KITA sering mendengar mengenai keterbukaan dan percambahan minda, tetapi kita sering gagal mengikuti dialog cerdik, mahupun debat politik yang berlan-daskan fakta, bukan emosi dan sentimen kepartian.
Di pusat pengajian tinggi tempatan pula, ramai siswa yang merungut mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Sehingga kini bertele-tele sama ada ia perlu dihapuskan atau dipinda. Sejak demonstrasi pelajar pada 1974 yang melahirkan pemimpin pelajar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Ibrahim Ali dan Hishamudin Rais, AUKU bagai perangkap samar yang menyekat kebebasan bersuara dan hak siswa itu sendiri.
Ketika banyak pihak mempertikaikan siswa sebagai golongan penuh emosi, ada pihak yang lain pula berasakan pusat pengajian tinggi tempatan sentiasa kurang mesra kepada program dialog cerdik yang membabitkan pelbagai isu semasa.
Di Dewan Rakyat pula, ada ketikanya ucapan seseorang Ahli Parlimen boleh dianggap remeh dan tumpul daya intelektual. Ada wakil rakyat yang menggunakan masa berucap semata-mata untuk berlawak mengenai ‘wanita bocor', lebih malang pula seorang yang sudah beberapa penggal di Parlimen berucap mempertikaikan sidang pada waktu malam.
Bayangkan, betapa ruginya pengundi yang memilih wakil mereka ke Parlimen yang sepatutnya membahaskan isu besar membabitkan program transformasi untuk rakyat, tetapi dipenuhi ucapan dan hujah dangkal.
Sebagai sebuah bangsa yang lebih separuh abad merdeka, kita sepatutnya sudah membudayakan dialog cerdik dan debat politik yang berdaya maju. Pusat pengajian tinggi pula menjadi wahana memimpin dan mendidik pemimpin pelapis. Aktor politik dan sosial pula memberi wacana kepada pembentukan budaya baru kerangka siasah masa depan negara.
Sudah sampai masanya dialog cerdik dan debat politik membudayakan kehidupan kita. Apa yang berlaku di London pada 29 Januari lalu perlu dihayati pelbagai pihak. Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) selama 90 minit menyerlah kematangan berhujah dan berdebat tokoh muda kita.
Debat membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Pengarah Starategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian.
Mereka berhujah, sekali gus mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal lapan tahun lagi.
Khairy berhujah mengenai prospek dan masa depan negara. Rafizi menyanggah mengenai keterbukaan ruang demokrasi dan sistem yang diguna pakai.
Sesekali hadirin bertepuk tangan apabila Ketua Pemuda UMNO mengakui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kurang relevan. Rafizi yang banyak membuat kajian mengenai hak dan kebebasan awam sependapat dengan Khairy mengenai ruang pemikiran dan kebebasan berpendapat.
Walaupun kedua-duanya mewakil dua kelompok politik berbeza, mereka mempunyai persamaan dari segi menuntut kebebasan berhujah dan menyuarakan pendapat, sinis terhadap Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta pembabitan generasi muda yang lebih kritikal dan praktikal.
Mereka boleh dianggap suara generasi muda yang bukan saja mengharapkan pemikiran kritis, tetapi juga berhujah berlandaskan fakta. Mereka menonjolkan kematangan dan serius ketika menyampaikan idea, berbeza dengan kebanyakan ahli Parlimen dan perwakilan UMNO serta PAS yang menghadiri sidang dengan penuh emosi dan sentimen kepartian.
Malangnya debat Khairy dan Rafizi diadakan di London, bukan di Kuala Lumpur. Lebih malang lagi majlis dianjurkan dalam bahasa Inggeris dan kita hanya dapat mengikuti hujah mereka menerusi laman YouTube.
Beberapa pusat pengajian tinggi tempatan pernah disaran membuka ruang lebih banyak untuk dialog cerdik dan debat politik. Apa salahnya jika tokoh seperti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Datin Paduka Marina Mahathir, Pang Khee Teik, Karim Raslan, Zainah Anwar dan Datuk Zaid Ibrahim diundang berwacana di pusat pengajian tinggi?
Richard Andrews dalam bukunya Argumentation in Higher Education menyatakan penghujahan ialah ‘urutan idea yang logikal atau kuasa logikal yang disokong oleh bukti’. Ia membabitkan aspek kritikal iaitu perkara yang membezakannya dengan perbincangan atau perbualan lain. Pemikiran kritis dan penghujahan berada di tengah proses pemikiran dan budaya ilmu. Ia jalan menuju pemikiran rasional.
Kehadiran tokoh dan dialog cerdik di universiti bakal membuka ruang minda lebih luas. Hendaknya ruang debat antara Khairy dan Rafizi diperluaskan. Izinkan generasi muda mendapat manfaat daripada dasar terbuka kerajaan sekarang. Orang cerdik tidak pernah takut kepada hujah dan kebenaran! - Berita Harian, 7 Februari 2012

No comments:
Post a Comment