Pages

Thursday, December 03, 2009

Tradisi membaca alam ke era media baru



TRADISI membaca seunggul tamadun manusia. Sejak Adam dan Hawa dicampak ke dunia, manusia sudah membaca keadaan cuaca, rentak bayu, arus sungai di muara dan gerak ombak di lautan. Nenek moyang kita juga pernah membaca arah angin, putaran gelombang serta pergerakan bulan dan matahari bagi menentukan waktu solat, sahur dan masa untuk bersawah.
Nelayan mahir membaca pergerakan awan di langit dan tahu masa sesuai untuk kembali ke pantai sebelum tengkujuh membadai. Penoreh dan pekebun pandai membaca alam dan tahu tanah mana yang ada humas untuk menyuburkan tanaman.

Tradisi membaca sudah lama wujud, lebih awal daripada proses pembacaan buku dan batu bersurat yang ditemui penjelajah lampau. Hanya beberapa abad kemudian, manusia merasakan perlunya huruf dan angka sebagai sistem isyarat komunikasi, maka segala tulisan dibukukan untuk pembacaan umum. Kini pula sudah ada jalinan internet yang menyediakan media bentuk baru, sekali gus mencabar proses pembacaan secara tradisional.

Tradisi membaca sepatutnya seiring perkembangan zaman. Bagaimanapun apa yang berlaku amat menyedihkan. Hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati 54.3 peratus rakyat negara ini membaca purata kurang tujuh halaman sehari. Lebih memeranjatkan, daripada jumlah 54.3 peratus itu pula, 12 peratus membaca purata kurang dua halaman sehari atau 50 halaman sebulan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula hanya menerbitkan 16,044 judul buku sepanjang tahun lalu, dilihat antara punca kegagalan memupuk minat membaca di kalangan rakyat negara ini yang mencecah 27 juta orang. Penerbit swasta pula lebih mementingkan komersial dan menerbitkan buku popular yang boleh diketepikan nilai keilmuwannya.

Jika keadaan ini berterusan, harapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 amat sukar dicapai. Bangsa yang berjaya sentiasa menggali tradisi keilmuwan dan buku adalah wahana utamanya. Bangsa yang kurang membaca akan sentiasa jumud dan bernostalgia dengan zaman gelap. Sepatutnya kita sudah menerbitkan 27,000 buku setahun setanding nisbah penduduk negara.

Kajian juga menunjukkan bangsa Melayu golongan majoriti yang kurang mendekati buku. Kenapa?

Apakah malas membaca kerana faktor genetik atau suasana?

Sehingga kini belum ada bukti jelas walaupun Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu 'sehingga ke negeri China'.

Malahan, ayat al-Quran yang pertama kali turun kepada Nabi Muhammad Saw: Iqrak, bacalah! Seorang hamba Allah yang buta huruf diarah membaca. Bacalah, kata Jibril. Ada ulama yang menafsirkan arahan membaca bukan sekadar mengenal huruf, tetapi mendalami kehidupan sepenuhnya.

Ayat Iqrak bukan sekadar arahan mendekati buku, tetapi isyarat mendalami pelbagai sumber keilmuwan dan realiti kehidupan di dunia dan akhirat.

Malangnya, tradisi yang dibawa pada zaman keagungan Islam dipencilkan oleh sebahagian umat Muhammad.

Pengarang tersohor Perancis, Louis L’Amour menghuraikan proses pembacaan sebagai usaha menawan dunia. "Dunia amat kecil di sebalik helaian buku," katanya. Buku membudayakan pola berfikir sejagat. Buku juga ada pedih lara peperangan atau bangkit jaya sesebuah bangsa yang terjajah.

Ulama tersohor Indonesia, Prof Dr Hamka merumuskan pembacaan sebagai mendekati keagungan sejarah. Dalam bukunya Tasauf Moden, Hamka mendekati proses penulisan lampau sebagai iktibar masa kini. Karya Avessina (Ibnu Sina), adalah contoh cendekiawan Muslim yang berjaya sebagai pakar perubatan mendahului zaman. Bukunya al Qanuun fi al-Thibb jadi rujukan pelajar perubatan Barat sehingga kini. Kita sepatutnya kagum mendekati karya Imam al-Ghazali terutama magnum opus Ihya’ Ulumiddin yang jadi rujukan sejagat sejak tujuh abad lalu.

Kita juga sepatunya mendekati karya Al-Khawarizmi, Omar Khayyam, Nashir Al-Din Thusi , Ibnu Al-Haytsam, Al-Biruni dan Ar-Razi yang mendahului zaman dalam pelbagai bidang.

Sebelum dunia menemui cahaya sepenuhnya, karya Thomas Alfa Edison dianggap penawar untuk menghurai kuasa elektrik yang kini tenaga penting dalam kehidupan. Sumbangan Jamess Watt dalam teknologi kereta api laju menyebabkan sempadan dunia sudah menjadi daerah yang kecil. Kita berada di kampung sejagat.

Malangnya tradisi membaca seakan bukan milik kita lagi. Di mana-mana saja kita kurang menemui warga Malaysia membelek buku.

Berbanding bangsa Eropah dan Jepun yang sering menjadikan buku sebagai teman seperjalanan, kita seakan lebih berbangga memiliki pakaian berjenama, kenderaan mewah dan berlibur di pusat peranginan berstatus lima bintang.

Jika anak malas membaca, salahkan diri sendiri kerana hanya mendekati buku di dewan kuliah semata-mata untuk meraih diploma dan ijazah, akhirnya menjadi manusia yang hidup di dalam kepompong bikinan sendiri.

Hari ini, selepas 52 tahun merdeka, kita sepatutnya rasa malu apabila media kerap mengingatkan 'bangsa membaca bangsa berjaya'

Kempen membaca tidak perlu sekiranya kita sendiri mempunyai iltizam untuk menjadi bangsa yang cerdik. Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz juga sepatutnya tidak perlu menasihati pelajarnya supaya membaca, jika buku sudah menjadi sahabat kita semua. - Berita Harian, 3 Disember 2009

4 comments:

MARSLI N.O said...

Saya datang membaca.

Mohd Faizal said...

Saya suka blog tuan. Artikelnya sangat menarik dan enak dibaca. Adakah tuan Imlan Adabi adalah orang yang sama menulis di dalam akhbar Berita Harian. Kalau betul, tahniah dan terima kasih. Artikel tuan bermutu tinggi

imlan adabi said...

Sdr Marsli, kita harus terus membaca. Saya tahu anda pembaca yang tegar.
Sdr Faizal, imlan kerja di Berita Harian. Sekadar pekerja bawahan. Tulisan di blog lebih bebas, yang tersiar di Berita Harian sering sudah dipotong kerana nawaitu tertentu/

bahazain said...

Assalamualaikum Sdr Imlan,
Paparan sprt. ini perlu terbit dari waktu ke waktu. Masalah pembacaan, penerbitan, penulisan dan kebudayaan saling kait berkait dengan isu tamadun yang lebih besar ; dan hanya boleh diselesaikan melalui kekuasaan pemerintahan. Saya juga akan menyebut hal ini pada Mesyuarat Agung Pena ( 19 Dis. 09)nanti. Harap sdr juga datang dan turut bercakap isu penting bangsa dan umat kita. Seperkara lagi sdr sebut tentang DBP, saya kira ada kesilapan angka di situ kerana tak mungkin DBP terbitkan 16 ribu lebih pada satu tahun. Kalau sepanjang kewujudannya mungkin.
Salam hormat dari saya BZ