SERULING
Anak muda itu
terlalu pandai ia menyusun kata-kata
memujuk dengan setangkai bunga
di bawah pohon rendang.
Lalu rebahlah seorang puteri
mengemis dengan bibir basah
minta isikan dahaga
dengan anggur bernama nafsu.
Maka
angin pun meniupkan seruling
dan bulan
mengintai di hujung daun.
Ah, seorang gadis
seorang perempuan
di sini ia bermain dengan ombak
ia bermain dengan api
untuk pada suatu ketika
dia akan menangis
dan tersedu!
ZAHARI HASIB
Teluk Intan
SAYA tidak akan menerima panggilan telefonnya lagi. Dia juga tidak akan menghulur kumpulan puisi atau bertanya kenapa karyanya tidak tersiar. Saya pernah menerima gula-gula darinya, selain seberkas kenangan lampau ketika aktif dalam dunia persajakan tanah air.
Zahari Hasib sebuah nama yang tidak asing lagi. Dia penyair prolifik yang karyanya tersiar di akhbar mingguan hampir setiap minggu sejak awal dekad 70-an. Sajaknya juga termuat setiap bulan di pelbagai majalah -- dari majalah serius seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya hinggalah majalah ringan seperti URTV, Mingguan Wanita, Utusan Filem dan Fesyen, Variapop dan banyak lagi.
Mendapat khabar kematiannya pada 26 Februari lalu cukup mengharukan; kami sempat bersembang panjang menerusi telefon pada malam tahun baru. Dia tidak bercerita mengenai angin ahmar, seperti juga sebelumnya dia berahsia hal-hal peribadi.
Dia kerap telefon ke rumah terutama pada malam minggu dan anak saya amat kenal suaranya. “Boleh bicara dengan Saudara Imlan Adabi...!” Mendengar suara itu anak akan mengenal empunya diri, juga cara ungkapannya, sudah 20 tahun kedengaran di corong telefon rumahku. Dia juga mengenal nama semua anak saya kerana kekerapan panggilannya setiap bulan.
Kesilapan saya ialah tidak menelefonnya walaupun sepatutnya Zahari menghubungi saya pada awal Februari. Kesilapan ini memberi kesan kerana kami pernah berjanji untuk bertemu di desa kelahirannya di Kampung Selboh, Parit, Teluk Intan.
Kami akrab sejak awal dekad 80-an apabila menggerakkan majlis baca puisi di sekitar Lembah Klang. Sekumpulan penulis muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Perkumpulan Penyair Mutakhir bergabung dengan pengelola media tabloid mengadakan acara seni saban minggu di Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa.
Majlis yang awalnya kecil, akhirnya bersejarah apabila Perhimpunan Penulis Muda kali pertama diadakan pada 1987 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Ramai sasterawan muda ketika itu bergabung menjayakan pertemuan sastera yang bersejarah. Zahari Hasib, Abdulaziz HM, Abdullah Tahir, Khalid Salleh, Nawawee Mohamad, Azmi Yusof, Wanrazuhar, Pyanhabib, Zaen Kasturi, Ladin Nuawi, M Hanafiah Samad dan ramai lagi memeriahkan acara seni dengan pelbagai karya yang boleh dipertanggungjawabkan.
Zahari dianggap penyair paling popular sekitar 80-an. Puisinya merakyat, menyentuh isu semasa dengan cara tersendiri. Unsur pancungan pada bait akhir memeriahkan karyanya yang agak prosaik. Zahari tidak peduli kepada teguran pengkritik seni, kerana baginya puisi adalah curahan nurani kehidupan penyairnya.
Bagi Zahari, kerja penulisan adalah milik peribadi kerana setiap penulis berhak untuk bersuara dengan caranya sendiri. Tugas pengkritik pula adalah mengkritik dan menganalisis karya seni.
Pertembungan antara penulis dan pengkritik tanpa disedari menjadi politik sastera yang luar biasa di Malaysia. Bagi kebanyakan penulis, isu sastera sama hebatnya dengan masalah politik tanah air, cuma tidak disedari umum kerana hak kesenian seringnya terselindung untuk segelintir penanggap sastera itu sendiri.
Isu sastera tanah air sering dianggap mempunyai kabilah dan kroni tersendiri. Zahari, seperti juga Suhaimi Haji Muhammad dan Leo AWS bagai dipinggir karya mereka. Keunikan, iltizam dan roh sesebuah karya jarang diperhatikan. Yang muncul dan sering diutamakan adalah sorak-sorai sastera hingga menyebabkan isu sebenar karya tempatan tidak diperkatakan.
Kini Zahari sudah tiada walaupun ratusan sajaknya kekal bersama kita. Tentunya saya terkilan kerana tidak sempat menziarahinya yang meninggal dunia ketika azan Maghrib berkumandang dari Masjid Nurulhuda yang terletak di depan rumahnya.
Lelaki berusia 65 tahun ini tentunya pergi untuk selamanya selepas menderita angin ahmar di rumahnya di Lorong lntan 3, Taman lntan Emas, Jalan Padang Tembak. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan lslam Jalan Sultan Abdullah. Al-Fatihah - Berita Harian, 6 Mac 2012
2 comments:
Sdr Imlan: Politik sastera? Sejak dulu sampai kini masih belum selesai? Tidak guna kita kesalkan dia. Baiknya kita teruskan sahaja jalan dan cara kita. Kukira demikianlah. Bukankah?
MARSLI N.O
Sdr Marsli.... kita melihat banyak perwayangan....
Post a Comment