Pages

Monday, October 04, 2010

PBT, mana pergi wang kami?

KITA kerap melihat kawanan anjing yang segar bugar menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan. Media juga kerap menyiarkan laporan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengabaikan kebersihan dan isu sosial; sampah tidak dipungut, longkang tersumbat, jalan berlubang, besi penutup longkang hilang, pusat judi haram, rumah urut dan hentian bas bagai pondok usang menanti masa menyembah bumi.


Berita Harian pernah menyiarkan isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, curi balak di pedalaman Pahang atau masalah bekalan air di kawasan FELDA. Bukan sekali dua media menyiarkan rungutan penduduk terhadap PBT, namun setiap kali laporan tersiar, pihak berkenaan sekadar mengeluarkan kenyataan; “Kami akan siasat”. Selepas beberapa minggu, rungutan penduduk tidak dipedulikan kerana isu PBT atau kerajaan tempatan tidak pernah sampai ke penghujung.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas pernah membidas kerajaan tempatan sebagai kongsi gelap kerana tiada ketelusan dalam tindakannya. (New Straits Times, 3 Oktober 2005).
Beliau menegur sebuah PBT kerana tidak jelas perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek di kawasannya. Namun isu itu berlalu kerana kita sering mengambil remeh sesuatu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama.
Kita pembayar cukai, kita juga pembayar taksiran di kawasan kediaman, tetapi kita sering mendiamkan diri ke mana wang dibelanjakan?

Dari segi pentadbiran, kerajaan tempatan berada di tempat ketiga dalam sistem pemerintahan di Malaysia, selepas kerajaan persekutuan dan negeri. Ia berfungsi sebagai agensi membuat dan melaksana dasar, undang-undang dan program di kawasan pentadbirannya.
PBT juga berperanan sebagai kerajaan kecil yang mentadbir daerah termasuk urusan pembersihan, kemudahan asas, pungutan sampah, caj parkir kenderaan dan kompaun kesalahan kebersihan.
Kerajaan tempatan yang berjumlah 146 di seluruh negara mempunyai kuasa perundangan untuk meluluskan undang-undang kecil di samping ada yang mempunyai petugas bersenjata dan mahkamah yang berfungsi dalam kes kesalahan trafik dan kompaun kebersihan.
Bagaimanapun rakyat tidak mengetahui ke manakah wang rakyat dibelanjakan setiap tahun. Apakah pungutan cukai taksiran, caj parkir dan kompaun dimanfaatkan untuk pembangunan setempat? Rakyat bagaikan tidak mempunyai suara untuk mengetahui kerja dilakukan PBT dan bagaimana wang dibelanjakan.

  Ketika idea kerajaan tempatan mula digariskan pada awal 1900, pentadbiran British mengambil model di London untuk diperkenalkan di negara ini bagi memudahkan pentadbiran. Kerajaan British mewakilkan pentadbiran daerah kepada badan tempatan dan rakyat diberi hak memilih wakil ahli majlis mesyuarat tempatan.

Pada 1957, Pulau Pinang tercatat dalam sejarah kerana memilih anggota majlis tempatan menerusi pilihan raya. Bagaimanapun pada 1965 pilihan raya tempatan dihentikan dan dimansuh pada 1970. Sehingga kini pelantikan ahli majlis tempatan dilakukan oleh kerajaan yang memerintah sesebuah negeri dengan alasan menjimatkan bajet jika diadakan pilihan raya khas untuk pelantikan ahli PBT.
Bagaimanapun persoalan tetap timbul apabila pelantikan membabitkan politik menimbulkan isu kepentingan kuasa, korupsi dan nepotisme dalam sesuatu projek PBT.

Ketelusan dan pelaksanaan sesuatu projek sering menimbulkan polemik hangat. Perbelanjaan awam tidak terkawal. Sebuah PBT dilaporkan membelanjakan RM4 juta untuk membina empat pondok menunggu bas dan dua palang tiang gol di kawasan pentadbirannya.
Penduduk sesuatu taman perumahan tidak mempunyai kuasa untuk bertanya bagaimana wang mereka dibelanjakan. Justeru, apakah adil jika setiap enam bulan mereka membayar cukai taksiran, tetapi sampah dipungut seminggu sekali?
Persoalan demi persoalan mengenai kerajaan tempatan tidak pernah selesai diperkatakan. Mungkin saranan mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli majlis daerah berbaur politik kepartian, tetapi apakah tidak mungkin ada saranan lain supaya PBT bertindak sewajarnya, bukan berfungsi sebagai pemberi rezeki kepada aktivis siasah? - Berita Harian, 4 Oktober 2010

No comments: