Pages

Tuesday, March 27, 2012

Muhammad Zainal Ariff ikon remaja bermasalah

HIDUP tidak selalu indah dan  tidak juga terlalu kejam. Muhammad Zainal Ariff Mat Zain sudah membuktikan kesilapan lampau boleh ditebus dengan usaha yang gigih. Dia berazam  memulih zaman lampau yang celaru dan keliru.

Kehidupan dalam penjara menginsafkan dan dia sedar  hanya ilmu yang mampu mengubah jalan hidupnya.
Dia  tekad menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2010 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Dia dibebaskan dari Penjara Kajang Oktober lalu  selepas  dipenjarakan sejak 2008 kerana terbabit dalam kegiatan jenayah.

Walaupun  tidak bersekolah sejak Tingkatan Satu kerana desakan hidup, memperoleh keputusan 6A, 1B dan 1E dalam SPM lalu amat membanggakan.

Kini nama Muhammad Zainal  disebut kerana dia  antara sembilan pelajar cemerlang SPM di Selangor menerima keputusan peperiksaan daripada Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus pada 21 Mac lalu. Menjadi resam manusia memuji kepada yang berjaya, sekali gus mencela insan yang dianggap hina.

  Muhammad Zainal  yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan pengurusan di pusat pengajian tinggi tempatan.

Kisah hidup   Muhammad Zainal  bagai naratif fiksyen yang menarik perhatian. Dia pernah gagal, kecewa, putus asa,  terlanjur,  terperap dalam penjara, dinafikan hak belajar, akhirnya menjadi wira kerana kejayaan dalam SPM.

Mungkinkah Muhammad Zainal menjadi  ikon belia dan sejauh mana kementerian terbabit dapat memanfaatkan kejayaan remaja ini sebagai model contoh rakan sebaya yang bermasalah?

Ada ketikanya masyarakat terlalu zalim menghukum. Masyarakat terlalu kejam meletakkan warna hitam terhadap seseorang yang dianggap sampah tanpa membiarkan insan terbabit membela diri atau menebus kesilapan lampau.

Muhammad Zainal mungkin berpeluang melanjutkan pelajaran setinggi mungkin.  Namun apakah dia bakal diterima ‘sepenuhnya’ dalam masyarakat?

Apakah ada majikan yang sanggup menerima bekas banduan bekerja?  Apakah ada jabatan dan agensi kerajaan yang benar-benar telus dan tulus membantu segelintir anggota masyarakat yang luar biasa perjalanan hidupnya?

Saya mengutarakan pelbagai persoalan di atas kerana mempunyai kenalan yang pernah dipenjara selama enam tahun kerana kesalahan dadah. Dia dituduh  mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dikaitkan mengedar dadah. Dia bernasib baik kerana kes dipinda kepada ‘memiliki dadah’ dan dipenjarakan di Sungai Buloh, Kajang dan Seremban. Setiap kali menziarahinya, dia akan menangis kekesalan kerana mengikut nafsu muda yang salah memilih kawan.

Selepas keluar penjara, dia bukan saja berdepan cercaan masyarakat, juga menghadapi masalah untuk memulakan hidup baru. Orang ramai sukar menerima bekas penghuni penjara hatta di kawasan masjid sekali pun. Dia melamar pekerjaan demi pekerjaan, namun nombor MyKadnya menghalang segala-galanya. Majikan tidak sanggup risiko mengambil bekas banduan bekerja. Lebih fatal, dia gagal mendapatkan pasport antarabangsa  kerana  jabatan terbabit melarang bekas banduan ke luar negara.

Kini hidupnya berubah apabila menamatkan kursus pelayaran dan memperoleh pasport antarabangsa apabila bertugas di sebuah syarikat perkapalan. Dia juga mendalami agama, berwirid dan berzikir. Hidup terperap dalam penjara selama enam tahun menginsafkan. Dia merasakan dirinya lebih beruntung kerana berpeluang mendapat pendidikan akhlak dan agama di penjara.

Bagi masyarakat di luar penjara, mata sinis sentiasa menghukum seolah-olah mereka bebas daripada dosa masyarakat.

Bagi yang bersedia belajar, kehidupan sentiasa berliku. Likuan itulah yang mematangkan seseorang kerana setiap daripada kita tidak mungkin menjalani episod hidup yang sama. Kehidupan dan ilmu bukan saja kerana kertas bernama sijil dan ijazah, juga rentak dan cabaran di pusat tahanan. Muhammad Zainal  tentunya tidak bersendirian menghadapi dugaan sedemikian kerana  resam dunia sentiasa kaya dengan cabaran dan dugaan. - Berita Harian, 27 Mac2012

No comments: