Pages

Wednesday, February 15, 2012

Awang Sariyan dan maruah DBP

    Ketua Pengarah baru diharap mampu hapus kerenah

PELANTIKAN Timbalan  Ketua Pengarah (Dasar),  Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP), Dr Awang Sariyan  sebagai Ketua Pengarah  DBP  berkuat kuasa, 1  Februari lalu, amat dialukan.
Beliau bukan saja  pejuang bahasa  berwibawa, juga insan akademik yang sentiasa peka terhadap isu kebahasaan serantau.

      Awang, 59, ialah Penyandang  Pertama Kursi Pengajian Melayu di Foreign Studies University  Beijing, China (Januari 2008 hingga Julai 2011). Beliau pernah menjawat  Pengarah  Jabatan Bahasa, DBP; Profesor  Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti  Putra Malaysia; serta Profesor  Bahasa di Akademi Pengajian  Melayu, Universiti Malaya.

     Beliau pernah dua kali menjawat  Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.
   Beliau turut dilantik  Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak  1992 dan  membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand).
   Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah. Beliau pernah menjawat  Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).
  Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperoleh termasuk Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP,  Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun memimpin DBP tidak semudah menjadi pengerusi persatuan belia daerah. DBP sentiasa kaya dengan kerenah dan cabaran. Masyarakat melihat DBP sebagai ejen mengembangkan bahasa dan sastera. DBP dianggap penggerak dan penegas bahasa kebangsaan.

Sebelum ini DBP pernah cemerlang pada era Tan Sri Syed Nasir Ismail dan Datuk Hassan Ahmad. Mereka tokoh yang lantang memperjuangkan bahasa dan sastera.

Malangnya, pimpinan selepas itu dilihat longlai dalam memperjuangkan isu yang membabitkan kepentingan bahasa, sastera dan penulis. DBP, seperti dianggap Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said sekadar  birokrat seni yang ‘kurang rasa, kurang visi dan kurang reti.’

DBP bagai longlai  perjuangan apabila berada di bangunan baru yang dilihat lebih birokrasi dan meminggirkan insan berwibawa.

Jika masyarakat mengenal DBP yang sinonim dengan nama Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Sasterawan Negara Keris Mas, Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal  Abdullah (Kemala), Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Baha Zain, Datuk Johan Jaaffar, Dr Ahmad Razali, Suhaimi Haji Muhammad, Sutung Umar RS, Dinsman, Jaaffar HS dan ramai lagi, kini DBP sudah tandus nama besar dalam bidang persuratan. Malang, sebuah agensi yang sepatutnya   mempunyai ahli bahasa dan sastera, kini dihuni oleh ‘pegawai’ yang kurang arif isu bahasa dan sastera itu sendiri.

Awang perlu mengembalikan maruah DBP sebagai badan yang berwibawa. Isu bahasa dan novel Interlok sudah acap kali menguji imej DBP sebagai badan yang dihormati. Malangnya  DBP kerap lemah dan longlai di bawah telunjuk  orang  politik. DBP lebih selesa mendiamkan diri ketika ramai yang kecewa novel Interlok dicencang, kemudian ditenggelamkan atas pertimbangan politik. DBP juga sudah karam dalam isu bahasa rojak. Baik papan tanda, sepanduk, mahupun ucapan tokoh negara di khalayak ramai, bahasa Melayu yang betul dan tepat sudah terpinggir. Nama taman perumahan dan kondominium semakin asing di telinga kita. Aneh!

 Majalah terbitan DBP pula tidak terkecuali menerima kritikan. Bukan saja isu pengedaran yang sentiasa tergendala, malahan Dewan Sastera dianggap majalah elit yang sekadar menyiarkan karya penulis yang sama  hampir setiap bulan. Siapa panel yang menilai karya untuk diterbitkan? Editor atau pihak lain? Ke mana pergi ratusan penulis tanah air yang kian menjauhkan daripada penerbitan DBP?

Sejak diterbit pada 1971 yang digerakkan oleh Usman, Baha  Zain dan A Lattif Mohiddin,  Dewan Sastera mengalami perkembangan pesat. Banyak penulis yang mendewasa bersama majalah itu. Bagaimanapun ia makin merudum apabila majalah dijadikan milik kelompok tertentu. Penyakit ini perlu disedari oleh Awang agar  kewibawaan penerbitan DBP dapat dipulihkan.

Badan Budaya DBP yang diasaskan oleh  Usman, Baha Zain,  Ismail Dahaman,  Dinsman, Othman Haji Zainuddin, Zakaria Ariffin, Salamiah Ismail dan A Ghani Abdullah semakin longlai.

Tidak banyak kegiatan teater dan kesenian seperti diketahui umum sejak 1967. Apakah acara kesenian makin longlai di Menara DBP? Awang perlu melihatnya demi  wibawa dan imej DBP sendiri sebagai badan  tunggal yang mesra pementasan.

Apa pun, Awang perlu diberi masa menjayakan idea dan melaksanakan tugasnya. Beliau  harapan kita semua!   - Berita Harian, 15 Februari 2012

No comments: