Pages

Tuesday, January 14, 2014

Sasterawan bukan alat politik

Benarkah sasterawan di haluan sebelah sana dan kerajaan di sebelah sini? Di samping ada karya yang menyuarakan kehalusan akal budi, masih ada sajak, cerpen, drama dan novel yang menentang kerakusan kuasa, korup dan menelanjangi masyarakat bobrok. Apakah karya sedemikian dianggap berada di sebelah sana?

Timbalan Perdana Menteri,   Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih yakin karyawan tempatan masih menyokong aspirasi kerajaan membangunkan negara.

Tindakan segelintir sasterawan bukan bermakna ramai yang mengambil keputusan memihak kepada pembangkang. Kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad dan Azizi Abdullah sebagai calon PAS dan menyertai pilihan raya tidak semestinya menggambarkan ramai yang berada di sebelah sana.

Seperti juga kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dalam majlis anjuran aktivis sosial bukan gambaran sebenar suara penentangan semakin banyak. Masih ramai penulis yang peka kepada hasrat kerajaan   berusaha memajukan sektor kreatif ke tahap yang lebih baik.  Peruntukan tambahan RM5 juta kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi membolehkan lebih banyak karya asli sastera dihasilkan penulis tempatan menjadi bukti kerajaan bersama mereka.

Pada 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan peruntukan RM5 juta kepada ITBM dan sepanjang tempoh dua tahun, ITBM berjaya mencapai sasaran menerbitkan 240 judul buku karya asli penulis tempatan.

  Muhyiddin ketika mengumumkan peruntukan tambahan berkenaan mengakui  kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah proaktif, antaranya memberikan tanggungjawab kepada ITBM untuk memperbanyakkan penerbitan buku terutama karya asli penulis muda.

 “Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang), pemimpin negara berhaluan sini, ia dakwaan yang tidak benar. Saya ingin menegaskan, sasterawan tetap memainkan peranan penting dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara  yang maju dan makmur,” katanya.

Kita sedia maklum  industri kreatif  menjana pendapatan sebanyak RM16.1 bilion menjelang akhir tahun lalu.  Pada 2012,  industri kreatif  meraih pendapatan  RM7 bilion yang memberi sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Peningkatan berkenaan membuktikan  sumbangan sasterawan dalam pembangunan bangsa tidak diketepikan. Hari ini pembaca karya kreatif bukan lagi sekadar bahan bercetak semata-mata. Teknologi digital dan media baru memudahkan pembaca memuat naik hasil seni secara mudah dan dalam masa yang singkat.

Era sasterawan bernostalgia dengan karya yang diedarkan secara tradisional sudah berlalu. Kesungguhan kerajaan dan ITBM menerbitkan buku penulis tempatan amat dipuji kerana Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP) semakin mengendurkan operasi penerbitan karya kreatif.

 Isu kesusasteraan dan khalayak masih menjadi pertikaian umum. Meskipun semakin banyak majlis sastera diadakan di seluruh negara, karya kreatif yang benar-benar memupuk pembinaan modal insan masih berada pada tahap yang meragukan.

Kehadiran novel popular yang menjadi buruan remaja kurang membantu percambahan minda rakyat Malaysia. Sesebuah karya yang diulang cetak sebanyak lima kali bukan bermakna jaminan mutu. Perjalanan plot, perwatakan, pemikiran dan falsafah dalam sesebuah karya boleh membantu pembentukan minda dan sahsiah diri. Faktor ini kurang terserlah dalam kebanyakan karya popular.
Jika kerajaan sudah bermurah hati menaja pelbagai peruntukan bagi menyemarakkan kesenian tanah air, penulis pula perlu memikirkan karya bagaimana yang boleh membantu pembinaan sahsiah bangsa.

Isu ini bukan baru dan sudah lama diperkatakan karyawan seni dan sarjana sastera. Isu pokoknya adalah persediaan seseorang penulis untuk melahirkan karya berbobot. Anugerah Sasterawan Negara dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara bukan gambaran keupayaan yang sepatutnya. Penulis perlu meneroka untuk meraih pencapaian yang lebih tinggi. Hadiah Nobel sepatutnya sudah dimiliki oleh rakyat Malaysia kerana pelbagai kemudahan yang ada. Malangnya kita masih jauh. Paling banyak yang berlaku sekarang adalah sorak sorai mengenai haluan penulis sama ada berada di sebelah sana atau di sebelah sini.  - Berita Harian, 14 Januari 2014

Friday, January 10, 2014

Sembang di laman sosial haram?

Ramai yang pernah  berbangga kerana  teknologi maklumat dan media sosial dianggap sebagai pemudah hubungan sejagat. Namun hari ini semakin ramai yang meragui fungsi internet. Kehadiran portal berita, laman sosial dan  ruang sembang (chatting) ada masanya meragukan.

Jika kehadiran internet yang diperkenalkan pada era pentadbiran Ronald Reagan di Amerika Syarikat (1981-1989) dianggap sebagai pencetus  revolusi  komunikasi abad 20, hari ini tanggapan sedemikian boleh dipertikaikan.

Apalah gunanya media sosial jika komunikasi yang sepatutnya menjadi pengerat hubungan sesama manusia menjadi penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Penyebaran berita yang mempengaruhi orang ramai bertindak agresif bukanlah maklumat yang sepatutnya menjadi tumpuan massa.

Kehadiran  facebook, twitter, weChat dan whatsApp    yang digunakan oleh pemilik akaun untuk mempersoalkan akidah ummah, mendewakan ajaran Syiah dan memaparkan gambar yang kononnya tercatat  kalimah Allah pada badan haiwan bukanlah sesuatu yang memanfaatkan.

Ada juga yang menyalahi laman sosial untuk bersembang di antara lelaki dan wanita pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Sembang yang keterlaluan kerapnya akhirnya boleh membibitkan perasaan intim di antara satu dengan yang lain. Bayangkan jika seseorang suami menghubungi kekasih gelapnya -- isteri orang menerusi laman sembang. Bayangkan kesannya terhadap institusi kekeluargaan. 

“Keadaan ini berlaku kerana kualiti lelaki masa kini semakin merosot dan wanita semakin berjaya. Lelaki berusaha mendekati wanita yang sudah berjaya,” akui Naib Yang Dipertua PERKIM,  Datuk Nakhaie Ahmad.

Katanya, apabila semakin ramai  wanita berpelajaran tinggi dan mencapai status sosial yang baik, kesan psikologi terhadap kemasyarakatan semakin ketara.

“Kita boleh lihat statistik siswa lelaki yang hanya 30 peratus di pusat pengajian tinggi. Wanita menguasai pelajaran dan akhirnya menjawat jawatan yang tinggi. Lelaki semakin lemah, wanita pula tidak semestinya hebat. Justeru, berlaku sembang di laman sosial.

“Lazimnya wanita berpelajaran selesa dengan pekerjaan mereka tapi tidak semestinya dengan perkahwinan. Wanita berusia yang tidak berkahwin segan untuk berdepan dengan lelaki yang lebih rendah status sosialnya. Akhirnya mereka mendampingi laman sosial untuk mengelakkan kesunyian,” katanya.

Wanita yang berkahwin pula mengalami perasaan sepi apabila suami kerap berjauhan kerana tugasan. Akhirnya hubungan haram dengan lelaki lain berlaku secara sulit menerusi media sosial.

“Wanita berjawatan lazimnya mempunyai pandangan yang bebas dan pergaulan yang tidak terbatas. Mereka terdedah dengan pertemuan lain dan akhirnya terbawa-bawa ke alam maya,” katanya.
Nakhaie  bagaimanapun meragui sebarang fatwa yang boleh mengekang hubungan bebas menerusi laman sosial.

“Masyarakat kita sudah terpengaruh dengan budaya Barat. Apa yang melanda kita adalah ombak besar yang mengganas. Hubungan maksiat di media sosial berpunca daripada kesilapan kita menerima fahaman Barat. Hari ini gejala pluralisme, liberalisme, amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semakin menjadi barah dalam masyarakat kita. Ajaran Syiah juga dikaitkan dengan seks bebas seperti amalan kahwin mutaah. Sembang di laman sosial sebahagian daripada kesan ledakan kehidupan yang semakin moden.

“Saya tidak yakin sebarang fatwa atau peraturan yang boleh mengekang sembang bukan mahram. Semuanya terletak kepada diri sendiri. Sama ada untuk menjadi lebih baik atau mempunyai kenalan di laman sosial. Lazimnya wanita kurang tahan dengan godaan lelaki,” katanya.

 Bagaimanapun fatwa pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang mengharamkan sembang lelaki dan wanita bukan mahram mendapat reaksi mufti Pahang dan Pulau Pinang.
Sejauh mana Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) peka dengan isu yang membabitkan media sosial sekarang? - Berita Harian, 10 Januari 2013

Tuesday, January 07, 2014

Suhaimi penyair surealis, mistik versi Malaysia

Khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Datuk Jaafar Rahim pada Jumaat 3 Januari lalu amat memeranjatkan: “Penyair  Suhaimi Haji Muhammad meninggal dunia di Ipoh”.

Berita berkenaan  menggemparkan ramai teman penyair kerana Suhaimi adalah seniman yang amat komited dengan perjuangan seninya. Beliau secara tiba-tiba menghilangkan diri daripada khalayak sastera selepas bersara di  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Suara dan kenyataan beliau mengenai persajakan  dan karya surealis tidak kedengaran lagi.

Khabarnya,  Suhaimi menjadi pemandu teksi sebaik saja meninggalkan DBP. Beberapa kenalan yang terserempak dengan beliau mengakui penyair berkenaan selesa dengan tugas barunya. Suhaimi bebas menemui orang ramai dan menilai erti kemanusiaan di jalan raya. Dia bebas dengan karya seni kerana tidak lagi terikat sebagai pegawai kerajaan yang perlu mematuhi etika dan peraturan tugas. Pengalaman berkenaan menyuburkan karya beliau sebagai salah seorang penyair yang membawa aliran surealis di Malaysia.

Penulis pernah  menemui beliau  di Rumah PENA. Suhaimi masih bersahaja, berhujah dengan ilmu dan jarang merendahkan karya penulis lain walaupun karya beliau dianggap melangkaui karya tempatan yang lain. Kami berbual seketika dan Suhaimi mengakui masih berpuisi, akan terus menulis  sajak sehingga akhir usianya. 

Pada dekad 1980-an, nama Suhaimi menjadi kemarahan sesetengah penulis. Beliau didakwa menuduh puisi yang mudah  difahami sebagai ‘sajak tahi’. Dakwaan berkenaan menyebabkan ada penulis yang berjauh hati dengan Suhaimi  walaupun kita akui beliau seorang yang sentiasa bersikap terbuka.

Pengalaman bersahabat dengan Suhaimi banyak mendedahkan perwatakan sebenar. Beliau tidak lokek mencurah ilmu kepada penulis muda dan sedia menjawab kritikan secara terbuka berdasarkan disiplin kesusasteraan itu sendiri.

Kami pernah berhujah di pejabat beliau di bangunan lama DBP bermula jam 3 petang. Perbualan kami berlanjutan sehingga jam 7 malam semata-mata untuk menjelaskan keraguan karya beliau yang dianggap mempunyai imej bercampur.

Penulis mempertikaikan puisi beliau bertajuk Malam Pengantin yang diksinya mengungkapkan ‘...habis malam timbullah malam, kapal tenggelam di daratan’. Fikiran logik tidak dapat menerima ungkapan berkenaan kerana selepas malam akan muncul waktu siang. Mustahil pula sesebuah kapal tenggelam di daratan.

Bagaimanapun Suhaimi  mempunyai hujah tersendiri kerana dalam tafsiran surealisme, seseorang pengantin baru  mahukan suasana malam berkekalan dan tidak menyedari munculnya suasana fajar keesokan harinya.

Beberapa teman menyuarakan  perasaan mereka di media baru sebaik berita kematian Suhaimi tersebar.  Zakaria Ariffin  merakamkan gambar keranda yang membawa jenazah ke perkuburan selepas solat Jumaat.

 Hari ini amat mustahil untuk kita menemui seseorang penyair yang amat komited menerbitkan karya. Suhaimi mempunyai ribuan karya yang sebahagian besarnya diterbitkan oleh DBP dan sesetengah dibiayai sendiri.  Beliau penyair paling banyak mempunyai kumpulan puisi selain Leo AWS,  membuktikan  penyajak kelahiran  Kota Lama, Kuala Kangsar pada 1934 ini  paling prolifik  di Malaysia.

Suhaimi pernah menjadi guru selepas menerima latihan di Maktab Perguruan Sultan Idris (1951-1954). Kemudian bertugas di DBP pada  1975 -1989.
Cerpen pertama terbit di Singapura pada 1950.  Kebanyakan kumpulan sajak terawalnya berunsur surrealisme dan mistikisme dan sukar difahami, termasuk oleh pengkritik sastera. Namun begitu, menjelang  2000,  puisi Suhaimi dilihat cenderung  unsur sufi atau ketuhanan.

Puisi beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada  1971 dan 1987. Suhaimi juga memenangi  Hadiah Puisi Berunsur Islam pada 1981. Pada 1987 beliau menerima  Anugerah Penulis Perak  kerana pencapaian dan sumbangan dalam karya kreatif dan nonkreatif.

Suhaimi menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara daripada kerajaan Thailand pada 1995 dan Anugerah Yayasan Kesenian Perak pada  1998.

 Hari ini Suhaimi sudah tiada namun peminat seni masih boleh memahami kehidupan dan pengalaman menerusi kumpulan puisi.  Simfoni Perjalanan, Jalan Ke Kotaku,  Tulisan di Kamar Tidur, Lain Jiwa Lain Wajah, Kelahiran Seorang Anak,  Bunga di Atas Batu,  Bumi Hijau,  Lilin Seinci,  Bulan Purnama,  Menganyam Bulan dan  Menterjemah Bintang sebahagian daripada pengalaman seni Suhaimi. Semoga roh beliau diberkati Allah. - Berita Harian, 7 Januari 2014

Wednesday, January 01, 2014

Kuala Lumpur malu daulatkan kesenian

Benarlah kata seniman, Kuala Lumpur kurang seni dan   budaya. Kuala Lumpur juga terlalu asing bagi pencipta seni bina apabila banyak bangunan yang menggapai awan tidak mempunyai ciri warisan tempatan.  Kecuali Menara Bumiputra, Menara Telekom, Menara Berkembar Petronas dan beberapa lagi, tidak banyak bangunan yang menggambarkan seni bina  tempatan.

  Lebih malang apabila banyak nama premis yang tidak menggambarkan ciri asal penduduk Nusantara.  Empire Tower,  Menara Multi Purpose,  Capital Square Condominiums,  Wisma Goldhill, Menara Keck Seng, Park View Service Apartment - tidak menggambarkan kewujudannya di Lembah Klang. Namun hakikatnya, inilah Kuala Lumpur, kota yang megah dengan nama tapi segan untuk mendaulatkan karya ke tahap  sepatutnya.

  Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur pernah menjanjikan penyediaan ruang selesa untuk seniman berkarya pada 1987. Beliau membayangkan Dataran Merdeka yang ketika itu dalam proses pembinaan akan memberi ruang kepada seniman berkarya.  Ketika itu gerakan seniman jalanan hampir memeriahkan Kuala Lumpur setiap malam minggu.
 
Baca puisi, aksi spontan teater di bawah tiang lampu dan persembahan  Sani Sudin bersama Kopratasa yang menyanyi dan berceloteh menarik perhatian ramai. Tepian pasar budaya dan Jalan Chow Kit dihidupkan oleh Pyanhabib, Khalid Salleh, Halim Yazid, Ladin Nuawi, Siso dan Imuda dengan aksi spontan. Mereka di antara seniman jalanan yang akhirnya membesar dengan karya seni  menarik.

  Hari ini ruang untuk berkarya hampir  tidak ada lagi. Malahan seniman yang berhajat membuat persembahan jalanan diarahkan membayar  kepada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

 Banyak juga acara sastera secara formal anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DBKL juga tidak ada lagi. Pengucapan Puisi Kuala Lumpur yang mengundang penyair ternama dunia sudah dua dekad berlalu. Ia mampu bertahan beberapa tahun dan kini hanya menjadi sisa kenangan. Begitu juga Baca Puisi DBKL yang dianjurkan di Jalan Raja Laut hanya bertahan seketika. Majlis yang digerakkan oleh penyair Abdulaziz HM kini hampir dilupakan masyarakat kota raya.

  DBP juga yang suatu ketika memperkenalkan penataran sastera  bertujuan pendedahan sasterawan muda ke Indonesia hanya berjalan beberapa tahun. Program berkenaan berjaya memberi pendedahan kepada beberapa penulis muda berkenalan dengan tokoh kesenian di Jakarta tapi malangnya berakhir tanpa tindakan susulan.

  Ketika Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang menjawat Penasihat Sastera Maybank (1991-2001), beliau menggerakkan program baca puisi bulanan dengan mengundang ramai penyair terkenal tempatan dan luar negara termasuk WS Rendra. Program berkenaan mendapat sambutan ramai kerana pembabitan badan korporat dalam bidang kesenian  dianggap sesuatu yang mustahil di negara ini. Majlis ini juga berlalu tanpa upaya meneruskan aktiviti seni.  Persoalan yang timbul ialah apakah acara seni memerlukan pembabitan tokoh politik sebagai penggerak?

 Ketika itu ada individu yang berkuasa meminati karya seni, justeru, acara kesenian menjadi tugasan negara. Hari ini keadaan sudah berubah apabila banyak majlis diadakan bagi mengisi jadual kegiatan semata-mata.

  Kita berharap jaminan  Timbalan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa  kerajaan terus memberi penekanan kepada perkembangan industri kreatif yang dijangka menjana pendapatan sebanyak RM16.1 bilion menjelang akhir tahun ini tidak mati di tengah jalan. Kita akui  industri kreatif  berada di landasan  kukuh apabila meraih pendapatan  RM7 bilion yang memberi sumbangan RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

  Bagaimanapun karya seni tidak seharusnya digandingkan dengan perkiraan untung dan rugi semata-mata. Ia harus dimartabatkan sebagai penggerak minda dan pengasuh jiwa manusia menjelang 2020.
 
Kemajuan seni tidak bermakna jika Kuala Lumpur gagal menempatkan diri sebagai kota seni terkemuka di rantau ini. Jika kota raya terdekat seperti Bangkok, Jakarta dan Hanoi dikenali dengan kegiatan seni, Kuala Lumpur harus berubah daripada kota batu yang kaku dan bisu kepada ruang untuk menyuarakan isi hati warganya. Hal ini boleh dicapai jika ada iltizam. DBP, DBKL, badan korporat  dan Kementerian Wilayah perlu kaji isu ini bagi memastikan Kuala Lumpur berkembang dari segi ekonomi dan kemanusiaan. - Berita Harian, 31 Disember 2013