Pages

Tuesday, September 21, 2010

Melayu pasca 16 September

SEJAK penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, pola pemikiran Melayu tidak banyak berubah kerana warisan pimpinan penjajah dan jiwa feudal yang masih bertapak dalam beberapa institusi kemelayuan.
Pentadbiran negara yang diwarisi daripada tinggalan British menyebabkan Melayu seakan reda dengan apa yang berlaku termasuk kekal dalam sektor pertanian dan perikanan secara tradisional di luar bandar.

Hanya pada akhir dekad 60-an, pemikiran Melayu mula berubah selepas lahirnya dua gagasan pemikiran yang bernas, iaitu The Malay Dilemma (Dilema Melayu) karya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Revolusi Mental susunan Bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Senu Abdul Rahman.

Kedua-dua karya pasca 16 September secara langsung mengkritik bangsa Melayu yang masih mundur kerana cara berfikir mereka yang tidak berdaya saing. Kesilapan menafsir ajaran Islam juga dikaitkan dengan kegagalan Melayu membentuk daya saing pada peringkat global.

Dr Mahathir menerbitkan The Malay Dilemma pada 1970 selepas beliau kalah dalam Pilihan Raya Umum 1969. Beliau meninjau kelemahan bangsa Melayu menjadi punca tragedi 13 Mei meletus. Kegagalan Melayu dalam pelbagai sektor bukan kerana mereka malas, tetapi kurang ruang untuk membina kemampuan dalam pelbagai bidang. Ketika pihak lain mendapat pelbagai peluang dan ruang memajukan ekonomi, bangsa Melayu masih terhimpit dengan kemampuan terbatas, kemiskinan dan salah tanggapan terhadap Islam. Jurang ekonomi yang meluas menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati antara kaum yang akhirnya menimbulkan insiden berdarah pada 1969.

Kesilapan pimpinan Melayu sendiri juga menjadi punca kaum asal di negara ini kekal berada di luar bandar, sedangkan pihak lain menangguk pelbagai projek pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.
Secara langsung, Dr Mahathir merayu mana-mana pemimpin Melayu supaya lebih menghargai sumbangan bangsa sendiri dan menyediakan peluang secukupnya supaya Bumiputera mampu berdikari dan berdaya saing.

 Malangnya pemikiran beliau tidak disenangi Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyebabkan The Malay Dilemma diharamkan dan Dr Mahathir diusir daripada UMNO. Karya beliau hanya dibenarkan pengedarannya pada 1981 sebaik saja Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri keempat.

Sementara itu, pada awal 1968, Pergerakan Pemuda UMNO menubuhkan Jawatankuasa Revolusi Mental. Revolusi Mental merupakan suatu usaha gerakan perubahan kepada sikap, perangai dan pemikiran bangsa Melayu agar menjadi kelompok yang berdaya saing, terpuji dan mampu berdiri sendiri.
Berlandaskan kepada kajian, penelitian dan kesedaran yang mendalam terhadap belenggu yang dialami oleh kaum Melayu, Jawatankuasa Revolusi Mental menerbitkan buku Revolusi Mental. Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menyifatkan buku ini sebagai satu batu tanda yang penting dalam daya pemikiran cerdik pandai kita bagi menggalakkan pembangunan masyarakat Melayu.

Hari ini selepas 16 September 1963 berlalu dengan pelbagai perkembangan drastik membabitkan bangsa Melayu, pemikiran The Malay Dilemma dan Revolusi Mental masih perlu dihayati. Dasar Ekonomi Baru yang diperkenal selepas 13 Mei 1969 memerlukan kesaksamaan pemerintah untuk menyediakan ruang kepada Melayu berkembang dalam sektor ekonomi moden tanpa menjejaskan usaha pihak lain memajukan perindustrian negara.

Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kesinambungan pelaksanaan dasar ke arah transformasi perubahan yang lebih dinamik.

 Bagaimanapun pola pemikiran Melayu banyak berubah seiring perubahan sosiopolitik global sejak dekad 60-an. Jika Perang Dingin yang membabitkan saingan dua kuasa besar yang didominasi oleh Nato (Pakatan Atlantik Utara) pimpinan Amerika Syarikat dan Pakatan Warsaw (kelompok Negara komunis) pimpinan Soviet Union, Melayu juga mengalami perubahan pemikiran dalam pelbagai ideologi dan kecenderungan berpolitik. Falsafah Lenin dan ideologi kebebasan sering disalah mengertikan.

Pada 1978 ketika kejatuhan dinasti Shah Iran kepada Ayatollah Khomeini, ada juga segelintir Melayu yang taksub kepada pemikiran Syiah yang bertentangan dengan tradisi keislaman di Malaysia. Pergeseran sesama Melayu sering tidak terkawal dan perseteruan politik sering dikaitkan dengan agama yang akhirnya merugikan bangsa Melayu sendiri.

 Persaingan terbuka UMNO dan PAS untuk merebut pengaruh di kawasan dominan Melayu berjaya membentuk citra politik yang membandingkan isme Islamik dan sekular. Ketika satu pihak megah melaungkan pembentukan negara Islam, pihak yang satu lagi pula bersuara mengenai perpaduan kaum dan kontrak sosial yang tercatat dalam semangat Perlembagaan Persekutuan.

Polemik Islam dan sekular sering membabitkan kehadiran intelektual Melayu membahaskan isu bangsa dalam perspektif yang pelbagai. Ada juga yang merasakan tradisi keislaman kian tergugat kerana dasar negara yang dianggap prosekular.

Pada hari ini pemikiran Melayu pasca 16 September sudah melangkau lebih jauh. Ia bukan sekadar cita-cita politik untuk menawan Putrajaya pada 16 September 2008, tetapi juga sejauh mana Melayu mampu berfikir berdasarkan tradisi pemikiran, bukan kerana semangat kepartian semata-mata. Beberapa tindakan lompat parti bukan kerana kesedaran politik, tetapi kerana nawaitu lain.

Jika Goethe pernah berpesan agar sejarah perlu ditulis semula dari semasa ke semasa kerana perubahan suasana dan pola berfikir, wajar juga bangsa Melayu menulis semula corak pemikiran terkini yang membabitkan isu bangsa dan ekonomi Bumiputera. Perubahan sikap ada masanya menjadi keterlanjuran sejarah yang akhirnya menikam diri sendiri! - Berita Harian, 28 September 2010

No comments: