Pages

Wednesday, January 30, 2013

Nasharuddin boleh belah!


Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa tidak pasti punca keputusan Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu yang menggugurkan jawatannya dalam badan tertinggi parti berkenaan.
Nasharuddin hanya mengetahui mengenai pelucutan jawatan melalui laporan media.

 “Cuma setakat ini saya tahu tentang pemecatan melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti,” katanya.

 Bagaimanapun kita yakin hati kecil Nasharuddin sudah lama dapat menduga keputusan yang bakal dibuat oleh PAS. Tindak-tanduk, amalan dan gerak-gerinya bukan lagi menggambarkan Nasharuddin sebagai ahli PAS yang setia.

 Tradisi politik kepartian di Malaysia memerlukan ahli yang setia dan tidak membuat kenyataan yang boleh menggugat gerakan siasah itu sendiri.

 Ada ketikanya, kesetiaan kepada parti memaksa seseorang ahli membelakangi nilai intelektual yang dimiliki. PAS seperti parti yang lain, memerlukan ahli setia, bukannya pandai memberi pandangan yang bertentangan. Banyak program parti yang Nasharuddin tidak hadir, termasuk muktamar PAS tahun lalu.

 Dia memberi alasan sibuk dan banyak komitmen tetapi masih ada masa ke Gaza bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Tahun lalu dia menyertai rombongan Perdana Menteri ke Arab Saudi dan Persidangan Kerjasama Islam (OIC) yang membincangkan krisis berpanjangan di Syria.
 Dari segi semiotik, isyarat dan sistem tanda amat mudah dibaca. Walaupun masih menjadi ahli PAS, langkah dan kecenderungan Nasharuddin mudah difahami.

 Nasharuddin seperti juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali adalah segelintir intelektual dalam PAS – parti yang masih dominan dengan tradisi pondok dan gerakan ulama yang mendapat pendidikan dari Asia Barat sejak dekad 1950-an.
  
 Bagaimanapun PAS kaya dengan kepelbagaian dan kecenderungan ahlinya. Kini ada tiga golongan yang mewarnai gerakan PAS, iaitu kalangan ulama, intelektual serta ahli biasa termasuk mereka yang menggerakkan tradisi pondok di Pantai Timur dan Kedah.

Pertembungan golongan ulama dan Anwarinas banyak dikaitkan sebagai trend baru dalam PAS ekoran perkembangan politik selepas 2 September 1998 apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

 PAS terikut dengan perkembangan politik domestik dan tokoh seperti Nasharuddin dianggap penting bagi membentuk imej parti yang dianggap jumud sebelum ini. Ke mana Nasharuddin selepas ini? Apakah kekal dalam PAS, menyertai UMNO atau kekal sebagai insan tanpa gerakan siasah?

 Nasharuddin terpaksa membentuk hala tuju sendiri kerana namanya dalam PAS hampir tidak wujud lagi. Jika   mengambil keputusan meninggalkan PAS pun tidak memeranjatkan kerana  nama Nasharuddin tetap dicurigai. Dia sudah digugurkan namanya sebagai calon Parlimen Bachok yang dimenangi  pada 8 Mac 2008.  Mursyidul Am PAS,  Datuk Nik  Aziz Nik Mat mengesahkan nama Nasharuddin ‘tidak ada’ dalam senarai.

 Menyifatkannya sebagai bukan satu tindakan yang pelik, Nik  Aziz menyamakan pemecatan itu sebagai perceraian suami isteri dan persatuan sukan. “Pelik apanya? Suami isteri lagikan bercerai. Persatuan bola sepak pun ada orang pecat. Jurulatih pun kena pecat,” katanya. Nik  Aziz bagaimanapun enggan mengulas sama ada pengguguran Nasharuddin itu disebabkan masalah dalaman.

 Bagaimanapun dari segi sejarah, ramai ahli PAS yang terpaksa meninggalkan parti kerana perbezaan pandangan yang luar biasa.

 Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamad Nasir meninggalkan PAS kerana tidak sebulu dengan Tan Sri Asri Muda mengenai konteks kerjasama siasah di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Datuk Hassan Adli Arshad juga pernah berselisih pandangan dengan pimpinan PAS walaupun pencalonannya bertanding kerusi Parlimen Bagan Datoh pada  1978 disokong oleh Asri sendiri.
 Banyak tindakannya mengecilkan hati ahli PAS sendiri dan beliau seperti  Nasharuddin, bertindak untuk lebih mesra Barisan Nasional (BN). Nasharuddin sepatutnya bertanya apakah dia mampu berpolitik lagi selepas ini? - Berita Harian, 30 Januari 2013

Tuesday, January 29, 2013

Kuala Lumpur cucu Yap Ah Loy punya

Pada 1 Februari ini genaplah 39 tahun Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan. Kita bersama menerima kota ini sebagai ibu kota dan pusat perkembangan ekonomi. Kita juga menghargai Kuala Lumpur sebagai kota perusahaan dan wilayah terancang serta kononnya pusat perkembangan bahasa, budaya dan peradaban bangsa.

  Kita juga harus menerima bahawa Kuala Lumpur juga tempat bahasa Melayu dihakiskan nilai ekonomi menerusi pelbagai program yang tidak memihak kepada jati diri bangsa. Papan tanda yang lintang-pukang tatabahasa dan ejaannya. Bahasa rojak, slanga dan tulisan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebahagian  ciri berbahasa di kota raya ini. 

  Di sini juga pengisytiharan bahasa Inggeris sebagai pengantar utama subjek Sains dan Matematik pada 2003. Bahasa Melayu dianggap tidak penting kerana nilai ekonominya rendah. Tiada ciri globalisasi!

  Sejak 1974 hingga sekarang terlalu banyak sejarahnya. Kuala Lumpur  dulunya berpenghuni sejuta orang kini tidak dipastikan angka sebenar penduduknya. Jumlah pendatang,  halal atau haram, menjadi sebahagian  statistik kehidupan kota yang pesat membangun.

  Jumlah penduduk Lembah Klang (termasuk beberapa kawasan di Selangor) seramai lapan juta orang menggambarkan Kuala Lumpur seperti Jakarta, Bangkok dan Manila yang tidak kalah menerima perubahan. Penghuninya sudah reda dengan kehidupan yang pelbagai di kota besar ini. Mereka sanggup membayar tol untuk memasuki kesesakan kota raya  pada waktu puncak tanpa bersungut  lagi.

  Sebagai kota yang mahu dilihat gah dari segi kuantiti bangunan dan prasarana, Kuala Lumpur ikut terseret dengan warna hitam putihnya. Di sebalik bangunan pencakar yang megah mencabar awan, ada manusia lesu di lorong belakang dengan wajah gelisah dan hamis. Mereka buruh kasar, pencuci jalan, pelacur, tukang sapu, pondan jalanan, penagih dadah, kutu rayau, pencopet, jemaah tabligh dan pengedar yang ikut sama menterjemahkan Kuala Lumpur mengikut kamus hidup sendiri 

  Nasib yang pelbagai demi kepelbagaian kehidupan. Inilah Kuala Lumpur, sebuah kota yang sukar ditafsirkan jati diri dan sistem nilainya. Sehingga sekarang kita tidak pasti takrif kebudayaan kebangsaan.

  Di taman perumahan dan kawasan industri, kerancakan ekonomi Kuala Lumpur sejak lima dekad lalu amat menarik perhatian penduduk kawasan lain untuk berhijrah dan memakmurkan kota raya ini. Urbanisasi simbol sebuah kota yang banyak menerima nikmat Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas insiden 13 Mei 1969.

  Di Kuala Lumpur jugalah lahirnya istilah Melayu baru yang mendapat nikmat pasca DEB. Mereka walaupun berakar umbi dari desa, menjadikan Kuala Lumpur untuk memperagakan bakat, akal dan kelayakan selaras  keperluan kehidupan global. Nilai dan jati diri turut berubah. Tradisi muafakat  dibawa dari desa semakin tercabar. Mimpi sebahagian daripada kita juga ikut berubah sesuai  keperluan dan keadaan.

  Persaingan kewangan dan pengaruh menjadikan Kuala Lumpur turut dimeriahkan dengan pusat percaturan kuasa yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat di seluruh daerah. Di Kuala Lumpur wujud istilah rusuhan jalanan atau pidato pedas sang tokoh yang mahu memperagakan bakat siasah dan keupayaan menangani lawan politik. Di sini juga  lahirnya isu mempertikaikan kontrak sosial dan mendebatkan kalimah Allah. Ada yang sanggup bercakap soal bebas memilih agama kerana Kuala Lumpur sudah maju dan rakyat harus  hargai kebebasan dan hak asasi.

  Terima kasih Kuala Lumpur kerana membenarkan sejarah diubah berkali-kali. Tiada siapa  peduli Yap Ah Loy dianggap berjasa besar di Lembah Klang. Dia dikatakan membuka Kuala Lumpur tanpa  polemik. Murahnya sejarah apabila kita dibiarkan menerima hakikat Kuala Lumpur bukan milik kita yang  wujud ribuan tahun di rantau ini.

  Hari ini anak cucu Yap Ah Loy berkuasa di premis  utama di Kuala Lumpur. Mereka dengan warna hitam putihnya mendominasi kewangan dan perusahaan. Kita pula menerima sejarah seadanya kerana kota besar  tidak pernah berusaha   mengenali asal usul dan tradisi seseorang.

  Pada era   canggih ini kehidupan berjalan amat tergesa. Kelajuan tren dan digital memungkinkan Kuala Lumpur pasca 2020 dilihat lebih individualistik. Tiada masa untuk seniman jalanan menghibur tamu kerana Kuala Lumpur tidak lagi menghargai kreativiti.

  Seniman jalanan mesti jelaskan bayaran kepada penguasa  sebelum membuat persembahan. Penyair dan pelukis semakin terhimpit kerana Pasar Budaya hanya untuk koleksi plastik bagi tatapan pelancong.

  Jika Tokyo, Seoul, Paris, London dan Bali kekal dengan budaya dan seni sebagai agenda tarikan pelancongan, Kuala Lumpur menampilkan sosok berbeza;  kerlipan lampu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), iklan ceti haram dan papan tanda yang tatabahasa tidak betul. 

 Sejak 1974, kita terus meraba dan mencari imej sebenar. Apakah ia sebahagian  imej  di Malaysia atau sistem nilai semakin terhakis kerana kita semakin tidak peduli jati diri sendiri. - Berita Harian, 29 Januari 2013

Friday, January 25, 2013

Maulidur Rasul dan kalimah Allah

Tahun ini amat malang bagi umat Islam kerana menyambut Maulidur Rasul dengan polemik kalimah Allah. Belum pun reda isu bakar Bible berbahasa Melayu  yang dicanangkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, timbul pula kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong penggunaan kalimah Allah untuk penganut Kristian dan mempertikai keputusan Majlis Syura PAS.

Dalam konteks semiotik, setiap kejadian ada sistem tanda tersendiri. Isyarat jelas daripada isu kalimah Allah adalah  umat Islam sedang menghadapi ujian paling getir di negara ini.
Penggunaan kalimah Allah sudah lama diamalkan di seluruh dunia. Dari segi sejarah, ia digunakan oleh agama wahyu sebelum kedatangan Islam. Namun di Malaysia, penggunaan kalimah Allah tidak wujud dalam kalangan bukan Islam di Semenanjung. Hanya kes terpencil membabitkan Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan Bible versi Melayu diubah suai  daripada penerbitan di  Indonesia.

Banyak pihak mengakui  penggunaan kalimah  amat janggal di gereja kerana tidak berlaku sebelum ini. Hanya apabila ada pihak  cerdik politik dan mengetahui sentimen keagamaan untuk raih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, isu ini disemarakkan walaupun ketika umat Islam sedang menyambut Maulidur Rasul.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  yang menghidupkan isu berkenaan adalah dalam suasana politik yang mahu mencabar dominasi kuasa dimiliki Barisan Nasional (BN) dan Perikatan sebelum ini.

Beliau tahu penganut Kristian, termasuk yang tidak menggunakan kalimah Allah, akan menyokong saranan berkenaan dengan alasan keadilan beragama di negara ini.
Dalam konteks Sabah dan Sarawak, isu berkenaan menarik perhatian Bumiputera bukan Islam kerana mereka sudah lama mempraktikkan kalimah berkenaan. Guan Eng pandai membaca situasi di seberang  Laut China Selatan yang sebelum ini dianggap simpanan tetap BN untuk mengekalkan kekuasaan di negara ini. Dia bukan saja meraih sokongan kaum Cina, juga menarik perhatian Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Di Semenanjung pula, persefahaman siasah dalam pembangkang menjadi agenda bagi merampas Putrajaya daripada BN. Mereka sanggup mempolitikkan kalimah Allah kerana menyedari bukan Melayu akan memberi sokongan. Bangsa Melayu pula menjadi mangsa serangan apabila cuba mempertahankan kalimah Allah kerana kononnya jumud dan tidak memahami realiti keagamaan  yang wujud sejak ratusan tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang meminta  rakyat bertenang dan tidak bertindak balas terhadap isu membakar Bible berbahasa Melayu, seolah-olah menunjukkan PERKASA bertindak  keterlaluan.
Sebelum ini ada gabungan BN sendiri yang mempersenda Ibrahim kerana ucapan beliau yang dikatakan ‘berapi-rapi’. Dalam hal ini PERKASA dianggap keterlaluan kerana mahu bertindak provokatif dan kurang wajar. Walaupun niat Ibrahim mahu mendaulatkan kalimah Allah, dalam konteks politik sekarang beliau dianggap  bersendirian kerana tidak ada   ahli politik Melayu dan Islam menyokongnya.

 Tsu Koon yang juga Presiden GERAKAN berkata, di sebalik usaha Ibrahim  menjelaskan berhubung konteks mengenai apa yang dimaksudkannya, persepsi awam adalah beliau  pasti melampau dan mengguris perasaan masyarakat Kristian.

“Beliau boleh menasihatkan orang Islam yang diberikan Bible supaya menyerahkannya kepada polis daripada mengesyorkannya dibakar sebagai satu penyelesaian,” katanya.

Kita yakin isu yang timbul sekarang kerana Melayu tidak mampu lagi mempertahankan diri. Mereka bukan saja gagal mendapat mandat besar dalam mana-mana pilihan raya sejak 20 tahun lalu, bahkan gagal membentuk perpaduan. Suara umat Islam yang berpecah-belah menyebabkan pihak lain berani mencabar wibawa mereka. Lebih malang  ada Melayu sanggup bersubahat demi kepentingan siasah.

Perkembangan yang berlaku ketika sambutan Maulidur Rasul membuktikan hari kebesaran Islam dicabar dengan pelbagai kenyataan mendebarkan. Akhirnya yang dianggap bersalah adalah umat Islam sendiri kerana memperjuangkan kalimah Allah. Pihak yang tidak pernah menyebut ‘Allah’ lebih berbangga kerana berjaya menafsirkan kalimah suci sebagai god atau lord.  - Berita Harian, 25 Januari 2013

Thursday, January 24, 2013

Jangan janji, bina segera lebuh raya KL-KB

Ada yang mendakwa tidak seronok memandu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, atau sebaliknya. Perjalanan   456 kilometer lazimnya mengambil masa di antara tujuh hingga lapan jam.

 Pada musim perayaan, perjalanan lebih sukar kerana kenderaan sesak menyebabkan laluan merentasi Bentong, Raub, Benta, Lipis, Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Bharu mengambil masa 16 jam atau lebih.

Bayangkan betapa banyak masa, kewangan dan tenaga dihabiskan di jalan raya semata-mata laluan tidak selesa.

 Perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu tidak berubah sejak 1980-an. Laluan berliku, jalan sempit dan terpaksa melalui pekan Raub dan Bentong yang sentiasa sesak menyebabkan ada pemandu yang kurang sabar ketika menempuh perjalanan jauh.

 Bayangkan pula jika lori balak tersadai di jalan raya yang sempit di tengah hutan Lipis. Tentunya ia sebahagian daripada pengalaman yang mahu dielakkan.

 Jika ke destinasi lain, pengguna  bakal menikmati laluan selesa kerana sistem lebuh raya yang sempurna. Mereka juga boleh singgah dan santai kawasan rawat dan rehat (R&R) sebelum meneruskan perjalanan. Hal ini tidak berlaku ke Kelantan dan tidak wajar dibiarkan berterusan.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berkunjung ke Kota Bharu memberi jaminan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu bakal dibina. Tentunya kenyataan ini disambut baik kerana perjalanan sejauh 70 kilometer wajar menerusi lebuh raya, bukan jalan yang sempit, sesak dan banyak lampu isyarat.

Sebagai sebuah negeri yang masih memerlukan banyak lagi program pembangunan, Kelantan bakal mengalami perubahan pesat jika kemudahan prasarana ditingkatkan.

 Lebuh raya bakal memudahkan pengangkutan hasil bumi dan sektor pertanian ke pantai Barat berjalan lancar sekali gus menjana ekonomi penduduk. Bagi pelabur pula, destinasi yang lancar ke Kota Bharu bakal memudahkan mereka mendirikan kilang, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

 Bagaimanapun lebuh raya Kuala Krai ke Kota Bharu bukan penyelesaian utama untuk mendekatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan atau negeri lain.

Kerajaan Pusat wajar memikirkan pembinaan lebuh raya Kuala Lumpur-Kelantan bagi memudahkan  perjalanan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi di   Pantai Timur.

 Kelantan yang kaya dengan hasil bumi perlu diteroka dengan lebih saksama  antara kerajaan Pusat dan negeri.  Hal ini tidak mudah dicapai apabila kerajaan negeri yang ada sekarang masih berlainan pendapat dengan Kuala Lumpur dalam beberapa isu.

 Slogan ‘Janji Ditepati’ perlu mengambil kira kepentingan rakyat Kelantan yang 90 peratusnya berbangsa Melayu dan Islam.

Memang kita sokong   pembinaan stadium baru, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan membabitkan 3,000 unit. Kita juga wajar berterima kasih kepada Pusat kerana merancang  Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 penuntut dan projek mengatasi masalah air.

 Bagaimanapun, yang lebih asasi ketika ini ialah lebuh raya sempurna bagi memudahkan urusan rakyat ke Kelantan. Tanpa perjalanan yang selesa bakal membantutkan  pembangunan, sekali gus mengundang penduduk bersikap sinis terhadap Pusat.

 Kira-kira 35 peratus penduduk Kelantan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Sebahagian besar kerusi di  kawasan bandar  memihak  BN. PAS hanya menang di kawasan pinggiran dan luar bandar  kerana pengaruh tempatan dan tradisi pondok.

  Mempengaruhi  minda seseorang harus berteraskan kepada pemikiran dan cara melayani kehendak individu dan kumpulan. Strategi politik mendahulukan rakyat harus berteraskan apa yang mereka mahu dan ahli siasah yang  mampu memenuhi kehendak mereka bakal mendapat sokongan.

Mempelajari sejarah politik Kelantan agak sukar kerana penduduknya pernah memberi peluang PAS pimpinan Tan Sri Asri Muda menerajui Negeri Cik Siti Kembang selama 18 tahun tetapi tersingkir pada 1978 kerana isu balak dan pentadbiran yang korup. Rakyat menyokong BN selama 12 tahun sebelum menyerahkan semula kepada PAS apabila ada segelintir  yang membelakangi keperluan rakyat.

Kini peluang BN masih ada. Kita yakin jika BN bersedia mendengar apa yang rakyat mahu, Kelantan  boleh ditawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Pembinaan lebuh raya Kuala Lumpur-Kelantan  perlu disegerakan untuk kemudahan semua pihak termasuk dari segi kepentingan siasah di Pantai Timur. - Berita Harian, 24 Januari 2013  

Tuesday, January 22, 2013

Melayu hilang tanah, Melayu hilang kuasa

Kawasan semak yang sedikit berlopak itu tiada istimewanya. Ia sekadar kawasan buangan sampah bersaiz sederhana  yang tidak diangkut oleh  kontraktor  pembersih kawasan. Ada tilam lusuh dan perabot patah. Tidak terkecuali sisa binaan yang  dicampakkan di pinggir lebuh raya yang kerap sesak pada waktu puncak.

 Sejak 15 tahun lalu, kawasan semak itu terbiar dengan petugas majlis perbandaran tidak pernah  membersihkannya. Walaupun pembesar pernah melalui kawasan itu untuk merasmikan sebuah masjid yang dulunya tersadai ekoran krisis politik 1998, kawasan semak itu kekal tiada siapa yang peduli.

 Hanya tahun lalu  muncul seorang lelaki lewat 40-an yang tidak segan bergelut di kawasan semak itu tanpa mempedulikan hujan atau panas. Dengan parang, cangkul dan mancis api, lelaki itu membersihkan kawasan sendirian sehingga seminggu kemudian, muncul empat lagi rakannya  membersihkan kawasan yang kini tidak lagi bersemak. Tilam lusuh dan perabot patah tidak kelihatan lagi. Sisa binaan entah ke mana dicampak. Kawasan dulunya dianggap berhantu pada waktu malam kini bersih dan tidak lagi berbau.

 Penduduk taman perumahan berdekatan tidak pernah peduli apa  dilakukan kumpulan lima lelaki itu. Walaupun mereka kerap memandu di kawasan itu, tidak tergerak untuk bertanya mengapa lima lelaki kerjakan kawasan semak di pinggir lebuh raya  tanpa kecurigaan.

 Ada pemandu dan penunggang motosikal yang membunyikan hon ketika melihat kelibat lima lelaki itu berkeringat setiap hari. Mereka sekadar menyengihkan barisan gigi yang kurang putih.
 Menjelang Aidilfitri lalu, kawasan yang sudah diratakan itu sudah menjadi tempat ibadat. Bayangkan satu pokok besar yang agak merimbun menjadi tumpuan ibadat yang mungkin dianggap selesa oleh mereka. Binaan konkrit kecil dibina untuk memudahkan mereka berkumpul tanpa diganggu hujan atau petir.

 Tidak jauh dari tapak ibadat itu sudah diratakan secara rakus. Jentolak dan pembajak memugar tanah secara lebih sistematik. Segelintir penduduk yang mungkin menyesali sikap mereka yang berdiam diri ketika kawasan semak dulu ditebas, membuat aduan ke pejabat majlis perbandaran. Pegawainya dengan serius menyatakan kawasan itu tidak akan dimajukan dan sebarang penerokaan haram akan dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh tanah kerajaan. Penduduk lega menerima jaminan itu agar pisang tidak berbuah dua kali.

 Bagaimanapun, mereka hairan kerana jentera mengaum siang dan malam termasuk ketika bilal mengumandangkan azan Maghrib. Dengan bersangka baik, penduduk berharap pegawai majlis perbandaran membuat tindakan susulan agar keharmonian kawasan perumahan tidak tercabar.

 Bagaimanapun, kini kesabaran penduduk semakin tergadai. Jentolak tiada lagi meratakan bukit kecil itu. Tanah tidak jauh dari pusat ibadat di sisi pokok merimbun itu sudah dipagar, ditar  dan sebuah papan tanda besar memaparkan perniagaan kereta terpakai dengan harga menarik.

 Penduduk tidak mampu berbuat apa-apa kerana pegawai majlis perbandaran  tidak berbuat apa-apa kecuali bersemangat menceritakan tindakan akan diambil kerana menceroboh rizab awam.

 Mesyuarat jawatankuasa penduduk dan pihak berkuasa tempatan tidak menemui penyelesaian. Mesyuarat sekadar mengisi masa lapang berdasarkan agenda  ditetapkan majlis perbandaran.

 Kini kawasan perumahan yang dijanjikan lembah hijau berdepan suasana tidak pernah diduga. Kawasan ibadat bukan saja di bekas semak di bawah pohon merimbun, bahkan di beberapa kawasan   yang ada tanah lapang.

 Longkang dan parit juga tersumbat kerana syarikat kereta terpakai membina sebuah bengkel membaiki kenderaan dan kesan minyak hitam serta kotak alat ganti dicampakkan saja ke parit yang akhirnya menyekat aliran air dari  kawasan perumahan itu.

 Penduduk sudah beberapa kali membuat aduan kepada majlis perbandaran dan alasan diberikan pegawainya berlainan dengan nada sebelumnya. Apabila wakil penduduk bertanya bila status tanah  bertukar tangan daripada tanah rizab, pegawai berkenaan hanya tersenyum pahit.

 Hari ini begitu banyak kes hampir sama berulang di kawasan perumahan lain. Tanah lapang yang sepatutnya dibangunkan sebagai pusat riadah diceroboh dan akhirnya menjadi milik persendirian.  Kita tidak boleh bertindak apa-apa kerana tiada pihak yang mampu bertindak. Sikap inilah akhirnya membentuk jiwa kerdil kerana kalangan kita kekal mengalah. Hang Tuah tentunya menarik balik kata-kata keramatnya ‘takkan Melayu hilang di dunia’, kerana kita tidak lagi berhak untuk bercakap apatah lagi menjaga kawasan sendiri! - Berita Harian, 22 Januari 2013

Monday, January 21, 2013

Listen! Listen! Listen!

Sekumpulan siswa bertanya: “Bolehkah kami berpolitik dan sejauh mana Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) mendidik siswa  untuk bersikap matang dan berhemah?”

 Pertemuan dalam majlis wacana ilmu itu menimbulkan beberapa isu sampingan mengenai kampus dan politik pelajar. Tidak kurang juga yang berjenaka: “Listen!  Listen! Listen!”

 Sejak  AUKU  digubal oleh kerajaan  pada 27 April 1971,  banyak polemik mengenai  masa depan siswa sebagai suara pendesak dan penyelesai masalah apabila keluar pusat pengajian nanti.

 Berbeza dengan siswa di negara tetangga seperti Indonesia, Filipina dan Thailand, keadaan di Malaysia agak pasif apabila banyak kegiatan terpaksa menghadapi halangan yang luar biasa.

 AUKU yang  dipinda pada 1975 dan 1995 sehingga kini masih dipertikaikan kesannya  memupuk sahsiah pelajar. Adakah ia bersedia membantu pelajar lebih terbuka, matang, berakhlak dan berwibawa, atau sekadar mengarah siswa untuk mengikut telunjuk dan menjadi burung kakak tua.
 Insiden pertikaman lidah antara Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dengan pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi isu hangat dalam blog dan laman sosial  masih menjadi bualan umum.

 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program itu anjuran pelajar  dan Sharifah Zohra dijemput atas kapasitinya sendiri untuk menjadi moderator.

 Klip video 24 minit yang menunjukkan pertikaman lidah antara Sharifah Zohra dan Bawani, menjadi topik hangat perbincangan dalam forum Internet dan Facebook. Ia juga menjadi bahan lawak apabila seorang peserta Maharaja Lawak Mega  menyebut ‘listen’  berulang kali hingga menggamatkan majlis.

 Klip video Forum yang bertajuk ‘Seiringkan Mahasiswa dan Politik’ pada 8 Disember  dimuat naik ke YouTube,  pada 9 Januari lalu.

Walaupun Kementerian menafikan majlis berkenaan dirancang untuk ‘membasuh’  pemikiran pelajar, bagaimanapun orang ramai berhak mempersoalkan kenapa ahli panel menggunakan majlis untuk membahas  beberapa isu sensitif. Tarikh penganjurannya pula diadakan ketika pilihan raya umum semakin hampir. Bolehkah fikiran siswa dibasuh dengan ucapan dan tayangan slaid?

 Bawani  pula mendakwa  pihak kampus  harus bertanggungjawab terhadap penganjuran forum  yang didakwanya sebagai ‘brainwash.’

 Siswa  penghuni Dewan Penginapan Pelajar PROTON diarah  hadir pada majlis berkenaan yang kononnya bertujuan mematangkan pemikiran generasi muda Malaysia.

 Kita yakin polemik majlis berkenaan akan menjadi sebahagian daripada senjata pilihan raya umum nanti.  Tiada siapa yang mengenali Bawani sebelum ini, seperti juga tidak ramai yang kenal ‘Kakak Listen’ sebelum tercetus adegan di UUM.

 Malangnya kerana ghairah untuk bercakap dan pihak universiti pula sedia diperalatkan untuk  pihak yang nak bercakap, menyebabkan isu baru tercetus.

 Sebelum ini ada saranan yang membenarkan siswa bertanding pada pilihan raya umum. Saranan ini tidak salah kerana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, politik memerlukan kematangan dan  seseorang calon memerlukan persediaan rapi dari segi mental, fizikal, kewangan, kekuatan organisasi  dan  jentera kempen.

 Kecenderungan pelajar berpolitik pernah ketara  pada 1974 dan 1998. Sejak demonstrasi pelajar pada 1974 yang melahirkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Ibrahim Ali dan Hishamuddin Rais, gerakan siswa di Malaysia tidak pernah reda. Mereka berjuang dalam isu kelaparan di Baling  yang kononnya ada penduduk mati kebuluran.  Bagaimanapun maklumat yang ditampilkan berbeza sekali kerana tidak pernah ada penduduk Baling yang kebuluran, melainkan pelajar diperalatkan oleh individu yang amat pakar merancang rusuhan di jalanan.

 Perkembangan politik 1998 juga menunjukkan pelajar mempunyai kesedaran untuk menyuarakan bantahan secara terbuka. Mereka berkumpul di jalanan walaupun tidak jelas matlamat perjuangannya.
Kita akui pelajar perlu didedahkan dengan kehidupan yang pelbagai. Kampus bukan hanya buku dan kuliah, tapi bagaimana menangani isu semasa berlandaskan realiti global masa kini.

 Tidak salah berpolitik, asalkan pelajar bersedia menjadi manusia waras dan berhemah menggerakkan masa depan Malaysia. Bawani dan Sharifah Zohra sepatutnya menjadi sebahagian daripada penggerak sejarah negara.- Berita Harian, 21 Januari 2013

Friday, January 18, 2013

Kuasa politik Melayu terhakis

Jangan salahkan Melayu jika terlalu apologetik kerana kedudukan yang semakin terjejas. Melayu bukan saja gagal memanfaatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menguasai sektor perdagangan, bahkan gagal  mendapat mandat yang sempurna di Dewan Rakyat.

 Daripada 222 kerusi di Parlimen, Melayu hanya menguasai  51 peratus kerusi berbanding kaum lain. Keadaan ini memberikan kuasa tawar menawar kepada pihak lain, menyebabkan isu kaum, kuota, kalimah Allah, kontrak sosial dan pendidikan aliran Cina boleh dibincang secara terbuka dan mengundang polemik liar.

 Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menguasai 90.4  peratus kerusi di Dewan Rakyat.  UMNO menang 109 kerusi, kalah tujuh kerusi kepada PAS dan sebuah kepada Parti Keadilan (kini PKR).

 Kerajaan yang ditubuhkan dengan penguasaan lebih 90 peratus kerusi di Dewan Rakyat hanya mengandungi 58.1 peratus komposisi Melayunya. Wakil rakyat bukan Melayu yang menang di bawah BN berjumlah 41.9 peratus.

 Bagaimanapun, BN mengalami pengalaman perit pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada  2008 dengan memiliki 140 kerusi  atau 61.7 peratus wakil di Parlimen. Kerusi UMNO merosot 31 kawasan tetapi dibantu dengan kerusi wakil Melayu daripada Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB). Pembangkang pula menguasai 38.3 peratus kerusi di Dewan Rakyat dengan wakil rakyat Melayu 51.8 peratus  berbanding 38.1 peratus pada  2004. Wakil rakyat bukan Melayu di dalam pembangkang pula 48.2 peratus saja.

 Bagaimanapun, kuasa tawar menawar tidak menguntungkan bangsa Melayu. Walaupun Melayu dianggap ‘majoriti’ di dalam BN atau pakatan pembangkang, suara mereka tenggelam di sebalik persaingan kuasa sejak 8 Mac 2008.

 Sikap tolak ansur dan terlalu menjaga hati rakan dalam pakatan siasah mendorong pihak lain tergamak mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan perpaduan kaum. Melayu berada dalam dilema apabila mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan dan hak kerana boleh dianggap sebagai rasis.

 Ketika pihak lain bebas memperjuangkan isu pendidikan, kebudayaan dan sekolah jenis kebangsaan, Melayu pula bernostalgia  dengan era lampau atau apologetik, rasa bersalah dan serba salah untuk bercakap soal ketuanan Melayu. Melayu bukan saja gagal mempertahankan novel Interlok sebagai teks sastera, bahkan bahasa Melayu dipersenda secara terbuka.  Lebih malang, Raja-Raja Melayu diperlekeh di media baru apabila timbul isu yang dianggap tidak memihak kepada pihak  tertentu. 

 Politik dan keserakahan siasah pada era moden bukan saja menjadikan Melayu berseteru sesama sendiri, bahkan gagal memanfaatkan Islam sebagai pedoman hidup. Kelompok Melayu yang berada di dalam dua kumpulan berbeza menjadikan politik sebagai agenda menghalalkan cara, sekali gus  melupakan agenda kebangkitan ummah.

Justeru, tidak menghairankan apabila Melayu lebih diutamakan untuk perhimpunan jalanan, daripada dijemput mengemukakan idea dan pandangan terhadap kekuatan bangsa sendiri. Tidak banyak yang bercakap soal kemiskinan bangsa walaupun koridor pembangunan sekadar menguntungkan pihak lain.

 Luahan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Alattas mengenai Melayu  Johor dianggap paling miskin di Malaysia  tidak dipedulikan.  Kos kehidupan yang berpunca daripada ledakan kewangan dari negara jiran tidak pernah dibincangkan secara terbuka.

 Syed Ali mengeluh kesan kemasukan pelabur asing di Iskandar Malaysia, tetapi tiada usaha membantu usahawan Bumiputera meningkatkan taraf hidup. Secara analogi, Melayu Kelantan lebih kaya daripada rakan mereka di Johor kerana mampu memiliki banglo dengan harga RM250,000, berbanding harga RM1.5 juta di selatan tanah air.  Nasib Melayu di Pulau Pinang lebih malang lagi apabila dasar kerajaan negeri yang meminggirkan keperluan Melayu. Mereka malang sejak 1969 apabila kerajaan negeri dengan rakus membangunkan kawasan pulau dan memajukan sektor perkilangan, perumahan dan pelancongan tanpa usaha mengekalkan identiti Melayu di Pulau Mutiara. Kenaikan kos  hidup menjadikan Melayu terus terhimpit.

 Syed Ali secara sinis membandingkan kehidupan Melayu Kelantan lebih baik berbanding negeri lain.  Kuasa beli mereka tidak terjejas walaupun ‘perang siasah’ tidak pernah reda. - Berita Harian, 18 Januari 2013
 

Wednesday, January 16, 2013

Kalimah Allah hak Islam

Masyarakat Malaysia menerima kalimah Allah sebagai pengucapan penting umat Islam. Tidak ada penganut agama lain yang menggunakan kalimah berkenaan secara terbuka  kerana bukan tradisi di Semenanjung.

 Ungkapan berkenaan digunakan di Sabah dan Sarawak secara terpencil dan tidak pernah diperdebatkan. Ia sekadar isu agama dan tidak pernah membabitkan hal siasah. Seperti juga kalimah Allah yang disebut di Jakarta sejak 100 tahun lalu tanpa bangkangan mana-mana pihak kerana tidak pernah dibawa ke pentas politik.

 Malangnya di Malaysia, politik sudah menjadi agenda penting walaupun dalam perbincangan mengenai agama, ekonomi, perbankan, sukan dan kebudayaan. Kecenderungan mempolitikkan isu menyebabkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sanggup membuat kenyataan terbuka untuk menghalalkan kalimah Allah bagi penganut Kristian.  Beliau menguji suasana kerana tahu akan ada pihak yang melatah. Guan Eng ahli politik yang mahir dan tidak akan membuat sebarang ucapan tanpa kajian mendalam. Beliau tahu umat Islam sudah berpecah dan ada peluang mengambil kesempatan berpolitik.

 Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan pernah membuat kenyataan mengenai kalimah Allah, kecenderungan menjadikan agama untuk kepentingan politik memesong fakta sebenar.
 PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya tidak terbabit dalam polemik kalimah Allah.

Tiada alasan untuk PAS memberi pandangan bercanggah penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi Melayu jika dilihat dari sudut kepentingan Islam di Malaysia.
 Bagaimanapun kerana politik menghalalkan cara, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sanggup mengeluarkan kenyataan walaupun bertentangan dengan pandangan ulama parti itu sendiri.

Terbaharu, Majlis Syura Ulama PAS  membuat kenyataan melarang penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu.

 Kenyataan yang ditandatangani oleh  Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din, menyebut: “Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam.” PAS melarang mana-mana kalimah asing yang hendak diterjemah kepada kalimah Allah.

 “Menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata,”  katanya.

 Nik Aziz  yang juga Menteri Besar Kelantan pada 8 Januari lalu dilaporkan bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu hak eksklusif bagi orang Islam.

 Menurutnya langkah itu sebagai memberi ruang kepada orang bukan Islam mengenali ajaran agama Islam sebenarnya.

 Pandangan Nik Aziz itu sekali gus menimbulkan percanggahan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama serta kalangan pemimpin PAS. Lebih aneh, Nik Aziz mengeluarkan pendapat bercanggah dalam isu yang sama. Dulu setuju, kini bantah kalimah Allah untuk bukan Islam.

 Perkembangan yang berlaku sekarang bukan sekadar kalimah Allah dan amalan agama. Ia lebih kepada medan menguji pengaruh dan percubaan mempersendakan umat Islam.

 Kita berhak mempersoalkan agenda isu agama ditimbulkan sekarang. Siapa yang mendalanginya? Ketika krisis politik Sabah pada 1985, pihak tertentu  menggunakan isu agama untuk mencabar suasana Negeri Di Bawah Bayu.

 Keadaan sama juga pernah muncul selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969 apabila ada pihak yang menggunakan isu kaum dan agama sebagai provokasi terhadap umat Islam.

 Bayangan pengulangan kejadian lampau semakin terserlah. Isu agama dan kaum dilafaz secara terbuka bagi menguji kontrak sosial yang dipersetujui sejak 31 Ogos 1957. Ia lebih meruncing selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008.

Jangan terperanjat jika kalimah Allah  sebahagian daripada agenda tersembunyi yang boleh memerangkap rakyat pelbagai kaum. Isyarat dan apa yang tersurat dalam sistem tanda mudah menghuraikan kita dengan kemungkinan yang bakal berlaku.

 Tidak sukar untuk kita mengaitkan dengan budaya politik kebencian yang semakin bersemarak sekarang. Isu kalimah Allah, pengusiran Melayu Pulau Pinang di kawasan strategik dan aksi ganas dalam beberapa majlis siasah amat menggerunkan.

 Jati diri Melayu, Islam dan kepelbagaian kaum semakin diuji dengan kehadiran isu yang menakutkan. Mampukah Pilihan Raya Umum Ke-13 menjernihkan suasana atau kita semakin bersengketa selepasnya?  -  Berita Harian, 16 Januari 2013

Tuesday, January 15, 2013

Pusat Dialisis 1Malaysia perlu wujud


Sakit buah pinggang tidak pernah mengenal mangsa dan status ekonomi seseorang.  Ia membabitkan kos rawatan yang tinggi dan 14,000 pesakit menanti pemindahan organ pada tempoh yang tidak dapat ditentukan.

  Purata kos rawatan dialisis bagi setiap pesakit adalah RM3,500 sebulan. Ia tidak termasuk kos rawatan di hospital jika pesakit mengalami pelbagai komplikasi lain akibat ginjal tidak berfungsi. Bayangkan pesakit yang berpendapatan rendah dan tidak mampu ke pusat dialisis. Apakah mengharapkan doa dan takdir semata-mata?

  Dalam hal ini kerajaan yang sudah memperkenalkan Klinik 1Malaysia wajar memikirkan penubuhan Pusat Dialisis 1Malaysia bagi membantu pesakit miskin menerima rawatan sempurna.

  Modus operandi pusat berkenaan tidak jauh beza dengan pusat dialisis di hospital kerajaan yang mengutamakan kebajikan pesakit.  Bezanya, pusat dialisis di hospital merawat pesakit yang berada di dalam wad dan Pusat Dialisis 1Malaysia merawat pesakit miskin secara berkala selepas mereka keluar hospital.

  Di beberapa negara Barat terutama Sweden dan Jerman, pesakit buah pinggang diberi subsidi rawatan bagi menjamin kualiti hidup mereka tidak terjejas.

  Kerajaan yang sebelum ini memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia  dan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia wajar menyediakan Pusat Dialisis 1Malaysia bagi membantu pesakit buah pinggang yang meningkat setiap tahun. 

  Tanpa bantuan kerajaan yang terkenal dengan tradisi membela rakyat, pesakit buah pinggang menjadi mangsa keadaan yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan dan produktiviti negara.

  Seorang kenalan yang isterinya menjalani rawatan di sebuah pusat dialisis swasta terpaksa mengeluarkan peruntukan RM2,000 sebulan. Isteri beliau  hanya menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)   RM1,500 dan rayuan mendapatkan bantuan Baitulmal belum terjawab sejak beberapa bulan.

  Bayangkan betapa terhimpitnya kehidupan bagi sesebuah keluarga apabila seorang daripada mereka menghadapi masalah buah pinggang. Mereka bukan saja berdepan kos rawatan dialisis yang tinggi, bahkan kos membeli ubat, kualiti hidup dan tekanan perasaan   luar biasa.

  Ada pesakit buah pinggang yang tidak tenteram jiwa kerana bebanan penyakit. Apabila mendengar ada kalangan teman yang menghidap penyakit sama meninggal dunia, mereka juga mengeluh dan pasrah kerana sakit buah pinggang tidak boleh dirawat kecuali menerusi pemindahan organ. Mereka terpaksa bersara awal kerana kegagalan ginjal menjejaskan produktiviti.

  Bayangkan betapa ruginya negara apabila seseorang pekerja yang berkemahiran tinggi terpaksa meninggalkan jawatan kerana bebanan penyakit.

Bagaimanapun pemindahan organ bukan sesuatu yang mudah di Malaysia. Kira-kira 14,000 pesakit tidak pasti  bila mereka akan menjalani pemindahan buah pinggang kerana tradisi menderma organ belum menjadi budaya di negara ini.

  Sejak 1997 hingga 2012, hanya 4,318 orang berikrar sebagai penderma organ berbanding kira-kira 14,000 pesakit. Daripada jumlah itu, tidak semua yang berikrar menjadi penderma berjaya melakukannya.

  Menurut kajian, bilangan rakyat Malaysia menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir dijangka meningkat mendadak daripada 40 orang pada 1980 kepada 16,000 orang   akhir tahun ini.

Pakar nefrologi mengaitkan diabetis dan hipertensi sebagai antara penyebab utama 60 peratus daripada kes baru pesakit yang memerlukan rawatan dialisis. Kajian juga menunjukkan   90 kes baru bagi sejuta penduduk Malaysia, iaitu kira-kira 2,000 hingga 3,000 pesakit baru setiap tahun.

Peningkatan yang serius ini memerlukan skim rawatan yang merakyat. Pusat dialisis swasta tidak dapat menerima pesakit secara percuma kerana membabitkan kos operasi yang tinggi.

  Penubuhan Pusat Dialisis 1Malaysia bakal membantu pesakit berpendapatan kecil menerima rawatan sempurna tanpa dibebani kos perawatan yang tinggi. Kita yakin kerajaan yang mengutamakan rakyat boleh memikirkan penubuhan pusat dialisis yang lebih murah atau  secara percuma kepada rakyat miskin.

  Kemudahan kepakaran dan peralatan di hospital kerajaan termasuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) boleh dimanfaatkan untuk  penubuhan Pusat Dialisis 1Malaysia.
Kita yakin pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh mengkaji saranan ini demi kepentingan rakyat berpendapatan rendah!  - Berita Harian, 15 Januari 2013

Monday, January 14, 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat

 Pasar Chow Kit tetap cerah dan meriah. Jam 9 pagi pada 12 Januari lalu bagai hari Sabtu yang lain – pembeli dan penjual sibuk tawar menawar dan beberapa gerai dipenuhi pelanggan yang menghirup kopi dan teh sambil menikmati suasana kota yang sentiasa sibuk.

  Suasana aman dan tidak tegang seperti dua perhimpunan BERSIH sebelum ini yang penuh dengan sekatan dan rondaan pihak berkuasa. Banyak kedai mula dibuka dan kenderaan memeriahkan jalan raya. Beberapa anggota polis berdiri di pinggir jalan dan kelihatan mesra dengan orang awam.  Kerajaan menunjukkan ketelusan  menangani hak kebebasan rakyat seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

  Beberapa kumpulan kecil berkemeja-T hijau, kuning dan merah mula bergerak ke Stadium Merdeka. Kebanyakan mereka melilitkan tuala kecil di leher dan membawa botol air mineral. Kononnya sebagai ‘perisai’ jika terkena gas pemedih mata.

  Di beberapa laluan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, konvoi pejalan kaki termasuk wanita dan kanak-kanak melangkah tenang ke arah Masjid Negara. Mereka melambaikan tangan kepada kenderaan yang sengaja membunyikan hon. Kanak-kanak juga diheret ke Himpunan   KL112.

  Menikmati sarapan pagi di Jalan Haji Hussein terasa menggamit kenangan lama. Beberapa kenalan   kini berjanggut dan berjubah ditemui secara tidak sengaja. Mereka juga mahu ke Stadium Merdeka. Untuk apa? “Kami mahu raikan demokrasi,” tutur mereka sambil tergelak. Beberapa pemuda yang memakai jersi pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors  turut bersemangat bercakap mengenai pilihan raya dan sesekali mencelah mengenai nasib pasukan bola sepak kesayangan mereka.

  “Kami mahu ubah,” tutur mereka. Ada yang mengatakan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan penyanyi utama Blues Gang, Ito  bakal menampilkan lagu dan puisi Ubah di  Stadium Merdeka. 

  Mendekati pekarangan Masjid Negara jam 10 pagi terasa berbeza daripada hari  lain. Ramai yang memenuhi ruangan saf dan pekarangan. Ada yang mendakwa solat Subuh berjemaah pada pagi Sabtu itu seolah-olah solat Jumaat.

    Laluan dari Masjid Negara ke Stadium Merdeka semakin sesak. Orang ramai berjalan perlahan tanpa sebarang provokasi. Di pinggir jalan, ada gerai yang menjualkan baju-T pelbagai warna.  Suasana masih aman dan ramai wanita yang membawa anak ke tempat semakin sesak. Alasannya, tiada  sesiapa di rumah untuk menjaga mereka. “Kami datang secara aman, bukan nak buat kecoh. Tak salah bawa anak!”

 Apabila isu Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) yang melarang kehadiran kanak-kanak dan warga asing ditimbulkan, seorang ustazah menyinga: “Ini urusan kami. Hang jangan kecoh!”

  Beberapa anggota polis agak mesra dengan peserta himpunan. Ada yang bersalaman dan tidak kurang juga memberi penjelasan kepada orang awam mengenai majlis petang  itu. Suasana kelihatan tenang dan kita yakin hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara dihayati  pentadbiran negara sekarang.

  Cuma pada jam 1 tengah hari, laluan dari stesen kereta api lama ke Masjid Negara dan Stadium Merdeka sesak apabila semakin ramai melintasi jalan dengan kawalan unit amal sebuah parti politik.

  Banyak kenderaan   membunyikan hon  dan ketika solat Zuhur di Masjid Negara, suasana semakin sesak. Konvoi pejalan kaki dari arah Pasar Budaya, KLCC, Kampung Baru, Jalan Pudu, Bangsar Utama,  Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya dan Brickfields semakin memenuhi pekarangan stadium.

  Pada jam 5 petang,  seorang anggota sekretariat penganjur mendakwa perhimpunan berkenaan dihadiri 500,000 orang. Angka ini tidak logik kerana bilangan hadirin tidak seramai itu. Bagaimanapun dia sudah mengakui sasaran sejuta orang tidak tercapai.

  Rakyat berhak mempersoalkan apa manfaatnya menghadiri majlis berkenaan sedangkan matlamat demokrasi bukan sekadar perhimpunan. Kehidupan wajar  diterus berdasarkan pertimbangan dan kewarasan.

  Sebelum itu, pada jam 4.20 petang, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad menyatakan jumlah peserta perhimpunan dianggarkan antara 40,000 hingga 45,000 orang.
  Jumlah itu berkurangan hampir separuh daripada anggaran sebelumnya,  80,000 yang diumumkan menerusi Twitter kerana ‘kesilapan teknikal’.

  Suasana di luar stadium bagaikan pesta. Pelbagai produk dijual termasuk makanan, baju-T,  cakera padat dan cenderamata.   Sehingga petang, suasana aman dan Kuala Lumpur tidak dicemari  keganasan. Media penyiaran antarabangsa ‘terlupa’ membuat laporan mengenai Malaysia yang kekal aman. Wartawan Barat hanya melaporkan yang buruk  di negara dunia ketiga. Kita bersyukur Malaysia kekal aman. - Berita Harian, 14 Januari 2013

Sunday, January 13, 2013

Melayu gaduh, orang lain selesa

Pertelagahan sesama Melayu menggugat kekuatan ummah sejak dekad 1960-an. Peristiwa 13 Mei 1969 bukan saja membuktikan ketegangan kaum berikutan agihan ekonomi yang tidak setimpal, bahkan perpecahan Melayu kerana konflik politik di luar bandar dan di dalam UMNO  sendiri.

  Pergeseran di antara UMNO dan PAS mulai ketara apabila beberapa pihak yang mendapat pendidikan pondok tidak menerima dasar  yang dikatakan sekular. Pertelagahan yang membawa persengketaan memuncak di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana fahaman politik yang berbeza membabitkan dua kuasa politik yang dominan di luar bandar. 

  UMNO juga berdepan masalah apabila ada kalangan muda yang meyakini dasar Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra yang lebih mengutamakan kaum tertentu dan mengabaikan pembangunan luar bandar.

  Perbezaan pendapat  mengenai agihan pembangunan negara mendorong perasaan tidak puas hati bangsa Melayu. Ia akhirnya mencetuskan ketegangan menjelang Pilihan Raya Umum 1969 apabila isu kaum menjadi polemik secara terbuka.

  Pengundi bandar membuat keputusan menolak kerajaan Perikatan ketika itu. Keadaan hampir sama berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila pengundi bandar menolak Barisan Nasional (BN).

  Krisis dalaman UMNO pada 1987 juga memberi kesan yang besar kepada bangsa Melayu. Pertandingan jawatan Presiden UMNO di antara Tun Dr  Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 24 April 1987 bukan sekadar masalah parti. Ia memberi kesan kepada masyarakat Melayu secara keseluruhan kerana kedua-dua tokoh yang mempunyai pengikut yang ramai, berdepan secara terbuka.

  Ramai kalangan Melayu yang tidak setuju kerana persaingan dua tokoh bakal merugikan negara. Dr Mahathir adalah pemimpin berwibawa dan arkitek pembangunan Malaysia moden. Tengku Razaleigh bukan sekadar ahli ekonomi dan Menteri Kewangan Melayu pertama, bahkan pelaksana dasar perdagangan yang cekap dan diakui pada peringkat serantau. Jasanya di sebalik penubuhan Bank Bumiputra Malaysia, PETRONAS dan Permodalan Nasional Berhad wajar diakui.

 Kesan persaingan dalam UMNO bukan saja menyebabkan parti itu diheret ke mahkamah dan akhirnya diisytiharkan pertubuhan tidak sah, bahkan melemahkan politik Melayu  sendiri.

  Penubuhan Semangat 46  adalah serpihan UMNO yang membantu PAS menguasai Kelantan pada 1990, sekali gus menggugat politik Melayu yang sepatutnya bersatu dalam menghadapi cabaran kepelbagaian kaum di negara ini.

  Masalah Melayu bukan sekadar berdepan cabaran politik semasa, juga sejauh mana isu moral dan kewibawaan dipertaruhkan bagi kepentingan siasah.
Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998 menguji perpaduan Melayu, sama ada di dalam UMNO dan hubungannya dengan PAS.

  UMNO bukan saja berdepan cabaran memulihkan keyakinan ahli yang taksub kepada Anwar, bahkan dipertikai oleh PAS yang mengambil kesempatan untuk bersimpati dengan individu yang memusuhi mereka dulu. Kesannya pergeseran terbuka sesama Melayu mempengaruhi Pilihan Raya Umum 1999 apabila  BN  gagal menawan semula Kelantan bahkan kehilangan Terengganu kepada PAS.

  Pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi  sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 memberi peluang kepada BN berkuasa semula di Terengganu pada 2004. Bagaimanapun beberapa dasarnya dikritik hebat dalam kalangan ahli UMNO sendiri. PAS meraih kesempatan daripada masalah UMNO  dengan mengambil pendekatan bersekutu dengan DAP dan PKR, akhirnya mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12  pada 8 Mac 2008.

  Keadaan yang berlaku sekarang adalah kesinambungan pertelagahan sesama Melayu yang merugikan bangsa sendiri dan pihak lain mendapat untung.

Pada hari ini Melayu bukan saja dikritik jika bercakap soal kemelayuan, bahkan dianggap mengamalkan perkauman apabila ada saranan untuk memulihkan kekuatan Melayu.

  Cabaran sebenar kepada Melayu adalah usaha memulihkan kekuatan ummah. Tidak salah berbeza pendapat melalui kepartian berbeza, tapi yang perlu diutamakan adalah  usaha memulihkan kekuatan Melayu dalam pelbagai sektor.

  Agihan ekonomi dan peluang kewangan masih rendah. Walaupun Dasar Ekonomi  Baru sudah lama tamat, usaha memulihkan ekonomi bangsa masih berterusan menerusi pelbagai dasar.

  Melayu sepatutnya sedar mereka tidak perlu berdebat soal kalimah Allah atau pun bertelagah mengenai amanat yang memecahbelahkan ummah. Sekarang masa paling sesuai merenung pengalaman lampau apabila Melayu bersengketa, pihak lain yang mendapat labanya. Melayu sepatutnya insaf hanya diri sendiri yang membantu kekuatan ummah, bukan pihak lain yang menghalalkan cara untuk berkuasa. - Berita Harian, 12 Januari 2013
 

Wednesday, January 09, 2013

Balak tak gugat kuasa PAS Kelantan

Dulu syarikat milik rakyat Singapura tebang balak, kini syarikat dari Perak. Kedua-duanya berlaku di Gua Musang ketika Kelantan ditadbir PAS.  Mungkinkah perkembangan ini memberikan kesan yang sama dengan PAS tersingkir dan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir bumi Cik Siti Wan Kembang? Apakah sejarah bakal berulang pada paksi  sama atau rakyat Kelantan berhak menentukan kepemimpinan kerajaan negeri yang lebih adil dan telus selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

 Sehingga kini menjadi bualan umum di Kelantan bagaimana hutan balak ditebang dan kenapa orang lain yang meraih hasil, sedangkan penduduk  sekadar jadi pemerhati.  Mereka yakin isu balak boleh menjadi gelombang politik yang besar jika pentadbiran PAS yang didakwa berteraskan ulama gagal menjelaskan keputusan memberi kawasan balak kepada syarikat yang ada kaitan dengan ahli politik.

  Pemerhati menganggap apa yang berlaku di Kelantan sekarang adalah ulangan kejadian yang menyebabkan tanah balak diteroka secara berleluasa oleh pihak luar.   Kejadian pada  1970-an membabitkan Syarikat Timber Mines meneroka tanah di Kelantan Selatan berikutan keputusan   Presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda yang mengetuai Kumpulan 20 di Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN).

  Kejadian terbaru membabitkan penyerahan kawasan balak kepada pihak luar.  Rakyat Kelantan berhak mempersoalkan bagaimana ‘tauke’ dari Perak  mudah mendapat kawasan balak yang luas di Gua Musang? Apakah secara kebetulan atau ada kaitan dengan pemilihan Menteri Besar Perak selepas PRU Ke-12 pada 8 Mac 2008?

  Sehingga kini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat masih membisu dalam isu balak, seperti juga Asri yang membisu lebih 30 tahun lalu apabila ditanyakan “kenapa Cina Singapura kebas balak Kelantan?”

  Ramai pemerhati mengaitkan  kawasan balak menjadi  duri dalam daging dalam perkembangan siasah di Kelantan. Pentadbiran PAS selama 18 tahun   berakhir di Kelantan pada 1978 apabila isu balak menjadi bualan umum menyebabkan berlaku tunjuk perasaan di Kota Bharu pada 1977 dan pentadbiran DUN Kelantan digantung. Segelintir wakil rakyat PAS dikaitkan dengan politik balak menyebabkan timbul dakwaan penerokaan hutan di Gua Musang sebagai unsur salah guna kuasa.

  Isu balak menggamatkan DUN Kelantan apabila Menteri Besar ketika itu, Datuk Muhammad Nasir, mengeluarkan kenyataan untuk bertindak tegas terhadap wakil rakyat yang terbabit dalam pembalakan. Kenyataan berkenaan mendorong Asri selaku Presiden PAS mengambil tindakan tegas menyingkir Muhammad yang dianggap bertindak di luar kepentingan parti.

 Pelbagai kenyataan yang muncul berikutan isu pembalakan mendorong undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Muhammad ditumbangkan sebagai Menteri Besar oleh ADUN PAS sendiri tetapi rakyat tetap menyokong beliau sebagai pemimpin yang jujur dan ikhlas menentang salah guna kuasa dalam kalangan ‘rakannya’ sendiri.

  Akhirnya berlaku  tunjuk perasaan yang bertukar  rusuhan di Kota Bharu. Kerajaan Pusat  dipimpin Tun Hussein Onn mengisytiharkan perintah berkurung pada 8 November 1977 dan pentadbiran kerajaan negeri digantung bagi mengelak ketegangan berterusan. Kejadian itu menghakis   keyakinan rakyat terhadap PAS dan kerajaan negeri bertukar tangan kepada BN pada 1978.

  Perkembangan   sekarang menarik perhatian  kerana PAS dilihat semakin rakus membiarkan kawasan tadahan hujan diteroka. Lima tahun lalu isu hutan simpan Lojing menjadi polemik apabila pihak yang berkepentingan menjalankan penerokaan secara rakus.

  Sejak mentadbir semula Kelantan pada 1990, PAS tidak banyak menjalankan projek pembangunan menyebabkan kemudahan asas tergendala dan rakyat berdepan pelbagai masalah bagi meningkatkan ekonomi mereka.

  Kita yakin isu pembalakan yang membabitkan pemimpin DAP Perak bakal menjadi bahan ceramah menjelang pilihan raya umum akan datang. Rakyat berhak mempersoalkan sejauh mana pentadbiran sekarang memberi manfaat kepada penduduknya  yang selama ini setia menyokong perjuangan PAS. Sejarah mungkin menentukan balak bakal menjadi isu utama yang boleh mengubah pentadbiran sesebuah kerajaan negeri seperti berlaku pada 1978. - Berita Harian, 9 Januari 2013

Tuesday, January 08, 2013

Liberalisme, pluralisme di ruang tamu kita

Kenalan lama yang pernah menuntut di Amerika Syarikat (AS) dan kini berdagang di Vietnam, mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) sempena tahun baru 2013: ‘Peace Not War!’

  Ungkapan berkenaan mengingatkan kembali era konsert Woodstock pada 1969 ketika gerakan hippie mencapai kemuncak.

Ketika itu lebih 500,000 belia berkumpul di sebuah ladang di pekan Bethel, New York untuk menghadiri konsert rock Woodstock yang berlangsung selama tiga hari.

  Walaupun mengalami masalah trafik yang teruk, kekurangan bekalan makanan dan ribut petir, hippie di Woodstock menjayakan pesta berkenaan dengan bermandi lumpur dan berhujan, berbogel dan menyanyi. Mereka membantah perang Vietnam dan mempersoalkan kenapa juara tinju dunia Muhammad Ali dilucutkan gelaran semata-mata enggan berperang membunuh tentera Vietcong.

  Antara pemuzik yang terbabit konsert rock Woodstock adalah The Who, Carlos Santana, Joan Baez, Jimi Hendrix dan Janis Joplin. Matlamat mereka hanya satu, hentikan perang Vietnam! Ungkapan ‘Peace Not War’ dilaungkan berkali-kali sambil meneguk bir, menagih dan berpelukan sesama mereka tanpa mengira jantina.

  Walaupun ungkapan kenalan lama tiada kaitan dengan Perang Vietnam atau hippie, setidak-tidaknya ‘Peace Not War’ mengingatkan kita harapan tahun baru yang lebih aman. Kita sepatutnya lebih matang kerana kehidupan membawa seseorang ke hadapan, bukan ke belakang.

  Hari ini dunia menjadi kampung global. Walaupun sempadan politik membezakan bentuk pentadbiran sesebuah negara, penghuni planet bumi berhubung menerusi teknologi baru. Media maya dan keunikan teknologi membentuk kehidupan lebih pantas dan terdesak.

  Hari ini perang Vietnam sudah menjadi khazanah sejarah. Kreativiti yang dipaparkan menerusi Rambo: First Blood Part II (1985) dan Missing In Action (1984) sekadar dongeng AS. Teori domino yang digembar-gemburkan selepas kejatuhan Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos ke tangan rejim komunis tidak menjadi. Asia Tenggara kekal aman dan Vietnam kini menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan kadar 5.2 peratus setahun.

  Bayangkan sebuah negara yang dileburkan oleh kuasa asing kini menjadi kuasa ekonomi penting di Asia Tenggara. Banyak syarikat Malaysia melabur di Vietnam yang menyediakan persekitaran ekonomi yang positif. Syarikat pembinaan Malaysia memperoleh 18 projek di Vietnam bernilai RM9.1 bilion dengan 16 daripadanya bernilai RM1.1 bilion sudah disiapkan.

  Ketika Vietnam mengalami perubahan ekonomi, AS menghadapi pelbagai kemelut sejak empat dekad lalu. Jika terbaru Taufan Sandy menyebabkan kerugian RM150 bilion, AS juga mengalami masalah sosial luar biasa. Isu serangan di sekolah dan lelaki mengamuk di tempat awam berlaku setiap dua minggu. Kes bunuh berlaku setiap dua minit dan kelahiran anak luar nikah setiap lima minit.

  Kegilaan budaya hippie mula hilang pada awal 1970-an apabila perang Vietnam berakhir. Ramai belia yang terjebak dengan dadah kehilangan arah hidup, dimasukkan ke wad atau menjadi pengemis kerana lari dari rumah.

  Pada 4 Mei 1970,  rusuhan antiperang Vietnam di Universiti Kent State bertukar ganas apabila beberapa pelajar mati ditembak. Pembunuhan ngeri oleh ‘guru hip-pie’, Charles Manson dan pengikutnya menjejaskan imej AS. Hip-pie diganti budaya disco dan punk yang kekal dengan kehidupan bebas.

  Fahaman pluralisme dan liberalisme yang muncul ketika kejatuhan kekuasaan gereja muncul semula di AS dan Barat, akhirnya membawa kesannya ke negara lain termasuk di Malaysia.

  Pengaruh dunia tanpa sempadan memungkinkan fahaman bebas menular dengan lebih cepat.
  Kita menyediakan ruang tamu yang terlalu mudah diceroboh. Siaran televisyen satelit, media sosial dan laman sembang memudahkan penularan fahaman kebebasan mempengaruhi generasi muda kita.

  Tafsiran terhadap “Peace Not War” pada hari ini perlu dilihat dengan persepsi berbeza. Kita mungkin tidak lagi berdepan dengan ancaman bersenjata kerana peperangan moden memadai menggunakan minda seseorang. Pencerobohan dan penguasaan pemikiran memadai dengan keseronokan atau keserakahan hidup.

  Program realiti TV menayangkan persaingan mengejar matlamat seseorang. Matlamat menghalalkan cara wujud dalam pelbagai dimensi. “Peace Not War” bukan bermakna kita sudah aman tanpa peperangan kerana perang dalaman lebih hebat lagi. Apabila ada pihak yang mendakwa kita bebas memilih kepercayaan dan beragama, bukan bermakna  sudah lengkap pemikiran seseorang.

  Fahaman liberalisme dan pluralisme mengancam kita dalam pelbagai arah. Menjadi tanggungjawab kita menjadikan 2013 sebagai wadah untuk membentuk jati diri unggul. - Berita Harian, 8 Januari 2013
 

Wednesday, January 02, 2013

Semoga tidak ‘kecapaian’ pada tahun baru 2013

Ada pihak  membuat lawak apabila memilih ungkapan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ sebagai tema Hari Kebangsaan  1996. Tahun yang sama juga ungkapan    ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’ menjadi slogan sambutan  Maal Hijrah.

 Bayangkan betapa banyak rakyat yang terkeliru menggunakan perkataan ‘kecapaian’   bagi membangunkan negara. Ramai juga murid dan pelajar yang disogok dengan perkataan yang salah untuk maksud   tidak tepat. Bayangkan mereka menggunakan ‘kecapaian’ dalam karangan untuk maksud yang salah dan menjejaskan markah peperiksaan.

Pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kebangsaan ketika itu sekadar memberi alasan ‘keputusan Kabinet’ menyebabkan tema hari kebangsaan bernada lesu, longlai dan tak bermaya itu dipilih.
Kononnya perkataan ‘kecapaian’  lebih hebat, gah dan bersemangat berbanding ‘pencapaian’.
Kamus Dewan  menghuraikan ‘kecapaian’ sebagai ‘keletihan; capek’. Kesilapan lalu diharap tidak berulang apabila kerajaan berjanji untuk memperkasa bahasa Melayu ke tempat sewajarnya.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi jaminan proses audit penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi kerajaan akan dilaksanakan dengan kerjasama pasukan audit dalaman di setiap jabatan dan agensi terbabit. Mulai Januari, 30 kakitangan DBP ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam dan agensi kerajaan bagi program audit bahasa.

 DBP memberi tumpuan kepada dua komponen utama, iaitu peratus kandungan dokumen dalam bahasa Melayu dan mutu bahasa digunakan. Kita menanti hasilnya pada 2013.

 Selain peratus penggunaan bahasa Melayu, kemantapan bahasa juga dinilai dari segi ejaan, tanda baca, istilah, kesantunan, pemilihan perkataan yang tepat dan kejelasan fikiran.

 Kita harap DBP mampu melaksanakan tugas sebagai ‘pengawal’ bahasa yang berkesan.  Tanpa kuasa untuk bertindak dan menguatkuasa penggunaan bahasa yang betul, DBP tidak lebih sekadar kakitangan pihak  berkuasa tempatan (PBT)  yang gagal  bertindak terhadap iklan haram dengan kesalahan ejaan melampau.

 Sejauh mana DBP boleh bertindak terhadap  kertas Kabinet yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu? Mampukah pegawai DBP bersuara jika ada pembesar menggunakan bahasa penjajah walaupun pada majlis rasmi kerajaan? Bolehkah DBP menegur  atau melarang penggunaan istilah asing untuk jalan, premis awam, pusat beli-belah dan nama taman perumahan?

Dulu kita ada Hentian Bas Pudu Raya. Kini disebut  Pudu Sentral sebagai  nama baru Terminal Bas Puduraya. Kita sudah biasa dengan  Central Market  berbanding Pasar Budaya atau Pasar Seni. Kita juga tidak segan menyebut ‘presint’  ketika berada di Putrajaya. Kita ada KLIA yang bermaksud Kuala Lumpur International Airport. Hinakah  bahasa Melayu   digunakan di tempat naik dan turun kapal terbang? 

 Nama taman perumahan yang aneh cukup meloyakan pencinta bahasa. Kenapa perlu   The Peak, Trovit Homes, The Lakes Ville dan  Casablanca? Kita tidak yakin keadaan berubah  pada 2013 kerana pemaju besar kepala dan mengutamakan keuntungan, bukan mendaulatkan bahasa Melayu.

 Sehingga kini tiada peruntukan undang-undang yang memaksa pemaju merujuk DBP untuk menamakan jalan, premis awam dan taman perumahan. Tanpa undang-undang,   pelaksanaan audit bahasa mudah dicabul oleh sesiapa saja.

 Kita kesal keadaan ini berlaku di sebuah bumi Melayu yang mempunyai akar tradisi yang panjang.  Ketika era kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu bukan sekadar wahana perhubungan, bahkan sumber ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan.

 Bahasa Melayu ketika era  Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

 Malangnya kini ia boleh dipermainkan dengan mudah. Ada ahli politik yang bukan saja merendahkan kedudukan karya Sasterawan Negara seperti novel Interlok, bahkan meragui nilai ekonomi yang dituturkan hampir setengah bilion penduduk dunia.  Mereka bukan saja meletakkan bahasa Melayu kurang berfungsi, bahkan sanggup merendahkan penggunaan untuk subjek Sains dan Matematik.

Penggunaan bahasa bagi generasi muda juga semakin ‘kecapaian’  apabila  khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel mengguna bahasa slanga yang salah ejaan dan tatabahasa.

 Lebih malang medium penyiaran seperti radio dan televisyen  bagai membudayakan bahasa rojak semata-mata untuk melariskan pasaran. Bahasa Melayu, loghat, slanga dan bahasa asing semakin berkecamuk. Semoga  kita tidak kecapaian  pada tahun baru. Bersamalah kita martabatkan bahasa Melayu sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia! - Berita Harian, 2 Januari 2013