Pages

Saturday, February 20, 2010

Lupakan agenda parti demi kepentingan Islam, Melayu

SEKALI lagi isu kerjasama Umno dan Pas menjadi tumpuan media. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu Umno dan parti itu menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula mengakui parti itu sedia bekerjasama termasuk isu berkaitan keselamatan negara, ekonomi, agama dan politik. Beberapa pemimpin Umno pula memberi reaksi pelbagai. Ada yang mendakwa sikap Pas umpama cuaca yang ada kalanya panas dan pada masa lain redup.

Tidak salah Umno memberi reaksi sedemikian berdasarkan pengalaman lalu. Isu kerajaan perpaduan yang sebelum ini kerap dibincangkan akhirnya lebur ditelan waktu.
Pas juga pernah menyertai Barisan Nasional (BN) pada era pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein. Bagaimanapun beberapa isu dalaman antara Umno di Kelantan pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan Pas pusat pimpinan Tan Sri Asri Muda menyebabkan berlaku keributan di Negeri Cik Siti Wan Kembang pada 1977.
Rusuhan berlaku dan Mageran (Majlis Gerakan Negara) terpaksa diisytiharkan apabila segelintir rakyat mengadakan rusuhan di Kota Bharu. Pas bertindak meninggalkan BN. Mageran menyebabkan urusan pentadbiran negeri digantung.


Pas tidak mampu menjalankan pentadbiran dan menemui rakyat Kelantan. Apabila pilihan raya khas pada 1978, BN menang 34 kerusi (22 Umno, 11 Berjasa dan 1 MCA). Pas hanya menang dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sering (Nik Abdullah Arshad) dan Manik Urai.
Kemerosotan mendadak Pas pada 1978 bukan kerana parti itu lemah, tetapi Mageran menyebabkan Pas tidak dapat bergerak aktif di Kelantan. Pas kalah kerana tangan dan kakinya diikat ketika itu.
Keadaan berubah apabila pengaruh Pas kembali menapak pada Pilihan Raya Umum 1982 dan 1986, serta menguasai semula Kelantan pada 1990 menerusi Angkatan Perpaduan Ummah hasil kerjasama Pas dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.
Perkembangan yang berlaku di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis membuktikan Pas mempunyai pengikut tersendiri di kawasan majoriti Melayu. Pas muncul antara parti bertaraf nasional dan mampu mengimbangi suara Umno pada peringkat pusat.
Kehadiran Pas dalam wadah politik nasional memberi kesan kepada pemikiran politik bangsa Melayu dan tentunya agenda perpaduan bangsa tidak boleh diketepikan. Kehadiran Pas dan Umno sebagai wadah Melayu amat dialu-alukan ketika bangsa Melayu dan umat Islam berdepan pelbagai cabaran yang amat menduga ketika ini.

Isu kalimah Allah, serangan rumah ibadat dan kepala babi di kawasan masjid bukan sekadar agenda keselamatan dan perjuangan politik kepartian. Ia membabitkan survival umat Islam dan kepentingan bangsa Melayu. Ia juga citra kelemahan ummah berdepan situasi semasa sehingga ada yang meletakkan kalimah Allah sebagai medan uji luar biasa. Kenapa isu kalimah Allah muncul sekarang?

Pas, juga Umno perlu merenung kembali sejarah negara. Apabila Melayu lemah, pihak lain akan mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh. Melaka ditawan Portugis pada 1511 apabila pimpinan Melayu lemah dan pembesar bertelagah sesama sendiri. Akhirnya dinasti kesultanan Melayu Melaka tumpas dan bermula era penjajahan bangsa Eropah di Nusantara.

Isu Malayan Union 1948 juga terjadi kerana kelemahan bangsa Melayu sehingga penjajah dengan celuparnya mahu menggugat kekuasaan Raja Melayu sebagai ketua pentadbir Islam. Mereka tidak akan campur tangan hal istiadat jika Melayu bersatu ketika itu.
Keadaan lebih parah pada 1969 apabila agihan ekonomi negara dikuasai pihak lain. Melayu terpinggir dalam sektor tradisional dan kaum yang dibawa oleh penjajah menguasai sektor industri dan perlombongan. Pergeseran kaum yang terjadi pada 13 Mei 1969 adalah manifestasi keresahan Melayu di bumi sendiri. Rakyat menuntut kekuatan bangsa, bukan pergeseran antara Umno dan Pas.
Keadaan sekali lagi tegang pada 1987 apabila ada insan yang sanggup mengemukakan idea untuk menyaman Sultan Selangor yang ketika itu dikatakan kerap mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Ada yang berhujah Sultan sepatutnya bertindak dalam isu keagamaan dan adat istiadat Melayu saja. Pentadbiran negeri dijalankan oleh pentadbir dan ahli politik saja.
Pada masa sama juga, beberapa ahli politik termasuk daripada DAP dan MCA mula bersuara mempertikaikan ketuanan Melayu hingga menyebabkan suhu politik negara semakin hangat. Ada yang mendakwa bangsa Melayu juga pendatang di negara ini.
Keberanian mereka tentunya berpunca daripada kelemahan dan pergeseran sesama Melayu. Keadaan lebih parah lagi apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 menunjukkan kekuatan bangsa Melayu semakin rapuh.
Pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, serta menang banyak kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. (Perak sudah kembali ke tangan BN).
Perkembangan ini menyebabkan ada pihak semakin berani mempertikai sistem kuota, manfaat Dasar Ekonomi Baru, sistem meritokrasi dan institusi beraja. Ada juga sanggup sembah derhaka semata-mata menunjukkan keangkuhan peribadi.
Semuanya membuktikan kekuasaan Melayu semakin berada di persimpangan jalan dan sudah sampai masanya Umno dan Pas melupakan agenda kepartian demi kepentingan Islam dan Melayu.
Perbincangan dan kerjasama antara Pas dan Umno bukan bermakna mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap komponen masing-masing, tetapi memperkasa usaha mengukuhkan ummah melalui politik.
Umno boleh terus berperanan sebagai sebuah parti teras dalam BN yang mentadbir negara dan Pas pula sebagai komponen pembangkang yang menyalurkan suara positif untuk kepentingan Islam. Tidak salah bergeser dari segi kepartian, tetapi bersatu menjaga kepentingan Islam dan Melayu. Bolehkah kerjasama Umno dan Pas menjadi kenyataan? - Berita Harian,20 Februari 2010

Tuesday, February 16, 2010

Apa yang ada pada wajahmu

Hai, tidakkah kau lelah menatap wajahmu tahun demi tahun ketika hari tak pernah jemu memberi isyarat demi isyarat; apa yang ada pada wajahmu?

Luka lampau atau resah akan menyeringai ketika kali berkali kau sebut nama-Nya atau desar di pedalamanmu kian ligat menafsir usia yang kian jauh dari pelabuhan atau engkaukah itu berdiri di antara kolong langit khatulistiwa atau engkau yang berkali-kali menyeru suatu masa yang akan tiba, tapi tidak engkau pasti bagaimana dan di mana; apa yang ada pada wajahmu?

- Imlan Adabi, Bangsar, 15 Februari 2010

Sunday, February 14, 2010

Melayu yang kian layu

SIAPA yang bakal mengeluh suatu hari nanti  jika Melayu sendiri terjebak dalam pelbagai skandal? Melayu yang luka atau Melayu yang terjajah di bumi sendiri. Ada waktunya, kita terleka dengan slogan. 1Malaysia,   apakah Melayu kuat di negara sendiri.

Kita tiada pemimpin Melayu yang berjiwa Melayu. Yang ada hanya pemimpin yang merosakkan bahasa Melayu dan cara hidup Melayu. Ketika Umno berdepan dengan  krisis keyakinan terhadap pemimpinnya, Pas pula masih belum ada pemimpin yang bertaraf nasional.

Anwar Ibrahim pula menghadapi pertuduhan liwat. Benar atau tidak kes luar tabie berlaku, yang pasti  moral Melayu menjadi mainan massa. Beberapa negara maju (bukan Bangladesh atau Zimbabwe)  bakal menulis memo bantah kes liwat.

Raja-raja Melayu pula di mana berada? Bolehkah Raja menyanggah keputusan rakyat seperti berlaku di Perak. Hakim pula  perlu berani buat keputusan yang jujur dan adil. Hari  ini ramai yang terbuka mencela hakim dan raja. Hakim perlu utamakan keadilan.  Raja perlu utamakan kemuliaan agar  tidak dicela rakyat secara terbuka.

Rakyat Kelantan yang majoriti Melayu masih mengharapkan  royalti  minyak yang diperah dari hasil bumi negeri. Semuanya isu Melayu. Di mana ketuanan Melayu  jika Melayu bercakar  tanpa kesudahan.

Friday, February 12, 2010

yang arif cubalah kita berbahasa

yang arif cubalah kita berbahasa
kerana bahasa kita sudah diparahkan
cubalah kita damaikan kembali
jiwa pejuang bahasa yang kerap lelah
cubalah yang arif fikirkan
hanya bahasa yang mengangkat
yang arif ke kerusi yang arif
hanya bahasa yang mengangkat
ibu ayah yang arif menjadi arif

yang arif
ppsmi  durjana
ngilu menjarah akal bangsa
yang arif cubalah kita berbahasa
kerana bahasalah yang mendewasakan bangsa
kerana bahasalah yang memaknakan cinta
kerana bahasalah yang tidak persiakan akar
kerana akarlah yang menjadikan kita bernegara
bernafas, bercumbu, memesrai keberadaan kita

yang arif
di atas kerarifan jiwamu
hukumlah mereka yang mempersenda bahasa
kerana persendaan mencela kewujudan kita
di atas tanah dan bumi sendiri
hukumlah mereka yang arif
hukumlah mereka
yang membunuh
bahasa ibu dan ayah yang arif sendiri


- imlan adabi
Cheras Jaya, 2010

Wednesday, February 10, 2010

maaf yang arif

maaf yang arif
siapakah yang pakai celana sponsor pagi ini
siapakah yang bulunya paling panjang abad ini
siapakah yang beli ky jelly di  seven eleven malam tadi
siapakah yang menidakkan hak rakyat untuk rakyat
siapakah yang memalsukan kebenaran atas nama keadilan
siapakah yang memasungkan kenyataan untuk naik pangkat

maaf yang  tak arif
hukum siapa yang mengatakan  dusta sebagai kebenaran
akta apa yang dikatakan  rakyat tak boleh bersuara
perlembagaan mana yang membiarkan raja berpolitik
lelaki manakah yang arif membiarkan  bontotnya dijilat diliwat
atau yang arifkah yang   tidak arif peraturan zaman
kecundangan dalam pesta  serakah 
atau manakah kebenaran yang menjadi  piagam yang arif?

imlan adabi,  10 Februari 2010

uratku sendiku bisa ngilu

derap sepatu 
kerikil  dada
longlai langkah;
esokkah yang datang
dengan wajah culas
atau aku kian sempit
di penjuru detik
atau perayaan hari jadi
sekadar mainan masa
yang enggan simpati

aku semakin sakit
uratku sendiku bisa ngilu;
esokkah pasti datang
atau senja ini pesisir lain?

-imlan adabi, 10 februari 2010

puisi tidak pernah bosan air mata

puisi tidak pernah bosan air mata
ketika kucium keningmu yang pasrah kelesuan
wad pengasingan ini barangkali tidak jemu melihat
kasih demi kasih yang terungkai
atau kita khabarkan betapa cinta
terlalu mahal dugaannya
atau cinta juga yang memaksa kita derita
atau derita yang memaksa kita saling bercinta\

ginjalmu lemah terlalu untuk hidup seribu tahun
seperti kakiku juga terlalu lesu untuk berlari seribu langkah
takdirkah yang tidak memihak
atau aku yang tiba-tiba berbisik ke telingamu
'isteriku, dugaan ini air mata anak-anak kita,
terlalu kerap kita curahkan
sepanjang ruang usia'

tuhan,
mampukah aku berdoa lagi
andai kata-kata sudah menjadi mainan masa
berdustakah sebuah doa
andai wad pengasingan ini
kita semakin kecil
di sebalik kebesaran-Mu


- imlan adabi
bilik pengasingan 1  ppukm
10 Februari 2010

Wednesday, February 03, 2010

Kebebasan blog disalah guna boleh cetus huru-hara

SEKALI lagi isu blog mendapat perhatian ramai. Seorang belia 29 tahun ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan polis di sekitar Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, penulis terbabit boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan.

Selain itu, IPD Kluang menerima 23 laporan yang dibuat orang awam serta ahli politik berhubung kenyataan penulis blog berkenaan; IPD Batu Pahat (empat); Johor Bahru Selatan (tiga) dan satu di IPD Seri Alam.

Penulis blog terbabit menerima lebih 1,000 komen susulan kenyataan itu, dengan sebahagian besarnya menyatakan rasa tidak puas hati dan ada yang mengugut untuk membunuhnya. Adukataruna dipercayai penulis blog keempat ditahan polis kerana menyiarkan kenyataan yang berunsur penghinaan atau hasutan.

Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai supaya membenci polis.

Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, 58, pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam, tetapi dibebaskan dua bulan selepas itu kerana penahanannya diisytiharkan tidak sah.

Raja Petra juga menghadapi tuduhan memfitnah tokoh negara, Bagaimanapun, penulis blog itu kini dikatakan melarikan diri ke London.

Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, 38, ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia.

Ada juga yang sanggup menulis blog dengan alasan ‘untuk mengirimkan seseorang ke neraka’.

Semuanya menggambarkan betapa mudahnya hukuman dan hujahan yang dibuat oleh seseorang penulis tanpa pertimbangan undang-undang, moral, etika kewartawanan dan perasaan kemanusiaan.

Lebih fatal lagi, mereka menjadikan blog sebagai medan meluahkan perasaan, sekali gus sebagai pendakwa dan hakim yang memutuskan kesalahan orang lain. Keadaan ini menggambarkan betapa blog yang dianggap antara media baru paling laris di seluruh dunia, masih muda kualiti kewartawanannya.

Hari ini, sesiapa saja boleh menulis blog dan mencatat apa saja yang dirasakan tidak secocok dengan jiwa mereka. Anak Menteri Besar Kelantan juga menulis blog dan mempertikaikan pihak yang menegur keluarganya. Ada juga penulis blog berasakan mereka kebal undang-undang dan mampu bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Mengikut laporan, 500 blog baru wujud di sebalik Tembok Besar China setiap sejam dan 35 blog menjenguk pembaca di kawasan Alaska, tanpa menghiraukan keadaan cuaca serta politik setempat.

Kebebasan blog ada waktunya sudah menjadi perayaan sejagat yang perlu dirai. Bagaimanapun apa gunanya sesuatu pesta seandainya mencetuskan natijah kurang baik kepada masyarakat.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah satu peruntukan undang-undang siber dan dibentuk sebagai satu rangka kerja bagi campur tangan kerajaan dalam memantau industri komunikasi dan multimedia.

Akta ini boleh menghukum sebarang bentuk penulisan yang bertentangan dengan keadaan setempat.

Bagaimanapun, ada peguam menyatakan tiada peruntukan di dalam akta ini yang membenarkan penapisan internet.

Di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees), kerajaan berikrar tidak akan menapis internet. Halangan ini sering disalahgunakan untuk menulis apa saja menerusi internet, termasuk mencuri dan mencedok tulisan orang lain ke dalam portal berita tertentu.

Artikel saya di ruangan ini pada 7 September 2009 bertajuk ‘Bahasa Inggeris untuk dua ketul ayam, kentang goreng’ diambil tanpa izin oleh The Malaysian Insider. Tulisan tersebut mendapat reaksi 28 penjenguk yang majoritinya menghentam dan menghukum saya sebagai fanatik bahasa. Saya tidak diberikan peluang untuk membela diri.

Tulisan lain dalam kolum ini juga diambil oleh beberapa blogger dan disebarluaskan tanpa izin. Tindakan ini menjadi bukti betapa blog dan internet semakin durjana di tangan mereka yang kurang arif undang-undang.

Semuanya membuktikan blog dan internet masih remaja di sebuah negara membangun seperti Malaysia. Apakah keremajaan ini menjadi lesen untuk buat apa saja tanpa memikirkan kesannya? - Berita Harian, 3 Februari 2010