Pages

Tuesday, February 28, 2012

Bakar al-Quran bukan isu baru

SEKARANG abad Amerika Syarikat (AS).

Apa saja boleh berlaku kerana AS penguasa tunggal. China dan Russia hanya kuasa kecil yang sekadar berdehem di sisi AS.  Jepun dan Jerman sudah lama rebah bersama berkuburnya era Perang Dunia Kedua.
Bagaimanapun selepas  gagal mendapat mandat   mengganyang Syria menerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  tentera  AS menunjukkan sikap sebenar mereka dengan membakar al-Quran.

Apa yang berlaku   di Bagram, Afghanistan bukan kes terpencil. Sudah banyak kes  AS dan sekutu mereka -- NATO (Pakatan Atlantik Utara)  melakukan perbuatan    menghina umat Islam. Tahanan Islam di Iraq  pernah  dilarang mengerjakan solat  dan  tawanan di Guantanamo Bay  dipaksa makan babi. Hanya selepas mendapat bantahan daripada beberapa negara Islam, AS berlembut dan mendakwa kegiatan  itu  kes terpencil yang  dilakukan oleh anggota tentera yang tidak memahami arahan Rumah Putih. 
Apa yang berlaku di Afghanistan minggu lalu bukan kali pertama. Perbuatan tentera AS membakar al-Quran sudah banyak kali berlaku sejak bekas Presiden George  Bush mengadakan kempen memerangi keganasan di Kabul sejak 2001.
Isu al-Quran dibakar dan tentera NATO menembak tentera serta pesawat  kerajaan Afghanistan dan Pakistan sudah menjadi klise. Mereka sekadar memohon maaf apabila dibantah, kemudian mengulangi pada tempoh yang lain.
Bayangkan jika PBB memberi mandat kepada AS dan NATO menyerang Syria pada Januari lalu. Barangkali kini perang terus memuncak dan regim baru bertukar di Syria walaupun tanpa jaminan keamanan dan demokrasi bakal pulih. 

Selepas era Perang Dingin, AS muncul sebagai kuasa tunggal yang memperagakan keangkuhan dan penguasaan tunggal. Kremlin tumbang dan Tembok Berlin hanya mainan sejarah. Sejak 1990-an, AS menggunakan dasar ketenteraan di  Iraq, Afghanistan dan terbaru di Libya untuk menentukan penguasaan di Asia Barat dan Afrika. Matlamat utama adalah menentukan keamanan rejim haram Israel di samping mengekalkan kerajaan Arab yang pro-Barat. 

AS perkenal  falsafah  NeoCon sebagai dasar baru Washington  selaras kepentingan imperialis  Zionis.
 NeoCon dikaitkan Project For the New American Century (PNAC). Abad sekarang dianggap  projek AS  kurun baru  yang menguasai  urus niaga mata wang,  media,  saham dan minyak dunia.  

PNAC memungkinkan AS menyerang Iran sebagai landasan menguasai Asia Barat dan Teluk Parsi. Pelbagai alasan dicari dan Teheran berdepan  pelbagai sekatan ekonomi semata-mata untuk melumpuhkan kerajaan Mahmoud Ahmadinejad   yang dianggap pencabul hak asasi rakyat.

Kini Syria dipilih sebagai sasaran kerana negara sosialis itu dianggap satelit kepada Iran. Kejatuhan Syria sebagai cermin kejatuhan Iran yang mempunyai tentera terkuat di Asia Barat, selain persenjataan moden dan nuklear yang boleh mengimbangi AS dan Israel.

Gerakan rakyat yang dinamakan prodemokrasi dipergunakan di beberapa negara Arab. Isu kemanusiaan, hak asasi, perdagangan bebas dan persefahaman ekonomi menjadi lontaran terbaik AS di Asia Barat.

Syria menjadi mangsa mainan politik yang dicetuskan Barat. Isu demokrasi dan hak awam diterjemahkan sebagai konsep liberalisme selaras prinsip persamaan. Persamaan dikaitkan dengan suara rakyat menentang diktator. Inilah piagam AS kurun baru yang membentuk fikiran massa.  Justeru,  isu bakar al-Quran hanya citra sikap sebenar AS yang pro-Zionis dan Islam sekadar alat untuk menghalalkan cara! - Berita Harian, 28 Februari 2012

Tuesday, February 21, 2012

DAP alat PAS, MCA alat UMNO?

ADA banyak  persamaan antara  Datuk Seri Chua Soi Lek dan  Lim Guan Eng. Mereka berasal dari Batu Pahat, berpendidikan Inggeris dan fasih berbahasa Mandarin. Mereka juga memimpin dua parti terbesar kaum Cina, iaitu   Presiden MCA dan  Setiausaha Agung DAP. Persamaan lain yang kurang diperhatikan ialah gaya rambut kedua-dua tokoh ketika menghadiri debat  politik di Kuala Lumpur 18 Februari lalu.

Mereka pintar berhujah, mahir menggunakan bahasa kiasan dan pepatah klasik Cina. Mereka profesional Cina yang menjadi tumpuan bakal pengundi tidak lama lagi.

 Debat    ‘Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua parti menjadi sistem dua bangsa?' memberi peluang kepada dua tokoh mengemukakan hujah, mencabar dasar pihak lain, sekali gus mempertahankan diri dari serangan politik kem berbeza.

Bagaimanapun suasana di  Hotel Berjaya, Kuala Lumpur yang dihadiri 600 orang itu boleh dianggap petanda awal untuk meneruskan tradisi debat dan dialog siasah secara terbuka.

Pada 1991, Guan Eng dan  bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berdebat isu  yang hampir sama -- hala tuju kaum Cina, politik dan kepentingan pendidikan Mandarin serta dasar pemerintah yang dianggap sisa kek pada setengah golongan.

Debat politik juga pernah menjadi perhatian umum  pada 15 Julai  2008 apabila  Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan (ketika itu) Datuk Ahmad Shabery Cheek  berdebat di Kuala Lumpur.

Pada 29 Januari lalu di London, debat membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan  Pengarah Starategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli  berlangsung dalam suasana intelektual yang menyerlahkan kematangan tokoh muda kita.  Malangnya debat dianjurkan di London dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar.

Tradisi debat secara terbuka wajar dihargai sebagai ruang untuk menilai kemampuan seseorang tokoh mengemukakan idea, sekali gus  membuktikan kewibawaan peribadi mereka.

Bagi kebanyakan negara maju, debat sebahagian daripada  prasyarat sistem demokrasi itu sendiri. Wakil Demokrat dan Republikan bukan saja berhujah untuk merebut tempat ke Rumah Putih di Amerika Syarikat (AS), bahkan debat dalaman sesama perwakilan parti tidak kurang hebatnya.

Dari segi sejarah, debat antara Presiden Gerald Ford  dan calon Demokrat  Jimmy Carter di  Philadelphia's Walnut Street Theater  pada 23 September 1976 dianggap terbaik setakat ini. Mereka mengemukakan hujah kesan Perang Dingin dan Perang Vietnam terhadap kehidupan di   AS  sendiri. Masyarakat diberi  peluang menilai tokoh yang bakal menerajui AS pada dekad 70-an dan awal 80-an.  Seramai 40 juta menyaksikan debat mereka secara langsung di kaca TV dan skrin layar besar.  Edaran akhbar meningkat 80 peratus keesokan harinya semata-mata kerana berita debat dianggap terpenting untuk rakyat.  

Pada 15 Oktober 1992,  Presiden George HW Bush berdebat dengan calon Bebas,  Ross Perot dan  Bill Clinton mengenai kesan ekonomi global dan masa depan AS sebagai penguasa tunggal ekonomi dunia. Sekali  lagi, dunia terpaku melihat hujah mereka, seperti juga kita kaget bagaimana Bush dan anaknya  menjelajah Iraq dan Afghanistan semata-mata atas lesen keamanan sejagat.

Mereka menguasai dunia kerana kemahiran berdebat dan pandai mengambil kesempatan untuk meraih sokongan di peti undi

 Bagaimanapun majlis membabitkan  Soi Lek dan Guan Eng sukar mengelakkan isu emosi, terutama di kalangan hadirin.

Sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, isu kaum Cina dan gerakan siasah di Malaysia amat menarik diperhatikan. Tanggapan Cina memihak kepada pembangkang kerap kedengaran. Keputusan beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya Sarawak tahun lalu hampir membuktikan dakwaan itu.

Soi Lek menggunakan ruang debat untuk menyatakan DAP alat kepada PAS untuk melaksanakan hudud. Guan Eng pula menerjah dengan soalan; apakah MCA bukan alat UMNO?

Tidak memeranjatkan isu sedemikian timbul kerana tradisi debat masih belum matang di Malaysia. Kita melihat isu kaum dan agama sebagai halangan perpaduan. Lebih fatal, apabila sentimen etnik dijadikan landasan untuk meluaskan jurang siasah.

Tentunya debat dua tokoh tidak mempunyai pemenang mutlak, seperti juga isu politik yang sentiasa ada pro dan kontra. Yang menang adalah kebebasan bersuara itu sendiri kerana kedua-dua pihak diberi peluang berhujah, walaupun sekadar  dongeng politik yang kaya dengan sentimen, tohmahan dan sindiran. Tentunya selepas ini diharapkan debat membabitkan tokoh lain diadakan, termasuk pimpinan utama Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat! - Berita Harian, 21 Februari 2012

Wednesday, February 15, 2012

Awang Sariyan dan maruah DBP

    Ketua Pengarah baru diharap mampu hapus kerenah

PELANTIKAN Timbalan  Ketua Pengarah (Dasar),  Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP), Dr Awang Sariyan  sebagai Ketua Pengarah  DBP  berkuat kuasa, 1  Februari lalu, amat dialukan.
Beliau bukan saja  pejuang bahasa  berwibawa, juga insan akademik yang sentiasa peka terhadap isu kebahasaan serantau.

      Awang, 59, ialah Penyandang  Pertama Kursi Pengajian Melayu di Foreign Studies University  Beijing, China (Januari 2008 hingga Julai 2011). Beliau pernah menjawat  Pengarah  Jabatan Bahasa, DBP; Profesor  Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti  Putra Malaysia; serta Profesor  Bahasa di Akademi Pengajian  Melayu, Universiti Malaya.

     Beliau pernah dua kali menjawat  Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.
   Beliau turut dilantik  Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak  1992 dan  membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand).
   Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah. Beliau pernah menjawat  Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).
  Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperoleh termasuk Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP,  Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun memimpin DBP tidak semudah menjadi pengerusi persatuan belia daerah. DBP sentiasa kaya dengan kerenah dan cabaran. Masyarakat melihat DBP sebagai ejen mengembangkan bahasa dan sastera. DBP dianggap penggerak dan penegas bahasa kebangsaan.

Sebelum ini DBP pernah cemerlang pada era Tan Sri Syed Nasir Ismail dan Datuk Hassan Ahmad. Mereka tokoh yang lantang memperjuangkan bahasa dan sastera.

Malangnya, pimpinan selepas itu dilihat longlai dalam memperjuangkan isu yang membabitkan kepentingan bahasa, sastera dan penulis. DBP, seperti dianggap Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sekadar  birokrat seni yang ‘kurang rasa, kurang visi dan kurang reti.’

DBP bagai longlai  perjuangan apabila berada di bangunan baru yang dilihat lebih birokrasi dan meminggirkan insan berwibawa.

Jika masyarakat mengenal DBP yang sinonim dengan nama Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Sasterawan Negara Keris Mas, Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal  Abdullah (Kemala), Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Datuk Johan Jaaffar, Dr Ahmad Razali, Suhaimi Haji Muhammad, Sutung Umar RS, Dinsman, Jaaffar HS dan ramai lagi, kini DBP sudah tandus nama besar dalam bidang persuratan. Malang, sebuah agensi yang sepatutnya   mempunyai ahli bahasa dan sastera, kini dihuni oleh ‘pegawai’ yang kurang arif isu bahasa dan sastera itu sendiri.

Awang perlu mengembalikan maruah DBP sebagai badan yang berwibawa. Isu bahasa dan novel Interlok sudah acap kali menguji imej DBP sebagai badan yang dihormati. Malangnya  DBP kerap lemah dan longlai di bawah telunjuk  orang  politik. DBP lebih selesa mendiamkan diri ketika ramai yang kecewa novel Interlok dicencang, kemudian ditenggelamkan atas pertimbangan politik. DBP juga sudah karam dalam isu bahasa rojak. Baik papan tanda, sepanduk, mahupun ucapan tokoh negara di khalayak ramai, bahasa Melayu yang betul dan tepat sudah terpinggir. Nama taman perumahan dan kondominium semakin asing di telinga kita. Aneh!

 Majalah terbitan DBP pula tidak terkecuali menerima kritikan. Bukan saja isu pengedaran yang sentiasa tergendala, malahan Dewan Sastera dianggap majalah elit yang sekadar menyiarkan karya penulis yang sama  hampir setiap bulan. Siapa panel yang menilai karya untuk diterbitkan? Editor atau pihak lain? Ke mana pergi ratusan penulis tanah air yang kian menjauhkan daripada penerbitan DBP?

Sejak diterbit pada 1971 yang digerakkan oleh Usman, Baha  Zain dan A Lattif Mohiddin,  Dewan Sastera mengalami perkembangan pesat. Banyak penulis yang mendewasa bersama majalah itu. Bagaimanapun ia makin merudum apabila majalah dijadikan milik kelompok tertentu. Penyakit ini perlu disedari oleh Awang agar  kewibawaan penerbitan DBP dapat dipulihkan.

Badan Budaya DBP yang diasaskan oleh  Usman, Baha Zain,  Ismail Dahaman,  Dinsman, Othman Haji Zainuddin, Zakaria Ariffin, Salamiah Ismail dan A Ghani Abdullah semakin longlai.

Tidak banyak kegiatan teater dan kesenian seperti diketahui umum sejak 1967. Apakah acara kesenian makin longlai di Menara DBP? Awang perlu melihatnya demi  wibawa dan imej DBP sendiri sebagai badan  tunggal yang mesra pementasan.

Apa pun, Awang perlu diberi masa menjayakan idea dan melaksanakan tugasnya. Beliau  harapan kita semua!   - Berita Harian, 15 Februari 2012

Wednesday, February 08, 2012

Membudayakan dialog intelektual, debat politik

KITA sering mendengar mengenai keterbukaan dan percambahan minda, tetapi kita sering gagal mengikuti dialog cerdik, mahupun debat politik yang berlan-daskan fakta, bukan emosi dan sentimen kepartian.

Di pusat pengajian tinggi tempatan pula, ramai siswa yang merungut mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Sehingga kini bertele-tele sama ada ia perlu dihapuskan atau dipinda. Sejak demonstrasi pelajar pada 1974 yang melahirkan pemimpin pelajar seperti  Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Ibrahim Ali dan Hishamudin Rais, AUKU  bagai perangkap samar yang menyekat kebebasan bersuara dan hak siswa itu sendiri.

Ketika banyak pihak mempertikaikan siswa sebagai golongan penuh emosi, ada pihak yang lain pula berasakan pusat pengajian tinggi tempatan sentiasa kurang mesra kepada program dialog cerdik yang membabitkan pelbagai isu semasa.

Di Dewan Rakyat pula, ada ketikanya  ucapan seseorang Ahli Parlimen boleh dianggap remeh dan tumpul daya intelektual. Ada wakil rakyat yang menggunakan masa berucap semata-mata untuk berlawak mengenai  ‘wanita bocor', lebih malang pula seorang yang sudah beberapa penggal di Parlimen  berucap mempertikaikan sidang pada waktu malam.  

Bayangkan, betapa ruginya pengundi yang memilih wakil mereka ke Parlimen yang sepatutnya membahaskan isu besar membabitkan  program transformasi untuk rakyat, tetapi dipenuhi ucapan dan hujah dangkal.
Sebagai sebuah bangsa yang lebih separuh abad merdeka, kita sepatutnya sudah membudayakan dialog cerdik dan debat politik yang berdaya maju. Pusat pengajian tinggi pula menjadi wahana memimpin dan mendidik pemimpin pelapis. Aktor politik dan sosial pula memberi wacana kepada pembentukan budaya baru kerangka siasah masa depan negara.

Sudah sampai masanya dialog cerdik dan debat politik membudayakan kehidupan kita. Apa yang berlaku di London pada 29 Januari lalu perlu dihayati pelbagai pihak. Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) selama 90 minit menyerlah kematangan berhujah dan berdebat tokoh muda kita.  

Debat membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan  Pengarah Starategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian.

Mereka berhujah, sekali gus mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal lapan tahun lagi.

Khairy berhujah mengenai prospek dan masa depan negara. Rafizi menyanggah mengenai keterbukaan ruang demokrasi dan sistem yang diguna pakai.

Sesekali hadirin bertepuk tangan apabila Ketua Pemuda UMNO mengakui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kurang relevan. Rafizi yang banyak membuat kajian mengenai hak dan kebebasan awam sependapat dengan Khairy mengenai ruang pemikiran dan kebebasan berpendapat.

Walaupun kedua-duanya mewakil dua kelompok politik berbeza, mereka mempunyai persamaan dari segi menuntut kebebasan berhujah dan menyuarakan pendapat, sinis terhadap Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta pembabitan generasi muda yang lebih kritikal dan praktikal.

Mereka boleh dianggap suara generasi muda yang bukan saja mengharapkan pemikiran kritis, tetapi juga berhujah berlandaskan fakta. Mereka menonjolkan kematangan dan serius ketika menyampaikan idea, berbeza dengan kebanyakan ahli Parlimen dan perwakilan UMNO serta PAS  yang menghadiri sidang dengan penuh emosi dan sentimen kepartian.

Malangnya debat Khairy dan Rafizi diadakan di London, bukan di Kuala Lumpur. Lebih malang lagi majlis dianjurkan dalam bahasa Inggeris dan  kita hanya dapat mengikuti  hujah mereka menerusi laman YouTube.
Beberapa pusat pengajian tinggi tempatan pernah disaran membuka ruang lebih banyak untuk dialog cerdik dan debat politik. Apa salahnya jika tokoh seperti Datuk Seri Shahrizat  Abdul Jalil, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Datin Paduka Marina Mahathir, Pang Khee Teik, Karim Raslan, Zainah Anwar dan Datuk Zaid Ibrahim diundang berwacana di pusat pengajian tinggi?

Richard Andrews  dalam bukunya Argumentation in Higher Education menyatakan  penghujahan ialah ‘urutan idea yang logikal atau kuasa logikal yang disokong oleh bukti’. Ia membabitkan  aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain. Pemikiran kritis dan penghujahan berada di  tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional.

Kehadiran tokoh dan dialog cerdik di universiti bakal membuka ruang minda lebih luas. Hendaknya ruang debat antara Khairy dan Rafizi diperluaskan. Izinkan generasi muda mendapat manfaat daripada dasar terbuka kerajaan sekarang. Orang cerdik tidak pernah takut kepada hujah dan kebenaran! - Berita Harian, 7 Februari 2012