Pages

Sunday, January 13, 2013

Melayu gaduh, orang lain selesa

Pertelagahan sesama Melayu menggugat kekuatan ummah sejak dekad 1960-an. Peristiwa 13 Mei 1969 bukan saja membuktikan ketegangan kaum berikutan agihan ekonomi yang tidak setimpal, bahkan perpecahan Melayu kerana konflik politik di luar bandar dan di dalam UMNO  sendiri.

  Pergeseran di antara UMNO dan PAS mulai ketara apabila beberapa pihak yang mendapat pendidikan pondok tidak menerima dasar  yang dikatakan sekular. Pertelagahan yang membawa persengketaan memuncak di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana fahaman politik yang berbeza membabitkan dua kuasa politik yang dominan di luar bandar. 

  UMNO juga berdepan masalah apabila ada kalangan muda yang meyakini dasar Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra yang lebih mengutamakan kaum tertentu dan mengabaikan pembangunan luar bandar.

  Perbezaan pendapat  mengenai agihan pembangunan negara mendorong perasaan tidak puas hati bangsa Melayu. Ia akhirnya mencetuskan ketegangan menjelang Pilihan Raya Umum 1969 apabila isu kaum menjadi polemik secara terbuka.

  Pengundi bandar membuat keputusan menolak kerajaan Perikatan ketika itu. Keadaan hampir sama berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12 apabila pengundi bandar menolak Barisan Nasional (BN).

  Krisis dalaman UMNO pada 1987 juga memberi kesan yang besar kepada bangsa Melayu. Pertandingan jawatan Presiden UMNO di antara Tun Dr  Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 24 April 1987 bukan sekadar masalah parti. Ia memberi kesan kepada masyarakat Melayu secara keseluruhan kerana kedua-dua tokoh yang mempunyai pengikut yang ramai, berdepan secara terbuka.

  Ramai kalangan Melayu yang tidak setuju kerana persaingan dua tokoh bakal merugikan negara. Dr Mahathir adalah pemimpin berwibawa dan arkitek pembangunan Malaysia moden. Tengku Razaleigh bukan sekadar ahli ekonomi dan Menteri Kewangan Melayu pertama, bahkan pelaksana dasar perdagangan yang cekap dan diakui pada peringkat serantau. Jasanya di sebalik penubuhan Bank Bumiputra Malaysia, PETRONAS dan Permodalan Nasional Berhad wajar diakui.

 Kesan persaingan dalam UMNO bukan saja menyebabkan parti itu diheret ke mahkamah dan akhirnya diisytiharkan pertubuhan tidak sah, bahkan melemahkan politik Melayu  sendiri.

  Penubuhan Semangat 46  adalah serpihan UMNO yang membantu PAS menguasai Kelantan pada 1990, sekali gus menggugat politik Melayu yang sepatutnya bersatu dalam menghadapi cabaran kepelbagaian kaum di negara ini.

  Masalah Melayu bukan sekadar berdepan cabaran politik semasa, juga sejauh mana isu moral dan kewibawaan dipertaruhkan bagi kepentingan siasah.
Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998 menguji perpaduan Melayu, sama ada di dalam UMNO dan hubungannya dengan PAS.

  UMNO bukan saja berdepan cabaran memulihkan keyakinan ahli yang taksub kepada Anwar, bahkan dipertikai oleh PAS yang mengambil kesempatan untuk bersimpati dengan individu yang memusuhi mereka dulu. Kesannya pergeseran terbuka sesama Melayu mempengaruhi Pilihan Raya Umum 1999 apabila  BN  gagal menawan semula Kelantan bahkan kehilangan Terengganu kepada PAS.

  Pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi  sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 memberi peluang kepada BN berkuasa semula di Terengganu pada 2004. Bagaimanapun beberapa dasarnya dikritik hebat dalam kalangan ahli UMNO sendiri. PAS meraih kesempatan daripada masalah UMNO  dengan mengambil pendekatan bersekutu dengan DAP dan PKR, akhirnya mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12  pada 8 Mac 2008.

  Keadaan yang berlaku sekarang adalah kesinambungan pertelagahan sesama Melayu yang merugikan bangsa sendiri dan pihak lain mendapat untung.

Pada hari ini Melayu bukan saja dikritik jika bercakap soal kemelayuan, bahkan dianggap mengamalkan perkauman apabila ada saranan untuk memulihkan kekuatan Melayu.

  Cabaran sebenar kepada Melayu adalah usaha memulihkan kekuatan ummah. Tidak salah berbeza pendapat melalui kepartian berbeza, tapi yang perlu diutamakan adalah  usaha memulihkan kekuatan Melayu dalam pelbagai sektor.

  Agihan ekonomi dan peluang kewangan masih rendah. Walaupun Dasar Ekonomi  Baru sudah lama tamat, usaha memulihkan ekonomi bangsa masih berterusan menerusi pelbagai dasar.

  Melayu sepatutnya sedar mereka tidak perlu berdebat soal kalimah Allah atau pun bertelagah mengenai amanat yang memecahbelahkan ummah. Sekarang masa paling sesuai merenung pengalaman lampau apabila Melayu bersengketa, pihak lain yang mendapat labanya. Melayu sepatutnya insaf hanya diri sendiri yang membantu kekuatan ummah, bukan pihak lain yang menghalalkan cara untuk berkuasa. - Berita Harian, 12 Januari 2013
 

No comments: