Pages

Monday, May 31, 2010

Perang siber ancam masa depan manusia

(Media baru disalah guna demi penuhi kebebasan peribadi)

ISU media baru sentiasa lunak diperkatakan. Penulis blog dan pengendali laman web kerap menjadi tumpuan kerana keteledoran mereka bertindak melanggar batas hukum dan susila masyarakat. Walaupun sebahagian besar bertindak wajar dan memanfaatkan teknologi maklumat pada era pasca perang dingin, ada juga yang menyalahgunakan internet untuk tindakan kurang wajar.


Terbaru, seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan alamat IP 112.137.162.108 di laman web http://www.wanitamelayu2.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Dia melakukan kesalahan itu di Aras 1, Jabatan Kawal Selia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Off Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang, 10 Jun tahun lalu. Sepanjang beroperasi bermula Januari sehingga Jun tahun lalu, Tajulzairi memperoleh pendapatan antara RM2,000 ke RM3,000 dan jumlah pelanggannya melebihi 100 orang.

Tajulzairi didakwa mengikut Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sebelum ini beberapa penulis blog menghadapi tindakan undang-undang angkara tulisan mereka. Seorang belia 29 tahun ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar dan kerajaan negeri. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan polis di sekitar Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai satu penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai supaya membenci polis.

Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam, tetapi dibebaskan dua bulan selepas itu kerana penahanannya diisytiharkan tidak sah.

Raja Petra juga menghadapi tuduhan memfitnah tokoh negara. Bagaimanapun, penulis blog itu kini dikatakan melarikan diri ke London dan meneruskan ‘serangan’ di luar negara.

Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Kebanyakan mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia.

Hari ini internet sudah menjadi perayaan sejagat. Sesiapa saja boleh menulis blog dan mencatat apa saja yang dirasakan tidak secocok dengan jiwa mereka. Anak Menteri Besar Kelantan juga menulis blog dan mempertikaikan pihak yang menegur keluarganya. Ada juga penulis blog berasakan mereka kebal undang-undang dan mampu bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Mengikut laporan, 500 blog baru wujud di sebalik Tembok Besar China setiap sejam dan 35 blog menjenguk pembaca di kawasan Alaska, tanpa menghiraukan keadaan cuaca serta politik setempat.

Di negara kita pula, sebanyak 60 peratus daripada penduduk di Lembah Klang memiliki jaringan internet dan 10 peratus penduduk di Pantai Timur mempunyai sekurang-kurangnya sebuah komputer peribadi.

Angka ini membuktikan rakyat semakin celik teknologi maklumat, walaupun mungkin kurang jelas peruntukan undang-undang dan akta hasutan yang melingkari perbuatan bertentangan undang-undang.

Malang sekali kemudahan internet dan media baru disalahgunakan untuk penyiaran dan penyebaran kandungan yang tidak bermanfaat. Hari ini beberapa laman web lucah bertebaran dan mudah dimasuki sesiapa saja. Bayangkan jika anak berusia tujuh tahun melihat kandungan yang tidak sepatut dengan usia mereka.

Beberapa negara Asia termasuk China, Pakistan dan Iran menyekat kandungan yang dianggap bertentangan dengan keperluan setempat. Walaupun menimbulkan polemik, tindakan itu dianggap sebagai mempunyai unsur politik kerana beberapa isu dalaman semakin banyak tersebar menerusi media baru.

Di negara kita pula ada tokoh yang menyarankan supaya penapisan internet untuk mengelakkan penyebaran bahan lucah dan hasutan. Bagaimanapun isu ini sudah menjadi polemik politik kerana media baru sering dianggap bebas berbanding media tradisional yang dikaitkan dengan parti pemerintah.

Ada juga yang menyarankan supaya dilakukan penapisan peribadi bagi memastikan sesuatu kandungan di media baru boleh dimasuki atau tidak. Saranan ini tentunya juga tidak menyelesaikan masalah kerana penapisan peribadi sering diselewengkan oleh keperibadiannya sendiri.

Isu internet, blog dan laman sembang sosial akan terus hangat diperkatakan kerana ia semakin dekat dengan naluri manusia sejagat dan sudah menjadi milik peribadi semua pihak.

Semakin banyak kita berhujah isu media baru dan kebebasan peribadi, semakin terserlah liku-liku yang semakin rakus di depan: Mungkinkah perang siber bakal menentukan nasib dan jati diri umat Islam sejagat? - Berita Harian, 31 Mei 2010

Thursday, May 20, 2010

Suara generasi muda semakin penting dalam politik semasa

DUNIA sentiasa setia dengan orang muda. Hanya orang muda yang kuat mendesak, kreatif dan kaya fantasi. Bob Geldof berjaya menggerakkan mata dunia mengenai isu kelaparan dan penindasan global ketika usia 20-an. Dia berjaya menghimpunkan bintang rock, pop dan blues seluruh dunia untuk menganjurkan konsert membantu penghuni Afrika yang mati kelaparan pada 13 Julai 1985.


Ketika usaha murninya mendapat sokongan personaliti ternama dunia termasuk lagenda tinju, Muhammad Ali, ada kalangan politik yang mempertikaikan. Bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush mempertikaikan konsert amal sebagai publisiti murahan.

Secara sinis Geldof menempelak tokoh politik sebagai tidak memahami hasrat generasi muda. It's really very simple. When people are hungry they die. So spare me your politics and tell me what you need and how you're going to get it to these people.

Ungkapan itu sering menjadi inspirasi generasi muda terutama peminat rock yang mendominasi pentas seni dunia pada dekad 80-an. Ketika penulis di England pada 1984 dan bergabung dengan anak seni jalanan di sekitar kota London, suara anak muda yang menentang ‘pemikiran lama’ begitu berleluasa walaupun perang dingin antara blok komunis dan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sudah reda bertelingkah.

Ketika itu muncul isu percanggahan hasrat antara pimpinan politik dengan orang muda. Generasi muda yang dikenali sebagai golongan ‘x’ dan ‘y’ dikatakan cepat memberontak, kaya cita-cita tetapi teguh perjuangan. Sementara yang tua pula dianggap pengekor masa, selesa dengan suasana yang ada serta tidak membantah sistem merugikan.

Polemik antara dua generasi sudah menjadi jurang yang menakjubkan. Ketika era perang dingin yang membabitkan ribuan tentera Amerika Syarikat tersungkur di bumi Vietnam, John Lenon dan Bob Dylan turun ke jalan raya dan membantah secara terbuka.

Pengikut mereka juga memenuhi pekarangan jalan sepanjang Rumah Putih sambil menjerit “Peace Not War!” Budaya hippie bermula di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara lain termasuk di Pulau Pinang pada 1969. Mereka merayakan Pesta Woodstock sebagai sumber protes terhadap peraturan yang ada.

Perkataan ‘hippie’ berasal daripada ‘hip’ atau ‘hipster’. Budaya ini diperjuangkan oleh kebanyakan remaja Barat sebagai citra pemberontakan politik, sosial dan spiritual yang melanda. Mereka tidak percaya kepada orang politik kerana menggunakan kuasa untuk

kepentingan peribadi. Bagi mereka, bumi Vietnam adalah lubuk penguasaan untuk kepentingan politik Amerika Syarikat, walaupun puluhan ribu rakyatnya menjadi korban di Indochina.

Kebanyakan generasi muda yang terikut dengan budaya ini menentang pemikiran konservatif ibu bapa mereka, dengan melakukan hubungan seks bebas, mengambil dadah (terutama ganja dan halu sinogen LSD atau acid) dengan alasan ia mengembangkan pemikiran spiritual, menyimpan rambut panjang, berpakaian aneh, hidup secara nomad dan berkumpul dengan ‘hippie’ lain dalam pesta menentang budaya dan pemikiran masyarakat umum. Mereka melaungkan ‘be-in’ atau ‘love-in’, sambil mendengar irama rock and roll dan hisap ganja.

Generasi muda sentiasa mengejutkan pemikiran umum. Mereka bukan sekadar bersuara, menyanyi dan melaungkan puisi protes di jalanan, bahkan bertindak menerusi peti undi.

Di negara kita pula, suara generasi muda agak radikal pada dekad 70-an. Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan Hishamudin Rais lahir ketika era gerakan pelajar pada  1974. Suara mereka nyaring hingga kini walaupun  bukan orang muda lagi.

Pada Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, suara anak muda bertebaran di blog dan pelbagai media baru, tetapi sering tercicir daripada pandangan penguasa. Suara dan jerit mereka yang terabai akhirnya diterjemahkan menerusi peti undi.

Keadaan sama juga berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei lalu apabila pengundi muda dan Cina memihak kepada calon pembangkang.

Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, berpendapat keajaiban yang berlaku di Sibu lebih banyak dipengaruhi kebangkitan pengundi muda yang bersikap liberal.

Katanya, walaupun jumlah mereka turun mengundi amat rendah, sudah mampu mengubah keputusan. Calon DAP, Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew (18,447) dan calon Bebas, Narawi Haron (232).

Beliau membayangkan pilihan raya Kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu bakal mencatat keputusan lain andainya peratusan pengundi muda meningkat. Dr Abu Hassan yakin pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun memang diyakini mampu dan boleh mengubah sesuatu keputusan.  - Berita Harian, 20 Mei 2010

Tuesday, May 18, 2010

Dunia kembali berpesta gooooooool!


LAGU tema Bola Sepak Piala Dunia sudah bergema dengan intro ‘Wooo hooooo hohohohooo’ sejak awal 2010. Lagu remix hip hop ciptaan Knaan berjudul /Waving Flag menjadi tumpuan hampir 6.6 bilion penduduk dunia. Gubahan muzik, lirik dan suara Knaan yang merdu membuat semangat Piala Dunia sudah terasa, tidak seperti lagu tema Piala Dunia 2002 dan 2006 yang kurang bersemangat.

Seperti biasa, Jun dan Julai setiap empat tahun, bola sepak sentiasa menjadi raja di hati sebahagian besar penghuni dunia.

Lupakan sengketa politik atau kenaikan harga minyak, gula dan beras. Warga dunia tentunya tidak sabar menanti detik 11 Jun apabila sepak mula di Afrika Selatan yang membabitkan 32 negara.

Tentunya tarikh 11 Julai pula bakal diserlahkan dengan tepukan, sorakan, reaksi, kegembiraan atau kekecewaan dan air mata sebaik saja juara baru muncul selepas Itali menjuarai Piala Dunia 2006 di German. Media juga tentunya tidak terkecuali memeriahkan pesta setiap empat tahun dengan pelbagai paparan gambar, aksi dan cerita di luar padang. Bilik persalinan pemain bakal diserbu. Tentunya juga skandal peribadi mereka bakal terungkap seperti beberapa jaguh sebelum ini.

Bagi peminat tegar di Malaysia, mereka sudah mewujudkan sebuah facebook yang bakal mencatat perkembangan, ulasan dan sokongan terhadap pasukan pilihan. Peminat boleh mencatat apa saja kerana bola sepak menepati ungkapan sebuah iklan; tidur bola, makan bola!

Laman web rasmi Piala Dunia -- http://www.fifa.com/worldcup sentiasa ada penjenguk baru setiap empat saat dari seluruh pelosok bumi. Sesekali lagu The Cup Of Life yang dinyanyikan oleh Ricky Martin dan menjadi tema rasmi kejohanan di Perancis pada 1998 kerap kedengaran, membuktikan semangat Piala Dunia semakin kental.

Pengusaha pusat pelancongan di Kuta, Bali, Indonesia sudah membersihkan kawasan pantai untuk meletakkan 50 skrin gergasi bagi penonton yang berlibur sambil menikmati perlawanan bola sepak di tepian pantai. Tentunya di Malaysia, restoran mamak bakal sesak kerana Piala Dunia sentiasa meriah dengan sorakan dan sokongan.

Bola sepak kaya dengan drama dan intrignya. Ketika Diego Maradona meminjam ‘tangan tuhan’ untuk membolos gol England pada 1986, dunia bagai terpanggil mengimbas semula keriuhan politik dua negara apabila tentera Britain menyerbu kepulauan Falkland yang membabitkan krisis dengan Argentina pada 1982. Ramai yang menganggap Maradona sudah menyempurnakan dendam kepulauan Falkland.

Ketika Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah 2002, dunia kembali mentelaah kekuatan ekonomi Asia Timur yang dianggap harimau muda sedang bangkit dan memecah dominasi dagang negara Barat.

Bola sepak sentiasa hidup dengan citranya. Ia bukan sekadar acara sukan, tidak juga sekadar permainan untuk merebut piala yang menjadi keagungan sejagat. Bola sepak sudah membentuk agendanya sendiri dengan segala kekuatan, kemahiran dan persaingan. Ia juga membentuk jenama dan strategi perniagaan yang luar biasa keuntungannya. Pertaruhan judi Piala Dunia membabitkan taruhan 26 bilion dolar pada 2006.

Piala Dunia tahun ini adalah edisi ke-19 yang membabitkan pasukan terpilih mewakili lima benua. Afrika Selatan berjaya menjadi tuan rumah selepas berjaya menewaskan Maghribi dan Mesir dalam proses pembidaan lokasi perlawanan.

Lebih 160 negara berentap untuk menuju ke Afrika Selatan, namun hanya 32 negara yang berjaya ke pusingan akhir --peningkatan daripada 24 pasukan pada 1998.

Tentunya pasukan samba Brazil sentiasa menjadi idaman dunia kerana mempunyai pakej lengkap. Bola sepak bukan sekadar acara tendang objek di tengah padang, malahan aksi pemain seperti Kaka, Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan Tevez menjadi buruan mata peminat.

Pasukan Brazil menjadi tumpuan ramai walaupun ramai penganalisis bola meramalkan Sepanyol bakal menjuarai kejohanan kerana kekuatan jentera serangan yang digerakkan oleh Fernando José Torres, David Villa dan Fabregas. Pemainnya juga sebahagian besar mewakili kelab ternama dunia seperti Barcelona, Real Madrid, Liverpool dan Valencia.

Nama Brazil mempunyai rekod yang kental apatah lagi dapat menyimpan Piala Jules Rimet selepas muncul juara pada 1958, 1962 dan 1970.

Dunia juga bakal mengenang kehebatan Pele selaku pemain terbaik dunia yang bersaing dengan Diego Maradona. Tidak terkecuali juga bekas penyerang Brazil, Ronaldo yang muncul pemain terbanyak menjaringkan gol dalam beberapa siri Piala Dunia sebelum ini.

Brazil lima kali menjuarai Piala Dunia, diikuti Itali (4), Jerman (3) sementara Argentina dan Uruguay masing-masing dua kali. Tentunya 11 Julai bakal menyerlahkan harapan dan kejuaraan. Itulah bola sepak Piala Dunia dan Malaysia bila lagi untuk menggamitnya kerana kita mempunyai prasarana lengkap sebagai juara?

Saturday, May 08, 2010

Menafsir semula sejarah negara

MELAYU pernah tercatat sebagai bangsa yang agung dan menguasai samudera Nusantara. Melayu juga mendaulatkan hubungan antara raja dan rakyat dalam sistem Kesultanan Melayu. Sebelum penguasaan penjajah pada 1511, Kerajaan Melayu Melaka bertapak kukuh sebagai institusi berdaulat yang mengatur kegiatan siasah, ekonomi dan sosial di Asia Tenggara.
Keagungan kerajaan Melayu juga menyebabkan ramai pedagang Arab, India dan China datang berniaga serta mencari rezeki. Ada yang sementara dan ada juga kekal di Melaka sebagai bumi emas yang terpelihara. Ketika itu agenda politik luaran belum menonjol kerana Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka dianggap sebagai piagam undang-undang yang perlu dihormati. Pedagang ketika itu menghargai peraturan yang termaktub di wilayah Melayu sebagai sesuatu yang tidak perlu dicabar kerana kedatangan mereka semata-mata untuk berdagang, bukan menguasai politik dan sistem nilai tempatan. Pendatang tidak pernah bersuara mengenai hak Melayu di buminya sendiri kerana menyedari asal-usul mereka yang datang ke sini semata-mata untuk berdagang. Mereka juga tidak berani mengatakan Melayu mengamalkan perkauman, semata-mata membincangkan isu kedaulatan sistem beraja di alam Melayu.
Dalam Sejarah Melayu, sistem nilai tempatan dipaparkan dengan jelas. Citra sosialnya berlandaskan kesaksamaan. Rakyat dan raja mempunyai fungsi masing-masing. Rakyat dilarang menderhaka kepada raja. Raja pula tidak boleh menzalimi rakyat.

Mitos Hang Jebat derhaka adalah citra politik yang mengaitkan kesetiaan kedua-dua pihak. Sama ada ia benar berlaku atau sekadar mainan hikayat, kisah penderhakaan Jebat mengundang pelbagai polemik mengenai isu kesetiaan dan kezaliman.
Begitu juga kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang sering diulang tayang dalam pelbagai versi untuk menunjukkan betapa kedua-kedua pihak perlu menjaga kesetiaan dan kedaulatan.

Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba juga menyimpulkan perjanjian antara kedua-dua pihak. “...Maka sembah Demang Lebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu Duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum syarak.' (Sejarah Melayu).
Waadat itu menyimpulkan akibat daripada kezaliman raja terhadap rakyat boleh menyebabkan keadaan tidak harmoni. Ia juga memberi amaran supaya tidak terjadi amalan ‘sembah derhaka.’
Menjelang 1824, suasana di bumi Melayu semakin berubah. Sejarah kesultanan Melayu semakin luntur. Inggeris dan Belanda membahagikan bumi Melayu mengikut keperluan politik dan ekonomi, menyebabkan keadaan sudah jauh berubah.
Penjajah juga membawa masuk buruh ladang dan pelombong bijih timah dari Asia Selatan dan China menyebabkan komposisi kaum berubah secara drastik.
Ketika Perang Dunia Kedua memuncak pada 1945, bumi Melayu bukan saja berdepan era penjajahan Barat dan Jepun, juga ancaman sistem komunis yang bertapak kukuh di China dan Soviet Union. Fahaman Das Kapital dan nama Karl Marx tiba-tiba mencelah di rantau ini.
Kemudian muncul pula Mao Tse Tung yang dianggap pemimpin agung bagi penganut komunis di Asia. Malaysia tidak terkecuali menerima ancaman komunis, walaupun pada masa sama gerakan massa sedang berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
Ketika nasionalis berjuang membebaskan pertiwinya, ada pula pihak yang mengira langkah untuk berbaik bukan saja dengan Barat, bahkan kuasa komunis di Asia Timur.

Ada yang mendakwa pejuang, tetapi pada masa sama memihak kepada penjajah untuk mempertahankan kepentingan peribadi. Ada juga yang jujur berjuang dan mati tanpa pusara. Lebih malang pula ada pihak yang memilih menyokong komunis dan menyelinap di celah Banjaran Titiwangsa untuk meraih laba hasil bumi wilayah Melayu.

Perjuangan yang pelbagai menjadikan wilayah Melayu sentiasa berkocak. Insiden 13 Mei 1969 adalah cetusan ketidakadilan agihan ekonomi yang menyebabkan Melayu terpinggir di sektor tradisional, sedangkan pihak lain menguasai nikmat ekonomi secara terbuka.

Keadaan siasah semakin tidak menentu apabila Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 menunjukkan gerakan untuk menidakkan segala aturan yang pernah tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 dipersoalkan secara terbuka. Isu kemelayuan dianggap perkauman dan lebih malang lagi apabila ada bangsa Melayu sendiri yang sanggup mempertikaikan institusi istana.
Hari ini, sejarah Melayu moden perlu ditulis semula dengan segala kejujuran.

Jika sebelumnya ada catatan yang ditulis mengikut persepsi sebelah pihak, ia perlu diadili dengan fakta kerana ramai pejuang sebenar yang terpinggir daripada kalam sejarah. Pengaruh atau kekuasaan tidak sepatutnya mengganggu ahli sejarah mencatat peristiwa kerana ia bakal menjadi penyelidikan massa. - Berita Harian, 8 Mei 2010

Saturday, May 01, 2010

Isu moral, agama boleh jejaskan kuasa politik

MORAL, agama dan kehidupan sering menjadi tumpuan. Ada masanya isu moral dan agama sukar dibezakan tetapi menjadi bahan menarik yang mampu melariskan media. Ia juga boleh menjadi 'dosa besar' jika yang terbabit adalah orang politik atau personaliti ternama.
Ketika perang dingin memuncak pada dekad 1970-an, dunia bukan saja tergamam melihat pertarungan antara blok Nato (Pakatan Atlantik Utara) dengan blok Warsaw (Sekutu komunis pro-Soviet Union di Eropah Timur), malah juga kecekapan dan pendedahan wartawan terhadap skandal politik membabitkan Rumah Putih. Watergate adalah skandal politik paling terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat dan Deep Throat adalah sumber misteri paling popular dalam sejarah kewartawanan. Pada awalnya hanya membabitkan kes yang dianggap kecil; mencuri maklumat strategi politik pihak lawan pada Jun 1972, tetapi berakhir dengan tumbangnya Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon.

Skandal itu juga mengungkapkan pelbagai kegiatan pengintipan, sabotaj, salah guna kuasa dan rasuah. Nixon menganggap segala yang berlaku hanya isu moral dan tidak membabitkan agama kerana penipuan, rasuah dan sabotaj adalah sebahagian daripada ciri keperluan berpolitik zaman moden.
Bagaimanapun, bagi sebahagian besar rakyat Amerika Syarikat, isu pengintipan politik pihak lawan bukan saja jenayah moral, bahkan ‘berdosa’ kerana Tuhan tidak menghalalkan tindakan bertentangan prinsip amalan demokrasi.
Dua wartawan akhbar Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein memainkan peranan penting dalam memusatkan perhatian kepada skandal itu, dibantu maklumat penting daripada sumber misteri. Lima lelaki ditahan pada 17 Jun 1972 ketika sedang memasang alat pengintipan di pejabat Demokrat. Mereka mengaku melakukan tindakan hasil arahan Nixon yang berusaha memenangi semula kerusi presiden.
Hasil siasatan turut mengaitkan bekas ketua hakim negara, John Mitchell serta penasihat Rumah Putih, John Ehrlichman dan HR Haldeman. Skandal Watergate banyak memberi pengalaman kepada sejarah kehidupan moden. Woodward dan Bernstein menulis pelbagai berita eksklusif ketika skandal itu semakin berkembang. Buku mereka menjadi inti filem All The President’s Men yang dibintangi Dustin Hoffman dan Robert Redford.

Lebih 30 tahun selepas skandal Watergate terungkap, bekas Naib Ketua Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Mark Felt akhirnya mengakui dia adalah Deep Throat. Hari ini isu moral dan kehidupan terus berlegar. Ia bukan saja membabitkan personaliti dunia seperti Tiger Woods, John Terry dan Britney Spears, bahkan dikaitkan juga dengan sesiapa saja.
Dunia akan sentiasa memerhatikan kesudahan hubungan antara Tiger Woods dan isterinya selepas skandal seks dengan puluhan wanita terdedah. Dunia juga tetap menunggu ledakan gol John Terry ketika Bola Sepak Piala Dunia berlangsung Jun ini selepas imejnya tercemar angkara cinta wanita murahan.
Terry disingkir daripada jawatan kapten pasukan England gara-gara salah laku seksnya. Apakah Britney Spears terus unggul di carta nyanyian dunia ekoran pelbagai skandal seks, dadah dan kehidupan yang liar? Kehidupan adalah drama dan seloka yang tersendiri. Masa lalu seseorang juga menjadi isu besar walaupun ada yang terpaksa mengaku pernah minum arak dan bertaubat sambil mengharapkan orang lain menghormati keinsafannya.
Kesalahan masa lalu apatah lagi membabitkan moral dan agama sering sukar dimaafkan. Jika Woods terpaksa menangis sambil berlutut di depan isterinya, apatah lagi ahli politik yang bukan saja perlu bersih, malah mesti kelihatan bersih. Apa yang berlaku dalam beberapa isu politik tempatan amat mencabar kesetiaan massa.
Jika di pentas ceramah boleh menyebut soal prinsip, keadilan dan kemanusiaan, rakyat akan menilai kualiti yang ada pada diri penceramah atau wadah siasah yang diwakilinya. Ledakan teknologi maklumat semakin memihak kepada massa dan mereka boleh menentukan hala tuju sokongan pada masa akan datang.
Ahli politik yang masih tidur dengan kejayaan masa silam bakal ketinggalan kerana kehidupan berjalan terus, seiring perkembangan zaman yang kian mencabar. Sesiapa saja tentunya tidak akan selamat daripada perhatian massa. Tentunya isu moral, agama dan kehidupan menjadi sebahagian daripada keperluan rukun politik zaman moden yang tidak boleh dipencilkan. - Berita Harian, 1 Mei 2010