Pages

Tuesday, June 29, 2010

Cak Nun nilai keunikan Malaysia

BUKAN sedikit sasterawan dan budayawan Indonesia yang sinis terhadap Malaysia. Sutardji Calzoum Bachri pernah melihat negara ini sebagai kecelakaan apabila dasar sebatan terhadap pendatang tanpa izin dilihat menganiaya warga tetangga.

Penyair yang suatu masa dulu membaca sajak sambil meneguk bir mempertikaikan Malaysia yang dianggap mengeksploitasi tenaga kerja asing. Sutardji yang kini bertukar imej alim masih lantang dan sinis terhadap tetangganya. WS Rendra yang terkenal dengan jolokan 'Si Burung Merak' tidak terkecuali melihat 'rusuh demi rusuh' yang berlaku di Malaysia kerana diperintah oleh seorang diktator selama 22 tahun. Ketika hayatnya, Rendra terkenal sebagai sahabat akrab bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan 'teraniaya' oleh perbuatan konspirator atasan di Malaysia.

Beberapa sajak, ucapan dan tulisan mereka berdua amat terang menyerang Malaysia. Pelbagai sisi gelap negara ini dibongkar pada pelbagai majlis ketika suara sinis terhadap Malaysia jarang mereda di Jakarta dan kota lainnya.

Sikap segelintir warga Indonesia terhadap negara ini amat luar biasa. Ada yang mengejek lagu Negaraku ketika pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di Jakarta pada Februari lalu.
Ada juga yang menuduh Malaysia sebagai 'malingsia' kerana kerap mencuri hasil seni dan tamadun Indonesia. Ada yang membakar Jalur Gemilang dan tidak kurang juga yang berteriak di luar kedutaan Malaysia di Jakarta sambil membaling telur busuk.

Apa saja isu yang membabitkan Malaysia sering dianggap taboo. Tarian tradisional Bali menjadi isu walaupun yang terbabit dalam promosi tidak tepat adalah pihak lain. Isu pembantu rumah hangat dan bertele-tele walaupun disedari Indonesia perlu mengeksport tenaga kerja untuk survival bangsa sendiri.
Walaupun kewarasan amat dituntut untuk menyelesaikan isu dua hala, sikap segelintir pihak sering meributkan. Hal ini merugikan dan boleh menjejaskan keakraban bangsa serumpun.
Budayawan Emha Ainun Nadjib mempunyai sikap yang jauh berbeza dengan Sutardji dan Rendra. Tulisannya dalam Jejak Tinju Pak Kiai melihat Indonesia yang rapuh dan perlu terus kekal dalam kebudayaan dan masyarakat dunia.

Emha yang lebih dikenali sebagai Cak Nun mengakui Indonesia amat lemah dalam pelbagai sektor dan perlu belajar daripada kejayaan bangsa lain termasuk Malaysia.

Cak Nun hairan isu makanan dan kebudayaan dipersoalkan, sedangkan keturunan Indonesia yang berhijrah ke negara jiran turut membawa jati diri mereka.
Jejak Tinju Pak Kiai adalah koleksi rencana Cak Nun yang diterbitkan Kompas dengan menyorot penghijrahan rakyat Indonesia secara sedar merebakkan kebudayaannya di tanah baru.
Beliau melihat peranan keturunan Jawa, Bugis, Sunda, Minang, Aceh dan lain-lain turut mempengaruhi kebudayaan di Malaysia. "Apa yang disebut di Malaysia adalah eceran gamelan Jawa, bambu angklung Sunda, pantun Riau, cengkok Ambon...

"Secara politik legal, Malaysia sebuah negara berdaulat, mandiri dan mempunyai pentadbiran ekonomi yang baik," tegasnya.
Bagaimanapun pentadbiran masa depan Malaysia berbeza dengan Indonesia, kerana Cak Nun yakin komposisi kaum yang membabitkan keturunan Cina dan India lebih memberi impak kepada Kuala Lumpur untuk membezakan dengan Jakarta.
Mengenai isu budaya dua negara, Cak Nun sinikal menegur kealpaan Malaysia dan Indonesia. "Indonesia yang secara sejarah memiliki hak kultural pada karya selalu santai dan merendah hati menganggap milik bersama. Sementara Malaysia yang secara antropologis cuma 'keponakan' memanfaatkan kebodohan hukum hak cipta nasional untuk mengklaim karya itu sebagai milik mereka sendiri," tegasnya.

Cak Nun yakin Malaysia kini bukan 'keponakan' kepada Indonesia kerana kepesatan ekonomi dan perdagangan yang meletakkan Kuala Lumpur di atas Jakarta.

"Malaysia tidak bersedia diletakkan sebagai 'keponakan'. Mereka berasa induk dari seluruh peradaban Melayu. Acuannya adalah kerajaan Melaka. Mereka memandang Majapahit bahagian daripada Melaka, Jawa, Bugis, Bali... Semuanya di bawah pentadbiran Melaka," katanya.


Perasaan rendah diri menjadi duri dalam daging di hati segelintir rakyat Indonesia. Bermula dengan Memula Moon, Terang Bulan, lagu Rasa Sayang Eh, kebudayaan Bali, batik, sate, orang gaji dan entah apa lagi, ia terlalu mudah untuk membakar semangat khalayak membenci Malaysia dan warganya.

Media juga terus berperanan untuk mendedahkan keburukan sebuah bangsa yang dikatakan gemar mencuri kebudayaan negara tetangganya. Cak Nun melihat Malaysia sebagai induk daripada tamadun kerajaan Melayu, bukan lagi adik kecil kepada Indonesia yang masih bergelut untuk membangunkan ekonomi dan gagal membanteras rasuah dalam pelbagai sektor. - Berita Harian, 29 Jun 2010 

Tuesday, June 22, 2010

Nasib blogger @ media baru

SEORANG penulis di sebuah negara mengeluh: “Aku sukar menjenguk dunia kerana jaringan internet disekat.”


Dia sudah lima kali mendaftar internet, termasuk menggunakan nama sendiri, ibu, mentua dan rakan, namun akhirnya disekat kerana dikaitkan dengan penentangan terhadap pemerintah.

Pada awalnya, jaringan internet berjalan lancar. Apabila beberapa tulisannya dianggap terlalu nyaring, kelancaran internet tersekat-sekat dan akhirnya tidak aktif.

Latar belakang keluarganya amat drastik. Orang tuanya pernah dianggap sebagai penentang terhadap kerajaan dan dikaitkan dengan rusuhan rakyat 50 tahun lampau. Ada beberapa ahli keluarganya sehingga kini berada di luar negara kerana dikaitkan sebagai komunis.

Ketika era Perang Dingin yang membabitkan persaingan antara blok Pakatan Atlantik Utara (NATO) dan Pakatan Warsaw (blok komunis Eropah Timur pimpinan Soviet Union), banyak negara di Asia Tenggara menggunakan isu komunis untuk menakutkan rakyat sendiri.

Ada juga pemimpin politik yang sedang berkuasa menggunakan isu komunis untuk menyerang lawan siasahnya atau komunisme dijadikan bahan kempen bagi menarik sokongan massa. Mereka juga menahan saingan politik tanpa sebarang perbicaraan kerana alasan menjadi ejen komunis.

Isu komunis juga menyebabkan keluarga penulis itu disisih daripada arus perdana politik di negaranya. Bagi mereka yang tidak pernah mentelaah Das Kapital karya Karl Marx, sistem komunis amat menggerunkan, walaupun disedari sistem kapitalis dan demokrasi tidak sunyi daripada penyelewengan dan kemungkaran. Sistem ekonomi dan siasah ciptaan manusia tidak sunyi daripada kelemahan.

Penulis itu berasa ‘aman’ apabila berada di Malaysia kerana dapat melayari internet secara bebas dan mengemaskini blognya yang sering tergendala di negara sendiri.

Dia memuji Malaysia yang bebas dan aman untuk merayakan kebebasan media walaupun istilah kebebasan itu sendiri sering dipertikaikan. Dia meletakkan Malaysia antara negara terbaik di dunia kerana membenarkan internet berkembang tanpa sekatan.

Sehingga kini dua juta blogger menghiasi media baru di Malaysia. Angka itu bertambah pesat dengan kemudahan jalur lebar yang membolehkan seseorang blogger mengemaskini blog pada pelbagai tempat dan masa. Kemudahan jalur lebar juga menjadi perayaan sejagat yang membolehkan maklumat diakses hanya menerusi hujung jari.

Pelbagai bahan dipaparkan di media baru – dari hal peribadi sehinggalah isu politik yang ada kalanya memeningkan kepala. Jika media cetak yang permit penerbitan dikuasai Kementerian Dalam Negeri dikatakan tidak bebas, media baru dianggap bebas kerana bersuara tanpa batasan.

Justeru, tidak menghairankan apabila ada blogger yang boleh mengaitkan seseorang sebagai pembunuh dan angkuh mencatat: ‘Kita kirimkan pembunuh ke neraka!’

Kebebasan begini tentunya menjejaskan keperibadian orang lain. Apakah tindakan di luar kewarasan ini dianggap sebagai hak asasi untuk bersuara dan menuduh pihak lain.

Sejak isu penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 2 September 1998, isu kebebasan sudah menjadi polemik yang luar biasa. Media baru rakus menggantikan surat layang dengan ‘pendedahan’ luar biasa. Kebenaran dan ketepatan fakta semakin diketepikan. Laungan suara sudah menjadi mantera ajaib untuk menghalalkan cara.

Bagaimanapun, isu maklumat dan kebebasan tidak pernah sunyi diperkatakan. Malaysia, seperti juga China, Myanmar, Iran dan Pakistan, sering dipertikaikan takrif kebebasan bersuara dan menyalurkan maklumat.

Ada negara mengharamkan Facebook dan Google kerana dikatakan bertentangan dengan aspirasi nasional. Berbeza dengan Malaysia yang mempunyai tujuh juta pengguna Facebook yang bebas bersuara sepanjang masa dan di mana saja.

Bagi sesetengah pihak, negara ini tidak mesra media dan kebebasan bersuara sering tersekat. Kata mereka, isu politik dalaman sering menjadikan isu kebebasan sebagai tabu untuk diperkatakan. Kajian Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengaitkan Kuala Lumpur sebagai antara negara kurang menyenangi kebebasan media.

Bagaimanapun, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim memberitahu sidang Parlimen minggu lalu, kerajaan tidak pernah menghalang kebebasan bersuara dan angka dua juta blogger membuktikan Malaysia tersenarai antara negara yang aktif meraikan kebebasan berpendapat.

Malaysia juga mempunyai 76 akhbar termasuk milik pembangkang, 151 saluran televisyen satelit, sembilan saluran televisyen tidak berbayar (milik kerajaan dan swasta) dan 53 saluran radio.

“Ini tidak termasuk IPTV (Internet Protocol Television) yang sedikit masa lagi akan menjadi lumrah dalam kalangan rakyat dengan adanya perkhidmatan jalur lebar,” katanya.

Ketika kerajaan bertegas isu kebebasan media, kalangan hak asasi manusia pula semakin nyaring bersuara kerana kebebasan sering menjadi polemik yang lunak diperkatakan. Di tengah mereka, suara teman yang semakin kerap ke Malaysia semakin nyaring. “Tidak mungkin aku boleh bebas bersuara seperti di Malaysia, berseminar, membentang kertas kerja dan bebas bersuara tanpa sekatan internet!”  Berita Harian, 22 Jun 2010

Tuesday, June 15, 2010

Facebook cetus fenomena sedunia, berjaya bentuk ‘wilayah’ sendiri

SEANDAINYA saya mempunyai ‘buah hati’ yang tidak dikenali di alam maya, tiada siapa yang tahu. Malah, isteri juga tidak dapat menghidu kecurangan suami kerana ‘buah hati’ hanya wujud di awangan dan tidak pernah menyapa apatah lagi bercumbu di alam nyata.


Jika isteri pula mempunyai jejaka lain yang mungkin lebih daripada seorang menerusi Facebook, suami juga tidak dapat menduga kerana kehidupan harian di rumah berjalan seperti biasa. Hidup sentiasa kaya dengan rahsia dan misteri maya.

Hari ini fenomena media baru dan teman maya semakin menakjubkan. Sesiapa saja boleh berteman dengan seseorang hanya melalui hujung jari. Malah, untuk mengutuk atau mengucapkan selamat pagi kepada Presiden Amerika Syarikat atau Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, kita boleh mendekati mereka menerusi Facebook.

Kita juga boleh membeli kereta terpakai menerusi Facebook. Ada juga yang menggunakan Facebook sebagai medan untuk menyebarkan maklumat kegiatan teater, baca sajak, ceramah politik, malah jemputan kahwin. Ada yang menggunakan media maya untuk meluahkan perasaan rindu dan menyatakan perasaan hati kepada insan yang tidak pernah dikenali sebelumnya.

Seorang kawan wanita yang 20 tahun terpisah mengirimkan mesej menyatakan dia terlantar di sebuah hospital di selatan tanah air kerana barah payu dara. ‘Kita mungkin tidak akan bertemu lagi...’ tuturnya, sayu!

Seorang personaliti seni pula mengirimkan kad jemputan perkahwinan anaknya pada musim cuti sekolah. ‘Kau mesti datang, sudah berkurun kita tak jumpa. Aku ada lima menantu,’ mesejnya mengingatkan betapa masa dan ruang semakin menjarakkan perhubungan insani pada alaf baru ini.

Facebook menjalin semula hubungan dengan rakan yang sudah lama terpisah. Ia juga menyambung semula zaman retro yang sudah menjarak. Ia mendekati semula suasana di sekolah atau jejak perjalanan sepanjang kembara di luar negara. Ia memberi nafas kepada masa lalu yang sudah jauh kita cicirkan.

Ada teman mengirimkan mesej mengenai populariti dirinya. Dia mempunyai 5,000 teman maya yang kononnya semakin akrab dan mendekati. ‘Kami boleh berbincang apa saja termasuk isu politik atau pasaran kewangan global pada bila-bila masa dan di mana saja’.

Dia yakin Facebook sudah membentuk ‘negara’ baru kerana mempunyai ‘rakyat’ yang pelbagai ideologi, warna kulit, etnik dan agama berbeza. Sehingga kini pengguna Facebook di Malaysia hampir tujuh juta orang.

Menerusi statistik yang dikemaskini setiap hari oleh Facebakers, seramai 3,472,200 orang atau 52 peratus adalah pengguna lelaki dan 48 peratus perempuan. Pengguna paling aktif pula antara umur 18 hingga 24 tahun merangkumi 37 peratus warga Facebook di Malaysia. Ia diikuti usia 25 hingga 34 tahun meliputi hampir 31 peratus pengguna.

Data ini memperlihatkan Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai, sekali gus menjadi negara Asia Tenggara ketiga paling ramai selepas Indonesia dan Filipina. Sepanjang 2009, Facebook menjadi jaringan sosial terbesar di dunia, dengan memiliki 250 juta pengguna aktif dan pertambahan pengguna 50 juta dalam tempoh tiga bulan.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam laman kapling Online menyatakan Facebook sentiasa memberikan kehidupan kepada penggunanya. ‘Laman ini bererti untuk semua orang kerana ia realiti kehidupan masa kini dan memberi manfaat kepada dunia,’ catatnya.

Ada sumber menyatakan sehingga Mei 2010, jumlah pengguna Facebook sudah meningkat 300 juta, iaitu mengatasi kombinasi jumlah penduduk Perancis, Britain dan Jerman.

Facebook didirikan pada Februari 2004 di Palo Alto, California kini menjadi buruan pedagang siber. Pertengahan Julai 2009, syarikat Russia, Digital Sky Technologies menawarkan pembelian syarikat dengan AS$6.5 bilion.

Kini Facebook sudah menjadi fenomena sejagat. Ia semakin banyak didekati. Ia juga semakin banyak dicemburui oleh saingan maya yang lain. Ketika dunia sedang merayakan teknologi maklumat dan media baru, Facebook berjaya membentuk wilayahnya sendiri.

Facebook bukan sekadar meluahkan perasaan rindu dan syahdu, juga memungkinkan bagaimana pendapat dunia boleh dicorakkan menerusi hujung jari semata-mata. Inilah citra masa depan yang tentunya jauh berbeza dengan apa yang sudah kita jejaki sebelum ini. - Berita Harian, 15 Jun 2010

Wednesday, June 09, 2010

Yahudi kuasai ekonomi, politik dunia

SEJARAH kezaliman rejim Zionis tidak pernah luntur daripada catatan. Terbaru, komando Israel menyerang kapal Mavi Marmara ketika misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Semua 12 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal terselamat daripada kekejaman.


Ketika dunia bersuara menentang kekejaman dan kerakusan rejim Zionis, negara Arab yang berada beberapa kilometer dari Israel mendiamkan diri. Mereka bagai tidak ada apa-apa ketika Turki, Malaysia, Iran dan Venezuela mengutuk tindakan ganas dan mendesak Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertegas.

Aneh, negara Arab yang selama ini mendakwa sebagai paksi kekuatan Islam dan mempunyai sejarah akrab mengenai kelahiran nabi, rasul dan agama wahyu hanya mendiamkan diri, malah ada yang sering menutup pintu sempadan ketika misi kemanusiaan cuba membantu penduduk Palestin.

Keadaan sama juga berlaku ketika penyembelihan di Sabra dan Shatila (Chatila) di Beirut, Lubnan pada September 1982. Tidak banyak negara Arab yang bertindak, malahan sekadar retorik berbincang pada sidang puncak Liga Arab tanpa sebarang resolusi. sedangkan kes di Sabra dan Shatila dianggap PBB sebagai penghapusan kaum (genocide) membabitkan 2,750 kematian.

Dari segi angka, bangsa Yahudi hanya 14 juta di seluruh dunia, dengan tujuh juta di Amerika Syarikat, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap seorang Yahudi, ada 100 Muslim (1:100). Namun Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada umat Islam. Mengapa ini berlaku?

Tentunya penganalisis sejarah moden melihat kekuatan ilmu, perancangan dan kewangan sebagai sumber terunggul yang membantu Yahudi menguasai dunia. Malahan, pemilihan Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat juga dianggap sebagai kejayaan cemerlang pelobi Yahudi.

Beberapa keturunan Yahudi sudah dan sedang menguasai dunia dalam pelbagai bidang. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud menerusi teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian. Johas Salk pencipta vaksin polio yang pertama. Alert Sabin membangunkan vaksin polio hidup yang lebih baik. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis.

Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz memenangi Hadiah Nobel kerana kajian transmisi neuromuskular. Andrew Schally penerima Hadiah Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis).

Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia). Gregory Pincus (mencipta pil perancang keluarga secara oral yang pertama), George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen (kajian embriologi), Willem Kolff (mencipta mesin dialisis), Stanley Mezor (mencipta mikrocip pertama), Leo Szilards (membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama), Peter Schultz (kabel gentian optik), Charles Adler (lampu isyarat), Benno Strauss (besi tahan karat), Isador Kisee (sistem suara di pawagam), Emile Berliner (mikrofon telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman) adalah keturunan Yahudi.

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts). Jenama mereka menjadi buruan dunia dan bayangkan berapa bilion keuntungan disalurkan ke Tel Aviv setiap bulan?

Richard Levin, presiden universiti tersohor (Universiti Yale) ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (semua bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Ronald Reagan, George Bush, Bill Clinton dan George W Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS). Mereka pemain utama politik dunia dan bayangkan betapa negara Islam dan Arab menjadi bidak percaturan mereka.

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times). Merekalah yang menguasai pandangan dunia dan mencorakkan pemikiran sejagat.

Dalam bidang seni pula, pelakon Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk berbangsa Yahudi. Hollywood sendiri pun diwujudkan oleh Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling, (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya Yahudi. Merekalah yang turut mencorakkan pemikiran dan keseronokan di ruang tamu rumah kita.

Washington yang menjadi ibu negara Amerika Syarikat mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa dikenali Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel. William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik di dunia. Dia juga Yahudi. Dia juga yang banyak mendidik rejim Zionis bertindak seperti yang berlaku sekarang,

Bayangkanlah betapa pemikiran Zionis banyak digerakkan oleh Yahudi dan sekutu mereka di seluruh dunia. Bayangkan, betapa hingga kini negara Arab tetap kalah di Asia Barat!  - Berita Harian, 9 Jun 2010