Pages

Thursday, January 24, 2013

Jangan janji, bina segera lebuh raya KL-KB

Ada yang mendakwa tidak seronok memandu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, atau sebaliknya. Perjalanan   456 kilometer lazimnya mengambil masa di antara tujuh hingga lapan jam.

 Pada musim perayaan, perjalanan lebih sukar kerana kenderaan sesak menyebabkan laluan merentasi Bentong, Raub, Benta, Lipis, Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Bharu mengambil masa 16 jam atau lebih.

Bayangkan betapa banyak masa, kewangan dan tenaga dihabiskan di jalan raya semata-mata laluan tidak selesa.

 Perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu tidak berubah sejak 1980-an. Laluan berliku, jalan sempit dan terpaksa melalui pekan Raub dan Bentong yang sentiasa sesak menyebabkan ada pemandu yang kurang sabar ketika menempuh perjalanan jauh.

 Bayangkan pula jika lori balak tersadai di jalan raya yang sempit di tengah hutan Lipis. Tentunya ia sebahagian daripada pengalaman yang mahu dielakkan.

 Jika ke destinasi lain, pengguna  bakal menikmati laluan selesa kerana sistem lebuh raya yang sempurna. Mereka juga boleh singgah dan santai kawasan rawat dan rehat (R&R) sebelum meneruskan perjalanan. Hal ini tidak berlaku ke Kelantan dan tidak wajar dibiarkan berterusan.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berkunjung ke Kota Bharu memberi jaminan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu bakal dibina. Tentunya kenyataan ini disambut baik kerana perjalanan sejauh 70 kilometer wajar menerusi lebuh raya, bukan jalan yang sempit, sesak dan banyak lampu isyarat.

Sebagai sebuah negeri yang masih memerlukan banyak lagi program pembangunan, Kelantan bakal mengalami perubahan pesat jika kemudahan prasarana ditingkatkan.

 Lebuh raya bakal memudahkan pengangkutan hasil bumi dan sektor pertanian ke pantai Barat berjalan lancar sekali gus menjana ekonomi penduduk. Bagi pelabur pula, destinasi yang lancar ke Kota Bharu bakal memudahkan mereka mendirikan kilang, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

 Bagaimanapun lebuh raya Kuala Krai ke Kota Bharu bukan penyelesaian utama untuk mendekatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan atau negeri lain.

Kerajaan Pusat wajar memikirkan pembinaan lebuh raya Kuala Lumpur-Kelantan bagi memudahkan  perjalanan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi di   Pantai Timur.

 Kelantan yang kaya dengan hasil bumi perlu diteroka dengan lebih saksama  antara kerajaan Pusat dan negeri.  Hal ini tidak mudah dicapai apabila kerajaan negeri yang ada sekarang masih berlainan pendapat dengan Kuala Lumpur dalam beberapa isu.

 Slogan ‘Janji Ditepati’ perlu mengambil kira kepentingan rakyat Kelantan yang 90 peratusnya berbangsa Melayu dan Islam.

Memang kita sokong   pembinaan stadium baru, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan membabitkan 3,000 unit. Kita juga wajar berterima kasih kepada Pusat kerana merancang  Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 penuntut dan projek mengatasi masalah air.

 Bagaimanapun, yang lebih asasi ketika ini ialah lebuh raya sempurna bagi memudahkan urusan rakyat ke Kelantan. Tanpa perjalanan yang selesa bakal membantutkan  pembangunan, sekali gus mengundang penduduk bersikap sinis terhadap Pusat.

 Kira-kira 35 peratus penduduk Kelantan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Sebahagian besar kerusi di  kawasan bandar  memihak  BN. PAS hanya menang di kawasan pinggiran dan luar bandar  kerana pengaruh tempatan dan tradisi pondok.

  Mempengaruhi  minda seseorang harus berteraskan kepada pemikiran dan cara melayani kehendak individu dan kumpulan. Strategi politik mendahulukan rakyat harus berteraskan apa yang mereka mahu dan ahli siasah yang  mampu memenuhi kehendak mereka bakal mendapat sokongan.

Mempelajari sejarah politik Kelantan agak sukar kerana penduduknya pernah memberi peluang PAS pimpinan Tan Sri Asri Muda menerajui Negeri Cik Siti Kembang selama 18 tahun tetapi tersingkir pada 1978 kerana isu balak dan pentadbiran yang korup. Rakyat menyokong BN selama 12 tahun sebelum menyerahkan semula kepada PAS apabila ada segelintir  yang membelakangi keperluan rakyat.

Kini peluang BN masih ada. Kita yakin jika BN bersedia mendengar apa yang rakyat mahu, Kelantan  boleh ditawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Pembinaan lebuh raya Kuala Lumpur-Kelantan  perlu disegerakan untuk kemudahan semua pihak termasuk dari segi kepentingan siasah di Pantai Timur. - Berita Harian, 24 Januari 2013  

No comments: