Pages

Tuesday, April 17, 2012

Skrip bodoh: Mangsa rogol kena cari peguam

 SEORANG gadis yang dirogol oleh hartawan kampung tidak dapat membuat aduan polis kerana tiada peguam yang boleh membantunya.

]Walaupun gadis itu mempunyai bukti kukuh serta mengumpul beberapa rakan yang juga pernah menjadi mangsa rogol oleh lelaki yang sama, dia gagal membuat laporan  kerana anggota polis enggan menerima aduannya.  Alasannya, tiada peguam, maka tiada aduan yang boleh dikaitkan dengan siasatan, apatah lagi proses pendakwaan di mahkamah.

Bagi gadis kampung yang miskin kewangan dan pengalaman hidup, dia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali pasrah dan menyalahkan takdir.

Bayangkan sebuah skrip drama yang agak daif tapi berulang kali ditayangkan di sebuah stesen televisyen kita.
Saya menonton drama ini beberapa kali kerana mahu menilai skrip dan mutu lakonan Datuk Rahim Razali, Fasha sandha dan Fauzi Nawawi. Pelakon hebat tidak semestinya menggambarkan mutu sesebuah drama kerana  lemah skrip dan mutu pengarahannya. 

Di negara kita, industri drama TV, seperti juga filem dan teater,  masih dianggap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana kekangan modal dan skrip yang bagus. Kita mungkin mempunyai beberapa pelakon yang berwatak  tapi kita masih kurang mutu skrip yang baik. Kita hampir tiada penulis skrip drama yang bermutu  dan berilmu  walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pusat pengajian tinggi yang menyediakan kuliah penulisan kreatif. Kenapa?

  Penulis skrip seperti juga genre lain memerlukan bakat, ilmu dan pengetahuan mengenai isu yang bakal dipaparkan.

Mereka juga perlu tahu proses undang-undang walaupun bukan prasyarat dalam penulisan skrip. Lazimnya kes rogol disiasat  mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tidak  timbul seseorang mangsa perlu mendapatkan peguam untuk membuat aduan polis kerana kes jenayah membabitkan pendakwa dan pembela. Mangsa hanya berhak mengadu dan menjadi saksi kes. Kejahilan penulis skrip boleh menimbulkan salah anggapan terhadap proses keadilan di negara kita.

Isu skrip drama sudah lama diperkatakan. Sejak era drama Potret Pekerti  dan Opah tayangan TV1 pada dekad 60-an dan 70-an, skrip drama TV kita tidak banyak berubah. Klise dan isu remeh masih berulang kali ditayangkan. Tema, persoalan dan jalan cerita masih berpaksi di landasan yang sama.   

Seorang penulis  mengakui kelemahan skrip drama TV kerana berpunca isu bayaran di samping sikap penerbit yang lebih mementing jalan singkat dalam penerbitan mereka.

   “Bayaran untuk sesebuah skrip tidak berubah sejak 20 tahun,” akuinya. Dia kesal penulis skrip tidak menerima bayaran lebihan walaupun sesebuah drama diulang tayang berulangkali di kaca TV.

“Stesen TV mendapat untung berlipat ganda apabila  telemovie atau drama bersiri  diulang siar. Penajaan iklan untuk drama yang siarkan  tidak mengambil kira hasil kreatif penulis skrip,” tegasnya.

Sehingga kini tiada  surat perjanjian antara stesen televisyen, penerbit dengan penulis skrip. Dalam situasi ini, kerap  terjadi nama penulis asal skrip drama TV dipadamkan terus dan diganti dengan nama penulis lain sewenang-wenangnya.

“Kami tidak ada tempat untuk bela diri dalam hal sebegini. Hak cipta untuk skrip tak ada,” tegas penulis skrip itu.

Bayaran  untuk skrip drama TV tidak pernah naik sejak   1990-an lagi. Bayaran  sesebuah  telemovie sekitar RM4,000 hingga  RM5,000  saja. Drama episod membabitkan  satu  episod  (30 minit) sekadar RM700  hingga RM1,000  dan drama episod 60 minit   hanya RM1,500 hingga RM2,000.

Kadar bayaran yang rendah ini dijangka kekal selama-lamanya kerana tiada badan yang memperjuangkan nasib penulis skrip walaupun  stesen TV mengaut untung penyiaran iklan ketika drama ditayangkan.
Penulis skrip juga menghadapi masalah sistem pitching yang diamalkan oleh stesen TV sekarang. Produser tidak bayar proposal yang mesti disediakan oleh penulis skrip sebelum karya lengkap diterbitkan. Jika proposal lulus,  skrip penuh  ditulis.

“Jika sebaliknya, idea dan proposal  akan hangus,  sedangkan untuk sediakan proposal penulis  kena kerja lebih awal mencari bahan mentah tanpa sebarang bayaran. Bayangkan jika proposal seseorang penulis skrip dicedok oleh syarikat penerbitan dan drama tersiar tercatat nama penulis lain? Hal ini   kerap berlaku dan penulis skrip drama sekadar menelan liur dengan perasaan sakit hati,” katanya.

Sehingga kini nasib penulis skrip bagai telur di hujung tanduk. Tiada agensi atau badan khusus yang membantu mereka walaupun ada Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM)  yang hingga kini masih misteri matlamat penubuhannya. - Berita Harian, 17 April 2012

2 comments:

Anonymous said...

salam,
saya bersetuju 100% pendapat saudara tentang drama tersebut
saya sendiri telah menontonnya dua kali
sememangnya banyak kelemahan walaupun dibarisi bintang bintang besar industri
saudara,
saya merupakan seorang yang baru berjinak jinak dengan penulisan novel juga skrip
kini saya sedang mengumpulkan seberapa banyak kenalan yang berpengetahuan serta berpengalaman di dalam bidang ini
saya sememangnya jahil bab hak penulis
walaupun terlintas di fikiran saya bagaimana kalau proposed script/idea saya dicedok orang?
diharap encik dapat kongsikan sedikit apakah yang perlu saya lakukan jika benar benar ingin aktif dalam bidang yang saya minati ini
salam,
Izzah, KL

Hisham Nazir said...

depa suka hatio buat skrip tanpa merujuk kepada yg arif dalam bidang tertentu. - hishamnazir.com