Pages

Thursday, October 06, 2011

PAS, padi, pondok dan kuasa

 SEHINGGA akhir  dekad 1950-an,   Parti Islam Semalaysia (PAS) dianggap  pertubuhan 3P, iaitu PAS, pondok dan padi.  PAS  hidup dan berkembang kerana tradisi pondok yang meluas di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, di samping Kedah. Institusi pendidikan agama  berjaya membentuk PAS sebagai pertubuhan siasah Melayu menjadi alternatif kepada UMNO di kawasan luar bandar, terutama di kawasan penanaman padi.

Ketika kerajaan rancak memperkenalkan projek pembangunan lima tahun selepas krisis 13 Mei 1969,  Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ditubuh di  Kedah  bertujuan mempertingkatkan sistem pengairan di kawasan penanaman padi. Kemajuan pesat projek ini merancakkan proses penghijrahan pekerja sawah dari Kelantan ke Kedah, sekali gus merangsangkan aliran pemikiran PAS di Utara Semenanjung.
Ketika PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973, Presidennya, Tan Sri Asri Muda dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah.  Ketika itu banyak pembukaan kawasan tanah rancangan bagi memberi peluang Melayu menjadi peneroka FELDA dan FELCRA di bawah seliaan kerajaan Pusat. Asri menggunakan kesempatan  ini untuk memilih ahli PAS di Kelantan menjadi peneroka menyebabkan pengaruh parti itu berkembang di tanah rancangan di seluruh negara sehingga kini.

Hari  ini PAS bukan lagi sinonim dengan pondok dan padi kerana kepesatan ekonomi dan pola berfikir mengubah citra siasah tempatan. PAS bukan lagi seperti 60 tahun lalu kerana ia terpaksa bergerak sesuai perkembangan siasah semasa.  Ramai ahli PAS bukan lagi berketayap, berjubah dan berjanggut kerana ramai juga profesional yang memilih parti itu.

 Kejayaan cemerlang  pada  Pilihan Raya Umum Ke-12  pada 8 Mac  2008,   meletakkan PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai kuasa tawar menawar sama ada pada peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS mempunyai wakil  rakyat  di   Kedah, Perak dan Selangor, selain mengekalkan prestasi di Kelantan (menguasai kerajaan negeri sejak 1990) dan Terengganu.  PAS menguasai 10 peratus   kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang.

Bagaimanapun PAS masih gagal membentuk imej nasional walaupun ahlinya bertebaran di seluruh negara.
Ramai yang beranggapan PAS masih gagal melahirkan pemimpin yang boleh diterima semua pihak walaupun diakui parti itu mempunyai pemidato yang hebat dan mahir berjenaka di pentas ceramah.
Kelemahan ini dikaitkan dengan kegagalan parti  membentuk kerangka politik yang lebih besar.

Ketika  menyambut ulang tahun penubuhan  ke-60 di Kepala Batas pada 1 Oktober lalu, retorik PAS dengan harapan menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 masih bergema. Pada masa sama, kemelut hudud dan pembentukan negara Islam masih cerita lama yang diulang tayang.
Kita akur kehadiran tokoh seperti  Datuk  Tuan Ibrahim Tuan Man,  Salahuddin Ayub,  Dr Mohd Hatta  Ramli,  Datuk  Kamaruddin Jaffar dan  Datuk  Husam Musa memberi imej ulama dan profesional kepada PAS, tetapi   kehadiran beberapa individu lain boleh menjejaskan imej parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu sendiri.

PAS belum mampu melahirkan ikon  yang boleh diterima semua pihak, termasuk bukan Islam. Kegagalan ini   suatu cabaran kepada  Pakatan Rakyat dalam usaha memberi saingan sengit kepada BN.
Jika mahu terus   kekal relevan, PAS perlu berusaha melahirkan  tokoh untuk semua bangsa seperti pernah dirintis  Burhanuddin al-Helmy dan Asri.

Jika PAS masih terperangkap dengan agenda kecil seperti apa yang berlaku di Kelantan, parti itu bakal tidak relevan pada masa depan.

Bagi sebahagian besar Melayu yang berada di luar UMNO dan PAS, kehadiran kedua-dua parti politik Melayu mempunyai natijah besar dalam pola siasah tanah air. Kedua-duanya saling melengkapi walaupun pada masa sama kelihatan sukar untuk mengadakan gencatan senjata. Imej Melayu dan Islam di pihak pembangkang,  serta perjuangan Melayu yang dominasi UMNO  memberi pilihan terbaik kepada golongan atas pagar. PAS atau UMNO perlu pastikan mereka menjadi pilihan terbanyak  di peti undi  tanpa memperjudikan perjuangan kepartian masing-masing. PAS kini bukan lagi  pondok dan padi! - Berita Harian, 6 Oktober 2011

    




No comments: