Pages

Thursday, December 24, 2009

Siti Huraizah pasrah menerima keadaan dirinya

SITI Huraizah Ruslan bagai pasrah menerima keadaan dirinya. Hampir tiga tahun bergelar siswazah, namun sehingga kini belum mampu menjawat jawatan yang setimpal dengan kelulusannya.

Pada 2007, media tempatan melaporkan kejayaan gadis cacat penglihatan yang muncul antara siswa cemerlang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berita Harian, tidak terkecuali juga TV3, menyiarkan berita kegembiraan gadis hitam manis yang berjaya mengejutkan massa. Dia lambang kegigihan orang kurang upaya (OKU). Dia lambang kecemerlangan yang tidak dibatasi kekurangan diri. Dia juga lambang kekuatan semangat untuk menimba ilmu walaupun terpaksa meninggalkan keluarga dan tiga adiknya di Pantai Timur.

Hari ini, Siti Huraizah bagai dilupakan. Ijazah cemerlang hanya sekadar selembar kertas yang hampir tidak ada apa-apa. Segala ilmu yang ditimba di Fakulti Seni Persembahan sekadar bayangan masa lalu, yang juga tidak ada apa-apa.

“Terlalu tebal tembok halangan,” cetusnya. Sudah acap kali dia menghadiri temu duga namun hasilnya tidak ada apa-apa. "Mereka takut mengambil orang buta seperti saya. Mereka bimbang saya tidak mampu menjalankan tugas dengan baik," cetusnya sinis. Dia tidak diberi peluang. Dia bagai merenung nasib sendiri. Ada penemuduga yang jujur mengakui kesukaran memilih pekerja OKU di organisasi mereka.

Siti Huraizah pernah memohon untuk menyertai skim tenaga pengajar di pusat pengajian yang pernah berjasa kepadanya. "Malangnya mereka masih prejudis, tidak yakin kemampuan pensyarah buta," keluhnya.

Kini dia bertugas di Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, di Setapak, Kuala Lumpur. Dengan pendapatan yang diterimanya, dia terpaksa bekerja kerana tidak mungkin untuk kembali ke pangkuan orang tuanya tanpa sebarang jawatan. Ria atau lara di Lembah Klang, Siti Huraizah terpaksa tekad kerana kehidupan tidak semudah yang diharapkan.

Siti Huraizah boleh dianggap citra permasalahan OKU di negara ini. Mereka bukan saja kekurangan fizikal dan kesempurnaan, bahkan kurang tumpuan daripada masyarakat. OKU tidak selamanya memohon bantuan dan berjiwa hamba. Apa yang mereka mahukan adalah peluang untuk menonjolkan kemampuan dan kreativiti. Malangnya prejudis dan salah anggapan menyebabkan ramai OKU tercicir daripada pelbagai peluang yang disediakan.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengandaikan 10 peratus daripada jumlah penduduk di sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia tergolong OKU, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada dasarnya, kerajaan amat prihatin masalah OKU menerusi pelbagai perancangan teliti. Akta OKU diluluskan di Parlimen (Dewan Negara) pada 24 Disember 2007, diwartakan pada 24 Januari 2008 dan dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008.

Akta ini memberikan pengiktirafan hak OKU - peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat. Akta ini memperuntukkan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Sejak pengisytiharan Tahun Antarabangsa OKU 1980 dan pelancaran The World Programme of Action Concerning Disabled Persons 1982, Malaysia turut memperkenalkan pelbagai polisi dan program untuk membaiki kualiti kehidupan OKU.

Bagaimanapun setiap dasar dan peraturan yang tidak diamalkan, bakal mengundang tanggapan sinis masyarakat. Pelaksanaan hampir tidak ada. Kehidupan OKU masih di bawah paras kemiskinan. Meskipun ada beberapa OKU berjaya dalam sektor tertentu, nisbahnya terlalu kecil berbanding mereka yang melarat.

Lihat saja di tepi jalan Chow Kit dan Jalan Masjid India, amat ramai warga cacat fizikal dan penglihatan merempat, mengemis dan mengharapkan simpati orang ramai.

Kerajaan melalui konsep 1Malaysia perlu lakukan sesuatu agar Akta OKU berfungsi untuk memberi peluang sama rata berdasarkan sistem merit, bukan kerana halangan fizikal. Jika Milton boleh muncul sebagai penyair dan seniman tersohor Britain kerana kebutaannya, kita juga ada Prof Datuk Dr Ismail Salleh (Allahyarham) yang handal pemikiran ekonominya. Kita juga ada Dr Chandra Muzafar yang bernas pemikiran sosialnya. Kita juga ada Dr Zulkifli Ahmad (politik) dan Nahmar Jamil (sastera). Mereka adalah segelintir insan OKU yang mencipta nama, di sebalik jutaan lagi yang tercicir dan menjadi marhaen di sisi tembok pembangunan negara.

Kempen kesedaran dan sikap bertanggungjawab untuk membantu OKU perlu dipupuk. Apalah gunanya mendakwa sebagai masyarakat penyayang, tetapi pada masa sama meletakkan kenderaan di petak yang disediakan untuk pemandu OKU.

Sehingga ini tiada peraturan khusus yang boleh menghukum mana-mana pesalah yang meletakkan kenderaan di petak OKU. Begitu juga kemudahan awam yang amat senang dicerobohi. Tandas OKU dimasuki sesuka hati, kenderaan awam tidak menyediakan kemudahan mengangkut kerusi roda, bangunan pejabat dan pusat beli-belah yang tidak mesra OKU dan prejudis sosial terhadap golongan cacat, menyebabkan usaha membentuk masyarakat minda kelas pertama tercabar.


Apa yang dialami Siti Huraizah tidak berseorangan. Masih ramai lagi OKU yang tidak mendapat tempat sewajarnya dalam masyarakat, walaupun mereka berkelayakan. Ada yang dinafikan peluang kenaikan pangkat kerana kekurangan fizikalnya. Ada juga yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana kerana penaja meragui kemampuan intelektual mereka.

Semuanya menuntut renungan pelbagai pihak. OKU masih terasing daripada impian masa depan yang indah di negara ini. - Berita Harian, 25 Disember 2009

Friday, December 18, 2009

Seperti pasir pantai itu

Kalendar sudah berubah
seperti pasir pantai itu
setia dengan mainan angin

tahun baru akan singgah
menidurkan peribadi
di luar jendela
siapakah yang bakal menggugah
ketika hidup perlu diteruskan
esok mungkin suatu perwayangan
dan kita lagi manis menyebut namu-Mu
di hujung rindu

Sunday, December 13, 2009

Nik Aziz makin lantang, Umno Kelantan masih longlai

BUKIT Marak masih tinggalan mitos, walaupun Puteri Saadon dan Cik Siti Wan Kembang sudah menjadi mantera sejarah. Kota Bharu dan Tanah Serendah Sekebun Bunga masih setia menerima tengkujuh, persis isyarat perubahan kalendar menjelang tahun baru.
Pagi Jumaat 4 Disember lalu, Kota Jembal di Kota Bharu jadi tumpuan ramai. Ada sepanduk yang berkibaran, ada lilit kepala yang menyatakan hasrat; "Kami tetap sokong pimpinan Tok Guru!"

Ada rakyat berkumpul selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyampaikan kuliah Subuh. Ada masyarakat Cina, India dan Siam turut bersuara secara terbuka.

Walaupun tindakan mereka tidak mewakili 1,313,014 penduduk Kelantan yang 95 peratusnya berbangsa Melayu, setidak-tidaknya memberi isyarat suasana siasah negeri di pesisir Laut China Selatan itu.

Kelantangan mereka sebagai membalas tindakan beberapa pemuda yang sebelumnya menunjuk perasaan mendesak Menteri Besar yang sudah 19 tahun mentadbir Kelantan berundur. Apakah semudah itu menjatuhkan pimpinan Pas sejak Pilihan Raya Umum 1990? Pas juga pernah memerintah Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas Mageran (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.

Benarkah penyokong Pas terlalu fanatik dengan pimpinan mereka, atau tokoh Umno Kelantan kurang membaca hasrat rakyat di negeri seluas 14,922 kilometer persegi?

Persoalan ini terus berlanjutan walaupun Umno dilihat hampir bangkit pada pilihan raya kecil di Manek Urai apabila hanya tewas 65 undi. Sentimen penduduk Kelantan kepada Pusat masih tidak jauh berubah. Isu royalti minyak menjadi hangat apabila beberapa sarjana masih mengandaikan peranan media 'kurang sampai' kepada sasaran.

Isu keluarga Nik Aziz menjawat peranan penting di beberapa agensi negeri hanya heboh di media, tetapi kurang menyengat di hati rakyat. Isu menantu Nik Aziz letak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kurang dominan di Kelantan.

Ada yang mendakwa jentera Umno perlu aktif, sementara Pas Kelantan pula dianggap mempunyai pasukan terkuat di Semenanjung, malah mengatasi jentera yang dimiliki Datuk Seri Hadi Awang di Terengganu, mahupun jentera penerangan Pas pusat.

Kelantan sebuah negeri yang unik dan keunikan itu memberi impak kepada mana-mana pihak yang menerobos jiwa rakyatnya. Kelantan satu-satunya negeri yang pernah menobatkan seorang wanita sebagai raja. Wanitanya juga terkenal sebagai peniaga gigih yang menguasai Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Besar MPKB dan Bazar Buluh Kubu. Mereka peniaga yang tekun dan licik serta tahu menilai corak batik dan tenunan songket.

Kelantan juga negeri pertama dijajah Jepun, sekali gus mencorak pemikiran tokohnya mengenai kelemahan golongan sekular yang diasuh oleh penjajah British. Tradisi pondok juga amat kukuh di Kelantan.

Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan terkenal dengan perkembangan pendidikan yang melahirkan ulama berwibawa. Pendidikan Islam bermula pada akhir abad ke-18 dan Syeikh Abdul Halim muncul ulama terpenting. Muridnya terdiri daripada penduduk tempatan dan ada dari luar Kelantan termasuk Thailand dan Kemboja. Masyarakat Islam Nusantara banyak berhijrah ke Kelantan untuk mendalami ilmu agama hingga menimbulkan istilah serambi Makkah.

Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.

Antara pondok yang mendapat sambutan `dan mempunyai murid yang ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali -- ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.

Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader Pas yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera Umno. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat.

Walaupun ada beberapa institusi agama yang prokerajaan Pusat di Kelantan, namun kewibawaan dan pengaruhnya tidak mampu mengatasi pondok agama yang dibina sejak ratusan tahun lampau.

Guru agama dari pondok inilah yang akan melata di suruh negeri untuk menyebarkan ajaran Islam di samping 'mentarbiah' masyarakat. Mereka jugalah yang memenuhi majlis bersunat, khatam al-Quran, kenduri kahwin, hatta sembahyang jenazah dan membawa mayat ke liang lahad. Perbuatan mereka sudah menjadi tradisi di Kelantan, malahan kelunakan suara ustaz pondok boleh menitiskan air mata apabila mendengar mereka membaca talkin dengan lunak merdu dan tepat tajwidnya.

Tradisi ini kurang dipupuk di kalangan segelintir ahli Umno. Jika keadaan tidak berubah, harapan perubahan dalam dimensi siasah Melayu sukar dicapai, apatah lagi Kelantan sudah dua kali ditadbir oleh Pas pada jarak masa yang panjang dan menjadi akar umbi pembangkang ke negeri lain.

Suasana politik di Kelantan amat meriah dengan sepak terajang, bukan saja dari pihak lawan tetapi juga dari dalam parti sendiri. Ia kaya dengan drama dan intrignya. Sejak era Tengku Razaleigh Hamzah menerajui Umno Kelantan hingga kini, pelbagai kerenah dalaman kerap kedengaran. Cah keting, politik wang, gaya hidup mewah di kalangan pemimpin setempat sentiasa jadi bualan ramai.

Rakyat sentiasa memerhati perkembangan ini. Citra peribadi yang songsang bakal menyukarkan Umno Kelantan mengotakan mimpi mereka.

Jangan terpedaya dengan laporan menyatakan Pas semakin lemah. Yang perlu, Umno perlu diperkuatkan di hati rakyat. Jadikan keunikan budaya dan susila Kelantan sebagai iltizam untuk Umno perkukuh perjuangan.

Keunikan Kelantan, ancaman tengkujuh akhir tahun dan kenyataan luar biasa Nik Aziz adalah sebahagian daripada babak politik. Kita sepatutnya tidak taksub dengan sejarah, tetapi menjadikan lembaran pengalaman untuk memajukan sebuah negeri yang didakwa masih ketinggalan. Perjuangan mesti diteruskan!- Berita Harian, 15 Disember 2009

Wednesday, December 09, 2009

Dugaan 2009


MUSIM cuti terus tergugat dengan dugaan demi dugaan. Hidup semestinya kaya dengan dugaan yang akhirnya mendewasakan jiwa. Ketika bersantai di kampung halaman, panggilan telefon daripada PPUKM: "Encik, sila bawa isteri ke wad. Dia perlu  rawatan  beberapa hari untuk pembedahan kecil"
Hujan yang melata  di Kota Bharu bagai gemuruh di dadaku. Anak-anak berpandangan sesama sendiri. Mereka sedih, hampa.  Jadual asal untuk menempah sebuah calet di tepian Laut China Selatan terbantut. Kami juga tidak sempat menemui kawan-kawan  sasterawan  termasuk Abdul Hadi Muhamad yang kuutuskan untuk menemuinya menerusi Face Book. Aku juga bercadang menemui Zulkifli MD Zain, Leo AWS dan penulis PPK --- yang  merupakan teman setiaku dalam bidang seni.
Kini isteri terlantar di wad. Buah pinggang, jantung, lelah dan darah tinggi  amat menguji kesetiaan kami. Tahun ini,  sudah empat kali dia masuk PPUKM.  Rumah tangga kami sejak 17 tahun lampau terlalu kaya dengan dugaan. Ya Allah...

Tuesday, December 08, 2009

Tok Guru lantang, Umno belum bersedia


POLITIK Kelantan sentiasa kaya dengan drama dan intrignya. Menteri Besar semakin garang dan ada yang menuduh nyanyuk. Umno pula mendakwa semakin kuat dan boleh tawan Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Tinjauan rambang mendapati isu semasa yang dihebohkan media sekadar penyedap hati.
Umno masih mesra dengan mimpi  bulan madu  walaupun Nik Aziz semakin  uzur.
Yang meriah di Kelantan hanyalah ledakan air dari Laut China Selatan setiap kali akhir tahun menjelma.

Thursday, December 03, 2009

Tradisi membaca alam ke era media baru



TRADISI membaca seunggul tamadun manusia. Sejak Adam dan Hawa dicampak ke dunia, manusia sudah membaca keadaan cuaca, rentak bayu, arus sungai di muara dan gerak ombak di lautan. Nenek moyang kita juga pernah membaca arah angin, putaran gelombang serta pergerakan bulan dan matahari bagi menentukan waktu solat, sahur dan masa untuk bersawah.
Nelayan mahir membaca pergerakan awan di langit dan tahu masa sesuai untuk kembali ke pantai sebelum tengkujuh membadai. Penoreh dan pekebun pandai membaca alam dan tahu tanah mana yang ada humas untuk menyuburkan tanaman.

Tradisi membaca sudah lama wujud, lebih awal daripada proses pembacaan buku dan batu bersurat yang ditemui penjelajah lampau. Hanya beberapa abad kemudian, manusia merasakan perlunya huruf dan angka sebagai sistem isyarat komunikasi, maka segala tulisan dibukukan untuk pembacaan umum. Kini pula sudah ada jalinan internet yang menyediakan media bentuk baru, sekali gus mencabar proses pembacaan secara tradisional.

Tradisi membaca sepatutnya seiring perkembangan zaman. Bagaimanapun apa yang berlaku amat menyedihkan. Hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati 54.3 peratus rakyat negara ini membaca purata kurang tujuh halaman sehari. Lebih memeranjatkan, daripada jumlah 54.3 peratus itu pula, 12 peratus membaca purata kurang dua halaman sehari atau 50 halaman sebulan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula hanya menerbitkan 16,044 judul buku sepanjang tahun lalu, dilihat antara punca kegagalan memupuk minat membaca di kalangan rakyat negara ini yang mencecah 27 juta orang. Penerbit swasta pula lebih mementingkan komersial dan menerbitkan buku popular yang boleh diketepikan nilai keilmuwannya.

Jika keadaan ini berterusan, harapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat sukar dicapai. Bangsa yang berjaya sentiasa menggali tradisi keilmuwan dan buku adalah wahana utamanya. Bangsa yang kurang membaca akan sentiasa jumud dan bernostalgia dengan zaman gelap. Sepatutnya kita sudah menerbitkan 27,000 buku setahun setanding nisbah penduduk negara.

Kajian juga menunjukkan bangsa Melayu golongan majoriti yang kurang mendekati buku. Kenapa?

Apakah malas membaca kerana faktor genetik atau suasana?

Sehingga kini belum ada bukti jelas walaupun Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu 'sehingga ke negeri China'.

Malahan, ayat al-Quran yang pertama kali turun kepada Nabi Muhammad Saw: Iqrak, bacalah! Seorang hamba Allah yang buta huruf diarah membaca. Bacalah, kata Jibril. Ada ulama yang menafsirkan arahan membaca bukan sekadar mengenal huruf, tetapi mendalami kehidupan sepenuhnya.

Ayat Iqrak bukan sekadar arahan mendekati buku, tetapi isyarat mendalami pelbagai sumber keilmuwan dan realiti kehidupan di dunia dan akhirat.

Malangnya, tradisi yang dibawa pada zaman keagungan Islam dipencilkan oleh sebahagian umat Muhammad.

Pengarang tersohor Perancis, Louis L’Amour menghuraikan proses pembacaan sebagai usaha menawan dunia. "Dunia amat kecil di sebalik helaian buku," katanya. Buku membudayakan pola berfikir sejagat. Buku juga ada pedih lara peperangan atau bangkit jaya sesebuah bangsa yang terjajah.

Ulama tersohor Indonesia, Prof Dr Hamka merumuskan pembacaan sebagai mendekati keagungan sejarah. Dalam bukunya Tasauf Moden, Hamka mendekati proses penulisan lampau sebagai iktibar masa kini. Karya Avessina (Ibnu Sina), adalah contoh cendekiawan Muslim yang berjaya sebagai pakar perubatan mendahului zaman. Bukunya al Qanuun fi al-Thibb jadi rujukan pelajar perubatan Barat sehingga kini. Kita sepatutnya kagum mendekati karya Imam al-Ghazali terutama magnum opus Ihya’ Ulumiddin yang jadi rujukan sejagat sejak tujuh abad lalu.

Kita juga sepatunya mendekati karya Al-Khawarizmi, Omar Khayyam, Nashir Al-Din Thusi , Ibnu Al-Haytsam, Al-Biruni dan Ar-Razi yang mendahului zaman dalam pelbagai bidang.

Sebelum dunia menemui cahaya sepenuhnya, karya Thomas Alfa Edison dianggap penawar untuk menghurai kuasa elektrik yang kini tenaga penting dalam kehidupan. Sumbangan Jamess Watt dalam teknologi kereta api laju menyebabkan sempadan dunia sudah menjadi daerah yang kecil. Kita berada di kampung sejagat.

Malangnya tradisi membaca seakan bukan milik kita lagi. Di mana-mana saja kita kurang menemui warga Malaysia membelek buku.

Berbanding bangsa Eropah dan Jepun yang sering menjadikan buku sebagai teman seperjalanan, kita seakan lebih berbangga memiliki pakaian berjenama, kenderaan mewah dan berlibur di pusat peranginan berstatus lima bintang.

Jika anak malas membaca, salahkan diri sendiri kerana hanya mendekati buku di dewan kuliah semata-mata untuk meraih diploma dan ijazah, akhirnya menjadi manusia yang hidup di dalam kepompong bikinan sendiri.

Hari ini, selepas 52 tahun merdeka, kita sepatutnya rasa malu apabila media kerap mengingatkan 'bangsa membaca bangsa berjaya'

Kempen membaca tidak perlu sekiranya kita sendiri mempunyai iltizam untuk menjadi bangsa yang cerdik. Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz juga sepatutnya tidak perlu menasihati pelajarnya supaya membaca, jika buku sudah menjadi sahabat kita semua. - Berita Harian, 3 Disember 2009

Bacalah

Ini hanya hiasan bagi mereka yang malas berfikir.
Iqrak mengajar Muhammad membaca kehidupan di dunia dan akhirat. Tradisi membaca sudah lama bertapak di jiwa Melayu. Sebelum Tun Sri Lanang hadir dengan Sejarah Melayu,  bangsa kita sudah membaca kehidupan menerusi gerak cuaca dan angin.

Sunday, November 22, 2009

Awang Hitam dari Afrika ke 1Malaysia

MINUM petang bersama penulis dari Korea Selatan dan Taiwan hampir hilang nikmatnya. Mata kami berpandangan sesama sendiri. Restoran berhawa dingin di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan hampir hilang kedinginannya. Ada yang tendang kerusi, ada yang menggunakan sudu dan garpu sebagai senjata, ada juga yang mencarut dan membuat isyarat lucah.
Mereka berkulit hitam dari Afrika. Mereka barangkali di antara 56,240 warga Afrika yang dikesan memasuki Malaysia secara sah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Angka juga menunjukkan 21 warga Afrika ditahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana pelbagai kesalahan jenayah. Ada juga yang memasuki negara ini menggunakan jalan tikus dan pasport palsu, selain dikesan tinggal lebih masa.

Hari ini, fenomena warga Afrika di Malaysia sudah hampir menjadi kebiasaan. Di Cheras umpamanya, beberapa pusat beli-belah, pangsapuri dan pusat pengajian swasta, warga Afrika hampir mendominasi suasana.

Ada yang menjadi pelajar dan tidak lekang dengan note book sepanjang masa. Ada juga yang berkeliaran dengan botol bir di kawasan awam. Ada yang mengurat anak gadis di pasar malam, tidak terkecuali juga membuat bising dan mengganggu penduduk setempat.

Jika selama ini kita boleh melihat wajah Michael Essien, Mohamed Aboutrika dan Amr Zaki hanya di kaca TV, kini personaliti mereka boleh ditemui di mana-mana. Di Cheras, Ampang, Kampung Pandan, Puchong dan di mana-mana saja, pasti wajah Awang Afrika kita temui dengan pelbagai fiil.

Jika dulu kita rasa tertarik dengan keunikan rambut Emmanuel Adebayor dan Didier Drogba , kini fesyen sedemikian sudah bertebaran di depan mata.

Persoalannya sekarang kenapa begitu mudah wajah Afrika meloloskan diri di Malaysia? Apakah Jabatan Imigresen memandang ringan kehadiran mereka atau tidak dapat membezakan wajah Afrika dengan muka Malaysia? Benarkah mereka pelajar atau ahli sindiket black money yang banyak diperkatakan?

Kenapa selepas 10 tahun wajah Afrika berkeliaran di sekeliling kita, tindakan untuk membanteras mereka masih terlalu lemah?

Persoalan ini amat wajar direnungi. Pihak yang mengawal keselamatan negara perlu lakukan tindakan tegas agar gejala yang selama ini dilakukan oleh segelintir warga Indonesia, Burma, Vietnam, Bangladesh dan China tidak terus berulangan.

Warga Afrika majoritinya mempunyai saiz fizikal yang tinggi dan besar amat digeruni penduduk setempat. Tingkah laku dan budaya dari sesebuah wilayah yang bobrok memungkinkan tindakan luar kebiasaan di tempat lain.

Mereka datang dari kawasan lembah belantara dan puncak Afrika. Mereka juga dibesarkan antara kawasan kontang dan bukit-bukau yang lebih mengutamakan kekuatan fizikal daripada mental. Ada juga yang belum mengenal dunia sepenuhnya.

Budaya yang dialami di kawasan belantara berbeza dengan suasana di Malaysia yang musim hujan dan panasnya bercampur aduk. Suasana di sini penuh kelembutan kerana faktor iklim dan persekitaran yang ada masanya melankolis.

Suasana di tempat mereka ada waktunya terlalu parah dan sukar ditafsirkan. Amalan voodoo, pertarungan fizikal, ancaman penyakit, kebuluran dan tingkah cuaca menjadikan manusianya lebih berani dan sanggup lakukan apa saja. Undang-undang hampir tidak terlaksana di beberapa tempat di Afrika.

Pertarungan antara suku dan puak sering terjadi. Pertelingkahan kerana merebut kawasan bercucuk tanam sering menumpahkan darah. Mereka berjiwa sensitif dan amat perasa. Alex Haley dalam karyanya Roots: The Saga of an American Family yang diterbitkan pada 1976, menganalisis jiwa Afrika dengan teliti. Mereka rajin, cekal, kuat semangat dan sanggup lakukan apa saja. Awang Afrika juga boleh menjadi hamba yang kental, sanggup meredah belantara dan bertarung nyawa di lautan. Mereka juga pantang dicabar dan sedia bertarung. Kekuatan fizikal bukan sesuatu yang asing.

Hari ini sudah ramai keturunan Afrika yang berjaya dan mempunyai nama besar di seluruh dunia. Barack Obama, Oprah dan Mike Tyson menjadi ikon dalam bidang masing-masing. Mereka daripada keturunan hamba Afrika yang diangkut penjajah dan membina kehidupan baru di tanah asing.

Kejayaan mereka tercatat sebagai legenda sejarah. Bagaimanapun di sebalik nama besar, mereka juga tetap ada imej yang merumitkan keadaan. Keadaan ini amat membimbangkan. Penempatan mereka di Pandan Indah dan Metro Prima Kepong sudah digelar 'Mini Afrika'. Mereka melepak dan mabuk di mana-mana saja. Mereka sanggup menjerit dan membuat isyarat lucah, walaupun di depan anak kecil.

Mereka tidak silu dan mungkin lupa di sini bukan benua Afrika. Mereka sanggup jadikan restoran berhawa dingin di Seri Kembangan sebagai medan untuk menonjolkan jati diri insan berkulit hitam.

"Itulah mereka," tegur penulis dari Taiwan. "Di tempat kami juga mereka begitu. Pelabuhan kami sudah jadi benua Afrika!"

Menegur dan mengeluh tidak menyelesaikan masalah. Pihak berkuasa, khususnya Jabatan Imigresen dan polis perlu mengadakan operasi khusus dan bersepadu.

Jangan sampai Kampung Malindo bertebaran di merata tempat berulang lagi. Warga asing, tidak kira dari mana pun asal mereka, perlu disiasat,

Ketegasan dan iltizam agensi penguatkuasaan negara amat dituntut supaya konsep 1Malaysia tidak membabitkan keterbukaan untuk warga asing melakukan apa saja di sini! - Berita Harian, 23 November 2009

Tuesday, November 17, 2009

Seluar dalam wanita citra songsang pengiklanan

SANGGUPKAH anda mencari dan mengira 1,000 seluar dalam wanita yang sengaja disembunyikan? Bagaimana perasaan anda jika sedang berada di pelamin, lalu ditanyakan: “Kau dah potong ke belum?”

Ada wanita yang bermuram dan kurang keyakinan diri semata-mata muka berjerawat kerana kawannya lambat memberitahu mengenai pembersih muka yang menjadi ‘idaman kita semua’.

Sekali lagi dan secara berterusan, citra songsang pengiklanan terus berleluasa di sekeliling kita.

Iklan yang awalnya sekadar untuk memperkenalkan produk, kini sudah menjadi suatu bentuk pemaksaan terhadap pengguna. Orang ramai ditakutkan supaya membeli barangan mereka agar sentiasa setanding dengan orang lain dalam pelbagai hal.

Tanpa membeli produk yang diiklankan, kita akan dianggap kolot, kurang keyakinan, banyak masalah kerana segala-galanya sudah dilimpahkan melalui produk yang diperkenalkan.

Ada syarikat pemaju perumahan yang projeknya jarak 40 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, mengiklankan kediaman selesa dengan perjalanan hanya 10 minit ke ibu kota. Iklan tidak masuk akal ini berulang sepanjang masa dengan pelbagai citra songsang yang memesongkan akal pengguna.

Namun tiada tindakan diambil kerana kita kurang penguatkuasaan untuk menghukum pengiklan yang menipu pengguna. Sehingga kini Malaysia belum ada akta pengiklanan yang khusus untuk mengawal selia corak papan tanda dan mesej yang dipaparkan kepada orang ramai.

Kekurangan ini menyebabkan pengiklan sentiasa mencari ruang untuk memesongkan cita rasa pengguna semata-mata untuk kepentingan pengeluar produk. Penyelewengan dan pemaksaan secara halus terhadap pengguna dibawa ke ruang tamu rakyat Malaysia sepanjang masa melalui pelbagai media.

Akta Perihal Dagangan 1972 sekadar memberi garis panduan terhadap pengiklan serta ‘pesanan’ supaya tidak keterlaluan menyampaikan mesej. Oleh kerana kita belum ada akta khusus mengawal pengiklanan, Akta Perihal Dagangan 1972 saja yang boleh diharapkan untuk memantau setiap isyarat pengiklanan sepanjang masa menerusi penerbitan katalog, senarai harga, surat pekeliling, label, kad atau tayangan gambar.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya. Iklan songsang terus berleluasa dan akta yang wujud sekadar tercatat di atas kertas tanpa sebarang tindakan. Pemantauan dan tindakan hukum oleh penguat kuasa terlalu longlai menyebabkan imej songsang dan lucah kerap muncul di kaca TV dan panggung wayang.

Seks, wanita dan harga diri diperdagangkan secara berleluasa. Iklan kereta mewah menampilkan seorang gadis seksi yang menenggek di atas kusyen dengan mata separuh tertutup dan mulut ternganga. Iklan syampu, krim pencerah kulit, gincu dan tuala wanita menampilkan insan lincah dan manja.

Ada wanita berkemban dan ada juga gadis berpakaian ketat berlari tanpa arah. Hanya iklan ubat nyamuk dan serbuk cuci pakaian yang menampilkan Opah dan Mak Limah dengan wajah berminyak.

Sebelum ada larangan khusus iklan tembakau, banyak syarikat pengeluar rokok mengeksploit produk mereka dengan pelbagai helah.

Penajaan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Frazier dibawa ‘khusus’ oleh syarikat X yang mementingkan keaslian bersukan, Sukan Olimpik dan Bola Sepak Piala Dunia sebelum ini ditaja oleh syarikat rokok, malah liga bola sepak tempatan juga ‘dibawa khusus’ sebuah syarikat rokok terkenal.

Imej ahli sukan diperguna seolah-olah rokok memberi kekuatan tambahan untuk aktiviti riadah. Rokok pernah dianggap sebagai sumber inspirasi. Ada iklan yang menampilkan aksi seorang pelukis pelan yang sukar menyiapkan tugasan kerana kebuntuan. Dia kembali bertenaga selepas menyedut asap rokok Y. Rokok juga dianggap hebat dan berstatus tinggi.

Orang ramai terus diperdaya untuk menjadi mangsa iklan yang ada masanya sesuatu produk dibeli kerana imej songsang pengiklanan.

Apakah kita sanggup terus dipermainkan dengan imej songsang walaupun negara sudah 52 tahun merdeka? Sesuatu perlu dilakukan supaya pengiklanan seluar dalam dan ‘potong’ tidak berleluasa lagi. Kerajaan perlu bertindak dan menghukum syarikat yang kerap memperdayakan pengguna. Citra songsang bukan budaya kita. - Berita Harian, 17 November 2009

Wednesday, November 11, 2009

'Gomo Klate Gomo' ada isyarat bakar kerusi, baling botol

John Locke tentunya berbangga andainya sempat menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu, 7 November lalu.
Kajiannya mengenai ilmu semiotik boleh dibaca dengan jelas. Sepanduk 'Gomo Klate Gomo' yang dibawa masuk ke stadium memuatkan 100,000 penonton amat mudah untuk dihuraikan kesudahannya. Ada mercun yang meletup, kerusi dibakar dan baling botol ke tengah padang.
Dalam kajian perlambangan, bahasa yang terpapar pada sepanduk, poster, gambar, papan tanda dan buku menceritakan kesudahan yang bakal berlaku. Istilah 'gomo' dalam loghat Kelantan bermaksud lawan, belasah, pukul habis, tendang, cekik, terajang, tumbuk dan apa saja yang memberi isyarat tindakan kasar dan liar.
Justeru, tidak menghairankan apabila berlaku insiden kurang manis pada perlawanan akhir bola sepak di sebuah negara yang kedudukan 166 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Lebih malang lagi insiden panas di Bukit Jalil berlaku ketika hampir 3,000 penduduk Kelantan berada di pusat pemindahan banjir.
Walaupun bukan semua penonton terbabit dalam perlakuan 'gomo', namun tindakan segelintir kerbau sudah memalitkan lumpur ke badan orang lain. Hari ini, ramai yang memperkatakan tingkah laku buruk itu, sehingga media utama tidak terlepas pandang.
Kajian John Locke pada abad ke-17 amat jelas menghuraikan doktrin perlambangan yang wujud betapa setiap ungkapan dan penulisan mempunyai isyarat tersendiri. Ilmu perlambangan turut mendapat reaksi baik daripada ahli linguistik Eropah, Ferdinand de Saussure dan ahli falsafah Amerika pada abad ke -19, Charles Sander Pierce yang mengakui tingkah laku dan warna juga boleh memberi isyarat tertentu.
Setiap tulisan yang wujud mempunyai makna dan pesan tersendiri. Ia hidup sesuai dengan cara berfikir dan budaya masyarakat setempat.
Malangnya tiga tokoh semiotik itu tidak sempat menonton perlambangan dan isyarat ‘gomo’ yang banyak wujud di negara kita sekarang. Mungkin mereka terperanjat jika memandu ke daerah Jeli di Kelantan yang papan tandanya terpapar 'Awas serangan haiwan liar'. Di sisi tulisan itu terpapar imej seekor harimau garang!. Papan tanda ini memberi isyarat kes serangan harimau yang sudah berulang kali membaham penduduk yang majoritinya berkebun dan menoreh getah.
Di Kelantan juga ada papan tanda dan sepanduk yang mencatat 'Negeri Serambi Makkah'. Tentunya ungkapan ini boleh menggambarkan betapa alimnya penduduk di kawasan papan tanda itu kerana berdekatan dengan tempat mulia, iaitu tanah suci umat Islam.
Juga tidak menghairankan jika di kiri dan kanan jalan tercatat 'subhanallah', `alhamdulillah' dan 'allahu akbar'. Tentunya ingatan ini memberi maksud supaya pengunjung dan penduduk setempat sentiasa mengingati Allah dan menjauhi perbuatan mungkar. Bagaimanapun seperti negeri lain, kes jenayah tetap berlaku di Kelantan kerana bukan semua yang manfaatkan isyarat yang ada pada poster dan sepanduk. Pendakyah ajaran sesat seperti Ayah Pin juga tidak terkecuali menyelinap ke Kelantan jika berpeluang. Ini pun juga membuktikan makna songsang di sebalik sistem perlambangan yang ada.
Sistem perlambangan sentiasa hidup sepanjang masa. Sejak zaman Greek, Plato dan Aristotle memulakan sebuah teori bahasa dan makna. Bahasa yang tercatat pada papan tanda dan poster turut setia bercerita. Catatan dan gambar juga membawa maksud amaran dan isyarat mengenai perlakuan setempat.
Apa yang berlaku di Kelantan berlaku juga di tempat lain. Di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), tercatat nota yang melucukan di pintu tandas Klinik Ortopedik: “Awas pencuri batang paip tandas, perlakuan anda diperhatikan'.
Bahagian keselamatan PPUKM mengakui kejadian curi besi paip berleluasa di pusat perubatan itu gara-gara harga logam kembali meningkat di pasaran. Justeru, tidak menghairankan apabila kini 'wabak' curi besi batang paip bukan saja berlaku di Klinik Ortopedik, malahan hampir semua tandas di bangunan PPUKM. Ia membuktikan simbol dan sistem perlambangan sering tidak dipedulikan. Masyarakat penyayang di Malaysia sering tidak mengenal lambang kerusi roda yang membawa maksud kawasan khas untuk orang kurang upaya (OKU) meletakkan kenderaan. Di mana-mana saja kita boleh melihat kenderaan yang tidak sepatutnya tersadai di kawasan larangan.
Bagi mereka, isyarat dan amaran sekadar simbol yang tidak bererti apa-apa.
Bagaimanapun dari segi doktrin siasah, sistem perlambangan sering membawa makna sebaliknya. Idi Amin, Suharto, Ferdinand Marcos, Shah Iran, Leonid Breznev, Saddam Hussein dan Anwar Saddat sentiasa bermain dengan imej 'superhero'. Poster mereka kelihatan di mana-mana. Sepanduk yang mengagungkan pemimpin bertebaran di kawasan awam, seolah-olah mendapat sokongan luar biasa daripada rakyat. Wartawan dan media di dunia ketiga juga sering diperangkap untuk melaporkan kebaikan sang tokoh. Apabila revolusi berlaku, dunia mula bercerita bagaimana aibnya Shah Iran dalam buangan, koleksi batu permata Farah Diba, betapa banyaknya seluar dalam Imelda Marcos, kerakusan nafsu Idi Amin, hidup kebaratan Anwar Saddat dan mitos Saddam yang kecundang.
Dunia juga sentiasa bercerita mengenai sistem perlambangan yang sentiasa hidup dan mengalir di sebalik kejadian.
Justeru, slogan 'Gomo Klate Gomo' bukan sekadar perlambangan mercun dibakar, botol terbang ke padang bola dan kerusi dibakar, malah ia lambang kerakusan manusia moden dalam mengejar nafsu. Ia sentiasa menarik untuk dikaji selagi hidup berahsia dengan sistem perlambangan.- Berita Harian, 11 November 2009

Monday, November 02, 2009

Ganyang Malaysia, Sukarno kecil

JOHN BERTHELSEN dan Raphael Pura tidak pernah menduga akan dihalau dari sebuah negara yang dianggap kucar-kacir, penuh sentimen perkauman dan ekonomi tidak terurus. Laporan mereka dalam Asian Wall Street Journal pada 1986, seperti juga kebanyakan tulisan wartawan lain terhadap bangsa Timur, amat prasangka dan prejudis. Negara yang dihentam itu kononnya ditadbir seorang diktator kerana mengisytiharkan Buy British Last!
Memang mereka tidak pernah menyangka akan dihalau keluar dari Kuala Lumpur, walaupun mempunyai reputasi besar sebagai wartawan bertaraf dunia kerana sering mendedah kebobrokan negara dunia ketiga.
Menyelar negara kecil adalah budaya wartawan luar yang berpangkalan di Hong Kong, Singapura dan Australia. Menghitamkan imej negara sedang membangun seperti Malaysia adalah pengiktirafan untuk menjadi wartawan besar di Barat.
Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad tentunya terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi.
apa saja gelaran buruk untuk Perdana Menteri Malaysia, terlalu senang dilontarkan. Ultra Melayu, antifeudal, Sukarno Kecil atau apa saja, semuanya menggambarkan betapa jahatnya Dr Mahathir. Lebih malang lagi serangan terhadap Dr Mahathir disambut pula golongan tertentu dalam negara dengan tuduhan anti-Islam, sosialis dan diktator!
Asian Wall Street Journal melakukan apa saja untuk melengkapkan dakwan terhadap Malaysia, sekali gus berusaha mengalih tumpuan pelabur ke negara ini. Tindakan dua wartawannya tidak bersendirian apabila media lain turut terpalit dengan adegan yang sama. Mengganyang Malaysia yang ekonominya sedang berkembang perlu dilakukan. Kebangkitan Harimau Timur seperti yang diuar-uarkan mesti ditentang supaya kepentingan Barat tidak terjejas.
Seorang lagi pengamal media, Terry Friel menulis dalam Sunday Age Australia pada 14 Julai 1991: "Malaysia bukan negara tetangga yang baik. Ia bukan saja bergaduh dengan Australia, bahkan dengan semua jirannya." Rencana itu juga menyebut kenyataan seorang menteri di sebuah negara yang menggelarkan Dr Mahathir sebagai That Little Sukarno!
Majalah Far Estern Economic Review pada 20 Ogos 1992 pula lebih luar biasa gambar kulitnya. Imej Dr Mahathir dilukis menyerupai patung wajah Presiden Korea Utara, Kim II Sung yang ketika itu dianggap ganas, penentang penyatuan di Semenanjung Korea, serta penyokong setia Mao Zedong ketika Perang Dingin memuncak antara Nato (Pakatan Atlantik Utara) dan Warsaw (Negara Blok Komunis pro-Soviet Union).
Penyiaran rencana itu pula dirancang ketika menjelang Persidangan Negara Berkecuali di Jakarta. Kenapa tarikh itu dipilih? Kenapa ketika sidang di Jakarta dikaitkan dengan imej buruk pemimpin Malaysia?
Hari ini serangan demi serangan terhadap Malaysia begitu berleluasa. Meskipun Sukarno Kecil sudah enam tahun meninggalkan tampuk kekuasaan, imej negara ini begitu lantang diperkatakan dengan wajah hitam dan konotasi luar biasa.
Bermula dengan Memula Moon, Terang Bulan, lagu Rasa Sayang Eh, kebudayaan Bali, batik, sate, orang gaji dan entah apa lagi, ia terlalu mudah untuk membakar semangat khalayak membenci Malaysia dan warganya. Kedutaan Malaysia dibaling telur busuk dan Jalur Gemilang yang dikatakan meniru bendera Amerika Syarikat, dipijak sebelum dibakar.
Media juga terus berperanan untuk mendedahkan keburukan sebuah bangsa yang dikatakan gemar mencuri kebudayaan negara tetangganya. Wartawan juga tanpa silu meninggalkan etika kewartawanan untuk menulis mengenai sebuah negara bernama MALINGSIAL!
Sebuah portal berita menuduh kes penyeludupan dadah ke wilayahnya sebagai usaha terancang Malaysia yang sering melupakan persaudaraan serumpun. Tanpa sebarang penyelidikan, wartawan terus menghukum tanpa mengambil kira perasaan dan kemanusiaan.
Apa yang nyata, kerjaya wartawan seolah-olah memiliki lesen untuk menulis apa saja, walaupun di luar kebenaran dan kewarasan. Kenyataan dan keluhuran sesetengah pengamal media semakin terpinggir dek mainan perasaan yang tidak terkawal. Ternyata John Berthelsen dan Raphael Pura tidak bersendirian untuk terus berperanan sebagai insan media kurang hemah.- Berita Harian, 22 September 2009

Sunday, November 01, 2009

Saingan media baru corak pemikiran generasi muda

RAMAI antara kita tidak perlu memandu ke bank lagi untuk berurusan dengan institusi kewangan, memadai dengan perbankan online bagi memudahkan urusan pembayaran bil atau pemindahan akaun.
Bayangkan dunia ini tanpa internet seperti 20 tahun lampau, tentunya hidup kita amat berbeza dengan apa yang dialami kini. Internet memenuhi segala-galanya pada dunia moden ini - daripada penyebaran maklumat hingga kepada gosip, hiburan, tayangan video, kemudahan audio, hinggalah kepada propaganda dan dakyah.
Internet juga hampir menggantikan kad ucapan hari raya. Menjelang Aidilfitri ini, hanya enam juta kad raya dihantar secara pos, berbanding 12 juta kad raya diposkan pada 2000. Bayangkan separuh daripada pengirim kad raya sudah menggunakan e-emel, Facebook atau Twitter untuk merapatkan hubungan. Segala-galanya terlalu mudah, tidak perlu lagi ke pejabat pos untuk membeli setem dan memasukkan kad ke dalam peti pos.
Bayangkan, jika lima tahun lampau kita terpaksa ke Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk perakuan taksiran pendapatan atau memohon pengembalian semula lebihan cukai pendapatan, kini memadai dengan e-filing, segala-galanya diselesaikan melalui hujung jari.
Tetapi bayangkan juga kenapa Malaysia masih ketinggalan teknologi internet walaupun pada November ini, dunia sudah 40 tahun memiliki internet? Kita tidak sampai 20 tahun mengenalinya. Kita amat ketinggalan berbanding Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun. Malah, kita juga hampir dikalahkan oleh Indonesia dan Thailand yang semakin rancak teknologi maklumatnya.
Rakyat Malaysia mula mengecapi internet secara dail masuk pada awal 1990, sementara jalur lebar mula menjengah pada 2001. Selangor pula negeri yang paling banyak bilangan komputer bagi 1,000 penduduk dan bilangan langganan internet tertinggi (17 peratus daripada jumlah penduduk dan 26.7 peratus jumlah langganan negara.)
Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan perbezaan ketara penggunaan internet antara bandar dan luar bandar. Tahun lalu kadar penggunaan internet bagi penduduk bandar ialah 85.3 peratus, berbanding 14.7 peratus dimiliki penduduk desa.
Usaha menggiatkan internet di luar bandar perlu dipertingkatkan supaya kadar celik maklumat boleh disemarakkan.
Dari segi maklumat siasah pula, internet begitu berleluasa di negara kita selepas penahanan dan pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998. Internet dan blog begitu ketara memainkan peranan, hatta menjelang Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, media bentuk baru begitu berperanan menyebarkan maklumat politik -- adakalanya mengatasi media tradisional yang lazimnya berjaya mencorak pemikiran politik dan sokongan massa.
Pihak yang mengabaikan kepentingan media baru, pasti kecundang kerana teknologi maklumat tidak lagi memerlukan permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Memadai beberapa minit membuka akaun blog, seseorang sudah menjadi blogger dan boleh mencatat apa saja tanpa tapisan. Ada waktunya, blogger seolah-olah begitu berkuasa sekali dan mampu menghitam dan memutihkan seseorang.
Pengaruhnya amat meluas, terutama kepada generasi muda yang merupakan 70 peratus daripada jumlah pengundi hampir di semua kawasan pilihan raya. Perhatikan keputusan undi saluran dua dan tiga pada pilihan raya umum lalu. Rata-ratanya mereka adalah generasi internet yang menentukan keputusan pengundian secara keseluruhan.
Ada waktunya media bentuk baru dianggap lebih terkini dan bebas, walaupun takrif kebebasan itu sendiri masih boleh diragui. Ada juga yang merayakan kebebasan maklumat dan demokrasi dengan menggunakan kemudahan internet sebagai paksi perjuangan.
Jangan salahkan internet, jika kita dianggap kolot untuk menilai sesuatu maklumat. Salahkan diri sendiri, kerana kita seolah-olah berada pada tempoh 20 tahun lalu! - Berita Harian, 1 Oktober 2009

Saturday, October 31, 2009

Buku kita terlalu miskin

HAMPIR 52 tahun kita merdeka. Lebih setengah abad juga bangsa kita berjaya mentadbir negara mengikut keperluan dan acuan sendiri.
Selepas lima dekad, apakah bangsa kita boleh dianggap bijaksana minda dan saksama akal budi dalam mendepani kehidupan ini?
Apakah perlu kempen galakan membaca terus diadakan sedangkan industri buku negara sudah mencatat RM1.5 bilion setahun.
Persoalan ini agak menarik untuk diperhatikan, apatah lagi stesen TV tempatan kerap mengingatkan – Bangsa Membaca Bangsa Berjaya.
Mengikut kajian, bangsa Malaysia antara golongan yang kurang membaca. Mereka hanya menghabiskan beberapa helai muka surat setahun. Justeru, ke manakah sebahagian besar masa harian mereka digunakan?

Memang diakui aktiviti membaca bukan suatu budaya di kalangan masyarakat kita. Warga Malaysia, sebahagiannya lebih menumpukan kepada kerjaya dan pencapaian. Ada waktunya aktiviti pembacaan dianggap kurang perlu berbanding peluang dan ruang untuk mencapai status kehidupan lebih baik.
Pada Pesta Buku di The Mines Resort City baru-baru ini, bangsa Melayu antara golongan yang paling ramai memenuhi gerai jualan. Anehnya gerai jualan buku berbahasa Mandarin dan Inggeris mendominasi 70 peratus ruang pameran. Apakah ini mengaitkan betapa buku berbahasa Melayu masih rendah kuotanya, sama seperti komposisi kaum yang berjaya dalam Dasar Ekonomi Baru sejak diperkenalkan selepas insiden 13 Mei 1969?

Lebih malang lagi, kebanyakan gerai yang menjual buku Melayu, terutama agama banyak mempamerkan buku yang boleh dipertikaikan nawaitunya seperti misteri jin dan panduan berjimak cara Islam. Novel Melayu pula lebih dikatogerikan sebagai karya popular.

Apakah buku Melayu yang bermutu dan mencelikkan minda bangsa terlalu miskin pembacanya? Bagaimana pula dengan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak tersadai di stor Dawama di Hulu Klang?
Ada waktunya, peranan DBP sebagai penggerak sastera, bahasa dan penerbitan buku Melayu amat diharapkan. Dari segi penerbitan karya bermutu, DBP diakui antara penerbit paling berjaya di negara ini. Bagaimanapun apalah gunanya buku yang baik seandainya tidak sampai kepada sasarannya.
Ekoran keadaan inilah barangkali Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mengambil keputusan menubuhkan syarikat Wira Bukit untuk menerbitkan semula novel dan kumpulan puisi yang pernah diterbitkan DBP.

Seorang sarjana sastera dari Universiti Malaya mengeluh dalam catatan di blognya mengenai hasil tulisan yang tidak terjual sekian lama. Dia mempersoalkan sampai bila DBP menerbitkan buku tetapi tidak dijual?

Seorang penulis lain menerima surat dari DBP yang mengatakan bukunya yang diterbitkan pada 2006 tidak dibayar royalti tahun ini kerana tidak mencatat jualan yang memberangsangkan pada 2007 dan 2008. Anehnya buku tersebut tidak ada di kedai buku di bangunan DBP sendiri dan tidak juga dijual di pesta buku di The Mines Resort City. Jika buku tidak ada di kedai, bagaimana mahu dijual?
Tindakan drastik dan berkesan perlu dilakukan supaya buku yang baik akan sentiasa berada di pasaran, sementara minat membaca perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.

Mengikut statistik, negara menerbitkan 6,500 judul buku setahun membabitkan 200 penerbit. Angka ini terlalu kecil kalau dinisbahkan dengan jumlah penduduk ketika ini.
Angka yang kecil ini perlu diperbetulkan kerana sebuah negara yang 52 tahun merdeka, sepatutnya sudah mempunyai jati diri dan kekuatan membaca yang luar biasa. Bangsa yang kurang membaca bakal ketinggalan, sama seperti apa yang berlaku kepada bangsa Arab yang kebanyakannya terus jumud selepas kejatuhan tamadun Abasiah dan Osmaniah.
Jika China sudah berjaya menerbitkan 181,000 judul buku setahun dan Korea Selatan 42,000 judul buku, kita sepatutnya sudah berjaya menerbitkan 20,000 judul buku setahun. Angka ini sepatutnya boleh dicapai dibawah konsep 1Malaysia yang mengutamakan integriti dan kewibawaan bangsanya. - Berita Harian, 14 Ogos 2009

Bahasa Inggeris untuk dua ketul ayam, kentang goreng, Pepsi

PERLUKAH berbahasa Inggeris semata-mata untuk menempah bufet juadah berbuka puasa di hotel lima bintang? Perlukah juga bahasa penjajah untuk memesan dua ketul paha ayam, kentang goreng dan segelas Pepsi di restoran makanan segera?
Ketika menempah tiket penerbangan di kaunter syarikat pesawat nasional, kita diajukan pertanyaan dalam bahasa Inggeris. Dalam pesawat pula, pramugari menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, itu pun dengan loghat yang luar biasa. "Thuan-thuan dan phuan-phuan, sila phakaai thali phinggan keleddar...!"

Apakah ini citra wajah Malaysia yang diperjuangkan oleh sebuah bangsa yang sudah setengah abad merdeka? Apakah Malaysia seperti negara membangun di Afrika, Amerika Latin dan Asia yang masih dihinggap sindrom rendah diri dan meyakini bahasa peribumi tidak bernilai, kolot dan memalukan?

Apakah kita yakin bahawa kualiti bahasa Melayu masih rendah, tidak pernah meningkat dan sering dipertikaikan? Persoalan ini amat wajar dilontarkan ketika negara menyambut kemerdekaan ke-52 tahun, martabat bahasa Melayu (sekarang sengaja ditukar bahasa Malaysia) masih dipertikai nilai ekonomi dan sosialnya.

Status bahasa Melayu amat terpinggir di negaranya sendiri. Walaupun setengah abad penjajah meninggalkan negara ini, bahasa Melayu masih dianggap pinggiran. Yang banyak memperkatakan bahasa Melayu hanya kalangan ilmuwan, sasterawan dan ahli bahasa. Golongan politik, ahli korporat, pentadbir dan pejuang hak asasi manusia lebih banyak berselindung di sebalik agenda masing-masing.

Jika memandu di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, papan iklan dan paparan skrin elektronik begitu ketara mengutamakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu, kalau adapun sekadar ada-ada saja. Bahasa Inggeris sentiasa mengambil tempat sebagai bahasa utama dunia.

Jika kita mahu Malaysia seiring di pentas global, kehadiran bahasa Inggeris tidak boleh dielakkan. Ia memberi nilai tambah dan mengisi keperluan dalam apa bidang sekali pun. Usaha memperkasakan bahasa Melayu bukan bermakna mempertikaikan kepentingan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris amat perlu sebagai wadah pengucapan sejagat yang perlu dipelajari dan disebarluaskan. Bahasa Inggeris kaya dengan sejarah dan nilai ekonominya yang tersendiri. Tidak wajar mempertikaikan kehadiran bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama di skrin komputer dan pusat teknologi dunia.

Bagaimanapun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan milik asal Tanah Melayu perlu didaulatkan. Merendahkan kedaulatan bahasa peribumi hanya mencalar nilai sejarah yang wujud ribuan tahun di Nusantara.

Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu di Asia Pasifik hingga ke Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.

Memartabatkan bahasa Melayu ada kaitan dengan jati diri dan sistem sosial. Justeru, usaha mendaulatkan bahasa sendiri sepatutnya bukan halangan di Malaysia. Dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya tidak berlaku. Tidak ada mana-mana negara yang beradat dan beradab tergamak meminggirkan bahasa sendiri untuk dua subjek penting itu.

Kini tarikh sebenar pemansuhan PPSMI masih misteri. Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sudah memberi amaran akan wujud penghinaan berterusan terhadap bahasa ibunda apabila 2017 dijadikan tarikh terbaru penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya untuk subjek Sains dan Matematik. Kenyataan terbaru Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berhubung pemansuhan dasar itu akan terus menggusarkan banyak pihak.

Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar sejak 2003.

 Jika masalah dan halangan sudah begitu ketara, amat nyata PPSMI tidak perlu wujud dan wajar dijadikan sejarah hitam sistem pendidikan negara. Kita tidak perlu menunggu tarikh yang lama untuk terus melihat kegagalan demi kegagalan dalam dua subjek penting itu. Jika sebelum ini hanya enam bulan digunakan untuk menukar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kenapa tidak enam bulan pula digunakan untuk memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai pengantar penting di sekolah?
Membicarakan isu bahasa dan kemerdekaan ada waktunya melelahkan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri pernah mencatatkan kelantangan era Tan Sri Syed Nasir Ismail yang begitu tegas menentang usaha meleburkan bahasa Melayu.

Syed Nasir bukan sekadar menjerit, bahkan menggunakan segala upaya yang ada untuk memperkasakan bahasa Melayu ketika isu Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) hebat diperkatakan. Malangnya DBP kini bagai hilang taring untuk bersuara isu bahasa. Kecuali seorang dua yang lantang, kita mengharapkan majalah terbitan DBP turut menyatakan pendirian isu PPSMI. Mereka perlu belajar bagaimana insan seperti Syed Nasir sanggup melupakan kedudukan demi bahasanya.

Hari ini, ketika merayakan kemerdekaan pada Ramadan, amat wajar kita merenung penutup ucapan Allahyarham Tan Sri Asri Muda, tokoh Pas yang juga ketua pembangkang di Parlimen ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Rakyat pada Mac 1967 di depan Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abd Rahman:


"Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya  berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik  Umno... yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak" (KERANDA 152: Halaman 20) - Berita Harian, 7 September 2009

Masyarakat penyayang tidak sanggup pemindahan organ

MEREKA berwajah tanpa masa depan. Ada yang sugul, suram dan sedih. Ada yang longlai, bertongkat, berkerusi roda dan dipapah ke Dewan Kuliah 2, Bangunan Akademik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman atau mendengar 'harapan' mengenai pemindahan buah pinggang.

Cuaca redup pagi 24 Oktober lalu tidak menghalang kelancaran Seminar Pemindahan Buah Pinggang anjuran Unit Nephrolgy PPUKM. Pelbagai topik dibincangkan mengenai perlunya pemindahan buah pinggang kerana sehingga kini penyakit tersebut tidak dapat dirawat.

Walaupun kaedah hemodialisis dan dialisis peritoneum (CAPD) digunakan untuk merawat pesakit, namun ia hanya langkah sementara kerana akhirnya pesakit tetap memerlukan buah pinggang sebagai pengganti organ badan yang sudah rosak.

Beberapa pakar buah pinggang termasuk Dr Rashidi Saidin, Dr Loo Chee Yean, Dr Che Roslee Draman dan Arumuga Kumar Rajendram menghuraikan proses pemindahan dan kepentingan kaedah 'melanjutkan' usia pesakit.

Bagaimanapun isu pendermaan organ di Malaysia bukan topik baru. Ia sudah begitu lama diuar-uarkan namun tidak ada reaksi positif; tidak ramai yang sanggup menderma buah pinggang kerana pelbagai alasan yang masih misteri.

Justeru, tidak menghairankan apabila Ketua Unit Nephrologi dan Transplant PPUKM, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor bagai mengeluh kerana di Malaysia terlalu ramai yang 'kasihan' tetapi tidak berbuat apa-apa.

"Apabila melihat pesakit buah pinggang, ramai yang menuturkan kasihan. Jika ada yang sanggup derma buah pinggang, mereka juga kasihan dan menasihatkan jangan derma buah pinggang untuk elak kematian penderma. Akhirnya pemindahan buah pinggang tetap berkurangan di Malaysia," cetusnya sinis.

Isu kasihan dan masyarakat penyayang ada kaitan. Di mana-mana saja ungkapan penyayang sudah menjadi klise yang luar biasa kerana kejahilan masyarakat sendiri untuk bersikap lepas tangan. Akhirnya pesakit terus menjadi mangsa kerana sikap segelintir ahli masyarakat yang retorik dengan ungkapan kasihan dan penyayang.

Lebih malang lagi, bangsa Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India. Mengikut statistik yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur pada 2005, sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (8 peratus) dan kaum lain tiga peratus. Pada 2005 juga hanya 10 yang tampil menderma organ.

Malaysia di antara negara yang 'aktif' penyakit buah pinggang. Kajian mendapati lebih 500 juta penduduk dunia atau satu daripada 10 individu dewasa disahkan mengalami masalah buah pinggang.

Setiap tahun, jutaan manusia mati sebelum waktunya kerana serangan jantung atau strok akibat komplikasi penyakit buah pinggang. Ia juga boleh mempengaruhi kehidupan 10 peratus populasi dewasa.

Pada 2007, 15,000 pesakit menjalani dialisis dan setiap tahun 2,500 kes baru dicatatkan. Ia mencatatkan peningkatan 15 peratus setiap tahun.

Berdasarkan Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang 2003, kadar pesakit wanita yang menjalani dialisis meningkat daripada dua kes bagi setiap sejuta penduduk (1980) kepada 90 kes untuk jumlah penduduk sama pada 2003.

Manakala Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Malaysia 2004 mencatatkan seramai 2,500 daripada 100,000 pesakit yang mendapatkan rawatan buah pinggang mengalami kerosakan buah pinggang peringkat akhir. Pada 2004, sebanyak 2,538 kes baru yang memerlukan dialisis berbanding hanya 43 pesakit pada 1980.

Statistik tidak pernah berbohong. Angka yang dipapar menjelaskan betapa penyakit buah pinggang tidak boleh dipandang ringan. Bagi mereka yang menderita, hanya harapan ditagihkan kepada orang ramai untuk tampil menderma organ.

Bagi mereka yang mahu berfikir dan turut merasai penderitaan orang lain, inilah masanya untuk membuktikan perasaan kasihan dengan tampil menjadi penderma organ. Ikrar perbuatan yang baik tidak sesia, kerana setiap perbuatan baik sudah pasti ada ganjarannya.

Rakyat Malaysia keturunan Melayu sepatutnya mencontohi rakan mereka di Singapura yang ramai berikrar menderma organ. Mungkin juga kerana negara jiran itu memperkenalkan Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) yang memasukkan warga Muslim secara automatik sebagai penderma organ.

Jika keadaan memaksa, Malaysia juga wajar memaksa masyarakat penyayang untuk derma organ kerana tindakan tersebut membantu insan yang sedang menderita.- Berita Harian, 3 November 2009

Friday, October 30, 2009

Dari Kampung Batu Lapan ke bilik berita Jalan Riong

SURAT DARI DESA

anak kecil itu
berlari di batas bendang
memburu keciap
menuba haruan
ia tidak pernah mengeluh
pada matahari yang tua di balik bukit
atau menjadi silu
pada hujan dan awan
tak pernah juga ia berduka
meski ayahnya petani kecil
yang setiap lima tahun dipaksa
memilih wakil
mewakili desanya

ia masih leka di batas bendang
antara sempilai dan haruan
kerana ia tidak terfikir
untuk bertanya
apakah nasib anak tani
dulu, kini dan selamanya
tetap sama
dan esoknya

ketika ia menjadi remaja
ia masih berdiri di pinggir sawah
mengintai perubahan musim
ketika lima tahun silih berganti
ia masih leka di batas bendang
kerana kehidupan
memaksa berada di dalam lingkaran sendiri

SAJAK di atas antara karya awal saya pada akhir 1979, pernah beberapa kali dihantar kepada media cetak tetapi tidak tersiar. Sajak ini juga, termasuk beberapa sajak saya yang lain, sentiasa mengalami perubahan dan penambahbaikan; diperbetulkan dari semasa ke semasa, dilarikkan rima dan ritmanya, hingga kadangkala sesebuah sajak, akan menerbitkan sajak baru. Sebagai sajak baru, ia tetap mempunyai nafas yang lama kerana karya lama hanya ditukar pada warna dan corak baru saja. Sebagai penulis kecil dalam peta persajakan Malaysia, saya bukan yang terbaik dan tidak mempunyai ketabahan yang tinggi dalam penulisan. Namun saya ada pengalaman kreatif yang sesekali sulit untuk diceritakan. Barangkali takdir yang menyebabkan bagaimana 'anak desa' tetap berbisik:

ia masih leka di batas bendang
kerana kehidupan
memaksa berada di dalam lingkaran sendiri

Saya dilahirkan pada 13 Februari 1960 di sebuah kampung tidak jauh dari Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan. Kampung saya tidak mempunyai nama khusus, lalu disebut Kampung Batu Lapan saja, kerana kedudukannya lapan batu dari bandar Kota Bharu. Pengalaman kecil amat memeritkan, namun keperitan itulah yang akhirnya membentuk nama IMLAN ADABI seperti yang ada kini. Meskipun lahir dalam keadaan normal, namun malang menimpa dua tahun kemudian -- 1962 -- apabila saya diserang demam panas dan akhirnya mendapat sakit polio, walaupun pernah diberikan suntikan vaksin pelalian ketika dilahirkan. Penderitaan ini juga yang banyak menjerut nulari saya hingga tanpa disedari memberi kesan terhadap kehidupan masa depannya:

TRAUMA
(20 tahun menghidap polio)
mentari berlalu sayu di ufuk awan
camar melayah angin pulang ke sarang
senja semakin tua, malam kian akrab
malam menurunkan kelam ke dadaku
embun menggerimis merata di halaman
ketukan angin terlalu bising di luar jendela
jalan-jalan yang sunyi berdebu di hatiku
kamarku telah gelap pengap
mataku masih entah di mana
fail rawatanku semarak kembali

Sejak kecil saya sudah didera dengan kesakitan demi kesakitan. Seratus hari resah di perbaringan. Seratus hari hidup saya di dalam wad satu, Hospital Besar Kota Bharu dalam keadaan yang nazak; saya terbaring lesu, minuman disuapkan melalui wayar yang disambung ke lubang hidung. Tangisan tidak kedengaran lagi justeru kesakitan sudah menjadi kelaziman untuk tubuh kecil yang baru berusia dua tahun. Ah, Tuhan, terlalu pedih azab ini dan terlalu berat bebanan ini untuk ditanggung oleh seorang anak kecil baru berusia dua tahun. Ah, Tuhan, inilah azabnya yang Kau limpahkan dengan rahmat yang tersembunyi. Kaki dan tanganku penuh dengan kesan suntikan dan di hujung katil, fail rawatan semakin tebal kerana setiap jam dan detik, dicatat oleh doktor dan jururawat. Ah, masa terlalu menguji anak kecil itu! Saya hanya baring dan baring, tidak mampu bangkit. Badan seperti kain buruk dan terpaksa dipakai lampin sepanjang masa. Ibu tidak banyak berkata-kata ketika itu. Datuk dan nenek tiriku juga saling berpandang sesama sendiri. Apabila genap hari ke seratus, doktor yang merawatku mengakui tidak mampu berbuat apa-apa lagi dan berharap dilakukan ikhtiar lain agar anak kecil yang terlalu kerdil itu boleh bangkit dan berjalan seperti kanak-kanak lain. Berkat doa kepada Allah, pada beberapa detik kemudian, kaki kiri saya boleh bergerak, kepala dan tangan boleh diangkat dan mata dapat menjeling ke kiri dan kanan. Mulut pula dapat menahan lelehan air liur daripada menitis ke dada dan perut. Syukur kepada Allah, berkat izinnya-Nya, saya semakin pulih, kecuali kaki kanan tetap lumpuh sampai kini!

Zaman kecil terus menduga dan mencabar. Ketika kanak-kanak lain beriringan dan berlari di pinggir sawah menuju ke sekolah setiap pagi, saya hanya mampu memandang dengan sayu. Saya tidak mampu ke sekolah. Badan ini terlalu lemah, tidak bermaya mengangkat kaki dan menyandang beg sekolah. Setiap kali bertanya kepada ibu dan datuk mengenai persekolahanku, mereka hanya saling berpandangan. Tiada jawapan melainkan turut menahan nafas yang makin sebak di dada masing-masing.

Daripada kawan-kawan, saya leka mendengar cerita bagaimana keadaan di sekolah, bagaimana suasana di bilik darjah, betapa bengisnya guru disiplin yang asyik memeriksa kuku jari murid-murid yang agak panjang dan kotor, atau ada yang tergelak bercerita tentang seorang guru bahasa Inggeris yang mengajar menggunakan loghat Kelantan. Semuanya hanya daripada kawan-kawan. Hanya kawan-kawan yang bercerita dan berkongsi pengalaman dengan saya meskipun mereka mengatahui, diri ini terlalu sulit untuk ke sekolah dan mungkin selama-lamanya akan kekal di beranda rumah! Pengalaman perit ini akhirnya membentuk jiwa berontak di hati ini. Saya hanya mampu bertongkat secara agak goyah dan sering mendapat demam hampir setiap minggu. Ketahanan badan ini untuk melawan penyakit terlalu lemah, justeru, tidak mampu belajar di sekolah rendah. Ibu mengerti akan nasib anak bongsu daripada dua beradik ini, lalu mengambil masa senggangnya, untuk mengajar membaca dan menulis dengan mahir. Datuk pula, yang kebetulan mempunyai sedikit kemampuan, mengupah seorang remaja kampung bernama Mahasan Zakaria untuk mengajar bahasa Inggeris dan Matematik di rumah kami setiap Jumaat dan Sabtu. Mahasan ketika itu (1970) sedang menanti keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia, sebelum melanjutkan pengajian peringkat sarjana di United Kingdom, dan sekembalinya ke Malaysia tiga tahun kemudian, mengajar dan akhirnya menjadi Pengarah di Politeknik Kelantan. Hanya mengambil masa beberapa minggu saja, saya sudah mahir untuk menguasai bahasa Inggeris, boleh mengira dan menulis dengan baik. Namun, dugaan tidak berhenti setakat itu. Saya dihalang ke sekolah oleh Jabatan Pelajaran Kelantan dengan alasan umur sudah melepasi tujuh tahun. Beberapa pegawainya pula agak ragu apakah saya mampu berada di sekolah seperti murid-murid lain atau boleh membebankan guru dan rakan-rakan di sekolah?

Keadaan ini amat meresahkan saya. Ketika itu umur sudah 10 tahun dan fizikal semakin baik, namun dianggap sudah terlewat untuk ke sekolah pada tahun 1970. Jabatan Pelajaran tidak membenarkan budak berusia 10 tahun belajar di darjah satu kerana usianya 'terlalu tua'. Saya menangis mendengar kenyataan Pegawai Pelajaran Kelantan yang menghalang hasrat saya berada di bangku sekolah. Keluarga kami membuat rayuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, namun usaha ini sekadar mendapat penjelasan 'dalam perhatian'. Keadaan ini menyebabkan datuk saya melenting lalu menghubungi Encik Khir Johari yang ketika itu Menteri Pelajaran. Hanya dua hari kemudian, ketika saya belum bangkit tidur jam lapan pagi, pintu rumah saya di Kampung Batu Lapan diketuk dua lelaki. Mereka adalah pegawai dari Jabatan Pelajaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk 'memeriksa' kemampuan saya sama ada boleh bersekolah atau tidak. Tindakan datuk saya yang ketika itu amat rapat dengan Menteri Pertahanan, Tengku Datuk Ahmad Rithaudeen Ismail menghungi Khir Johari sudah berjaya. Kedua-dua pegawai tersebut menghulurkan kertas dan menyuruh saya menulis nama dan apakah mahu sekolah. Soalan yang sesuai untuk kanak-kanak tadika itu terpaksa dijawab dengan tenang, ketika hati semakin memberontak dan benci kepada golongan yang kurang perihatin dan agak jauh untuk bertindak secara manusiawi.

Pada tahun 1971 ketiba berusia 11 tahun, saya berpeluang ke bangku sekolah untuk belajar di darjah lima tanpa menduduki kelas satu hingga empat. Keadaan ini amat menyeronokkan saya kerana berpeluang belajar dan berkawan dengan rakan-rakan lain. Saya gembira kerana dapat menimba kehidupan daripada masyarakat kanak-kanak secara total, tanpa lagi terperap di rumah hingga meresahkan jiwa ini.

Ketika memasuki tingkatan satu di Sekolah Menengah Kadok pada 1973, yang jaraknya dua batu dari Kampung Batu Lapan, saya menjadi murid Arifin Nur yang mengajar subjek Sastera dan Bahasa Melayu (kini 'dipaksa' sebut Bahasa Malaysia). Arifin Nur ketika itu terkenal sebagai pengarah drama pentas terkenal di Kelantan dan dia mengajar kami mengenal novel Musafir yang diangap antara karya terbaik itu. Kesempatan ini mendorong saya mentelaah karya seni secara berhemah dan menjadi ketagih untuk membaca karya-karya penulis terkenal seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Der Wich, Hartini, Ranjau Sepanjang Jalan dan Salina. Ketika belajar di Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) Kota Bharu pada 1976, saya sekali lagi bertuah kerana pengarang agama terkenal ketika itu, Abdullah Al-Qari mengajar subjek Agama. Kesempatan ini mendorong saya mentelaah karya-karya beliau secara senyap, seperti juga ketika membaca naskhah drama Arifin Nur sebelum ini. Pengalaman daripada dua guru yang kebetulan mempunyai bakat besar dalam penulisan mendorong saya untuk lebih meneliti dan menilai karya kreatif dan diskriptif secara lebih waras. Tidak lama kemudian, pada 1977, saya mula mengenali Uthman El-Muhammady dan Abdul Aziz HM yang kebetulan baru beberapa tahun pulang selepas menuntut ilmu dari Bengkel Teater Rendra di Jakarta. Uthman El-Muhammady terkenal dengan kekuatan minda dan agamanya hingga mendorong saya lebih berkomunikasi dengannya dan dia sehingga kini masih mengenali dan menghormati saya yang pernah menjadi muridnya 30 tahun lampau. Sementara Abdul Aziz HM yang ketika itu menubuhkan Grup Teater Malini yang terkenal dengan teater mini kata semakin akrab dengan saya. Teater Malini ketika itu disertai oleh ramai penulis muda Kelantan termasuk Moechtar Awang, Kamil Muhammad dan Ladin Nuawi. Moechtar Awang berjaya mencipta nama besar dalam dunia persajakan Malaysia apabila dua kumpulan puisinya Pasrah dan Qaf menduduki tempat kedua Anugerah Puisi Putra selain memenangi Hadiah Sastera Malaysia. Kamil Muhammad pula mula mendapat tempat di media dan pernah menjadi 'lawan' saya dalam beberapa pertandingan bahas di sekolah. Kamil Muhammad menang Hadiah Sastera Malaysia, tetapi malangnya kemenangan Kamil Muhammad, juga Moechtar Awang menyebabkan karya mereka tidak lagi kelihatan sehingga kini. Ladin Nuawi pula yang lebih terkenal dengan gaya tersendiri ketika membaca puisi adalah sahabat yang banyak mendedahkan saya kepada tokoh sastera tanah air. Ladin memperkenalkan saya kepada Sasterawan Negara A Samad Said pada 1985, yang tanpa diduga ketika saya mengakhiri zaman bujang pada 1992, A Samad Said menjadi saksi saya pada majlis akad nikah di Masjid Saidina Osman di Bandar Tun Razak. Ladin juga menjadi teman akrab apabila saya mula bertugas di Kumpulan Karangkraf pada 2 Jun 1986. Ladin memperkenalkan saya dengan beberapa penulis seperti Mohamad Daud Mohamad, Suhaimi Haji Muhamad, Ahmad Razali Yusuf, A Ghani Abdullah, A Rahim Abdullah, Wan Yusuf Hassan dan Marzuki Ali. Ladin juga yang mengajar saya menaiki bas nombor 244 Sri Jaya dari rumah sewa saya di Taman Tun Dr Ismail ke Perhentian Bas Kelang, Kuala Lumpur setiap minggu. Pergaulan dan pengalaman kehidupan menjadikan dunia kreatif saya semakin subur hingga banyak melahirkan karya yang lebih sinikal tentang kehidupan.

Ketika bertugas di Kumpulan Krangkraf juga, saya mula mengenal hati budi Sri Diah dan Sharifah Abu Salem yang banyak melahirkan 'novel popular'. Saya juga mengenal Dr Abdullah Tahir, seorang penulis yang rupa-rupanya pernah mengajar bersama bapa saya di Kelantan pada dekad 70-an. Abdullah seorang yang tidak lokek dengan ilmu dan sikap selambanya memudahkan kami akrab dan banyak menyimpan rahsia bersama. Setiap kali terlepas cakap, Abdullah akan berpesan kepada saya supaya tidak mendedahkan rahsia peribadi kepada isterinya ketika saya tidur di rumahnya hampir setiap malam minggu. Dia bimbang kerana isterinya amat akrab dengan emak saudara saya, Rokiah Zakaria yang juga isteri kepada Dr Alias Muhammad, seorang penulis politik dan ilmiah. Dr Alias Muhammad adalah kawan Abdullah ketika di Kelantan dan pernah mengajar di Universiti Malaya. Dr Alias kini pemilik Mahligai Property di samping menjadi Presiden Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian sejak tiga tahun lalu. Sebagai ahli akadamik dan sasterawan, Abdullah juga banyak mengkritik karya saya terutama puisi yang dianggapnya agak romantik dan melankolis serta masih terpengaruh dengan kebanyakan karya tempatan yang lain. Abdullah ketika itu sudah banyak mengkaji tentang realis magis yang menjadi anutan sasterawan Latin dan Afrika. Beberapa buku karya Marques, Kafka dan pemenang Hadiah Nobel yang dimilikinya diberi pinjam kepada saya. Sikap murni banyak membantu proses kreatif saya sehingga berjaya memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1988. Melalui Abdullah juga saya mula mengenali Nawawee Mohammad yang ketika itu aktif menggerakkan Perkumpulan Penyajak Mutakhir (Penyair). Nawawee seorang yang kreatif dan sinikal serta tekun menukang karyanya. Beliau juga seorang aktivis yang baik hingga membawa ahli Penyair bertandang ke rumah tokoh sastera tanah air seperti Keris Mas, Usman Awang dan Mohd Affandi Hassan untuk bertukar pengalaman seni. Kunjungan tersebut bukan sekadar makan-makan tetapi mendekatkan kami tentang ilmu dan proses kreatif sasterawan terbilang tanah air. Saya masih ingat Keris Mas bersuara mengenai karya seni dan bagaimana genre puisi dan cerpen bersuara untuk mencerdikkan minda masyakatnya. Penulis yang melahirkan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur itu juga bercerita zaman lampaunya yang idealis. Usman Awang pula lebih banyak meningkah mengenai seni yang harus menggerakkan kehidupan awam. Bagi Usman, seni tidak bererti jika sekadar terjebak dalam situasi sepi dan sunyi. Mohd Affandi Hassan pula tidak seperti yang saya kenal melalui tulisannya yang keras dan tegas, rupa-rupanya mempunyai sikap peneliti yang baik dan menghormati ahli Penyair yang bertandang ke rumahnya. Mohd Affandi Hassan bagi saya seorang yang praktikal dan mahu sastera Malaysia berdepan dengan realiti global yang sebenar. Penyair juga kerap melakukan pertemuan 'bedah karya' setiap bulan di Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa. Saya kerap juga menghadiri majlis tersebut dan kesannya amat baik sebagai pemangkin proses kreatif penulis baru seperti saya ketika itu. Lain-lain penulis muda yang turut hadir ialah Abdullah Shuib, Ahmad Fadzlillah Muhamad, Aminah Mokhtar, Arwai AR, Asimo S, Awang Abdullah, Chulan Chin, Gunawan Mahmood, Jamilah Alias, Jahara Alias, Lee Cheong Beng, Mohd Azlan Sulong, Mahad A Bakar, Mohamad Daud Mohamad, Mohd Nasruddin Dasuki, Naapie Mat, Nur Dzahirdi, Ong Boon Teck, Othman Hashim, Pena Mutiara, Ruslan Madon, Roslan Mamat, Ujid Darmawan, Wanrazuhar, Zahari Hasib dan ramai lagi. (Lihat tulisan Nawawee Mohammad dalam Dewan Sastera, Disember 2006). Pertemuan ke arah 'bedah karya' itu semakin berjaya apabila ramai di kalangan kami berjaya menempatkan karya ke Dewan Sastera dan media ternama yang lain. Namun malangnya, suatu hari ketika saya tiba di pejabat, tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail menjerkah saya; "Semalam kau ke mana?". Saya dengan jujur berkata: 'Bedah karya' di Tasik Perdana. Pengarang Tembok Tidak Tinggi itu tergelak dan dengan wajah sinis menempelak: "Bedah karya atau bedah kain perempuan?". Kami tergelak dan saya amat mengenali A Samad Ismail yang selama setahun mengajar saya dalam bidang kewartawanan.

Ketika era 'bedah karya' di bawah pohon di pinggir tasik itu juga mencambahkan idea awal untuk melakukan gerakan yang lebih besar. Jika pada dekad 50-an, ada Asas 50 yang menggerakan karya penulis muda Malaysia dan Singapura, dirasakan pada dekad 80-an, satu usaha untuk memurnikan kegiatan penulis muda yang agak tidak teratur ketika itu.. Perbincangan demi perbincangan diadakan sesama aktivis muda.

Suatu hari deringan telefon di meja pejabat saya bertalu-talu. Sebaik mengangkatnya, terdengar suatu suara: "Imlan, petang nanti gua mahu lu datang CM (Central Market). Lu jangan tak datang, nanti gua sembelih lu...!

Pyanhabib sedikit tegas bersuara. Ketika saya ke Central Market petang itu, kenalan di kalangan penulis muda sudah jenuh di sebuah restoran mamak di tingkat satu. Antara mereka termasuk Hanafiah Samad, Rahimi Haron, Mohamad Daud Mohamad, Ladin Nuawi dan ramai lagi. Pyanhabib mengangkat tangan ke arah saya dan menepuk bahuku berkali-kali. Pertemuan demi pertemuan diadakan seterusnya membabitkan bilangan penulis muda yang semakin ramai. Kami juga kerap berkumpul di Rumah Anak Alam di Padang Merbok Kuala Lumpur, untuk merumuskan usaha menjayakan Perhimpunan Penulis Muda Malaysia 1987. Meskipun kemampuan kami terbatas, namun usaha mengadakan majlis tersebut berjaya diadakan berkat sokongan moral beberapa pihak termasuk Sasterawan Negara A Samad Said yang banyak bertanya khabar dan berhujah dengan kami. Perhimpunan Penulis Muda Malaysia 1987 juga membuka jalan untuk menggerakkan majlis pertemuan sastera yang lain hingga menyebabkan kami bersatu untuk membentuk barisan pelapis sastera tanah air.

Saya ketika itu juga mula diundang untuk baca puisi dan mengadakan ceramah sastera di seluruh tanah air. Boleh dikatakan setiap minggu jadual hidup saya padat dengan acara seni dan terpaksa membagikan masa dengan penuh hemat, agar tidak membebankan tugas sebagai editor sastera di akhbar Watan ketika itu. Ketika di Watan juga saya mula mengesan beberapa nama muda yang mempunyai potensi untuk berkembang seperti Hamizun Shah, Zainal Rashid Ahmad, Nasurry Ibrahim dan ramai lagi. Saya melihat potensi mereka dan selalu teringat pesan A Samad Said bahawa petugas media harus bijak mengesan bakat yang sedang menjadi. Saya juga secara berani mula merombak bentuk cerpen yang bakal disiarkan dengan mengutamakan karya-karya surealis dan realis magis. Saya banyak memberi ruang kepada cerpen Abdul Aziz HM, Marsli NO, Daeng Ramliakil dan Zainal Rashid Ahmad yang mempunyai kekuatan dalaman. Bagaimanapun suatu hari, A Samad Ismail yang datang ke pejabat saya, dengan tersenyum menegur; "Cerpen bentuk apa yang kau siarkan.Aku tak faham. Aku yakin orang kampung juga tak faham!" Saya memekakkan telinga dan terus berdegil menyiarkan cerpen-cerpen sedemikian yang saya yakin mempunyai estetika seni yang boleh dipertanggungjawabkan.

Bagaimanapun hayat saya di Kumpulan Karangkraf semakin goyah apabila Watan dijual kepada pihak lain yang mempunyai 'alasan' untuk membetulkan perjalanan media. Watan sejak zaman Subky Latiff lagi terkenal dengan laporan yang tidak disenangi pemerintah, justeru, sekumpulan 'pemodal', bagai mendesak, untuk membetulkan Watan ke landasan yang tepat. Apabila tiada lagi Watan, pada 1994, saya beralih ke Jalan Riong, untuk menjadi wartawan Berita Harian sehingga kini. Sebagai media perdana yang lebih mengutamakan isu nasional dan global, skop pemikiran saya juga semakin berubah. Saya banyak mengkaji dan menghayati setiap kejadian dan menafsirkannya sesuai dengan keupayaan peribadi. Peristiwa Perang Teluk pada awal dekad 90-an menjadi pemangkin perubahan politik dunia yang kian mendesak. Tahun 1990 juga menyaksikan Kelantan kembali dirampas kekuasaan politiknya oleh Pas melalui pakatan Angkatan Perpaduan Ummah yang dinaungi Pas dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Perubahan suasana dalam dan luar negara banyak memberi ilham serta kekuatan minda untuk saya melihat kehidupan jagat yang semakin tercabar dan dicabar. Ketika Amerika Syarikat semakin timbul sebagai kuasa tunggal global, runtuhnya Tembok Berlin menandakan bukan sekadar berakhirnya Perang Dingin dan goyahnya pakatan Warsaw yang diketuai Soviet Union, tetapi juga menelajangi sikap bobrok manusia sejagat. Gorbachev yang menggantikan Leonid Breznev di Moscow bukannya menambahkan kekuatan Blok Timur, sebaliknya menjadi budak suruhan Amerika Syarikat. Keadaan lebih tenat apabila Boris Yeltsin berkuasa di Kremlin yang semakin melemahkan perimbangan kuasa politik dunia hingga banyak negara komunis di Eropah seperti Jerman Timur, Poland, Yugoslavia, Checoslavakia dan Romania bergolak. Rakyat semakin celik dan menuntut kebebasan dan hak asasi manusia. Soviet Union pula semakin lemah hingga banyak wilayahnya pecah. Dunia terus dikuasai oleh Amerika Syarikat. Saya luahkan hal ini dalam sebuah puisi:

SAHABATKU AMERIKA
...sahabatku amerika
antara mimpi ngeri george w bush
dan igau tony blair
siapakah peniup serunai perang paling nyaring
jika kebenaran sekadar senjata propaganda
cnn, cnbs, bloomber, bbc, afp, ap dan reuters
tanpa kau sedar wtc ranap sekelip mata
dan resah pentagon pagi 11 september 2001
hanya sekadar perasmian perseteruan sejagat
yang tidak bisa dimaafkan lagi...

Sebagai petugas media, saya banyak menafsir setiap kejadian dari sudut nurani. Saya melihat perbezaan ketara antara tugas wartawan dan sasterawan. Yang satu melaporkan setiap kejadian seada-adanya, yang satu lagi melihat dari sudut sisi yang songsang. Kedua-duanya menggunakan medium tulisan namun bentuknya berbeza. Insiden 1987 dalam politik nasional kita amat berkesan di hati ini. Ketika Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Datuk Seri (kiri Tun) Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden Umno, yang terserlah adalah kerakusan insan politik untuk mempertaruhkan ego dan gengsi masing-masing. Kedua-duanya ayam laga paling berani dalam sejarah politik nasional dan mempunyai reputasi kuat di kalangan bangsa Melayu. Siapa pun yang menang, tentunya tidak mampu menewaskan sepenuhnya pihak yang kalah. Perseteruan dua insan akhirnya menjadi wabak hingga meleret ke ceruk desa dan ke kamar mahkamah. Akhirnya Umno (asal) yang ditubuh pada 1946 diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Isu ini menarik minat saya:

TRAGEDI
(kematian umno 1946)
"maaf, maafku telah tumbuh untukmu
jendela yang kubuka kututup kembali
kembang yang kususun kuramas pula
kartu pos yang kutulis kucakar kini
karcisku untukmu
menjadi debu menggaring angin"

"maaf, aku bukannya pendeta
yang jatuh di lutut sejarah
tikar yang kau hampar telah kugulung
kemenyan yang kau bakar telah kuhembus
cerana yang kau susun telah kuselerak
santapan yang kau hidang telah ku tinggal"

"maaf,
akulah lelaki itu
semakin kenal erti perseteruan"
kuala lumpur, 1998

Pada masa sama juga keadaan politik tanah air semakin hangat. Kaum tertentu sudah berani mencabar ketuanan Melayu secara terbuka. Sebuah komponen Barisan Nasional secara angkuh mempersoalkan hak ketuanan Melayu di samping menuntut kaumnya juga diberi status Bumiputera. Keadaan ini menyebabkan suasana dalam negaara agak pada pada akhir 1987 hingga mendorong kerajaan mengadakan Operasi Lalang dengan alasan untuk 'menyelamatkan' iklim negara.

SKETSA DIKTATOR
menggenggam tenang di dasar malam
melepas ribut meniduri bintang
kata-kata menjadi kaca
menusuk jiwa
melukakan segalanya
tiap yang putih menjadi hitam
tiap yang hitam menjadi akrab
tiap yang akrab menjadi nanah
membunuh peradaban
barangkali tak perlu bertanya
tentang esok yang belum pasti
ini malam hangatnya lidahmu
menjilat api
dan kau makin leka
di persada kuasa
kota bharu-kuala lumpur

Sebagai petugas di bilik berita, saya banyak berdepan dengan pengalaman kehidupan yang sulit untuk dicatat. Pernah beberapa isu sensitif menjadi mainan yang tidak enak. Pernah juga beberapa wartawan dipanggil ke kantor tertentu untuk disoal siasat. Apa yang dicatatkan oleh A Samad Said dalam novel Hujan Pagi banyak persamaan dengan realiti dunia persuratkhabaran masa kini. Kebetulan pula Samad juga pernah menjadi warga Jalan Riong, seperti saya kini.

MAINAN DEMOKRASI
atas nama demokrasi
tuan menjerat seribu merpati
menghiasinya
di sangkar besi

tuan pun bilang;
inilah kebebasan
bebas pada batasnya
atas nama demokrasi
tuan mencipta kakak tua
agar bisa berkata;
inilah kehidupan
bersemarak dengan nyanyian
lalu malam pun tidak malam
siang pun tidak siang
kerana permainan ini
serunya terlalu panjang

Saya juga tidak mampu membisu apabila sistem kehakiman dipermainkan hingga menyebabkan ada yang menjadi mangsa. Isu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas banyak menimbulkan polemik pelbagai pihak. Begitu juga isu nasional lain selepas itu:

TUN SALLEH ABAS
atas nama kebenaran
ia menjadi lilin
hangus sebelum musim
tujuh langit menunduk lesu
menatap keadilan

kian gerhana
hari ini putihnya menjadi kelam
kerana tuhan menguji imannya
namun seabad nanti
sejarah berkata sendiri
bahawa kebenaran
adalah musuh diktator

Bangunan Parlimen
Jun 1988

Hari ini selepas jenuh berjalan, saya melihat ke belakang dengan penuh kesilauan masa depan. Hari lepas yang suram dan malap membentuk cahaya dalam proses kreatif.. Dari Kampung Batu Lapan saya bertongkat ke bilik berita di Jalan Riong dengan pelbagai iklim dan cuaca kehidupan. Tidak sesia kehidupan ini. Tidak kosong pengalaman ini, selagi nafas kita sedia untuk memurnikan keadaan! Amin. - Dewan Sastera, September 2007

Promosikan Sasterawan Negara untuk Hadiah Nobel

KITA sudah ada 10 Sasterawan Negara. Yang terbaru adalah Anwar Ridhwan atau Datuk Dr Anuar Rethwan yang dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949.


Penobatannya sebagai Sasterawan Negara sudah diduga Karyanya amat terserlah dari segi mutu dan kehalusan seninya. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah pada 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1984/1985). Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul 'Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto' diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Kewibawaan dan kerajinan berkarya meletakkan nama Anwar sebaris tokoh besar sastera yang lain. Bagaimanapun apakah cukup sekadar sasterawan terbaik menerima Anugerah Sasterawan Negara saja, tanpa sebarang promosi dan pencalonan untuk meraih Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan?

Persoalan ini amat wajar dilontarkan kerana sejak lebih dua dekad lampau, kita kurang promosi karyawan tempatan untuk Hadiah Nobel. Jika Indonesia pernah menubuhkan sebuah panitia khas untuk mempromosikan Pramoedya Anantatoer selama beberapa tahun, kita agak sepi dan amat longlai.

Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya bertindak lebih aktif untuk melobi dan meletakkan sasterawan Malaysia ke peta dunia. Badan penulis bertaraf nasional seperti Gapena dan kerabatnya Pena perlu lakukan sesuatu supaya Hadiah Nobel menjadi milik karyawan Malaysia.

Jika selama ini persatuan penulis kerap bercakap mengenai dunia Melayu hingga ke Afrika Selatan dan Indocina, wajar pula mereka memperjuangkan supaya sasterawan Malaysia menerima anugerah tertinggi dunia pula.

Penulis dan badan sastera tidak sekadar menggamit nostalgia tanpa memandang lebih jauh. Memperkasakan bangsa dengan karya yang baik dan meraih Hadiah Nobel, sepatutnya menjadi idaman karyawan di Malaysia.

Kerajaan dan sarjana sastera juga perlu berperanan secara aktif dan telus melalui konsep 1Malaysia. Kejayaan meraih Hadiah Nobel secara langsung meletakkan nama Malaysia di persada persuratan global.

Kita akui Sasterawan Negara adalah penghormatan tertinggi terhadap karyawan besar tempatan. Namun kehebatan di gelanggang sendiri bukan kayu pengukur yang sebenarnya.

Dari segi sejarah, Anugerah Sasterawan Negara mula diperkenalkan pada 1981 apabila Keris Mas (Kamaludin Muhamad) dinobatkan sebagai penerima pertama. Kemudian diikuti Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Usman Awang (1983), Datuk A Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Prof Dr Muhammad Salleh (1991), Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996) dan S Othman Kelantan pada 2003.

Anugerah Sastera Negara dikurniakan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi. Sasterawan Negara menerima penghargaan dan penghormatan negara seperti warkah penghormatan negara, wang tunai RM 60,000, kemudahan dan keselesaan berkarya, penerbitan karya serta perubatan percuma di wad kelas satu hospital kerajaan.

Dari segi mutu, karya Samad dan Shahnon dianggap wajar dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Salina bukan sekadar penceritaan yang ada plot dan watak, malahan mengangkat kehidupan bangsa Malaysia dengan pelbagai kerenah sosiobudaya tempatan. Karya sedemikian lazimnya dapat mencuit perhatian panel Hadiah Nobel, jika usaha tegas dan berwibawa dilakukan.

Sajak karya Muhammad seperti Pulang si Tanggang amat puitis dan intelektual. Begitu juga karya Usman Awang yang mengandunkan unsur pantun ke dalam puisi.

Sejak penyair Perancis, Sully Prudhomme meraih Hadiah Nobel kali pertama pada 1901, karya yang berjiwa besar dan jujur mengangkat permasalahan bangsanya sering jadi tumpuan panel.

Hal ini bertepatan dengan wasiat Alfred Nobel yang mahu merakamkan anugerah kepada karyawan 'luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat'.

Sehingga kini hanya empat sasterawan Asia menerima Hadiah Nobel. Tiada seorang pun karyawan Asia Tenggara yang tersenarai. Selepas Rabindranath Tagore (India) menerima anugerah pada 1913, karyawan lain ialah Shmuel Yosef Agnon (Israel, 1966), Yasunari Kawabata (Jepun, 1968), Oe Kenzabur (Jepun, 1994) dan Guo Zingjian (Rusia-China, 2000).

Kita berharap nama Shahnon, Samad, Muhammad dan Anwar turut tersenarai nanti kerana Hadiah Nobel untuk karyawan yang masih hidup. Harapan ini tidak akan sesia jika usaha tegas untuk promosi Sasterawan Negara ke peringkat global dipertingkatkan. - Berita Harian, 26 Oktober 2009

Bagan Pinang sepatutnya medan jernih untuk demokrasi

JAM tiga pagi ternyata masih muda di sepanjang pantai Port Dickson. Jika sebelumnya, awal pagi adalah detik untuk memintal mimpi atau menanti hari siang dengan segala harapan dan dugaan, malam 2 Oktober sungguh berbeza.



Sepanjang pantai Teluk Kemang hingga pekan Port Dickson, masih meriah dengan kenderaan. Rintik hujan dan manik embun tidak menghalang orang ramai berpusu-pusu ke pelbagai arah dengan acara sendiri. Markas parti pilitik tidak terkecuali keriuhannya. Sasaran tarikh 11 Oktober jadi tumpuan dengan pelbagai andaian dan tekaan.


Kami menapak ke sebuah gerai ikan bakar di tepi pantai sekadar untuk mengisi masa, atau sekadar mengenangkan detik lampau. Sebagai penulis, juga sasterawan kononnya, kami pernah akrab walaupun pernah mengisytiharkan 'bersetuju untuk tidak bersetuju dalam banyak isu'.

Bagan Pinang dan pekan Port Dickson kini jadi fokus bukan kerana diisytiharkan sebagai kota tentera darat, juga pernah hidup dalam beberapa karya sastera dan filem. Nasib Si Labu Labi arahan seniman legenda Tan Sri P Ramlee pernah menyelitkan adegan percutian di Port Dickson. Ito dan Blues Gang juga menyelitkan Teluk Kemang dan Port Dickson dalam lagu Apo Nak Dikato. Beberapa karya sastera tempatan juga turut menyelitkan Port Dickson sejak era Asas 50. Beberapa sasterawan terkenal termasuk Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dan grup Anak Alam juga pernah berpuisi di pantai yang landai ini.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang dihubungi sebelum ini berjanji akan turun ke Bagan Pinang beberapa hari lagi. "Ada pentas untuk saya," tegasnya sambil tergelak.

Beberapa pengunjung leka bercerita mengenai Bagan Pinang dan ikan paus yang dikatakan muncul di Port Dickson ekoran gempa bumi di Padang, Sumatera pada Rabu lalu. Mereka taksub dan mengiyakan laporan Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Daily yang meninjau pandangan beberapa pengunjung.

Menjelang Subuh, pesisir pantai semakin ramai pengunjung. Beberapa petugas parti politik semakin ramai memenuhi gerai. Semakin banyak juga isu dan bahan cerita yang dilontarkan. Ada yang menyuarakan keyakinan untuk menang di Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar. Ada juga yang bertanya, kita mengundi untuk apa? Pilih wakil rakyat atau wakil parti? Ada juga yang bertanya apakah tidak mungkin ada indeks untuk menilai kelayakan dan kewibawan seseorang calon pilihan raya.

Isu pemilihan calon juga terlalu banyak dibeberkan selepas kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian Azman Mohammad Nor yang mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Mac 2008. Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Bagan Pinang terletak dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang. Seramai 14,192 pengundi termasuk hampir 5,000 pengundi pos bakal menentukan pilihan mereka.

Beberapa isu sudah mula kedengaran. Tentunya kempen klise seperti meneruskan agenda pembangunan dengan membaiki rumah warga tua dan menabur tar jalan sepatutnya sudah menjadi sejarah.

Zaman memperagakan bakti menerusi bersalaman dengan pengundi di pasar malam dan tangga masjid juga sudah berlalu. Pengundi kini sudah banyak terdedah dengan pelbagai maklumat. Mereka sudah ada pilihan untuk menerima ketokohan seseorang.

Bagan Pinang sepatutnya menjadi medan rebutan siasah yang murni. Kepentingan rakyat, kewibawaan manusia sepatutnya menjadi asas di sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi.

Bagan Pinang juga dinantikan sebagai ujian kewarasan pengundi untuk memilih parti yang boleh dipercayai, bukan sentimen peribadi dan isu perkauman. Bagi mereka yang mahu merayakan kebebasan bersuara, inilah masanya kita menilai perangai dan fiil manusia melalui peti undi. Tentunya ia kaya dengan drama dan intrignya. Yang menang nanti adalah demokrasi yang perlu kita rayakan bersama.

Ketika berkereta ke bilik hotel awal pagi itu, kami saling menyanggah; kenapa paus tiba-tiba muncul di pantai Port Dickson ketika ini.- Berita Harian, 4 Oktober 2009