Pages

Wednesday, April 11, 2012

Media dan tamadun kebebasan



TAMADUN berkembang seiring perkembangan media. Bayangkan Malaysia atau Tanah Melayu tanpa Jawi Peranakan? Bayangkan alam Melayu tanpa Abdullah Munsyi  yang menghasil karya pertama pada   1830 bertajuk Syair Singapura Terbakar. 
 
Bayangkan tradisi intelektual Melayu  tanpa      Kitab Adat Segala Raja-raja Melayu Dalam Segala Negeri (1837),     Dawai-Kulub (1838),    Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1838),    Hikayat Abdullah (1843),    Kisah Pelayaran Abdullah ke Jedah (1854),    Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Kelantan (1838),    Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dari Singapura Sampai ke Mekkah (1858-9),    Syair Singapura Terbakar (1843) dan     Syair Kampung Gelam Terbakar (1847).

Karya Abdullah Munsyi dianggap asas awal ciri-ciri kewartawanan Melayu sebelum lahirnya Jawi Peranakan pada 1876 yang dianggap akhbar pertama di Tanah Melayu. Pelbagai tuduhan sinis dihadapkan kepada Abdullah  -- tali barut penjajah, anti-Melayu, karya dongeng atau apa  lagi. Namun dia sudah membuktikan karyanya berpijak di alam nyata merangkumi ciri-ciri  bila, di mana, bagaimana dan siapa yang terbabit.

Bayangkan dunia kewartawanan ketika itu. Tanpa kemudahan komputer, laptop, internet, ipad dan faksimili, media lahir dalam kehidupan masyarakat yang akhirnya mencetuskan semangat kebangsaan untuk anak bangsa sendiri.

Jawi Peranakan lahir di tengah pergolakan  yang tidak sunyi daripada permasalahan bangsa dan harga diri warga tempatan. Perasaan, pemikiran dan naluri massa menyemai ke arah kebangkitan perjuangan yang merakyat. 

Ketika  Perang Dunia Kedua, sebanyak  157  akhbar  bahasa Melayu dalam tulisan jawi diterbitkan. Selepas Perang Dunia kedua,   ia meningkat  melebihi 321  akhbar sehingga 1968.
Media pada separuh abad lampau hampir tidak sinonim dengan iklan. Media merakyat, menyalurkan pandangan dan aktiviti desa. Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menerusi novel Hujan Pagi banyak mencatat perkembangan yang berlaku pada zaman penjajahan dan pasca merdeka. Wartawan ditindas, dibawa ke rumah pasung dan ditahan oleh penjajah jika  dianggap merosakkan pemikiran  massa. Pada era pasca merdeka, media tidak terkecuali menerima nasib yang sama  dilakukan oleh penjajah minda  di kalangan anak bangsa sendiri.

Peristiwa mogok di kalangan  wartawan Utusan Melayu pada 1961 mendedahkan realiti baru. Media bukan lagi berperanan sebagai juara rakyat tetapi menjadi suara propaganda gerakan siasah.  Wartawan dicengkam dengan pelbagai akta dan sabitan. Media akhirnya tunduk kepada kepentingan kuasa dan terkini kepada pemilik saham.

Kejadian   pada 27 Oktober 1987 hampir membuktikan hakikat ini.   Operasi Lalang dan penggantungan permit penerbitan akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh mengesahkan  kuasa siasah boleh melakukan apa saja. Seramai  106  ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan aktiviti sosial dikawal rapi.
  
Hari ini peranan media turut berubah seiring perkembangan teknologi maklumat. Penyebaran berita bukan lagi hak eksklusif mana-mana pihak. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui realiti baru yang penuh persaingan. "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu," cetusnya ketika berucap pada majlis Malam Kewartawanan Malaysia dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2011 di Kuala Lumpur  pada 30 Mac lalu.

Najib mengakui  Pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dibentangkan di Parlimen pada sesi   sedang berlangsung bersama  undang-undang yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

 Selain   memansuhkan keperluan pembaharuan lesen secara tahunan, kerajaan juga  mengkaji secara komprehensif terhadap keperluan kewujudan akta sedia ada dengan mengambil kira kemajuan sektor teknologi komunikasi maklumat (ICT).

"Kerajaan tidak boleh dilihat sebagai mempunyai 'double standard' (memberi layanan berbeza) dalam peraturannya terhadap media cetak dan media digital," katanya.

Najib berkata langkah-langkah yang kerajaan laksanakan barang kali digemari pihak 
antarabangsa sehingga menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia pada 2011 bertambah baik berbanding tahun sebelumnya. Di kalangan 178 negara yang dipantau organisasi Wartawan Tanpa Sempadan, Malaysia kini berada pada tangga 122 berbanding 141 pada 2010, naik 19 anak tangga.

"Di   Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar," tegasnya.  

Kerajaan turut menyambut baik usaha  peneraju pengarang media cetak untuk menubuhkan   Majlis Akhbar Malaysia yang bertindak sebagai badan pengawas untuk mengukuhkan tahap profesionalisme industri berita di negara ini.

Najib berkata, di bawah persepakatan itu,  editor bersetuju untuk menyediakan satu kod etika yang memperincikan  prinsip kewartawanan untuk dijadikan  panduan dalam  tugas pengumpulan dan penerbitan maklumat bagi dijadikan hasil kewartawanan.

"Saya menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa khas yang  dibentuk oleh  pengarang  untuk menghasilkan kod etika yang boleh digunakan dan dilaksanakan sepenuhnya.
"Kerajaan tidak akan campur tangan dan terpulanglah kepada industri untuk mengawal selia diri mereka berkaitan  profesionalisme kewartawanan. Kerajaan akan menerima apa juga cadangan yang dikemukakan dengan hati dan fikiran yang terbuka," katanya.

Bagi pengamal media, kenyataan Najib amat disokong kerana realiti semasa memerlukan perubahan total. Era media  tradisional  menguasai massa sudah berlalu. Maklumat sudah menjadi hak sejagat. Kebebasan minda adalah hak asasi yang tidak boleh dinafikan.
Ketika media cetak semakin diasak dan mengendur edarannya, masyarakat masih memberi harapan untuk membaca akhbar dan majalah yang lebih adil dan telus pemberitaannya. Zaman propaganda era wayang pacak Jabatan Penerangan pada dekad 60-an sudah berlalu. Media tradisional perlu sedar kenyataan baru jika mahu terus bernafas.

Nama Kajai, A Samad Ismail. Said Zahari dan  Mazlan Nordin sesekali menngingatkan kita kepada perjuangan dan etika yang diperjuangkan. Wartawan perlu kekal bersama rakyat, bukan alat siasah! - Berita Harian, 4 April 2012
 

No comments: