Pages

Monday, June 11, 2012

UMNO, PAS: Siapa jujur?

KEJADIAN rusuhan kaum 13 Mei 1969 memberi kesan langsung kepada perubahan minda bangsa Melayu. Gerakan siasah dan sokongan kepartian tanpa disedari digerakkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyusun semula masyarakat.

 Walaupun UMNO ditubuhkan pada 1946 dan PAS terbentuk hasil serpihan daripada golongan ulama UMNO, kedua-duanya mempunyai fungsi besar dalam gerakan siasah peringkat nasional.

 UMNO dan PAS bukan sekadar bersaing merebut pengaruh di kawasan Melayu, juga menjadi penentu survival Melayu yang terhimpit dengan kemasukan imigran Cina dan India pada zaman kolonial.
 Perseteruan secara terbuka melemahkan kuasa Melayu seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum 1969 apabila UMNO dan PAS bersaing sesama sendiri, menyebabkan Perikatan sekadar menang majoriti mudah di Parlimen.

 Persefahaman kemudian terjadi apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang didahulukan dengan kerajaan campuran di Kelantan, seterusnya menjana kuasa politik Melayu yang lebih dominan.

 Kerjasama UMNO dan PAS tidak lama apabila pada era kepemimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN bertindak mengusir PAS pada 1977 dan UMNO rampas Kelantan menerusi pilihan raya khas selepas rusuhan anti-Kumpulan 20 di Kota Bharu.

 Pada dekad 80-an, UMNO dan PAS bergerak bersendirian dan saling bercakaran  terutama di kawasan dominan Melayu. Tokoh muda PAS seperti Datuk Seri Hadi Awang dan Abu Bakar Chik dikenali dengan kelantangan luar biasa pada dekad 80-an. Amanat  Hadi pada 1985 dianggap fatwa agung yang merantai masyarakat luar bandar. Ketika itu juga berlaku ketegangan di Memali menyebabkan kematian Ibrahim Libya dan pengikutnya.

 Beberapa tokoh PAS yang dianggap sekular dan fahaman sederhana seperti Tan Sri Asri Muda, Datuk Hassan Adli, Amaluddin Darus dan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad  meninggalkan PAS. Mereka dikatakan tewas kepada puak muda yang lebih tegas dan lantang.
 Isu solat Jumaat dua imam, pulau-memulau dan perceraian membabitkan  politik turut berlaku. PAS bukan saja terperangkap dengan pendirian keagamaan, juga sikap kewilayahan yang luar biasa. Pengikut PAS dari Kedah dan Terengganu dianggap berbeza dengan pimpinan di Kelantan.

 Walaupun PAS berjaya mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999,  bentuk pentadbiran yang diamalkan oleh Hadi kurang mendapat sambutan rakyat  berbanding Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan. Akhirnya PAS hanya bertahan sepenggal sebelum Terengganu dikuasai semula oleh UMNO dan Barisan Nasional pada 2004.

 Sebagai sebuah parti agak tradisional dan pesat di kawasan dominan Melayu, PAS dianggap suara alternatif kepada bangsa Melayu. Komposisi antara pimpinan ulama dan profesional meletakkan PAS sebagai pengimbang suara Islam/Melayu di dalam pakatan pembangkang.

 Jika PAS bergelut antara kelompok sederhana dan pelampau pada dekad 80-an, UMNO juga tidak terkecuali bergelut dengan masalah dalaman. Perebutan jawatan dalam parti menjelang pemilihan UMNO 1987 antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah memberi kesan tersendiri. Ahli UMNO bukan saja dipaksa memilih tokoh terbaik untuk memimpin parti, juga berdepan kerenah politik wang dan amalan rasuah dalam parti. Urusan jual beli saham dan kronisme bukan saja menjejaskan imej Melayu dan UMNO, juga menimbulkan prasangka daripada pihak lain.

 Pada dekad 90-an, istilah Melayu baru dan imej kereta mewah, banglo serta syarikat korporat menjadi jenama luar biasa. Melayu baru kononnya sudah berjaya bersaing dengan bangsa lain hasil agihan kek DEB. Bagaimanapun, tidak sedikit Melayu yang terpalit dengan penyelewengan perniagaan dan konflik ali baba yang menjejaskan semangat perniagaan dalam kalangan Bumiputera sendiri.

 Walaupun UMNO dan korporat dua entiti berbeza,  sangkaan umum adalah parti siasah yang menggerakkan peniaga Melayu. Isu saham, kepentingan kuasa dan kronisme menjadi duri dalam daging kepada survival UMNO itu sendiri. Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli UMNO dan menapak ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dalam masa singkat, bukan saja menimbulkan keriuhan, juga menyemarakkan pertelingkahan antara kelompok dalam parti.

 Jika dekad 90-an menyaksikan persaingan ulama dan sekular dalam PAS, UMNO juga tidak terkecuali menerima kesan kemasukan ideologi ABIM dan gerakan Islam serantau.

 Hari ini kelangsungan politik kekal dengan sepak terajangnya. UMNO dan BN bukan sekadar menapak menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan pelbagai kemungkinan, PAS dan pakatan pembangkang juga tidak terkecuali berdepan pelbagai kemungkinan sama. Apakah suara Melayu lebih kukuh selepas pilihan raya umum atau keputusan peti undi bakal memberi natijah lain yang luar jangkaan?

 Jika Pilihan Raya Umum 1969 memberi kesan terhadap jati diri Melayu, mungkinkah suatu hari nanti  isu kaum akan lebih lantang apabila ada pihak mempertikaikan isu Perlembagaan dan Kesultanan Melayu lebih polos? Jangan terperanjat jika Melayu sendiri yang merendahkan bangsanya sendiri!  - Berita Harian, 11 Jun 2012

No comments: