Pages

Sunday, October 13, 2013

Selamat bertugas Mas Ermieyati Samsudin

Pemilihan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri UMNO  bagi penggal 2013 hingga 2016 tepat pada waktunya ketika sayap berkenaan memerlukan pimpinan dinamik bagi menguatkan jentera parti.


Mas Ermieyati yang juga  Ahli Parlimen Masjid Tanah,  Ketua Puteri Melaka serta Pengarah Jawatankuasa Unit Khas Pilihan Raya Puteri mendapat sokongan besar menewaskan  Jamilah Hanim Othman.

Keputusan yang dibuat oleh 191 bahagian  di seluruh negara semalam membuktikan proses peremajaan dalam Puteri UMNO berjalan lancar dan mereka memilih individu terbaik bagi membantu menjayakan transformasi politik dalam parti.

Mas Ermieyati yang berpengalaman dalam bidang perundangan dan pentadbiran  mampu mengisi kekosongan  ditinggalkan  Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang terpaksa    melepaskan jawatan  atas faktor melepasi had umur.

Beliau aktif menggunakan media baru untuk menyalurkan kegiatan politiknya, sekali gus dilihat oleh generasi muda sebagai rakan sosial yang berwibawa.

  Zahida Zarik Khan  terpilih menjawat naib ketua selepas menewaskan dua pesaingnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin  Norsabrina Mohd Noor dan Ketua Puteri Tawau,  Nazliah Ali.

Zahida yang juga  Ketua Puteri Pandan dan Pengerusi Biro Kesihatan Puteri menjadi gandingan kepada Mas Ermieyati bagi memacu kecemerlangan Puteri UMNO khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mereka terkenal dengan kegiatan kemasyarakatan serta turun padang bagi mendekati akar umbi parti.  Gabungan kedua-dua tokoh muda berkenaan dianggap pasangan mantap yang  mampu membawa perubahan dalam Puteri UMNO yang sebelum ini pernah didakwa sebagai  penyeri dalam parti semata-mata.

Mereka terkenal vokal dalam isu nasional terutama membabitkan kepentingan wanita. Ramai pemerhati meyakini suara Puteri UMNO akan lebih kedengaran selepas ini bagi membantu kekuatan bangsa dan agama dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Kepemimpinan Mas Ermieyati  juga boleh menjadi penggerak kepada 20 Exco yang terpilih dengan  pelbagai latar belakang kerjaya.

Ramai yang meyakini mereka bakal menjadi  penggerak wanita muda untuk mengembalikan semula kecemerlangan UMNO bagi menghadapi cabaran menjelang 2020.

Pemilihan mereka membuktikan sayap UMNO semakin mantap apabila tokoh muda berpendidikan dan berpengalaman dalam pelbagai sektor dipilih menggerakkan Puteri UMNO bagi tempoh tiga tahun.  

Sejak  ditubuhkan  pada 3 Ogos 2001 ketika era kepemimpinan Tun  Dr Mahathir Mohamad, Puteri UMNO dianggap sayap khas untuk generasi muda wanita yang berperanan mendapat sokongan pengundi baru.

 Dalam beberapa pilihan raya umum dan kecil, Puteri UMNO bukan sekadar dianggap penyeri aktiviti politik, malah berperanan meraih undi di kawasan penempatan Melayu.
 Ketua Puteri UMNO yang pertama ialah Datuk Seri Azali  na Othman Said, diikuti  Datuk Noraini Ahmad (2004).

Kita yakin  barisan kepemimpinan baru Puteri dianggap gabungan mantap untuk menguatkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mereka juga sudah membuktikan sudah bersedia mengisi kepemimpinan Wanita suatu hari nanti sesuai dengan proses peralihan kuasa mengikut prinsip  demokrasi yang menjadi amalan UMNO sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Peralihan kuasa yang berjalan lancar dalam Puteri UMNO membuktikan parti berkenaan tidak pupus dengan kepemimpinan baru. Walaupun penyandang ketua dan naib ketua sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan kerana faktor usia, kehadiran muka baru menjawat jawatan penting itu membuktikan UMNO sentiasa bersedia menyediakan tokoh masa depan, terutama dalam kalangan wanita.

Jika pembangkang selama ini mendabik dada kerana mempunyai tokoh wanita yang dikenali ramai, Puteri UMNO membuktikan mereka juga masih mampu berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.

Hanya masa dan keadaan yang akan menentukan masa depan Puteri UMNO sebagai sayap penting
parti selepas Wanita dan Pemuda.

Kita yakin Mas Ermieyati sedang memikirkan langkah terbaik kerana politik tidak pernah statik dan Puteri UMNO memerlukan proses penambahbaikan untuk kekal relevan. - Berita Harian, 14 Oktober 2013 

6 comments:

Mat Johan said...

kita hARAP Puteri UMNO kembali kukuh,. menjadi sayap yang boleh terbang

Hartih Iskandar said...

Tak menarik tulisan demo. buat sastera dan budaya je.. jangan layan politik umno. parti yang dah nak mati

Nor Jahara Ayub said...

Kalau UMNO mati, siapa nak perjuang nasib Melayu. saya suka tulisan ni

Kassim Ahmad said...

Mas bukan pemimpin sejati. Dia diangkat dari atas. tulisan imlan ni hanya nak puaskan majikannya saja

ZAM said...

Kesan pemilihan sayap lalu akan mempengaruhi naib presiden. Yang lemah pun boleh menang. ia akan beri kesan untuk UMNO dan BN pafs PRU-14

sang kelembai said...

Saya tak yakin Najib biarkan ahli buat keputusan yang bebas. UMNO dah chedera dan tidak ada chita-chita besar