Pages

Wednesday, November 23, 2011

Rumah usang itu menceritakan segala-galanya

RUMAH kayu yang dibina pada akhir dekad 50-an masih teguh berdiri, walaupun tiang dan lantai kerap bertukar  dimamah waktu dan gigitan anai-anai.

Terletak di pinggir jalan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, rumah kayu yang ruang tamunya mampu memuatkan 60 orang bersila di lantai pernah mencatat sejarah kelahiran UMNO Cawangan Batu Lapan di kawasan Parlimen Nilam Puri  yang dikuasai PAS sejak puluhan tahun.

Nama Tan Sri Asri Muda sebagai Ahli Parlimen Nilam Puri,  Presiden PAS, Menteri Besar Kelantan dan Ketua Pembangkang di Parlimen cukup menggerunkan sesiapa saja untuk menubuhkan cawangan UMNO, apatah lagi berdepan risiko kafir mengkafir. Sesiapa saja yang bercita-cita menubuhkan cawangan UMNO di kubu kuat PAS pasti dianggap menerima bala. Ada majlis kenduri ahli UMNO tidak dihadiri pihak lawan. Ada juga kes kematian diboikot ketika pengebumian jenazah.

Pada dekad 60-an, ramai yang percaya PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS. UMNO  musuh PAS, sekali gus didakwa musuh Islam.

Ketika atuk bersara sebagai sarjan polis dengan nombor anggota 932 menjelang Januari 1969, tidak ramai yang setuju hasrat menubuhkan cawangan UMNO kerana dirasakan usaha itu sia-sia.

Bagaimanapun rumah kayu yang   ruang tamunya mempunyai dua meja panjang dan 16 kerusi  menjadi saksi bersejarah.  Di situlah penduduk kampung bermesyuarat. Di situ juga tempat membincangkan kempen  pilihan raya atau persiapan ke Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun.

 Rumah kayu itu pernah menjadi saksi kehadiran tokoh negara menjelang Pilihan Raya Umum 11 Mei  1969. Ruang tamu itu juga menyambut  kedatangan Tan Sri Khir Johari, Tun Sardon Jubir, Tan Sri Ghazali Jawi dan Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail  untuk berceramah dan mengajak penduduk Nilam Puri melihat masa depan lebih cerah.

Keputusan pilihan raya tentunya tidak memihak kepada UMNO dan Perikatan kalah teruk di Kelantan kerana pelbagai faktor tempatan ketika itu. Namun bagi ahli kecil  UMNO, perjuangan parti perlu diteruskan.
Ketika PAS menyertai Barisan Nasional pada 1973, rumah kayu itu juga menyaksikan kehadiran ramai ahli PAS untuk bertukar fikiran bersama ahli UMNO tempatan. Asri dan Presiden Berjasa, Datuk Wan Hashim Wan Ahmad juga pernah singgah pada tarikh berlainan.

Bagi ahli kecil, peluang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur  bagaikan menyambut lebaran. Ramai yang seronok  kerana setiap tahun akan dapat melihat wajah tokoh negara seperti Tun Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman  dan Tan Sri Ghazali Shafie. Ramai yang juga yang teruja untuk menemui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam yang dianggap tokoh muda UMNO ketika itu.
Bagi ahli biasa, naik bas selama 12 jam dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur menerusi hutan dan pantai di Pahang dan Terengganu cukup menyeronokkan. Ketika itu belum ada  laluan Kota Bharu ke Gua Musang yang kerap diserang hendap pengganas komunis.
Justeru, apabila tiba di Kuala Lumpur dan ditempatkan di hotel tiada bintang di Jalan Chow Kit tentunya melelahkan. Bukan saja bilik hotelnya kecil dan tandas di luar kamar, tetapi bilangan penghuninya 10 orang di ruang yang sempit.
Pada dekad 60-an dan 70-an, tempat persidangan UMNO bukan di dewan gah seperti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).  Ibu pejabat UMNO di Medan Tuanku   agak kecil dan tercorot.  UMNO hanya bersidang di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan segala kesederhanaan, ahli UMNO dari kampung  tetap bersemangat menghadiri persidangan. Bagi pemerhati pula, peluang ke Kuala Lumpur dianggap durian runtuh kerana dapat melihat pemimpin  berucap atau kalau lebih bernasib baik, dapat bergambar. Lazimnya pada malam akhir persidangan, perwakilan dan pemerhati diundang menghadiri majlis makan malam  sama ada anjuran presiden parti mahupun  ketua perhubungan UMNO di kediaman mereka.
Ketika itu isu korporat, politik wang, suaka siasah mahupun perebutan jadi  calon belum ketara. Bagi ahli  kecil dari desa, memadai UMNO kuat, maka Melayu juga kuat.

Namun hari ini, selepas 11 Mei 1946 berlalu begitu jauh,  alur dan arus UMNO  juga semakin kencang. UMNO kini berada di tengah laluan globalisasi yang menuntut ahlinya bersikap matang dan lebih terbuka. Bagaimanapun UMNO jangan sampai melupakan naluri desa yang pernah membantunya menjadi parti yang cemerlang sejak 1946.

Hari  ini amat sedikit perwakilan UMNO yang naik bas ke Kuala Lumpur, semata-mata untuk menghadiri persidangan. Mereka naik pesawat atau memandu kereta mewah ke PWTC. Mereka tidak lagi tidur di hotel tanpa bintang di Jalan Chow Kit. Mereka menginap di kamar mewah.

Sesekali ketika pulang ke  Kelantan, rumah pusaka yang pernah menjadi tempat berkumpulnya ahli UMNO sejak 1969 terasa menghidupkan zaman lampau. Sayangnya masa sudah berubah dan atuk sudah lama dipusarakan di Madinah.  Hanya lambang UMNO termasuk sebuah jam lambang parti yang masih ada di ruang tamu. Di sisinya dua meja panjang dan 16 kerusi tempat bermesyuarat dulu kekal bisu. Apakah segala-galanya sudah berubah? - Berita Harian, 23 November 2011

No comments: