Pages

Tuesday, July 17, 2012

Apabila sasterawan di belakang personaliti TV

Kita mempunyai sedozen Sasterawan Negara, puluhan pemenang Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award), ratusan pemenang Hadiah Sastera Malaysia (kini Hadiah Sastera Perdana) dan mungkin ribuan sasterawan yang bernama dan picisan.

Kita juga mempunyai puluhan aktiviti kesenian di seluruh negara dengan pelbagai sorak-sorai, pembentangan kertas kerja, forum, seminar, dialog dan diskusi. Persoalannya: apakah sasterawan kita sudah layak untuk  Hadiah Nobel?

Dalam kalangan sasterawan pula, seakan ada pasaran tersendiri. Penulis yang bernaung dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) dianggap lebih hebat daripada Mamat yang datang dari Kuala Berang.

Penulis muda yang pernah menghadiri Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sering dikatakan lebih berwibawa  daripada penggiat seni yang sekadar belia di luar kota.
Kita tidak tahu siapa yang meletakkan andaian dan pasaran itu. Namun bagi mereka yang mendekati sastera, atau cuba mengenali daerahnya yang dikatakan berseni, terlalu banyak likunya. Terlalu banyak tangan ghaib yang meletakkan pengurus seni sebagai lebih berwibawa daripada yang lain.

Kita mungkin bersikap pasif  menyatakan sastera Malaysia masih terkebelakang berbanding  Indonesia, Thailand dan Vietnam. Jangan bandingkan karyawan kita dengan penulis dari Amerika Latin dan Afrika yang menguasai Hadiah Nobel sejak 30 tahun lampau.

Kita perlu ikhlas dan jujur mengakui sasterawan di Malaysia masih pada peringkat lama –  gah baca puisi, tulis buku dan jual kepada kawan-kawan saja!

Jika kita andaikan 10,000 penulis yang  komited berkarya dan meminati sastera,  kenapa majalah yang diterbitkan khusus untuk menyiarkan sajak, cerpen, skrip teater dan kritikan hanya terjual 2,000 unit saja?

Sehingga kini usaha melahirkan bakat baru masih misteri. GAPENA pernah menubuhkan Sekretariat Penulis Muda GAPENA (SPMG) yang khabarnya untuk mengisi kegiatan bakat baru. Hasilnya tidak kelihatan dan SPMG lenyap begitu saja. Biro Penulis Muda PENA pula masih bersemangat berbincang dan berdiskusi. 

Jika berlapang dada, kita mungkin dapat membezakan  bidang sastera terlalu perlahan dan lembab untuk melahirkan penulis generasi masa depan berbanding kesenian lain. Jika pelakon, penyanyi dan pelawak silih berganti dengan watak yang dominan, sasterawan kita masih berpaksi pada wajah yang sama.

Ketika mengakui majlis mengasuh bakat penulis kerap diadakan, kita bertanya sejauh mana hasilnya?
Banyak bengkel, ceramah dan diskusi bedah karya. Namun ke mana pergi peserta bengkel? Kenapa tak ramai yang berjaya? Adakah berkarya untuk berseronok dan kemudian tidak melahirkan sajak dan cerpen lagi? Apakah bidang lain lebih  baik dan menguntungkan daripada sastera?

Kita mungkin mempunyai ratusan sarjana dan pengkritik sastera. Pelbagai teori kritikan dan seni analisis diperkenalkan. Tapi kita masih ketandusan pengkritik berwibawa. Kenapa lulusan sastera yang didedahkan dengan disiplin kritikan tidak menghasilkan analisis seni terbaik?

Apakah universiti sekadar kilang yang mengeluarkan kertas bernama ijazah dan tugas menulis serta menilai seni tidak penting?

Semuanya persoalan yang sukar terjawab. Seperti sukar juga kita memahami kenapa subjek Sastera untuk pelajar kurang cemerlang di sekolah menengah. Pelajar cemerlang tak layak belajar sastera?  Benarkah sastera untuk kalangan yang suka bernostalgik dan saling merindui?

Apakah penulis seperti Fauziah Ashari, Raja Azmi, Ras Adiba Radzi dan Yahaya Samah dianggap sasterawan kerana melahirkan novel popular? Apakah Ahmad Fedtri Yahya dan Ally Iskandar dianggap penyair kerana muncul di pentas puisi?

Saya agak keliru untuk menjawabnya kerana dunia sastera kita sering mengelirukan! - Berita Harian, 17 Julai 2012

No comments: