Pages

Tuesday, January 07, 2014

Suhaimi penyair surealis, mistik versi Malaysia

Khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Datuk Jaafar Rahim pada Jumaat 3 Januari lalu amat memeranjatkan: “Penyair  Suhaimi Haji Muhammad meninggal dunia di Ipoh”.

Berita berkenaan  menggemparkan ramai teman penyair kerana Suhaimi adalah seniman yang amat komited dengan perjuangan seninya. Beliau secara tiba-tiba menghilangkan diri daripada khalayak sastera selepas bersara di  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Suara dan kenyataan beliau mengenai persajakan  dan karya surealis tidak kedengaran lagi.

Khabarnya,  Suhaimi menjadi pemandu teksi sebaik saja meninggalkan DBP. Beberapa kenalan yang terserempak dengan beliau mengakui penyair berkenaan selesa dengan tugas barunya. Suhaimi bebas menemui orang ramai dan menilai erti kemanusiaan di jalan raya. Dia bebas dengan karya seni kerana tidak lagi terikat sebagai pegawai kerajaan yang perlu mematuhi etika dan peraturan tugas. Pengalaman berkenaan menyuburkan karya beliau sebagai salah seorang penyair yang membawa aliran surealis di Malaysia.

Penulis pernah  menemui beliau  di Rumah PENA. Suhaimi masih bersahaja, berhujah dengan ilmu dan jarang merendahkan karya penulis lain walaupun karya beliau dianggap melangkaui karya tempatan yang lain. Kami berbual seketika dan Suhaimi mengakui masih berpuisi, akan terus menulis  sajak sehingga akhir usianya. 

Pada dekad 1980-an, nama Suhaimi menjadi kemarahan sesetengah penulis. Beliau didakwa menuduh puisi yang mudah  difahami sebagai ‘sajak tahi’. Dakwaan berkenaan menyebabkan ada penulis yang berjauh hati dengan Suhaimi  walaupun kita akui beliau seorang yang sentiasa bersikap terbuka.

Pengalaman bersahabat dengan Suhaimi banyak mendedahkan perwatakan sebenar. Beliau tidak lokek mencurah ilmu kepada penulis muda dan sedia menjawab kritikan secara terbuka berdasarkan disiplin kesusasteraan itu sendiri.

Kami pernah berhujah di pejabat beliau di bangunan lama DBP bermula jam 3 petang. Perbualan kami berlanjutan sehingga jam 7 malam semata-mata untuk menjelaskan keraguan karya beliau yang dianggap mempunyai imej bercampur.

Penulis mempertikaikan puisi beliau bertajuk Malam Pengantin yang diksinya mengungkapkan ‘...habis malam timbullah malam, kapal tenggelam di daratan’. Fikiran logik tidak dapat menerima ungkapan berkenaan kerana selepas malam akan muncul waktu siang. Mustahil pula sesebuah kapal tenggelam di daratan.

Bagaimanapun Suhaimi  mempunyai hujah tersendiri kerana dalam tafsiran surealisme, seseorang pengantin baru  mahukan suasana malam berkekalan dan tidak menyedari munculnya suasana fajar keesokan harinya.

Beberapa teman menyuarakan  perasaan mereka di media baru sebaik berita kematian Suhaimi tersebar.  Zakaria Ariffin  merakamkan gambar keranda yang membawa jenazah ke perkuburan selepas solat Jumaat.

 Hari ini amat mustahil untuk kita menemui seseorang penyair yang amat komited menerbitkan karya. Suhaimi mempunyai ribuan karya yang sebahagian besarnya diterbitkan oleh DBP dan sesetengah dibiayai sendiri.  Beliau penyair paling banyak mempunyai kumpulan puisi selain Leo AWS,  membuktikan  penyajak kelahiran  Kota Lama, Kuala Kangsar pada 1934 ini  paling prolifik  di Malaysia.

Suhaimi pernah menjadi guru selepas menerima latihan di Maktab Perguruan Sultan Idris (1951-1954). Kemudian bertugas di DBP pada  1975 -1989.
Cerpen pertama terbit di Singapura pada 1950.  Kebanyakan kumpulan sajak terawalnya berunsur surrealisme dan mistikisme dan sukar difahami, termasuk oleh pengkritik sastera. Namun begitu, menjelang  2000,  puisi Suhaimi dilihat cenderung  unsur sufi atau ketuhanan.

Puisi beliau memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada  1971 dan 1987. Suhaimi juga memenangi  Hadiah Puisi Berunsur Islam pada 1981. Pada 1987 beliau menerima  Anugerah Penulis Perak  kerana pencapaian dan sumbangan dalam karya kreatif dan nonkreatif.

Suhaimi menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara daripada kerajaan Thailand pada 1995 dan Anugerah Yayasan Kesenian Perak pada  1998.

 Hari ini Suhaimi sudah tiada namun peminat seni masih boleh memahami kehidupan dan pengalaman menerusi kumpulan puisi.  Simfoni Perjalanan, Jalan Ke Kotaku,  Tulisan di Kamar Tidur, Lain Jiwa Lain Wajah, Kelahiran Seorang Anak,  Bunga di Atas Batu,  Bumi Hijau,  Lilin Seinci,  Bulan Purnama,  Menganyam Bulan dan  Menterjemah Bintang sebahagian daripada pengalaman seni Suhaimi. Semoga roh beliau diberkati Allah. - Berita Harian, 7 Januari 2014

No comments: