Pages

Tuesday, February 15, 2011

Mohamed Bouazizi ikon generasi X,Y,Z

GENERASI muda  menggerakkan jalur politik
 di Mesir seperti yang berlaku di Tunisia sebelumnya.
Diktator pasti tunduk  kepada kuasa rakyat.
SEBELUM Disember lalu, Mohamed Bouazizi hanya anak jalanan yang tidak dipedulikan. Dia mempunyai cita-cita besar untuk mencapai kejayaan, juga mahu melihat demokrasi tercapai di bumi Arab, khususnya di Tunisia. Tapi suaranya tidak dipedulikan kerana dia bukan kalangan feudal atau kerabat diktator Arab. Anak muda hanya dipadang sesama mereka kerana kemudaannya. Dia hanya mempunyai kenalan internet, bukan penguasa di istana agam.

Bagaimanapun, aksi bunuh diri pertengahan Disember bagai halilintar menyambar bangsa Arab yang kaya dengan tradisi keagamaan tapi jahil dalam proses keamanan, kemanusiaan dan hak asasi. Sekali gus meletakkan nama anak muda yang tidak dipedulikan sebelumnya sebagai ikon demokrasi. Rakyat yang selama ini terperangkap antara sistem monarki pro-Barat dan diktator sosialis tentera, bangkit memberontak. Mereka bukan saja memaksa Zine al-Abidine Ben Ali meninggalkan Tunisia, juga meresahkan pemimpin lain di Asia Barat dan Utara Afrika. Mesir, Libya, Jordan dan Yemen sudah timbul penentangan terbuka. Hanya masa yang bakal menentukan sejarah baru bakal tercatat di Asia Barat dan seluruh dunia ketiga.

Wartawan BBC, Jon Leyne menyatakan kebanyakan rakyat tidak melihat mereka boleh mengubah kehidupan mereka melalui aksi politik. Pilihan raya sekadar tayangan demokrasi yang tidak memberi makna apa-apa. Golongan yang berkuasa rakus mencipta kroni dan pelbagai akta untuk mengekalkan kekuasaan. Generasi muda akhirnya mengambil keputusan di jalan raya -- berdemonstrasi, sesekali menjerit dan 'berperang' dengan pasukan keamanan.

Di mana-mana pun di seluruh dunia, hanya anak muda yang sanggup berdepan secara fizikal. Golongan lama, sama ada terperangkap dengan zon selesa atau surut dengan nostalgia, tidak sanggup berbuat apa-apa. Mereka lazimnya konservatif dan penurut kelaziman yang sudah ada kerana mempertahankan sesuatu yang sudah dimiliki.

Sejarah sering mencatatkan nama anak muda sebagai penggerak zaman. Hanya anak muda yang berani berdepan risiko kerana mereka tidak mempunyai apa-apa selain idealisme perjuangan. Hanya anak muda yang menggerakkan sejarah. Hanya anak muda seperti Mao Tse Tong, Aung San Suu Kyi, Cory Aquino, Szeto Wah dan ramai lagi yang berani berdepan dengan penguasa, walaupun risikonya terlalu tinggi. Ada yang sudah berjaya mencipta sejarah, ada juga yang tinggal dalam keranda kenangan.

Hari ini, generasi X, Y, Z dikaitkan sebagai penentu kuasa politik sesebuah negara pada masa depan. Mereka mempunyai pandangan yang amat berbeza dengan generasi lampau kerana lahir ketika era Perang Dingin, ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan.

Don Tapscott dalam bukunya 'Grown Up Digital' meneliti latar belakang generasi X,Y, Z yang mempunyai asas latar yang tersendiri. Generasi X lahir antara 1965 hingga 1976, Generasi Y lahir antara 1977 hingga 1997, manakala Generasi Z lahir selepas 1998. Mereka mempunyai citra tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

Bagaimanapun, mereka disatukan dengan suatu ledakan iaitu teknologi maklumat. Merekalah yang banyak mempunyai jaringan internet, kenalan facebook dan twitter. Mereka jugalah yang kerap membawa laptop dan bertukar pandangan dengan pelbagai pihak tanpa batasan. Mereka menguasai maya dan merayakan kebebasan media baru.

Mereka juga terdedah dengan pelbagai ideologi, tayangan filem, khidmat pesanan ringkas dan menghabiskan masa di kafe siber, kopitiam, berani menyanggah pandangan yang dianggap tidak sesuai. Mereka dianggap generasi internet, manakala generasi sebelumnya iaitu Generasi Baby-Boomer dan Pre Baby-Boomer yang dikaitkan dengan media lama seperti percetakan dan penyiaran.

Di negara kita, suara anak muda agak ketara pada dekad 70-an. Gerakan pelajar dan Angkatan Belia Islam (ABIM) dianggap ikon generasi baru yang dahagakan agama, sekali gus perubahan pemikiran dan pelaksanaan. Revolusi Iran dan kebangkitan Mullah dianggap alternatif kepada fahaman sekular.

Generasi X dan Y pula begitu ketara bertindak pada 1998 dan memberi kesan pada pilihan raya umum 1999 dan 2008. Merekalah yang menentukan keputusan di peti undi tanpa dipengaruhi media propaganda yang sering menjadi kelaziman di negara membangun. Mereka bersuara mengikut keyakinan dan sering meragui laporan media tradisional yang dikaitkan sebagai ejen propaganda.

Sehingga akhir Disember 2010, dianggarkan 70 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 40 tahun. Mereka dikaitkan dengan pelbagai latar pendidikan dan pengalaman yang akhirnya bakal menentukan hala tuju politik pada masa depan.

Sesebuah parti politik yang tidak menilai hasrat dan kemahuan generasi muda bakal mengundang padah. Aspirasi muda sering dianggap majoriti senyap yang bertindak di luar pemikiran arus perdana. Amat malang sekali jika pemimpin politik mengabaikan pandangan generasi X dan Y kerana mereka nanti yang bakal menentukan keputusan sebenar pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Bayangan Mohamed Bouazizi tentunya bakal mengubah persepsi anak muda kita! - Berita Harian, 15 Februari 2011

No comments: