Pages

Tuesday, June 26, 2012

Indahnya budi bahasa kita...

BENARKAH masyarakat kita berbudi bahasa dan penyayang? Saya sukar menjawabnya kerana beberapa pengalaman peribadi dalam masa tiga minggu bagai menyanggah makna budi bahasa rakyat Malaysia.

Saya mempunyai masalah small bladder. Ketika mendapat rawatan di sebuah klinik day-care, doktor wanita yang saya syak belum kahwin dengan selamba menegur: “Encik dah makan?” Tuturnya sambil melondehkan kain sarung yang saya pakai di bilik pembedahan kecil.

Memang saya tahu tugas doktor terpaksa memeriksa anggota sulit kerana faktor tugas, tapi salahkah kalau minta izin kepada yang empunya diri sebelum bertindak? Mungkin kerana dia terlalu biasa buat macam tu, menyebabkan dia rasa tidak perlu meminta izin kepada pesakit walaupun membabitkan tempat sulit. 

Mungkin sudah banyak kali dia berbuat demikian. Pengalaman memandu di Lebuh Raya Plus ke Alor Gajah cukup memeritkan. Pemandu sewenang-wenangnya menggunakan lorong kanan untuk memecut dan mencelah ke lorong tengah atau kiri untuk memotong jika ada kenderaan lain yang dianggap perlahan di laluannya.

Hebatnya pemandu Malaysia yang bukan saja memecut, bahkan menyalakan lampu dan membunyikan hon jika tidak diendahkan. Berbudi bahasakah mereka?

Pengalaman di sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) juga tidak terkecuali menduga ungkapan masyarakat penyayang rakyat Malaysia. Petak parkir yang dikhaskan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dicerobohi.

Pemandu OKU terpaksa parkir tepi simpang semata-mata mahu ke tandas. OKU terpaksa berjalan jauh untuk melepaskan hajat. Mana budi bahasa pemandu Malaysia? Di tempat lain pun keadaan hampir sama. Petak parkir OKU diceroboh, laluan melintas dihadang dengan kenderaan.

Di sebuah restoran makanan antarabangsa pula membawa pengalaman yang hampir sama. Pelanggan Melayu kurang dilayan sebaik-baiknya.

 Saya terpaksa meninggikan suara untuk mendapatkan layanan, itu pun ditanya dalam bahasa penjajah. Hina sangatkah bahasa Melayu jika sekadar mahu pesan kambing panggang, sup cendawan dan air bergas?
Di sebuah syarikat penerbangan pula, kita juga dilayan dengan bahasa rojak walaupun sekadar beli tiket penerbangan tambang murah ke Kota Bharu: “Apakah kamu ada kad kredit?”

Kenapa dia terpaksa guna perkataan ‘kamu’ kepada pelanggan,  bukan ‘awak’, ‘encik’ atau ‘pakcik’.
Bukankah dari segi nilai sosialnya perkataan ‘kamu’ membawa makna yang kasar seperti pertuduhan kes di mahkamah, atau  ungkapan guru disiplin terhadap pelajar nakal di sekolah?

Apakah tiket kapal terbang tambang murah membabitkan status sosial sehingga ditanyakan mengenai kad kredit? Hebatkah kad kredit untuk penerbangan ‘kamu’ balik kampung?

Di sebuah kedai buku di Alamanda, Putrajaya pula, buku berbahasa Melayu diletakkan di rak ceruk dinding bahagian belakang. Buku Melayu yang ada di kaunter depan hanya Doktor Umum - Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Mungkin kerana nama Dr Mahathir, maka bukunya di tempat yang selesa.

Apabila ditanya kepada penyelia kedai buku, jawapan dalam bahasa Inggeris yang diterima ialah buku Melayu tak laku! Cara penjelasannya tidak ikhlas kerana matanya ke arah kaunter, bukan melihat wajah pelanggan. Ternyata dia kurang berbudi bahasa.

Isu budi bahasa dan masyarakat penyayang sudah kerap kedengaran. Kita semakin terhakis nilai murni kerana kesibukan sosial. Kita mungkin semakin maju ekonomi dan kemudahan prasarana, tapi kita semakin miskin dengan nilai murni dan perasaan ehsan. Banyak  yang perlu dibantu namun ramai yang tidak sanggup berbuat demikian.

Justeru, tidak menghairankan apabila bekas Ketua Unit Nephrologi dan Transplant Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),  Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor bagai mengeluh kerana di Malaysia terlalu ramai yang  'kasihan' tetapi tidak berbuat apa-apa.

Beliau merujuk kepada kempen derma organ untuk pesakit buah pinggang. “Ramai yang kasihan apabila melihat penderitaan pesakit,  namun tidak sanggup derma organ. Apabila ada yang mahu derma buah pinggang, mereka melarang kerana bimbang penderma organ cepat mati,” tuturnya secara sinis pada suatu majlis.

Lebih malang lagi, bangsa Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India.  Mengikut statistik yang dikeluarkan Pusat Sumber Transplan  Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur pada 2005, sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (8  peratus) dan kaum lain tiga peratus. Pada 2005 juga hanya 10  yang tampil menderma organ.  Tahun lalu angkanya tak banyak berubah.

Bayangkan masyarakat  yang sering dianggap berbudi bahasa dan penyayang tapi sekadar di mulut saja.
Budi bahasa, nilai murni kita semakin terhakis,. - Berita Harian, 26 Jun 2012

Wednesday, June 20, 2012

PTPTN, penentu undi generasi muda

“KAMI mahu suara anak muda didengari,” kata siswa yang pada awalnya ragu-ragu  untuk berterus-terang.
 “Jika mengundi, kami akan pilih parti yang boleh memberi jaminan kepada anak muda. Kami mahu masalah kami didengari. Kami mahu suara anak muda mendapat perhatian sewajarnya,” katanya lagi.

 Pertemuan spontan di sebuah masjid di sebuah pusat pengajian tinggi yang awalnya membabitkan tiga individu bertambah kepada 10 orang selepas solat Jumaat.

 “Kami tidak menentang mana-mana kelompok. Memadai isu pelajar ditangani. Kami datang dari luar bandar. Ayah bersara. Emak suri rumah sepenuh masa. Kami perlu bantuan kewangan. Apa pun namanya biasiswa, bantuan, pinjaman atau PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), kami tak kisah. Tetapi menghapuskan pinjaman pelajaran membebankan kami. Jika kami dianggap aset negara, kenapa kami dibebankan untuk belajar pada peringkat tinggi?”

 Suara yang hampir sama kedengaran pada majlis dialog di sebuah pusat pengajian tinggi lain seminggu lebih awal.

 Hari ini isu pendidikan dan generasi muda sudah sebati. Mereka pewaris negara. Lebih utama, mereka mungkin sebahagian generasi muda yang bakal membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

 Kita tidak pasti kecenderungan pengundi muda kepada politik kepartian. Namun mereka generasi Starbucks yang mempunyai budaya yang mungkin berbeza daripada ayah dan ibu sendiri. Mereka membesar dengan media baru, menjadi pengamal setia Facebook dan Twitter, serta tidak mudah menerima pendapat yang dianggap mempunyai ciri-ciri feudalisme.

 Katakan mereka generasi X atau Y yang sukar dijangka, mereka tidak peduli kerana ledakan teknologi maklumat bagai melenyapkan kelompok yang ada di persekitaran mereka.

 Yang mereka pasti ialah jaringan tanpa sempadan dan sumber  maklumat berada di hujung jari. Sebahagian mereka mengakui tidak menganut fahaman politik tertentu, namun tegas mereka aspirasi muda jangan diketepikan.

 Pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini. Sama ada tinggal di luar bandar atau di kawasan urban, selera dan minat siasah generasi muda sukar dianalisis. Suara mereka menerusi Facebook dan Twitter sentiasa kritikal dan sinis.

Lebih sukar apabila mereka dianggap sebagai majoriti senyap yang akan membuat perkiraan menerusi peti undi. 

Perkembangan siasah sejak 2 September 1998 mengaitkan aspirasi muda dengan pembangkang. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 1999 dan 2008 hampir membuktikan tanggapan ini.

 Terkecuali pada Pilihan Raya Umum 2004 apabila sebahagian pengundi terpengaruh dengan slogan Islam Hadhari yang dipopularkan oleh mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, suasana selepas itu berbeza.  Ungkapan Islam Hadhari pun tidak kedengaran lagi apabila  keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 memberi gambaran drastik.

 Sukar untuk menyatakan bahawa generasi muda hari ini sebagai penentu politik negara kerana sebahagian besar daripada mereka tidak mendaftarkan nama sebagai  pengundi.

 Sebanyak 3.7 juta rakyat di negara ini gagal mendaftar sebagai pengundi dan sebahagian besar daripada mereka generasi muda. Golongan yang tidak mendaftar secara langsung tidak berhak membuat keputusan menerusi peti undi. Jika sekadar bersuara dan heboh dengan aktiviti kepartian tanpa peluang membuat keputusan di peti undi, tidak akan mengubah keadaan.

  Kajian sebuah parti politik pula mendapati 62 peratus pengundi muda tidak menyokong sesiapa. Mereka hanya membuat keputusan pada saat akhir pengundian.

 Jika banyak isu yang membabitkan kepentingan mereka, ia mungkin menjadi penentu dalam keputusan terakhir di peti undi.

 Justeru, mana-mana gerakan siasah perlu cekap mengambil kesempatan supaya generasi muda berpihak kepada mereka.

 Pada hari  ini pola pengundian hampir boleh diteka. Undi Melayu di luar bandar dan kawasan FELDA lazimnya berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN). Melayu kawasan urban dan sekitar kawasan pusat pengajian tinggi sukar diramal. Mereka bergantung kepada isu dan kekuatan calon seperti berlaku di kawasan Bangi, Shah Alam, Nilam Puri, Skudai dan Johor Bahru. Generasi intelektual dan terdidik lazimnya mempunyai tanggapan berbeza terhadap kualiti kepartian.

 Pengundi Cina boleh dijangka hala tuju sokongan mereka. Kaum India di kawasan pedalaman masih menjadi misteri. Generasi  muda yang banyak bertwitter dan Facebook kini perlu diberi tumpuan.
Jika hasrat dan keinginan mereka kurang dilayani, kita boleh mengerti arah mana mereka selepas ini. - Berita Harian, 20 Jun 2012

Monday, June 18, 2012

Manifesto BN dalam Harakah?

DEMAM pilihan raya umum menjadikan media sebagai sasaran golongan siasah: Wajarkah manifesto parti didedah menerusi akhbar perdana?

Berpeluangkah pembangkang mendapat ruang di media utama?

Apakah parti pemerintah pula diberi ruang mendedahkan manifesto di akhbar Harakah?
Jika sebelum ini media utama dikaitkan dengan pemerintah dan akhbar sampingan dianggap milik pembangkang,  adilkah tanggapan itu?

Bersediakah akhbar kecil dan portal berita yang mendakwa memperjuangkan kebebasan media menyiarkan berita pembangunan, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan lawatan pemimpin kerajaan ke kawasan pedalaman?
Isu media dan  kebebasan sering diperdebatkan. Sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), manusia sudah memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi. Media pula muncul apabila hak asasi dan kebebasan dikongsi untuk bertukar pendapat serta menyebarkan maklumat.

Sehingga akhir dekad 1980-an yang dianggap ‘zaman gelap media di dunia ketiga’, kehadiran internet dan teknologi maklumat secara terbuka pada dekad 1990-an memberi ruang kebebasan yang masih boleh dipertikaikan.

Apakah kebebasan media bermakna seseorang boleh mendakwa pihak lain sebagai pembunuh, perasuah dan diktator? Adilkah maklumat yang menyebarkan berita khalwat,  salah guna kuasa dan seksual bebas tanpa sebarang bukti?

Pilihan raya adalah ruang demokrasi yang menuntut kebebasan berhujah dan menyerlahkan   kepemimpinan seseorang tokoh.

Media pula berperanan menyalurkan proses demokrasi dengan penuh wibawa tanpa penyelewengan. Namun demokrasi juga tidak terkecuali diseleweng, seperti juga media yang didakwa berpihak kepada kelompok tertentu, sekaligus menyelar pihak lain.

Bagi yang merasakan demokrasi dan media di Malaysia tidak menepati piawaian dunia, negara manakah yang benar-benar demokratik  dan medianya bebas?

Apakah negara kuasa besar utama memberikan ruang adil kepada calon Republikan dan Demokrat setiap empat tahun menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat?

Bagaimana pula peranan pelobi Yahudi dan pemegang saham yang kebetulan pula Zionis media antarabangsa? Adakah mereka menyiarkan laporan penderitaan bangsa Palestin yang bertahun didera di Tebing Barat Semenanjung Gaza?

Dua wartawan akhbar Washington Post,  Bob Woodward dan Carl Bernstein mendedahkan skandal politik dan media yang membabitkan Richard Nixon ketika menguasai Rumah Putih pada 1972.

Skandal Watergate bukan saja proses intipan terhadap musuh politik, juga peranan media yang bersubahat meyakinkan massa mengenai dasar Amerika di Asia Barat dan pertentangan antara Pakatan Atlantik Utara (NATO) dengan rejim komunis yang menguasai Pakatan Warsaw ketika itu.

Media Barat sepanjang tempoh Perang Dingin tidak menjelaskan isu sebenar pertarungan minda dunia antara Blok Timur dan Barat.

Mereka menjadikan agenda menyerang negara Asia Timur seperti Malaysia yang dianggap tidak demokratik dan kuku besi.

Laporan media tempatan dianggap propaganda kerana kononnya wartawan Barat lebih wibawa. Ahli siasah tertentu menjadi batu loncatan Barat untuk mempersendakan proses demokrasi di Malaysia.

Akhirnya, menjelang pilihan raya umum, isu  penyiaran manifesto pilihan raya disuarakan seolah-olah media utama lebih menyokong pemerintah dan mengabaikan pembangkang.

Jika manifesto pembangkang kurang mendapat sambutan, media akan terus dipersalahkan sebagai berat sebelah, walhal perjuangan sesetengah ahli politik itu sendiri lebih berteraskan kepada kepentingan peribadi dan kuasa. Adilkah media mendapat imej seburuk  itu?- Berita Harian, 18 Jun 2012


Wednesday, June 13, 2012

Politik sastera lahir penulis jahil

PENYAIR Leo AWS baru saja menerbitkan kumpulan puisi ke-23 yang diberi judul Waktu Kaumulakan dan Gurindam Rakyat, memuatkan karya peribadi di samping tokoh lain termasuk Dr Rajiee Hadi, Dr Ibrahim Ghaffar dan Aladin Mohamad.

 Sebahagian besar karyanya diterbitkan sendiri menerusi syarikat Pustaka Dewan Puisi kerana beliau yakin tiada pihak yang sudi melayani bentuk puisi yang dihayatinya.

 Leo mula berkarya sejak awal 1970-an, namun nama jarang diperkatakan kerana puisinya dianggap ‘asing’ daripada kebanyakan karya tempatan.

 Penyair T Alias Taib menganggap karya Leo sebagai ‘cerpuisi’  kerana adunan puisi dan esei yang agak ketara. Dia berkarya secara prosaik dan santai. Ada ketikanya, ungkapannya tidak melebihkan tanggapan yang ditemui dan menukang bait karya seada-adanya.

 Penyair Zahari Hasib juga sering dianggap prosaik dan menggunakan ungkapan yang dianggap ‘biasa’ sebagai pengucapan seni. Zahari membawa imej realis yang kaya dengan kejutan pada bait akhir karyanya.
 Begitu juga Wadi Leta SA, Hilmi Rindu, Awang Abdullah, Puzi Hadi,  Daeng Ramli Akil, Marsli NO dan Nawawee Muhammad yang menemui gaya tersendiri dalam berkarya.

 Pengalaman bertahun-tahun seseorang penulis boleh mendewasakan mereka, namun suasana di Malaysia berlainan sekali.

 Karya mereka tidak  dianggap besar kerana tabii  seseorang penulis dianggap terhormat apabila berada di Kuala Lumpur,  atau setidak-tidaknya berada dalam lingkaran kelompok yang ada kaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulis yang sering sorak-sorai dengan publisiti.

 Isu politik sastera sudah lama kedengaran. Sejak dekad 60-an, dakwaan kelompok dan kabilah seni sudah kerap kedengaran. Pengkritik Mohd Affandi Hassan  pernah menegur golongan yang menguasai DBP dan grup penulis yang dianggap terbaik walaupun mutu karyanya boleh dipertikaikan.

 Penulis yang dianggap HB Jassin Malaysia, Yahaya Ismail pula  pernah mempertikai   karya  memenangi Hadiah Sastera Malaysia  (kini Hadiah Sastera Perdana)  yang dianggap rendah mutu berbanding sorak-sorai seni yang tidak berkesudahan.

 Pada dekad  80-an, sekumpulan penulis muda yang lahir dengan  gaya tersendiri namun asing pada pandangan pengkritik dan pengkaji seni. Nama Marsli NO, Azim Salleh,   Ismaily Bongsu, Pyanhabib, Napie Mat, Lee Cheong Beng dan Awang Abdullah dianggap mewakili kelompok berkenaan. Namun karya mereka jarang diperkatakan secara serius, kerana penelaah sastera lebih mesra untuk memperkatakan generasi  90-an hingga ada yang merasakan sikap luar biasa ini sebagai mengelirukan fakta perkembangan sastera tanah air.

 Kewujudan Minggu Penulis Remaja  sering dikaitkan sebagai landasan untuk memencilkan kelompok 80-an dan pengkritik lebih seronok memperkatakan karya yang kebetulan menjadi anak didik mereka sepanjang Minggu Penulis Remaja.

 Memang diakui Minggu Penulis Remaja berjaya melahirkan bakat baru, namun apabila segelintir pembimbing menjadikan ruang untuk membina kelompok dan kabilah sendiri, semangat melahirkan sasterawan terbaik boleh dipertikai.

 Keadaan ini mendorong suasana politik sastera yang     tidak berkesudahan. Ada sesetengah pembimbing  digelar ‘ayahanda’ yang kononnya jujur membantu generasi baru.  Perasaan saling menghormati antara pembimbing dan bakal penulis menjadikan suasana saling bergantung yang akhirnya ada kelompok penulis dijulang,  pada masa sama meminggirkan grup lain.

 Jangan terperanjat jika sehingga kini kita gagal melahirkan generasi pelapis yang berbobot. Jangan kaget jika majalah yang khusus untuk kegiatan sastera sekadar  2,000 edaran saja. Kenapa karya penulis yang sama disiarkan Dewan Sastera saban tahun?

 Jangan terperanjat jika Indonesia, Thailand dan Filipina lebih  tinggi pengucapan seninya kerana memiliki barisan penulis yang berwibawa dan berdaya tahan.

 Kita sekadar meriah dengan sorak-sorai dan santai seni. Kita meriah dan seronok dengan acara baca puisi dan selingan ringkas yang akhirnya tidak ada apa-apa.

 Ketika segelintir penulis yang  merasakan terpinggir masih mencari karya sejati dalam arena kesusasteraan tanah air, jangan terperanjat apabila kita menemui badut seni yang   melahirkan karya dangkal, jahil  dan daif. Sastera kita kekal lesu dan layu kerana segelintir   golongan seni sendiri yang mahukan keadaan begitu.
 Pengkritik dan sarjana sastera pula bagai tidak melihat masalah sebenar yang melingkari sastera Malaysia. Mereka sekadar mengadunkan teori yang diceduk daripada  buku tanpa melihat realiti permasalahan politik sastera tempatan.

Mungkin kita berbangga mempunyai sedozen Sasterawan Negara dan puluhan pemenang Sea Write Award. Hebat sangatkah karya mereka untuk berdepan kerenah dan politik sastera Malaysia? - Berita Harian, 13 Jun 2012

Monday, June 11, 2012

UMNO, PAS: Siapa jujur?

KEJADIAN rusuhan kaum 13 Mei 1969 memberi kesan langsung kepada perubahan minda bangsa Melayu. Gerakan siasah dan sokongan kepartian tanpa disedari digerakkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyusun semula masyarakat.

 Walaupun UMNO ditubuhkan pada 1946 dan PAS terbentuk hasil serpihan daripada golongan ulama UMNO, kedua-duanya mempunyai fungsi besar dalam gerakan siasah peringkat nasional.

 UMNO dan PAS bukan sekadar bersaing merebut pengaruh di kawasan Melayu, juga menjadi penentu survival Melayu yang terhimpit dengan kemasukan imigran Cina dan India pada zaman kolonial.
 Perseteruan secara terbuka melemahkan kuasa Melayu seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum 1969 apabila UMNO dan PAS bersaing sesama sendiri, menyebabkan Perikatan sekadar menang majoriti mudah di Parlimen.

 Persefahaman kemudian terjadi apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang didahulukan dengan kerajaan campuran di Kelantan, seterusnya menjana kuasa politik Melayu yang lebih dominan.

 Kerjasama UMNO dan PAS tidak lama apabila pada era kepemimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN bertindak mengusir PAS pada 1977 dan UMNO rampas Kelantan menerusi pilihan raya khas selepas rusuhan anti-Kumpulan 20 di Kota Bharu.

 Pada dekad 80-an, UMNO dan PAS bergerak bersendirian dan saling bercakaran  terutama di kawasan dominan Melayu. Tokoh muda PAS seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Abu Bakar Chik dikenali dengan kelantangan luar biasa pada dekad 80-an. Amanat  Hadi pada 1985 dianggap fatwa agung yang merantai masyarakat luar bandar. Ketika itu juga berlaku ketegangan di Memali menyebabkan kematian Ibrahim Libya dan pengikutnya.

 Beberapa tokoh PAS yang dianggap sekular dan fahaman sederhana seperti Tan Sri Asri Muda, Datuk Hassan Adli, Amaluddin Darus dan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad  meninggalkan PAS. Mereka dikatakan tewas kepada puak muda yang lebih tegas dan lantang.
 Isu solat Jumaat dua imam, pulau-memulau dan perceraian membabitkan  politik turut berlaku. PAS bukan saja terperangkap dengan pendirian keagamaan, juga sikap kewilayahan yang luar biasa. Pengikut PAS dari Kedah dan Terengganu dianggap berbeza dengan pimpinan di Kelantan.

 Walaupun PAS berjaya mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999,  bentuk pentadbiran yang diamalkan oleh Hadi kurang mendapat sambutan rakyat  berbanding Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan. Akhirnya PAS hanya bertahan sepenggal sebelum Terengganu dikuasai semula oleh UMNO dan Barisan Nasional pada 2004.

 Sebagai sebuah parti agak tradisional dan pesat di kawasan dominan Melayu, PAS dianggap suara alternatif kepada bangsa Melayu. Komposisi antara pimpinan ulama dan profesional meletakkan PAS sebagai pengimbang suara Islam/Melayu di dalam pakatan pembangkang.

 Jika PAS bergelut antara kelompok sederhana dan pelampau pada dekad 80-an, UMNO juga tidak terkecuali bergelut dengan masalah dalaman. Perebutan jawatan dalam parti menjelang pemilihan UMNO 1987 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah memberi kesan tersendiri. Ahli UMNO bukan saja dipaksa memilih tokoh terbaik untuk memimpin parti, juga berdepan kerenah politik wang dan amalan rasuah dalam parti. Urusan jual beli saham dan kronisme bukan saja menjejaskan imej Melayu dan UMNO, juga menimbulkan prasangka daripada pihak lain.

 Pada dekad 90-an, istilah Melayu baru dan imej kereta mewah, banglo serta syarikat korporat menjadi jenama luar biasa. Melayu baru kononnya sudah berjaya bersaing dengan bangsa lain hasil agihan kek DEB. Bagaimanapun, tidak sedikit Melayu yang terpalit dengan penyelewengan perniagaan dan konflik ali baba yang menjejaskan semangat perniagaan dalam kalangan Bumiputera sendiri.

 Walaupun UMNO dan korporat dua entiti berbeza,  sangkaan umum adalah parti siasah yang menggerakkan peniaga Melayu. Isu saham, kepentingan kuasa dan kronisme menjadi duri dalam daging kepada survival UMNO itu sendiri. Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli UMNO dan menapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dalam masa singkat, bukan saja menimbulkan keriuhan, juga menyemarakkan pertelingkahan antara kelompok dalam parti.

 Jika dekad 90-an menyaksikan persaingan ulama dan sekular dalam PAS, UMNO juga tidak terkecuali menerima kesan kemasukan ideologi ABIM dan gerakan Islam serantau.

 Hari ini kelangsungan politik kekal dengan sepak terajangnya. UMNO dan BN bukan sekadar menapak menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan pelbagai kemungkinan, PAS dan pakatan pembangkang juga tidak terkecuali berdepan pelbagai kemungkinan sama. Apakah suara Melayu lebih kukuh selepas pilihan raya umum atau keputusan peti undi bakal memberi natijah lain yang luar jangkaan?

 Jika Pilihan Raya Umum 1969 memberi kesan terhadap jati diri Melayu, mungkinkah suatu hari nanti  isu kaum akan lebih lantang apabila ada pihak mempertikaikan isu Perlembagaan dan Kesultanan Melayu lebih polos? Jangan terperanjat jika Melayu sendiri yang merendahkan bangsanya sendiri!  - Berita Harian, 11 Jun 2012

Wednesday, June 06, 2012

A Samad Said sasterawan rakyat

ADA kenalan yang bertanya saya  mengenai pendirian Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; benarkah beliau diperalatkan, atau menjadi alat pembangkang?

Apakah beliau melacurkan taraf Sasterawan Negara semata-mata kerana taksub perjuangan siasah yang dianggap ‘menentang’ arus perdana?

Tidak kurang juga yang mempersoalkan apakah  perhimpunan haram bakal menjadi budaya baru dalam medan siasah negara?

Saya bersahabat baik dengan Samad sejak dekad 80-an dan beliau banyak mentelaah  karya saya di Berita Minggu  ketika itu.

Nama ‘Imlan Adabi’ bersama Khalid Salleh, Abdulaziz HM, Pyanhabib, Marzuki Ali,  Ladin Nuawi, Zaen Kasturi, Marsli No dan Ismaily Bongsu  turut tercatat pada kumpulan puisi Samad berjudul Balada Hilang Peta yang dianggap generasi baru sasterawan Malaysia pada dekad 90-an.

Beliau juga menjadi saksi pernikahan saya pada 1992 dan namanya tercatat pada sijil nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). 

Karya Samad terpancar nilai intelektual dan kemanusiaan yang melayakkan beliau sebagai Sasterawan Negara dan  tidak mustahil suatu hari nanti meraih anugerah lebih tinggi termasuk Hadiah Nobel.
Karya  Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Cinta Fansuri, Adik Datang dan Lantai T Pinkie bukan sekadar paparan isu semasa,  juga kekuatan teknik penulisan. Samad menerusi Daerah Zeni dan Hujan Pagi meneroka realis magis yang jarang dilakukan sasterawan tempatan pada dekad 80-an.

Sikap, pandangan dan pendirian Samad mengenai politik amat ketara sejak dekad 50-an lagi. Beliau menentang kekejaman politik dan peperangan seperti tercatat dalam Salina. Samad menegur keserakahan kuasa yang mengawal media  menerusi novel Hujan Pagi. Samad mengandaikan wartawan lebih akrab makan hati di samping makan gaji semata-mata bagi  mengisi dapur  untuk   isteri dan anaknya. Lebih fatal, kalangan penulis sentiasa bernasib malang dalam dua dimensi berbeza. Pada era penjajahan, penulis dan wartawan diancam oleh bangsa penjajah, namun selepas merdeka, penjajahan di kalangan bangsa sendiri yang menilai  dan mengekor setiap tulisan di media dengan pelbagai akta yang menguntungkan pihak penguasa. Hujan Pagi bagai menyerlahkan suara sebenar Samad sejak lebih dua dekad lalu.

Mengkaji karya Samad sejak dekad 50-an akan memberi jawapan terhadap apa yang dilakukannya kini. Samad bukan ahli siasah, tidak juga bersuara menentang mana-mana gerakan politik. Beliau hanya menentang golongan kapitalis yang bersekutu dengan kuasa dan menjadikan kuasa sebagai alat untuk menguasai segala-galanya.

Berbeza dengan Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, Dr Kassim Ahmad dan Pak Sako yang pernah menyertai gerakan politik, Samad terkecuali dan sebelum ini lebih banyak menyepi daripada bercakap soal kepartian.

Hanya akhir-akhir ini beliau lantang dan hadir di pentas ceramah dengan nawaitu yang masih misteri. Benarkah beliau  sudah berpolitik, atau Sasterawan Negara bersuara kerana seperti kata seniman tersohor Indonesia, WS Rendra: “Sasterawan harus berada di muka, bukan di belakang khalayak!”
Beberapa perbualan peribadi dan khidmat pesanan ringkas kami berdua tidak pernah menyentuh sokongan kepartian. 

Dari segi sejarah, tidak sedikit sasterawan besar yang sentiasa sinis kepada penguasanya sendiri.  Jika Rendra, Hamka dan Sutarji sentiasa sinis terhadap rejim Orde Baru di Indonesia, kita juga tidak kurang dengan suara jerit  seperti   Sasterawan Negara  Datuk  Shahnon Ahmad yang lantang menerusi novel  Shit. 

Beliau juga melahirkan Piem (PM?) yang dianggap kotor dan busuk.   Shahnon juga menghasilkan novel Sutan Baginda yang menggambarkan masyarakat kacau dan manusia lebih mempercayai kerbau daripada sesama insan. Sasterawan Yahaya Ismail yang pernah dianggap sebagai HB Jassin Malaysia juga melahirkan Maharaja Beruk yang dianggap ganas dan menggigit sesiapa saja. Tidak terkecuali suara sinis puisi Dr Kassim Ahmad termasuk Sidang Roh yang menggambarkan masyarakat kacau angkara keteledoran haiwan politik ketika ‘Tuhan sudah mati’.

Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad juga tidak terkecuali dengan Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan yang mengkritik  struktur politik  pada era British dan  pasca penjajahan.

Tentunya Samad akan tetap diperhatikan kerana beliau masih dianggap penting dalam dunia seni Malaysia. Ada pihak yang memberi gelaran ‘sasterawan rakyat’ namun saya anggap beliau lebih mengerti ke mana hala tujunya. Samad  sentiasa kental dengan perjuangannya!- Berita Harian, 2 Jun 2012