksub masih merantai jiwa Melayu. Apakah kita masih memerlukan seorang lagi wali untuk membantu Melayu? - Berita Harian, 13 Oktober 2010

Monday, October 04, 2010

PBT, mana pergi wang kami?

KITA kerap melihat kawanan anjing yang segar bugar menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan. Media juga kerap menyiarkan laporan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengabaikan kebersihan dan isu sosial; sampah tidak dipungut, longkang tersumbat, jalan berlubang, besi penutup longkang hilang, pusat judi haram, rumah urut dan hentian bas bagai pondok usang menanti masa menyembah bumi.


Berita Harian pernah menyiarkan isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, curi balak di pedalaman Pahang atau masalah bekalan air di kawasan FELDA. Bukan sekali dua media menyiarkan rungutan penduduk terhadap PBT, namun setiap kali laporan tersiar, pihak berkenaan sekadar mengeluarkan kenyataan; “Kami akan siasat”. Selepas beberapa minggu, rungutan penduduk tidak dipedulikan kerana isu PBT atau kerajaan tempatan tidak pernah sampai ke penghujung.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas pernah membidas kerajaan tempatan sebagai kongsi gelap kerana tiada ketelusan dalam tindakannya. (New Straits Times, 3 Oktober 2005).
Beliau menegur sebuah PBT kerana tidak jelas perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek di kawasannya. Namun isu itu berlalu kerana kita sering mengambil remeh sesuatu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama.
Kita pembayar cukai, kita juga pembayar taksiran di kawasan kediaman, tetapi kita sering mendiamkan diri ke mana wang dibelanjakan?

Dari segi pentadbiran, kerajaan tempatan berada di tempat ketiga dalam sistem pemerintahan di Malaysia, selepas kerajaan persekutuan dan negeri. Ia berfungsi sebagai agensi membuat dan melaksana dasar, undang-undang dan program di kawasan pentadbirannya.
PBT juga berperanan sebagai kerajaan kecil yang mentadbir daerah termasuk urusan pembersihan, kemudahan asas, pungutan sampah, caj parkir kenderaan dan kompaun kesalahan kebersihan.
Kerajaan tempatan yang berjumlah 146 di seluruh negara mempunyai kuasa perundangan untuk meluluskan undang-undang kecil di samping ada yang mempunyai petugas bersenjata dan mahkamah yang berfungsi dalam kes kesalahan trafik dan kompaun kebersihan.
Bagaimanapun rakyat tidak mengetahui ke manakah wang rakyat dibelanjakan setiap tahun. Apakah pungutan cukai taksiran, caj parkir dan kompaun dimanfaatkan untuk pembangunan setempat? Rakyat bagaikan tidak mempunyai suara untuk mengetahui kerja dilakukan PBT dan bagaimana wang dibelanjakan.

  Ketika idea kerajaan tempatan mula digariskan pada awal 1900, pentadbiran British mengambil model di London untuk diperkenalkan di negara ini bagi memudahkan pentadbiran. Kerajaan British mewakilkan pentadbiran daerah kepada badan tempatan dan rakyat diberi hak memilih wakil ahli majlis mesyuarat tempatan.

Pada 1957, Pulau Pinang tercatat dalam sejarah kerana memilih anggota majlis tempatan menerusi pilihan raya. Bagaimanapun pada 1965 pilihan raya tempatan dihentikan dan dimansuh pada 1970. Sehingga kini pelantikan ahli majlis tempatan dilakukan oleh kerajaan yang memerintah sesebuah negeri dengan alasan menjimatkan bajet jika diadakan pilihan raya khas untuk pelantikan ahli PBT.
Bagaimanapun persoalan tetap timbul apabila pelantikan membabitkan politik menimbulkan isu kepentingan kuasa, korupsi dan nepotisme dalam sesuatu projek PBT.

Ketelusan dan pelaksanaan sesuatu projek sering menimbulkan polemik hangat. Perbelanjaan awam tidak terkawal. Sebuah PBT dilaporkan membelanjakan RM4 juta untuk membina empat pondok menunggu bas dan dua palang tiang gol di kawasan pentadbirannya.
Penduduk sesuatu taman perumahan tidak mempunyai kuasa untuk bertanya bagaimana wang mereka dibelanjakan. Justeru, apakah adil jika setiap enam bulan mereka membayar cukai taksiran, tetapi sampah dipungut seminggu sekali?
Persoalan demi persoalan mengenai kerajaan tempatan tidak pernah selesai diperkatakan. Mungkin saranan mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis daerah berbaur politik kepartian, tetapi apakah tidak mungkin ada saranan lain supaya PBT bertindak sewajarnya, bukan berfungsi sebagai pemberi rezeki kepada aktivis siasah? - Berita Harian, 4 Oktober 2010