Pages

Tuesday, March 29, 2011

Perang media baru sebar pengaruh Zionis

KETIKA tentera Pakatan Atlantik Utara (NATO) sedang rakus mengganyang bumi Libya dengan alasan untuk menamatkan keganasan Muammar Gaddafi terhadap rakyatnya sendiri, media antarabangsa melaporkan kewajaran tindakan Barat untuk mengelak pertumpahan darah berlanjutan di tanduk Afrika.
Media melaporkan Barat bertindak tepat kerana memenuhi aspirasi rakyat Libya sendiri yang mahukan kebebasan dan hak demokrasi. Sejak Disember lalu, pergolakan politik di Tunisia dan Mesir dikaitkan sebagai ruang untuk menghidupkan demokrasi di Asia Barat dan Afrika Utara.
Pentadbiran negara Arab yang dikaitkan sebagai pimpinan Islam dituduh punca pembunuhan dan penindasan berterusan. Walaupun tidak dikaitkan Islam dengan keganasan, kita dapat memahami tindak- tanduk media Barat terhadap Islam. Bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush pernah melafazkan perang menentang keganasan berpusat di Asia Barat. Media pula mengaitkan Islam sebagai punca keganasan sejagat. Islam dikaitkan sebagai antidemokrasi dan mengabaikan hak kemanusiaan.
Hari ini, peperangan bentuk baru sedang menular di seluruh dunia. Sejak zaman prasejarah dan Perang Salib, peperangan dikaitkan dengan kelengkapan senjata dan disipilin ketenteraan. Tsun Zu dalam bukunya The Art Of War menggariskan strategi perang adalah dasar perniagaan terbaik.

Hari ini, strategi perang berpusat kepada kemudahan teknologi maklumat dan media baru. Jika Perang Dunia Pertama dan Kedua dikaitkan dengan persenjataan dan ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, perkembangan yang berlaku pasca Perang Dingin adalah sebaliknya. Ledakan teknologi maklumat dan media baru memudahkan serangan bentuk baru kerana dunia kini sudah kehilangan sempadan siasah. Perang bentuk baru adalah strategi perniagaan terbaik masa kini. Ia juga penentu penguasaan konsensi ekonomi dan perdagangan sejagat. Kepentingan zionis menjadi keutamaan kerana kebanyakan media ternama dunia dikuasai oleh Yahudi.
Serangan terhadap sesebuah negara lazimnya bermula menerusi maya. Internet, media massa dan kemudahan komunikasi memungkinkan perang bentuk baru yang sukar dikawal. Sebelum Hosni Mubarak tersingkir di Mesir, media baru sudah mendedahkan pelbagai skandal kewangan dan rasuah membabitkan Mubarak, wanita pertama dan pembantu kanannya. Internet, blog, facebook dan twitter mendedahkan skandal Presiden Mesir dan sikap buruknya terhadap perjuangan bangsa Palestin di Gaza.

Sebaik saja Mubarak tersungkur, kuasa besar dunia cepat menghantar menteri kanan ke Kaherah bagi menjamin kepentingan Barat berterusan. Pengasas WikiLeaks , Julian Assange pernah mendedahkan kepentingan Amerika Syarikat di negara Arab, terutama bagi mempastikan Israel kekal teguh tanpa diganggu oleh mana-mana tokoh Arab seperti Gaddafi, Saddam Hussien dan Hafiz Al-Assad.

Nama besar Yahudi dalam dunia penyiaran pernah dan sedang menggerakkan media antarabangsa. Tentunya kelibat Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times) pernah mempengaruhi kita dengan laporan yang mendebarkan. Merekalah yang menguasai pandangan dunia dan mencorakkan pemikiran sejagat. Suara Yahudi sentiasa berada di segenap pelosok dengan pelbagai drama dan intrignya. Merekalah yang yang tanpa sedar mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Gerakan reformasi yang berlaku di Asia Tenggara pada 1998 banyak dipengaruhi pemikiran Zionis untuk menjatuhkan kerajaan yang dilantik oleh rakyat sendiri.
Dalam bidang seni pula, pelakon Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk berbangsa Yahudi. Hollywood sendiri pun diwujudkan oleh Yahudi. Antara pengarah dan penerbit -- Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest) dan Douglas Fairbanks berbangsa Yahudi. Merekalah yang turut mencorakkan pemikiran dan keseronokan di ruang tamu rumah kita. Karya mereka menyerang pemikiran generasi muda dunia ketiga dengan pelbagai ideologi dan isme aneh. Mereka menghulurkan senjata untuk memusnah bangsa Timur dengan pelbagai medium yang menyeronokkan. Bangsa Timur dan tentunya umat Islam di Asia Barat akan terus terperangkap dalam bentuk peperangan baru yang lebih dahsyat daripada peluru berpandu, jet pejuang dan kereta kebal kalis peluru.

Serangan media baru tentunya memberi kesan tersendiri bukan saja di Asia Barat dan negara Arab, bahkan membabitkan perimbangan kuasa dunia. Negara yang berkepentingan dan maju teknologi digitalnya terus menekan dunia ketiga dengan pelbagai kepentingan dagang yang mengutungkan mereka sendiri. Kita yang berada di dunia ketiga tentunya sukar menduga serangan seterusnya kerana peperangan bentuk baru mempunyai strategi serangan yang sukar dikesan. - Berita Harian, 29 Mac 2011

Tuesday, March 22, 2011

Penantian pesakit buah pinggang

 KETIKA Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengiktiraf pertengahan Mac sebagai Hari Ginjal Sedunia setiap tahun, tidak kurang 30,000 pesakit buah pinggang meninggal dunia setiap hari. Tahun ini, Hari Ginjal Sedunia disambut pada 10 Mac ketika seorang daripada 10 dewasa berdepan pelbagai bentuk kerosakan buah pinggang di seluruh dunia.

Di Malaysia saja, daftar pendermaan organ dan dialisis bagi 2006 meningkat secara dramatik sejak 20 tahun lalu. Setiap tahun lebih 2,500 orang berada pada tahap akhir kegagalan buah pinggang (ESRD), iaitu jumlah yang menyaksikan lebih ramai memerlukan rawatan mesin dialisis. Berbanding 1980, hanya 43 orang memerlukan bantuan dialisis tetapi pada 2006 jumlah itu meningkat 3,152 orang.

Kerosakan buah pinggang adalah masalah yang progresif dan tidak boleh disembuhkan dengan hanya memakan ubat. Rawatan ketika ini ialah dialisis (haemodialisis dan peritoneal dialisis atau dikenali sebagai CAPD), selain pemindahan organ. Suntikan Recormon pada perut pesakit sekadar langkah yang tidak banyak membantu. Rawatan paling berkesan adalah pemindahan organ tetapi ia bukan langkah popular di Malaysia kerana tidak ramai yang sanggup menyerahkan ginjal mereka untuk membantu pesakit.

Di Pulau Pinang saja, kadar rawatan mencecah hingga 181 pesakit dalam sejuta orang. Kajian pada 2006 mendapati ada 14,946 pesakit bergantung pada mesin dialisis di Malaysia. Kebergantungan pada dialisis adalah dua kali ganda, iaitu 52 orang pada 1997 menjadi 104 pada 2003. Sejak itu ia meningkat kepada 110 untuk sejuta populasi.

Kes baru dialisis pada 2006 ialah 3,152, pertambahan lebih 50 peratus daripada jumlah pesakit buah pinggang yang direkodkan pada 2000.

Isteri penulis adalah antara pesakit buah pinggang yang dikesan kesnya pada 8 Februari 2008 dan menjalani rawatan CAPD sebanyak empat kali sehari membabitkan kos lebih RM3,000 sebulan. Bahagian perutnya ditebuk untuk memasukkan wayar bagi proses CAPD dan lengan kirinya dimasukkan sejenis alat untuk memudahkan haemodialisis. Dia menderita sakit dan menghadapi kualiti hidup yang amat berbeza daripada sebelumnya. Sepanjang 2010, hampir 10 kali dia terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana jangkitan kuman pada saluran wayar di perutnya untuk proses rawatan peritoneal dialisis. Kos rawatannya terlalu tinggi dan dia masih beruntung kerana sebagai kakitangan awam, kerajaan menanggung sepenuhnya kos perubatan. Bayangkan pesakit yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau bergaji rendah, tentunya kehidupan mereka terhimpit kerana kegagalan fungsi ginjal tidak mengenal status ekonomi seseorang.

Pesakit buah pinggang lazimnya menghadapi tekanan hidup yang amat berat. Selain beban perasaan kerana tidak boleh menjalani kehidupan aktif seperti sebelumnya, mereka juga berdepan masalah kesihatan sampingan seperti kerap demam, sakit kepala, batuk, kesejukan, menggigil dan lemah imbangan badan.
Bagi pesakit beragama Islam pula, mereka terpaksa berdepan dengan hakikat tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima, iaitu menunaikan ibadat haji. Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan garis panduan melarang pesakit buah pinggang ke Tanah Suci kerana bimbang komplikasi dan proses rawatan ketika musim haji. Tentunya bagi mereka yang sudah lama menabung di Tabung Haji terpaksa menerima realiti yang pahit ini dengan perasaan berkecamuk.

Mereka juga berharap ada penderma organ yang sanggup membantu meringankan beban hidup. Bagaimanapun di Malaysia, menderma organ bukan budaya yang dipraktiskan walaupun banyak pihak sering mendakwa kita memiliki budaya penyayang dan sering membantu pihak yang menderita. Lebih malang lagi, bangsa Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India. Mengikut statistik yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur pada 2005, sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (8 peratus) dan kaum lain tiga peratus. Pada 2005 juga hanya 10 yang tampil menderma organ.

Rakyat Malaysia keturunan Melayu sepatutnya mencontohi rakan mereka di Singapura yang ramai berikrar menderma organ. Mungkin juga kerana negara jiran memperkenalkan Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) yang memasukkan warga Muslim secara automatik sebagai penderma organ.

Tanpa pendermaan organ, pesakit buah pinggang akan kekal menjalani rawatan haemodialisis sepanjang masa dengan penuh debar. Setiap kali ke klinik, perasaan bertambah gundah apabila mendapat tahu rakan yang pernah menjalani rawatan di dalam wad sebelum ini sudah tiada lagi. Bukan seorang dua, malahan terlalu ramai. Inilah dilema yang dihadapi pesakit yang bagai menanti giliran untuknya dengan penuh misteri. - Berita Harian, 22 Mac 2011

Friday, March 18, 2011

Hikayat Abdullah ke Interlok

SESEBUAH hasil seni dianggap milik bersama dalam masyarakat tradisional. Penciptaan pantun, syair, cerita rakyat atau penglipur lara dianggap milik masyarakat itu sendiri yang terus dipertahankan sebagai identiti bangsa dan kelompok sesebuah wilayah.

Karya Melayu tradisional tidak mempunyai nama pengarang kerana zaman ketika itu tidak menuntut manusia menonjol diri atau individualistik. Justeru, menjadi tanggungjawab sosial masyarakat Melayu lama untuk mempertahankan karya mereka secara lisan dan diperturunkan dari generasi ke generasi yang lain.
Hanya apabila Hikayat Abdullah atau dikenali sebagai Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir dihasilkan, masyarakat mula mengenal bentuk karya yang agak baru, bukan saja dari segi tema dan realiti penceritaan, juga jati diri pengarangnya sendiri. Ia teks sastera Melayu yang pertama diterbitkan secara komersial. Gaya penulisan Abdullah yang unik dipaparkan secara jelas dalam teks ini dan isinya disampaikan dalam bahasa Melayu yang sederhana dan kontemporari. Tidak seperti karya klasik sastera Melayu yang kebiasaannya mengandungi fantasi dan cerita legenda, karya Abdullah berkisarkan realisme.

Karya ini diklasifikasikan autobiografi Abdullah dan mengandungi pandangan peribadi mengenai masyarakat Singapura dan Melaka pada awal abad ke-19. Ia menceritakan sekilas zaman kanak-kanak di Melaka, pengalamannya ketika pembedahan yang dilakukan oleh seorang ahli bedah Inggeris atau kunjungannya ke kem puak Tiandihui, satu kumpulan kongsi gelap Cina di pedalaman Singapura.

Hikayat Abdullah juga mencatat sejarah pengasasan Institusi Raffles, perobohan kota A Famosa di Melaka dan lawatan Lord Minto, Gabenor-Jeneral India ke Melaka. Sebahagian besar karyanya juga mengandungi pengamatan peribadi personaliti pada zamannya-- pegawai Syarikat Hindia Timur Inggeris seperti Sir Stamford Raffles, Kolonel Farquhar dan John Crawfurd, Sultan Hussein Shah dari Kesultanan Johor, mubaligh, pedagang Amerika dan Eropah, dan pedagang dari China.

Karya Melayu selepas era Hikayat Abdullah tidak boleh dianggap milik bersama masyarakat kerana jati diri dan hak cipta penulisnya sudah terpelihara. Sasterawan besar Malaysia seperti Datuk Usman Awang, Keris Mas, Datuk Shahnon Ahmad, Datuk A Samad Said dan Datuk Abdullah Hussein sudah menjadi khazanah negara dengan melahirkan karya berbobot yang boleh dipertahankan kualitinya.

Karya besar seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Hujan Pagi, Salina, Daerah Zeni, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur dan Interlok adalah rakaman pengalaman peribadi pengarang yang dicatat secara jujur dan penuh wibawa. Masyarakat mengenali pengarang kerana karyanya, bukan kerana isu peribadi dan kontroversi yang meriuhkan massa.
Pengarang dikenali kerana karya yang mencerdikkan zaman. Penulis berwibawa sentiasa mendahului massa dan bukan tenggelam di bawah pemikiran umum. Karya yang baik dan mendapat pengiktirafan negara tetap menjadi milik pengarangnya walaupun masyarakat mengangggap milik sesuatu bangsa atau hak bersama.
Kini isu Interlok masih menjadi mainan umum. Kontroversi beberapa ungkapan yang dianggap menyinggung masih sengaja disensasikan. Walaupun sarjana dan peneliti sastera mengakui karya besar ini sekadar paparan kejadian ketika proses pembentukan Malaysia, ia masih belum menenangkan perasaan segelintir pihak yang menjadikan Interlok sebagai alat untuk meluahkan ketidakmatangan peribadi. Perhimpunan segelintir puak di Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu sekadar menjelaskan keadaan yang tidak wajar. Apakah sesebuah karya yang menceritakan realiti sosial di India dianggap menghina kumpulan tertentu?
Kini, persoalan baru juga tetap timbul. Sebuah panel sedang mengkaji Interlok. Panel yang dikatakan mahir dan pakar dalam pelbagai bidang sedang meneliti karya besar ini. Apakah mungkin perkataan tertentu dipinda untuk memuaskan hati segelintir golongan? Jika pindaan kepada karya besar Abdullah dilakukan, apakah ia masih milik Abdullah lagi atau Interlok sudah jadi milik panel yang dikatakan bebas dan berwibawa itu? Sanggupkah Abdullah mengakui Interlok hak ciptanya sedangkan ayat dan semangat asal dalam karya itu sudah dicencang?
Persoalan juga masih timbul: apakah panel yang menilai Interlok bebas daripada segala kepentingan lain? Mungkinkah mereka juga ada kecenderungan untuk mempromosikan diri dan karya sendiri? Apakah mereka memahami perasaan dan semangat ketika karya Abdullah dihasilkan?

Tentunya isu Interlok tidak mudah ditangani. Ia juga seperti karya Melayu lama yang akan diperturunkan dari mulut ke mulut. Menangani karya seni tentunya tidak semudah menjanjikan kehidupan harmoni bagi sebuah bangsa yang hak ciptanya semakin ternoda. - Berita Harian, 18 Mac 2011

Tuesday, March 01, 2011

Gerakan Islam alternatif pemikiran tradisional

RUSUHAN berdarah 13 Mei 1969 memberi impak besar terhadap gerakan Islam di Malaysia.  Jika sebelumnya urusan agama dianggap  sekadar  warisan keluarga, kejadian yang berlaku pada masa singkat memberi kesedaran betapa Islam  cara hidup terbaik dan menjadi penyelesai masalah ummah.

Ketika kemuncak rusuhan, ada bangsa Melayu yang menjadi golongan minoriti di Kuala Lumpur  berlindung di Masjid Negara dan masjid Kampung Baru yang dianggap kawasan selamat. Mereka yakin pertolongan Allah di samping mengharapkan tindakan segera   pasukan keamanan.

Siswa di pusat   pengajian tinggi tempatan juga mula menjadikan aktiviti agama sebagai sebahagian daripada aktiviti harian. Keadaan ini amat berbeza  sebelumnya kerana  cara hidup  yang disemai oleh penjajah hampir mengubah kehidupan segelintir  Melayu di  bandar,  khususnya yang mendapat didikan sekular.

Jika kita membaca karya Asas 50 dan menonton filem Melayu era Studio Jalan Ampas, cara hidup Islam  kurang ketara. Watak utama yang menghidupkan budaya Islam agak terbatas.  Watak wanita bertudung dan menutup aurat hampir tidak menonjol.  Tema yang mengutamakan cara hidup ummah hampir tiada. Ia berlanjutan sehingga dekad 60-an dan keadaan jauh berubah pada 1970-an, apabila gerakan Islam sejagat memberikan impak besar terhadap generasi muda di Malaysia. 

 Di negara Arab,   gerakan Islam muncul mendadak selepas Perang  Arab-Israel pada 1967. Generasi muda yang mendapat pendidikan Barat menggunakan disiplin  keilmuwan di Barat untuk menggerakkan perjuangan  di negara sendiri.  Mereka meneladani  perjuangan  Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, An Nahdah dan  Mili Salamat untuk mencabar sistem sekular yang sudah lama bertapak di negara umat Islam. Perjuangan  Sheikh Abdul Qader al-Jazair (Algeria), Sheikh Umar Mukhtar (Libya), Sheikh Uthman Den Fodio (Nigeria), Sultan Hassanuddin dan Imam Diponegoro (Indonesia) Hassan Munas (Tok Janggut) dan Abdul Rahman Limbong (Tanah Melayu) menjadi  inspirasi menggerakkan ummah. Jika pejuang sebelumnya menuntut kemerdekaan, generasi 70-an  pula menjadi pendesak idea penubuhan negara Islam yang masih terbengkalai.

Perjuangan   Sheikh Muhammad Abduh,  Jamaluddin al Afghani dan Rashid Ridho menjadi idola reformis Islam. Kebangkitan pemikiran   Hassan al Banna  yang  menggerakkan Ikhwaanul Muslimin di Ismiliah Mesir pada 1928 menjadi inspirasi penubuhan persatuan belia Islam di seluruh dunia. Mereka mula mendesak dan bersuara  selepas menyedari ideologi ciptaan manusia gagal menyelesaikan isu sejagat. Sistem komunisme, sosialisme, nasionalisme dan  liberalisme gagal menyelesaikan masalah ummah. Mereka mengkaji jati diri Islam yang merupakan penyelesai masalah universal.

Revolusi Iran pada 1978 menyemarakkan kesan perjuangan generasi muda sejagat. Kehidupan mewah Shah Iran terdedah dengan pelbagai variasi siasah. Gerakan Islam menjadikan perjuangan dan kejayaan golongan mullah di Teheran sebagai alternatif  kepada sistem monarki sekular.

Di Malaysia pula, perjuangan Angkatan Belia Islam (ABIM) memberikan kesan tersendiri. Jika sebelumnya pertubuhan belia tak lebih daripada sekadar penganjuran majlis sukaria dan penganjuran lawatan, ABIM meletakkan gerakan belia sebagai wadah pembentukan generasi pemimpin masa depan. Beberapa tokoh ABIM menjadi penggerak  parti politik utama. UMNO, PAS dan BERJASA pernah dibayangi gerakan ABIM.

Pusat pengajian tinggi juga tidak terkecuali dengan gerakan ABIM yang tentunya lebih menjadi cabaran kepada persatuan siswa yang agak liberal sebelum ini. Ketika gerakan pelajar pada 1974, pengaruh gerakan Islam   mewarnai  ruang kampus dan medan siasah. Malahan, pembentukan Akta Universiti dan Kolej (AUKU) juga dikaitkan dengan perjuangan pelajar yang didakwa  militan.

Mereka juga dikaitkan sebagai kabel gerakan komunis antarabangsa walaupun pada dasarnya Islam dan komunisme dua ideologi yang saling bercanggah. Pada hari ini gerakan belia dan Islam tidak dapat dipisahkan. Teknologi maklumat dan media baru menjadi perayaan sejagat yang dimanfaatkan generasi muda. Ketika media tradisional semakin terpinggir, media baru menjadi wadah terkuat untuk menyuarakan hasrat generasi muda. Jika insiden 13 Mei 1969 dikaitkan sebagai perjuangan perbezaan antara dua kelas ekonomi yang dibentuk oleh ras dan agama, kini gerakan belia Islam menjadi medan alternatif  terhadap sistem  yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat.

Cara berfikir dan bersiasah mengikut acara lama sudah ketinggalan. Generasi muda Islam lebih melihat kepada masa depan yang lebih dinamik. Mereka mengharapkan suasana hidup yang lebih selesa dan suara propaganda murahan perlu diketepikan.

Jika ada di kalangan kita yang mengabaikan suara yang tercatat pada laman blog, facebook, twitter dan e-mel, sesuatu yang drastik  mungkin terjadi. Gerakan anak muda dan gerakan Islam semakin mewarnai suasana politik di seluruh dunia.  Merekalah pelengkap siasah sejagat masa kini dan masa depan. - Berita Harian,  1 Mac 2011