Pages

Friday, September 07, 2012

Legasi Pak Samad untuk wartawan muda

 Hari pertama menjemputnya di sebuah banglo di Petaling Jaya, Tan Sri Abdul Samad Ismail menyinga: “Kenapa lambat sangat? Kamu sepatutnya tiba jam 9 pagi. Kelas bermula 9.30 pagi!”

 Kami tidak boleh menjawab. Kesesakan trafik dan sukar mencari lokasi kediaman beliau di Petaling Jaya menyebabkan kami terlewat 10 minit daripada temu janji sepatutnya.

 Esoknya, kami berazam untuk tidak menerima ‘kemarahan’  insan yang kami sebut Pak Samad itu. Kami tiba 10 minit sebelum jam 9 pagi. Kami lega kerana Samad tidak tercegat di pintu pagar seperti hari sebelumnya. Sebaik saja masuk ke halaman rumahnya, Samad meninggikan suara: “Kenapa awal sangat? Aku tak sempat pakai baju!”

 Dia kelihatan serius. Kami serba salah. Kemudian dia tergelak. Dan kami mula mengetahui hati budi insan yang dikenal Tokoh Wartawan Negara itu. Samad sentiasa kelihatan serius. Bagi insan yang kali pertama mengenalinya, Samad seorang sombong, bengis, tegas dan kurang tolak ansur.

Bagaimanapun, pengalaman menjadi muridnya hampir setahun, Samad seorang guru yang penyayang, bertimbang rasa, kerap bercerita soal perjuangan dan menyeludup senjata ketika era konfrontasi.  Samad juga tidak lokek memasak sendiri bamia daging yang dicelup dengan roti keras di rumahnya. Kami kerap ke rumahnya kerana Samad bagai memaksa: “Jangan tak datang, aku masak bamia!”

 Kami  harus berterima  kasih kepada  Operasi Lalang pada 27 Oktober  1987 bagi mengawal suhu politik negara ketika itu. Seramai 106 individu ditahan dan tiga permit akhbar digantung kerana dikaitkan unsur perkauman.

 Keadaan politik yang tidak menentu memberi peluang kami berguru dengan Samad mengenai kewartawanan selama setahun. Beberapa  muridnya ketika itu kini bertugas  di Berita Harian dan Harian Metro  termasuk Zulkofli Jamaluddin, V Ashok, Azahar Md Taib, Abdul Wahab Aziz dan penulis. Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad juga berguru dengan Samad sebelum  bertugas di Universiti Malaya.

 Sebagai wartawan, pejuang kemerdekaan, sasterawan dan intelektual Melayu, Samad mempunyai reputasi tersendiri dalam khazanah sejarah negara. Beliau  pemimpin dalam dunia kewartawanan, tapi dia juga pengkritik seni yang sentiasa ‘marah’ kepada karya pasca modenisme.

 Samad pernah menegur penulis kerana menyiarkan cerpen yang disifatkan terlalu gila kerana tiada plot dan tiada watak. Samad bagaimanapun, sedia menerima penjelasan mengenai seni jika beliau sendiri kurang arif mengenai sesuatu genre.

 Hari ini kita mungkin tidak menemui lagi negarawan hebat seperti Samad. Pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Samad antara tokoh yang sering berhubung dengan Sri Perdana. Apabila ditanya, Samad sekadar berkata: “Mahathir sayang wartawan, sayang media, tapi dia tidak mahu laporan yang jejas wawasan negara!”

 Pada 4 September lalu, genap empat tahun Samad meninggalkan kita. Media kehilangan wartawan yang komited sepanjang zaman. Wartawan muda pula kehilangan bapa yang sentiasa mengherdik, sekali gus berlawak dengan wajah selamba.

 Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura dan pernah bertugas di  Utusan Melayu, Berita Malai dan menjawat  Pengarang pertama Berita Harian pada  1959.  Pada 1974 Samad dilantik  Pengarang Urusan kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). Beliau dilantik  Penasihat Jabatan Pengarang, NST  pada  1984-1988.

 Dalam bidang sastera pula, Samad adalah  antara Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (PENA ) di Kuala Lumpur.

 Beliau juga terbabit aktif dalam  isu  bahasa Melayu pada  Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebagai insan  kritis, Samad sentiasa memberikan pandangan bernas dalam isu Melayu dan perjuangan.
Ungkapannya dipetik The Singapore Standard pada 6 Mei 1953: “Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.”

 Kini Samad sebahagian daripada warisan kenangan dunia kewartawanan. Era mesin taip, kopi pekat dan merokok di bilik berita sudah berlalu. Namun semangat Samad untuk wartawan muda sentiasa dikenang.
Kita harus berbangga kerana hingga kini beberapa karyanya tersimpan di perpustakaan peribadi. Kail Panjang Sejengkal (1963), Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967),  Menduga Lautan Dalam dan  Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993)  adalah rakaman perkenalan peribadi kami. - Berita Harian, 7 September 2012
 

No comments: