Pages

Monday, December 19, 2011

Susahnya MPKj layan aduan rakyat

BAYANGKAN hujan lebat selama dua jam dengan kadar purata 80mm yang menyebabkan banjir sedalam 1.5 meter di  Kajang pada 2 Disember lalu berulang. Bagaimana nasib penduduknya?

Bayangkan juga hujan lebat berlaku serentak  di tempat lain dengan kadar penurunan  luar biasa. Mungkin bagi pihak berkuasa  tempatan (PBT)  senang bercakap ‘kami bersedia menghadapi bencana pada bila-bila masa.’ Klise! Bayangkan apa akan jadi jika aliran sungai tersekat, kawasan lurah dipenuhi sampah dan longkang tersumbat. Ke mana arah aliran air?

Apa yang berlaku di Kajang pada petang Jumaat itu mendedahkan banyak teladan. Fenomena alam bukan kawalan manusia, tetapi pengurusan alam menjadi tanggungjawab semua.
Kita sebagai pengguna perlu mesra alam. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu bertindak pantas setiap aduan penduduk.

Bagaimanapun penulis ada pengalaman yang cukup aneh apabila membuat aduan ke pejabat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Pada 10 Ogos lalu penulis mengadu sebuah syarikat  menambak tanah di pinggir lebuh raya Balakong -  Seri Kembangan  tidak jauh dari simpang masuk ke Taman Cheras Jaya.  Syarikat tersebut menimbus kawasan lembah untuk dijadikan premis jualan. Longkang tersumbat. Kayu dan batu memenuhi kawasan aliran air. Bayangkan jika hujan lebat, kawasan perumahan dan kilang akan ditenggelami.

Aduan diberi nombor rujukan 0361/08/11-(1) dan MPKj mengirim surat  pada 27 Oktober  mengucapkan terima kasih dengan ungkapan ‘Selesa, Selamat, Maju & Aktif’.

MPKj memaklumkan; “hasil siasatan yang dijalankan pihak Majlis didapati kontraktor kawasan telah diminta menjalankan kerja pembersihan pada 18/8/11”.

Bagaimanapun selepas tiga bulan keadaan tidak banyak berubah. Kawasan tambakan tidak diruntuhkan dan longkang kekal tersumbat. Bayangkan jika kadar hujan yang berlaku di bandar Kajang 2 Disember lalu berulang di Balakong!

Moral ceritanya ialah rakyat ada tempat mengadu tapi  tidak dipeduli,  walaupun kerajaan sudah menyediakan agensi yang sepatutnya mengambil tindakan untuk menjaga persekitaran.

Kita tidak tahu ke mana pergi wang rakyat yang membayar  cukai taksiran setiap enam bulan. Keadaan yang dipaparkan di sini bukan berlaku di Kajang saja, malah di merata tempat, Masalah longkang tersumbat  seiring dengan aduan penduduk mengenai sampah  jarang  dipungut  atau banyak kereta buruk tersadai di kawasan kediaman tanpa sebarang tindakan. Ia berlaku di merata tempat.

Bagaimanapun disebabkan Kajang mengalami banjir kilat yang luar biasa, isu MPKj menjadi tumpuan   menyebabkan Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia, Hanapi Mohamad Noor,  bersuara mengenai pengurusan alam di Kajang.
Beliau kesal  penangguhan   projek fasa pertama tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang didapati antara punca berlaku banjir kilat di bandar itu.
Katanya,  projek tebatan banjir itu tertangguh ekoran kegagalan  MPKj memindahkan 21 premis kedai yang beroperasi di tebing sungai itu.
"Setahun lalu kita memulakan  kerja membina tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang namun projek itu terpaksa dihentikan separuh jalan kerana terdapat 21 kedai sementara beroperasi di kawasan kira-kira 200 meter dari tapak projek di tebing sungai itu.

"Pihak MPKj  dimaklumkan untuk memindahkan  kedai terbabit.  Namun sehingga kini tiada tindakan diambil untuk memindahkan kedai yang berstatus sementara itu," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran persidangan antarabangsa mengenai pengurusan sungai di Pulau Pinang, 6 Disember lalu.

  Aliran air tersumbat  ketika  kedudukan jambatan yang menjadi penghubung Sungai Jelok hanya setinggi  dua meter daripada  paras air, membahayakan penduduk. Air  melimpah merosakkan  jambatan.
Sebagai daerah yang pesat membangun, pentadbir Kajang perlu  prihatin pelbagai kemudahan asas selaras perkembangan penduduk  yang kini dianggarkan 300,000 berbanding  189,400   pada  2001.

Isu bencana sering dianggap petaka yang menakutkan. Kita perlu belajar pengalaman Jepun dan Korea Selatan mengurus fenomena alam untuk mengatasinya. Bencana bukan rungutan, tapi pendorong untuk kita lebih melestarikan alam!  - Berita Harian, 20 Disember 2011

No comments: