Pages

Monday, August 22, 2011

54 tahun kekal prasangka

SEORANG doktor perubatan yang kembali bertugas di negara ini merungut; “Saya dikenali sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Saya bangga dengan sebutan itu kerana saya lahir dan dibesarkan di Malaysia. Hanya apabila tamat belajar di luar negara, saya berkhidmat di sana kerana Malaysia menghadapi masalah ekonomi ekoran spekulasi mata wang pada 1998.

 “Jiwa saya tetap Malaysia di perantauan. Saya menyokong Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David ketika mereka beraksi di kota penghijrahan. Saya tidak segan silu mengarak Jalur Gemilang kerana menyokong atlit sukan dari Malaysia.

 “Kini saya kembali ke Malaysia dan  bertugas di sebuah klinik. Malangnya  saya tetap dianggap sebagai orang luar. Inilah dilema saya. Dianggap sebagai rakyat Malaysia di luar negara, tetapi rasa diketepikan di tanah kelahiran sendiri.”

 Suara kesal doktor berusia 40 tahun itu bukan cerita lama. Ia berulang kali berlaku apabila membabitkan isu kaum dan semangat patriotik. Jurang kaum masih menebal dan kita tidak tahu siapakah yang sepatutnya meredakan keadaan selaras konsep 1Malaysia.

 Hari ini menjelang 54 tahun  mencapai kemerdekaan, Malaysia masih lagi berada di ambang isu kaum yang saling berentetan. Kajian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendapati jurang kaum semakin menebal selepas Pilihan Raya Umum 2008. Pelbagai isu dipolitikkan dan dikaitkan dengan sentimen perkauman walaupun pada asasnya kehidupan ini bukan semata-mata membabitkan isu ras, etnik, agama dan cara hidup.

 Orang  politik sering membuat jenaka kononnya Malaysia sebuah negara bangsa. Mereka menyebut bangsa Malaysia. Kita hairan bagaimana bangsa Malaysia boleh disebut sedangkan dalam kalangan kita ada Melayu, India dan Cina serta pelbagai etnik lain lagi. Selama 54 tahun  Malaysia berusaha membina persamaan dan persefahaman, tetapi amat mustahil untuk mewujudkan sebuah negara bangsa kerana kepelbagaian yang ada.

Keadaan di Malaysia seperti juga di Amerika Syarikat, Kanada,  Australia dan Singapura yang tidak mungkin melahirkan negara bangsa kerana keragaman kaum, agama dan cara hidup. Kita berbeza dengan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja kerana kewujudan bangsa teras. Negara itu hanya mengutamakan sebuah bahasa pengantar di sekolah dan perlembagaan negara serta tidak membiarkan kelainan etnik menimbulkan jurang kaum yang tinggi.

 Berbeza dengan Malaysia yang bukan saja bahasa rasminya boleh dipertikai nilai ekonomi dan sosial, malah ada dalam kalangan Melayu sendiri yang merendahkan bahasa ibunda untuk subjek Sains dan Matematik di sekolah. Aneh sekali apabila sebuah negara yang 54 tahun merdeka tidak mahu mengiktiraf kepentingan  lingua franca yang jutaan tahun diguna pakai di perairan Nusantara.

Isu kaum dan agama sering merumitkan. Perasaan saling curiga hatta membabitkan hal remeh dipolitikkan. Sepanjang tempoh merdeka, kita saling bergeser isu agama walaupun ada pihak yang cuba mewaraskan keadaan. Kita bimbang isu Melayu di gereja dan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian bakal menjadi api yang merebak tanpa melihat kepada persekitaran sebenar.

 Seperti telahan doktor yang  berasakan dirinya ‘rakyat asing’ di negara sendiri, kita terlalu banyak berpolitik dan menjadikan isu kaum sebagai halangan untuk membentuk Malaysia yang harmoni. Ketika kaum Melayu berasakan sudah terlalu banyak memberi kepada pihak lain, kaum Cina dan India pula masih menuduh kerajaan berat sebelah dan menyisih mereka dalam pelbagai sektor pembangunan dan prasarana ekonomi.

 Selagi perasaan ini muncul, isu kaum seperti yang dikaji selidik Merdeka Centre  tidak akan mudah berakhir. Apa saja cetusan bakal memberi riak yang berbeza. Lebih parah apabila setiap isu yang timbul, diledakkan pula oleh orang politik yang akhirnya menambahkan lagi jurang  perbezaan dalam kalangan kita. - Berita Harian, 22 Ogos 2011

Monday, August 15, 2011

Rumah PENA, GAPENA... mimpi ngeri

JALAN Lapangan Terbang Lama di pusat bandar raya Kuala Lumpur tidak jauh berbeza  kawasan lain.  Simpang siur kenderaan dan hiruk pikuk manusia sentiasa meriuh  sepanjang tempoh 24 jam. Deretan bangunan tinggi termasuk Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bangunan sebuah syarikat insurans  tersohor menjadi mercu tanda  kawasan itu.

Ia juga  lokasi pembangunan kota raya kerana Kuala Lumpur semakin kurang tanah untuk menempatkan  kawasan perdagangan yang  bertambah setanding kota besar ternama dunia. Banyak hutan dipugar, bukit digondol, pokok ditebang  dan lurah  diratakan atas nama pembangunan ekonomi.

Khabar yang merisaukan kalangan sasterawan dan seniman ialah kemungkinan  bangunan yang menempatkan Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA)  bakal menjadi mangsa pembangunan.

Cakap-cakap sudah berlegar di Putrajaya.  Bukan sekali dua disebut, malah berkali-kali -- PENA dan GAPENA bakal kehilangan premis kerana kawasan itu akan dimajukan sebagai pusat perdagangan baru di Kuala Lumpur.

Sehingga kini surat rasmi  belum dikeluarkan. Namun di kalangan penggerak budaya dan sastera, penempatan di kawasan strategik itu semakin berada di penghujung.  Hayatnya dijangka  tidak panjang lagi.

Jika sebelumnya  lokasi Penjara Pudu, Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang berada tidak jauh dari rumah PENA dan GAPENA dibangunkan sebagai pusat komersial walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak, tidak mustahil Jalan Lapangan Terbang Lama  berubah wajah selaras tuntutan pembangunan. Ada pihak yang sinis mengandaikan    sasterawan   dan budayawan sentiasa mengalah kepada pihak yang lebih berkuasa --  korporat, politikus dan  elitis kuasa!

Andainya PENA dan GAPENA diarah berpindah dari lokasi sekarang , mungkinkah kedua-dua premis penulis itu digantikan di kawasan lain yang juga selesa untuk penyair membaca sajak, budayawan bertukar wacana dan pelukis melakarkan garis dan imej pada kanvas? Mungkinkah seniman kita masih selesa berkarya di tempat yang sesuai? Lebih daripada itu,  masih adakah seniman dan budayawan di Kuala Lumpur  untuk dekad mendatang? 

 Pertanyaan demi pertanyaan  masih misteri jawapannya. Presiden PENA, Dr  Mohamad Saleeh Rahamad  sekadar tergelak apabila ditanyakan nasib Rumah PENA. “Kami belum terima surat  hitam putih,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut gusar kerana terlalu banyak khabar mengenai nasib kawasan sasterawan  yang bakal dimajukan.

Pengalaman lalu banyak membuktikan betapa banyak kawasan yang dulunya menjadi medan untuk seniman berkarya akhirnya bertukar  sebagai kawasan komersial.

Bagi kebanyakan penyair, pelukis dan aktivis  teater  sejak dekad 60-an,  Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif di Padang Merbok  pernah menjadi medan seniman mengasah bakat. Nama besar seperti Usman Awang, Siti Zainon Ismail, A Ghafar Ibrahim, Ibrahim Ghafar, Khalid Salleh,  Abdulaziz HM dan  Pyanhabib melahirkan karya besar di Rumah Anak Alam.

Mior Hashim Manap  dan isterinya Izaidah Khairan pula melatih anak muda dalam bidang lakonan di Rumah Teater Kreatif.  Kedua-dua bangunan itu sudah tiada  di Padang Merbok  walaupun pernah mencatat sejarah sebagai lokasi Perhimpunan Penulis Muda pada 1987.

Mungkinkah bangunan PENA dan GAPENA  senasib Rumah Anak Alam dan Rumah Teater Kreatif?
Kita merasakan Kuala Lumpur amat berbeza dengan Jakarta yang menyediakan ruang untuk seniman bernafas.  Pusat Kesenian Jakarta Taman Ismail Marzuki yang popular disebut Taman Ismail Marzuki (TIM) menjadi  pusat kesenian dan kebudayaan. Di sini terletak Institut Kesenian Jakarta dan Planetarium Jakarta yang memiliki enam ruang  teater moden, balai pameran, galeri dan gedung.  Acara seni dan budaya dipertunjukkan secara rutin  termasuk pementasan drama, tari, wayang, muzik, pembacaan puisi, pameran lukisan dan pertunjukan filem.

Sehingga kini  Jalan Lapangan Terbang Lama terus riuh dengan simpang siur kehidupan. Mungkinkah juga keriuhan itu terus memuncak dengan deretan bangunan pencakar langit ketika seniman terpaksa berundur dari wilayah yang bukan milik mereka? Hanya waktu yang bakal menjawabnya! - Berita Harian, 15 Ogos 2011

Monday, August 08, 2011

Melayu celaru hilang jati diri

MELAYU pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan saja berubah dari segi pemikiran dan struktur pekerjaan, juga  sistem nilai dan penanggapan terhadap kehidupan tradisional.

DEB yang diperkenalkan selepas kejadian 13 Mei 1969 membawa sebilangan  Melayu berhijrah ke kota besar  untuk merebut peluang ekonomi, sekali gus mengubah cara hidup dan berfikir.

Walaupun ada sebahagian Melayu yang kekal di desa, tetapi sanak  saudara mereka yang berhijrah turut membawa asimilasi kehidupan yang berbeza dan tanpa disedari   turut merebak ke desa sehingga kini.

Pada era pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 1982, istilah Melayu baru mula diguna pakai sebagai citra kehidupan  seiring perubahan zaman. Melayu yang mendapat manfaat DEB bukan saja aktif sebagai pengusaha dan penggerak syarikat multinasional, juga ejen perubahan budaya dalam masyarakat.

Dari sinilah lahirnya kalangan cendekiawan, teknokrat, intelektual dan pemikir budaya  yang turut bersaing di pentas global. Serpihan mereka juga melahirkan elitis Melayu yang terasing daripada  kehidupan tradisional dan ada masanya mempertikaikan  sistem nilai dan jati diri yang dimiliki oleh moyang mereka sendiri.
Golongan inilah yang akhirnya merendahkan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan mendewakan bahasa Inggeris sebagai pengantar utama subjek Matematik dan Sains di sekolah.

Kesan langsung daripada budaya elitis baru adalah perubahan tanggapan terhadap kehidupan tradisional Melayu.  Tradisi muafakat semakin terpinggir dan kehidupan disandarkan kepada perkiraan untung dan rugi perniagaan. Majlis kenduri-kendara semakin meminggirkan kerjasama setempat di kawasan perumahan kerana  jamuan di dewan berhawa dingin  di  hotel tidak memerlukan sistem penanggah dan sorak-sorai seperti  dekad lampau. Majlis berbuka puasa pula lazimnya dibuat di premis mewah bertaraf lima bintang yang  dihadiri oleh jemputan saja. Berbeza zaman lampau apabila majlis buka puasa di kampung terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang dalam masyarakat.

 Kehidupan moden menjadikan  sebahagian  Melayu semakin akrab mendiami kota besar.  Wajah desa hanya subur ketika lebaran. Tradisi balik kampung yang jarang kedengaran sebelum DEB, kini semakin banyak diperkatakan. Belum pun Ramadan menjelma, tiket pengangkutan awam ke pelbagai destinasi sudah habis dibeli. Kenangan zaman kanak-kanak dan remaja menjadikan warga kota teruja untuk melihat kembali zaman lampau yang semakin jauh.

   Dari segi politik pula, golongan yang mendapat ihsan DEB menjadi penggerak utama dalam gerakan siasah Melayu. Mereka mendominasi UMNO yang menjadi tunjang Barisan nasional serta PAS dan Parti Keadilan Rakyat. Latar belakang pendidikan, pengalaman dan penguasaan siasah, menjadikan Melayu baru lebih vokal. Keperluan politik kepartian dan hubungan antara kaum menjadikan Melayu baru amat berbeza.

Perbezaan ini melahirkan  percaturan  politik yang  berlainan. Perebutan jawatan dalam parti  politik  -- BN atau pembangkang -- melahirkan naungan tersendiri. Politik wang, kelompok dan  pengaruh menjadi budaya baru dalam saingan politik Malaysia.

Akhirnya yang menjadi rugi ahli parti terbanyak kerana  orang yang diamanahkan untuk memimpin akan mengkhianati hasrat peringkat bawahan.

Selepas empat dekad DEB diperkenal, ada Melayu yang masih merungut kononnya dasar yang digubal khas untuk Bumiputera maju dalam sektor ekonomi moden diselewengkan. Pro dan kontra lebih banyak daripada hasil yang diraih oleh usahawan Melayu sendiri. Pelan transformasi ekonomi yang diperkenal oleh Perdana Menteri,  Datuk  Seri Najib Razak yang kini menjadi agenda nasional tidak terkecuali diperdebatkan. Apakah Melayu baru sekadar  hebat  berdebat dan mempertikai sesuatu dasar ketika pihak lain  meraih hasil? - Berita Harian, 8 Ogos 211
 

Monday, August 01, 2011

Kewibawaan DBP kian hilang

Agensi  mesti pulih reputasi demi martabat bahasa Melayu

SEORANG teman berjenaka: “Jika kita baling batu ke kaca jendela bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada dekad 60-an hingga 80-an, serpihan kacanya akan mengena bahu sasterawan dan pemikir budaya.

  “Hari ini serpihan batu itu sekadar kena tapak kaki birokrasi yang  semakin menjauh daripada jiwa bahasa dan sastera.”

  Jenaka  teman itu kerana meyakini DBP atau nama asalnya Balai Pustaka yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956  bukan lagi dominan untuk sasterawan, ahli bahasa dan pemikir budaya.

  Pada era lampau, DBP sinonim sebagai pusat bahasa dan sastera. Ramai sasterawan tersohor pernah bertapak di bangunan lama DBP termasuk Usman Awang, Keris Mas, Kemala, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Shamsuddin Jaafar, Jaafar HS, Johan Jaaffar, Maarof Saad, Sutung Umar RS, Zaen Kasturi, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Yusof, Zakaria Arifin dan  Dinsman.

  Kini nama sasterawan besar hampir tiada lagi di DBP kerana udara segar di menara yang serba gah itu mungkin  tidak sesuai untuk seniman berkarya, apatah lagi menyuarakan idea kesenian dan kebudayaan. Segala-galanya sudah berubah seiring perjalanan waktu. Jika dulu, masyarakat menganggap DBP milik mereka kerana agensi kerajaan itu mendekati rakyat dengan buku bermutu yang merata di setiap pelosok negara, kini buku terbitan DBP amat sukar ditemui di pasaran.   

  DBP, dilihat dari sudut mana pun hari ini, masih berkemelut untuk memulihkan reputasi sesuai matlamat asal untuk ‘menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.’

  Krisis DBP dengan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd masih belum berkesudahan. Majalah terbitan DBP untuk keluaran Julai menjadi mangsa pergeseran kedua-dua pihak. Pengedaran buku teks untuk murid dan pelajar tahun depan masih rahsia umum. Bayangkan jika sesi persekolahan 2012 bermula tanpa buku teks terbitan DBP?

  Isu bahasa, budaya dan sastera yang sering meribut sekarang tidak pernah reda. DBP tiada taring untuk menyuarakan isu penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Ia sekadar membiarkan isu berlalu dan mengharapkan pihak di luar Menara DBP bersuara atau menjerit di jalanan.

  Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein juga menguji kebijaksanaan pentadbir DBP mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya, ia berlanjutan dan dipolitikkan dengan pelbagai versi siasah. DBP sebagai badan budaya, bahasa dan sastera kurang berperanan sebagai pihak yang wajar berada di tengah gelanggang untuk menyelamatkan karya besar Sasterawan Negara kita. Sampai bila harus begini?

  Justeru, tidak menghairankan apabila Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan  kerugian berterusan.
  Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

  GDB gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

  Sejak 2002, DBP dianggarkan kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun. Apakah penswastaan untuk mencapai kerugian berterusan? Bagaimana pula kesudahan krisis DBP dan Dawama?

  Sebelum ini ramai yang merungut  buku terbitan DBP tidak berada di pasaran. Kolum ini pada 16 November tahun lalu di bawah judul ‘DBP terbit, Dawama simpan buku’ mendedah pengalaman peribadi penulis yang tidak menerima sebarang  royalti sejak beberapa tahun kerana buku tidak berada di pasaran.

  Keadaan akan berterusan jika kerajaan tidak bertindak pantas menyelamatkan sebuah agensi yang sedang bermasalah itu. Bagi masyarakat terbanyak, buku terbitan DBP sewajarnya merakyat dan mudah diperoleh hatta di kedai mamak sekali pun! - Berita Harian, 1 Ogos 2011