Pages

Tuesday, January 08, 2013

Liberalisme, pluralisme di ruang tamu kita

Kenalan lama yang pernah menuntut di Amerika Syarikat (AS) dan kini berdagang di Vietnam, mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) sempena tahun baru 2013: ‘Peace Not War!’

  Ungkapan berkenaan mengingatkan kembali era konsert Woodstock pada 1969 ketika gerakan hippie mencapai kemuncak.

Ketika itu lebih 500,000 belia berkumpul di sebuah ladang di pekan Bethel, New York untuk menghadiri konsert rock Woodstock yang berlangsung selama tiga hari.

  Walaupun mengalami masalah trafik yang teruk, kekurangan bekalan makanan dan ribut petir, hippie di Woodstock menjayakan pesta berkenaan dengan bermandi lumpur dan berhujan, berbogel dan menyanyi. Mereka membantah perang Vietnam dan mempersoalkan kenapa juara tinju dunia Muhammad Ali dilucutkan gelaran semata-mata enggan berperang membunuh tentera Vietcong.

  Antara pemuzik yang terbabit konsert rock Woodstock adalah The Who, Carlos Santana, Joan Baez, Jimi Hendrix dan Janis Joplin. Matlamat mereka hanya satu, hentikan perang Vietnam! Ungkapan ‘Peace Not War’ dilaungkan berkali-kali sambil meneguk bir, menagih dan berpelukan sesama mereka tanpa mengira jantina.

  Walaupun ungkapan kenalan lama tiada kaitan dengan Perang Vietnam atau hippie, setidak-tidaknya ‘Peace Not War’ mengingatkan kita harapan tahun baru yang lebih aman. Kita sepatutnya lebih matang kerana kehidupan membawa seseorang ke hadapan, bukan ke belakang.

  Hari ini dunia menjadi kampung global. Walaupun sempadan politik membezakan bentuk pentadbiran sesebuah negara, penghuni planet bumi berhubung menerusi teknologi baru. Media maya dan keunikan teknologi membentuk kehidupan lebih pantas dan terdesak.

  Hari ini perang Vietnam sudah menjadi khazanah sejarah. Kreativiti yang dipaparkan menerusi Rambo: First Blood Part II (1985) dan Missing In Action (1984) sekadar dongeng AS. Teori domino yang digembar-gemburkan selepas kejatuhan Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos ke tangan rejim komunis tidak menjadi. Asia Tenggara kekal aman dan Vietnam kini menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan kadar 5.2 peratus setahun.

  Bayangkan sebuah negara yang dileburkan oleh kuasa asing kini menjadi kuasa ekonomi penting di Asia Tenggara. Banyak syarikat Malaysia melabur di Vietnam yang menyediakan persekitaran ekonomi yang positif. Syarikat pembinaan Malaysia memperoleh 18 projek di Vietnam bernilai RM9.1 bilion dengan 16 daripadanya bernilai RM1.1 bilion sudah disiapkan.

  Ketika Vietnam mengalami perubahan ekonomi, AS menghadapi pelbagai kemelut sejak empat dekad lalu. Jika terbaru Taufan Sandy menyebabkan kerugian RM150 bilion, AS juga mengalami masalah sosial luar biasa. Isu serangan di sekolah dan lelaki mengamuk di tempat awam berlaku setiap dua minggu. Kes bunuh berlaku setiap dua minit dan kelahiran anak luar nikah setiap lima minit.

  Kegilaan budaya hippie mula hilang pada awal 1970-an apabila perang Vietnam berakhir. Ramai belia yang terjebak dengan dadah kehilangan arah hidup, dimasukkan ke wad atau menjadi pengemis kerana lari dari rumah.

  Pada 4 Mei 1970,  rusuhan antiperang Vietnam di Universiti Kent State bertukar ganas apabila beberapa pelajar mati ditembak. Pembunuhan ngeri oleh ‘guru hip-pie’, Charles Manson dan pengikutnya menjejaskan imej AS. Hip-pie diganti budaya disco dan punk yang kekal dengan kehidupan bebas.

  Fahaman pluralisme dan liberalisme yang muncul ketika kejatuhan kekuasaan gereja muncul semula di AS dan Barat, akhirnya membawa kesannya ke negara lain termasuk di Malaysia.

  Pengaruh dunia tanpa sempadan memungkinkan fahaman bebas menular dengan lebih cepat.
  Kita menyediakan ruang tamu yang terlalu mudah diceroboh. Siaran televisyen satelit, media sosial dan laman sembang memudahkan penularan fahaman kebebasan mempengaruhi generasi muda kita.

  Tafsiran terhadap “Peace Not War” pada hari ini perlu dilihat dengan persepsi berbeza. Kita mungkin tidak lagi berdepan dengan ancaman bersenjata kerana peperangan moden memadai menggunakan minda seseorang. Pencerobohan dan penguasaan pemikiran memadai dengan keseronokan atau keserakahan hidup.

  Program realiti TV menayangkan persaingan mengejar matlamat seseorang. Matlamat menghalalkan cara wujud dalam pelbagai dimensi. “Peace Not War” bukan bermakna kita sudah aman tanpa peperangan kerana perang dalaman lebih hebat lagi. Apabila ada pihak yang mendakwa kita bebas memilih kepercayaan dan beragama, bukan bermakna  sudah lengkap pemikiran seseorang.

  Fahaman liberalisme dan pluralisme mengancam kita dalam pelbagai arah. Menjadi tanggungjawab kita menjadikan 2013 sebagai wadah untuk membentuk jati diri unggul. - Berita Harian, 8 Januari 2013
 

No comments: