Pages

Tuesday, July 30, 2013

The New Village filem komunis?

Kejadian darurat menguji kesetiaan pendatang
di Tanah Melayu
Apakah filem The New Village menggambarkan perjuangan komunis di Tanah Melayu, atau sekadar citra sejarah kehidupan dan kesengsaraan bangsa Cina ketika era darurat?

  Meskipun pengarah Wong Kew-Lit tidak menjelaskan secara langsung kehidupan komunis dan sekutu mereka ketika era penjajahan British, kita berhak meragui kerana beberapa paparan di YouTube menggambarkan perjuangan  komunis.

  Kita menyokong keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menangguhkan penyiaran filem ini pada 22 Ogos ini untuk siasatan lanjut. Jika meragukan, filem berkenaan perlu diharamkan dan individu terbabit perlu dibawa ke pengadilan.

  Pada masa sama,  penayangan filem Tanda Putera arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba yang dijangka   29 Ogos ini perlu mengikut jadual bagi memastikan masyarakat menilai perjuangan bangsa Melayu sempena bulan kemerdekaan ini.
 
Kita hairan kenapa penayangan  Tanda Putera berkali-kali ditangguhkan semata-mata desakan pihak yang tidak berminat terhadap aspirasi nasional. Tanda Putera sudah lama dihasilkan berbanding The New Village yang cepat mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF).

  The New Village  berkisarkan kejadian darurat di Tanah Melayu pada 1949 serta memaparkan  Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA)  sebagai pejuang kemerdekaan. Ia  mengangkat  kesengsaraan bangsa Cina ketika  penjajahan British. Seramai 500,000   Cina  dipindah di  480  ‘re-settlement camps’  di seluruh Tanah Melayu sepanjang  1949 hingga 1954. Tempat yang akhirnya disebut  Kampung Baru Cina (New Village) bertujuan menyekat sokongan Cina terhadap komunis. Ada kalangan mereka yang kononnya nasionalis menjadi komunis semata-mata untuk merampas kuasa secara kekerasan.

  Penderitaan yang dipaparkan dalam  epik ini mudah mengundang simpati, apatah lagi ketika ini ada pihak yang menuduh dasar pemerintah yang mengutamakan kepentingan sesuatu kaum dan meminggirkan pihak yang lain.

 Pada hari ini masih terdapat 450 buah Kampung Baru Cina di seluruh Malaysia dan diduduki oleh lebih  sejuta  bangsa Cina. Semua Kampung Baru berkenaan  mempunyai sejarah yang agak sama,  iaitu kesan penentangan terhadap British yang akhirnya diterjemahkan penentangan terhadap kerajaan yang ada sekarang.

  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) membuktikan kawasan berkenaan menjadi kubu  kuat penentangan terhadap kekuasaan Melayu, sekali gus membuktikan polarisasi kaum masih menjadi isu di Malaysia.

  Ia juga  menterjemahkan sikap sebenar masyarakat Cina. Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, konsep perkongsian kuasa tidak wujud lagi kerana kaum Cina ingin merampas kuasa dan memastikan kejayaan mereka dalam bidang ekonomi serta pendidikan diperluaskan kepada kuasa politik.

  Naratif filem yang menggambarkan perjuangan kaum mudah memancing simpati. Bagi ahli semiotik, karya seni mempunyai tanda baca yang tersendiri. Sistem kehidupan dan simbol yang ditonjolkan mudah menterjemahkan isu yang dibangkitkan.

 Filem ini sepatutnya dibuat berlandaskan realiti  sejarah. Ia wajar  menjadi   titik penting dalam memberi maklumat kepada generasi muda Cina mengenai  ideologi komunis dan sikap pengganas yang sebenarnya lebih kejam daripada tentera British.

  Kita yakin  The New Village mempunyai niat tersendiri.   Penduduk pribumi Tanah Melayu tidak pernah merestui perjuangan menegakkan ideologi komunis yang berkiblatkan Beijing, apatah lagi menghalalkan pembunuhan sebagai kemenangan sejarah.

   Jika sebelum ini Steven Spielberg berjaya menghasilkan Schindler's List dan  Saving Private Ryan  yang mengangkat permasalahan Yahudi ketika Perang Dunia Kedua untuk meraih simpati dunia, kita yakin  Kew-Lit mempunyai alasan tersendiri ketika mengarahkan  The New Village.  Beliau tidak sehebat Spielberg, tapi filem arahannya boleh memberi tafsiran baru terhadap kebebasan seniman berkarya di Malaysia.

  Lebih daripada itu, kita yakin seni akan terus dipermainkan dalam pelbagai dimensi tanpa mempedulikan realiti sejarah, apatah lagi menghormati naskhah sebenar kehidupan pelbagai kaum di Malaysia.

  The New Village   karya  kaum Cina di Malaysia yang hanya memaparkan masalah kehidupan mereka dan meminggirkan kewujudan Melayu berjuang mempertahankan negara daripada penjajahan.

  Kita berhak bertanya apakah The New Village saingan langsung terhadap Tanda Putera yang berkali-kali  tayangan ditangguhkan kerana alasan yang misteri. Semuanya akan terjawab kerana naskhah seni sentiasa menuntut penilaian jujur daripada pengkritik dan penelaah.  - Berita Harian, 30 Julai 2013

Monday, July 29, 2013

Tamarod -- Anak muda bangkit melawan

Tamarod membuktikan generasi muda tidak mahu ditipu lagi.
Tiada siapa yang mengenali Mohamed Bouazizi sebelum  Disember 2010. Dia hanya anak jalanan yang tidak dipedulikan tetapi bercita-cita besar  dalam hidup. Bouazizi bukan ahli politik, justeru tidak mempunyai keupayaan  menggerakkan massa, apatah lagi mengubah peta politik dunia ketika kebanyakan negara Arab masih terperangkap dengan kuasa feudal yang bertarung dengan militer sosialis. Kerakusan kuasa menyebabkan rakyat menderita dan generasi muda hanya bersuara   menerusi blog, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), facebook dan twitter.

 Aksi bunuh diri Bouazizi pada  pertengahan Disember 2010 bagai halilintar menyambar bangsa Arab,  sekali gus meletakkan nama anak muda yang tidak dipedulikan sebelumnya sebagai ikon demokrasi. Rakyat yang   terperangkap antara sistem monarki pro-Barat dan diktator sosialis tentera, bangkit memberontak.  Mereka bukan saja memaksa Zine al-Abidine Ben Ali meninggalkan Tunisia, juga meresahkan pemimpin lain di Asia Barat dan Utara Afrika. Mesir, Libya, Syria bergolak. Hosni Mubarak kehilangan takhta di Kaherah dan Muammar Gaddafi terbunuh di Sirte, tidak jauh dari Tripoli pada  20 Oktober 2011.

 Pergolakan politik di Syria sehingga kini tiada penghujung ketika Barat melaporkan Bashar  al-Assad sukar ditewaskan kerana di belakangnya ialah Iran, China dan Russia. Tiga kuasa yang menguatkan percaturan politik di Asia Barat membimbangkan strategis Amerika Syarikat (AS) terhadap penentangan terbuka.

Konflik di Asia Barat bukan sekadar kebangkitan anak muda yang memperjuangkan demokrasi, malah isu minyak kekal dominan yang mungkin mengulangi era Perang Dingin dengan Soviet Union selepas Perang Dunia Kedua. Wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC), Jon Leyne menganalisis rakyat Arab tidak yakin  mereka boleh mengubah kehidupan melalui politik. Pilihan raya sekadar tayangan demokrasi yang tidak memberi makna. Generasi muda akhirnya mengambil keputusan di jalan raya – berdemonstrasi, sesekali menjerit dan ‘berperang’ dengan pasukan keamanan.

 Hari ini laungan tamarod bergema di seluruh Semenanjung Arab dan Teluk Parsi. Anak muda bangkit melawan. Ideologi dan agama diperalatkan untuk survival pada Ramadan.  Malangnya, inspirasi awal ekoran kematian Bouazizi dan gerakan tamarod menjadi medan penguasaan kekuasaan AS di Asia Barat. Di Dataran Tahrir, penentang bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi masih merayakan kejatuhan beliau ketika penyokong Ikhwanul Muslim berkumpul  di Rabaa’ Adawiah. Laungan tamarod bergema kerana  proses demokrasi masih kabur di Mesir dan Asia Barat.

 Morsi digulingkan  tentera yang disokong AS, Israel dan Arab konservatif. Alasannya  perjuangan pemimpin  Ikhwanul Muslim itu membahayakan rantau yang kaya dengan minyak. Sebelum revolusi rakyat pada 25 Januari 2011, penduduk tidak pernah memahami erti demokrasi. Penggulingan Raja Farouk oleh Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati dibunuh, Hosni Mubarak meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenamkan demokrasi di Mesir.

 Mesir walaupun terbabit secara langsung dalam Perang Arab-Israel pada 1948 dan 1973, Perjanjian Camp David yang ditandatangani  Anwar  dan Perdana Menteri Israel,  Menachem Begin pada 17 September 1978, mengikat Kaherah untuk dikuasai AS dan Tel Aviv. Morsi dianggap penentang Israel kerana hubungan tradisi  antara Ikhwanul Muslimin dan  Hamas. Alasan ini membolehkan AS dan sekutu Arab merampas kuasa bagi memastikan Mesir kekal sahabat Barat.

Hari ini laungan  tamarod menjadi perjuangan generasi muda bagi memastikan Mesir dan rantau Arab bebas daripada penguasaan asing dan diktator tentera. Kematian 136 penyokong Morsi minggu lalu meningkatkan laungan tamrod.

 AS menggunakan konflik   Syria untuk mengukuhkan pengaruh bagi memastikan kepentingan Israel terselamat. AS merancang menguasai Syria, sekali gus menggunakan laluan sempadan untuk menyerang  Tehran yang kini lebih berpihak kepada China dan Russia. Persaingan dan percaturan kuasa besar di Asia Barat boleh memberi kesan  kenaikan harga minyak. Sekutu AS di Eropah Barat yang kebanyakannya menghadapi krisis  mengharap sumber minyak bagi mengukuhkan semula sektor industri.

Barat bimbang kemajuan ekonomi China yang kini kuasa kedua perdagangan selepas Kesatuan Eropah dan Jepun. Hubungan akrab Beijing  dengan Russia dan Korea Utara  boleh mengancam kepentingan Barat di seluruh dunia. Gerakan tamarod dan bayangan penderitaan Bouazizi kini menjadi senjata mengancam feudal Arab, sekali gus menjadi perjuangan generasi muda di Asia Barat. Lebih bahaya apabila China dan Russia semakin berminat di rantau Arab. - Berita Harian, 29 Julai 2013

Wednesday, July 24, 2013

Ibu Alvin sepatutnya faham perasaan kaum lain

 Ibu pasangan yang menghina Islam dalam Facebook, Alvin Tan, dilaporkan bimbang mengenai keselamatan anaknya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Perlakuan sumbang yang akhirnya menjadi isu nasional
 Wanita yang dikenali Puan Tan menyuarakan kebimbangan kepada portal berita bahawa anaknya kini tertekan dan kesal dengan apa yang berlaku.

 Pasangan Alvin, Vivian Lee, kini ditahan di Penjara Kajang sementara menanti perbicaraan  di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan. Mereka didakwa mengikut Akta Hasutan, Akta Penapisan Filem dan juga Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

 Portal berkenaan melaporkan perasaan sayu dan simpati seorang ibu terhadap anak yang kini berada dalam tahanan. Dia melankolis, sayu dan simpatik!

 Malangnya, media berkenaan tidak memaparkan perasaan umat Islam yang marah dan rasa terhina apabila ibadat Ramadan mereka dipersendakan secara keji.

 Dalam masyarakat Melayu, babi adalah binatang kotor, jijik dan najis berat dalam peraturan syarak.
Melayu yang normal dan waras tidak akan menyentuh babi walaupun mungkin ada yang sanggup minum arak, berjudi, berzina, rasuah dan melakukan kegiatan ganas.

 Mitos ketika era darurat mengatakan Parti Komunis Malaya (PKM) menguji kesetiaan ahli Melayu kepada perjuangan komunis dengan menyuruh mereka menyentuh babi.

 Jika enggan, bererti mereka masih Islam dan tidak setia kepada perjuangan pengganas yang bertindak kejam untuk menubuhkan kerajaan secara haram di negara ini.

 Beberapa tahun lalu, ada laporan kepala babi diletakkan di kawasan masjid. Ia menimbulkan bantahan umum tetapi tidak mendorong keganasan. Rakyat Malaysia terkenal sikap waras dan tolak ansur. Mereka kebanyakannya patuh undang-undang dan tidak bertindak emosional walaupun hati terluka kerana kawasan ibadat diceroboh.

 Jika perkara berkenaan berlaku di India, Pakistan dan Iran, keganasan akan meletus yang akhirnya kejadian terpencil di sesebuah daerah akan merebak ke beberapa negeri dan akhirnya menjadi masalah nasional.

 Rakyat Malaysia mempunyai kewarasan yang tinggi. Mereka marah dan bersuara lantang menentang penghinaan terhadap Islam dan ibadat Ramadan tetapi tiada tindak balas fizikal dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan proses undang-undang.

 Bagaimanapun, ibu pasangan berkenaan dan pihak lain yang cuba mencemarkan keharmonian kaum perlu sedar makna toleransi serta saling menghormati.

 Hari ini, terlalu banyak kes yang cuba mempersendakan hak Melayu di negara ini. Bermula dengan seorang lelaki yang membuat isyarat lucah terhadap Raja Permaisuri Agong, perbuatan biadab semakin berleluasa di media sosial. Ada yang mempersendakan institusi beraja dan adat istiadat Melayu. Tidak terkecuali juga ada pihak yang mempertikaikan kontrak sosial yang dipersetujui menjelang 31 Ogos 1957.

Kerenah beberapa ahli politik yang menjadikan isu kaum sebagai landasan perjuangan menyebabkan wujud beberapa kejadian tidak wajar.

 Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu jelas menunjukkan kaum Cina menolak Barisan Nasional (BN) dengan alasan tertentu. BN hanya menang 133 kerusi daripada 222 kawasan Parlimen. Pembangkang yang membabitkan DAP, PAS dan PKR meraih 89 kerusi. UMNO yang menjadi tunjang BN hanya menang 89 kerusi Parlimen dan membentuk sebuah kerajaan yang lemah.

 Kaum Cina menolak penyertaan dalam kerajaan dengan alasan parti mereka tidak lagi diterima dalam kancah politik Malaysia. Sikap MCA dan Gerakan yang bertindak menolak tawaran jawatan dalam Kabinet membuktikan ada sesuatu yang masih menjadi rahsia umum. MCA juga bertindak aneh apabila mengambil tindakan drastik terhadap wakil rakyatnya yang menerima jawatan Exco di Johor.

 Anehnya, MCA bersuara lantang apabila ramai pelajar Cina  lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) gagal mendapat tempat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)  minggu lalu. Mereka tidak wajar bersuara demikian kerana pelajar Melayu juga ramai yang gagal ke IPTA walaupun cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM.

 Perkembangan politik pasca PRU-13 turut memberi kesan polarisasi kaum. Isu kaum diperdebat secara terbuka. Kerenah orang politik sudah merebak kepada generasi muda dan media sosial menjadi wahana penampungan suara sumbang mereka.

 Ibu Alvin sepatutnya kesal kerana gagal mendidik anaknya menghormati orang lain, bukannya bimbang keselamatan pasangan seks berkenaan. Belajar memahami dan menghargai hidup bersama lebih penting daripada merintih selepas zuriat sendiri melakukan tindakan yang menyakitkan perasaan orang lain! - Berita Harian, 24 Julai 2013

Tuesday, July 23, 2013

Boikot kurma Iran sekadar picisan

Ada individu yang memboikot kurma Iran pada Ramadan ini  kerana enggan bersubahat dengan fahaman Syiah. Tidak terkecuali juga menuduh Iran keterlaluan kerana fahaman Syiah memusuhi Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni),  yang menjadi anutan  majoriti umat Islam di seluruh dunia.

 Punca kemarahan segelintir umat Islam adalah berkaitan isu Syria  yang dikatakan mendapat sokongan Tehran bagi membunuh Sunni. Tehran  berdiri teguh di belakang Bashar al-Assad, yang  ditentang secara terbuka oleh rakyatnya sendiri.

 Banyak pihak tidak dapat menerima fahaman Syiah yang berlainan dari segi amalan dan cara hidup. Sejak beberapa dekad  jemaah Iran dipantau rapi ketika mengerjakan haji di Makkah dan Madinah  kerana mereka ada kecenderungan melakukan tunjuk perasaan dan bersikap kasar terhadap umat Islam yang lain.

Seminggu sebelum Ramadan,  media sosial  menyiarkan komen mengenai kurma Iran dengan dakwaan membeli buah berkenaan akan menyokong Tehran mengekalkan kuasa Bashar di Syria, sekali gus mengekalkan Syiah di rantau Teluk Arab.

 Syiah  ialah mazhab kedua terbesar  selain Sunni. Muslim Syiah berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan ahlul bait kerana menolak hadis yang berlawanan dengan kepercayaan mereka.  Syiah juga menolak kepemimpinan tiga Khalifah Sunni pertama, malah sebahagian mereka menghina  Khalifah  Ar-Rasyidin yang juga sahabat Rasulullah  yang sudah dijanjikan tempat mereka di syurga. 

Ada dua pendapat yang menghuraikan  punca  terhasilnya aliran Syiah. Pendapat pertama mengatakan ketika berlaku Perang Siffin antara Ali Abu Talib dan Muawiyah Abu Suffian. Pandangan ini secara tidak langsung mengatakan  pengikut Ali beraliran Syiah,  manakala pengikut Muawiyah pula Sunni. 

Pendapat kedua pula mengatakan kemunculan Syiah selepas  kematian Husain bin Ali yang cuba  keluar daripada pemerintahan Yazid bin Muawiyah atas panggilan penduduk Iraq yang akan menyokongnya. Namun, mereka mengkhianati,  menyebabkan beliau terbunuh di Karbala.

 Sebagai sebuah negara Islam yang pragmatis, Malaysia tidak terkecuali menjadi tumpuan kumpulan Syiah bertapak di negara ini. Dilema utama ialah kesukaran membendung kegiatan mereka ter-
 utama yang membabitkan penganut  Syiah warga Iran, sesetengah bangsa  Arab, Pakistan, India dan Afghanistan mengamalkan cara hidup mereka di Malaysia. Undang-undang boleh menghalang rakyat Malaysia mengamalkan Syiah, tetapi tidak boleh  menghukum warga asing mengamalkan Syiah di Malaysia.

 Perlembagaan Persekutuan memberi hak dan kebebasan beragama. Pengikut  Syiah dilarang  menyebarkan fahaman itu kepada pengikut Sunni tetapi bebas untuk terus mengamalkannya sesama mereka. Bagaimanapun, tiada  jaminan Perlembagaan diperalatkan untuk menyebar Syiah kepada Sunni yang mendorong kepada dilema umat Islam tempatan.

 Dalam konteks semasa, wajarkah kita memboikot produk Iran tetapi terus menggunakan produk dari negara Barat yang jelas sikap anti-Islam? Kita akui Syiah adalah fahaman yang bertentangan dengan Islam, tetapi golongan sekular, liberalisme, kolonial dan pengamal seks bebas juga mengancam masyarakat.

 Dalam krisis Kebangkitan Arab yang menggerakkan generasi X dan Y menentang diktator di Tunisia, Mesir, Libya dan Syria, tangan ghaib Amerika Syarikat (AS), Britain dan sekutu Barat memainkan peranan bagi memastikan pilihan mereka bertapak di Asia Barat yang kaya dengan minyak. Beberapa negara Arab feudal diperalatkan untuk mengekalkan dominasi Barat, sekali gus mengundang persoalan; kenapa kita boikot kurma Iran, tetapi masih mengunjungi restoran ayam goreng kepunyaan AS? Kenapa kita menggunakan produk tenusu dari beberapa negara Eropah yang jelas mempersendakan Islam menerusi tulisan dan kartun mereka?

Hari ini cabaran umat Islam adalah mengekalkan jati diri mereka. Islam adalah agama suci yang bukan saja untuk beribadat kepada Allah, bahkan sesama ummah. Fardu kifayah mengutamakan persaudaraan sejagat, Islam akan berkembang jika pengikutnya berilmu dan bersedia meneroka perubahan zaman.

 Malangnya, pasca Perang Salib menjadikan umat Islam lemah. Tradisi ilmu dan intelektual yang dicatat dalam kitab klasik Islam dirampas dan diceduk oleh Barat, menjadikan mereka menguasai dunia sejak ratusan tahun.

 Kelemahan umat Islam sekarang adalah sikap mengalah dan jumud. Mereka menerima Islam secara luaran saja. Mengamalkan ibadat puasa dengan berlapar tanpa mengkaji fadilat Ramadan menjadi punca kelemahan ummah. Kurma Iran bukan isu utama masa kini. Paling penting membentuk kecerdikan yang semakin terpinggir. - Berita Harian, 23 Julai 2013 

Monday, July 22, 2013

Snowden serlah ketakutan AS pada China, Russia

SNOWDEN dijangka dedah kecurangan AS terhadap sahabat dan musuh.
Dunia tidak pernah mengenali Edward Snowden sebelum ini kerana operasi yang dilakukan amat rahsia bagi kepentingan Amerika Syarikat (AS).

Namanya tiba-tiba meledak dan hampir menjadi ikon baru apabila menelanjangi nafsu kuasa besar berkenaan untuk terus  menguasai dunia pasca Tembok Berlin diruntuhkan sejak 1989.

  Berakhirnya Perang Dingin yang menamatkan saingan Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) dengan Pakatan Warsaw di Eropah Timur bukan bermakna AS berlapang dada terhadap musuh politiknya terutama Russia, China, Iran, Cuba  dan Korea Utara.

  Hari ini krisis dunia bukan lagi persaingan kapitalis dan komunis, sebaliknya menguasai ekonomi dunia ketiga. Penjajahan bentuk baru menular bagi memastikan dominasi kuasa AS dan Barat.

  AS melakukan pelbagai intipan terhadap musuh dan rakan bagi mendapatkan maklumat keselamatan yang didakwa boleh menggugat kekuatan Washington sebagai paksi kekuasaan. Bekas perisik Agensi Perisik Pusat (CIA) itu kini menjadi mangsa buruan AS kerana pendedahan pencerobohan maklumat keselamatan negara asing.

  Lebih mengejutkan, AS bukan sekadar mengintip musuh, bahkan sekutu di Eropah Barat. Ia mendorong Kesatuan Eropah (EU) menuntut penjelasan ekoran laporan majalah Jerman, Der Spiegel bahawa Washington mengintip mereka.

  Pesuruhjaya Tinggi EU, Catherine Ashton kesal tindakan AS mengintip pejabat EU di Washington, Brussels dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perancis juga  turut memohon penjelasan kenapa AS mengintip negara berkenaan yang terkenal sekutu setia dalam krisis politik di Asia Barat.

  Apa yang didedahkan Snowden kini menjadi bayangan mengerikan di Rumah Putih. Bekas Presiden AS, George W Bush menuduh Snowden  menghancurkan AS. Presiden Barack Obama pula bimbang kepentingan negara berkenaan terjejas kerana banyak lagi maklumat penting bakal terdedah.

Kini Snowden berada di Moscow selepas melarikan diri dari Hong Kong. Tentunya misi  PRISM – menguasai maklumat menerusi internet menjadi maklumat penting Russia dalam usaha mengimbangkan percaturan kuasa sejagat. AS didakwa cuba memperalatkan Microsoft, Google, Yahoo, Facebook, PalTalk, YouTube, Skype, AOL dan Apple sebagai talian maklumat keselamatan. Ia bermakna AS mengintip setiap audio, video, foto, e-mel, dokumen dan daftar komunikasi yang dicurigai.

  Perkembangan politik di beberapa negara di Asia Barat menjadi medan keseimbangan kuasa di antara AS, Barat dengan Russia dan China.

Obama bimbang perubahan rejim di Libya, Tunisia dan Mesir bakal menyemarakkan semula era Perang Dingin. Pergolakan di Syria mengundang persaingan perisik AS dengan Iran, China dan Russia.

  Rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan kerajaan Mohamed Morsi di Mesir menggambarkan keraguan AS terhadap rantau Arab yang kaya dengan minyak. Lebih membimbangkan apabila Morsi didakwa pro-Hamas yang menjadi penentang utama rejim haram Israel.

  Pentadbiran singkat Morsi dari 30 Jun 2012 hingga 3 Julai lalu dirancang perisik AS bagi memastikan Asia Barat milik mereka. Washington memerlukan Mesir seperti di bawah pentadbiran Anwar Saddat dan Hosni Mubarak yang dianggap setia terhadap Barat dan menjalin hubungan rapat dengan negara feudal Arab. Tindakan tentera Mesir terhadap Morsi sebahagian daripada perancangan AS dan Israel bagi memastikan kepentingan Barat tidak terjejas.

  Telaga minyak Asia Barat yang terbesar di dunia kembali menjadi medan percaturan kuasa seperti era Perang Dingin. China yang menduduki tempat kedua sebagai gergasi ekonomi selepas AS berusaha menjadi kuasa utama menjelang 2020. Russia yang dianggap lemah selepas kejatuhan Soviet Union di bawah pimpinan Mikhail Gorbachev pada 1989 kini mula menonjolkan taringnya.

  Sistem komunisme yang menjadi ketakutan dunia sejak awal abad 20 kini berganti suasana baru baru di Eropah Timur dan China. Aktiviti ekonomi dan perdagangan bebas di negara komunis kini membimbangkan AS.

  Lebih menakutkan apabila Snowden yang berlindung di Moscow dijangka bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin beberapa hari lagi. Tentunya maklumat perisikan AS akan terdedah dan menjadi senjata sulit Russia untuk mengulangi era kegemilangan Soviet Union. AS bimbang pembabitan aktif Russia dan China akan menggugat kepentingan kuasa besar itu pada masa akan datang.

  Hari ini AS mempergunakan perjanjian perdagangan bebas untuk terus menjajah dunia ketiga. Apa yang dikatakan pasaran terbuka lebih memihak kepada dasar buka pintu negara lemah untuk membolehkan Barat menguasai ekonomi dan penjajahan bentuk baru.

  Malangnya banyak pemimpin dunia ketiga yang tidak memahami niat AS. Perdagangan bebas sebahagian daripada senjata bentuk moden. Snowden memberi isyarat kelangsungan AS untuk kekal sebagai penguasa tunggal. - Berita Harian, 21 Julai 2013

Tuesday, July 16, 2013

Ramadan mengingatkan sawah, persekitaran desa

Ada yang terpaksa memandu  selama dua jam gara-gara kesesakan luar biasa pada petang hari pertama Ramadan Rabu lalu. Perjalanan sejauh 20 kilometer yang lazimnya 45 minit  pada waktu puncak menjadi 120 minit kerana ramai yang bersesak  di jalan raya seawal jam lima petang.

  Lembah Klang bagai berpesta setiap kali Ramadan. Umat Islam mahu segera pulang untuk berbuka puasa bersama keluarga. Bukan Islam juga turut bersesak di jalan raya untuk mencari juadah enak. Tidak kira agama, bangsa dan keturunan, bazar Ramadan menjadi tumpuan ramai kerana mitos makanan yang dikatakan sedap, lazat dan berpatutan harganya. 

  Ada juga merungut kos perbelanjaan meningkat semata-mata menunaikan ibadat puasa yang dianggap bulan paling mulia bagi umat Islam. Amalan puasa, kesesakan jalan raya dan kenaikan harga barang sudah lazim di Malaysia. Hanya bulan puasa dianggap detik terbaik untuk menikmati juadah enak, memilih restoran terkenal atau ke bazar Ramadan.

  Hanya Ramadan mengingatkan sesetengah dalam kalangan kita kepada masjid sepanjang bulan. Hanya malam Ramadan difikirkan tazkirah, zikir dan wirid kerana selama 11 bulan sebelumnya, ramai yang sibuk dengan urusan duniawi dan ke masjid hanya untuk solat Jumaat.

  Hanya Ramadan mengingatkan kita kepada zakat harta kerana urusan pembersihan pendapatan jarang difikirkan pada hari dan bulan yang lain.

Hanya Ramadan yang kerap mengingatkan kita kepada kampung halaman, saudara mara dan teman yang sudah lama kita tinggalkan. Bulan puasa memberi nostalgia zaman kecil dan remaja, sebelum merantau ke tempat jauh. Di sinilah subur kembali gambaran sawah kontang, perdu getah yang kian tua atau menyimpul  ingatan ke kampung nelayan – mengira camar di pinggir pantai sambil menanti saat berbuka puasa bersama orang tua.

 Hari lampau sudah berlalu dan kita yang menjadi ketua keluarga pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB)  harus menerima hakikat perubahan masa dan persekitaran.  Melayu hanya lapan peratus penduduk Kuala Lumpur ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Kini jumlah mereka 30 peratus hasil pertumbuhan ekonomi dan kewujudan kawasan urban. Banyak taman perumahan baru dibina yang menyediakan kuota khas untuk Melayu dan Bumiputera. Agihan ekonomi dan dasar pengkorporatan yang dijayakan Tun Dr Mahathir Mohamad dua dekad lalu membentuk generasi Melayu baru untuk berdaya saing di kota besar ini.

  Melayu baru walaupun didakwa masih bertunjangkan akar tradisi, namun cara berfikir dan bersosial ikut berubah. Tradisi muafakat semakin terhakis kerana persepsi kini lebih terarah kepada faktor kejayaan ekonomi, gelaran, pangkat dan kemampuan bersaing pada peringkat global.

  Suasana Ramadan dan lebaran di Lembah Klang turut  berubah walaupun imej Melayu masih kekal dengan budu, cencaluk, gulai kawah, petai dan sambal belacan. Majlis buka puasa yang dulunya terbuka untuk semua penduduk desa dan jiran tetangga, kini berubah wajah di kota besar seperti Kuala Lumpur. Hanya tetamu yang dijemput boleh  menghadiri majlis buka puasa kerana istilah Melayu baru mempunyai jati diri berbeza dengan apa yang wujud di kampung halaman.

 Justeru, apabila hampir lebaran, suasana kampung hidup bagai pelangi mengapung awan. Dentuman meriam buluh, anyaman ketupat dan kesegalaan yang ada di desa menambat hati perantau kembali ke kampung walaupun Ramadan baru seminggu.

 Hanya di kampung, perantau akan mengingatkan perasaan bersama dan nilai murni yang hampir tercabar di Kuala Lumpur.  Pusat beli-belah sudah sebulan membuat promosi Syawal walaupun Ramadan hanya seminggu. Budaya perayaan begitu ketara kerana sistem kini lebih menumpukan hal remeh-temeh seperti cara berpakaian, hubungan sosial dan urusan kewangan hingga mengabaikan fadilat Ramadan yang sepatutnya menjadi amalan umat Islam.
 
Berbeza dengan beberapa negara Arab yang mengutamakan Ramadan sebagai perayaan jiwa Muslim, kita di Malaysia menyambut puasa dengan tafsiran tersendiri.   Prof Dr Hamka dalam buku yang dihasilkan pada dekad 1930-an, Tasauf Moden, menyatakan orang berpuasa tidak semestinya sembahyang, sedangkan orang sembahyang akan berpuasa kecuali keuzuran. Ia membawa maksud sembahyang menjadi tonggak amalan lain termasuk puasa bagi mengukuhkan ibadat seseorang. Insan yang berpuasa mungkin kerana adat semata-mata,  bukan kerana ibadat kepada Ilahi.

  Pandangan klasik ini perlu dinilai dalam mengukur kualiti kehidupan masa kini yang lebih terdedah kepada media sosial dan cabaran ummah yang kian menggugah. Moga Ramadan ini menginsafkan kita semua! - Berita Harian, 16 Julai 2013

Thursday, July 11, 2013

Morsi mangsa kekejaman raja Arab, AS, Zionis

Arab perlukan revolusi mental bagi meningkatkan kesedaran Islam. 
Ramadan bukan bermakna tanpa pembunuhan. Umat Islam
Mesir gelisah kerana bulan penuh rahmat tiba bersama krisis politik yang dirancang musuh Islam. Dua hari  menjelang Ramadan,  51 penyokong Muhamed Morsi  dibunuh  ketika  solat Subuh dekat tempat pemimpin itu  ditahan.  Dalam kejadian jam 3.30 pagi, semua mangsa ditembak askar sejurus bangun daripada rukuk pada rakaat kedua ketika menunaikan solat depan bangunan Pengawal Republik tidak jauh dari Dataran Raba’ah Al Adawiyah, Madinat Nasr.

  Saksi mendakwa  serangan berlaku secara mengejut menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan diri. Ada  mayat  ditemui dalam keadaan bersujud. Kezaliman tidak mempedulikan ganjaran bulan mulia yang dinantikan umat Islam sejagat.

  Apa yang berlaku membuktikan musuh Islam sanggup melakukan apa saja semata-mata untuk mencapai cita-cita politik  dan ekonomi  di Asia   Barat. Ada bukti mengaitkan tentera Mesir yang dilatih Amerika Syarikat (AS) dan Israel bertindak kejam kerana tidak mahu pengaruh Morsi merebak di Asia Barat. AS dan sekutu Barat bimbang kejatuhan Hosni Mubarak  pada Februari 2011 bakal mengubah peta politik negara Arab yang kaya dengan minyak. Mereka bimbang pengaruh China dan Russia bertapak di kawasan berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada Iran untuk menjadi kuasa  pengimbang di rantau Teluk.

  Tindakan tentera  merampas kuasa membuktikan suara rakyat yang ditentukan menerusi proses demokrasi dinafikan melalui persenjataan. Dunia mengutuk keras tindakan tidak bertamadun itu. Anehnya, negara Arab monarki yang berjiran dengan Mesir mendiamkan diri kerana bimbang kepentingan ekonomi dan politik dengan sekutu Barat terjejas.

 Hari ini, isu hak asasi dan demokrasi sering dilaungkan di negara Arab republik, seolah-olah negara Arab feudal mengamalkan demokrasi tulen sedangkan mereka menyekat hak asasi rakyat, melarang wanita memandu,  keluar mengundi,  malah ada beberapa kes gadis dilarang belajar di pusat pengajian tinggi. Diskriminasi jantina tidak pernah dihebohkan walaupun AS pada suatu ketika melantik wanita sebagai Setiausaha Negara. Hillary   Clinton  tidak pernah menyuarakan isu demokrasi di negara feudal Arab tapi bersuara mengecam isu sama di Myanmar, Mesir, Syria, Tunisia dan Libya.

  Media antarabangsa juga mengamalkan pemberitaan berpilih kerana bimbang negara Arab yang kaya dengan minyak berpihak kepada Russia dan China dalam percaturan politik dunia.
 Ramadan muncul bersama kebimbangan nasib Morsi yang juga tokoh Ikhwan Muslimin yang disegani. Pelbagai agenda reformasi dan transformasi pasca pentadbiran Mubarak dan Anwar Sadat akan terencat ekoran perkembangan sekarang.

   Perkembangan di Asia Barat sentiasa menjadi perhatian massa. Era Perang Dingin meletakkan Asia Barat sebagai milik AS dan Israel dengan alasan bimbang kebangkitan kuasa komunis Asia Timur terutama China pimpinan Mao Zedong. Tohmahan Teori Domino ekoran kejatuhan Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos menjadikan pengaruh AS kukuh bertapak dan menguasai telaga minyak di Asia Barat.
   
  Sejarah membuktikan kelahiran beberapa negara Arab selepas Perang Dunia Pertama dilakukan hasil perancangan imperial Anglo-Saxon.  Semenanjung Arab yang dipimpin  pelbagai ketua suku dan ketua kabilah  terperangkap di antara kepentingan peribadi dan naungan kuasa AS. Pegawai tentera British, T E Lawrence memainkan peranan  dalam pembentukan sistem beraja di beberapa negara Arab yang kaya bagi memastikan kepentingan Barat kekal sehingga kini.

  Sumbangan Lawrence yang juga pengamal seks sejenis diakui memberi kesan dalam perimbangan kuasa di Asia Barat. Konsep geopolitik menjadi strategi perimbangan kuasa dunia. Minyak menjadi senjata Perang Arab-Israel 1967 yang akhirnya memberi kemenangan kepada Zionis AS. Ada negara Arab yang mempunyai simpanan minyak  terbanyak selepas Venezuela lebih mengutamakan pelaburan di Barat dengan memanfaatkan pengeluaran minyak 12 juta tong sehari.

  Apa yang berlaku di Mesir bakal merebak di beberapa wilayah lain. Barat bimbang Syria menjadi benteng pertahanan Iran dalam menghadapi perang terbuka di rantau Teluk. Lebih membimbangkan Russia, China dan Korea Utara memerhatikan penuh minat perkembangan di negara Arab selepas menyedari kesan pertukaran rejim di Tunisia, Libya dan Mesir sebelum ini.

  Kita bimbang Ramadan tahun ini akan berkekalan dengan darah di Asia Barat. Israel bukan lagi pengganas utama di sana kerana tentera yang dilatihnya kini  menjalankan peranan menjejaskan perkembangan Islam di Asia Barat. Tarawih, zikir dan doa sepanjang bulan puasa tentunya menjadi cabaran kepada umat yang beribadat di kawasan bergolak. - Berita Harian, 11 Julai 2013

Tuesday, July 09, 2013

So senang to menangi RM38,888

Sebuah syarikat telekomunikasi secara terbuka menggunakan bahasa rojak bagi mempromosi peraduan yang menawarkan hadiah tunai RM38,888 untuk pelanggannya.

‘So senang to menangi’ - slogan promosi yang ditampal di beberapa premis. Tanpa rasa bersalah, usaha merosakkan  penggunaan  bahasa yang betul terus berlaku walaupun ada tokoh yang melaungkan usaha mendaulatkan bahasa Melayu terus diperkasakan.

Kita hairan kenapa sampai kini Malaysia masih payah berbudaya dan berbahasa? Lebih menghairankan apabila   ada tokoh yang bangga mendakwa Malaysia mencapai negara maju lebih awal, iaitu 2018 dan bukan 202  kerana faktor  ekonomi, kejayaan modal insan dan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia. Kenapa unsur bahasa, kesopanan, budaya dan kesenian tempatan tidak disebut dalam kerangka pembentukan negara maju?

Jika perkembangan ini dibiarkan,  kita akan terus mengulangi masalah lampau iaitu mengabaikan kepentingan bahasa dan budaya dalam pembangunan negara.

Penggunaan bahasa rojak akan terus berlaku kerana orang yang sepatutnya berkuasa untuk menanganinya masih segan berbahasa Melayu pada majlis rasmi yang dihadiri majoriti bangsa Melayu.

Banyak ucapan dan kertas kerja menggunakan bahasa asing. Jangan harapkan syarikat yang dimiliki kaum lain untuk mempertahankan maruah bahasa Melayu kerana mereka sendiri masih mengagung tradisi dan citra  yang wujud di negara  asal  moyang sendiri. Pelaksanaan program audit bahasa yang dijayakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga kini masih misteri. Mampukah DBP menegur orang politik tidak menggunakan bahasa yang betul dalam majlis rasmi? Mampukah penggerak audit bahasa menyemak kertas kerja, teks ucapan  dan minit mesyuarat jemaah menteri yang  sentiasa sukar menghormati bahasa ibunda sendiri?

Sidang Parlimen Ke-13 yang berlangsung sekarang menampakkan kepincangan  berbahasa. Ada Ahli Parlimen termasuk yang bertaraf Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen tidak mampu menggunakan bahasa Melayu dengan sempurna. Mereka bebas menggunakan bahasa pasar kerana tiada peraturan  mewajibkan penggunaan   bahasa Melayu yang sempurna. Syarat menjadi wakil rakyat hanya bertumpu kepada warga Malaysia, tidak dihukum oleh mana-mana mahkamah sivil serta tidak muflis. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya memasukkan syarat tambahan mengenai keupayaan menggunakan bahasa Melayu  bagi memastikan kualiti perbahasan menepati matlamat persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Tanpa menggunakan bahasa yang sempurna akan merencatkan perbincangan secara ilmiah, tertib dan bersopan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) pula sepatutnya diberi kuasa  untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Haramkan penggunaan nama jalan, papan tanda, sepanduk dan iklan yang mengabaikan bahasa Melayu atau ejaan salah. Taman perumahan pula sepatutnya diwajibkan unsur tempatan.    Kita tidak perlu nama yang aneh untuk apartmen dan rumah teres seperti  The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium,  Casa Prima dan   Park Avenue. 

Kita juga rasa aneh apabila terpaksa menggunakan bahasa penjajah sekadar untuk memesan ayam goreng, kentang dan air bergas di restoran makanan segera. Hinakah bahasa Melayu digunakan di kaunter tiket kapal terbang, pejabat perhubungan pelanggan syarikat perdagangan dan pusat beli-belah?

Usaha merendahkan bahasa Melayu tidak pernah pudar. Kerajaan tidak tegas dan sebahagian besar rakyat pula seakan tidak peduli nilai dan makna jati diri. Syarikat swasta pula lebih mengutamakan keuntungan. 

Pada peringkat nasional, tema hari kebangsaan pernah  menjadi jenaka awam. Pemimpin yang pernah meragui nilai bahasa Melayu untuk subjek Sains dan Matematik mengumumkan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ sebagai tema Hari Kebangsaan 1996. Sambutan Maal Hijrah pula berbunyi ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’.  Dia keliru menggunakan perkataan ‘kecapaian’ yang membawa maksud kelesuan atau lesu, berbanding ‘pencapaian’ yang menggambarkan hasrat negara untuk maju dan kekal berdaulat.

Hari ini isu bahasa hanya dilafazkan oleh pencinta bahasa dan pelajar. Tiada siapa yang peduli kerana nasib bahasa Melayu semakin dipersendakan. Kewujudan era digital dan teknologi maklumat meletakkan bahasa Melayu jauh di belakang. Bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) membingungkan kita yang dilahirkan sebelum wujud internet dan telefon pintar. Justeru, tidak menghairankan apabila syarikat telekomunikasi ghairah mempromosikan ‘So senang to menangi!’  - Berita Harian, 9 Julai 2013

Sunday, July 07, 2013

Seniman kita sekadar warga tak dihargai

 Apakah Malaysia  tiada  falsafah seni? Apakah kemajuan hanya meletakkan karya  sebagai hiburan dan menafikan fungsi  seni  sebagai pengucapan   dalam masyarakat?

Kita hairan apabila seni lebih dilihat sebagai sorak-sorai,  sedangkan jati diri dan sistem nilai dikesampingkan untuk  ekonomi dan siasah.

Kita mungkin berbangga penyanyi K-Pop, Psy membuat persembahan di Pulau Pinang sempena Tahun Baru Cina, tapi bagaimana nasib seniman kita?

Hari ini kerap kedengaran artis veteran terlantar perlukan bantuan. Seniman Agung, P Ramlee hanya gah berkarya tapi zuriat sendiri hidup menderita. Seniman jalanan pula tidak keruan mencari nasib di Kuala Lumpur. Mereka bergelumang  untuk hidup, mencari rezeki dan mengemis ihsan pihak berkuasa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula  mengenakan permit ke atas semua penghibur jalanan (buskers) dengan  alasan mengawal tingkah laku mereka. 

 Kuala Lumpur hari ini tidak sama 30 tahun lalu. Kota yang serba gah dan hebat memaksa seniman jalanan dituduh mengotorkan keindahan kota raya.

Dulu ramai yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota seni. Pyanhabib, Sani Sudin, Ladin Nuawi, Halim Yazid, Imuda, Khalid Salleh dan Kamarul Yusuff memanfaatkan malam minggu dengan membaca puisi di Pasar Budaya dan Jalan Chow Kit.

Pemuzik dan pelukis jalanan memeriahkan  Jalan Bukit Bintang dengan karya ‘segera’ yang jujur menceritakan gelora anak muda di negara sedang membangun.

Hari ini aktiviti kesenian hampir dianggap tabu. Seniman jalanan  bukan saja dipaksa memiliki permit persembahan, bahkan dikenakan bayaran tinggi jika mahu ‘berniaga’ di Pasar Budaya.

Mungkin Kuala Lumpur tidak sama dengan Frankfurt, Bali dan Hawaii dari segi keseniannya. Tapi apa salah membenarkan anak muda berkarya, menghibur dan berceloteh bersama pelancong sebagai medan seni yang interaktif.

Kita harus malu dengan Indonesia kerana membenarkan Bali mempunyai desa budaya di Ubud. Seniman bebas berkarya  tanpa membezakan fahaman siasah dan budaya.   Kampung turis seperti Pengosekan, Penestanan, Padang Tegal dan Tebasaya meletakkan seni di tempat sewajarnya. Kita boleh melihat laman    rumah penduduk dipenuhi kanvas dan pelancong bebas bersantai membancuh warna dan mencalit garis  sketsa.

Kita juga boleh menikmati  pertunjukan legong kraton  di Puri Ubud yang mengembalikan era lampau.

Malangnya kita tidak mempunyai cita rasa yang baik untuk seni. Karya   tradisional seperti dikir barat, makyung, bangsawan, kuda kepang, bagih, main puteri, tari inai, ghazal, dondang sayang, boria dan selampit semakin jauh daripada kita.

Anak-anak hampir tidak mengenali lagi rentak tukang karut dan sang juara, apatah lagi mantera tok dalang yang melagakan patung Rama dan Sita di pinggir sawah.    
         
Kita semakin maju dan mengikut propaganda siasah,  bakal setaraf  Korea Selatan dan Jepun pada 2020. Tapi kedua-dua negara menjadikan seni sebagai asas untuk kemajuan. Tradisi berbudaya dan menghargai bahasa ibunda amat tinggi di Seoul dan Tokyo. Mereka tidak pernah menilai  hanya  bahasa Inggeris sebagai pengucapan utama subjek Sains dan Matematik. Pelajar mereka diajar mengenali kesenian tradisi sebagai asas menjadi manusia kelas pertama.

Malangnya kita mengenali Psy kerana rentak lagu yang pantas  dan terkinja-kinja  tanpa memahami budaya anutannya. seperti juga kita meminati  judo dan  ninja kerana filem, bukan semangat dan falsafah kehidupan di negara matahari terbit itu.

Penggerak pembangunan perlu sedar kemajuan tanpa budaya hanya melahirkan insan tanpa jiwa. Kita tidak mahu menjadi Singapura yang maju pelabuhan dan sektor perkhidmatan, tapi tiada akar umbi.
Kita juga tidak mahu menjadi Taiwan yang terasing di tengah lautan tanpa mempedulikan budaya Tiongkok yang  agung sebelum 1400.

Masanya sudah tiba untuk kita memiliki sebuah kampung seni di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Di situlah nanti kalangan seniman berkarya dengan santai dan bebas memenuhi pasaran mereka secara terbuka.

Bukan semua pelancong datang untuk mendongak melihat puncak KLCC apatah lagi  ke Langkawi hanya sekadar melihat ombak dan pasir pantai. Mereka mahu menilai dan menikmati akar umbi kita yang dikatakan santun, penyayang dan berbudi bahasa. Selama ini mereka keliru kerana gagal mengenali kita dengan jelas. Kita pula gagal memberi penjelasan mengenai sejarah Melayu. Kerajaan wajar menyediakan kampung seni yang bakal menyerlahkan jati diri Malaysia dan akar umbi   sejak berzaman. Kampung seni bakal menjadi wahana menilai kewujudan kerajaan Melayu di Asia Tenggara dan kesannya terhadap peradaban, budaya, kesenian dan siasah rantau ini. Mungkin saranan ini sekadar angan-angan! - Berita Harian, 2 Julai 2013