Pages

Monday, July 29, 2013

Tamarod -- Anak muda bangkit melawan

Tamarod membuktikan generasi muda tidak mahu ditipu lagi.
Tiada siapa yang mengenali Mohamed Bouazizi sebelum  Disember 2010. Dia hanya anak jalanan yang tidak dipedulikan tetapi bercita-cita besar  dalam hidup. Bouazizi bukan ahli politik, justeru tidak mempunyai keupayaan  menggerakkan massa, apatah lagi mengubah peta politik dunia ketika kebanyakan negara Arab masih terperangkap dengan kuasa feudal yang bertarung dengan militer sosialis. Kerakusan kuasa menyebabkan rakyat menderita dan generasi muda hanya bersuara   menerusi blog, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), facebook dan twitter.

 Aksi bunuh diri Bouazizi pada  pertengahan Disember 2010 bagai halilintar menyambar bangsa Arab,  sekali gus meletakkan nama anak muda yang tidak dipedulikan sebelumnya sebagai ikon demokrasi. Rakyat yang   terperangkap antara sistem monarki pro-Barat dan diktator sosialis tentera, bangkit memberontak.  Mereka bukan saja memaksa Zine al-Abidine Ben Ali meninggalkan Tunisia, juga meresahkan pemimpin lain di Asia Barat dan Utara Afrika. Mesir, Libya, Syria bergolak. Hosni Mubarak kehilangan takhta di Kaherah dan Muammar Gaddafi terbunuh di Sirte, tidak jauh dari Tripoli pada  20 Oktober 2011.

 Pergolakan politik di Syria sehingga kini tiada penghujung ketika Barat melaporkan Bashar  al-Assad sukar ditewaskan kerana di belakangnya ialah Iran, China dan Russia. Tiga kuasa yang menguatkan percaturan politik di Asia Barat membimbangkan strategis Amerika Syarikat (AS) terhadap penentangan terbuka.

Konflik di Asia Barat bukan sekadar kebangkitan anak muda yang memperjuangkan demokrasi, malah isu minyak kekal dominan yang mungkin mengulangi era Perang Dingin dengan Soviet Union selepas Perang Dunia Kedua. Wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC), Jon Leyne menganalisis rakyat Arab tidak yakin  mereka boleh mengubah kehidupan melalui politik. Pilihan raya sekadar tayangan demokrasi yang tidak memberi makna. Generasi muda akhirnya mengambil keputusan di jalan raya – berdemonstrasi, sesekali menjerit dan ‘berperang’ dengan pasukan keamanan.

 Hari ini laungan tamarod bergema di seluruh Semenanjung Arab dan Teluk Parsi. Anak muda bangkit melawan. Ideologi dan agama diperalatkan untuk survival pada Ramadan.  Malangnya, inspirasi awal ekoran kematian Bouazizi dan gerakan tamarod menjadi medan penguasaan kekuasaan AS di Asia Barat. Di Dataran Tahrir, penentang bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi masih merayakan kejatuhan beliau ketika penyokong Ikhwanul Muslim berkumpul  di Rabaa’ Adawiah. Laungan tamarod bergema kerana  proses demokrasi masih kabur di Mesir dan Asia Barat.

 Morsi digulingkan  tentera yang disokong AS, Israel dan Arab konservatif. Alasannya  perjuangan pemimpin  Ikhwanul Muslim itu membahayakan rantau yang kaya dengan minyak. Sebelum revolusi rakyat pada 25 Januari 2011, penduduk tidak pernah memahami erti demokrasi. Penggulingan Raja Farouk oleh Gamal Abdul Naser dan kemudian Anwar Saddat yang mati dibunuh, Hosni Mubarak meneruskan legasi penguasaan tentera yang membenamkan demokrasi di Mesir.

 Mesir walaupun terbabit secara langsung dalam Perang Arab-Israel pada 1948 dan 1973, Perjanjian Camp David yang ditandatangani  Anwar  dan Perdana Menteri Israel,  Menachem Begin pada 17 September 1978, mengikat Kaherah untuk dikuasai AS dan Tel Aviv. Morsi dianggap penentang Israel kerana hubungan tradisi  antara Ikhwanul Muslimin dan  Hamas. Alasan ini membolehkan AS dan sekutu Arab merampas kuasa bagi memastikan Mesir kekal sahabat Barat.

Hari ini laungan  tamarod menjadi perjuangan generasi muda bagi memastikan Mesir dan rantau Arab bebas daripada penguasaan asing dan diktator tentera. Kematian 136 penyokong Morsi minggu lalu meningkatkan laungan tamrod.

 AS menggunakan konflik   Syria untuk mengukuhkan pengaruh bagi memastikan kepentingan Israel terselamat. AS merancang menguasai Syria, sekali gus menggunakan laluan sempadan untuk menyerang  Tehran yang kini lebih berpihak kepada China dan Russia. Persaingan dan percaturan kuasa besar di Asia Barat boleh memberi kesan  kenaikan harga minyak. Sekutu AS di Eropah Barat yang kebanyakannya menghadapi krisis  mengharap sumber minyak bagi mengukuhkan semula sektor industri.

Barat bimbang kemajuan ekonomi China yang kini kuasa kedua perdagangan selepas Kesatuan Eropah dan Jepun. Hubungan akrab Beijing  dengan Russia dan Korea Utara  boleh mengancam kepentingan Barat di seluruh dunia. Gerakan tamarod dan bayangan penderitaan Bouazizi kini menjadi senjata mengancam feudal Arab, sekali gus menjadi perjuangan generasi muda di Asia Barat. Lebih bahaya apabila China dan Russia semakin berminat di rantau Arab. - Berita Harian, 29 Julai 2013

No comments: